Memaparkan catatan dengan label parlimen bubar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label parlimen bubar. Papar semua catatan

Isnin, Oktober 10, 2022

Parlimen bubar 10.10.2022


 

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian pada jam 3 petang ini.

Pembubaran kira-kira sembilan bulan sebelum penggal Parlimen Ke-14 berakhir pada 15 Julai 2023, sekali gus menjawab segala teka-teki serta spekulasi berlegar sejak beberapa minggu lalu mengenai PRU15.

Ismail Sabri memaklumkan, beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Agong tengah hari semalam bagi menyembah warkah permintaan kepada baginda mengenai pembubaran Parlimen Ke-14.

"Selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan permintaan supaya Parlimen Ke14 dibubarkan pada hari ini.

"Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

"Proses ini berlandaskan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan sejak negara mencapai kemerdekaan," katanya.

Mengikut proses, sebaik notis pemakluman rasmi pembubaran Parlimen diterima Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, ia kemudian akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mempunyai tempoh 60 hari bagi menyempurnakan urusan pilihan raya.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong pada minggu lalu memberi perkenan pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat bagi tiga kawasan pilihan raya, iaitu Parlimen Grik di Perak, Batu Sapi di Sabah serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya juga di Sabah.

Pembatalan itu membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang sepatutnya diadakan pada 2020, tetapi ditangguhkan bagi mengekang penularan COVID-19, dilaksanakan serentak dengan PRU kali ini.

Seiring peningkatan jumlah daftar pemilih SPR bagi PRU15 susulan pengenalan Undi 18 dan daftar pemilih automatik, tempoh mengundi rasmi juga dilanjutkan sehingga jam 6 petang, berbanding 5 petang pada pilihan raya sebelum ini.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen akan menjadi pertaruhan parti-parti politik dan calon Bebas yang akan menyertai PRU, dengan saingan kali ini dijangka menyaksikan pertembungan banyak penjuru di satu-satu kerusi.

Pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) pula dijangka menyaksikan hanya 116 DUN, iaitu di Pahang, Perlis serta Perak menyertai proses bersekali peringkat Persekutuan.

Ia berikutan tiga negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH), iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, selain tiga lagi negeri ditadbir PAS, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, sebelum ini memutuskan untuk mengadakan pilihan raya DUN masing-masing tahun depan.

Enam negeri berkenaan menyumbang keseluruhan 245 kerusi DUN

Bagi 239 lagi kerusi DUN di Sabah, Sarawak, Johor dan Melaka pula, kesemuanya tidak akan dipertandingkan memandangkan negeri itu baru selesai mengadakan PRN.

Pada PRU14 Mei 2018, Barisan Nasional (BN) yang sudah menguasai pentadbiran negara selama 60 tahun tewas selepas gagal memperoleh majoriti mudah atau 112 daripada 222 keseluruhan kerusi di Dewan Rakyat.

Ketika itu, PH dianggotai PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan BERSATU menang selepas memperoleh 113 kerusi Parlimen, disusuli penyertaan Parti Warisan (WARISAN) kemudiannya yang menang di lapan kerusi Parlimen, menjadikan keseluruhan 121 kerusi dimenangi gabungan itu dan sekutunya

Perdana Menteri menegaskan, pembubaran berkenaan dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

Justeru, beliau berharap rakyat menggunakan kuasa untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik.

Dalam perutusan sama, Ismail Sabri turut menjunjung kasih atas limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong bersama seluruh perkenan Raja-Raja Melayu atas pelantikannya sebelum ini sebagai Perdana Menteri Kesembilan, dalam keadaan negara yang sangat mencabar tatkala itu.

"Izinkan juga saya menzahirkan setingi-tinggi terima kasih kepada seluruh Keluarga Malaysia kerana menyokong dan mendokong saya selama ini dalam melunaskan amanah serta tanggungjawab sebagai ketua kerajaan.

"Betapa besar amanah dan tanggungjawab yang dipikul, besar jugalah usaha dan ikhtiar digalas. Pada waktu itu negara diselubungi trilema, pandemik COVID-19 yang sedang mengganas, bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia, ditambah kelesuan ekonomi dan politik yang bergelora.

"Meskipun acapkali diasak pelbagai cabaran, tohmahan serta fitnah, kerajaan andal menghadapi mehnah dan tribulasi dalam perjuangan membawa negara ke landasan pemulihan kesihatan, politik dan ekonomi demi memulihkan kesejahteraan hidup Keluarga Malaysia dan kemakmuran negara," katanya.

