Memaparkan catatan dengan label pentaksiran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pentaksiran. Papar semua catatan

Khamis, Jun 02, 2022

Ada ujian akhir sesi sekolah rendah, menengah rendah

 


Bermula tahun ini, sekolah rendah dan menengah akan melaksanakan pentaksiran sumatif melalui Ujian Akhir Sesi Akademik, dengan bank soalan disediakan Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pendekatan baharu itu membolehkan penilaian ke atas murid dilaksanakan mengikut tahun dan tingkatan, sekali gus memperkasa Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dimansuhkan.

Beliau berkata, ujian itu membabitkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam bagi sekolah rendah serta Tingkatan Satu, Dua dan Tiga bagi sekolah menengah.

Katanya, KPM akan menyediakan bank soalan bagi lima mata pelajaran untuk murid sekolah rendah, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah, manakala soalan mata pelajaran lain akan disediakan guru.

Bagi sekolah menengah, Radzi berkata, KPM akan menyediakan bank soalan untuk semua mata pelajaran.

"Jika kita lihat, apabila bercakap UPSR dan PT3, ini adalah pentaksiran sumatif, bukan hanya pada tahun itu tapi tahun-tahun sebelumnya.

"Ia bukan hanya menilai silibus pada Tingkatan Tiga saja (bagi PT3) tapi turut menilai pembelajaran bagi Tingkatan Satu dan Dua. Jadi, murid sudah lama tinggalkan dan pada Tingkatan Tiga, mereka rasa gugup (untuk berdepan PT3).

"Justeru, dalam pendekatan baharu yang kita perkenalkan ini, kita akan laksanakan penilaian mengikut tahun dan tingkatan," katanya pada sidang media di KPM di sini, hari ini.

Penilaian sumatif atau taksiran sumatif ialah penilaian pembelajaran dan meringkaskan pembangunan pelajar pada suatu masa tertentu.

Menegaskan keputusan itu bukan bersifat menggantikan UPSR dan PT3, Radzi berkata, ujian membolehkan pentaksiran terhadap penguasaan murid dilakukan setiap tahun.

Kedua-dua pentaksiran UPSR dan PT3 tidak dijalankan pada 2020 dan 2021.

Beliau berkata, sebelum ini, apabila tiada peperiksaan UPSR dan PT3, setiap sekolah menyediakan soalan berbeza-beza menimbulkan rungutan ada sekolah menyediakan soalan yang rumit, manakala ada sekolah yang menyediakan soalan yang mudah.

"Ini bukan untuk menggantikan UPSR dan PT3. Cuma kita nak isi kekosongan, apabila kita terima banyak pandangan ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah, mengenai tidak ada satu piawaian soalan yang boleh digunakan dan dipercayai," katanya.

Sumber : Berita Harian

Recent Posts