Memaparkan catatan dengan label kapal angkasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kapal angkasa. Papar semua catatan

Selasa, September 27, 2022

Kapal angkasa NASA rempuh asteroid dalam ujian sistem pertahanan planet

 


Kapal angkasa Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART) milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) meluncur melalui sistem suria pada kelajuan hipersonik dan menghentam secara sengaja asteroid.

Ia bermatlamat merealisasikan misi pertama seumpamanya untuk melindungi bumi.

Ia adalah percubaan pertama manusia untuk mengubah gerakan asteroid atau mana-mana badan angkasa, kira-kira 10 bulan selepas DART dilancarkan.

Strim secara langsung menerusi laman web NASA itu menunjukkan imej yang diambil oleh kamera DART, ia meluncur ke arah asteroid Dimorphos yang dianggarkan sebesar stadium bola sepak, sekitar jam 7 malam (2300 GMT) kira-kira 6.8 juta batu (11 juta kilometer) dari bumi.

Misi ini direka untuk menentukan sama ada kapal angkasa mampu mengubah trajektori asteroid melalui daya kinetik, menolaknya dari laluan yang boleh mengundang bahaya kepada bumi.

Sama ada ia berjaya mencapai sasaran diharapkan masih belum diketahui sehingga pemerhatian teleskop lebih lanjut ke atas asteroid dilaksanakan bulan depan.

Bagaimanapun, pegawai NASA memuji hasil eksperimen yang dibuat dan jelas mereka kapal angkasa itu kelihatan berfungsi sebagaimana rekaannya.

DART yang dilancarkan oleh roket SpaceX pada November 2021 melakukan sebahagian besar pelayarannya di bawah bimbingan pengarah penerbangan NASA dengan kawalan diserahkan kepada sistem navigasi autonomi pada jam terakhir perjalanan.

Hasil ujian itu dipantau dalam tempoh hampir sama dari pusat operasi misi di Makmal Fizik Gunaan Universiti Johns Hopkins (APL) di Laurel, Maryland.

Sorakan oleh jurutera di dalam bilik kawalan didengari apabila imej asteroid yang disasarkan semakin besar dan akhirnya memenuhi skrin TV sejurus sebelum isyarat kapal angkasa itu hilang, mengesahkan ia telah berjaya merempuh Dimorphos.

Untuk rekod, misi DART dilancarkan November lalu dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California. 

Sumber : REUTERS

Ahad, September 06, 2020

Kapal angkasa guna semula China berjaya kembali ke bumi



China mencatatkan kejayaan penting dalam bidang aeroangkasa pada Ahad, apabila kapal angkasa eksperimen guna semula yang dilancarkan ke orbit dua hari lalu, kembali semula ke kawasan yang ditetapkan.

Kejayaan itu memiliki makna tersendiri apabila ia memungkinkan perjalanan pergi balik ke angkasa dengan kos lebih murah, lapor Agensi Berita Xinhua.

Misi itu tidak begitu diwar-warkan dan media negara itu masih belum menerbitkan gambar atau video pelancaran serta pendaratan kapal angkasa itu, selain tiada perincian berkenaan teknologi yang diuji.

Tiga tahun lalu, China memaklumkan akan melancarkan sebuah kapal angkasa pada 2020 yang mampu beroperasi seperti kapal terbang dan boleh diguna semula, meningkatkan kekerapan pelancaran dan mengurangkan kos misi.

Pelbagai spekulasi berkenaan kapal angkasa itu memenuhi media sosial China, dengan ada yang membandingkannya dengan pesawat angkasa tanpa pemandu milik Amerika Syarikat (AS), Air Force X-37B dihasilkan oleh Boeing, yang mampu berada di orbit dalam tempoh masa yang lama sebelum kembali ke bumi.

Bagaimanapun, tiada maklumat setakat ini sama ada kapal angkasa yang dilancarkan China itu adalah seperti Space Shuttle AS, namun jika sama seperti X-37B, ia kira-kira lima kali ganda lebih kecil daripada Space Shuttle itu.

Kapal angkasa China itu dilancarkan Jumaat lalu oleh roket Long March 2F yang sebelum ini digunakan untuk membawa kapal angkasa Shenzhou ke orbit.

Shenzhou juga digunakan untuk membawa rakyat China pertama melancong ke angkasa lepas pada 2003.

- Agensi

 

Recent Posts