Memaparkan catatan dengan label subsidi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label subsidi. Papar semua catatan

Rabu, Mac 20, 2024

Tiada lagi subsidi tepung gandum kegunaan am mulai 2024

 


KUALA LUMPUR: Subsidi tepung gandum kegunaan am ditamatkan mulai tahun ini, demikian menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

KPDN dalam jawapan bertulis kepada Manndzri Nasib (BN-Tenggara) di Dewan Rakyat hari ini berkata, di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, ia mengawal selia 13 jenis barang kawalan berjadual bagi memastikan kestabilan bekalan barangan berkenaan dalam pasaran seperti tepung gandum, gula, minyak masak, bawang, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan minyak petrol.

Katanya, daripada 13 barangan kawalan berjadual berkenaan, hanya empat barangan yang diberikan subsidi iaitu minyak masak, petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

"Kerajaan telah menamatkan subsidi gula mulai 26 Oktober 2013. Sejak daripada itu, gula putih bertapis hanya dikawal melalui pewartaan harga kawalan sahaja yang dinikmati oleh seluruh penduduk Malaysia termasuk warga asing.

"Manakala, subsidi tepung gandum kegunaan am telah ditamatkan mulai 2024 berikutan pengilang tidak mampu untuk mengeluarkan tepung bersubsidi pada harga kawalan RM1.45 sekilogram," katanya.

Manndzri meminta Menteri KPDN menyatakan sehingga bilakah barangan bersubsidi seperti gula, tepung, minyak petrol dan sebagainya yang diberikan oleh kerajaan dapat dinikmati oleh warga asing kerana tujuan asal pemberian subsidi adalah bagi membantu meringankan bebanan rakyat Malaysia.

KPDN menambah, pada masa ini, kerajaan telah menguatkuasakan larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan dengan nombor pendaftaran asing di semua stesen minyak di seluruh negara.

Ia berkata, kenderaan asing hanya boleh mengisi petrol RON97 di stesen minyak.

"Manakala untuk diesel bersubsidi, kenderaan asing hanya boleh mengisi tidak lebih daripada 20 liter bagi stesen minyak dalam jarak 50 kilometer dari sempadan Singapura dan Thailand serta 30 kilometer dari jarak sempadan Indonesia dan Brunei," katanya.

Ia berkata, kerajaan sedang melaksanakan penyasaran semula subsidi yang hanya akan memanfaatkan kumpulan sasar warganegara yang layak sahaja.

Katanya, dii peringkat KPDN, satu mekanisme sedang dibangunkan untuk menyasarkan minyak masak bersubsidi kepada mereka yang layak membeli di peringkat runcit.

"Kerajaan juga sedang melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS 2.0) bagi menangani impak kenaikan harga barangan kepada pengguna," katanya.

Sumber : Berita Harian

Isnin, Februari 28, 2022

Permohonan subsidi untuk penternak ayam dibuka

 

Kerajaan membuka permohonan subsidi untuk penternak ayam pedaging dan ayam penelur, bermula hari ini hingga 6 Jun, bagi pengeluaran ayam daging serta telur dari 5 Februari hingga 5 Jun 2022.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan kadar pemberian subsidi itu ialah RM0.60/kilogram (kg) untuk ayam pedaging serta RM0.05/biji bagi telur gred A, B dan C, membabitkan penternak persendirian, penternak integrator atau semi-integrator serta penternak kontrak.

Katanya, sebanyak RM528.52 juta disediakan bagi tujuan itu, dengan dianggarkan 2,255 penternak bakal menikmati pemberian subsidi berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, pembayaran subsidi akan disalurkan terus ke akaun penternak melalui Agrobank.

"MAFI akan membuat penilaian ke atas pemberian subsidi bagi memastikan proses pembayarannya berjalan lancar dan semua penternak terbabit dapat menggunakan subsidi ini untuk meningkatkan kapasiti operasi ladang serta menjamin bekalan ayam dan telur yang berterusan," katanya.

Katanya, kerajaan amat berharap pemberian subsidi itu dapat meringankan beban penternak susulan peningkatan kos, terutama kos makanan yang meliputi 70 peratus daripada kos pengeluaran, selain kos logistik, pekerja, utiliti dan ubat-ubatan.

"MAFI percaya langkah intervensi kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak, akan dapat menstabilkan kembali bekalan, sekali gus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur pada harga berpatutan," katanya.

Permohonan subsidi boleh dilakukan di pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang terdekat dengan ladang penternak, manakala borang dan garis panduan permohonan boleh didapati melalui portal rasmi JPV (https://www.dvs.gov.my/index.php/announcements/view/105). 

 

 

 

 

Jumaat, Januari 28, 2022

Kadar tarif elektrik TNB dikekalkan sehingga 2024

 

Kerajaan membuat keputusan untuk tidak menaikkan tarif elektrik untuk sembilan juta pengguna domestik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan juga akan terus memberikan subsidi sebanyak RM700 juta agar para pengguna tidak terkesan.

“Kabinet memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektif lebih sembilan juta pengguna domestik.

