Memaparkan catatan dengan label myairline. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label myairline. Papar semua catatan

Rabu, Oktober 11, 2023

MYAirline gantung operasi berikutan tekanan kewangan ketara


 Syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini sehingga diberitahu kelak.

Dalam satu kenyataan, Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu memaklumkan keputusan penggantungan tersebut dibuat kerana tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

"Tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.

"Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia kami, pekerja yang berdedikasi dan rakan kongsi.

"Kami telah bekerja tanpa jemu untuk meneroka pelbagai pilihan perkongsian dan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini.

"Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada pilihan selain mengambil keputusan ini," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, MYAirline turut menasihati penumpang yang terjejas supaya tidak ke lapangan terbang selain perlu mencari alternatif lain untuk ke destinasi mereka.

"Lembaga Pengarah, pemegang saham dan semua kakitangan MYAirline akan bekerja tanpa jemu untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi pada peringkat ini kami tidak dapat komited pada sebarang garis masa.

"Kami sekali lagi mengulangi permohonan maaf atas sebarang kesulitan yang timbul daripada penggantungan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk memaklumkan sebarang kemas kini sekiranya ada," menurut kenyataan itu.

Pelanggan yang berdepan sebarang masalah boleh menghubungi customercare@myairline.my untuk mendapatkan bantuan sokongan.

MYAirline diasaskan secara rasmi pada 11 Januari 2021 dengan sokongan kewangan daripada Zillion Wealth Bhd (88 peratus), Trillion Cove Holdings Bhd (10 peratus) dan Pengasas Bersama dan Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rayner Teo (dua peratus).

Lembaga Pengarah MYAirline terdiri daripada Pengasas Bersama yang juga pemegang saham terbesar, Datuk Allan Goh Hwan Hua; Sean Goh Tze Han; bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman; bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Abd Hamid Mohd Ali; Teo dan Pengarah Trillion Cove, Jothi Prakash Murugan.

Pesawat pertamanya mula diterima pada Julai 2022, Airbus A320 (9M-DAC) yang dipajak daripada Aircastle Limited dan menerima Sijil Pengendali Udara pada 27 September 2022 serta Lesen Perkhidmatan Udara pada 15 November 2022 daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Sumber : Berita Harian

Lesen yang diberikan membolehkan MYAirline mengendalikan perkhidmatan penumpang dan kargo.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke semalam enggan mengulas ketika ditanya berhubung ura-ura peralihan pemilikan membabitkan MYAirline Sdn Bhd.

"Saya tidak tahu sama ada mereka (MYAirline) mahu jual atau apa pun kerana mereka belum lapor pada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

"Mereka harus datang kepada kita (jika ada masalah) baru kita lihat apa masalah dan kita akan cuba bantu.

"Kalau ada pertukaran pemegang saham atau sebagainya mereka perlu lapor pada Mavcom tetapi setakat ini tiada, jadi saya tak mahu komen," katanya pada sidang media Mesyuarat Majlis Konsultasi Penerbangan Negara (NACC) semalam.

Sebelum ini, media melaporkan syarikat penerbangan tambang rendah itu dipercayai akan menerima pelabur baharu yang berpotensi menyelesaikan masalah kewangan yang melanda MYAirline.

Perkara itu susulan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline Rayner Teo yang berkuat kuasa 7 Okt 2023 atas sebab kesihatan.

Khamis, Oktober 06, 2022

MYAirline guna model penerbangan tambang rendah

 


Syarikat penerbangan baharu, MYAirline Sdn Bhd akan melaksanakan model perniagaannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) berdasarkan permohonannya kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada Februari 2021.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rayner Teo Kheng Hock menjelaskan, syarikat penerbangan itu tidak berhasrat untuk menjalankan perniagaan itu sebagai syarikat penerbangan tambang murah ultra (ULCC), sebaliknya istilah itu dicipta oleh pihak lain pada awal tahun ini.

"Sebagai sebuah LCC dan penggiat baharu di pasaran, kecekapan kos adalah asas kepada kami. Keselamatan tentunya menjadi keutamaan yang pertama bagi kami.

"Kami menggunakan teknologi dan inovasi untuk mengurangkan kos. Kami memberi penekanan terhadap kualiti perkhidmatan yang baik kepada penumpang," katanya.

Pada 22 Disember tahun lalu, MAVCOM meluluskan pengeluaran Kelulusan Bersyarat (CA) bagi Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) kepada Z9 Elite Sdn Bhd yang kini dikenali sebagai MYAirline, untuk tempoh setahun sehingga 31 Disember 2022.

Syarikat penerbangan itu kemudiannya menerima Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dengan permit sah mulai 1 Oktober 2022 hingga 30 September 2023.

MYAirline ditubuhkan pada Januari 2021 dengan modal berbayar RM2 juta. Pemegang saham MYAirline termasuk Zillion Wealth Bhd yang memegang 88 peratus kepentingan ekuiti, Trillion Cove Holdings Bhd (10 peratus) dan Kheng Hock (dua peratus).

ULCC merujuk kepada syarikat penerbangan yang menawarkan tambang lebih murah berbanding LCC, tetapi tidak menyediakan apa-apa kemudahan atau perkhidmatan bersekali dengan tambangnya, termasuk bagasi yang boleh dibawa masuk ke dalam pesawat.

Kemudahan atau perkhidmatan bagi ULCC akan dikenakan bayaran tambahan.

Sumber : BERNAMA