Memaparkan catatan dengan label Soal Jawab. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Soal Jawab. Papar semua catatan

Ahad, Mei 06, 2012

Memberi hutang perlu perjanjian bertulis

SOALAN:

SAYA ada memberi pinjaman wang secara peribadi kepada kawan. Ada kalanya melalui pindahan wang ke akaun banknya atau secara tunai kepadanya.
Kadang-kadang saya mendahulukan wang saya membayar sewa premisnya dengan menggunakan kad kredit.

Saya tidak membuat sebarang perjanjian bertulis dengannya, tetapi hanya ada bukti transaksi melalui e-mel atau penyata kad kredit atau transaksi pindahan ke akaun banknya.

Sekiranya memberi secara tunai, saya hanya melafazkan saja pemberian hutang itu.


Masalahnya sekarang, saya sukar mendapat bayaran walau sesen pun darinya daripada wang puluhan ribu ringgit yang saya pinjamkan kepadanya.

Setiap panggilan telefon atau e-mel yang dihantar tidak dijawab. Saya sedar saya tidak membuat sebarang perjanjian bertulis berserta saksi disebabkan menaruh kepercayaan kepadanya.

Apakah benar sekiranya pinjaman yang tidak mempunyai bukti bertulis dan tidak ada saksi tidak boleh dituntut pemberi pinjaman?

Apa yang patut saya lakukan untuk mendapatkan hak saya semula seperti yang dituntut dalam Islam?


JAWAPAN:

MEMBERI hutang atas sifat mahu menolong sesama kawan dan keluarga sangat digalakkan Islam. Bagaimanapun, sifat pemurah, rasa simpati dan sikap tolong menolong disalah guna orang yang mencari kesempatan seperti yang berlaku kepada anda di atas.

Islam menggariskan prosedur dalam memberi hutang, iaitu ia perlu bertulis dan dilakukan di hadapan saksi. Ini jelas apa yang tergambar dalam ayat 282-83 dalam Surah al-Baqarah.

Biasanya kita mengambil ringan saranan ayat ini dengan memberi hutang tanpa adanya dokumen tertentu. Ini berbeza apabila kita melihat prosedur bank dalam memberi hutang atau pinjaman.

Semuanya bertulis dan ada implikasi undang-undang. Ini yang sepatutnya dilakukan setiap individu dalam memberi hutang.

Seterusnya adalah menjadi tanggungjawab orang yang berhutang membayar hutangnya.

Mengikut Nabi s.a.w, kebaikan seseorang akan tergantung di hari akhirat nanti apabila hutang belum dijelaskan. Dalam pada itu Islam menyaran supaya orang yang berhutang diberi kesempatan menangguh pembayaran hutang sekiranya tidak mampu.

Mereka tidak boleh dikenakan ancaman atau dikenakan bunga pula atas alasan berkenaan. Islam juga menyarankan supaya orang yang memberi hutang membebaskan orang yang berhutang dari membayar hutang sama ada sepenuhnya atau sebahagian sekiranya boleh.

Ia dikira sedekah dan amalan yang mulia apabila melupuskan hutang itu. Dalam kes anda di atas, anda hendak mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan bayaran balik hutang.

Banyaklah berdoa kepada Allah semoga dibuka hati sahabat anda.
­­
Seterusnya jadilah ia sebagai iktibar untuk masa akan datang.

- HARIAN METRO

Al-Quran boleh dibaca kecuali dalam junub

Bersama Ustaz Zahazan

SOALAN:

USTAZ, kalau saya tidak salah kita dilarang menyentuh al-Quran tanpa wuduk (kalau salah tolong betulkan). Soalan saya, bolehkah seseorang itu membaca al-Quran ketika berhadas? Adakah kita dilarang juga berzikir menyebut nama Allah ketika berhadas? Kedua, apakah hukum mandi dan berwuduk dalam keadaan telanjang? Bolehkah membaca Bismillah ketika berwuduk dalam tandas? Seterusnya, boleh seorang imam atau makmum solat dengan memegang dan menyelak al-Quran.

JAWAPAN:

MENYENTUH al-Quran ialah satu isu, sedangkan membacanya satu isu yang lain. Mengenai isu membaca al-Quran, Rasulullah SAW membacanya kecuali dalam keadaan junub. Diriwayatkan oleh Tirmizi daripada Ali ra, beliau berkata: “Rasulullah SAW selalu membacakan al-Quran kepada kami, pada setiap keadaan kecuali dalam keadaan junub”.

Daripada hadis itu, dapatlah kita ketahui bahawa yang menghalangi Nabi SAW untuk tidak membaca al-Quran adalah ketika dalam keadaan janabah. Tetapi baginda berzikir kepada Allah SWT dalam keadaan bersuci atau dalam keadaan janabah tanpa berwuduk. Baginda berzikir, bertakbir, bertahlil atau beristighfar kepada Allah SWT (tanpa bersuci). Sebuah hadis riwayat Muslim, daripada Aisyah ra, beliau berkata: “Rasulullah SAW selalu berzikir kepada Allah SWT dalam keadaan apa pun.”

Jadi, seseorang boleh berzikir kepada Allah SWT baik dalam keadaan junub atau dalam keadaan suci. Sedangkan ketika membaca al-Quran, maka ia wajib untuk bersuci. Adapun isu seterusnya adalah menyentuh mushaf al-Quran. Imam mazhab yang empat sudah berijmak bahawa menyentuh mushaf harus dalam keadaan berwuduk, sedangkan Ibn Hajm daripada kalangan Dhahiriyah mengatakan bahawa boleh menyentuh mushaf tanpa berwuduk.

Lebih afdalnya, seseorang harus berwuduk sebelum menyentuh mushaf kecuali dia berasa kesulitan untuk berwuduk, kerana cuaca yang dingin dan sebagainya, sedangkan dia ingin membaca al-Quran, maka ketika itu ia boleh menyentuhnya.

Untuk soalan kedua, berwuduk dan mandi dalam keadaan telanjang dua perkara yang makruh. Tetapi sangat makruh hukumnya berzikir kepada Allah SWT dan rasul di tempat kotor seperti kandang haiwan, bilik mandi dan tandas. Memadailah bagi manusia meniatkannya di dalam hati kerana pengagungan Allah SWT dan nama-Nya adalah wajib, sedangkan Rasul SAW lazimnya disertakan dalam zikir kepada Allah SWT.

Adalah satu pengagungan wajib untuk tidak menyebutkan Allah SWT dan Rasul-Nya pada tempat seperti ini kerana tempat seperti ini dikhususkan untuk kepentingan rendah sama ada ia tertutup atau tidak. Sisa kotoran dan baunya yang tidak disukai oleh malaikat yang menjauh dari tempat seperti ini. Hendaklah seorang yang berwuduk tidak berdoa kepada Allah SWT ketika ia sedang melakukan taharah di tempat seperti ini, bahkan pendapat yang membolehkan zikir ketika berwuduk hanya membolehkannya di tempat yang suci.

Untuk soalan ketiga, kebanyakan ulama fikah membolehkan membaca al-Quran pada ketika mengerjakan solat sunat nafilah dan fardu. Mereka telah mengambil dalil daripada apa yang telah diriwayatkan oleh Imam Malik bahawa Dzukwaan hambanya Sayidah Aisyah ra telah mengerjakan qiyam pada Ramadaan dengan membawa al-Quran. Tidak ada dalil yang menyatakan pelarangan terhadap hal ini. Mengenai masalah membalikkkan halaman al-Quran, ia boleh saja dilakukan dengan syarat perbuatan itu dilakukan dalam masa yang singkat sehingga tidak mengganggu kekhusyukan orang yang mengerjakan solat itu.

Sebenarnya yang lebih utama adalah hendaknya dia solat dengan orang yang menghafal al-Quran. Seorang makmum dapat mendengarkan bacaan imam sehingga tidak mengganggu kekhusyukannya dengan membalikkan lembaran al-Quran sehingga dapat menimbulkan gerakan yang tidak termasuk gerakan solat. Namun orang yang membaca mushaf daripada hafalannya lebih diutamakan kerana hal itu dapat menambahkan kekhusyukan. Demikianlah menurut pandangan Syeikh Ali Jumaah dalam fatwanya. Wallahualam

- BERITA HARIAN

Rabu, Mei 02, 2012

Niat dan lafaz cerai

Bersama DR SALAM

SOALAN:

SAYA sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berumur setahun. Baru-baru ini, suami saya menghantar mesej, ‘Saya terpaksa lepaskan kamu.’

Jadi saya nak tanya status saya sekarang, adakah saya sudah dicerai ataupun tidak?

JAWAPAN:

LAFAZ cerai dan talak adalah lafaz sarih (jelas). Ia tidak perlu niat apabila dilafazkan. Dalam kes anda, ada beberapa kemungkinan sama ada jatuh talak atau tidak.

Pertama, lafaz ‘terpaksa lepaskan’ adalah lafaz bukan sarih atau disebut lafaz kinayah. Ia boleh diertikan sebagai talak apabila ada niat suami untuk menceraikan isterinya.

Seterusnya kata ‘terpaksa’ boleh membawa kemungkinan suami dalam keadaan terpaksa ketika itu. Ini menyebabkan talak tidak jatuh.

Seterusnya, mesej SMS yang dihantar kedudukannya sama dengan lafaz talak melalui tulisan.

Ia perlu dibuktikan siapa penghantar atau penulisnya. Sekiranya ia benar daripada suami, suami pula perlu melafazkannya dan perlu ada niat untuk menceraikan isteri.

Sekiranya ia sekadar tulisan atau niat semata-mata tanpa lafaz, maka talak tidak jatuh dalam keadaan itu.

Perlu merujuk dan disahkan oleh Mahkamah Syariah dengan kehadiran pihak yang terlibat.

- HARIAN METRO

Selasa, April 24, 2012

Ragu wang gaji

Bersama Dr Salam

SOALAN:

SAYA berumur 25 tahun dan bekerja di sebuah hotel terkemuka di Melaka. Saya ragu-ragu adakah gaji saya terima halal kerana hotel ada menyediakan minuman keras kepada pelanggan bukan Islam.

