Memaparkan catatan dengan label e-invois. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label e-invois. Papar semua catatan

Isnin, Mac 27, 2023

LHDN perkenal e-invois ganti resit untuk pelepasan cukai

 


Kesulitan dihadapi pembayar cukai, termasuk syarikat dan individu untuk menyimpan invois dan resit sehingga tujuh tahun sebagai bukti untuk pelepasan cukai akan selesai akhir tahun ini.

Ia berikutan, bermula tahun depan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bercadang memperkenalkan inisiatif baharu dikenali e-invois bagi memudahkan pembayar cukai menyimpan dan mengawasi rekod kewangan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi, berkata e-invois akan membantu simpanan rekod kewangan pembayar cukai yang dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya mulai awal tahun depan.

Beliau berkata, inisiatif itu dirangka selepas LHDN mengambil kira kesukaran pembayar cukai menyimpan rekod kewangan masing-masing bagi tempoh tujuh tahun seperti ditetapkan ketika ini.

"Melalui inisiatif e-invois pembayar cukai tidak perlu lagi risau untuk mengemukakan resit ketika memohon pelepasan cukai.

"Inisiatif e-invois ini nanti insya-Allah boleh mengubah perkara ini (dokumen berkaitan pelepasan cukai hilang atau sudah lusuh akibat gagal disimpan dengan rapi).

"Pada dasarnya jika sudah dilaksanakan sepenuhnya, e-invois ini akan dapat membantu dari segi mengurangkan bebanan rekod simpanan dokumen pembayar cukai.

"Ini kerana, kebanyakan maklumat (berkaitan rekod kewangan pembayar cukai) sudah berada pada LHDN. Justeru, kita harap semua pihak dapat menyokong e-invois ini apabila dilaksanakan kelak," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Media Prima Berhad (MPB) di Sri Pentas.

Mohd Nizom berkata, ketika ini, pihaknya belum bercadang untuk meminda akta berkaitan (yang memperuntukkan dokumen mengenai kewangan pembayar cukai perlu disimpan selama tujuh tahun).

Mohd Nizom berkata, ketika ini pihaknya sedang menyediakan infrastruktur berkaitan untuk melaksanakan sistem e-invois yang akan disediakan percuma.

Mengikut Seksyen 82A Akta Cukai Pendapatan 1967, mana-mana individu yang perlu memberikan butiran pendapatan bagi tahun taksiran di bawah akta berkenaan, perlu menyimpan dan mengekalkan dengan selamat dokumen-dokumen yang mencukupi untuk tempoh tujuh tahun dari akhir tahun taksiran berkenaan bagi tujuan memastikan pendapatan yang boleh dikenakan cukai dan cukai yang perlu dibayar.

Dokumen bermaksud penyata pendapatan dan perbelanjaan, invois, baucar, resit dan dokumen-dokumen lain yang diperlukan untuk mengesahkan pulangan cukai.

Sebelum ini, kerajaan dilapor bercadang memperkenal e-invois yang akan menyokong penggunaan nombor pengenalan cukai (TIN) untuk diwajibkan bagi semua dokumen dan instrumen membabitkan rakyat berusia 18 tahun ke atas.

Inisiatif itu dilapor bakal memperluaskan kutipan cukai pendapatan selain memperkukuh perolehan hasil kepada negara.

Sumber : Berita Harian

Recent Posts