Memaparkan catatan dengan label putin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label putin. Papar semua catatan

Rabu, September 21, 2022

Putin arah gerakan tentera terbesar Russia sejak Perang Dunia Kedua

 


Presiden Russia, Vladimir Putin mengarahkan gerakan tenteranya yang terbesar sejak Perang Dunia Kedua, sambil memberi amaran Moscow akan bertindak balas dengan semua kekuatan senjatanya dengan meluas jika Barat terus memeras ugut berkaitan isu nuklear,

"Jika integriti wilayah negara kita terancam, kita akan menggunakan semua cara yang ada untuk melindungi rakyat kita - ini bukan satu penipuan," kata Putin dalam ucapan di televisyen.

Putin berkata, beliau sudah menandatangani perintah bagi gerakan separa anggota tenteranya, sekali gus dijangka akan meningkatkan konflik dengan ketara.

Beliau menjelaskan, matlamatnya adalah untuk 'membebaskan' wilayah Donbas di timur Ukraine, dan kebanyakan penduduk di wilayah di bawah kawalan Russia tidak mahu diperintah oleh Kyiv.

Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, Putin berkata, gerakan mobilasi sebahagian rizab tenteranya yang berjumlah dua juta orang adalah untuk mempertahankan Russia dan wilayahnya, dan mendakwa Barat mahu memusnahkan Russia serta tidak mahu keamanan di Ukraine.

"Untuk melindungi tanah air, kedaulatannya... saya menganggap perlu untuk menyokong keputusan mengenai mobilisasi anggota tentera," katanya.

Putin berkata, matlamatnya adalah untuk 'membebaskan' wilayah kawasan perindustrian Donbas di timur Ukraine dan kebanyakan orang di rantau itu tidak 'mahu kembali seperti yang dipanggil sebagai 'yoke' Ukraine.

Putin berkata, Barat terbabit dalam pemerasan nuklear, tetapi Russia mempunyai 'banyak senjata untuk membalas' dan mengesahkan bahawa dia tidak menipu.

Russia sudah menganggap Luhansk dan Donetsk, yang bersama-sama membentuk wilayah Donbas adalah sebahagiannya Moscow pada 2014 serta sebuah negara merdeka. Ukraine dan Barat menganggap semua bahagian Ukraine yang dikuasai oleh tentera Russia itu diduduki secara haram.

Russia kini menguasai kira-kira 60 peratus Donetsk dan sudah menawan hampir seluruh Luhansk menjelang Julai lalu meskipun kemajuan perlahan sewaktu pertempuran sengit berbulan-bulan lamanya.

Kelebihan itu bagaimanapun terhakis apabila tentera Russia dihalau dari wilayah Kharkiv bulan ini termasuk kehilangan kawalan ke atas talian bekalan utama mereka bagi sebahagian besar barisan hadapan Donetsk dan Luhansk.

Dalam langkah yang nampaknya diselaraskan, tokoh pro-Russia, semalam mengumumkan pungutan suara bermula 23 hingga 27 September ini di wilayah Luhansk, Donetsk, Kherson dan Zaporizhzhia, yang mewakili sekitar 15 peratus wilayah Ukraine atau kawasan sebesar Hungary. 

Sumber : AGENSI

Khamis, Februari 24, 2022

Putin arah Russia serang Ukraine

 

Presiden Russia, Vladimir Putin, sebentar tadi mengumumkan 'operasi tentera' sudah bermula di Ukraine dan mengarahkan tentera negara itu meletakkan senjata serta menyerah.

Putin, dalam perutusan khas melalui televisyen, mengisytiharkan perang terhadap Ukraine tanpa menghiraukan desakan Barat dan global sejak kebelakangan ini supaya jangan melakukannya.

"Saya sudah membuat keputusan melancarkan operasi tentera," katanya sejurus sebelum jam 6 pagi waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia) di Moscow dan berikrar akan menentang sesiapa saja yang campur tangan.

Sehubungan itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata pihaknya bersama sekutu lain akan bertindak balas terhadap Russia kerana mengisytiharkan operasi tentera di Ukraine.

"Kita akan bertindak terhadap serangan tidak berasas munasabah dan tanpa provokasi oleh tentera Russia ini.

"Presiden (Vladimir) Putin memilih untuk melancarkan perang yang akan membawa kehilangan nyawa dan kesengsaraan yang dahsyat.

"Russia secara peribadi bertanggungjawab terhadap kematian dan kemusnahan yang diakibatkan serangan ini. Dunia akan memastikan Russia bertanggungjawab," katanya selepas beberapa siri letupan kedengaran di ibu negara Ukraine Kyiv, sebentar tadi.

Tambah Biden, beliau akan mengumumkan tindakan terhadap Russia oleh AS dan sekutunya dalam masa terdekat.

Skop operasi ketenteraan Russia di Ukraine tidak lagi jelas sepenuhnya tetapi wartawan Reuters di Kyiv mengesahkan beberapa siri letupan seperti tembakan artileri kedengaran sejurus selepas Putin selesai berucap.

"Russia tidak boleh rasa selamat, membangun dan wujud dengan bahaya dan ancaman sentiasa ada dari wilayah moden Ukraine," katanya.

Beliau menyampaikan ucapan itu ketika AS mendakwa lebih 150,000 anggota tentera Russia bersiap sedia menyerang Ukraine selepas puak pemisah pro Russia di selatan negara itu meminta bantuan Putin.

"Semua tanggungjawab dan pertumpahan darah akibat pertembungan ini adalah kesilapan pemerintah Ukraine sekarang.

"Jangan sesiapa pun meragui bahawa sebarang serangan langsung terhadap Russia akan mengakibatkan kekalahan dengan kesan dahsyat bagi mana-mana pihakyang melakukannya," katanya. 

Sumber dari AGENSI