Memaparkan catatan dengan label sudu melekat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sudu melekat. Papar semua catatan

Sabtu, Ogos 07, 2021

Sudu melekat di lengan bukan kerana vaksin

 

 

Fenomena garpu dan sudu besi boleh melekat di bahagian lengan tiada kaitan dengan dakwaan wujud medan magnet selepas suntikan vaksin.

Pengasas laman web pendidikan dikenali sebagai AJAR, Muhammad Haziq Abd. Rahim berkata, ia bukanlah sesuatu yang ganjil dan boleh dijelaskan menggunakan sistem tuas mudah yang lazimnya diajar dalam mata pelajaran Sains pada peringkat sekolah.

“Ia berlaku akibat graviti dan daya geseran yang terhasil antara garpu dan permukaan lengan selain bentuk melengkung pada garpu turut bertindak seperti fulkrum iaitu satu titik tetap yang menghalang garpu daripada terjatuh,” katanya dalam hantaran di laman Facebook AJAR hari ini.

Graduan University of Sheffield, United Kingdom dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal itu berkata, situasi serupa turut berlaku kepada sudu plastik dan ia tidak akan berjaya jika sudu atau garpu yang digunakan dipatahkan pemegangnya.

Perkongsian dalam bentuk video berdurasi 3 minit 18 saat itu tular dalam kalangan pengguna media sosial dan dikongsi lebih 3,700 kali serta mendapat lebih 1,000 komen.

“Saya belum ambil suntikan vaksin. Letak sudu pada lengan memang melekat juga,” komen pemilik akaun Facebook bernama Nu Ha.

“Saya juga belum vaksin. Senduk dan sudip pun melekat. Bukan sudu sahaja,” balas Wan Nur Farahiyani.

“Kalau betul ada daya tarikan magnet, boleh guna magnet lain untuk lekatkan pada badan untuk tengok kutub magnet yang kononnya wujud di dalam vaksin,” ulas Mat Apit.

“Macam-macam mereka ini. Terima kasih akhirnya ada penjelasan mudah mengenai perkara ini. Tidak pandai hendak jelaskan seperti tuan walaupun sudah tahu ia bukan disebabkan daya magnet,” ujar Apool Smith.

“Kasihan cikgu, terpaksa buat eksperimen mudah untuk menjawab tuduhan puak antivaksin,” komen Muzahfar Akmal Nurazlan. 

Sumber : Kosmo!

Recent Posts