Rabu, Mac 20, 2024

Tiada lagi subsidi tepung gandum kegunaan am mulai 2024

 


KUALA LUMPUR: Subsidi tepung gandum kegunaan am ditamatkan mulai tahun ini, demikian menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

KPDN dalam jawapan bertulis kepada Manndzri Nasib (BN-Tenggara) di Dewan Rakyat hari ini berkata, di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, ia mengawal selia 13 jenis barang kawalan berjadual bagi memastikan kestabilan bekalan barangan berkenaan dalam pasaran seperti tepung gandum, gula, minyak masak, bawang, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan minyak petrol.

Katanya, daripada 13 barangan kawalan berjadual berkenaan, hanya empat barangan yang diberikan subsidi iaitu minyak masak, petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

"Kerajaan telah menamatkan subsidi gula mulai 26 Oktober 2013. Sejak daripada itu, gula putih bertapis hanya dikawal melalui pewartaan harga kawalan sahaja yang dinikmati oleh seluruh penduduk Malaysia termasuk warga asing.

"Manakala, subsidi tepung gandum kegunaan am telah ditamatkan mulai 2024 berikutan pengilang tidak mampu untuk mengeluarkan tepung bersubsidi pada harga kawalan RM1.45 sekilogram," katanya.

Manndzri meminta Menteri KPDN menyatakan sehingga bilakah barangan bersubsidi seperti gula, tepung, minyak petrol dan sebagainya yang diberikan oleh kerajaan dapat dinikmati oleh warga asing kerana tujuan asal pemberian subsidi adalah bagi membantu meringankan bebanan rakyat Malaysia.

KPDN menambah, pada masa ini, kerajaan telah menguatkuasakan larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan dengan nombor pendaftaran asing di semua stesen minyak di seluruh negara.

Ia berkata, kenderaan asing hanya boleh mengisi petrol RON97 di stesen minyak.

"Manakala untuk diesel bersubsidi, kenderaan asing hanya boleh mengisi tidak lebih daripada 20 liter bagi stesen minyak dalam jarak 50 kilometer dari sempadan Singapura dan Thailand serta 30 kilometer dari jarak sempadan Indonesia dan Brunei," katanya.

Ia berkata, kerajaan sedang melaksanakan penyasaran semula subsidi yang hanya akan memanfaatkan kumpulan sasar warganegara yang layak sahaja.

Katanya, dii peringkat KPDN, satu mekanisme sedang dibangunkan untuk menyasarkan minyak masak bersubsidi kepada mereka yang layak membeli di peringkat runcit.

"Kerajaan juga sedang melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS 2.0) bagi menangani impak kenaikan harga barangan kepada pengguna," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts