Ahad, Mei 21, 2023

China pintas Jepun sebagai pengeksport kereta terbesar dunia

 


China menyatakan bahawa negara berkenan muncul pengeksport kereta terbesar di dunia selepas memintas Jepun dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, lapor Perbadanan Penyiaran Britain(BBC) kelmarin.

Angka rasmi yang dikeluarkan minggu lepas menunjukkan China mengeksport sebanyak 1.07 juta kenderaan sepanjang tempoh itu, meningkat 58 peratus berbanding suku pertama pada 2022.

Eksport Jepun sepanjang tempoh sama berjumlah 954,185 kenderaan iaitu pertambahan 6 peratus daripada tahun sebelumnya.

Kedudukan nombor satu itu antaranya, dirangsang oleh permintaan besar untuk kereta elektrik dan jualan ke Russia. Pada tahun lalu, China mengatasi Jerman untuk muncul sebagai pengeksport kereta kedua terbesar di dunia.

Menurut Pentadbiran Am Kastam China, Beijing telah mengeksport 3.2 juta kenderaan pada 2022, manakala eksport Jerman mencecah 2.6 juta kereta untuk berada di tempat ketiga.

Jepun adalah peneraju dunia kenderaan pada 2022 apabila mengeksport sebanyak 3.2 juta kereta dalam tempoh 11 bulan pertama tahun tersebut, demikian menurut portal berita South China Morning Post.

Lima pengeksport utama kereta dunia pada tahun 2021 pula ialah Jerman, Jepun, Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Mexico.

Bagaimanapun, peralihan daripada bahan api fosil memacu kebangkitan industri permotoran China. Ini terbukti apabila eksport kenderaan tenaga baharu (NEV) termasuk kereta elektrik meningkat lebih 90 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Syarikat pengeluar kenderaan milik pemerintah China, SAIC Motor yang memiliki jenama MG dan BYD, adalah antara pengeksport utama NEV dari negara komunis itu.

Dalam pada itu, syarikat Tesla dari AS yang diasaskan oleh bilionair, Elon Musk mempunyai kilang pembuatan kenderaan elektrik terbesar di Shanghai. Tesla mengeksport kereta elektrik keluarannya ke serata wilayah dan negara termasuk Jepun dan Eropah.

Kilang Tesla di Shanghai itu mampu mengeluarkan sebanyak 1.25 juta kenderaan setahun, manakala syarikat tersebut merancang meningkatkan lagi kapasiti pengeluarannya.

Pada bulan lalu, Tesla mula membina kenderaan utiliti sukan, Model Y untuk dieksport ke Kanada.
Perkara itu berlaku selepas Barat melaksanakan sekatan perdagangan ke atas Moscow berikutan perang tersebut.

Pada tahun lalu, pembuat kereta China termasuk Geely, Chery dan Great Wall menyaksikan bahagian pasaran masing-masing di Russia melonjak selepas pesaing mereka termasuk Volkswagen serta Toyota menarik diri dari pasaran negara itu.

Ia berikutan sekatan Barat susulan pencerobohan Ukraine oleh Russia.

Menurut portal berita Nikkei Asia, China juga mengeksport hampir 30,000 trak yang boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan ke Russia pada tahun ini, hampir tujuh kali ganda lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.

China juga menyaksikan eksport kereta elektriknya ke Russia melonjak sejak permulaan perang Ukraine, Februari tahun lalu.

Selepas Russia, destinasi eksport utama China mengikut urutan ialah Mexico, Belgium dan Arab Saudi.

Syarikat Chery Automobile dibiayai oleh entiti yang dikaitkan dengan pentadbiran perbandaran di China. –

Sumber : AGENSI

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts