Memaparkan catatan dengan label harga kereta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label harga kereta. Papar semua catatan

Jumaat, Julai 01, 2022

Harga kereta kembali tanpa pengecualian SST

 


Harga semua kereta baharu kembali kepada asal selepas pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berakhir hari ini, dengan jangkaan kenaikan sehingga 10 peratus bagi model pemasangan tempatan (CKD) dan sekitar lima peratus bagi model import sepenuhnya (CBU).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd (PROTON), Roslan Abdullah, berkata pengeluar kereta nasional itu akan mengumumkan harga baharu untuk semua model.

Beliau berkata, susulan berakhirnya tempoh pengecualian SST itu juga, PROTON menjangkakan jumlah tempahan akan berkurangan mendadak pada bulan ini dan seterusnya.

"Setakat semalam (kelmarin), kami menyaksikan peningkatan sehingga 120 peratus tempahan di semua bilik pameran sejak pengumuman terbaru mengenai SST dibuat pada 20 Jun lalu oleh Kementerian Kewangan.

"Ia meningkat kepada sehingga purata 1,900 tempahan sehari dalam tempoh berkenaan berbanding 800 hingga 900 tempahan sebelum itu.

"Ini menunjukkan ramai orang berpusu-pusu mahu membeli kereta baharu sebelum tamat pengecualian cukai hari ini (semalam)," katanya.

Sementara itu, satu lagi pengeluar kereta yang dihubungi turut mengesahkan akan berlaku perubahan harga pada semua kereta yang dijual dengan pengumuman berhubungnya akan dibuat pada masa terdekat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 20 Jun lalu mengumumkan tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang kekal pada 30 Jun 2022, namun tempoh pendaftaran kenderaan bagi menikmati insentif pengecualian cukai itu dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.

Tengku Zafrul berkata, lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan itu adalah satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pascapandemik untuk memastikan kebajikan rakyat serta kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara.

"Berikutan permasalahan ini, sebanyak 264,000 unit kenderaan yang ditempah dalam tempoh pengecualian ini belum siap pemasangan dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli.

"Sehubungan itu, bagi membolehkan pembeli yang membuat tempahan kenderaan sehingga 30 Jun 2022 terus menikmati insentif pengecualian cukai jualan ini, sukacita dimaklumkan tempoh pendaftaran kenderaan itu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023," katanya Tengku Zafrul.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad sebelum ini berkata, keputusan kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran bagi menikmati insentif pengecualian cukai sehingga 31 Mac 2023 dapat memberi peluang kepada pembeli memiliki kenderaan pada harga jualan lebih rendah tanpa SST.

Katanya, persatuan itu menjangkakan tempoh kurang 10 hari sebelum berakhirnya insentif pengecualian SST pada akhir bulan bagi kereta penumpang menjadi hari paling sibuk di bilik pameran susulan ramai yang mahu memanfaatkan peluang membuat tempahan kenderaan.

"Kami menyambut baik keprihatinan kerajaan yang menilai semua permasalahan dihadapi pembeli dan pengeluar akibat isu kekurangan cip komputer yang menjejaskan pengeluaran serta bekalan," katanya kepada BH.

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM), Datuk Tony Khor Chong Boon, sekali lagi meminta kerajaan mempertimbangkan pelanjutan pengecualian cukai itu sehingga 31 Mac 2023.

Katanya, lanjutan penuh itu penting kerana banyak tempahan semasa yang tertunggak susulan isu gangguan rantaian bekalan global, di mana keadaan sedemikian dijangka berterusan sehingga akhir tahun ini.

"Anggaran semasa kami menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 80,000 tempahan jualan akan terjejas jika lanjutan tidak diberikan.

"Ini memberi kesan kepada keseluruhan industri secara keseluruhan kerana kenaikan harga akan mengakibatkan pembatalan jualan untuk kereta baru yang menyebabkan kesan rantai pada kereta terpakai.

"Statistik kami menunjukkan bahawa 67 peratus daripada jualan kereta baharu menghasilkan pertukaran kenderaan lama," katanya.

Sumber : Berita Harian

Recent Posts