Memaparkan catatan dengan label gaji penjawat awam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label gaji penjawat awam. Papar semua catatan

Khamis, Mei 02, 2024

Gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus - PM

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember depan.


-ADVERTISEMENT-

Perdana Menteri memaklumkan sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan Madani akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi daripada itu.

"Sejarah kenaikan paling tinggi sebelum ini adalah 13 peratus dan tahun ini, saya akan mengumumkan kenaikan lebih tinggi daripada 13 peratus.

"Maka, kita akan melaksanakan kenaikan (gaji penjawat awam) mulai 1 Disember tahun ini... sebab saya sudah berjanji," katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 bertema 'Pekerja Kesuma Bangsa' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Anwar berkata, pelarasan gaji penjawat awam itu akan membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion berikutan jumlah kenaikan yang besar dan terbaik dalam sejarah negara.

Beliau menjelaskan dengan pelarasan itu nanti, pendapatan minimum penjawat awam merangkumi gaji dan elaun tetap, perlu melebihi RM2,000 sebulan.

"Saya mengaku jumlah pendapatan menyeluruh paling minimum (untuk penjawat awam) yang diterima sebelum ini, iaitu RM1,765, adalah tidak munasabah. Saya setuju jumlah diterima sebelum ini tidak munasabah.

"Oleh itu pada tahun ini, melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), kita menggunakan kriteria dan ukuran baharu iaitu pendapatan menyeluruh termasuk gaji dan elaun tetap, mesti lebih RM2,000," katanya.

Anwar bagaimanapun menegaskan, mana-mana penjawat awam yang tidak mempamerkan prestasi baik, pemalas dan sering lewat datang kerja, tidak layak menerima kenaikan itu.

"Kalau rekod pekerjaannya tidak membanggakan, malas, sering lambat dan tidak memberi tumpuan yang baik, tidak layak diberi ganjaran seperti yang dijanjikan kerajaan.

"Ini tanggungjawab kita bersama, baik persatuan atau rakan di jabatan, untuk memastikan dua tiga orang yang lembap ini biar dia kekal di jawatan (sedia ada) selama-lamanya," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Sabah dan Sarawak bersetuju melakukan pindaan terhadap Ordinan Buruh Sabah (Ordinan Cap 67) dan Sarawak (Ordinan Bab 76) untuk diselaraskan dengan Akta Kerja 1955 yang terpakai di Semenanjung Malaysia.

Beliau memaklumkan, Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 dan RUU Ordinan Buruh Sarawak dijadual dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

"Jadi, akan nampak dari segi kepentingan pekerja... di Semenanjung, Sabah dan Sarawak (berada) dalam satu garisan yang sama.

"Ini termasuk umpamanya dari segi cuti bersalin, cuti paterniti, peruntukan aduan diskriminasi, perlindungan daripada gangguan seksual dan peruntukan mengenai aduan," katanya.

Sumber : Berita Harian


Rabu, November 08, 2023

Skim gaji baharu penjawat awam diumum sebelum akhir 2024


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata skim gaji baharu untuk penjawat awam akan diumum sebelum akhir tahun hadapan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata beberapa garis panduan akan disediakan sebelum akhir tahun ini atau suku pertama 2024 agar skim gaji baharu itu dapat diumumkan sebelum akhir tahun hadapan.

Beliau berkata sebelum ini tiada kajian menyeluruh mengenai skim gaji penjawat awam dilakukan namun kerajaan ketika ini sedang melaksanakannya melalui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

"Dasar kita selama ini ada kajian penyelarasan gaji setiap 10 tahun, ini nak mencecah masuk ke tahun ke-12.

"Sebelum ini tidak ada satu kajian menyeluruh tetapi sekarang saya dah umumkan (Kajian SSPA), kita akan lakukan," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) 2023 anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed dan Ketua Pengarah Mampu Datuk Rodzi Md Saad.

Perdana Menteri berkata kerajaan mengumumkan pemberian Bayaran Insentif Awal SSPA sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta bayaran insentif RM1,000 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen memandangkan kajian itu mengambil masa kerana melibatkan semua jabatan.

Beliau mengumumkan perkara itu semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu dan bayaran insentif terbabit akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata Kerajaan Perpaduan merencanakan dasar yang jelas tertumpu ke arah mengangkat martabat ekonomi serta kesejahteraan rakyat dan negara dalam usaha mengubah keadaan ekonomi Malaysia supaya ada anjakan.

Sumber : BERNAMA

Recent Posts