Bagaimanapun, saya tidak pernah terbabit langsung dengan penyediaan arak di sini. Apakah pendapat Dr kerana wang gaji yang saya terima ini turut diberikan kepada ibu bapa.

JAWAPAN:

GAJI yang anda terima itu tetap halal untuk digunakan serta boleh diberikan kepada ibu bapa serta menanggung perbelanjaan keluarga.


Bagaimanapun, memandangkan arak haram di sisi Islam, minuman arak hanya dibenarkan kepada bukan Islam.

Kaunter jualan perlu dipantau supaya orang Islam tidak dibenarkan membeli jauh sekali meminumnya. Pihak pengurusan hotel perlu sedaya upaya memastikan orang Islam tidak mengambil minuman keras itu.

Contohnya, pihak hotel jangan meletak minuman keras di dalam peti sejuk di bilik penginapan.

- HARIAN METRO

Ahad, April 22, 2012

Elak nama anak surah al-Quran

Oleh Dr Salam

SOALAN:

SAYA ingin menamakan anak saya mengikut nama dalam surah al-Quran contoh­nya seperti An-Nur, An-Nisa’ dan An-Najmi. Adakah ia sama seperti menamakan anak dengan 99 Nama Allah seperti Karim dan Latif?

Apakah hukumnya berbuat demikian kerana saya ada membaca yang nama itu mempunyai maksud yang baik.

JAWAPAN:

ANAK adalah kurniaan Allah kepada setiap pasangan yang menjadi pe­nyambung zuriat mereka di dunia ini. Islam menyuruh ibu bapa menamakan anak dengan nama yang baik.

Nama yang dipilih turut mempengaruhi peribadi anak. Antara nama yang baik ialah nama nabi dan rasul dan orang salih. Begitu juga dengan nama Allah dengan ditambah pada pangkalnya ‘Abd bermaksud ‘hamba’ seperti Abdullah (Hamba Allah).

Memilih nama daripada surah tertentu di dalam al-Quran diharuskan seperti nama nabi termasuk Yunus, Yusuf, Ibrahim dan Luqman manakala bagi perempuan seperti nama Maryam.

Bagaimanapun, penggunaan ‘al-’ pada permulaan nama seperti ‘al-Nur’ atau ‘al-Rahman’ seperti nama surah dalam al-Quran wajar dielak kerana ia adalah nama khusus dan ada juga terkandung nama Allah.

Nama seperti al-Nisa’ boleh digunakan seperti Khairunnisa’ atau Nisa’.

- HARIAN METRO

Perbezaan sujud syukur dan tilawah

Bersama Ustaz Zahazan

SOALAN:
SAYA hendak melakukan sujud syukur tetapi saya masih ragu-ragu cara yang betul untuk melakukannya. Apakah beza sujud syukur dan sujud tilawah. Adakah sujud tilawah ini wajib dan bagaimanakah cara yang betul melakukan sujud tilawah dan sujud syukur.

JAWAPAN:
HADIS riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Amrin menyebut: “Nabi SAW membaca al-Quran, lalu Baginda membaca surah yang terkandung dalam ayat Sajdah. Maka Baginda sujud dan kami pun sujud bersama Baginda sehingga tidak ada sebahagian kami mendapat tempat untuk meletakkan dahi.”

Antara kelebihan melakukan sujud tilawah seperti hadis yang diriwayatkan Muslim dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah yang bermaksud: “Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu ia sujud, maka syaitan akan melarikan diri serta menangis dan berkata, “celaka, ia diperintahkan untuk sujud lalu ia sujud dan baginya syurga. Dan aku pernah diperintahkan untuk sujud, aku enggan dan bagiku neraka.”

Sujud tilawah hukumnya sunat bagi orang yang membaca ayat Sajdah dan juga mendengarnya, sama ada ia qashad (niat) untuk sujud tilawah atau tidak.

Menurut Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam kitabnya Sabilal Muhtadin, ayat Sajdah dalam al-Quran ada 14 selain dari Sajdah dalam surah ‘Shad’ kerana ia termasuk sujud syukur seperti mana diterangkan dalam hadis riwayat an-Nasa’I daripada Ibn Abbas yang bererti: “Nabi Daud melaksanakan sujud kerana bertaubat dan kita melakukan sujud kerana bersyukur.”

Dimaksudkan bersyukur di sini kerana diterima taubatnya dan kerana itu orang yang mengerjakan sujud sajdah pada surah Shad hendaklah ia berniat sujud syukur kerana taubat Nabi Daud diterima Allah.

Ayat Sajdah yang dimaksudkan itu adalah akhir ayat 15 surah ar-Ra’du, akhir ayat 50 surah an-Nahl, akhir ayat 109 surah al-Isra’, akhir ayat 58 surah Maryam, akhir ayat 18 surah al-Haj, akhir ayat 77 surah al-Haj, akhir ayat 26 urah an-Naml, akhir ayat 15 surah as-Sajdah, akhir ayat 38 surah Fushilat, akhir ayat 62 surah an-Najm, akhir ayat 21 surah al-Insyiqaq dan akhir ayat 19 surah al-Alaq.

Sujud tilawah sunat dalam solat dan di luar solat. Sujud tilawah di luar solat ada empat rukun, iaitu takbiratul ihram, niat sujud tilawah ketika takbir seperti dalam solat, sujud sekali dan memberi salam sesudah sujud seperti salam dalam solat.

Sunat membaca dalam sujud tilawah dalam solat dan di luar solat iaitu “Sajada wajhiya lil lazi khalaqahu wa sawwarahu wa syaqqa sam’ ahu wa basharahu bi haulihi wa quwwatihi fatabarakallahu ahsanul khaliqiin.”

Berbeza dengan sujud syukur, hendaklah dilakukan di luar solat dan tidak boleh dalam solat kerana jika dilakukan dengan sengaja dalam solat, maka batallah solat.

Cara pelaksanaan sujud syukur adalah sama dengan sujud tilawah di luar solat iaitu berniat melakukan sujud, takbiratulihram, sujud dan salam. Sujud syukur sunat dilaksanakan ketika memperoleh nikmat yang diharapkan seperti memperoleh anak, pangkat, kemuliaan dan harta.

Sunat juga melakukan sujud syukur ketika terhindar daripada musibah yang tidak diduga, baik musibah yang menimpa dirinya, anak cucunya atau salah seorang dari umat Islam seperti selamat daripada karam, kebakaran atau rumah runtuh.

Sujud syukur tidak dilakukan lagi kerana dipisahkan oleh waktu yang cukup lama antara sujud dan sebabnya. Demikianlah secara ringkas berkaitan sujud tilawah dan sujud syukur.

- BERIT HARIAN

Ahad, April 15, 2012

Soal Jawab Agama : Zakat emas dan barang perhiasan

SOALAN:

SAYA amat suka mengumpul barang kemas, sama ada diperbuat daripada emas mahupun intan dan berlian. Soalan saya, apakah yang dimaksudkan dengan barang-barang kemas atau perhiasan itu?

Adakah semua barang yang dijadikan perhiasan perlu dizakatkan? Adakah harta perhiasan selain emas dan perak, seperti intan, berlian, mutiara dan sebagainya, wajib ditaksirkan nilainya dan dikeluarkan zakat ke atasnya?

JAWAPAN:

Allah SWT telah menyatakan di dalam al-Quran pada surah Ali Imran ayat 14: Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, daripada emas dan perak.

Sesungguhnya, emas dan segala macam perhiasan dunia hari ini, bukan sahaja disukai oleh wanita; bahkan sudah ramai lelaki Islam yang memakainya. Sedangkan Nabi Muhammad SAW telah memberikan ingatan: "Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki (daripada kalangan) umatku dan dihalalkan kepada wanita-wanita mereka." (riwayat at-Termizi)

Bahkan, jika ditinjau pada kebiasaan manusia pun, sesungguhnya kedudukan wanita dan perhiasan amatlah rapat. Allah SWT memang menjadikan wanita itu indah dan sesuailah jika wanita menggemari keindahan dan mengenakan perhiasan pada dirinya. Bahkan, dengan barangan perhiasan yang dipakai oleh wanita, akan bertambah indahlah diri dan dapat melunakkan hati para suami hingga lahirlah mawaddah wa rahmah di antara mereka.

Nabi Muhammad SAW menyatakan: "Tiga perkara yang disukai olehku daripada dunia, iaitu wanita yang halal, wangi-wangian dan rasa seronok dalam solat." (riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi)

Merujuk kepada soalan puan di atas, iaitu apakah yang dimaksudkan dengan barangan kemas atau perhiasan? Dalam hal ini, ittifaq dalam kalangan fuqaha bahawa yang dimaksudkan dengan barangan perhiasan yang dikenakan zakat itu adalah segala item yang disandarkan kepada emas dan perak. Ia bermakna, semua barangan yang diperbuat daripada emas dan perak, sama ada dipakaikan di badan ataupun dijadikan perhiasan di rumah atau bangunan, ia adalah emas perhiasan.

Namun begitu, Rasulullah SAW telah menegah umat Islam daripada menggunakan perhiasan rumah daripada emas dan perak, seperti mana sabda Nabi SAW yang dilaporkan Huzaifah bin Yaman r.a: Janganlah kalian minum dalam bekas (yang diperbuat) daripada emas dan perak, dan janganlah mengenakan pakaian sutera, kerana pakaian sutera itu untuk mereka (orang-orang kafir) di dunia dan untuk kalian di akhirat kelak. (riwayat Muslim)

Walau bagaimanapun, fuqaha telah bersilang pendapat sama ada emas yang dijadikan perhiasan ini wajib dikeluarkan zakat ke atasnya atau tidak. Namun begitu, pandangan yang sederhana dan diterima pakai di negara ini ialah, semua emas perhiasan adalah tunduk kepada zakat seandainya ia berlebihan daripada uruf. Manakala, emas yang tidak dijadikan perhiasan (simpanan), wajib ke atasnya apabila beratnya mencapai nisab, yakni 85 gram.

Ini jelas, apabila emas perhiasan itu sudah berlebihan daripada uruf maka ia bermakna, emas yang dipakai itu sudah melebihi daripada kebiasaan dan termasuklah ia dalam kondisi bermewah-mewahan, maka wajarlah ia dizakatkan.

Manakala, segala perhiasan yang dihasilkan daripada bahan selain emas dan perak, seperti batu permata, intan, mutiara dan sebagainya, maka telah ittifaq para ulama fiqh bahawa tidaklah dikenakan apa-apa zakat ke atasnya. Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya: "Tidak terjadi perselisihan pendapat di antara para ulama mengenai perhiasan wanita selain emas dan perak, bahawa barang-barang tersebut tidak perlu dikeluarkan zakat; kecuali apabila untuk diperdagangkan." (Ensaiklopedia Fiqh Wanita, hal. 38).

Ini bermakna, seandainya barangan perhiasan daripada selain emas dan perak itu dijana hingga mendatangkan pendapatan atau penghasilan (seperti disewakan atau dijual), maka pada saat itulah ia menjadi takluk atau tunduk kepada zakat, iaitu dikenakan ke atas hasil yang dijana daripadanya sebagai zakat pendapatan atau zakat perniagaan.

Pandangan ini turut dilontar oleh seorang ulama Hambali, iaitu Abu Wafa' Ibn Akil seperti mana yang telah diterakan di dalam kitab Ibnu Qayyim dan kemudiannya dicuplik oleh al-Qaradawi di dalam kitabnya Hukum Zakat (hal. 442).

Suka juga ditambahkan di sini, biarpun Islam mengharamkan para lelaki Muslim memakai emas sebagai perhiasan; namun jika mereka masih memakainya sebagai perhiasan diri, hakikatnya ia masih wajib dizakatkan. Hukum memakainya adalah haram; namun kewajipannya tetap tidak terlepas dan masih juga wajib dizakatkan jika ia melebihi uruf.

Kesimpulannya, harta-harta perhiasan seperti emas dan perak adalah wajib dizakatkan, manakala perhiasan daripada batu-batu permata, intan, mutiara, ambar (sejenis batu dari perut ikan) dan sebagainya tidaklah wajib dizakatkan, kecuali ia dijadikan sewaan atau jualan hingga mendatangkan hasil. Wallahua'lam.

- UTUSAN

Ahad, April 08, 2012

Soal Jawab Agama : Agih zakat kepada waris

SOALAN:

ADAKAH seorang datuk atau nenek boleh membayar zakat kepada cucunya sendiri bagi asnaf fisabilillah? Maksudnya untuk tujuan melanjutkan pelajaran ke universiti? Ini kerana, didapati cucunya amat memerlukan biaya dan kebetulan, cucunya juga dalam kesempitan wang. Sekiranya zakat berkenaan berjumlah RM15,000, berapakah jumlah yang layak diberikan kepada asnaf fisabilillah, yakni si cucu tadi? Atau, adakah zakat yang berjumlah RM15,000 itu perlu diagihkan kepada lapan asnaf atau memadai kepada mana-mana tiga asnaf sahaja.

JAWAPAN:

Sememangnya, seorang datuk atau nenek memang perlu memerhatikan keadaan para waris mereka. Seandainya dalam keadaan tertentu, mereka perlu membantu, maka memang patutlah mereka menghulurkan apa-apa jenis bantuan.

Walau bagaimanapun, dalam bab menyerahkan harta zakat, hukum syarak menegah daripada seseorang itu menyerahkannya kepada waris yang terdekat.

Maksud waris yang terdekat ialah, anak, cucu, cicit, ibu bapa, datuk, nenek dan moyang. Secara mudahnya, semua waris yang bersifat menegak, adalah ditegah daripada menerima zakat.

Namun, zakat boleh diberikan kepada waris yang bersifat melintang. Misalnya kepada adik, abang, kakak, ibu dan bapa saudara dan sebagainya.

Oleh itu, seorang datuk atau nenek tidak dibenarkan memberikan zakat mereka kepada si cucu berkenaan.

Bagaimanapun, sebenarnya apa yang perlu dibuat ialah, si nenek berkenaan boleh sahaja memberikan hartanya yang belum dizakatkan kepada cucunya.

Katakanlah dalam kes di atas, si nenek mempunyai simpanan wang berjumlah RM20,000 dan beliau mengambil RM5,000 daripada simpanannya dan diberikan kepada cucunya untuk tujuan pendidikan, maka bakinya RM15,000 itulah yang wajib dizakatkan. Hal ini tidak menjadi suatu kesalahan, kerana yang diberikan itu bukanlah wang zakat.

Manakala, mengenai pengagihan kepada individu yang menuntut ilmu, ia memang dibolehkan dan agihannya tertakluk kepada keperluannya. Amalan di institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS), mereka yang belajar akan diberikan dua jenis bantuan, sama ada dermasiswa mahupun bantuan one off. Sudah pasti ada syarat-syaratnya demi memastikan hanya mereka yang benar-benar perlu sahaja dibantu.

Sungguhpun syarat mendapatkan bantuan pendidikan di bawah asnaf fisabilillah ini tidak semestinya seorang fakir atau miskin, namun LZS wajar mengutamakan mereka yang berpendapatan rendah untuk mendapatkannya berbanding golongan kaya yang sudahpun mampu membiayai pendidikan anak-anak mereka tanpa bantuan mana-mana pihak.

Oleh itu, adalah disarankan agar pihak yang berkaitan, agar memberikan wang zakat itu kepada pihak institusi zakat. Ini kerana, menurut pandangan fuqaha seperti mana yang telah saya jelaskan sebelum ini menerusi ruangan Bicara Zakat ini, amalan mengagihkan zakat terus kepada asnaf itu sebenarnya tidak menepati roh zakat yang sebenar.

Ini kerana, dalam wang atau harta zakat itu terkandung hak lapan asnaf zakat. Atas dasar itulah, Imam as-Syafie dalam kitab Fiqh al-Manhaji menyatakan, hendaklah orang yang mahu mengagihkan sendiri zakatnya itu mencari tiga orang daripada setiap asnaf zakat untuk diberikan haknya. Ia bermaksud, menjamin dan melebarkan manfaat zakat dan tidaklah harta zakat itu hanya berlegar dalam kalangan tertentu sahaja.

Bahkan Imam as-Syafie sendiri ada mengingatkan para pembayar zakat agar berhati-hati, kerana kesilapan dalam memberikan harta zakat sehingga jatuh kepada orang yang bukan asnaf zakat boleh mengakibatkan pemberian itu tidak menjadi zakat. (rujuk Fiqhul Manhaji al-Shafie, Jilid 1, hal. 458).

Hal ini jelas, kerana zakat adalah ibadah fardu yang sudah ditetapkan syarat-syaratnya, iaitu mestilah diambil daripada harta tertentu, dikeluarkan dengan syarat-syarat tertentu dan diagihkan kepada asnaf-asnaf yang tertentu.

Maka, kelalaian dan kesilapan dalam mengeluarkan zakat, boleh menyebabkan segala ketetapan ini tidak dipenuhi dan ia mampu merosakkan ibadah berkenaan.

Manakala, pandangan agar dibahagikan zakat itu kepada tiga bahagian, ia tidaklah mempunyai sandaran dalil daripada al-Quran mahu pun al-hadis (setakat penela'ahan dan pembacaan penulis).

Ia adalah pandangan fuqaha dalam meraikan sesuatu keperluan zakat, memandangkan tiada juga dalil yang menegah agar zakat hanya diberikan kepada satu atau dua golongan zakat, yakni tidak semestinya memenuhi lapan asnaf zakat.

Walau bagaimanapun, ambillah kaedah yang lebih selamat dan cermat dalam pengagihan zakat ini. Seandainya memang adik-beradik di sekitar kita amat daif (dengan syarat mereka bukan waris menegak), maka Islam juga memang menggalakkan kita memberikan mereka sedekah, termasuklah zakat.

Namun, janganlah diberikan kesemuanya. Adalah lebih baik dibahagikan tiga dan satu bahagian diserahkan kepada mereka, demi meraikan talian kekerabatan dan selebihnya disalurkan kepada pihak pengelola zakat sebagai jalan meraikan juga keperluan asnaf zakat yang lain.

Bahkan, adalah lebih molek jika pihak pembayar zakat sendiri membantu saudaranya itu dengan membawa mereka ke pejabat zakat, agar keperluan mereka dapat diselidiki dan seterusnya dapat pula disantuni dengan sebaik-baiknya. Wallahua'lam.

- UTUSAN

Isnin, April 02, 2012

Hukum Pelaburan ASB & ASN


SOALAN:

HAMPIR 70 peratus umat Islam di Malaysia mempunyai wang simpanan atau pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB). Apakah hukumnya jika seseorang Muslimin menggunakan duit hasil pelaburan ASB bagi tujuan keperluan hidup seperti membeli rumah atau makanan, malah untuk ibadat juga termasuk mengerjakan haji, zakat, bersedekah serta perbelanjaan pendidikan anak. Adakah ia haram? Bagaimana pula dengan wang faedah pelaburan ASB?

 JAWAPAN:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-80 yang bersidang pada 1 hingga 3 Februari 2008, membincangkan Pelaburan Dalam Amanah Saham Nasional, ASB dan seumpamanya. Muzakarah memutuskan bahawa hukum melabur di dalam skim ASN dan ASB serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus. Dengan ini, segala keuntungan daripadanya halal digunakan. Kita seharusnya bijak menganalisis Maqasid al-Syariah dalam hukum Islam dan kedudukan ASB adalah salah satu cara untuk menjamin penerusan umat Islam di negara ini dalam usaha memastikan orang Melayu Islam tidak ketinggalan di segi ekonomi.

