Memaparkan catatan dengan label myjalan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label myjalan. Papar semua catatan

Khamis, Oktober 26, 2023

Salur aduan jalan rosak menerusi aplikasi MYJalan

 


Kementerian Kerja Raya (KKR) akan melancarkan kempen MYJalan yang merangkumi sistem aduan bagi menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya atau perabot jalan dapat dibaik pulih.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pembangunan aplikasi MYJalan bakal menjadi platform aduan setempat (one stop centre) bagi memudahkan pengguna membuat aduan.

Beliau berkata, kempen MYJalan akan membuka ruang dan peluang kepada pengguna membuat aduan secara khusus berkaitan jalan raya.

"Menerusi pelaksanaan kempen MYJalan, rakyat diberi pendedahan dan kefahaman mengenai jenis-jenis jalan dan tanggungjawab pihak berkenaan.

"Dengan adanya advokasi ini, saya percaya rakyat akan menjadi lebih cakna dan kualiti jalan raya akan menjadi semakin baik," katanya ketika menjadi tetamu rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3.

Alexander berkata, isu jalan berlubang dan masalah berkaitan infrastruktur dan perabot jalan seperti papan tanda, penghadang jalan, lampu jalan dan sebagainya bukan perkara baharu yang perlu diberi perhatian.

Katanya, banyak kes sedemikian berlaku baik di jalan persekutuan di bawah bidang KKR mahupun jalan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Masalah ini kerap dilaporkan di media massa dan media sosial oleh pengguna. Sejak hari pertama saya menjejakkan kaki ke kementerian ini, antara perkara penting yang saya dan warga KKR tekankan adalah untuk menangani masalah kerosakan jalan raya," katanya,

Menyentuh perbezaan MYJalan dengan kempen sebelum ini, Alexander berkata, apa yang sudah dilaksanakan akan diberi suntikan penambahbaikan dan diperkukuh bagi memastikan tindakan lebih interaktif dan bersepadu dapat dicapai.

"Kempen seperti 'FTRoadpedia' dan 'Kita Jaga Jalan Kita' akan dijadikan kempen inklusif di bawah MYJalan," katanya.

Beliau berkata, usaha menjaga aset awam memerlukan kerjasama semua pihak merangkumi pemain industri, agensi kerajaan, sektor swasta dan rakyat.

Katanya, kesedaran awam sangat penting supaya usaha itu dapat dilaksanakan secara inklusif bersama rakan strategik yang secara tidak langsung akan menyumbang kepada perasaan sifat kepunyaan dalam jiwa rakyat Malaysia.

Sejajar konsep akauntabiliti pengguna bahawa jalan raya adalah tanggungjawab bersama, Alexander berkata, program advokasi pengguna mengenai aspek keselamatan dan aset jalan raya serta penyenggaraan sedia ada akan membabitkan pelbagai pihak merentasi kementerian dan jabatan.

Alexander berkata, pelancaran Kempen MYJalan diadakan pada Ogos bagi mengambil kesempatan bulan kebangsaan, di samping memberi penghargaan kepada warga KKR yang terbabit dalam pembinaan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) menerusi program Setia Bakti Jalan Raya Timur Barat (JRTB) FT04.

"Program ini bertujuan menghargai sumbangan dan jasa warga Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terkorban akibat serangan komunis ketika pembinaan.

"JRTB dibina menerusi Program Keselamatan Pembangunan (KESBAN) sebagai usaha kerajaan membangunkan kawasan luar bandar dalam usaha memerangi pengganas komunis.

"Saya harap selepas kempen ini dilancarkan, rakyat Malaysia di seluruh negara akan memahami tanggungjawab sebagai pengguna dan bantulah pihak badan berkuasa, KKR, JKR dan agensi lain seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

"Ia boleh dilakukan dengan memberi maklum balas atau aduan berkenaan masalah dihadapi supaya kerja penyelenggaraan dan baik pulih dapat dilakukan segera," katanya.

Kempen MYJalan adalah inisiatif jangka panjang dan akan membabitkan beberapa fasa pelaksanaan.

Kempen yang bakal dilancarkan di Jeti Tasik Awam, Tasik Banding, Perak pada 24 Ogos ini dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumber : Berita Harian