Memaparkan catatan dengan label amuk. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label amuk. Papar semua catatan

Jumaat, Ogos 13, 2021

TUDM dedah identiti anggota yang maut tembakan amuk

 

Semua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam kejadian amuk di Balai Pengawal, Skuadron 330, di Kota Samarahan, pagi semalam, berasal dari Sarawak dan sudah berkahwin.

Anggota terbabit adalah Koperal Udara Mohammad Ehsan Sehamat berasal dari Asajaya Laut, Samarahan; Laskar Udara Kanan Nesly Nabau berasal dari Sibu dan Koperal Udara Ho Swee Boon berasal dari Lundu, yang meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi anggota, Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, yang berasal dari Siniawan, Bau, meninggal dunia di Hospital Jantung Kota Samarahan, ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah di perut.

Markas TUDM dalam kenyataannya menyebut waris semua anggota berkenaan sudah dimaklumkan mengenai kematian mereka melalui pihak pengurusan TUDM di Pangkalan Udara Kuching.

Katanya, TUDM sedang membuat persediaan untuk urusan berkaitan pengebumian jenazah semua mangsa.

"Siasatan kes dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kami meminta semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai, selain menghormati sensitiviti waris anggota terbabit," katanya.

Jurucakap Markas TUDM juga mengesahkan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, meninjau lokasi kejadian itu, petang semalam.

Beliau sebelum itu dilihat tiba di kem berkenaan pada jam 3.30 petang tadi dan keluar pada jam 5 petang, tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan kepada wakil media.

"Beliau bertemu dengan waris mangsa di Pergerakan Udara Pangkalan Udara Kuching dan menzahirkan ucapan takziah kepada balu serta keluarga semua anggota terbabit.

"Beliau turut menyampaikan sumbangan daripada Tabung Kebajikan TUDM dan

sumbangan bantuan kebajikan kepada waris terbabit dan berharap semoga keluarga reda serta bersabar dengan ujian yang menimpa," katanya.

 Kejadian tembakan

"Nak hidup atau mati!," itu kata terakhir anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menembak mati tiga rakan setugasnya di Skuadron 330 TUDM, di sini, pagi tadi.

Sumber berkata, dalam kejadian pada jam 7.15 pagi itu, suspek berpangkat Koperal datang ke balai pengawal kem berkenaan dengan menaiki motosikal.

Ketika itu, lima anggota iaitu tiga berpangkat Koperal dan dua Laskar Udara berada di balai pengawal berkenaan.

Menurutnya, suspek kemudiannya meluru ke dalam balai pengawal dan terus mencapai sepucuk senjata jenis Colt M4 Carbine lalu mencekahnya.

"Salah seorang anggota sempat menegurnya namun suspek bertanya, nak hidup atau mati," katanya.

Melihat tindakan suspek yang mengejutkan itu, salah seorang anggota berpangkat Koperal cuba menenangkannya, namun suspek terus melepaskan tembakan ke arah perut mangsa.

Anggota lain yang menyaksikan kejadian itu cuba menyelamatkan diri, namun suspek terus melepaskan tembakan yang terkena dua lagi mangsa.

Dua mangsa yang masing-masing cedera di bahagian belakang dan dada meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi yang cedera di perut disahkan meninggal dunia di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan, manakala suspek pula meninggal dunia selepas menembak dirinya sendiri.

Mayat semua anggota terbabit dihantar ke Unit Forensik, Hospital Umum Sarawak di Kuching, untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, suspek yang sebelum ini pernah bertugas di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang, tidak menghadapi masalah pergaulan dengan rakan setugas.

Dia yang berasal dari Lundu dikatakan sedang menjalani kuarantin COVID-19.

Sumber : Berita Harian

 

 

Recent Posts