Memaparkan catatan dengan label covid-19. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label covid-19. Papar semua catatan

Isnin, Mac 22, 2021

Lima strategi putuskan rantaian jangkitan COVID-19

 

Pelaksanaan lima strategi utama dalam Pelan Strategik Kementerian Kesihatan (KKM) Menangani Pandemik COVID-19 Semasa Tempoh Darurat bakal meningkatkan tindakan pencegahan dan kawalan jangkitan wabak itu di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata langkah pencegahan dan kawalan kesihatan awam perlu terus dipertingkatkan dan dilaksanakan walaupun Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sudah dimulakan.

Beliau berkata, lima strategi utama itu adalah untuk memutuskan rantaian transmisi dengan menurunkan kes harian kepada kurang daripada 500 kes sehari dan mengurangkan kes sporadik; mengurangkan morbiditi dan mortaliti dengan mengela kes kematian dalam kalangan golongan berisiko tinggi dan memastikan semua perkhidmatan kesihatan berjalan dengan lancar.

Selain itu, memperkukuh diagnostik dan pemantauan COVID-19 dengan meningkatkan keupayaan untuk menjalankan aktivirti pencegahan dan kawalan COVID-19 mengikut ketetapan garis panduan; mencapai imuniti kelompok melalui pemberian vaksin kepada 70 peratus penduduk di Malaysia.

Strategi kelima ialah meningkatkan kesedaran orang awam dengan pembudayaan norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

"Sehubungan itu, KKM perlu mempertingkatkan aktiviti pengesanan kes dan kontak bagi mengelak penularan berterusan dalam komuniti dan seterusnya melandaikan keluk pandemik COVID-19 di Malaysia.

"Antara strategi dalam melandaikan keluk pandemik COVID-19 adalah dengan pengesanan dan pengasingan kes dalam tempoh ditetapkan bagi mengelakkan penularan jangkitan dalam komuniti," katanya pada sidang media perkembangan program berkenaan, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Dr Adham berkata, bagi meningkatkan aktiviti saringan dalam pengesanan kes, Kementerian Kesihatan (KKM) meningkatkan kapasiti makmal menjalankan ujian RT-PCR terhadap sampel harian dengan penyumberan luar makmal swasta selain makmal kesihatan awam, universiti, hospital kerajaan dan klinik kesihatan.

Beliau berkata, ujian saringan COVID-19 menggunakan RTK-Ag dilakukan di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta serta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) yang berdaftar atau berlesen bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

"Saringan COVID-19 terhadap kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) juga diperluaskan dengan menggunakan RTK-ag.

"Pengesanan jangkitan COVID-19 turut dijalankan di fasiliti kesihatan kerajaan terhadap kumpulan dan komuniti berisiko mendapat jangkitan yang bergejala COVID-19.

"Kumpulan ini termasuk petugas kesihatan, pesakit dengan penyakit kronik, pesakit dengan sistem imuniti rendah, warga emas berusia 60 tahun ke atas, rumah kebajikan warga emas dan lain-lain," katanya.

Dr Adham berkata, bagi mengelak penularan jangkitan kepada kontak rapat, semua kes yang disahkan perlu segera disiasat untuk memastikan kes diasingkan daripada ahli rumah atau rakan sekerja, sama ada dirawat di hospital atau pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) atau pengasingan di kediaman.

Pada masa sama, katanya, penilaian klinikal dan risiko dijalankan terhadap kluster yang membabitkan tempat kerja serta penginapan pekerja bagi menentukan kesesuaian tempat kuarantin.

"Ia bertujuan melaksanakan aktiviti pengawasan dan pemerhatian selama tempoh ditetapkan manakala pengambilan sampel, kuarantin dan pemberian arahan pengasingan dan pemerhatian di rumah (HSO) diuruskan mengikut pekeliling dan garis panduan yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, majikan juga diminta mematuhi SOP dikeluarkan KKM dan agensi berkaitan, termasuk menjalankan saringan gejala dan memastikan tiada pekerja yang positif COVID-19 hadir di tempat kerja.

Sumber : Berita Harian

 

 

Rabu, Mac 10, 2021

Pelancongan rentas negeri PKPP dibenarkan

 

Kerajaan mengumumkan Gelembung Pelancongan Bersasar yang membenarkan pelancong bergerak dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), merentas negeri PKPP lain.

Kebenaran pergerakan itu tertakluk kepada penggunaan perkhidmatan agensi pelancongan berdaftar, merangkumi khidmat pengangkutan dan penginapan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mesyuarat jawatankuasa teknikal meluluskan cadangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai Gelembung Pelancongan Bersasar, bagi membantu memulihkan kembali ekonomi pelancongan.

"Selepas mengambil kira penilaian risiko dan data daripada agensi-agensi berkaitan serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju membenarkan pergerakan pelancongan dari negeri PKPP ke negeri PKPP lain.

"Namun mereka perlu menggunakan perkhidmatan syarikat berdaftar dan pergerakan menggunakan kenderaan persendirian tidak dibenarkan," katanya dalam sidang media harian COVID-10 hari ini.

Ismail Sabri berkata, syarikat agensi pelancongan perlu mendapatkan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pergerakan rentas negeri.

"Perjalanan mestilah terus ke negeri PKPP dan tidak dibenarkan berhenti di mana-mana negeri Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala tempat penginapan sudah ditetapkan dan aktiviti pelancongan juga perlu ditetapkan lebih awal," katanya.

Ismail Sabri berkata, Gelembung Pelancongan Bersasar juga memberikan kebenaran melancong ke Pulau Langkawi yang ditukarkan status kepada PKPP meskipun negeri Kedah masih dilaksanakan PKPB.

Katanya, pulau berkenaan dalam zon hijau, selepas kes positif COVID-19 terakhir yang dikesan pada 20 Februari lalu dengan dua kes positif.

Sumber : Berita Harian

 

Khamis, Februari 25, 2021

Vaksin COVID-19 halang penyakit, tetapi adakah ia hentikan jangkitan?

 


Seperti laporan minggu ini dari Scotland dan Israel - di mana ramai atau sebahagian besar penduduk dijangkiti COVID-19 - mengesahkan bahawa vaksin sebahagian besarnya mencegah orang ramai daripada jatuh sakit.

Namun, satu lagi persoalan muncul: Adakah ia juga menyekat jangkitan?

Pakar berkata, vaksin yang dilancarkan di seluruh dunia tidak hanya mencegah gejala tetapi juga virus itu sendiri, justeru ia dapat melambatkan penyebaran patogen dan mempercepat keadaan kembali normal.

"Sekiranya kesan sebenar terhadap jangkitan sangat tinggi, itu akan menjadi berita baik kerana itulah yang kita perlukan untuk mencapai imuniti kelompok," kata Marc Lipsitch, pengarah Pusat Dinamik Penyakit Berjangkit di Harvard T.H. Chan School of Public Health, memberitahu AFP.

Imuniti kelompok dicapai apabila sebahagian besar populasi - anggarannya sekitar antara 60 hingga 80 peratus - telah memperoleh pertahanan terhadap virus, sama ada melalui vaksinasi atau kerana mereka terselamat daripada jangkitan.

Namun, jika vaksin Pfizer, Moderna dan AstraZeneca - dan mungkin vaksin lain yang dibuat di China, Russia dan India - melindungi dengan lemah daripada jangkitan, mungkin mereka yang telah disuntik vaksin sekalipun tetap berpotensi menyebarkan virus, bukan pembawa yang tidak disengaja.

"Kebimbangan besar selain vaksin mencegah penyakit, kemasukan ke hospital dan kematian ialah ia tidak cukup untuk membantu mencegah penularan," kata Peter English, perunding kawalan penyakit berjangkit dan bekas ketua Jawatankuasa Perubatan Kesihatan Awam Persatuan Perubatan Britain yang berpusat di United Kingdom (UK), kepada AFP.

Dalam senario itu, masyarakat dan negara mungkin sudah mulai mengabaikan pemakaian pelitup muka secara meluas, penjarakan fizikal dan perintah sekatan keras sehingga kempen vaksinasi dapat disudahkan.

"Terdapat juga risiko yang lebih besar bahawa varian baharu 'kebal' terhadap vaksin dan virus terus beredar," kata English.

Beberapa varian seperti itu - lebih menular, lebih berbahaya atau kedua-duanya - telah berkembang biak di England, Afrika Selatan dan Brazil kerana virus SARS-CoV-2 mencari 'perumah' baru, fasa yang dapat diramalkan dalam evolusi pandemik.

Namun, kajian baru-baru ini bersama dengan vaksin yang masih diuji memberikan alasan untuk optimis.

Penyelidikan yang merangkumi keseluruhan penduduk Scotland berjumlah 5.4 juta - satu perlima disuntik dengan vaksin Pfizer atau Oxford/AstraZeneca - memberikan pengesahan bahawa vaksin mencegah simptom dan penyakit COVID-19 lebih dari 90 peratus.

Satu kajian yang diterbitkan di New England Journal of Medicine semalam - membandingkan dua kumpulan di Israel masing-masing setiap satu hampir 600,000 orang, satu diberi vaksin dan satu lagi tidak - juga melaporkan penurunan penyakit selaras dengan ujian klinikal.

Penemuan Israel juga menunjukkan jangkitan menurun secara mendadak dalam kalangan yang diberi vaksin - sebanyak 92 peratus di antara mereka dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu selepas mendapat suntikan dos kedua.

Menurut English, tahap perlindungan sebenarnya mungkin tidak begitu tinggi kerana Israel tidak menguji COVID-19 secara sistematik dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai gejala.

"Mereka mungkin gagal mengesan beberapa kes asimtomatik (tidak bergejala), dan kita tahu bahawa orang tanpa gejala masih boleh menyebarkan jangkitan.

"Namun, hasilnya masih memberangsangkan. Penemuan ini memberi kita harapan bahawa vaksinasi sekurang-kurangnya dapat menghalang virus daripada terus menyebar," katanya menjelaskan bahawa jika ia benar-benar berjaya, akhirnya kita tidak lagi perlu mengambil tindakan seperti perintah sekatan atau pemakaian pelitup muka untuk membendung penularan.

"Tetapi walaupun terdapat beratus-ratus kajian, serta ujian klinikal ketat membabitkan puluhan ribu orang dan menghasilkan puluhan vaksin yang berjaya, kita masih belum tahu seberapa bagus ia menyekat jangkitan?

"Apa yang paling dipentingkan oleh masyarakat global, pertanyaan yang mereka inginkan dijawab dengan cepat, adalah seberapa bagus vaksin mencegah penyakit," katanya, sambil memberitahu ujian klinikal dirancang dengan mempertimbangkan hal itu. 

Sumber : AFP

 

Rabu, Februari 24, 2021

Muhyiddin terima suntikan pertama vaksin COVID-19

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sebentar tadi, menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech, sekali gus menjadi rakyat pertama negara ini yang berbuat demikian.

Penerimaan suntikan pertama bagi Malaysia itu disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform media termasuk di media sosial, bagi membolehkan rakyat mendapat gambaran sebenar dan menyeluruh Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula secara rasmi hari ini.

Perdana Menteri menerima suntikan itu di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya di Presint 11, Putrajaya, selepas menyempurnakan Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, dengan fasa pertamanya bermula hari ini hingga April.

Terdahulu, Muhyiddin tiba di PKD Putrajaya pada kira-kira jam 2.25 petang dan membuat imbasan kod MySejahtera, yang akan menjadi aplikasi bagi satu daripada kaedah pendaftaran penerimaan vaksin COVID-19 selepas ini.

Beliau kemudian membuat pendaftaran diri dengan petugas kesihatan bagi tujuan penerimaan vaksin sebelum dibawa ke auditorium bagi mendapatkan penerangan ringkas berkenaan vaksinasi.

Muhyiddin kemudian menandatangani borang persetujuan sebagai dokumen pengisytiharaan diri dan kebenaran individu untuk divaksin.

Sebaik menerima suntikan, Muhyiddin dibawa ke ruangan khas, bagi menunggu selama kira-kira 15 hingga 30 minit untuk memantau sekiranya berlaku reaksi susulan seperti alahan atau simptom lain.

Kemudian, Muhyiddin diiringi Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, dibawa untuk mengambil temujanji untuk pengambilan dos kedua.

Turut menerima vaksin sama hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah diikuti anggota barisan lain iaitu kumpulan juru suntik yang akan terbabit dalam program imunisasi selepas ini.

Sumber : Berita Harian

 

 

Recent Posts