Dalam suasana politik mencabar itu, katanya, kerajaan dengan langkah responsif dan proaktif berjaya membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi dengan data terbaharu Bank Dunia menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi 2022 kepada 6.4 peratus, berbanding 5.5 peratus yang diunjurkan pada Mac lalu.

Sumber : Berita Harian

Isnin, April 09, 2018

Apa yang berlaku selepas Parlimen bubar



Pembubaran Parlimen menandakan hari pengundian yang ditunggu-tunggu rakyat negara ini semakin hampir dan mereka bakal menentukan siapa yang akan mentadbir negara untuk tempoh mandat lima tahun akan datang.

Bagaimanapun, apakah yang akan berlaku sebelum hari pengundian?

Berikut adalah proses yang bakal berlaku mulai hari ini sehingga hari pengundian dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

# SEBAIK PARLIMEN DIBUBARKAN

SPR akan mengeluarkan writ dan arahan kepada pegawai pilihan raya bahagian di seluruh negara untuk pilihan raya diadakan di kawasan masing-masing.

Pada masa yang sama, notis pilihan raya akan diletakkan di semua kawasan untuk tatapan orang ramai.

Notis itu mengandungi tarikh untuk penamaan calon dan tarikh pengundian awal serta pengundian biasa.

Tarikh penamaan calon ditetapkan bagi membolehkan calon yang ingin bertanding menyerahkan borang pencalonan kepada pegawai pilihan raya.

# HARI PENAMAAN CALON

Serahan borang perlu dilakukan antara jam 9 dan 10 pagi pada hari penamaan calon.

Semua calon perlu membayar deposit RM10,000 untuk kerusi Parlimen, manakala RM5,000 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri.

Deposit yang dibayar, tidak akan dipulangkan sekiranya calon gagal mendapat 1/8 daripada jumlah undian di kawasan bertanding.

Pegawai pilihan raya perlu memastikan borang pencalonan diisi dengan lengkap bagi membolehkan calon bertanding.

Pencalonan boleh dibatalkan sekiranya calon didapati muflis, memiliki akal tidak sempurna atau bukan warga negara Malaysia.

Sekiranya ada bantahan terhadap calon yang bakal bertanding atas sebab gagal memenuhi kriteria pencalonan, ia perlu diutarakan ketika proses penamaan, sekiranya gagal, bantahan tidak akan diterima.

SPR juga melarang calon daripada menarik balik pencalonan mereka sebaik saja ia diterima.

Sebelum ini, calon dibenarkan untuk menarik balik pencalonan dalam tempoh tiga hari selepas penamaan calon.

Pegawai pilihan raya akan mengumumkan nama calon yang layak bertanding selepas jam 10 pagi.

# KEMPEN PILIHAN RAYA

Kempen pilihan raya bermula sebaik saja proses penamaan calon selesai dan akan berakhir jam 12 tengah malam sebelum hari pengundian.

Calon yang bertanding kerusi Parlimen boleh mengeluarkan perbelanjaan maksimum RM200,000 untuk berkempen, manakala calon DUN dibenarkan berbelanja maksimum RM100,000

SPR akan menubuhkan pasukan petugas bagi memantau tingkah laku calon ketika berkempen dan memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

Pasukan petugas  juga dibenarkan untuk menurunkan bahan kempen yang menyalahi undang-undang dan menghentikan forum tidak sah dengan bantuan polis.

# PENGUNDIAN AWAL

Pengundian awal akan diadakan beberapa hari sebelum tarikh sebenar mengundi bagi membolehkan pihak polis serta tentera membuang undi di balai serta kem masing-masing.

Kotak mengundi untuk pengundi awal, akan disimpan di lokasi selamat sehingga hari pengundian sebenar untuk dikira bersama kertas undian yang lain.

# PENGUNDI POS

Bagi individu yang dibenarkan untuk melakukan undian melalui pos, mereka akan menerima kertas undian lebih awal sebaik dicetak. Pengundi pos perlu memulangkan kertas undian yang sudah ditanda kepada Pejabat Pilihan Raya pada jam 5 petang ketika hari pengundian.

Pengundi luar negara akan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu warga negara Malaysia yang tinggal di luar negara dan sudah berdaftar untuk mengundi secara pos atau mereka yang berada di luar negara tetapi tidak perlu mendapat kelulusan untuk undian pos.

