Isnin, Mac 18, 2013

Malaysia Naib Juara Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2013


Hajat Malaysia untuk menamatkan penantian bergelar juara selama 22 tahun pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) tidak kesampaian apabila tewas 2-3 kepada Australia pada aksi final edisi ke-22 kejohanan itu di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, malam tadi.

Meskipun berjaya menampilkan corak permainan yang menyakinkan dan penuh bertenaga sehingga mengikat Australia 2-2 sepanjang 70 minit permainan, kealpaan barisan pertahanan yang hilang konsentrasi pada hujung permainan, akhirnya memakan diri apabila pasukan No. 2 dunia itu mendapat gol kemenangan ketika permainan berbaki lima saat untuk ditamatkan.

Konsentrasi jelas masih menjadi satu masalah kepada pemain negara, dan jurulatih, Paul Revington dan Arul Selvaraj harus mencari jalan bagi mengatasi masalah itu secepat mungkin jika mahu menamatkan kemarau kejayaan di pentas antarabangsa.

Ini merupakan percubaan keempat Malaysia untuk memenanginya selepas tiga kali gagal di final iaitu tumpas kepada India pada 1985, Australia (2007) dan India (2009).

Apa pun, pujian harus diberikan terhadap anak-anak buah Paul Revington dan Arul Selvaraj itu yang berjaya menampilkan persembahan menarik dan bertenaga sepanjang edisi 2013 ini, sehingga ke aksi final semalam.

Sepanjang kejohanan ini, Malaysia menang 3-2 ke atas Korea Selatan dan menang 2-1 dengan New Zealand sebelum seri 1-1 dengan Australia serta seri 2-2 menentang Pakistan dan India.

Meskipun gagal, pemain negara masih tetap berjaya memenangi hati peminat hoki tempatan setelah mempamer persembahan yang hebat, dan ia satu peningkatan yang memberangsangkan bagi sebuah pasukan yang menduduki ranking ke-13 dunia.

Dalam misi memburu kejuaraan pertama di hadapan lebih 15,000 penonton di Ipoh semalam, skuad negara bangkit daripada prestasi hambar ketika seri 2-2 dengan India kelmarin dengan melakukan asakan bertali arus ke pintu gol Australia.

Hasilnya, skuad negara memperoleh gol pertama menerusi pukulan sudut penalti Faizal Saari seawal minit ketiga.

Namun, Australia bangkit menjaringkan gol penyamaan menerusi Nicholas Budgeon pada minit ke-29 hasil daripada pukulan sudut penalti sebelum Craig Boyne meletakkan skuad Kookaburra itu di depan 2-1 hasil jaringan padang lima minit sebelum masa rehat.

Babak kedua menyaksikan kebangkitan Malaysia yang mula mencari gol penyamaan, dan hasilnya Tengku Ahmad Tajuddin berjaya menggembirakan penyokong Malaysia menerusi jaringan pada minit ke-49.

Bagaimanapun ketika permainan dilihat hampir dilanjutkan ke masa tambahan jaringan emas, kealpaan pertahanan negara dihukum dengan jaringan Trent Milton lima saat sebelum permainan tamat.

- KOSMO!

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts