Memaparkan catatan dengan label UMNO. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label UMNO. Papar semua catatan

Jumaat, Disember 02, 2011

Teks Ucapan Presiden UMNO pada Pembukaan Perhimpunan Agung UMNO 2011

TEKS UCAPAN PENUH PRESIDEN UMNO PADA PEMBUKAAN PERHIMPUNAN AGUNG 2011

MUKADDIMAH

Saudara dan Saudari sekalian,

Alhamdulillah, dizahirkan sejuta kalimah syukur ke hadrat Allah SWT, Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani yang telah memberi izin dan inayah-Nya supaya kita dapat sekali lagi berkumpul dalam dewan penuh bermakna ini. Ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW yang senantiasa dipersadakan kepimpinannya.

Berbekal rasa tawadhu' dan kerendahan hati, Perhimpunan Agung Umno kali ini ditandai masuknya Tahun Baru Hijrah 1433. Ini bererti, hampir 1380 tahun wafatnya Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW pada 11 Hijrah bersamaan tahun 632 Masihi.

Baginda telah kembali ke pangkuan Ilahi. Pergi selamanya meninggalkan kita dengan dua pegangan utama yakni Al-Quran dan Sunnah sebagai suluh sepanjang zaman agar tidak tersasar dalam perjalanan hidup di dunia ini.

Menyisir sirah Nabawi, dengan beriktibar daripada rentetannya, Rasul yang agung itu, telah mewariskan kepada tamadun kemanusiaan suatu riwayat kepimpinan penuh berteladan.

Baginda telah didokong dan didamping, penuh kemuliaan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Khalifah Pertama selaku teman setia yang arif berpengalaman, Saidina Umar Al-Khattab, Khalifah Kedua, Al-Faruq yang menjadi perlambangan ketegasan prinsip beragama.

Seterusnya, Saidina Uthman Al-Affan, Khalifah Ketiga, hartawan amanah dengan kewarakan dan keperibadian tiada tolok bandingnya, manakala Saidina Ali, Khalifah Keempat, simbol ketokohan golongan muda yang sanggup berkorban apa saja. Dimuliakan wajahnya serta turut digelar sebagai Singa Allah sepertimana Saidina Hamzah.

Sayugialah, para cendekiawan dan para pengkaji menyifatkan tali temali perjuangan suci Baginda dalam menegakkan syiar Islam, sebagai penuh berstrategi.

Semuanya dipintal dan diikat oleh sifat-sifat mahmudah yang terpuji seperti cinta dan kasih kepada perjuangan, ketaatan, kesetiaan, pengorbanan, keikhlasan, kejujuran, amanah, kuat kerja, tidak putus asa, tabah dan pastinya bertawakal kepada Allah.

Saudara dan Saudari,

Menjejaki laluan tersebut, kita mahu terus mencontohi dan mengambil pengajarannya, bagi memperelok dan memperbaiki perjuangan Umno, yang selama ini turut dipersaksikan oleh perjalanan suka duka, pahit dan manis, selaku sebuah parti penuh berjasa.

Tahun ini, Umno menyambut kelahirannya yang ke-65. Hampir tujuh dekad berjuang sebagai organisasi politik yang menyejarah, mendaging dan mendarah dalam ikhtiar memartabatkan maruah serta mengangkat tinggi kedudukan orang-orang Melayu.

Sungguh jauh kita berjalan. Sungguh banyak hitungan masa. Walau dihadap segenap cabaran, walau dilempar segala fitnah, walau diterjah sedemikian banyak taktik jahat lagi kotor, digodam dan dihentam oleh pihak lawan, terbukti kita tidak pernah pudar semangat, tidak akan mengalah, dan, tidak akan mungkin padam cita-cita.

Bahkan, derap demi derap, terus menyusun strategi, mengatur langkah demi langkah, mara ke hadapan, menjulang panji-panji bangsa, agama dan Negara.

Saudara dan Saudari,

Bersesekali dengan itu jua, saya pohon, marilah kita sama-sama bangun dan berdiri..., bangkit, untuk beri satu penghormatan kepada para pendahulu, kesatria-kesatria Umno, warga parti yang tidak didendang serta barisan negarawan unggul lagi terbilang yang dilahirkan oleh perjuangan mulia ini.

Marilah..., marilah, kita angkat tinggi penghargaan kepada semuanya. Bermula dengan gemulah tokoh-tokoh tersanjung yang telah pulang menyahut panggilan Ilahi seperti Allahyarham Datuk Onn, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Razak, Allahyarham Tun Hussein, Allahyarham Tun Dr Ismail dan Allahyarham Tun Ghaffar Baba.

Begitulah juga tokoh-tokoh yang masih teguh berbakti hingga ke detik ini.

Saudara dan Saudari,

Khususnya, kalungkanlah penghormatan kita kepada parti bertuah ini, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yakni Umno yang telah memungkinkan sebuah negara merdeka terbina gagah, ilmu pengetahuan digembur dan disebar luas pada anak-anak, belantara dipugar, sawah ladang diusahakan, hingga laba yang lumayan melimpah-limpah ke kaki halaman.

Sememangnya termaktub, ceritera kejayaan Malaysia adalah cerita kejayaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, yakni Umno, bersama dengan rakan-rakannya. Parti Perikatan, yang kemudiannya bergelar Barisan Nasional, adalah satu jelmaan dan terjemahan hasil pakatan ikhlas kaum Melayu/Bumiputera beserta kaum-kaum lain di Malaysia.

Berkat pengurusan negara yang begitu cekap, terutamanya di lapangan ekonomi, wajah Malaysia telah berubah daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah, diawali dengan lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, di mana, kurang daripada empat peratus penduduknya berada bawah paras kemiskinan relatif manakala kemiskinan tegar pula hampir berjaya dibasmi.

Jika dihalusi, susur galur kejayaan ini, mempunyai bibit-bibitnya dalam prakarsa, perancangan rapi, penggubalan dasar dan pelaksanaan oleh kerajaan yang diterajui Umno. Dalam kata lain, ia tidak terjadi secara sendiri mahupun dalam vakum atau kelompongan.

Lantas, usahlah kita berasa bimbang dan ragu. Malaysia, nyatanya, bukanlah sebuah kisah ditulis parti pemerintah yang gagal. Ia dinukil oleh sebuah parti yang berhak untuk berbesar hati, bahawa, mandat dan kepercayaan diberikan oleh rakyat Malaysia, telah digunakan sebaik-baiknya, demi kebajikan dan kegemilangan pertiwi.

Menghayati ehwal demikian, secara sedar atau tidak, bukan semua parti politik jika membentuk kerajaan akan menghasilkan kejayaan yang sama seperti kita. Lihat saja kepada sejumlah besar negara di dunia, waima, mempunyai pelbagai potensi termasuk sumber asli yang kaya, namun dek sebab kerajaan tidak berkebolehan, sia-sialah segala faktor dimiliki, malah akhirnya mereka menjadi negara yang gagal.

Saudara dan Saudari,

Pada perhimpunan tahun lepas, saya telah bercakap dan membicarakan dari sudut falsafah dan asal usulnya, siapakah itu Melayu. Kita dah dengar bahawa antara terhitung dalam kelompok Melayu adalah Bugis, Minang, Arab, Muallaf, serta berpuluh suku kaum di Sabah dan Sarawak.

Hatta Mamak dan Malbari pun dah serap jadi Melayu. Celah-celah itu, ketiga-tiga Naib Presiden kita tampaknya terdiri daripada Jawa, Turki dan Bajau Laut atau lanun. Saya kata takpalah, yang penting semua kira Melayu.

Jadinya, pada perhimpunan kali ini, setelah saya belek-belek dan saya kaji-kaji pengalaman secara aktif selama 35 tahun dalam parti, bersempena pula Umno sudah menjangkau satu umur yang sangat dewasa, berpengalaman dan matang yakni 65 tahun, elok rasanya kalau dikupas pula siapakah dan apakah ertinya menjadi orang Umno. Maksud saya, bilamana memperkatakan tentang parti, kita semua, sebenarnya, tidak cukup sekadar didefinisikan sebagai ahli Umno.

Sebaliknya, kita perlu menjadi orang Umno. Makna kata, orang Umno yang tergambar dan terpamer perwatakannya melalui tindak tanduk serta sistem nilai yang dipegang.

TAAT DAN SETIA

Pertama sekali, orang Umno itu adalah, orang yang taat dan setia kepada parti. Orang Umno tidak akan sekali-sekali mengkhianati parti. Kita faham, adalah lumrah dalam sesebuah parti, mesti timbul perbezaan pendapat. Apa yang penting, kelainan pandangan itu, seharusnya membawa rahmat dan bukannya mengundang mudarat.

Dalam berijtihad pula, orang Umno harus mencipta kebaikan untuk parti. Mengambil mufaham pengertian setia dan taat melalui syura dan musyawarah seperti difirmankan dengan indahnya pada helaian Surah An-Nisa', apabila sesuatu keputusan telah dibuat, jika tidak menyalahi syariat, maka wajiblah ditaati.

Contohnya, kita mahu pengikut seperti Khalid al-Walid yang taat mengundur diri sebagai Panglima perang apabila diarahkan oleh Khalifah dan hanya ikut serta sebagai soldadu biasa. Sekalipun sedang berada dikemuncak karier, menurut sejarahnya tidak pernah kalah perang.

Seterusnya, Usamah bin Zaid, seorang anak muda belasan tahun yang setia menurut arahan mengepalai pasukan tentera Islam walaupun bukanlah seorang panglima yang berpengalaman di medan perang.

Inilah dia, watak, dan keperibadian pejuang sejati yang kita inginkan dalam susuk diri orang-orang Umno.

Bercakap tentang taat setia juga, kita tak mau, bila depan kita disuruh angguk, dia angguk, disuruh geleng, dia geleng. Tapi di belakang lain pulak halnya.

Jangan tikam dari belakang dan jangan pulak main belakang. Bak kata pepatah, janganlah telunjuk saja lurus tetapi kelingking berkait.

Saudara dan Saudari,

CINTA DAN KASIH

Adapun nilai kedua orang Umno itu adalah, orang yang cinta dan kasih kepada perjuangan parti. Seperti dimadah oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, dalam lagunya; itulah kasih mesra, sejati dan mulia.

Dalam hal ini, apabila ada rasa cinta dan kasih kepada parti, orang Umno itu juga adalah, orang yang tidak takut dan tidak gentar menyuarakan pendapat serta mendengar pula pendapat orang lain demi kebaikan parti.

Ajaran agama dan pujangga melorongkan pedoman, perkatakanlah yang benar kerana kebenaran itu isi dan makanannya sejarah, tidak akan patah dipukul zaman.

Bersesuaian dengan nilai kesetiaan, bila kuat hawa kasihnya kepada parti, orang Umno wajib membela dan mempertahankan parti, selagi hayat dikandung badan.

Seperkara utama lagi adalah, cerdik pandai berfatwa, tak kenal maka tak cinta. Lantaran, untuk mencintai parti, orang Umno wajar kenal sejarah parti, samada yang tersurat, mahupun yang tersirat. Begitulah, seharusnya menjiwai prinsip serta falsafah perjuangannya.

Pendek kata, orang Umno harus melihat parti sebagai satu-satunya wadah yang mampu membela untung nasib orang Melayu. Dalam berusaha pula, sebagai tanda kasih, orang Umno sewajibnya bersemangat dan tidak sesekali mengecewakan parti yang dicintai.

Meluncur topik cinta dalam berorganisasi, orang Umno wajib ada cinta yang satu sahaja kepada parti, tidak boleh cinta poligami, tidak boleh cinta berbelah bagi atau kata orang Indonesia berbagi cinta…tak mungkin Pak...enggak bisa Pak.

Saudara dan Saudari,

BERKHIDMAT TANPA JEMU DAN BERKORBAN

Orang Umno itu adalah orang yang sanggup berkhidmat tanpa jemu dan sanggup berkorban. Pengorbanan adalah satu sifat yang harus bersebati dalam diri orang Umno. Bersandarkan prinsip persalingan, orang Umno harus menunjukkan keikhlasan berkhidmat kepada rakyat. Beringatlah bahawa, rakyat sedang memerhati kita. Kata orang, rakyat itu sentiasa merasa, mendengar dan mengadili, biar betapapun senyap suara mereka, biar betapapun jua diam gerak geri mereka.

Disudut lain, sambil menghadam peradaban Melayu, orang Umno perlu bermuhasabah ke dalam diri masing-masing. Masih wujudkah semangat Tun Tuah di sanubari? Masih bergemakah kekentalan jiwa Tun Fatimah? Mahu tidak mahu, orang Umno harus berusaha tanpa jemu. Biar berdepan apa pun cabaran, pastikan Umno menang, biar dilintang apapun dugaan, orang Umno mesti terus berdamping dengan rakyat.

Sedarlah kita bahawa, dalam sistem demokrasi, tidak ada tempat kedua. Kita wajib jadi juara.

Kesimpulannya, kemuncak pengorbanan adalah menjunjung kepentingan dan maruah parti, bukannya kepentingan dan maruah peribadi.

Saudara dan Saudari,

1946

Terpanggu atas segalanya, kejayaan terbesar Umno adalah menyatupadukan orang-orang Melayu melalui penubuhannya pada 11 Mei 1946. Lantaran itu, perlu ditegaskan bahawa, kejayaan ini bukannya kecil, jauh sekali daripada bersifat enteng kerana bangsa Melayu sebelum Perang Dunia Kedua, masih belum endah politik, disamping terbelenggu semangat kenegerian.

Jangan dilupa juga, termusta'id dalam lembaran sejarah bahawa, Umnolah yang telah berjaya menguburkan penubuhan Malayan Union dan menggantikannya dengan sistem Persekutuan Tanah Melayu.

Sekaligus, ditanda dengan episod itu, Umno telah berbakti menyelamatkan kedudukan Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu dan kesucian agama Islam.

Saudara dan Saudari

1951

Kemudiannya, satu episod getir telah dilalui oleh Umno apabila Datuk Onn Jaafar seorang tokoh bangsa, selaku Presiden Pengasas, meletakkan jawatan, sebagai Yang DiPertua dan keluar dari parti.

Pada masa tersebut, banyak pihak telah menitipkan belasungkawa dan membacakan talqin terhadap Umno kerana hilangnya kepimpinan. Sekalipun begitu, pemilihan parti telah menyaksikan Tunku Abdul Rahman mengambil tempat sebagai Yang DiPertua dengan Tun Razak sebagai Timbalannya yang setia.

Ternyata, telahan kelam oleh pelbagai pihak bahawa, Umno akan karam, amat meleset, malah, penggantian kepimpinan ini telah merancakkan lagi usaha bagi mendapat kemerdekaan negara. Serentak dengan itu, slogan "Hidup Melayu" telah diubah kepada "Merdeka".

Kendatipun para ahli tidak menerima cadangan Datuk Onn untuk membuka pintu Umno kepada orang-orang bukan Melayu, kepimpinan parti waktu itu, memahami realiti yang ada dan berfikir panjang, malah berilham jauh ke hadapan dengan mencipta prinsip atau konsep perkongsian kuasa unik, melalui Parti Perikatan dengan menggabungkan Umno, MCA dan MIC.

Yang termustahak adalah, taat setia semua kaum kepada Persekutuan Tanah Melayu. Saudara dan Saudari,

1955

Menyentuh usaha tersebut, iltizam Umno bagi menjayakan prinsip yang dipelopori jelas terpamer sejak dari awal lagi. Sebagai contoh, dalam pilihanraya tahun 1955, untuk memilih 51 daripada 52 ahli Majlis Perundangan Persekutuan, prinsip perkongsian kuasa telah dipraktikkan Umno apabila kita meletakkan calon di hanya 35 kawasan, berbanding MCA, 15, dan MIC, 2.

Walhal, daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, 50 adalah kawasan majoriti Melayu, dan hanya 2, kawasan majoriti Cina.Perlu diketahui juga, pecahan pengundi semasa pilihan raya tersebut, mencatatkan majoriti kira-kira 84 peratus atau lebih 1 juta pengundi Melayu. 11 peratus atau seramai 143 ribu pula, adalah pengundi Cina, manakala 50 ribu, atau, hampir 4 peratus sahaja, di kalangan pengundi India.

Hakikat tersebut nyatanya, tidak menghalang semua calon parti MCA dan parti MIC untuk menang. Bagi pemimpin dan orang-orang Umno, demi mencapai perpaduan antara parti-parti komponen Perikatan, mereka harus menunjukkan keikhlasan berkongsi kuasa.

Keikhlasan ini dimanifestasikan dalam bentuk kerelaan memberi kerusi majoriti Melayu kepada parti-parti komponen untuk ditandingi.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, ia diikuti pula dengan kesanggupan orang-orang Umno untuk mengundi calon bukan daripada bangsa mereka sendiri, demi matlamat lebih besar, yakni memenangi pilihanraya, kemudiannya, membentuk kerajaan, seterusnya mencapai kemerdekaan.

Terbukti, sejak dari dulu lagi, Umno bukanlah sebuah pertubuhan rasis. Umno sebenar dan sebetulnya adalah pencetus serta perintis kepada semangat tolak ansur antara kaum, yang akhirnya, telah mencipta kestabilan sosial, membawa kepada kemakmuran nasional.

Saudara dan Saudari sekalian,

1957

Umno juga melalui Parti Perikatan telah mengemudi pelayaran bahtera merdeka, tanpa pertumpahan darah, mahupun revolusi. Ia dimeterai atas meja rundingan. Syukur, tiada kemusnahan, sekalipun terhadap sumber kekayaan negara, samada dalam bentuk ladang mahupun lombong.

Ini, membolehkan kerajaan yang baru merdeka, membina sebuah watan aman berjaya, di atas asas-asas pemerintahan sedia ada.

Setepatnya, kisah kejayaan kita bermula sebelum negara mencapai kemerdekaan, 54 tahun yang lalu. Ia bertitik tolak apabila Kerajaan Perikatan dengan kuasa terhad, di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dibentuk pada tahun 1955.

Sebaik sahaja mencapai taraf berkerajaan sendiri, Perikatan mula mengorak langkah, bagi membaiki nasib rakyat, dengan penggubalan Rancangan Malaya Pertama, antara tahun 1956 hingga 1960. Dalam ketika itu, pada 1956, Felda ditubuhkan, disusuli pula langkah-langkah lebih konkrit pasca merdeka.

