Jumaat, November 03, 2023

Empat jenis rawatan untuk jantung sihat

 


JANTUNG umpama enjin kepada tubuh dengan sebanyak 100,000 degupan dalam sehari bagi memastikan nutrisi dan oksigen dibekalkan ke seluruh badan.

Justeru, kesihatan jantung harus dijaga dengan baik agar badan dapat berfungsi pada kadar optimum.

Namun, penyakit injap jantung atau valvular heart disease (VHD) berlaku apabila injap jantung gagal berfungsi dengan baik.

Kegagalan ini boleh berlaku akibat kesempitan injap atau kebocoran injap.

Pada peringkat awal penyakit, kebanyakan pesakit tidak mengalami apa-apa simptom kecuali bunyi jantung tidak normal, hanya dikesan ketika pemeriksaan doktor dengan menggunakan stetoskop.

Manakala Aortic Stenosis (AS) ialah keadaan di mana injap aorta terletak di antara bilik besar kiri jantung dan salur darah utama menjadi sempit lalu tidak dapat buka sepenuhnya.

Situasi itu menyebabkan kekurangan isi padu darah dipam keluar dari ventrikel kiri. Akibatnya, kurang oksigen dapat dibekalkan kepada tubuh setiap kali jantung berdegup.

Menurut Pakar Perunding Perubatan Dalaman Dan Pakar Kardiologi Klinikal, UiTM Private Specialist Center (UPSC), Dr Huzairi Sani, pada peringkat awal, kebanyakan pesakit tidak mengalami apa-apa simptom dan boleh menjalankan aktiviti seharian seperti biasa.

Namun, katanya, apabila pembukaan injap menjadi lebih sempit dengan peredaran masa, pesakit mungkin akan mengalami tiga simptom utama iaitu sakit dada, sesak nafas dan pengsan.

Simptom kegagalan jantung

Beliau berkata, simptom sesak nafas berkait dengan kegagalan jantung, iaitu pesakit tidak dapat melakukan aktiviti seharian akibat rasa penat, selain simptom seperti kaki bengkak, susah bernafas ketika terlentang serta susah tidur malam.

 

"Risiko menghidapi Aortic Stenosis kebanyakannya membabitkan warga emas.

"Selain faktor usia, masalah struktur injap seperti bicuspid aortic valve, masalah buah pinggang, tekanan darah tinggi, paras kolesterol darah yang tinggi, kencing manis, sejarah jangkitan kuman pada injap serta rawatan radiasi pada bahagian dada turut menyumbang kepada Aortic Stenosis.

"Jika dibiarkan tanpa rawatan, penghidap Aortic Stenosis boleh mengalami komplikasi seperti kegagalan jantung, strok, degupan jantung tidak sekata, jangkitan kuman pada injap jantung dan kematian," katanya.

Kadar komplikasi bergantung kepada tahap keparahan simptom semasa diagnosis. Jika pesakit mengalami keparahan yang tinggi, iaitu ketiga-tiga simptom sakit dada, kegagalan jantung dan pengsan ialah positif; kadar kematian boleh mencecah 50 peratus pada tahun kedua.

Justeru, pemeriksaan susulan amat penting bagi memastikan rawatan penyakit.

 

4 jenis rawatan Aortic Stenosis

 

Justeru, Dr Huzairi berkata, ada empat jenis rawatan utama untuk Aortic Stenosis, iaitu ubat-ubatan, prosedur Transcatheter Aortic Valve Implantation (TAVI), penggantian injap secara pembedahan dan rawatan paliatif.

Ubat-ubatan

Bagaimanapun, kesan ubat-ubatan terhad kepada pengurangan simptom dan pengawalan risiko menyumbang kepada sakit itu. Jadi rawatan invasif sering diberikan kepada pesakit.

 

Keparahan Aortic Stenosis bergantung kepada tahap kesempitan injap aorta, iaitu lebih sempit injap lebih parah keadaan pesakit.

Kesempitan injap jantung boleh dinilai melalui pemeriksaan ultrasound dipanggil echocardiogram, dengan mengukur saiz pembukaan injap dan tekanan darah melalui injap itu.

Penemuan pada echocardiogram tidak semestinya berkadar terus dengan simptom dialami pesakit.

Penilaian rapi pakar jantung amat penting agar rawatan terbaik kepada pesakit.

TAVI adalah rawatan invasif tanpa pembedahan

Kaedah ini digunakan untuk mengganti injap aorta yang sempit dengan injap baharu. Ia menjadi pilihan rawatan terbaik bagi penghidap Aortic Stenosis di Malaysia sehingga kini.

Menerusi prosedur TAVI, injap prostetik dimasukkan melalui saluran darah bahagian peha dan penggantian injap dilakukan antara satu atau dua jam bawah bius setempat atau bius penuh.

Dengan saiz luka kecil, tahap kesakitan kurang dan kadar sembuh cepat, pesakit boleh pulang ke rumah sehari atau dua hari selepas prosedur.

 

Penggantian injap secara pembedahan

Ia pilihan rawatan invasif Aortic Stenosis wujud sebelum TAVI. Namun, risiko komplikasi lebih tinggi dan fasa pemulihan lebih lama.

Antara faktor lain turut diambil kira sebelum pesakit menjalani pembedahan ialah umur, berat badan, fungsi buah pinggang, status kekuatan jantung dan risiko strok.

 

Untuk mana-mana rawatan invasif sama ada TAVI atau pembedahan, perbincangan antara doktor, pesakit dan ahli keluarga amat penting untuk memastikan semua memahami antaranya risiko, kebaikan dan kekurangan prosedur, penjagaan pesakit pasca prosedur, dan keadaan dijangka berlaku semasa fasa pemulihan serta dilakukan holistik.

 

Rawatan paliatif

Fokus rawatan paliatif ialah untuk meringankan penderitaan simptom, memastikan keselesaan pesakit, mengawal tekanan emosi, sosial dan rohani pesakit serta keluarga.

Rancangan penjagaan terminal turut dibincangkan dengan mengambil kira kehendak, kebimbangan serta matlamat peribadi pesakit dan ahli keluarga.

 

Justeru, Dr Huzairi menegaskan Aortic Stenosis atau kesempitan injap aorta adalah penyakit serius yang mampu dipulihkan, selain lakukan pemeriksaan berkala agar dapat dirujuk kepada pakar jantung untuk rawatan lebih efektif bagi memastikan jantung sihat.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts