Memaparkan catatan dengan label sultan kelantan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sultan kelantan. Papar semua catatan

Rabu, Ogos 03, 2022

Sultan Kelantan isytihar Nur Diana Petra Abdullah sebagai Sultanah Kelantan

 


Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengisytiharkan isteri baginda, Sultanah Kelantan dengan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.

Pengisytiharan itu diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yang berkuat kuasa hari ini.

Ahmad ketika membacakan teks itu berkata, pengisytiharan dilakukan menurut Fasal (1) Perkara 43 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

Sultan dan Yang dipertuan bagi negeri Kelantan sudah mengadakan pangkat kemuliaan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan dan Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan.

Sultan juga mengampuni perkenan mengurniakan pangkat kemuliaan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan kehadapan isteri baginda dengan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.

Baginda juga mengampuni perkenan mengurniakan pangkat kemuliaan kepada Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan dengan gelaran Yang Teramat Mulia Che Puan Sofie Louise Johansson Petra, iaitu isteri kepada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan.

Semua kurniaan pangkat itu berkuat kuasa hari ini.

Sumber : Berita Harian

Sabtu, Julai 27, 2019

Saya tidak terima surat kena cerai - Oksana


Bekas Ratu Cantik Rusia yang dikaitkan sebagai isteri Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menegaskan tidak pernah menerima sebarang sepina atau surat mahkamah berhubung berita perceraiannya.

"Mengenai berita perceraian, saya tidak pernah menerima sebarang sepina atau surat mahkamah dan ketika berita (cerai) jadi sensasi, saya dan Leon (anak) berada di Rusia," jelas Rihana Oksana Gorbatenko melalui laman sosial Instagramnya pagi ini.

Tulis Oksana lagi, suaminya seorang Muslim yang baik dan tidak akan membuat tindakan sedemikian tanpa pengetahuannya.

Tambahnya, undang-undang Islam turut memperjuangkan hak dan melindungi wanita.

Beliau turut menjelaskan, berita-berita yang disiarkan media sebelum ini adalah tidak sah hanya untuk disensasikan.

"Saya tidak akan tunduk kepada provokasi dan kekal untuk mempertahankan maruah keluarga saya," ujarnya.

Kata Oksana lagi, dirinya yang berdiam diri sebelum ini tidak bermaksud beliau mengiayakan semua pembohongan (berita yang disiarkan sebelum ini).

"Anak, keluarga dan seluruh dunia sedang melihat, saya tidak akan mengaku kalah, " tulisnya .

Oksana dan Sultan Muhammad dikatakan sebelum ini berkahwin di Rusia selepas video perkahwinannnya menjadi tular seluruh dunia.

Selepas itu tersebar pula sijil cerai yang mendakwa Oksana diceraikan dengan talak tiga.

Penceraian itu turut disahkan oleh peguam Sultan Muhammad, Koh Tien Hua yang memaklumkan pasangan terbabit bercerai talak tiga pada 22 Jun 2019 mengikut undang-undang syariah. - Kosmo!

Selasa, Disember 13, 2016

Sultan Muhammad V Angkat Sumpah Yang di-Pertuan Agong 15



Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Kedua-dua baginda dipilih Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-243 (Khas) di Istana Negara, pada 14 Oktober lalu, bagi tempoh 5 tahun bermula 13 Disember 2016.

Sultan Muhammad V, 47, menggantikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, 12 Disember 2016.

Upacara di balairung seri hari ini bermula dengan Mesyuarat Majlis Raja-raja Ke-244 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh kedua-dua baginda.

Mesyuarat Khas itu dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Memulakan istiadat, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad tampil menyembahkan Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Muhammad V yang kemudiannya melafazkan Sumpah Jawatan sebelum menandatanganinya.

Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya ditandatangani Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, sebagai saksi.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja kemudian menyembahkan pula Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Nazrin yang kemudiannya melafazkan sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebelum menandatanganinya.

Surat Sumpah Jawatan baginda turut ditandatangani Sultan Mizan dan Tuanku Syed Sirajuddin sebagai saksi.
Selesai istiadat itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja memaklumkan Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-244 (Khas) ditangguhkan ke suatu masa yang akan ditetapkan kelak.

Acara di balairung seri kemudiannya diteruskan dengan istiadat menandatangani perisytiharan memegang jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya.

Memulakan istiadat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diapit Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Md Tajri Alwi dan penolongnya, Azuan Effendy Zairakithnaini menghadap dan menyembahkan Surat-surat Perisytiharan memegang jawatan untuk ditandatangani Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Najib kemudian membaca perisytiharan Sultan Muhammad V mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, manakala Sultan Nazrin pula mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Upacara penuh istiadat yang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Semua 9 raja Melayu atau wakil baginda serta 3 yang dipertua negeri hadir pada upacara berkenaan, kecuali Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud yang diwakili Speaker Dewan Undangan Sarawak, Datuk Mohamad Asfia Awang Nassar.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menteri besar, ketua menteri, menteri Kabinet, anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta pegawai tinggi kerajaan.

Setelah selesai upacara di balairung seri, Najib mengetuai upacara menghadap diikuti menteri Kabinet serta orang kenamaan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah turut melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.




Recent Posts