Penubuhan Felda menjadi satu langkah yang amat mendahului waktunya. Ia telah memberi peluang kepada mereka yang tidak bertanah, ia telah membawa sinar kepada mereka yang tidak mempunyai harapan, dan ia telah menawarkan permulaan baru untuk warga Malaysia keluar daripada kemelut kemiskinan.

Segala tahmid ke hadrat Yang Esa, hari ini terdapat lebih 100 ribu peneroka di seluruh negara yang telah menikmati hasil rancangan penuh berwawasan ini, bersama-sama ratusan ribu generasi kedua.

Saudara dan Saudari,

Berbalik kepada salasilah, apabila negara memperoleh kemerdekaan, maka cabaran pertama dihadapi Umno dan Parti Perikatan ialah, bagaimana hendak menangani pengaruh dan ancaman Parti Komunis Malaya serta menamatkan darurat yang telah diisytiharkan pada tahun 1948.

Alhamdulillah, matlamat ini telah berjaya dicapai, kurang daripada tempoh tiga tahun selepas 1957.

Kejayaan yang dicapai bukanlah sedikit, sebaliknya ia begitu signifikan dan tersergam kepada negara. Kita harus melihat kejayaan ini dari perspektif apa yang berlaku dirantau ini.

Kalau diamati, walau ada penglibatan kuasa besar dunia dengan kekuatan militer tanpa tolok banding, masih tidak mampu menghalang pengaruh komunisme. Sebaliknya, sebuah kerajaan baru merdeka, dengan sokongan padu rakyat, berjaya menyanggah teori domino.

Oleh yang demikian, Umno mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu yang cuba menulis dan meriwayat semula sejarah, dengan memperlekehkan sumbangan para pahlawan negara. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mengenang budi, kerajaan Barisan Nasional tidak akan sekali-kali membiarkan wirawan serta wirawati kita, tanpa pembelaan sewajarnya.

Sesungguhnya, jasa dan bakti mereka akan terus malar serta segar dalam sanubari dan ingatan setiap rakyat Malaysia. Selepas memenangi keamanan, telah diisytiharkan pula perang terhadap kemiskinan dan kemunduran.

Seperti disebut tadi, ini wajar dilakukan kerana, seawal merdeka, lebih 89 peratus rakyat Malaya hidup di kawasan luar bandar dan pedalaman, dengan kadar buta huruf yang tinggi, akses kepada pendidikan yang rendah, ditambah pula kemudahan asas yang terkebelakang.

Lucunya, kita kini mendengar pihak-pihak tertentu tanpa segan silu menguar-uarkan konsep negara berkebajikan. Kita ucapkan syabas dan tahniah kepada mereka, kerana, baru sedar terhadap konsep negara kebajikan ini. Sesungguhnya, mereka sudah 60 tahun terlewat.

Soalnya, kenapakah kini, baru prihatin terhadap kebajikan rakyat? Kita ingin bertanya, sebelum ini apa matlamat perjuangan mereka? Adakah matlamatnya semata-mata untuk memecahbelahkan ukhuwah umat? Hakikatnya, dengan segala inisiatif dan perlaksanaan demi rakyat, kerajaan Barisan Nasional sudah sejak melebihi enam dekad, mengamalkan konsep negara berkebajikan.

Saudara dan Saudari,

1969

Apabila tragedi hitam rusuhan kaum 1969 terjadi, prognosis pemerhati antarabangsa terhadap Malaysia amat buruk. Mereka meramalkan kita akan gagal manakala rakyat seolah-olah telah hilang harapan. Sementelahan pun begitu, Umno dan rakan-rakannya jauh dari menyerah kalah atau hilang pedoman.

Sehubungan peristiwa ini juga, jangan sekali-kali kita alpa bahawa, terdapat di kalangan pemimpin pembangkang, turut terlibat mengapi-apikan slogan untuk menghina orang Melayu sehingga berlakunya tragedi 13 Mei.

Saudara dan Saudari sekalian,

1970

Tarikh 22 September 1970 menyaksikan Tunku Abdul Rahman melepaskan kepimpinan negara diikuti kepimpinan parti. Tun Razak telah mengambil alih kedua-dua jawatan tersebut, maka bermulalah era pelaksanaan DEB. Fokus masih lagi kepada kawasan luar bandar dan pedalaman.

Ini dicerminkan menerusi penubuhan agensi, antara lainnya, Risda, untuk pekebun kecil getah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ternakan Negara, masing-masing untuk petani, peladang dan penternak. Bagi merancakkan pembangunan wilayah pula, kerajaan telah menubuhkan Kejora, Ketengah, Perda, Keda, Kesedar, Dara dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka.

Bagi mencipta masyarakat perdagangan dan perindustrian serta kemasukan kaum Melayu/Bumiputera ke dalam sektor moden pula, kerajaan telah menubuhkan agensi seperti Bank Bumiputra, Uda, Pernas dan Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau PABK.

Kesan utama pelaksanaan dasar ini, dan pewujudan Barisan Nasional adalah terciptanya kestabilan sosial yang membolehkan pertumbuhan ekonomi mapan dengan kadar pukul rata hampir 7 peratus untuk dua dekad berturut-turut. Ini secara langsung telah meningkatkan kemakmuran serta taraf hidup semua rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum.

Saudara dan Saudari,

1988

Umno menghadapi saat paling dahsyat apabila parti keramat ini diharamkan pada tahun 1988. Ini kerana keputusan pemilihan parti 1987 tidak dapat diterima dan kes telah dibawa ke mahkamah. Walaupun Umno berpecah dua, seraya menyaksikan satu percubaan untuk meniru konsep Barisan Nasional melalui Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah, hal ini tidak berjaya, kerana tidak ada keikhlasan.

Sungguh apapun, segala cabaran telah berjaya diharungi. Bangkit dari runtuhan Umno lama, Umno baru telah wujud bagi terus membela umat Melayu dalam satu proses pemulihan parti dengan tidak mengambil masa yang lama.

Saudara dan Saudari,

1990

Berlawanan dengan tafsiran cetek oleh sesetengah pihak, DEB sejelasnya tidak pernah merugikan orang-orang bukan Melayu. Buktinya, setelah dua dekad pelaksanaan, pada tahun 1990, orang bukan Melayu masih lagi memiliki ekuiti terbesar dalam kekayaan negara manakala pendapatan pukul rata isi rumah mereka, masih yang tertinggi antara kaum di Malaysia.

Diperakui, walaupun matlamat pemilikan ekuiti tidak tercapai sepenuhnya, paling terkesan ialah penciptaan kelas menengah Melayu yang besar, menjelang berakhirnya dasar ini. Saiz kelas menengah ini meningkat tinggi dengan pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional antara 1991 hingga 2000.

DEB, sebenarnya telah mengasaskan kestabilan sosial kebangsaan yang membolehkan penciptaan kekayaan dan kemakmuran dinikmati oleh semua pihak.

Salah satu kisah kejayaan lagi, ialah bertambahnya jumlah profesional Melayu/Bumiputera. Jika dikaji, ketika bermula pelaksanaannya pada awal 70an, hanya terdapat kurang 5 peratus profesional daripada kaum Melayu dan Bumiputera.

Jumlah ini telah bertambah kepada 45 peratus dari keseluruhan profesional hasil DEB dan dasar-dasar seangkatan dengannya.

Prakarsa kerajaan melalui penubuhan sekolah berasarama penuh atau SBP dalam bentuk Sekolah Menengah Sains, Maktab Rendah Sains MARA, pusat asasi sains, matrikulasi untuk IPTA tempatan dan penghantaran pelajar ijazah pertama ke luar negara menjadi pemangkin yang telah membawa kepada kemunculan kelas pertengahan Melayu.

Dasar ini juga telah menunjang pergerakan menegak mobiliti sosial, maka tidak pelik melihat anak seorang buruh kasar hari ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan. Anak pesawah, penoreh getah, nelayan dan peladang pula menjadi anggota pentadbiran tertinggi, penjawat awam dan korporat, usahawan, hartawan dan cendekiawan.

Saudara dan Saudari,

Sebagai dimaklumi, asalnya kita adalah sebuah negara pertanian yang eksport utamanya adalah komoditi seperti getah, kelapa sawit dan bijih timah. Pada pertengahan tahun 80an, apabila pulih daripada menghadapi kemelesetan ekonomi akibat kejatuhan harga komoditi utama negara, kerajaan telah memulakan proses industrialisasi.

Tumpuan juga mula diberikan bagi menjadikan Malaysia pusat tarikan pelancongan global disamping pembinaan projek infrastruktur yang besar. Misalnya, Lebuhraya Utara-Selatan yang telah berjaya merangsang pertumbuhan dan proses urbanisasi.

Pucuk pangkalnya, semua inisiatif, dasar dan program ini telah membawa kepada perubahan struktural bukan sahaja kepada lanskap sosioekonomi rakyat Malaysia tetapi juga kepada sistem nilai, taraf hidup dan pendidikan lebih tinggi serta akses kepada maklumat yang lebih luas.

Saudara dan Saudari,

1999

Direnung-renung dan ditinjau-tinjau semula, dalam Pilihanraya 1999, sungguhpun penggunaan telefon bimbit makin meningkat, disebabkan keupayaan teknologi masih terbatas ketika itu, ia belum mampu menyalurkan data.

Maka, e-mel, faks dan laman sesawang yang tidak interaktif, menjadi medium popular sebagai penyampai berita alternatif. Meneropong kembali, waktu itu, belum ada Google, belum ada Facebook, belum ada Twitter hatta telefon pintar.

Berbanding sekarang ini, menurut data dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kita mencatat 36 juta pelanggan telefon selular, iaitu kadar penembusan 124%, atau, 124 set bagi 100 penduduk. Penembusan jalurlebar sekarang pula telah meningkat kepada 62% langganan isi rumah. Dengan kata lain, 4 juta isi rumah dari sejumlah 6.5 juta isi rumah, atau, lebih 16 juta penduduk Malaysia mempunyai kemudahan jalurlebar.

Selain itu, lebih 40 peratus yang melanggani TV satelit berbayar, mendedahkan mereka kepada saluran berita seperti CNN, BBC dan Al-Jazeera, bagi mengikuti perkembangan dunia secara langsung.

Saudara dan Saudari,

2011

Bertapak jauh selepas satu dekad, pengenalan SMS, MMS, BlackBerry Messenger, telefon pintar, media sosial, tablet eletronik pintar dan Wi-Fi percuma telah mejadikan akses kepada idea, pendapat dan berita melaluinya menjadi lebih mudah.

Umpamanya, ucapan perayaan Aidil Adha, yang disiarkan semasa saya dan rombongan mengerjakan Haji baru-baru ini, telah dirakam semasa di Padang Arafah, dengan menggunakan iPhone, sebelum diedarkan kepada media tempatan.

Saudara dan Saudari,

Berkalam tentang kecanggihan sebegini, demikian kita menyaksikan saat-saat akhir Saddam Hussein di tali gantung, serta juga nasib yang menimpa Muammar Gaddafi. Perubahan yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya dan Yemen serta protes di Syria seperti kita lihat, adalah juga, genesis kepada medium media sosial.

Kita dapati, walaupun pemerintah negara-negara berkenaan cuba untuk membuat putaran cerita, namun dengan hanya telefon pintar, jalurlebar dan YouTube, mampu menceritakan apa yang sebenarnya berlaku, di negara-negara tersebut.

Berpacu dari sini, kerajaan, melalui SKMM telah mewujudkan lebih kurang 560 pusat jalurlebar masyarakat, iaitu hampir satu di setiap mukim di negara ini. Kita mantapkan lagi usaha penubuhan lebih 1,300 kampung tanpa wayar di merata negara, agar, rakyat keseluruhan, berkemampuan melayari internet manakala 1,700 lagi masih dalam proses.

Malaysia sekarang sudah terletak antara tangga teratas di kalangan negara Asean dari segi kemampuan ICTnya. Kita juga mempunyai 17.5 juta pengguna Internet, dan menurut kajian, orang Malaysialah, yang paling ramai mempunyai rakan Facebook, yakni, secara puratanya, 234 bagi setiap seorang.

Saudara dan Saudari,

Begitu juga bermula tahun 90-an, bagi menangani perasaan tidak puas hati terhadap akses pendidikan tinggi, maka, bermula tahun 1995, kerajaan telah mengorak langkah untuk meliberalkan sektor pengajian tinggi tempatan.

Kesannya, dari hanya 9 buah universiti awam, hari ini telah bertambah menjadi 20. Disamping itu, 25 universiti, 22 kolej universiti dan lebih 400 kolej swasta serta 5 kampus tempatan universiti asing kini telah wujud. Saudara dan Saudari sekalian,

Hasil peningkatan taraf sosioekonomi dan akses lebih meluas kepada pendidikan pasca menengah, telah mewujudkan generasi rakyat Malaysia baru lebih kritikal dan meningkat ekspektasinya terhadap kerajaan.

Generasi ini adalah anak-anak kepada generasi pertama DEB. Mereka dilahirkan bermula tahun 70an. Generasi ini, tidak suka dibentak-bentak, tidak suka diarah-arah apa yang perlu dilakukan, tidak gemar diberitahu apa yang benar dan salah, serta paling tidak disenangi mereka apabila kita mengungkit-ungkit jasa-jasa kita yang lalu.

Kita dapati bahawa, mereka ini mahu terus dirundingi, mahu kebebasan untuk menilai, berhujah dan membuat keputusan berdasarkan kepada pasaran maklumat dan idea yang ada. Jadinya, untuk terus kekal, Umno perlu berkomunikasi mengikut langgam dan laras bahasa anak-anak muda, supaya parti kita difahami.

Lalu, dalam persekitaran inilah kerajaan mengumumkan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU bagi membenarkan mahasiswa dan mahasiswi universiti awam untuk menjadi ahli parti politik apabila mencapai umur baligh undang-undang atau 18 tahun. Saudara dan Saudari,

Umno sentiasa mendengar suara dan menghargai peranan serta sumbangan orang muda. Kita mengiktiraf mereka bukan sahaja apabila menghadapi pilihan raya, sebaliknya pada setiap masa dan ketika.

Dalam sejarahnya, Umno adalah parti politik pertama di negara ini, yang mempunyai sayap untuk orang muda, lelaki, wanita dan diikuti dengan sayap puteri. Bagi meningkatkan peranannya, dalam pindaan Perlembagaan Umno yang terbaru, kita telah menambah jumlah perwakilan di peringkat Bahagian dan Perhimpunan ini.

Malah, jumlah mereka juga ditokok dalam proses memilih pucuk pimpinan parti.

PENUTUP

Saudara dan Saudari,

Kejayaan membentuk wajah Malaysia seperti yang ada, telah menghadapkan kita dengan cabaran terbesar kepada survival parti dan Barisan Nasional itu sendiri. Sama ada kita akan kekal sebagai parti yang dipercayai rakyat dan mendapat mandat bagi terus menjadi kerajaan, bergantung kepada kesedaran, kefahaman dan tindakan kita selanjutnya.

Sepanjang ucapan saya tadi, dirakamkan kronologi 10 detik yang telah menjadi "game changer" kepada Umno menyusuri sejarah parti.

Sehubungan itu, suka saya simpulkan, 5 kekuatan teras, yang membolehkan kita menghadapi apa pun badai dan mehnah yang merempuh parti, samada bersifat dalaman, mahupun luaran. Pertamanya ialah, keupayaan menggagas semula parti bagi memanfaatkan persekitaran yang baru.

Kedua, pengamalan prinsip wasatiyyah dalam semua bidang, samada urus tadbir, perkongsian kuasa, iktisad yakni ekonomi, perhubungan kaum mahupun perhubungan antarabangsa.

Ketiganya, Umno sentiasa mengulungi idea atau "supremacy of ideas" dalam era pertarungan minda dan persaingan sengit pasaran idea serta maklumat.

Keempat, Umno perlu terus meletakkan kebajikan rakyat di atas segalanya-galanya. Segala dasar yang digubal, prakarsa yang dirancang dan program yang dilaksana mengutamakan kebajikan rakyat.

Kelimanya, kebolehan Umno untuk mengotakan apa yang dikata dan menunaikan janji. Pucuk pangkalnya, kita bukan seperti sesetengah pihak yang hanya menjadi tukang karut.

Saudara dan Saudari,

Oleh sebab itulah, apabila saya mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan kerajaan tiga puluh bulan yang lalu, saya dan rakan-rakan sama ada dalam Majlis Tertinggi Umno, Dewan Tertinggi Barisan Nasional mahupun Kabinet, telah mengambil keputusan untuk melaksanakan proses islah dan pembaharuan.

Dalam parti, mula-mula sekali kita telah membesarkan francais pemilih bagi ahli-ahli Majlis Tertinggi. Kita mahu lebih ramai orang Umno diberi hak untuk memilih pemimpin mereka. Umno bukan parti yang gentar terhadap demokrasi seperti tuduhan seteru politik kita, malah Umno adalah parti yang mendakap demokrasi.

Kata pepatah Inggeris "the proof of the pudding is in the eating".

Kita bukan seperti pihak lawan. Contoh pertama, Parti A, jawatan Ketua Umum, sudahlah tidak dipilih secara demokratik, lebih berkuasa pulak dari presiden parti.

Contoh kedua, Parti B sebuah parti yang memakai gelar demokrasi, namun, langsung tidak demokratik. Apakah demokratik namanya kalau perwakilan cawangan memilih 20 orang ahli jawatankuasa pusat dan kemudian ahli jawatankuasa pusat tersebut pula, memilih kepimpinan tertinggi parti? Ini jelasnya, tidak sama sekali mencerminkan kehendak ahli terbanyak.

Manakala contoh ketiga, adalah Parti C, yang kononnya memperjuangkan negara kebajikan. Lahawlawala...., jawatan Mursyidul Am pun, tampaknya tidak diundi secara demokratik, tetapi ternyata lebih berkuasa dari presiden.

Sama jugak dengan Parti A. Tambahan lagi Parti A itu, suami, Ketua Umum, isteri, Presiden, anak perempuan sulung, Naib Presiden, Timbalan Presiden pulak.....hrmm...tak payah lah kita cerita.

Saudara dan Saudari,

Menelaah perkara-perkara itu, kita mesti insaf, jika Umno masih gagal memahami dan menghayati faktor-faktor yang menjadi "game changer" atau peneraju cara gaya baru kepada lanskap politik nasional, serta tidak pula mengambil langkah merangka semula "game plan" yakni gerakan terancang, maka kita namanya menempah tragedi untuk parti.

Apakah yang dimaksudkan dengan game changer ini? Pertamanya ialah realiti baru. Jika Umno tidak memahami realiti baru lanskap politik nasional, bagaimana Umno dan BN mahu berjaya? Keduanya, media baru. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, Umno harus menguasai media baru kerana hari ini, detik ini, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan.

Ia berupaya mendatarkan "the playing field" atau ia turut boleh menjadikan satu pertarungan itu, tidak setara. Dari yang demikian, orang Umno wajib mengetahui cara-cara untuk memanfaatkan media baru demi survival parti.

Memenuhi maksud dan menjiwai realiti baru juga, Umno selaku sebuah parti siasah yang dinamik, tidak boleh hanya sekadar hebat bertempur dalam pertarungan lalu, kita semestinya juga menjadi juara dalam berperang di medan laga terkini.

Ketiga, Umno juga harus menghayati pemikiran baru yang ada di kalangan semua segmen pengundi, bagi menarik sokongan mereka. Umno tidak boleh bersikap atau sekalipun dilihat sebagai bersikap angkuh lagi sombong. Jika tidak, para pengundi dan rakyat akan benci dan menjauhi kita.

Saudara dan Saudari,

Selama hampir enam dekad, Umno telah menjadi parti teras yang menonggak kejayaan. Selama ini, rekod-rekod membuktikan bahawa, kita tidak pernah mendominasi atau sekalipun berniat untuk mendominasi parti-parti komponen seperti yang difitnah oleh pembangkang.

Jauh sekali dari kemelut gabungan parti pembangkang yang tidak mampu berijma' dan bersatu hati walaupun dalam soal-soal dasar. Misalnya, dalam perihal negara Islam, Parti A kata, setuju secara peribadi, Parti B kata, tidak sekali-kali, langkah mayat mereka dulu, Parti C pulak kata "kita tukar jadi negara kebajikan". Pening dan keliru rakyat dibuatnya.

Berbeza dengan Umno, sebagai parti teras, kita mengambil langkah berganding dan bekerjasama dengan parti-parti komponen. Kerjasama kita bersifat pragmatik, realistik dan ikhlas. Kita menerima seadanya rakan-rakan dalam Barisan Nasional.

Kita saling percaya mempercayai, saling bergantungan dan saling bersefahaman sejak sebelum merdeka lagi. Inilah yang membuatkan kita berjaya sebagai teraju dalam memakmurkan negara ini.

Saudara dan Saudari,

Sebagai game changer yang kesebelas, kita mulakan dengan Program Transformasi Kerajaan bagi membaiki penyampaian sektor awam. Seterusnya, Program Transformasi Ekonomi dan Model Baru Ekonomi sebagai peta halatuju pusingan akhir ke arah wawasan negara maju berpendapatan tinggi.

Kemudiannya, Program Transformasi Politik bagi menyeimbangkan antara Keselamatan Kebangsaan dan Kebebasan Individu.

Program Transformasi Luar Bandar dilancar, bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar dan pedalaman, serta, Program Transformasi Sosial yang berpandukan falsafah pemandu 1Malaysia.

Kita lanjutkan pula dengan inisiatif-inisiatif yang dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Menu 1Malaysia dan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PRIMA.

Saudara dan Saudari,

Sebetulnya, apa yang ada hari ini seperti dapat disaksikan oleh semua, bukan dibina dalam masa yang singkat. Ia terbina dengan penuh tatih, pengorbanan dan jerih payah. Ia dibangunkan oleh bapa-bapa kita orang-orang Melayu, orang-orang Cina, orang-orang India, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi termasuklah orang asli dan orang Siam.

Cita-cita mereka, impian mereka, tidak lain tidak bukan demi kehidupan lebih baik untuk kita. Ia diteruskan lagi oleh generasi kini yang mendambakan masa depan lebih cerah untuk anak-anak cucu kita.

Ingatlah...ingatlah bahawa, semua ini dimungkinkan oleh kita orang-orang Umno, sebuah parti yang amat berjasa kepada kita semua, bukan sahaja anak-anak Melayu tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya. Namun, alangkah pedih dan alangkah lukanya hati kita, pabila hari ini, Umno, parti yang sarat jasa dan baktinya, sedang dimomok, dinista dan dicerca semahunya. Malah, jasa kita seolah hendak dipadam terus dari helaian sejarah.

Mereka tanpa malu dan segan, gah mendakwa bahawa, Umno langsung tiada budi atas kehidupan mereka. Kalau benarlah begitu, siapakah yang mengubur Malayan Union? Siapa yang memenangi kemerdekaan secara aman? Kalau bukan parti bertuah ini.

Saudara dan Saudari,

Mengatasi semua persoalan ini, kata orang, kalau mandi air dikali, jangan lupa pada siapa yang menggalinya. Kerana bukankah UMNO yang menjadi induk, mencipta kemakmuran?

Ini tidak, belum lagi berkuasa, sudah ibarat kaduk naik junjung. Ibarat lidah tidak bertulang, katanya mahu membuang separuh dari penjawat awam kalau sudah berkuasa. Apa maksud mereka mahu membuang lebih 200 ribu orang guru? Siapa yang mahu mengajar anak-anak kita? Bukan semua yang mampu menghantar anak ke sekolah-sekolah swasta.

Tidak cukup dengan itu, mahu ditamatkan khidmat separuh doktor dan jururawat sedangkan tidak semua rakyat Malaysia yang mampu mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta. Mahu diberhentikan separuh tentera dan polis? Lalu, pada siapa hendak diharap untuk membenteng keselamatan kita dan keluarga?

Saudara dan Saudari,

Inilah nasib yang akan melanda, jika Umno sudah hilang kuasa. Siapa yang akan membela syiar Islam? Siapa yang mampu membela hak umat dan agenda orang Melayu? Siapa pula yang dapat terus memuliakan Raja-Raja kita? Tepuklah dada, tanyalah jawapan.

Saudara dan Saudari,

500 tahun yang lalu, jatuhlah empayar Melaka. Ia jatuh bukan kerana Melayu kurang hulubalang atau kependekarannya, ia rebah bukan kerana kemiskinan atau kefakiran, ia tersungkur menyembah bumi kerana terlerainya perpaduan dan berlakunya pengkhianatan.

Begitu juga nasib tamadun-tamadun besar di dunia yang hancur, mereput dan runtuh. China, terhina akibat siri perang candu, Empayar Rom, dirobek perpecahan dari dalam dan Khilafah Othmanniyah, punah dek kerana kehalusan strategi pecah belah dan perintah. Bertolak dari situ, marilah kita jadikan kisah-kisah ini sebagai teladan dan sempadan. Jangan sekali-kali kita terperangkap olehnya. Saudara dan Saudari,

Akhir kalam, selaku presiden Umno, saya bersyukur kerana mempunyai timbalan presiden yang setia, barisan naib presiden yang taat, Pergerakan Wanita yang tidak jemu-jemu mendokong perjuangan parti, ketumbukan Pemuda yang lantang dan berani, para Puteri yang cekal dan bersemangat, Majlis Tertinggi yang sentiasa bersiaga, khususnya, orang-orang Umno sekalian, yang menunggu-nunggu panggilan bertempur.

Ayuh, rapatkan saf, nyalakan jamung, gigitlah kuat-kuat perjuangan ini dengan geraham kita. Palulah genderang perang, palulah ia tabuh-tabuhan dan tiupkanlah semboyan. Masanya sudah hampir, waktunya sudah tiba.

Bingkaslah orang-orang Umno, kita turun ke medan bakti. Mudah-mudahan Allah memberkati. Hidup Umno! Hidup Umno! Hidup Umno! Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

- MSTAR

Jumaat, Oktober 22, 2010

Sekalipun darurat, hak Melayu tetap terpelihara - Najib



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kedudukan dan hak-hak Melayu dilindungi sepenuhnya serta "terkunci kemas" dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat lagi dan kenyataan ini wajar diterima oleh semua kaum negara ini.

Najib yang juga Presiden Umno berkata asas berkenaan adalah kontrak yang dimuafakat bapa-bapa pengasas yang mewakili semua kaum ketika negara di ambang kemerdekaan.

Katanya, polemik berhubung isu kerakyatan selepas merdeka dan hak istimewa orang Melayu sudah menjadi perdebatan akademik kerana ia sudah terpateri kemas.

"Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam parlimen pun, tidak mampu mengubah apa-apa jua tanpa kebenaran majlis yang dianggotai sembilan orang Raja-raja Melayu," katanya.

"Dalam kata lain, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekali pun darurat diisyhtiharkan ia tetap tidak boleh disinggung."

Menyampaikan ucapan dasarnya di perhimpunan agung Umno pagi ini, perdana menteri berkata, sama ada suka ataupun tidak, peruntukan tersebut diletakkan di luar forum perbincangan.

"Jika dibuka juga kepada perbahasan, maka kita bimbang, kita khuatir, ia akan membangkitkan keresahan serta mengapi-apikan primordial instinct atau nalusi asal wujud antara etnik," katanya.

Tambahnya, berdasarkan perjalanan sejarah, tidak kira berapa maju pun ekonomi sesebuah tamadun, betapa terpelajarnya manusia, betapa tinggi tahap toleransi, sekiranya naluri asal itu wujud dan tidak diurus dengan baik, mungkin kezaliman yang sangat dahsyat akan terjelma.

"Di abad ke-20 kita telah dipampangkan dengan kes-kes hukuman tanpa perbicaraan di Amerika Syarikat, tragedi Holocoust di benua Eropah, penyembelihan rakyat Palestin di Asia Barat serta penghapusan etnik di Bosnia dan Rwanda.

Jadi, bayangkanlah, apakah kesudahannya, jika setiap generasi rakyat Malaysia mengambil pendirian untuk mempersoal kewajaran kontrak sosial kebangsaan yang telah dimuafakatkan pendahulu mereka sebelum ini."

Malah, Najib berkata, di zaman ini ia akan lebih pantas mereba, terutama dalam dunia tanpa sempadan ekoran kecanggihan sistem teknologi maklumat dan komunikasi yang sentiasa berkembang.

"Pucuk pangkalnya, saudara dan saudari, mengapa mahu diubah apa yang telah berjalan dengan begitu baik. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi putus," jelasnya.

Sebelum itu, menyentuh soal tanggungjawab moral dalam hubungan kaum, presiden Umno juga menyatakan kegusarannya terhadap pihak yang mula mempersoalkan kedudukan bangsa Melayu yang menimbulkan rasa tidak puas hati.

"Ibarat api dalam sekam, perasaan ini telah mula membara dan mungkin menular sehingga berupaya merosakkan keharmonian perhubungan ras yang telah terjalin semenjak dahulu," katanya.

- MALAYSIAKINI

Rabu, September 15, 2010

Ciri Peribadi Sultan Kelantan Selari Kehendak Rakyat - Umno Kelantan

Umno Kelantan berpendapat ciri peribadi murni Sultan Kelantan yang baru Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra yang begitu prihatin terhadap rakyat dan mempunyai ilmu agama yang tinggi adalah selari dengan kehendak masyarakat Kelantan.

Ketua Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dengan itu pihaknya yakin rakyat Kelantan akan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah-bahagi terhadap Sultan Kelantan itu yang telah dimasyhurkan Isnin lepas.

"Kita bersyukur Sultan Kelantan telah dimasyhurkan dan akan taat setia terhadap baginda yang telah dipilih mengikut perlembagaan dan saya yakin rakyat akan memberikan taat setia terhadap baginda.

"Saya telah beberapa kali mengikuti baginda menziarahi masjid dan apa yang Tuanku lakukan selaras dengan kehendak rakyat Kelantan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Aidilfitri Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Kelantan dan Pasir Mas di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim 1 di sini, Rabu.

Mustapa yakin dengan pemasyhuran itu, segala isu yang melanda keluarga diraja itu akan selesai akhirnya.

Sementara itu Parti Progresif Penduduk (PPP) juga mengalu-alukan pemasyhuranTuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang dianggap bertepatan dengan kehendak agama dalam memilih seorang pemimpin.

"Saya yakin pelantikan itu dibuat berpandukan kepada Quran dan Hadis,bukan dasar politik atau kuasa," kata Naib Presiden PPP Datuk Nik Sapeia Nik Yusof.

Pengerusi Badan Perhubungan PPP Kelantan itu meminta semua rakyat akur dengan pemasyhuran itu dan menyokong penuh kepimpinan Tuanku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru.

Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (PERAKAN) bersyukur kerana pemasyhuranitu memberi isyarat dan petanda positif kemelut istana Kelantan akan berakhir.

"Lebih setengah juta rakyat Kelantan yang berada di luar negeri (Kelantan)ini amat bersyukur dan mengalu-alukan penyelesaian kemelut yang melanda negeriini sejak lebih setahun lalu," kata Presidennya Mohd Radzi Yusoff.

Beliau berharap semua pihak akur dengan keputusan yang dibuat oleh MajlisPerajaan Negeri yang disifatkan sebagai muktamad dan tidak perlu dipersoalkanlagi.

Pasukan Prihatin Maya Kelantan (Prima) turut menyokong dan mengalu-alukanpemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan.

Presidennya Mohamad Rafi Awang Kecik berkata baginda amat layak mendudukitakhta berdasarkan kepada pengalaman baginda sebagai Tengku Mahkota Kelantan danPemangku Raja Kelantan dan terbukti mampu menjalankan tugas dengan baik sepanjang ayahanda baginda Sultan Ismail Petra gering.

- BERNAMA

Khamis, Julai 22, 2010

Ahli UMNO kini 3.2 juta

KUALA LUMPUR 21 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO masih merupakan parti terbesar bagi orang Melayu di negara ini apabila jumlah terkini ahli berdaftar selepas proses pemutihan dijalankan menjangkau 3.2 juta orang.

Sehubungan itu Perdana Menteri menolak sebarang dakwaan yang menyatakan bahawa orang Melayu 'meluat' dan enggan menyertai UMNO kerana jumlah itu membuktikan sokongan orang Melayu terhadap parti tersebut masih padu.

Malah beliau dimaklumkan jumlah keahlian semakin meningkat dari semasa ke semasa berikutan program penambahan ahli baru yang giat dijalankan ketika ini.

"Siapa kata? Tidak betul. Saya tidak dapat terima ada pihak kata meluat kepada UMNO. Tidak betul. Kita parti terbesar bagi orang Melayu. Ahli kita ramai. Selepas pemutihan jumlahnya ialah 3,186,850. Mereka ini sayang kepada UMNO.

"Proses pemutihan melibatkan proses mengeluarkan nama mereka yang telah meninggal dunia. Ahli yang tidak berjaya dikesan pun nama mereka turut dikeluarkan. Jadi jumlah ini jumlah yang sahih,'' katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib-Naib Presiden dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menjawab satu soalan lain, Najib berkata, perjalanan mesyuarat seluruh perwakilan Bahagian UMNO berjalan lancar walaupun terdapat dua bahagian menghadapi masalah iaitu Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Petani, Kedah.

"Janganlah buat tanggapan yang keterlaluan. Ini bukan perkara luar biasa dan boleh dikatakan setiap tahun ada masalah seperti ini. Setakat satu dua bahagian bermasalah bukan satu isu yang meruncing,'' katanya lagi.

Sementara itu beliau berkata, mesyuarat MT hari ini turut memutuskan untuk merujuk bekas Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Mohamad Zain Ismail ke Lembaga Disiplin parti bagi dipertimbangkan apa jua keputusan serta tindakan yang wajar diambil.

"Turut dirujuk, Ghazali Ismail bersama Ketua Pergerakan Puteri, Norhayati Mamat. Ini berikutan tindakan mereka mengadakan mesyuarat perwakilan bahagian yang tidak sah pada 26 Jun lalu.

"MT juga bersetuju pentadbiran UMNO Bahagian Rantau Panjang diambil alih oleh Badan Perhubungan UMNO Kelantan sehingga keadaan kembali pulih,'' katanya.

Ujar Najib, bagi Mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani yang turut berlaku kekecohan, MT mengambil keputusan untuk meletakkan pentadbiran bahagian itu di bawah urusan Badan Perhubungan UMNO Kedah.

"Tujuan kita mengambil keputusan ini adalah untuk meredakan keadaan. Setelah pulih kita akan serah balik kepada mereka,'' katanya.

Selain itu, Najib berkata, MT juga memutuskan untuk mengesahkan pelantikan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Putrajaya, Husna Abdul Rahman sebagai Pemangku Ketua Puteri bahagian itu.

Beliau berkata, Husna menggantikan bekas ketuanya, Hamizah Abdullah Zawawi yang didapati tidak menghadiri program parti selama setahun.

"Saya juga mengambil maklum masalah yang berlaku pada UMNO Bahagian Setiu.

"Mengenai UMNO Bahagian Kelana Jaya, ia berjalan seperti biasa selepas Ketuanya, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Yahya Bujang,'' ujarnya.

- UTUSAN

Isnin, Julai 19, 2010

Nik Aziz: Politik Melayu kukuh jika Umno tukar dasar

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kekuatan politik orang Melayu adalah bergantung kepada kesediaan Umno untuk menukar dasarnya kepada Islam.

"Pada saya, kalau Umno tukar dasarnya daripada Melayu kepada Islam, orang Islam makin kuat dan politik Melayu bertambah kukuh.

"PAS selama 20 tahun mentadbir Kelantan adalah hasil daripada sokongan semua bangsa dan agama dan merekalah yang mengundi PAS atas nama Islam. Kalau tidak masakan PAS dapat menang besar tahun 1990 dan 2008 lalu," kata menteri besar Kelantan itu dalam satu kenyataan di Kota Bharu hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata apa yang berlaku di Kelantan adalah sebagai bukti bahawa dasar Islam diterima oleh majoriti rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, termasuklah orang Umno turut menyokong dasar Islam yang dibawa oleh PAS.

Beliau mengulas isu perpaduan antara PAS dan Umno apabila baru-baru ini dilaporkan bersetuju untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan perkara itu.

Namun Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz berkata pertemuan itu bukan untuk membincangkan politik sebaliknya akan bertumpu kepada kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob berkata kerajaan Kelantan pimpinan PAS hanya bersedia bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi pembangunan negeri termasuk merealisasikan cadangan pembinaan lebuh raya empat lorong yang menghubungkan Kuala Lumpur-Kota Bharu.

Katanya, kerajaan negeri bersedia berunding mengenai cadangan itu pada bila-bila masa.

"Saya harap cadangan itu diterima oleh kerajaan pusat memandangkan Kelantan mengeluarkan ramai modal insan," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Koperasi Pembangunan Ladang Rakyat Kelantan, di Tumpat hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa kerajaan PAS Kelantan hanya mahu bekerjasama dengan kerajaan pusat jika ianya membabitkan kepentingan rakyat, dan bukan parti.

Ahmad yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan berkata kerjasama politik sukar dilakukan kerana dasar parti masing-masing yang berbeza.

"Kalau kerjasama untuk kebaikan rakyat antara kerajaan dengan kerajaan, kita sedia pada bila-bila masa. Kalau kerjasama parti biar dulu," katanya.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga timbalan presiden Umno menyatakan parti itu sedia bekerjasama dengan PAS demi perpaduan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

- Bernama

Jumaat, Julai 16, 2010

Parti bersatu atas nama agama

Oleh Aziz Jamaludin MHD Tahir
Yang Dipertua, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

PENYATUAN antara dua buah parti yang mewakili Melayu terbesar iaitu UMNO dan Pas menjadi harapan besar masyarakat Malaysia yang berhasrat membangunkan kekuatan dan kestabilan negara. Telah sekian lama harapan tersebut disuarakan, namun hingga kini masih belum menjadi kenyataan kerana adanya halangan-halangan daripada pihak-pihak tertentu yang tidak ingin menyaksikan penyatuan kembali dua parti melayu Islam yang terbesar di Malaysia.

Sebelum ini, dua buah parti yang mewakili Melayu terbesar dikejutkan dengan “rundingan kerajaan perpaduan” menjadi suatu bentuk hysteria politik yang berkesudahan pintu harapan “telah ditutup.”

Islam sejak kemunculannya telah berjaya menyatukan kabilah-kabilah, kaum dan bangsa sehingga muncul sebagai sebuah kuasa yang amat besar pengaruhnya dalam peradaban manusia.

Banyak pihak mengaku bahawa kekuatan Islam adalah kerana kesatuan matlamat dan perpaduan antara penganutnya, dan kerana itulah empayar Islam mampu bertahan sehingga berjaya dilumpuhkan oleh kuasa yang baru muncul lebih 14 abad lamanya.

Begitu juga dengan Pas dan UMNO. Jika dua buah parti politik yang sama-sama berlandaskan perjuangan Melayu dan Islam boleh berbincang, bermuafakat dan bersatu, tentunya kekuatan masing-masing dapat digemblengkan sebagai satu tenaga modal pengupayaan ummah, hasilnya amat menakjubkan.

Kekuatan Pas sebagai perancang strategi dan pelaksana pembangunan spiritual dan keupayaan UMNO sebagai peneraju pembangunan fizikal akan mampu menyanggah bebanan tanggapan serong peradaban Barat tentang Islam.

Untuk tujuan ini juga sewajarnya kita hayati beberapa hadis peninggalan Baginda kepada umatnya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang-orang mukmin itu dalam sayang menyanyangi,kasih mengasihi,santun menyantuni tidak ubah saperti satu anggota dari tubuh yang apabila menderita satu anggota dari tubuh itu akan menderita pula seluruh tubuh itu dengan tidak dapat tidur dan deman.”

Hadis yang lain pula bermaksud: “Orang mukmin itu mencintai saudaranya sebagai mana ia cinta kepada diri sendiri.”(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kerana hubungan persaudaraan inilah ia perlu diberi pertolongan segera atau menghulurkan bantuan yang di perlukan,sebabnya kesempurnaan persaudaraan itu hanya boleh menjelma secara baik dan harmonis apabila masing-masing berjalan seiring untuk menuju satu maksud dan tujuan.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan dua orang saudara adalah saperti dua tangan yang satu membersihkan yang lain.(Riwayat Ad-Dailami)

Hari ini kuasa umat Islam menjadi semakin lemah walaupun dari aspek kuantiti penganutnya menduduki tangga kedua terbesar. Jumlah penganut Islam yang semakin bertambah menjadikannya bukan sahaja dijadikan sasaran propaganda malah turut dijadikan serangan dalam bentuk kekerasan dan sekatan.

Situasi ini sebenarnya masih belum menyedarkan sepenuhnya umat Islam di Malaysia, dan kerana itulah demi politik mereka sanggup mendustai matlamat utama memperkuatkan benteng umat Islam.

Kelemahan hubungan terdahulu bukanlah merupakan sesuatu yang fatal. Kalaupun masih boleh dianggap “serik” ia bukan bermakna sampai “tidak mahu mengakui saudara sebangsa dan seagama.”

Masih ada dalam jiwa, masih tersisa dalam semangat dan masih tertanam dalam minda, penyatuan antara dua parti politik itu adalah suatu kemenangan terbesar yang pernah berlaku.

Kesilapan dan kekurangan lalu masih boleh diperbetulkan sebagai mana al-Quran sendiri mengajar agar manusia sentiasa bermuhasabah diri, mencari kekuatan baru dan menghirup udara segar yang lebih nyaman dan bersih.

Dengan mengetepikan dendam, bahasa-bahasa yang menyakitkan hati penyatuan dan perpaduan akan terbina dan diumpamakan seperti sepasang suami isteri yang kembali hidup bersama setelah melalui tempoh perpisahan yang lama, masing-masing hidup dengan bayang-bayang resah dan saling menyalahkan.

Sebagai manusia kita amat mudah terdedah dengan kesilapan dan setiap kesilapan itulah telah menenggelamkan hasrat murni. Nilai-nilai positif menjadi sesuatu yang tidak nikmati lagi kerana trauma benci atas “emosi serik” mula menusuk hati dan perasaan.

Walhal, inilah yang perlu kita hindari kerana ia mendekatkan kita kepada sikap bermusuhan dan sikap sedemikian amat dibenci oleh Allah SWT.

Jika sesama Islam saling menunjukkan persengketaan yang tidak dapat disatukan kembali, tentunya bukan Islam akan memandang “hanya manis dibibir, tetapi tidak pada tindakan”, maka amat mudah dipersenda-sendakan.

Kalau sesama Islam tidak boleh berada dalam mood dan jalur kuasa yang kuat, maka bukan Islam bukan sahaja memandang rendah kepada kita.

Maka dengan bersatunya sesama Islam, maka dilema dengan bukan Islam akan dapat dihindari. Apabila kedudukan kita semakin kuat, maka kita akan dihormati. Kekuatan Islam memberikan jaminan bahawa bukan Islam boleh hidup selesa, tetapi, dalam keadaan orang Islam lemah, orang Islam dihina dan dibelenggu dengan pelbagai sekatan.

Kita mungkin dapat memahami bagaimana tersiksa penduduk Palestin, bukan sahaja tidak mempunyai kebebasan memilih cara hidup sendiri, malah pergerakan mereka terus-menerus diawasi, malah cuba dihapuskan secara perlahan-lahan.

Atas dasar ingin melihat penyatuan antara dua buah parti yang ditunjangi oleh orang Melayu-Islam, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sanggup bertindak sebagai perantara.

Sebagai sebuah organisasi yang tidak berasaskan politik, Yadim terasa terpanggil bagi menunaikan tanggungjawab bagi menyatukan antara kedua belah pihak atas nama Islam.

Yadim bukan sahaja menghulurkan tangan untuk membuka lembaran baru persaudaraan tersebut, malah turut berdoa agar kemelut yang melanda orang Melayu-Islam ini akan berakhir suatu hari nanti.

Dasar umat Islam adalah jelas, jalan menyelamatkan kedua-dua pihak yang dilihat bersengketa masih boleh diselesaikan, sebagaimana Allah SWT mengingatkan kita: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jaulah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” Surah Al-Qasas: 56

Sekiranya umat Islam mempunyai cita-cita yang sebenar hendak mengembangkan agama Islam di negara ini, hendaklah ditumpukan kepada persaudaraan Islam ini.

Janganlah berharap bahawa Islam satu hari nanti akan dapat mencapai maksudnya dalam tanah air kita ini jika kita gagal untuk menyatukan dua parti Melayu Islam terbesar ini.

Melayu-Islam perlu kembali bersatu bagi menghadapi cabaran yang menyentuh identiti, menyentuh maruah, menyentuh martabat, menyentuh kelangsungan bangsanya.

Melayu dan Islam adalah dua ‘ramuan sakti’ yang amat penting untuk disatukan dalam hasrat membina modal keupayaan umat yang kuat kerana bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya ramai.

Melayu-Islam yang berilmu, yang profesional, yang kaya, yang memiliki sifat-sifat towering personality jauh lebih kecil. Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang berbeza, masing-masing di bawah kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya menambahkan lagi kelemahan ummah.

Kita juga perlu ingat, Allah SWT pernah memberikan amaran bahawa dalam keadaan umat Islam asyik bersengketa, mereka yang lebih kecil bilangannya akan dilihat semakin kuat dan berkuasa.

