Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan

Khamis, Jun 13, 2013

Kelantan Umum Cuti Peristiwa Pada 30 Jun 2013 Sempena Perlawanan Akhir Piala FA 2013

Kerajaan Kelantan mengumumkan cuti peristiwa selama sehari pada 30 Jun ini bagi memastikan peminat bola sepak di negeri itu selamat kembali selepas menonton perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat exco kerajaan negeri pada Rabu setelah mengambil kira cuti berkenaan tidak akan menjejaskan operasi pentadbiran kerajaan dan swasta di Kelantan.

"Kita membuat keputusan untuk memberi cuti peristiwa pada 30 Jun bagi memberi peluang kepada rakyat di negeri ini yang pergi ke Kuala Lumpur untuk memberi sokongan kepada pasukan negeri untuk pulang dengan selesa dan tenang.

"Setakat ini tidak ada rungutan (cuti peristiwa akan menjejaskan operasi harian), lagipun bukan selalu, cuma setahun sekali sahaja," katanya kepada pemberita, selepas mesyuarat itu di Kota Bharu, Kelantan.

Pertemuan Kelantan dan Johor DT itu dijadualkan bermula pukul 8.45 malam pada 29 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kelantan merupakan juara bertahan dan ini adalah kali ketiga pasukan 'The Red Warriors' melangkah ke peringkat akhir Piala FA dalam tempoh empat tahun.

- BERNAMA




Khamis, Jun 06, 2013

Tiket final Piala FA 2013 kekal RM40

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam menegaskan harga tiket final Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 29 Jun 2013 ini, tetap kekal RM40.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, berkata tidak ada sebarang perbincangan dilakukan berkaitan kenaikan harga tiket dan berharap peminat mendapatkan pengesahan rasmi supaya tidak mudah tertipu dengan spekulasi yang timbul.

“Dari awal musim 2012, kami sudah menetapkan harga tiket perlawanan akhir Piala FA adalah RM40 bagi dewasa manakala RM5 untuk kanak-kanak.

“Saya pun tidak tahu boleh timbul desas desus kenaikan harga tiket perlawanan terbabit kerana FAM tidak pernah membuat sebarang keputusan berkaitan kenaikan harga tiket.

“Semua berita mengatakan tiket perlawanan Kelantan dan Johor DT bernilai RM45 adalah tidak benar. Saya harap peminat jangan mudah terpedaya dengan khabar angin,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, dalam beberapa blog dan laman sosial, penyokong kedua-dua pasukan keliru apabila terdapat banyak dakwaan harga tiket aksi final dinaikkan daripada RM40 kepada RM45.

- BERITA HARIAN



Rabu, Mei 29, 2013

Kelantan layak ke final Piala FA 2013

KUALA TERENGGANU: Kelantan layak ke final Piala FA 2013 walaupun kalah 4-2 kepada Terengganu pada separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala Terengganu pada Selasa.

Kelantan layak dengan agregat 6-5 selepas mereka mencatatkan kemenangan 4-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Sabtu lepas.

Satu lagi perlawanan separuh akhir kedua antara Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) berlangsung di Stadium Darulmakmur, Kuantan, pada pukul 8.45 malam Selasa.

Johor DT menang 1-0 pada separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lepas.

- BERNAMA


Ahad, Mei 26, 2013

China Juara Badminton Piala Sudirman 2013

Juara bertahan, China merangkul kejuaraan kali kesembilan Kejohanan Badminton Piala Sudirman 2013 dengan menundukkan Korea Selatan 3-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pada perlawanan hari ini, beregu campuran nombor satu dunia , Xu Chen/Ma Jin tidak berdepan masalah menundukkan Ko Sung Hyun/Kim Ha Na dengan keputusan 21-13 dan 21-15 untuk memberikan mata pertama kepada negara Tembok Besar itu.

Perseorangan lelaki kedua dunia, Chen Long menghasilkan mata kedua untuk China selepas beliau mudah menewaskan Lee Dong Keun dalam permainan  straight-set 21-15 dan 21-10

Akhirnya, beregu lelaki nombor enam dunia, Liu Xialolong/Qiu Zihan memastikan kejuaraan milik China selepas beliau menundukkan Ko Sung Hyun/Lee Yong Dae dengan 21-19 dan 21-17 dalam masa 45 minit.

Berdasarkan rekod,  China telah mengungguli kejohanan itu sebanyak lapan kali pada 1995, 1997, 1999, 2001, 2005, 2007, 2009 dan 2011 selain muncul naib juara pada 2003 di Belanda.

- SINAR HARIAN

Isnin, Mei 13, 2013

Trofi terakhir Alex Ferguson untuk Manchester United


Perlawanan terakhir Alex Ferguson sebagai pengendali Manchester United berkahir dengan kejayaan 2-1, pada perlawanan Liga Perdana ke atas Swansea City, di Old Trafford, dan penyokong memberikan tepukan gemuruh penuh emosi buat pengurus paling lama berkhidmat dengan kelab itu, awal pagi tadi.

Pemain pertahanan, Rio Ferdinand menyumbat gol kemenangan untuk juara hanya tiga minit sebelum perlawanan tamat, satu lagi jaringan lewat bagi meraikan perkhidmatan 26 tahun Ferguson buat kelab itu.

Ferguson, pada perlawanan ke-1,499 menerima sambutan gemuruh daripada penyokong dan pemain kedua-dua pasukan ketika dia berjalan untuk mendapatkan pasukannya di dalam hujan.

Dia kemudiannya memegang mikofon dan berkata: “Semua yang bersama kelab dan penyokong adalah pengalaman paling bernilai dalam hidup saya.

"Terima kasih. Saya adalah pengurus yang bernasib baik untuk mengurus pemain terbaik. Mereka memenangi kejuaraan dengan begitu bergaya sekali. Tahniah kepada mereka.

“Apabila kita melalui waktu yang sukar, semua bersama saya dan tugas baru anda ialah terus bersama pengurus baru (David Moyes).”

Apabila Ferguson meninggalkan padang, pemain United masuk ke padang untuk menerima trofi Liga Perdana yang juga gelaran juara kali ke-20 buat kelab itu.

Ketua pasukan United, Nemanja Vidic menerima trofi berkenaan tetapi kemudian dia menyerahkannya kepada Ferguson.

Ferguson jelas membuktikan keberanian apabila mengetepikan penyerang Wayne Rooney daripada skuad yang kemudian mencetuskan spekulasi mengenai masa depan pemain itu.

Pemain tengah, Paul Scholes, yang membuat kemunculan ke-717 dan terakhir untuk United, digantikan selepas 66 minit perlawanan berlangsung dan meninggalkan padang dengan tepukan gemuruh.

Ryan Giggs, yang beraksi untuk Ferguson bagi kesemua 13 gelaran menggantikan rakan sepasukannya ketika Swansea bertali arus menyerang kubu tuan rumah tetapi United pula yang menemui gol kemenangan.

Jelas sekali dengan suasana karnival dan hujan renyai di Old Trafford, United memberikan hadiah sempurna pada hari persaraan Ferguson dan Scholes.

- Agensi

 

Wigan juara Piala FA Inggeris 2013



LONDON – Pengurus Wigan, Roberto Martinez berharap kejayaan mereka menjulang gelaran juara Piala FA mampu menyuntik semangat anak-anak buahnya untuk terus kekal dalam Liga Perdana England.

Skuad The Latics berjaya menewaskan Manchester City 1-0 pada final di Stadium Wembley itu hasil jaringan lewat pemain gantian, Ben Watson.

Namun, di sebalik pencapaian menakjubkan itu, Wigan bagaimanapun masih bergelut untuk kekal dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Mereka kini kekurangan tiga mata kurang daripada zon selamat dengan baki dua lagi perlawanan untuk diharungi, namun Martinez berharap kejayaan menjulang trofi Piala FA ini mampu menjadi sumber inspirasi kepada para pemainnya.

“Kami akan terus berjuang dengan misi mengutip enam mata bagi menyelamatkan pasukan daripada tersingkir.

“Hari ini (awal pagi semalam) sangat istimewa kerana kami memenangi trofi buat Wigan Athletic. Ia satu sejarah yang sungguh menakjubkan.”

Martinez turut memuji semangat juang yang dipamerkan pasukannya untuk mencipta sejarah paling mengejutkan dalam saingan Piala FA.

“Ia satu detik yang menakjubkan. Babak pertama kami sudah hilang semangat kerana kami ingat kami telah beraksi dengan baik,” katanya.

“Kami banyak melepaskan peluang, namun pemain pasukan ini tetap meneruskan perjuangan.

“Saya sudah mula fikir bahawa perlawanan akhir ini akan berlanjutan ke masa tambahan, tetapi apabila kami berjaya menjaringkan gol, ia sesuatu yang luar biasa.

“Hari ini (awal pagi semalam), kita telah melihat bagaimana sebuah pasukan bukan pilihan beraksi dengan berani serta mempunyai keyakinan yang mengagumkan untuk mengetepikan semua perkara yang mustahil.

“Kami akhirnya menjulang trofi Piala FA selepas kejayaan membenam pasukan elit dalam bola sepak England.

“Namun, perjuangan kami belum selesai. Misi seterusnya adalah untuk memastikan kami tidak tersingkir daripada Liga Perdana England. Ia nampak sukar, tetapi kami belum mahu menyerah. Kejayaan menjulang trofi Piala FA akan menguatkan semangat kami selepas ini,” kata Martinez.”

– Agensi
 

Khamis, April 18, 2013

Chong Wei, Pandalela Olahragawan dan Olahragawati Negara 2012


Seperti  yang diramal, jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan ratu terjun negara, Pandalela Rinong dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Negara pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2012 di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya malam tadi.

Kejayaan Chong Wei, 30, dan Pandelela, 19, menyumbang kilauan pingat pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London ternyata menjadi pencapaian cemerlang buat kedua-dua atlet negara berkelas dunia itu.

Pada temasya itu, Chong Wei memenangi pingat perak dalam acara badminton selepas tumpas kepada musuh ketat, Lin Dan dari China manakala Pandalela pula memenangi pingat gangsa dalam acara terjun 10 meter individu platform.

Lebih membanggakan, Pandelela yang memenangi anugerah Atlet Terbaik 2012 anjuran Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) turut memahat sejarah baharu apabila menjadi atlet wanita pertama negara yang menyumbang pingat pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Atlet berketurunan Bidayuh dari Sarawak itu turut memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA/Media di Dubai Mac tahun lalu dan menduduki tempat keempat pada Kejuaraan Terjun Siri Dunia 2012 di Moscow April iaitu kedua-duanya dalam acara yang sama.

Kehebatan Chong Wei yang memegang tampuk ranking No. 1 dunia dengan rekod selama 40 bulan sejak September 2008 sukar untuk dipertikaikan lagi apabila dia memenangi gelaran Terbuka Malaysia, Terbuka Korea Selatan, GP Emas Terbuka Malaysia, Terbuka Jepun dan Terbuka Denmark sepanjang kempen musim lalu.

Untuk rekod, gelaran ini adalah yang kedua buat Pandalela selepas memenanginya pada 2011 manakala bagi Chong Wei yang baru mendapat berita gembira bergelar bapa pada minggu lepas, pernah memenanginya pada 2011, 2008 dan 2005.

Antara atlet lain yang turut dicalonkan untuk kategori Olahragawan 2012 ialah Muhd. Syafiq Ridhwan (boling), Bryan Nickson Lomas (terjun), Ricky Leong Tze Wai (karate), Sazali Samad (bina badan), Khairul Anuar Muhammad (memanah) dan Yu Peng Kwan (lawan pedang).

Calon bagi kategori Olahragawati 2012 pula adalah Nicol Ann David (skuasy), Nur Suryani Muhd. Taibi (menembak), Cheah Mei Lan (boling), Chai Fong Ying (wushu), Quzandria Nur Muhd. Fathil (ekuestrian) dan Fatehah Mustapa (basikal).

Selaku pemenang anugerah tersebut, Chong Wei dan Pandalela membawa pulang wang berjumlah RM20,000 setiap seorang bersama trofi iringan.

Sementara itu, pasukan hoki remaja Malaysia (projek 2013) pula dinobatkan Pasukan Lelaki Kebangsaan Terbaik selepas menjuarai Piala Remaja Asia 2012 di Melaka manakala pasukan skuasy wanita yang dibarisi Nicol, Low Wee Wern, Delia Odette Arnold dan Siti Munirah Jusoh dinobatkan Pasukan Wanita Kebangsaan 2012.

Jurulatih perseorangan badminton negara, Abdul Rashid Mohd. Sidek pula muncul Jurulatih Lelaki Kebangsaan namun bagi Jurulatih Wanita Kebangsaan tiada pemenang diumumkan.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abdul Wahab dan pegawai pembangunan bola sepak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Datuk Seri Paul Mony Samuel pula diberi anugerah Kepimpinan Sukan atas sumbangan besar mereka dalam sukan negara.

Pelumba Moto3 negara yang beraksi bersama pasukan Red Bull KTM Ajo pula diberi anugerah khas bersama-sama atlet angkat berat berusia 78 tahun, Ng. Chow Seng.

Turut mencemar duli pada majlis tersebut ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Shabery Cheek dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong.

- KOSMO!

 

Isnin, April 15, 2013

Malaysia Juara Badminton Piala Axiata 2013


Skuad badminton negara muncul juara Kejohanan Badminton Piala Axiata 2013 apabila menundukkan Thailand 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Ternyata kejutan yang dilakukan pemain No. 1, Datuk Lee Chong Wei untuk tampil buat kali pertama pada Piala Axiata berjaya menguatkan lagi strategi skuad negara untuk mengungguli kejohanan berpasukan berprestij itu.

Mengulas mengenai kemenangan itu, ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek menjelaskan bahawa kehadiran Chong Wei telah menambahkan lagi keyakinan para pemain untuk tampil dengan lebih bersemangat.

"Kalau kejohanan berpasukan, kita (Malaysia) memang susah hendak menang kerana pasukan-pasukan lain lebih kuat.

"Malam ini (semalam), kehadiran Chong Wei membantu melonjakkan semangat berpasukan dalam kalangan pemain, dan saya juga yakin dapat meraih mata menerusi perseorangan lelaki," kata Rashid.

Selaku juara, skuad negara membawa pulang hadiah wang wang tunai AS$400,000 (RM1.2 juta) dengan trofi kejuaraan, manakala Thailand yang meraih tempat kedua menerima AS$200,000 (RM608,500)

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datin Seri Rosmah Mansur, Presiden BAM, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim.

Pada aksi tersebut, skuad negara ketinggalan 0-1 apabila perseorangan wanita, Sonia Cheah Su Ya tewas 16-21, 17-21 kepada pemain No.8 dunia, Ratchanok Intanon pada perlawanan pertama.

Begitupun, Malaysia kembali menyamakan kedudukan menerusi gandingan mantap beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang mudah menundukkan Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam untuk mengikat Thailand 1-1.

Pada aksi kedua itu, beregu campuran No. 5 dunia itu mengalahkan Prapakamol-Thoungthongkam (No. 6) 21-16, 21-12.

Chong Wei yang tampil dalam perseorangan lelaki, menyumbangkan mata kedua negara apabila menewaskan pemain No. 25 dunia, Tanongsak Saensomboonsuk 21-12, 21-18.

Kemenangan Malaysia disahkan oleh beregu utama negara, Tan Boon Heong-Koo Kien Keat yang menewaskan Boonsak Ponsana-Songphon Anugritayawon 21-10, 21-17.

Pada edisi pertama tahun lepas, kedua-dua pasukan negara, Malaysia Tiger dan Malaysia Leopard tersingkir pada pusingan separuh akhir selepas tewas kepada Indonesia Garuda dan Indonesia Rajawali.

- KOSMO!

 

Khamis, April 04, 2013

Tunku Mahkota Johor letak jawatan Presiden PBNJ


Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meletak jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Menurutnya, keputusan itu diambil setelah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan juga hasil perbincangan bersama Penasihat Undang-undang Negeri Johor.

"Keputusan ini saya buat kerana saya merasakan jika saya memegang jawatan sebagai presiden dan pada masa yang sama saya juga adalah Tunku Mahkota Johor, maka amat sukar untuk saya mentadbir urus PBNJ yang sentiasa terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM.

"Oleh kerana itu, saya membuat keputusan untuk menjadi dan mentadbir PBNJ sebagai Penaung, serta-merta mulai hari ini.

"Jawatan baru ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang dan juga kelebihan bagi saya mentadbir urus dalam PBNJ termasuklah dalam aspek pengurusan kewangan, kebajikan kakitangan PBNJ dan juga pemain-pemain di samping dapat membuat keputusan yang lebih tepat apabila saya memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam persatuan ini," katanya.

Pada masa yang sama, Tunku Ismail memaklumkan jawatan presiden akan disandang Datuk Obet Tawil yang juga Setiausaha Kerajaan Johor.

Kenyataan Tunku Ismail ini diperoleh menerusi e-mel yang dihantar Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd Fahmy Yahya kepada Sinar Harian.



BERIKUT KENYATAAN PENUH TUNKU ISMAIL:

"Saya, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Makhkota Johor, dengan ini ingin memaklumkan bahawa saya telah membuat keputusan dan mendapat titah perkenan dari DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Darul Takzim, dan juga hasil daripada perbincangan bersama Penasihat Undang-undang Negei Johor, dengan ini, saya meletakkan jawatan saya sebagai Presiden dalam Persatuan Bolasepak Negeri Johor.

Keputusan ini saya buat kerana saya merasakan jika saya "memegang jawatan sebagai Presiden dan pada masa yang sama saya juga adalah Tunku Mahkota Johor, maka amat sukar untuk saya mentadbir urus Persatuan Bolasepak Negeri Johor yang sentiasa terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM.

Oleh kerana itu, saya membuat keputusan untuk menjadi dan mentadbir PBNJ sebgai Penaung, serta merta mulai hari ini. Ini kerana mengikut hirarki protokol, saya sebagai Tunku Mahkota Johor adalah selayaknya memegang jawatan sebagai Penaung dalam PBNJ. Dengan jawatan saya sebagai Penaung, ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang dan juga kelebihan bagi saya mentadbir urus dalam PBNJ termasuklah dalam aspek pengurusan kewangan, kebajikan kakitangan PBNJ dan juga pemain-pemain di samping dapat membuat keputusan yang lebih tepat apabila saya memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam persatuan ini.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penyokong bolasepak negeri Johor di seluruh pelusuk tanah air yang mana telah bersusah payah beramai-ramai memberi sokongan yang tidak terbatas kepada pasukan bola sepak negeri Johor selama ini. Sokongan padu daripada anda semua amatlah saya hargai dan saya harapkan agar ianya berterusan sampai bila-bila kerana dengan adanya sokongan anda, pasukan Johor boleh terus gah berdiri di persada bolasepak tanah air.

Untuk makluman semua, jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor Darul Takzim selepas ini akan disandang oleh Datuk Obet Bin Tawil, Setiausaha Kerajaan Johor. Saya berharap anda semua dapat memberi sokongan yang penuh kepada beliau dan anda semua tidak perlu risau kerana saya sentiasa berada di sini bersama anda semua sebagai Tunku Mahkota Johor dan juga saya akan sentiasa memantau dan mengikuti segala perjalanan dan juga aktiviti bola sepak negeri Johor ini dari perigkat akar umbi sehinggalah ke peringkat yang lebih global.

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan penyokong-penyokong bolasepak negeri Johor yang selama ini menyokong dan memberi kepercayaan kepada saya dalam menaikkan nama baik PBNJ. Saya juga menyeru agar sokongan padu dari para penyokong akan sentiasa berterusan demi menaikan imej dan juga mutu pemain-pemain bolasepak negeri Johor dan juga PBNJ.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullah Hiwabarhakatuh."

- SINAR HARIAN
 

 

Rabu, Mac 20, 2013

David Beckham pemain bolasepak paling mahal di dunia



Pemain veteran England, David Beckham kekal mendahului senarai penerima bayaran tertinggi dalam kalangan pemain bola sepak dunia.

Sebuah majalah bola sepak di Perancis melaporkan bahawa bekas bintang Manchester United, Real Madrid dan Los Angeles Galaxy berusia 37 tahun yang sudah berada di penghujung karier itu mengatasi bintang terbaik dunia, Lionel Messi dan pemain sayap prolifik Portugal serta Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Sumber itu mendedahkan bahawa Beckham menerima 36 juta Euro (RM145 juta) sepanjang musim 2012/2013 bagi mendahului pemain terbaik dunia sebanyak empat kali, Messi.

Beckham yang meninggalkan LA Galaxy pada Disember tahun lalu dan kini menyertai Paris Saint-Germain (PSG) dilaporkan menerima gaji tahunan sebanyak 1.7 juta Euro (RM6.8 juta), 1.3 juta Euro (RM5.2 juta) lagi diperoleh menerusi bayaran bonus manakala 33 juta Euro (RM133 juta) pula pendapatan sampingan termasuk pengiklanan.

Dalam pada itu, ketika Beckham menandatangani kontrak bersama kelab gergasi Perancis, PSG dahulu, dia mengumumkan bahawa semua pendapatannya sepanjang di kelab tersebut akan disumbangkan kepada badan kebajikan.

Sementara itu, bintang Argentina dan Barcelona, Messi pula menerima pendapatan berjumlah 35 juta Euro (RM141 juta) termasuk 13 juta Euro (RM52 juta) menerusi gaji dan bonus termasuk lain-lain sumber.

Ronaldo pula menduduki tempat ketiga dengan jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak 30 juta Euro (RM121 juta) termasuk 13.5 juta Euro (RM54.5 juta) menerusi gaji serta bonus.

Selain itu, sumber tersebut turut mendedahkan bahawa jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho pula mendahului senarai penerima pendapatan paling lumayan dalam kalangan jurulatih di dunia.

Mourinho memperoleh pendapatan sebanyak 14 juta Euro (RM56.6 juta) mengatasi Carlo Ancelotti (PSG) dan Marcello Lippi (Guangzhou Evergrande) yang masing-masing menerima 12 juta Euro (RM48 juta) dan 11 juta Euro (RM44 juta).

- AFP

 

Isnin, Mac 18, 2013

Malaysia Naib Juara Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2013


Hajat Malaysia untuk menamatkan penantian bergelar juara selama 22 tahun pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) tidak kesampaian apabila tewas 2-3 kepada Australia pada aksi final edisi ke-22 kejohanan itu di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, malam tadi.

Meskipun berjaya menampilkan corak permainan yang menyakinkan dan penuh bertenaga sehingga mengikat Australia 2-2 sepanjang 70 minit permainan, kealpaan barisan pertahanan yang hilang konsentrasi pada hujung permainan, akhirnya memakan diri apabila pasukan No. 2 dunia itu mendapat gol kemenangan ketika permainan berbaki lima saat untuk ditamatkan.

Konsentrasi jelas masih menjadi satu masalah kepada pemain negara, dan jurulatih, Paul Revington dan Arul Selvaraj harus mencari jalan bagi mengatasi masalah itu secepat mungkin jika mahu menamatkan kemarau kejayaan di pentas antarabangsa.

Ini merupakan percubaan keempat Malaysia untuk memenanginya selepas tiga kali gagal di final iaitu tumpas kepada India pada 1985, Australia (2007) dan India (2009).

Apa pun, pujian harus diberikan terhadap anak-anak buah Paul Revington dan Arul Selvaraj itu yang berjaya menampilkan persembahan menarik dan bertenaga sepanjang edisi 2013 ini, sehingga ke aksi final semalam.

Sepanjang kejohanan ini, Malaysia menang 3-2 ke atas Korea Selatan dan menang 2-1 dengan New Zealand sebelum seri 1-1 dengan Australia serta seri 2-2 menentang Pakistan dan India.

Meskipun gagal, pemain negara masih tetap berjaya memenangi hati peminat hoki tempatan setelah mempamer persembahan yang hebat, dan ia satu peningkatan yang memberangsangkan bagi sebuah pasukan yang menduduki ranking ke-13 dunia.

Dalam misi memburu kejuaraan pertama di hadapan lebih 15,000 penonton di Ipoh semalam, skuad negara bangkit daripada prestasi hambar ketika seri 2-2 dengan India kelmarin dengan melakukan asakan bertali arus ke pintu gol Australia.

Hasilnya, skuad negara memperoleh gol pertama menerusi pukulan sudut penalti Faizal Saari seawal minit ketiga.

Namun, Australia bangkit menjaringkan gol penyamaan menerusi Nicholas Budgeon pada minit ke-29 hasil daripada pukulan sudut penalti sebelum Craig Boyne meletakkan skuad Kookaburra itu di depan 2-1 hasil jaringan padang lima minit sebelum masa rehat.

Babak kedua menyaksikan kebangkitan Malaysia yang mula mencari gol penyamaan, dan hasilnya Tengku Ahmad Tajuddin berjaya menggembirakan penyokong Malaysia menerusi jaringan pada minit ke-49.

Bagaimanapun ketika permainan dilihat hampir dilanjutkan ke masa tambahan jaringan emas, kealpaan pertahanan negara dihukum dengan jaringan Trent Milton lima saat sebelum permainan tamat.

- KOSMO!

 

Sabtu, Mac 09, 2013

Aktiviti sukan tidak bebankan guru dan murid

Pelbagai program sukan yang dianjurkan di sekolah adalah sejajar dengan keperluan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu melahirkan generasi murid di negara ini yang holistik, cemerlang serta seimbang dalam pencapaian akademik dan sukan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Kementerian Pelajaran, Datuk Sufa'at Tumin berkata, aktiviti atau pencapaian sukan di sekolah tidak boleh diabaikan kerana ia sama penting dengan akademik malah merupakan bentuk pembelajaran yang wajib diamalkan setiap pelajar.

Menurutnya, aktiviti sukan sekolah seperti pertandingan rumah sukan, merentas desa atau sukan daerah-daerah sudah lama dipraktikkan malah sudah sinonim di peringkat pendidikan rendah dan menengah bagi memastikan perkembangan murid seiring dengan akademik.

"Oleh itu, tidak timbul isu bahawa aktiviti sukan ini membebankan guru ataupun murid kerana ia bergantung kepada pihak sekolah menyusun atur program sukan tanpa menganggu pembelajaran murid,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Katanya, kepentingan murid melibatkan diri dalam kegiatan sukan dan kokurikulum sekolah telah mula dipraktikkan sejak tahun 1985 dan kementerian seterusnya memperkasakan program itu menerusi pelaksanaan dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S).

"Jadi, 1M1S bukan lagi benda baharu kerana penyertaan murid dalam sukan sudah lama dipraktikkan cuma 1M1S ini lebih mempromosikan program sukan sekolah yang sedia ada.

"Sebelum ini, kita tidak mewajibkan murid terlibat dalam aktiviti sukan tetapi di bawah 1M1S setiap murid wajib terlibat dalam sukan selaras dengan keperluan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,'' kata beliau.

Usaha yang digerakkan itu, katanya, adalah satu tindakan berterusan ke arah memperkembang potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu.

Ujar beliau, ia bertujuan untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan.

''Hal ini sekali gus melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara,'' ujarnya

Menurut Sufa'at, kegiatan sukan di sekolah boleh dijalankan dengan lebih terancang dan menepati matlamat sekiranya dilaksanakan berlandaskan tanggungjawab sebagai pendidik dan tidak menganggapnya satu kerja yang membebankan.

Pada masa yang sama, kata beliau, berdasarkan impak awal daripada pelaksanaan 1M1S, murid mempunyai peluang lebih terbuka untuk terlibat dalam aktiviti sukan yang sebelum ini didominasi murid cemerlang atau mereka yang aktif bersukan.

Misalnya, kata beliau, baru-baru ini kementerian menganjurkan Kejohanan Piala Menteri 1Murid 1Sukan khusus untuk murid yang tidak berpeluang mewakili sekolah dalam mana-mana pertandingan dan seramai 68,256 murid berpeluang menyertai pertandingan tersebut.

''Lebih ramai murid hadir mengikuti pemilihan mewakili sekolah ke pertandingan itu dan pihak sekolah tidak mempunyai masalah menyediakan wakil dan bagi kes ini, dua sekolah boleh dijadikan rujukan iaitu SMK Tasik Permai Ampang dan SRK Seri Indera di Kangar, Perlis,'' katanya.

Beliau memberitahu, dasar 1M1S juga tidak mengganggu masa pembelajaran murid kerana dilaksanakan mengikut penjadualan dan kemampuan pihak sekolah.

Selain itu, beliau memberitahu, murid yang berlatih atau menyertai kejohanan akan disediakan modul pembelajaran oleh pihak sekolah manakala atlet yang berlatih atau bertanding di luar negara pula pada tempoh masa agak lama, seorang guru akan mengiringi dan mengajar modul pembelajaran pada waktu malam.

"Keadaan ini kita sudah lama laksanakan misalnya, semasa Pandelela Rinong berlatih di China bagi persiapan Sukan Olimpik lalu, seorang guru mengiringinya bagi membantu dia dalam pembelajaran,'' katanya.

- UTUSAN

Sabtu, Februari 02, 2013

Shahidan Kassim letak semua jawatan dalam FAM


Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim meletak jawatan dalam dua jawatankuasa kecil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas menerima surat pertuduhan daripada badan induk sukan bola sepak negara itu yang mendakwa beliau membuat kenyataan kepada media menyentuh kepimpinan FAM.

Beliau menerima surat tersebut semalam, yang memintanya mengemukakan surat tunjuk sebab mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya.

Shahidan, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis berkata, beliau tidak akan menjawab surat itu, sebaliknya memutuskan untuk meletak jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan serta ahli Jawatankuasa Bolasepak Wanita.

“Saya juga berhasrat untuk meletak jawatan sebagai Presiden PFA tetapi buat masa ini, saya perlu menjadi penasihat kepada persatuan tersebut untuk membantu mencari sumber kewangan bagi membayar gaji pemain dalam skuad negeri sekarang.

“Keputusan muktamad mengenai perkara ini (peletakan jawatan) akan diumumkan beberapa hari lagi,” katanya.

- KOSMO!

Isnin, Januari 21, 2013

Chong Wei juarai Badminton Terbuka Malaysia 2013

 Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei melakar nama sebagai pemain negara paling berjaya selepas memenangi kejuaraan Terbuka Malaysia dengan bergaya untuk kali kesembilan di Stadium Putra di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad, 20 Januari 2013.

Pada perlawanan akhir, pemain berusia 30 tahun yang merupakan pilihan utama dan juara bertahan dengan mudah menyingkirkan cabaran pemain pilihan kelapan Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia dengan 21-7 dan 21-8 hanya dalam masa 32 minit.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu sebelum ini memenangi gelaran juara Terbuka Malaysia pada tahun 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011 dan 2012.

Kemenangan itu menyaksikan Chong Wei memecah rekod Wong Peng Soon yang menjuarai perseorang lelaki kejohanan itu sebanyak lapan kali iaitu pada tahun 1940, 1941, 1947, 1949, 1950, 1951, 1952 dan 1953.

Terdahulu, lebih 6,000 penonton yang memenuhi stadium kecewa apabila beregu campuran negara Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying kalah 13-21 dan 18-21 di tangan pilihan kedua, Joachim Fischer Nielsen dan Christinna Pedersen dari Denmark.

Pada perlawanan beregu lelaki, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan dari Indonesia yang bukan pemain pilihan membuat kejutan apabila mengalahkan pemaih pilihan keenam Ko Sung Hyun dan Lee Yong Dae dari Korea Selatan dengan 21-15 dan 21-13.

Sensasi remaja China Taipei, Tai Tzu Ying meneruskan persembahan mengagumkan apabila menjuarai kategori perseorangan wanita selepas mengalahkan Yao Xue dari China dengan 21-17 dan 21-14.

Pilihan kelima, Bao Yixin dan Tian Qian dari China juga membuat kejutan apabila mengalahkan pilihan kedua Misaki Matsutomo dan Ayaka Takahashi dari Jepun dengan 21-16 dan 21-14 dalam kategori beregu wanita.

Pemenang kategori beregu masing-masing membawa pulang AS$31,600 (RM95,211), perseorangan AS$30,000 (RM90,390) manakala tempat kedua semua kategori menerima AS$15,200 (RM45,797).

Presiden Kumpulan Maybank dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menyampaikan trofi dan cek kepada pemenang.

Turut hadir pada perlawanan akhir itu ialah Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong dan Timbalan Presiden Persekutuan Badminton Dunia Paisan Rangsikitpho.

- BERNAMA

Ahad, Januari 06, 2013

ATM Juara Piala Sultan Ahmad Shah - Sumbangsih 2013



SHAH ALAM - Semangat juang yang tinggi menjulang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merangkul Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama dengan menundukkan juara tiga trofi musim lalu, Kelantan di Stadium Shah Alam malam tadi melalui penentuan sepakan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 pada 90 minit permainan.

Ketika permainan hanya berbaki lima minit, pertahanan ATM, Irwan Fadzly Idrus muncul wira The Gladiators dengan menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan bebas dari jarak 25 meter.

Jaringan itu memadamkan gol Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-55, sekali gus mengheret pemenang ditentukan menerusi penalti.

Di hadapan 40,000 penonton, Daudsu Jamaluddin menjadi watak kepada kegagalan Kelantan apabila gagal dalam penalti terakhir.

Kesempatan itu diambil oleh Bruno Martelotto yang menyempurnakan sepakan untuk mengesahkan kemenangan ATM.

Kemenangan malam tadi memastikan dendam kekalahan ATM pada perlawanan akhir Piala Malaysia kepada Kelantan tahun lalu akhirnya terbalas.

Sebelum sepakan Martelotto, Rizal Fahmi Rosid dari Kelantan dan pemain ATM, R. Surendran masing-masing gagal pada sepakan keempat, selepas tiga sepakan awal dapat disempurnakan oleh kedua-dua pasukan.

ATM wajar diangkat sebagai pemenang kerana mempamerkan permainan yang lebih kemas dan teratur berbanding Kelantan, yang tampak belum panas serta mempamerkan aksi yang perlahan sepanjang 90 minit perlawanan.

Bertambah manis, Irwan Fadzly turut dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan kerana bukan sahaja menjadi penjaring gol ATM tetapi menafikan sekurang-kurangnya dua percubaan terbaik Kelantan.

Pada perlawanan semalam, Mohd. Shazwan Yusof menjadi pilihan Bojan Hodak selaku penjaga gol utama selepas kehilangan Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd. Shahrizan Ismail selain turut membariskan Zairo Anuar Zailani antara muka baru dalam kesebelasan utama.

Pemain muda ATM, Syazuan Hazani hampir membuatkan penyokong Kelantan tergamam pada minit ke-15 selepas menerima hantaran Martelotto dan berjaya melakukan rembatan kencang tetapi palang menjadi penghalang kepada hasrat ATM untuk mendahului.

Biarpun tenggelam dengan penguasaan bola yang berpihak kepada ATM, Kelantan turut melancarkan serangan sekali sekala dengan percubaan jarak jauh Zairo Anuar Zailani pada minit ke-19 yang dapat diselamatkan Farizal Harun.

Kegoyahan aksi penjaga gol ATM, Farizal Harun hampir membuka ruang kepada Kelantan mendapatkan gol pada minit ke-40 apabila hantaran ke belakang Amiridzwan Taj Tajudin dapat dicuri oleh Keita Mandjou, namun mujur percubaannya dapat ditampan oleh pertahanan berpengalaman, Irwan Fadzly Idrus, yang berada di hadapan pintu gol.

Selepas aksi perlahan pada babak pertama, Red Warriors bangkit pada babak kedua dengan lebih banyak gerakan bertenaga diaturkan oleh jentera tengah yang diketuai Mohd. Badhri. Mohd. Radzi.

Gol yang dinanti-nantikan akhirnya menjelma pada minit ke-55 melalui percubaan kencang Indra Putra Mahayuddin di dalam kotak penalti yang mengenai pertahanan ATM lantas memperdayakan Farizal sebelum bola melantun ke gawang.

Irwan sekali lagi muncul penyelamat buat pasukannya apabila berada tepat di depan pintu gol menyepak keluar bola percubaan Zamri Ramli pada minit ke-80 sebelum dia meledak gol penyamaan menerusi sepakan percuma lima minit kemudian.

- UTUSAN

Khamis, November 15, 2012

Malaysia Seri 1 - 1 Menjelang Piala Suzuki AFF



SHAH ALAM - Hanya 10 hari lagi menjelang Piala Suzuki AFF, prestasi Harimau Malaya terus mencetuskan kebimbangan apabila hanya mampu sekadar seri 1-1 dengan Hong Kong dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Duka kekalahan kepada Vietnam dan Thailand sebelum ini nampaknya belum cukup menyedarkan anak-anak buah Datuk K.Rajagobal, sebaliknya terus terkial-kial untuk mencari rentak menyakinkan yang begitu ketara dalam aksi malam tadi.

Lebih kecewa Harimau Malaya mempersia-siakan peluang untuk memenangi perlawanan di hadapan 5,000 penonton walaupun pasukan lawan beraksi dengan 10 pemain selepas Lee Chi Ho mendapat kad merah lapan minit sebelum permainan tamat, apabila Hong Kong mencuri gol penyamaan pada minit ke-88 melalui Lam Hok Hei.

Jaringan penyamaan Hong Kong gara-gara kesilapan Mohd. Aidil Zafuan yang menyepak lemah kepada Khairul Fahmi Che Mat lalu disambar Hok Hei, yang bersahaja membawa bola ke dalam pintu gol bagi perlawanan berkesudahan seri 1-1.

Sebelum itu, Safee Sali meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-58 apabila memanfaatkan hantaran silang Amar Rohidan dengan menanduk kemas ke arah penjuru kanan pintu gol Hong Kong.

Corak hantaran Harimau Malaya ternyata tidak tersusun di samping kegagalan bahagian tengah yang dikemudi Safiq Rahim dan Amar mengawal permainan sehingga membuka ruang kepada Hong Kong mengatur beberapa percubaan berbahaya.

Hanya persembahan Safee dan Norshahrul Idlan Talaha memberikan sedikit kegembiraan kepada penyokong apabila beberapa kali melancarkan percubaan yang hampir menemui sasaran.

Sepakan gunting menarik Safee yang menerima umpanan Norshahrul pada minit ke-16 sedikit tersasar sebelum penyerang Pelita Jaya itu melepaskan sekali lagi peluang keemasan 15 minit kemudian apabila rembatan leret pemain itu dari sebelah kiri mudah ditangkap Yapp Hung Fai.

Sementara itu, Rajagobal ternyata kecewa dengan keputusan semalam ketika hasratnya mahu mencari kemenangan semangat menjelang Piala Suzuki AFF, hampir bertukar menjadi bencana.

“Saya amat kecewa dengan keputusan ini. Selepas Safee menjaringkan gol, kita sepatutnya meningkatkan permainan.

“Namun kesilapan Aidil dan Khairul Fahmi menyebabkan keadaan menjadi sukar meraih kemenangan.

“Saya juga kecewa kerana beberapa pemain beraksi di bawah tahap sebenar mereka. Namun Hong Kong beraksi dengan corak permainan yang berbeza berbanding perlawanan sebelum ini," katanya.

- UTUSAN

 

Rabu, Oktober 31, 2012

Kelantan kuasai Anugerah Bolasepak 2012


Shah Alam: Keputusan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012, semalam dikuasai sepenuhnya pemain kebangsaan, sekali gus membuktikan skuad 35 pemain pilihan Datuk K Rajagobal untuk kempen Piala AFF Suzuki tahun ini dibarisi pemain terbaik negara.

Walaupun pemilihan pemenang untuk beberapa kategori menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir peminat, keseluruhannya anugerah hasil kerjasama 100Plus-Astro Arena-FAM ini mampu menyuntik semangat kepada pemain kebangsaan yang dicalonkan.

Mampu tersenyum

Juara treble musim ini, Kelantan mampu tersenyum puas apabila empat anugerah menjadi milik mereka dengan Norshahrul Idlan Talaha menggondol gelaran Pemain Paling Bernilai dan Penyerang Terbaik, Khairul Fahmi Che Mat (Penjaga Gol Terbaik) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) (Persatuan Terbaik).

Juara Liga Perdana, Tentera yang hampir mengecewakan harapan treble Kelantan pada aksi final Piala Malaysia 20 Oktober lalu, turut pulang dengan empat anugerah - Adil Zafuan Abdul Radzak (Pertahanan Terbaik), Marlon Alex James (Pemain Asing Terbaik), B Sathianathan (Jurulatih Terbaik) dan Kelab Penyokong Terbaik.

Gandingan mantap

Bagi Sathianathan yang pernah menjulang anugerah sama ketika membawa Kelantan menjuarai Piala Malaysia dua tahun lalu, kemenangan kali ini adalah hasil gandingan mantap pemain dan pengurusan Tentera yang memberi kepercayaan kepadanya untuk mengendali pasukan selepas meninggalkan Kelantan.

“Saya bangga dapat bersama dengan dua pasukan hebat - Kelantan dan Tentera,” kata pengendali 54 tahun itu yang digantung enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana mengkritik Liga Malaysia (Liga M).

KEPUTUSAN
PENJAGA GOL TERBAIK: Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)
PEMAIN PERTAHANAN TERBAIK: Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (Tentera)
PEMAIN TENGAH TERBAIK: Safiq Rahim (Selangor)
PENYERANG TERBAIK: Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)
PEMAIN HARAPAN: Mohd Rozaimi Abdul Rahman (Sabah)
PEMAIN PALING BERNILAI: Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)
PEMAIN ASING TERBAIK: Marlon Alex James (Tentera)
JURULATIH TERBAIK: B Sathianathan (Tentera)
PERSATUAN TERBAIK: KAFA
KELAB TERBAIK: Sime Darby
KELAB PENYOKONG TERBAIK: Tentera
PENGADIL TERBAIK: Nafeez Wahab

- BERITA HARIAN
 

Ahad, Oktober 21, 2012

Kelantan Johan Piala Malaysia 2012


SHAH ALAM - Kelantan mengesahkan selaku kuasa besar bola sepak negara musim 2012 dengan melengkapkan kejuaraan treble selepas menjulang Piala Malaysia buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun apabila menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 dalam babak akhir, semalam.

Indra Putra Mahayuddin layak dijulang selaku wira The Red Warriors apabila jaringannya pada masa tambahan pada minit ke-96 hasil serangan pantas, menjulang Kelantan selaku juara Piala Malaysia edisi kali ke-96 sekali gus menjadikan tahun 2012 sebagai tahun paling bermakna dalam sejarah bola sepak Kelantan.

Jaringan kemenangan daripada Indra itu seolah-olah mengesahkan kata-kata pengendali Kelantan, Bojan Hodak pada sidang media pengurus pasukan kelmarin, yang mengatakan ATM tidak dapat bertahan sehingga penghujung perlawanan kerana terdiri daripada ramai pemain berumur.

Berpunca daripada gerakan pantas Shakir Shaari dan Mohd. Badri Mohd. Radzi atau Piya yang tidak dapat dibendung pemain ATM, Indra pantas mencari ruang kosong sebelum melepaskan rembatan menarik ke arah sebelah kanan pintu gol.

Sebelum itu, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo yang diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan akhir dua kali meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke-44 dan 50, namun dapat disamakan sebanyak dua kali oleh ATM melalui Rezal Zambery Yahya pada minit ke-49 dan Marlon Alex James pada minit ke-62.

Kekalahan ATM bermakna tiada lagi magis Hairuddin Omar dalam penampilan final kelima Piala Malaysia apabila buat pertama kali pemain berusia 33 tahun itu gagal membawa pulang trofi keagungan bola sepak negara bersama pasukan yang diwakilinya selepas melakukannya empat kali sebelum ini bersama Terengganu, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Dalam aksi akhir yang disaksikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra serta kira-kira 80,000 penonton itu, kedua-dua pasukan berjaya menampilkan permainan menghiburkan tetapi diselangi kekecohan di babak terakhir perlawanan ekoran keputusan pengadil yang mengundang kontroversi.

Malah, hampir terjadi pergaduhan ketika perlawanan tinggal lima minit untuk ditamatkan selepas pemain ATM bertindak meneruskan perlawanan ketika Indra mahukan Shakir yang cedera diberikan rawatan namun pengadil, Nafeez Abd. Wahab pantas membendung insiden lebih buruk daripada terjadi.

Barisan tengah ATM dilihat cukup pincang pada babak pertama biarpun dibarisi pemain berpengalaman seperti Rezal Zambery Yahya dan Bruno Martelotto apabila gagal merencanakan sebarang gerakan menarik.

Christie Jayaseelan dilihat sedikit gugup pada penampilan pertama di final selain Marlon Alex James dapat dirantai kemas oleh Obinna Nwaneri.

Situasi itu bijak dieksploitasi oleh Kelantan sepenuhnya yang mempamerkan rentak penuh bertenaga dengan sekurang-kurangnya empat percubaan tepat dengan salah satunya menembusi gawang ATM pada minit ke-44.

Kesilapan Farizal Harun yang tidak menangkap kemas rembatan Mat Yo yang menerima umpanan Mohd. Badri Mohd. Radzi atau Piya membuka tirai jaringan Kelantan, ketika perlawanan separuh masa pertama hanya menunggu masa untuk ditamatkan.

Pengendali ATM, B. Sathianathan bagaimanapun ternyata mempunyai percaturannya tersendiri pada separuh masa kedua dan pasukannya hanya menunggu masa selama empat minit sebaik permainan bermula untuk menyamakan kedudukan melalui Rezal Zambery hasil sepakan leret dari jarak 25 meter.

Kegembiraan ATM bagaimanapun hanya bertahan selama seminit apabila Norshahrul sekali lagi membuktikan bisanya belum hilang menerusi serangan balas pantas dan memperdaya K. Reuben sebelum melepaskan sepakan yang tidak diselamatkan Farizal.

Namun, semangat juang ATM sama sekali tidak padam, percaturan bijak Sathia memasukkan dua pemain gantian, Venice Elphi Danny Kaya dan Mohd. Fitri Omar mengambil alih peranan sayap kiri pada minit ke-60 ternyata membuahkan hasil mengkucar-kacirkan benteng Kelantan.

Selepas Venice dijatuhkan berhampiran kotak penalti di sebelah kiri pintu gol Kelantan, Marlon melonjak tinggi menanduk masuk ke dalam gawang bagi gol penyamaan ATM pada minit ke-62.

Kelantan bagaikan berada dalam lamunan kira-kira 15 minit perlawanan selepas ATM dapat menyamakan kedudukan tetapi tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan sehingga memaksa perlawanan diheret masa tambahan.

- MINGGUAN MALAYSIA

Khamis, Oktober 18, 2012

Persaingan Peroleh Hak Siar Musim Baru EPL Bermula



Perebutan untuk mendapatkan hak bagi menyiarkan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk empat tahun akan datang kini bermula.

Telekom Malaysia Bhd telah menyatakan minat mereka untuk EPL kepada StarBiz.

Ini bermakna ia akan bersaing dengan penyandang pemilik hak itu, Astro Malaysia Holdings Bhd bagi mendapatkan kandungan berkenaan.

Kedua-dua parti itu berkata telah mula mendapatkannya pada lewat 2009 untuk musim 2010-2012.

Pada masa itu, Astro muncul sebagai pemenang, dan dikhabarkan membayar sejumlah RM800 juta.

Harga itu dibayar dan nama-nama pembida untuk hak EPL adalah sulit.

Persaingan kali ini mungkin turut melibatkan Asian Broadcasting Network (ABN).

Syarikat kabel TV digital itu yang masih belum melancarkan perkhidmatannya turut menjadi pencabar yang perlu meningkatkan kandungan sukannya.

“Kami tidak tahu berapa banyak pihak yang menyatakan minat setakat ini, tetapi bidaan akan menjadi menarik untuk musim akan datang,” kata Naib Presiden Eksekutif untuk Media Baru TM, Jeremy Kuang.

“Kami sentiasa minat dalam kandungan yang baik dan kami menunjukkan minat itu. EPL merupakan aset paling baik yang akan membantu dalam menawarkan kandungan sukan kami,” tambah Kuang.

Astro tidak memberi maklum balas terhadap pertanyaan daripada StarBiz dan pemegang saham utama ABN, Datuk Kenneth Eswaran tidak dapat mengulas mengenainya.

Minggu lepas, EPL telah menghantar emel kepada beberapa pembida berpotensi bagi memaklumkan mereka bahawa proses bidaan akan ditetapkan untuk bermula bagi hak mudah alih dan TV.

Para pembida yang berpotensi perlu menunjukkan minat mereka sehingga 12 Oktober.

Parti yang berminat perlu menghantar bidaan mereka pada 8 November, selepas itu akan diadakan bidaan secara elektronik (e-bidaan) pada November atau Disember.

Tarikh sebenar e-bidaan itu akan ditetapkan kemudian.

Pemenang akan diumumkan pada Januari atau Februari dan parti yang berjaya perlu membayar lima peratus daripada harga bidaan dalam tempoh 30 hari bagi mendapatkan hak berkenaan.

Terdapat tiga musim untuk EPL, yang pertama akan bermula pada Ogos 2013 sehingga Mei 2014, dan dua musim seterusnya pada bulan yang sama bagi 2014/15 dan 2015/16.

Secara keseluruhan terdapat 380 perlawanan untuk musim baru dan musim ini akan berakhir pada suku kedua 2013.

Penyiar di seluruh dunia akan membayar sejumlah besar untuk mendapatkan kandungan perlawanan bola sepak popular itu dan Singapore Telecommunications (SingTel) mendapatkan haknya untuk perlawanan musim seterusnya bagi saluran televisten berbayarnya, memberikan kelebihan dari segi bilangan pelanggan yang lebih banyak berbanding pesaingnya, StarHub.

Di Thailand, para pemain bersedia untuk membina dan begitu juga dengan penyiar dan pemain industri media di Vietnam.

Menurut satu laporan bahawa tiga bulan lalu, BT dan BskyB dari UK membayar 3 bilion pound untuk hak EPL dari tahun depan sehingga 2016, memberi pukulan kepada pesaingnya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) iaitu penyiar sukan ESPN.

Soalan yang bernilai jutaan ringgit adalah berapa banyak pihak di Malaysia yang sanggup untuk membayar bagi mendapatkan kandungan itu.

Kuang percaya bahawa “terdapat peningkatan ketara dari musim ini dan ia dipengaruhi dengan peningkatan minat terhadap kandungan berkenaan oleh para pemain.”

Malaysia mempunyai peraturan untuk perkongsian kandungan dan ia tidak dijelaskan sekiranya parti yang menang akan berkongsi dengan pihak lain.

Di Singapura, SingTel mengecualikan perkongsian itu.

- MSTAR

Rabu, Oktober 17, 2012

30,000 tiket final Piala Malaysia 2012 untuk Kelantan dan ATM

 16 Okt. - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengedarkan sebanyak 30,000 keping tiket masing-masing kepada pasukan Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pengerusi jawatankuasa pengelola perlawanan akhir, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, tiket tersebut akan diedarkan secara berperingkat-peringkat, bermula dengan 10,000 keping tiket diedarkan kepada kedua-dua pasukan pada hari ini.

"Kita akan menjual baki 20,000 keping lagi tiket sekiranya kedua-dua pasukan mampu menjual tiket-tiket tersebut sebelum hari perlawanan.

"Jawatankuasa Tiket dan Pintu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mula menjual baki tiket yang tidak terjual di Stadium Shah Alam bermula Khamis ini sehingga hari perlawanan bermula pukul 9 pagi sehingga 7 petang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengelola perlawanan akhir di sini, hari ini.

Hamidin yang juga Naib Presiden FAM berkata bagi memudahkan penyokong kedua-dua pasukan masuk pada hari perlawanan, penyokong ATM dinasihatkan melalui pintu A, manakala penyokong Kelantan pintu C stadium.

"Kita berharap penyokong kedua-dua pasukan akan datang awal ke stadium bagi memastikan kelancaran perjalanan pada hari tersebut kerana pintu stadium akan dibuka bermula pukul 4 petang," katanya.

Pada masa yang sama, Hamidin turut mengingatkan penyokong kedua-dua pasukan agar tidak membawa masuk bahan larangan ke dalam stadium seperti alat tiupan dari Afrika iaitu "vuvuzelam" dan mercun.

- BERNAMA

Recent Posts