"Sehubungan dengan itu, kerajaan memutuskan untuk meneruskan subsidi sebanyak lebih RM700 juta agar pengguna-pengguna domestik tidak terkesan,” katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kerajaan akan melaksanakan kadar tarif elektrik baharu bagi tempoh 2022 sehingga 2024, berkuat kuasa 1 Februari ini.

Sementara itu, Suruhanjaya Tenaga dalam satu kenyataan menjelaskan, kerajaan pada 26 Januari telah bersetuju mengekalkan kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna-pengguna domestik di Semenanjung untuk Tempoh Kawal Selia bermula pada 1 Februari 2022 hingga 31 Disember 2024 di bawah mekanisme IBR.

Katanya, kadar tarif tersebut telah digunakan sejak 1 Januari 2014 apabila mekanisme IBR diperkenalkan sebagai dasar baru dalam penetapan tarif elektrik.

“Keputusan ini juga terpakai kepada pengguna komersial dan industri,” katanya.

Tambah Suruhanjaya Tenaga, bagi tempoh 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2021, berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain sebanyak RM1.67 bilion ekoran daripada kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran sehingga mencecah AS$200 per tan.

Sehubungan itu, di bawah mekanisme Laluan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) yang disemak setiap enam bulan, kerajaan telah memutuskan dua perkara.

“Bagi tempoh 1 Februari hingga 30 Jun 2022 pelaksanaan pelarasan tarif elektrik pertamanya adalah pemberian rebat dua sen/kWj dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan. Untuk itu, tiada kenaikan tarif elektrik kepada pengguna-pengguna domestik di Semenanjung.

“Kedua, pengenaan surcaj 3.70 sen/kWj kepada semua pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri,” ujarnya.

Suruhanjaya Tenaga berkata, bagi mengekalkan pemberian rebat dan tanggungan kos surcaj ICPT sepenuhnya kepada semua pengguna domestik, kerajaan memperuntukkan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos tersebut.

“Di bawah mekanisme ICPT, kos bahan api dan kos penjanaan elektrik akan disemak setiap enam bulan dan dilepaskan kepada pengguna elektrik dalam bentuk rebat atau surcaj bergantung kepada penjimatan atau peningkatan kos yang terlibat.

“Kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat sebanyak 45 peratus dan memberi impak yang besar kepada tarif elektrik di Semenanjung kerana 59 peratus sumber penjanaan adalah arang batu.

“Peningkatan harga bahan api arang batu adalah di luar kawalan kerajaan kerana ia adalah berasaskan harga pasaran global,” jelasnya. 

Sumber dari Sinar Harian.

 

Selasa, Mac 01, 2016

Subsidi Tepung Gandum 25Kg Ditarik Balik



Subsidi seguni tepung gandum seberat 25 kilogram akan ditarik balik mulai hari ini (Selasa), satu langkah yang mungkin akan membawa kepada kenaikan harga makanan seperti roti canai, mi dan banyak lagi.

Pengilang yang menghadiri mesyuarat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan minggu lalu berkata, mereka dimaklumkan mengenai penghapusan subsidi tepung gandum.

Pemborong juga dipercayai telah menerima pekeliling mengenai perubahan harga bagi tepung gandum seberat 25kg di Semenanjung Malaysia termasuk jenama Blue Key, yang kini dijual pada harga RM42 tanpa subsidi.

Seorang pengilang tepung yang hanya mahu dikenali sebagai Ng berkata, beliau adalah antara wakil-wakil industri yang hadir pada mesyuarat 24 Februari lalu yang dihadiri oleh pegawai kanan kementerian.

"Tepung gandum RM25kg yang dibeli oleh peruncit seperti kedai kopi dan restoran mamak, akan meningkat daripada RM33.75 kepada RM42," kata Ng.

Walau bagaimanapun, kerajaan akan mengekalkan harga RM1.35 subsidi bagi 1kg tepung gandum yang dibeli oleh isi rumah seperti jenama Blue Key dan Bunga Cempaka.

Beliau berkata, sebelum ini mereka menikmati RM600 hingga RM800 subsidi bagi setiap tan metrik tepung yang dihasilkan setiap bulan atau 60 sen hingga 80 sen sekilo bergantung kepada harga gandum di pasaran.

Subsidi ini, katanya telah merosakkan harga pasaran tepung kerana kos memproses gandum menjadi tepung boleh melebihi RM33.75 sekilo.

Harga untuk pengeluaran tepung adalah berbeza-beza berdasarkan harga gandum iaitu yang terkini adalah RM968 (AS$230) satu tan metrik.

"Kami mengalu-alukan keputusan Kerajaan," katanya.

Seorang lagi pengimport tepung berkata, harga makanan seperti roti canai dan kuih tempatan yang menggunakan tepung biasa boleh terjejas akibat penghapusan subsidi ini.

Beliau berkata roti, biskut dan kek yang menggunakan tepung premium yang tidak mendapat subsidi, tidak akan terjejas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Setiausaha Kementerian itu, Datuk Seri Alias ​​Ahmad enggan mengulas mengenainya.

- mSTAR


Recent Posts