Kita sudah mempunyai petanda tersebut, walaupun ada setengah daripada kita ia bukanlah suatu isyarat yang jelas. Tatkala kita mendapat isyarat dengan jelas, sebenarnya ketika itu kita sudah pun terlewat.

Jumaat, Mei 28, 2010

380,000 ahli Umno dikeluarkan

Majlis Tertinggi (MT) Umno, semalam membuat keputusan untuk mengeluarkan seramai 380,000 ahli yang tidak dapat dikesan termasuk meninggal dunia menerusi proses pemutihan senarai keahlian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno, berkata berikutan proses pemutihan itu, jumlah ahli Umno yang dapat disahkan sehingga kini ialah seramai 3,159,484 orang.

Beliau berkata, senarai keahlian baru itu tidak boleh dipertikaikan dan melambangkan kekuatan sebenar Umno.

“Setakat ini, melalui proses pemutihan itu, kita keluarkan lebih kurang 380,000 ahli kerana ada yang tidak dapat dikesan, ada yang meninggal dunia dan sebagainya.

“Jadi jumlah ahli Umno yang dapat disahkan satu persatu ialah 3,159,484 orang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno di Ibu Pejabat Umno di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selain itu, Najib berkata mesyuarat itu juga membincangkan mengenai program Juara Rakyat yang akan dilaksanakan sepenuhnya di peringkat akar umbi mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Beliau juga menggesa semua Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri memberi tumpuan penuh kepada program itu supaya jentera parti sentiasa bergerak dengan menepati kumpulan sasaran.

“Bagi penyertaan semua rakyat, saya minta semua pengerusi perhubungan untuk memberi tumpuan supaya jentera kita bukan saja bergerak cergas tapi menepati kumpulan sasar ahli yang begitu ramai,” katanya.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu juga membuat rumusan hasil keputusan pilihan raya kecil Parlimen Sibu, baru-baru ini dengan menilai kekuatan dan kelemahan parti.

Najib berkata, walaupun pilihan raya itu membabitkan Barisan Nasional (BN) di Sarawak, namun Umno perlu ambil tahu sebab mereka bergantung kepada kekuatan rakan dalam BN khususnya di Sarawak.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak bercadang untuk membicarakan kelemahan atau kekuatan parti itu secara terbuka sebaliknya menjadikan hasil keputusan itu sebagai panduan untuk muhasabah diri.

“Ada kekuatan dan kelemahan kita, tapi kita tak akan sebut secara terbuka, biarlah melalui proses dalaman yang wajar dilalui parti kita, proses muhasabah lebih menguntungkan jika dibuat secara dalaman daripada diluahkan secara terbuka,” katanya.

- BERITA HARIAN

Selasa, Mei 11, 2010

Kembalikan perjuangan UMNO

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

UMNO berusia 64 tahun hari ini. Selama usia itulah, iaitu sejak penubuhannya pada 1946, parti tertua negara ini berusaha untuk menjadi payung dan tempat bergantung kepada bangsa Melayu.

Namun, sama seperti sebuah kehidupan lainnya yang tidak pernah sunyi daripada pelbagai cabaran, UMNO juga tidak berbeza. Di sebalik sekian banyak catatan kejayaan yang dilakar parti ini, Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada Mac 2008 lalu bagaimanapun tercatat sebagai sisi hitam yang bakal dikenang sepanjang zaman.

Sebelum pilihan raya itu, parti ini dilihat terlalu selesa dan begitu berkeyakinan tinggi. Pelbagai masalah dalaman parti terutamanya politik wang dan kroni berlaku tanpa dapat diselindungkan kepada rakyat. Tanpa disedari, gerakan rakyat yang memberontak terhadap sistem elit di dalam UMNO menular begitu pantas.

Natijahnya, BN kehilangan sokongan rakyat dan orang Melayu juga mula menjauhi UMNO. Apa yang berlaku selepas pilihan raya itu juga adalah sesuatu yang terlalu pahit untuk dilalui bukan sahaja oleh UMNO malah orang Melayu keseluruhannya.

Penolakan orang Melayu terhadap parti yang memperjuangkan entiti Melayu dan agama Islam ini, diambil peluang oleh pihak-pihak tertentu untuk menyerang entiti Melayu. Hak-hak keistimewaan orang Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan seperti bahasa, biasiswa dan banyak lagi serta kesetiaan kepada Raja Melayu, diperlekehkan oleh pihak-pihak tertentu.

Untuk tempoh yang agak panjang, pertikaian hak-hak dan keistimewaan orang Melayu itu didendangkan. Tanpa boleh dinafikan, UMNO perlu berasa bertanggungjawab terhadap peristiwa ini kerana ia boleh disifatkan sebagai kegagalan dalam teras perjuangan mereka.

Begitu pun, UMNO tidak memerlukan masa yang panjang untuk menyedari kepincangan yang menjauhkan sokongan orang Melayu terhadap parti itu. Perhimpunan Agung UMNO Ke-58 yang berlangsung pada Oktober 2009 misalnya, adalah bukti bahawa UMNO boleh berubah untuk terus menaungi orang Melayu.

Perhimpunan agung pertama dengan Presiden baru iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak meniupkan semboyan transformasi yang sangat jelas. Ia menyaksikan beberapa usul Pindaan Perlembagaan UMNO dibentangkan selepas kali terakhir dibuat pada 2000.

Antara yang dipinda ialah proses pemilihan pemimpin tertinggi di dalam parti membabitkan lebih ramai pengundi. Ini sekali gus membuka lantai demokrasi yang lebih luas di dalam UMNO dan paling utama, menghapuskan gejala politik wang.

Pindaan yang tidak kurang pentingnya juga ialah penghapusan kuota bertujuan menjadikan UMNO lebih terbuka. Ini mempermudahkan mana-mana calon yang dilihat berkaliber menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti.

Selain transformasi dalaman, UMNO turut mengambil langkah drastik mendekatkan diri dengan rakyat kebanyakan. Program Juara Rakyat yang antara lain menjadi medan kepada pemimpin UMNO dan BN bertemu secara langsung dengan rakyat mendapat maklum balas positif.

Program itu sebenarnya mengambil semangat turun padang seperti yang dianjurkan oleh Najib yang kerap bertemu pelbagai golongan masyarakat sejak menjadi Perdana Menteri. Pendekatan Najib itu menjadi senjata utama kepada UMNO untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat.

Meskipun perlu menunggu pilihan raya kecil kesepuluh, iaitu di Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini untuk menang dalam erti kata yang sebenar, namun ia adalah penantian dan strategi yang berbaloi. Pilihan raya kecil itu memberi signifikan yang sangat besar kepada usaha transformasi yang dilakukan oleh UMNO dan ia boleh diibaratkan sebagai hadiah ulang tahun yang paling bermakna.

Namun tiada kegembiraan yang paling mengharukan bersempena ulang tahun UMNO yang ke-64 kali ini melainkan melihat parti ini terus kekal bertahan untuk orang Melayu di sebalik pelbagai dugaan yang dihadapi. Perasaan itu misalnya, dikongsi oleh veteran UMNO, Tan Sri Zaleha Ismail yang sangat berbangga dengan semangat juang UMNO dalam membangunkan bangsa, agama dan negara.

Kejayaan UMNO untuk kekal bertahan sehingga ke hari ini katanya, adalah kerana kejayaan pemimpin-pemimpinnya yang bersilih ganti meneruskan perjuangan hakiki pejuang-pejuang UMNO terdahulu.

''Saya sangat berkeyakinan dengan kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak serta seluruh barisan kepimpinan UMNO hari ini. Saya juga berharap, seluruh rakyat Malaysia menyedari perjuangan UMNO serta parti komponen BN lainnya dan bersama-sama dengan perjuangan ini," katanya.

Tidak mahu terlalu larut dengan episod kekecewaan pada PRU12, Zaleha berkata, pasang surut serta turun naik sokongan rakyat terhadap UMNO sepanjang 64 tahun usia penubuhannya bukanlah sesuatu yang menghairankan. Ia adalah proses kematangan bagi membolehkan UMNO menilai kehendak rakyat dan berubah mengikut peredaran semasa.

''Sementelah, trend sokongan yang menurun itu juga tidak hanya berlaku terhadap UMNO, malah parti-parti komponen BN yang lainnya serta pembangkang ketika ini berdepan dengan situasi serupa. Apa yang lebih utama ialah bagaimana untuk UMNO bangkit semula dan membuktikan parti ini masih relevan untuk bersama-sama mencapai 1Malaysia," katanya.

Sudah semestinya, bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu tidak berseorangan dalam menyimpan harapannya. Ia sudah semestinya turut dikongsi bersama oleh kira-kira 3.2 juta orang ahli UMNO yang akan meraikan ulang tahun penubuhan parti itu hari ini.

Apa yang pasti, ia bukanlah angan-angan yang kosong sekiranya seluruh ahli UMNO mengambil semula semangat perjuangan pemimpin terdahulu yang menjadikan agama, bangsa dan negara sebagai teras perjuangan.

Dengan teras perjuangan itu, orang Melayu keseluruhannya tidak akan berbelah bahagi menyatakan sokongan kepada parti keramat buat mereka ini.

- UTUSAN

Recent Posts