Memaparkan catatan dengan label agama islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label agama islam. Papar semua catatan

Sabtu, Januari 14, 2023

Hati-hati rakam gambar di Tanah Suci, bimbang makruh


Sejak kebelakangan ini, timbul isu dalam kalangan pengguna aplikasi TikTok berhubung tindakan segelintir pihak yang menjadikan ibadah umrah sebagai kandungan media sosial.
Situasi itu menjentik rasa kurang senang segelintir pengguna yang mempersoalkan adakah keberadaan mereka di Tanah Suci berpandukan niat sebenar untuk beribadah.
Pensyarah Fiqh Fatwa, Pusat Kajian Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar ­Ariff Mohd. Kashim ketika dihubungi menjelaskan secara terperinci tentang situasi itu.
Menurut beliau, meskipun ibadah melakukan umrah merupakan ibadah yang bersifat sunat, tetapi kita perlu memperbetulkan niat sewaktu pemergian ke Tanah Suci.
“Teknologi moden pada hari ini mewujudkan Kaabah ada di mana-mana. Maksudnya, kita boleh merakam gambar dan vi­deo di Tanah Suci kemudiannya berkongsi dalam media sosial.
“Hukumnya (perbuatan) harus sebab bagus dapat bagi orang yang tidak berkemampuan berpeluang melihat Kaabah dan kawasan di sana,” katanya.
Sebagai contoh, jemaah boleh merakam gambar atau video ketika di Tanah Suci atas sebab untuk memaklumkan dirinya melakukan umrah yang diwakilkan bagi seseorang yang sudah me­ninggal dunia.
Begitu juga jika seseorang itu menjadikan suasana ibadah umrah atau haji sebagai bahan promosi yang digunakan untuk agensi melibatkan pengurusan jemaah di Tanah Suci.
Bagaimanapun, jelas Izhar ­Ariff, hukum tersebut boleh bertukar menjadi makruh sekiranya seseorang itu ada perasaan ingin menunjuk-nunjuk.
“Cuma hukum tersebut boleh jadi makruh kalau ada perasaan nak buat umrah semata-mata untuk menunjukkan dia ada duit.
“Daripada makruh, boleh jadi hukumnya jatuh haram sekiranya melakukan ibadah umrah untuk riak dan takbur. Contoh­nya bangga ambil pakej mahal dan makanan makanan mewah sebab niat itu sudah tidak betul,” ujarnya.
Izhar ­Ariff memberitahu, tiada masalah sekiranya seseorang itu menggunakan media sosial seperti membuat siaran langsung (live) untuk membaca doa yang dikirim orang lain asalkan perkara tersebut membawa kebaikan.
Cuma harus diingatkan, tidak kira apa sekalipun, adab ketika mengerjakan umrah dan haji perlu dititikberatkan setiap masa.
“Guna kesempatan berada di Tanah Suci untuk fokus sepenuhnya dengan beribadat berbanding melakukan hal-hal duniawi seperti leka dengan telefon bimbit.
“Adab sangatlah penting dan harus dijaga sepanjang me­nunaikan umrah atau haji. Ini tidak, ada yang pergi ke sana tidak menjaga adab dalam pemakaian ­misalnya.
“Tidak kurang juga ada yang menghabiskan masa bermain te­lefon. Padahal kita harus manfaat masa dengan buat banyak ibadat seperti ziarah dan tawaf.
“Apabila buat sesuatu perkara yang bercanggah dengan agama atau melalaikan, itulah yang perlu kita elakkan kerana perbuatan tersebut sangatlah merugikan diri sendiri,” katanya.
Sumber : Kosmo!

Recent Posts