Memaparkan catatan dengan label pelaburan emas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pelaburan emas. Papar semua catatan

Khamis, Ogos 31, 2023

BSN lancar produk pelaburan emas serendah RM10


Bank Simpanan Nasional (BSN) melancarkan produk pelaburan pertamanya, BSN MyGold Account-i bagi memberi peluang kepada pelanggan sedia ada dan baharu untuk melabur dalam emas, di semua cawangan, bermula Isnin lalu.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil, berkata selain patuh syariah, produk pelaburan emas berkenaan dijual dengan harga serendah RM10 selain disokong 100 peratus oleh emas fizikal dengan ketulenan 999.9 peratus seperti yang diiktiraf oleh London Bullion Market Association.

"Pelaburan emas merupakan antara saluran pelaburan alternatif yang stabil dalam kalangan pelabur disebabkan ia mampu memberi pulangan tinggi sekiranya disimpan dalam tempoh yang panjang.

"Malah, harganya (emas) juga kekal berdaya tahan terhadap krisis kewangan global dan geopolitik, pelindung nilai terhadap inflasi selain mudah dicairkan untuk dana kecemasan," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian BSN MyGold Account-i di Wisma BSN.

Justeru, katanya melalui pelancaran produk pelaburan pertama BSN itu, pelanggan disediakan pilihan untuk membuat simpanan jangka panjang dengan jumlah pembelian yang rendah sekali gus membantu masyarakat mengukuhkan kewangan mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid, berkata BSN menyasarkan seramai 50,000 pelanggan akan membuka akaun emas pada tahun pertama pelancaran produk berkenaan.

"BSN MyGold Account-i membolehkan pelanggan membeli dan menjual emas melalui platform akaun tanpa perlu menyimpan emas fizikal. Ini secara tidak langsung dapat menggalakkan para pelanggan membuat simpanan selaras dengan mandat BSN menerapkan tabiat menyimpan dalam kalangan masyarakat Malaysia," katanya.

Jelas beliau, pembelian secara dalam talian juga akan diperkenalkan tidak lama lagi namun pelanggan boleh mengunjungi 389 cawangan BSN di seluruh negara untuk memulakan pelaburan emas mereka.

"Untuk BSN MyGold Account-i, BSN bekerjasama dengan syarikat perdagangan emas, ACE Capital Growth Sdn Bhd yang terlibat dalam perdagangan jongkong emas sejak 2011," katanya.

BSN MyGold Account-i terbuka kepada individu berumur 18 tahun dan ke atas dengan pembelian permulaan serendah RM10, selain ditawarkan kepada pelanggan korporat dengan pembelian permulaan berjumlah RM500.

Untuk mengetahui informasi lanjut mengenai BSN MyGold Account-i dan produk BSN yang lain, layari laman web BSN, www.bsn.com.my


Recent Posts