# HARI PENGUNDIAN

Pada hari pengundian, proses akan dimulakan dengan pengagihan kertas undi oleh pegawai SPR. Pegawai terbabit akan memeriksa kad pengenalan pengundi berdasarkan senarai pengundi berdaftar di pusat dan memeriksa jari telunjuk kiri bagi memastikan tidak kesan dakwat kekal.

Pegawai bertugas kedua sekali lagi akan memeriksa jari telunjuk kiri, sebelum pegawai ketiga membuat tanda pada senarai nama pengundi dan menyerahkan kertas undian.

Satu kertas undian adalah untuk memilih Ahli Parlimen manakala sehelai lagi kertas undian adalah untuk mengundi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pengundi kemudian akan bergerak menuju ke meja mengundi untuk memilih sebelum memasukkan kertas undian ke dalam kotak masing-masing. Kesemua proses itu akan dipantau oleh petugas pilihan raya dan ejen kepada calon bertanding.

Pusat mengundi akan ditutup pada jam 5 petang.

# PROSES PENGIRAAN UNDI

Sebaik undian ditutup, Pegawai Pengerusi akan membuat kiraan kertas undi. Pegawai terbabit akan memastikan jumlah kertas undian yang diterima di pusat masing-masing di awal pengundian adalah sama dengan kertas undian yang diberikan kepada pengundi serta yang tidak digunakan.

Kertas undian yang tidak jelas serta tidak ditanda dengan betul akan diketepikan. Selepas itu, pengiraan akan mula dilakukan dan pegawai pengerusi akan melihat semula kertas undian yang kurang jelas bagi menentukan sama ada ia boleh diterima atau sebaliknya.

Borang tertera jumlah undian akan dibawa ke pusat pengiraan undi, di mana, pegawai pilihan raya akan mengumumkan keputusan di pusat undian masing-masing.

- Berita Harian

Jumaat, April 06, 2018

PM umum Parlimen bubar 7 April 2018 untuk PRU14






Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa pada Sabtu bagi membuka laluan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diadakan.

Pengumuman itu dibuat selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, pagi Jumaat, yang mana pengumuman kali ini sedikit berbeza apabila pembubaran Parlimen akan berkuat kuasa sehari selepas pengumuman pembubaran dibuat.

“Saya ingin memaklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa saya telah pun menghadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V dan menyembah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-13 dibubarkan pada hari Sabtu, 7 April 2018.

"Sehubungan itu, selaras dengan peruntukan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen ke-13 dibubarkan pada Sabtu,” katanya beliau dalam pengumuman khas yang dibuat dari Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dan disiarkan secara langsung di televisyen dan Facebook rasmi Najib jam 12.02 tengah hari Jumaat.

Najib diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan anggota jemaah menteri.

Najib memulakan pengumuman khas itu dengan mengimbas cabaran dan kejayaan-kejayaan yang dicatatkan negara sepanjang tampuk pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinannya.

Susulan pembubaran, Najib menasihati semua Ketua Menteri dan Menteri Besar kecuali Sarawak, menghadap Sultan, Raja atau Yang di-Pertuan negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Langkah itu bagi memberi laluan supaya pilihan raya negeri (PRN) dan PRU dapat diadakan serentak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sarawak terkecuali daripada mengadakan PRN kerana baru sahaja diadakan pada 7 Mei pada 2017.

Menurut Najib, pembubaran tersebut menzahirkan komitmen kerajaan BN terhadap proses demokrasi berparlimen dengan membolehkan PRU14 diadakan.

"Saya amat berharap pilihan raya kali ini tidak kira apa juga fahaman dan lambang politik akan dapat kita sama-sama langsungkan dengan baik, teratur, penuh hemah dan lancar," tambahnya.

Mandat kerajaan BN akan tamat pada 24 Jun 2018. Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan menetapkan PRU mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, dari tarikh pembubaran Parlimen.

Semasa PRU13 yang diadakan pada 5 Mei 2013, BN telah memenangi 133 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, manakala pembangkang di bawah Pakatan Rakyat ketika itu, memenangi 89 kerusi.

Para pemerhati politik meramalkan pilihan raya itu akan diadakan akhir bulan atau awal bulan depan, sebelum umat Islam menunaikan ibadah puasa pada pertengahan Mei.

Sejumlah 14.9 juta pemilih berdaftar layak mengundi berdasarkan kepada Daftar Pemilih Suku Keempat 2017 pada tarikh yang akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.

- mSTAR

Recent Posts