Memaparkan catatan dengan label jepun. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label jepun. Papar semua catatan

Ahad, Mei 21, 2023

China pintas Jepun sebagai pengeksport kereta terbesar dunia

 


China menyatakan bahawa negara berkenan muncul pengeksport kereta terbesar di dunia selepas memintas Jepun dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, lapor Perbadanan Penyiaran Britain(BBC) kelmarin.

Angka rasmi yang dikeluarkan minggu lepas menunjukkan China mengeksport sebanyak 1.07 juta kenderaan sepanjang tempoh itu, meningkat 58 peratus berbanding suku pertama pada 2022.

Eksport Jepun sepanjang tempoh sama berjumlah 954,185 kenderaan iaitu pertambahan 6 peratus daripada tahun sebelumnya.

Kedudukan nombor satu itu antaranya, dirangsang oleh permintaan besar untuk kereta elektrik dan jualan ke Russia. Pada tahun lalu, China mengatasi Jerman untuk muncul sebagai pengeksport kereta kedua terbesar di dunia.

Menurut Pentadbiran Am Kastam China, Beijing telah mengeksport 3.2 juta kenderaan pada 2022, manakala eksport Jerman mencecah 2.6 juta kereta untuk berada di tempat ketiga.

Jepun adalah peneraju dunia kenderaan pada 2022 apabila mengeksport sebanyak 3.2 juta kereta dalam tempoh 11 bulan pertama tahun tersebut, demikian menurut portal berita South China Morning Post.

Lima pengeksport utama kereta dunia pada tahun 2021 pula ialah Jerman, Jepun, Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Mexico.

Bagaimanapun, peralihan daripada bahan api fosil memacu kebangkitan industri permotoran China. Ini terbukti apabila eksport kenderaan tenaga baharu (NEV) termasuk kereta elektrik meningkat lebih 90 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Syarikat pengeluar kenderaan milik pemerintah China, SAIC Motor yang memiliki jenama MG dan BYD, adalah antara pengeksport utama NEV dari negara komunis itu.

Dalam pada itu, syarikat Tesla dari AS yang diasaskan oleh bilionair, Elon Musk mempunyai kilang pembuatan kenderaan elektrik terbesar di Shanghai. Tesla mengeksport kereta elektrik keluarannya ke serata wilayah dan negara termasuk Jepun dan Eropah.

Kilang Tesla di Shanghai itu mampu mengeluarkan sebanyak 1.25 juta kenderaan setahun, manakala syarikat tersebut merancang meningkatkan lagi kapasiti pengeluarannya.

Pada bulan lalu, Tesla mula membina kenderaan utiliti sukan, Model Y untuk dieksport ke Kanada.
Perkara itu berlaku selepas Barat melaksanakan sekatan perdagangan ke atas Moscow berikutan perang tersebut.

Pada tahun lalu, pembuat kereta China termasuk Geely, Chery dan Great Wall menyaksikan bahagian pasaran masing-masing di Russia melonjak selepas pesaing mereka termasuk Volkswagen serta Toyota menarik diri dari pasaran negara itu.

Ia berikutan sekatan Barat susulan pencerobohan Ukraine oleh Russia.

Menurut portal berita Nikkei Asia, China juga mengeksport hampir 30,000 trak yang boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan ke Russia pada tahun ini, hampir tujuh kali ganda lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.

China juga menyaksikan eksport kereta elektriknya ke Russia melonjak sejak permulaan perang Ukraine, Februari tahun lalu.

Selepas Russia, destinasi eksport utama China mengikut urutan ialah Mexico, Belgium dan Arab Saudi.

Syarikat Chery Automobile dibiayai oleh entiti yang dikaitkan dengan pentadbiran perbandaran di China. –

Sumber : AGENSI

Jumaat, Julai 29, 2016

Pembunuh OKU Jepun tersenyum lebar



Seorang lelaki Jepun, Satoshi Uematsu, 26,  yang mengaku membunuh 19 orang di sebuah pusat jagaan pesakit jiwa tersenyum lebar di hadapan lensa kamera media semalam sebelum disoal siasat berhubung pembunuhan tersebut. insiden itu merupakan, paling sadis sejak 1938.

Lelaki itu, dilaporkan berkata, dia mahu supaya semua orang kurang upaya (OKU) “hilang”. Amukan pisaunya menyebabkan mangsa-mangsa berlumuran darah, malah sebahagian mereka turut ditikam di leher. Uematsu diiring keluar dari sebuah balai polis dan dibawa ke dalam van berdekatan sambil diterangi lampu limpah pihak media. Dia tersenyum lebar ketika di dalam van tersebut. Aksinya disiarkan dalam program berita pagi di Jepun semalam.

Seorang pegawai balai polis Tsukui di mana Uematsu ditahan mengesahkan bahawa dia dibawa kepada pihak pendakwa raya untuk disoal siasat.

Uematsu dituduh menceroboh pusat jagaan Tsukui Yamayuri-en di kawasan hutan berbukit di bandar Sagamihara, luar Tokyo awal pagi kelmarin.

Dia kemudian mengikat dua pekerja pusat jagaan itu sebelum menikam penghuninya yang turut menyebabkan 26 orang cedera, 13 daripada mereka parah. Uematsu segera menyerah diri di sebuah balai polis dan mengaku melakukan pembunuhan kejam itu.

Uematsu pernah bekerja di Tsukui Yamayuri-en tetapi dipecat dan dipaksa menjalani rawatan hospital pada Februari lalu selepas memberitahu rakan-rakan sekerjanya bahawa dia mahu membunuh OKU di Tsukui Yamayuri-en.

Lelaki itu bagaimanapun dibenarkan pulang 12 hari kemudian selepas seorang doktor memutuskan dia bukan ancaman keselamatan.

Uematsu juga pernah menghantar surat kepada Speaker Dewan Rendah Parlimen untuk memberitahu dia mengancam membunuh beratus-ratus OKU termasuk rancangannya menyerang Tsukui Yamayuri-en dan sebuah pusat jagaan lain.

Dalam suratnya, Uematsu menceritakan visi supaya hayat OKU ditamatkan menerusi kaedah eutanasia kerana golongan itu katanya, hanya memberikan kedukaan.

- DPA / Kosmo!

Jumaat, April 08, 2016

Rakyat Jepun bekerja lebih 60 jam seminggu


Dunia mengagumi Jepun sebagai sebuah negara maju dan ultra canggih dengan budaya kerja yang rajin, patuh serta komited luar biasa. Namun, di sebaliknya ada jiwa-jiwa yang merana.

Jika pada Perang Dunia Kedua, Jepun terkenal dengan perajurit kamikazenya yang berani mati, namun pascaperang itu menyaksikan rakyatnya menjadi mangsa karoshi iaitu mati lantaran kuat bekerja dalam persaingan melakar kemajuan.

Di Jepun, fenomena mati kerana kuat bekerja perkara lumrah sehingga terbitnya istilah berkenaan. Dianggarkan 400 kematian dicatat setiap tahun kerana sakit jantung, strok atau bunuh diri akibat kerja, namun ada dakwaan, ia mungkin 10 kali ganda lebih tinggi.

Karoshi masih menjadi topik kontroversi di negara matahari terbit. Ia kembali diperkatakan baru-baru ini apabila media mendedahkan bilangan kes tuntutan pampasan berkaitan kematian akibat terlalu kuat bekerja melonjak naik.

Menurut data kementerian buruh Jepun, tuntutan pampasan karoshi meningkat kepada rekod tertinggi iaitu 1,456 tuntutan untuk tahun berakhir pada Mac 2015.

Kes banyak tertumpu pada bidang penjagaan kesihatan, perkhidmatan sosial, perkapalan dan pembinaan.

Koichi Nanbu, 58, jurutera loji di sebuah syarikat kecil ditemui mati di landasan tren pada 2004 dengan nota yang ditemui pada saku bajunya.

Nota itu tertulis tulisan cakar ayam: “Saya tidak boleh bekerja lagi. Saya tidak tahu mengapa. Saya minta ampun kerana menyebabkan banyak masalah kepada syarikat.”

Pada Disember tahun lalu, Watami, rangkaian restoran terkemuka Jepun dipaksa untuk membayar 130 juta yen (RM4.6 juta) kepada keluarga Mina Mori, 26, yang membunuh diri kerana terlalu banyak bekerja.

Mori membunuh diri pada 2008 dua bulan selepas memulakan kerja. Dia sering dipaksa bekerja syif yang panjang sehingga terpaksa menunggu tren pertama pagi keesokannya untuk balik ke rumah.

Istilah karoshi mula diperkenalkan pada 1978 berikutan berlakunya kes-kes kematian akibat serangan jantung dan strok kerana kerja. Ia semakin hangat diperkatakan pada 1990-an berikutan desakan kemelesetan ekonomi.

Ancaman

Karoshi, bahkan pernah dikatakan ancaman kedua tertinggi selepas kanser dalam kalangan pekerja-pekerja di Jepun.

Profesor Morioka Koji dari Kansai University pernah bercakap pada tahun 2010 bahawa seramai 7 juta rakyat Jepun didapati bekerja lebih 60 jam seminggu dan boleh mati pada bila-bila masa kerana kuat bekerja.

Hiroshi Kawahito, seorang peguam yang mewakili mangsa-mangsa karoshi berkata, bilangan kes tuntutan pampasan telah bertambah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Di Jepun, kami percaya jika kami tidak bekerja lama sehingga berjam-jam, ekonomi tidak akan berkembang. Memandangkan ekonomi statik pada masa ini, jadi mereka percaya perlu bekerja lebih lama. Orang Jepun tidak yakin untuk berfikir lain daripada itu,” katanya.

Keuntungan

Baru-baru ini, di makam keluarga dalam sebuah apartment kecil di Tokyo, Noriko Nakahara, 54, berdoa untuk roh mendiang suaminya, Toshiro Nakahara. Noriko berkata, suaminya mati kerana kerja pada 2004.

Sebagai ketua wad pediatrik di sebuah hospital, Toshiro pada masa kejadian berumur 44 tahun selalu bekerja dua syif dan melupakan tidur untuk memenuhi sasaran jualan yang dikuatkuasakan pihak pengurusan hospital.

Noriko berkata, suaminya merupakan seorang individu yang percaya cara terbaik untuk menjaga anak-anak adalah dengan memberikan mereka kasih sayang di rumah.

“Tetapi majikannya mahukan lebih keuntungan, jadi dia perlu lebih banyak bekerja di hospital. Ia telah memudaratkan dirinya secara dalaman,” katanya seperti dilaporkan ABC.

Suaminya membunuh diri kerana kemurungan akibat terlalu banyak bekerja.

“Peristiwa itu telah menghancurkan hidup dua anak saya,” katanya.

Jepun tidak mempunyai undang-undang yang menetapkan had waktu bekerja. Di negara itu, syarikat boleh meminta pekerja-pekerjanya untuk bekerja lebih masa selama 45 jam sebulan atau sehingga 360 jam setahun sebagai tambahan kepada tempoh bekerja waktu tetap 40 jam seminggu.

Bekerja lebih masa sehingga 100 jam sebulan juga turut ada pada klausa khas yang dipersetujui antara pengurusan dan pekerja dalam kes-kes tertentu.

The Telegraph melaporkan, faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah karoshi ialah peningkatan pengambilan pekerja sementara atau kontrak, kurang penguatkuasaan terhadap undang-undang buruh serta budaya kerja hierarki iaitu staf junior tidak berasa selesa jika mereka pulang lebih awal daripada senior.

Seorang bekas jurutera sistem, Syota Nakahara, 32, bercerita tentang kemurungannya bekerja.

“Saya bekerja dari pukul 8.40 pagi hingga 3 pagi selama dua tahun. Saya hampir sakit mental. Saya tidak pasti apa di sekeliling saya. Saya tidak tahu hari apa atau musim apa. Apa yang saya nampak hanya pintu masuk pejabat dan komputer di meja saya.

“Saya perlu bekerja keras untuk mendapat jawatan penuh, dengan kerja sementara dan gaji rendah, saya rasa saya miskin. Tetapi akhirnya saya berhenti kerja di syarikat itu apabila saya perlu memilih antara nyawa atau kerja,” katanya.

Emiko Teranishi, ketua Pertubuhan Keluarga-Keluarga Yang Berdepan dengan Karoshi berkata, dia pernah mendengar banyak aduan tentang taktik-taktik syarikat dalam pengambilan pekerja supaya mereka kuat bekerja.

“Sesetengah syarikat memberitahu pekerja baharu bahawa gaji mereka termasuk 80 jam kerja lebih masa sebulan dan pekerja mesti membayar balik jika mereka bekerja tidak mencukupi bilangan jam,” katanya.

Jika sebelum ini, kes karoshi banyak melibatkan lelaki yang bekerja makan gaji, kini kementerian buruh mendedahkan pekerja-pekerja wanita semakin diancam masalah itu sehingga meningkat kepada 39 peratus.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe menyedari masalah ini dan terdapat beberapa rancangan untuk memulihkannya seperti mengurangkan jam waktu kerja lebih masa di syarikat-syarikat Jepun.

Namun, The Japan Times melaporkan, para pemerhati menyifatkan, rancangan itu masih kabur dan ia pasti akan ditentang oleh komuniti bisnes di negara itu.

- Kosmo!

Recent Posts