Sumber : http://www.asnb.com.my/images/Fatwa-keratan.pdf

Rabu, Februari 22, 2012

Bagaimana waris terhalang terima pusaka

Bersama Dr Salam

SOALAN

ADAKAH benar seorang cucu yang kematian bapanya tidak berhak mendapat harta pusaka datuknya atas alasan bapanya meninggal dunia terlebih dahulu sebelum datuknya meninggal.

Untuk makluman Dr, arwah bapa mempunyai 10 orang adik-beradik.

JAWAPAN

HARTA pusaka datuk tidak dapat diwarisi oleh cucu disebabkan kematian bapa sebelum datuknya meninggal dunia kerana masih ada waris-waris yang lebih berhak menerima iaitu anak-anak datuk yang masih hidup.

Maka dengan itu, cucu datuk itu dikenali sebagai waris terhalang. Mereka tidak dapat mempusakai harta kerana sebab-sebab tertentu seperti di atas.

Bagaimanapun, terdapat peruntukan yang membenarkan seorang cucu menerima pusaka datuk walaupun ayahnya sudah meninggal sebelum datuknya.

Ia disebut sebagai wasiat wajibah dan hanya diberi kepada cucu-cucu saja. Kadar wasiat ialah tidak melebihi 1/3 mengikut kadar wasiat. Apabila ia berkurangan, seorang cucu boleh mendapat bahagian yang diperuntukkan untuk anak lelaki.

Dengan adanya peruntukan itu seorang cucu boleh mendapat bahagiannya.

- HARIAN METRO

Selasa, Februari 21, 2012

Zakat urusan pemerintah?

SOALAN:

Benarkah pendapat yang menyatakan zakat ini adalah urusan pemerintah? Apakah dalil-dalil yang menyokongnya? Harap penjelasan daripada pihak ustaz.

JAWAPAN:

Terima kasih kerana bertanya. Memang ramai juga yang tidak memahami, bahawa zakat ini adalah ibadah yang amat erat perkaitannya dengan urusan pemerintahan. Jika dibandingkan dengan ibadah wajib dan rukun yang lain, solat, puasa dan haji misalnya, maka zakat adalah ibadah yang melibatkan kepentingan umum (maslahah ammah).

Dalam istilah lain disebut amalan ijtimaiyyah, yang mana jika ia tidak dilakukan dengan sempurna, maka kesan buruknya akan menimpa orang lain, yakni asnaf yang lapan.

Berbeza dengan solat, puasa dan haji, ia adalah amalan fardhiyyah, yang pelaksanaannya tidak melibatkan kepentingan umum umat Islam.

Orang yang enggan bersolat dikira berdosa; namun jirannya yang kelaparan kerana tiada makanan tidak menanggung kesannya. Tetapi jika dia kaya dan enggan berzakat, maka ramai fakir miskin akan terus hidup melarat.

Allah SWT menjelaskan di dalam al-Quran, betapa orang yang diberikan Allah kekuasaan di atas muka bumi ini, maka wajib ke atas mereka melaksanakan amanah kekuasaan itu, termasuklah memastikan zakat dilaksanakan dengan berkesan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Iaitu orang-orang (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta menunaikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. (al-Hajj: 41)

Ulama tafsir, misalnya Sheikh Abdullah Basmeih menyatakan, apa yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah, mereka yang telah diberikan kekuasaan itu (yakni khalifah atau pemerintah), hendaklah melaksanakan segala hukum-hakam dan syariat Allah SWT.

Dalam hal ini, termasuklah memastikan ibadah dan urusan zakat dilaksanakan dengan sepenuhnya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Maka, sudah jelas di sini bahawa pemerintah Islam wajib memastikan pelaksanaan zakat di dalam sistem pemerintahannya. Jika tidak, mereka termasuk dalam golongan yang mengingkari arahan Allah SWT.

Di samping itu, ada lagi ayat al-Quran yang menerangkan bahawa urusan mengelola zakat ini terletak di bahu pemerintah.

Misalnya, firman Allah SWT yang menegaskan: Ambillah sebahagian daripada harta mereka (muzakki) sebagai sedekah (zakat), dan juga ayat 60 surah yang sama: Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk para fakir, miskin dan para amil...(at-Taubah: 103)

Menurut perbahasan ulama misalnya Imam ar-Razi dan Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, ia adalah petunjuk jelas, bahawa hanya pihak pemerintah sahaja yang berhak melaksanakannya.

Ini kerana, bukan sembarangan orang boleh mengambil harta orang lain, hanya pemerintah dengan peruntukan kuasa yang ada padanya sahajalah yang mampu melakukannya.

Samalah dengan peruntukan kuasa-kuasa lain, yang mana tujuan akhirnya adalah demi menjamin maslahah ummah.

Mengulas lebih lanjut tentang ayat 103 dari surah at-Taubah di atas, Imam Ibn Katsir di dalam tafsirnya menjelaskan, ayat ini merupakan satu arahan daripada Allah SWT agar rasul-Nya, yakni Nabi Muhammad SAW mengutip zakat dalam kalangan umat Islam.

Maka, nabi pun melaksanakan peruntukan kuasa yang diberi oleh Allah SWT ini dengan mengutip zakat sebagaimana yang sepatutnya.

Imam Ibn Katsir turut menghuraikan, ayat ini juga dijadikan hujah oleh sebahagian umat Islam yang setelah kewafatan Rasulullah SAW telah enggan menyerahkan harta zakat mereka kepada Abu Bakar.

Alasan mereka, hanya Rasulullah SAW sahaja yang berhak mengutip zakat daripada mereka.

Fahaman mereka ini ditentang keras oleh Abu Bakar r.a, bahkan baginda telah mengisytiharkan perang ke atas golongan ini dan mereka juga dikelompokkan bersama-sama golongan ar-Riddah, yakni orang-orang yang murtad (yakni bersama dengan golongan nabi-nabi palsu dan orang yang mengisytiharkan diri mereka keluar daripada Islam).

Natijah daripada ketegasan Abu Bakar inilah, akhirnya golongan yang menolak zakat ini akhirnya kembali kepada Islam dan dapat menyelamatkan umat Islam dan Madinah daripada kekacauan (rujuk Terjemah Singkat Ibnu Katsir, Jilid IV, hal. 132-133).

Peristiwa ini juga menjadi pertunjuk penting, bahawa zakat adalah amanah kepada pemerintah untuk memastikannya sentiasa terlaksana.

Bahkan, dalam usaha melestarikan arahan Allah SWT di dalam ayat 103 di atas, Nabi Muhammad SAW turut mewakilkan urusan kutipan zakat kepada para sahabatnya, yakni para amil.

Di antara sahabat nabi yang terkenal sebagai amil zakat ialah Muadz bin Jabal, Umar Ibnul Lutbiah, Rawahah bin Abdullah al-Ansari dan Ubadah bin Somit (rujuk Yusuf al-Qaradawi, Institusi zakat: Peranan dan tanggungjawab, hal. 47-49).

Kepada mereka ini, Rasulullah SAW memberikan perincian tentang tugasan amil, seperti mana Nabi SAW pernah mengungkapkan kepada Muadz: Ambillah kekayaan daripada kalangan penduduk Yaman dan agihkan kembali kepada golongan fakir dalam kalangan mereka. (muttafaqun 'alaih).

Dalam kesempatan lain, Nabi SAW turut memberi amaran kepada para amil lantikan baginda, betapa tugas mereka perlu dilaksanakan dengan penuh amanah.

Misalnya: Sesiapa yang telah kami lantik sebagai amil zakat kemudian dia menyembunyikan sebatang jarum penjahit atau benda lain yang lebih berharga daripada (pengetahuan) kami, maka perbuatan itu merupakan satu pengkhianatan yang akan dituntut tanggungjawabnya pada hari kiamat. (riwayat Muslim dan Abu Daud).

Bahkan Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam kitabnya Hukum Zakat secara terang-terangan telah menukilkan, bahawa adalah menjadi kewajipan bagi pemerintah menugaskan para pemungut zakat, yakni sesuai dengan saranan sunnah dan mestilah menepati dengan segala kriteria yang telah pun ditetapkan oleh syarak.

Kesimpulannya, zakat sama ada urusan kutipan dan agihannya, adalah sebahagian daripada urusan pemerintahan.

Maka, menjadi satu kewajipan pemerintah untuk berlaku adil dan penuh tanggungjawab dalam memikul amanah zakat ini.

Seandainya mereka tidak adil dan cuai sehingga umat Islam yang memerlukan menderita, maka mereka dikira berdosa.

Ia sebagaimana pernah dinukilkan oleh Imam Abu Yusuf: "Wahai amirul mukminin, perintahkanlah para amil zakat untuk mengutip harta zakat dan bahagikannya kepada mereka yang berhak.

"Lakukanlah semua urusan itu sesuai dengan sunnah Rasulullah SAW dan para khalifah selepas baginda...orang yang memulakan satu tradisi yang buruk, maka dia berdosa dan ditimpakan pula dosa ke atasnya bagi orang-orang yang mengikuti perbuatannya, tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun". (rujuk Yusuf al-Qaradawi, Institusi zakat: Peranan dan tanggungjawab, hal. 52). Wallahu a'lam.

- UTUSAN

Isnin, Februari 06, 2012

Maulidur Rasul diperkenal pada zaman Dinasti Fatimiyah

Bersama Ustaz Zahazan

SOALAN:

BENARKAH Saidina Usman bin Affan ada mengatakan: “sesiapa yang membuat Maulidur Nabi Muhammad SAW akan mendapat pahala seperti pahala jihad.” Adakah selawat tidak diterima sekiranya kita berselawat tanpa menyebut keluarga Nabi dan bagaimanakah cara selawat yang sebaik-baiknya? Harap dapat berikan penjelasan.

JAWAPAN:

SAYA tidak pernah bertemu dengan riwayat sedemikian, sama ada daripada Saidina Usman bin Affan atau sesiapa saja yang mengatakan bahawa pahala memperingati dengan membuat perayaan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW sama dengan pahala jihad.

Bahkan jika saya berjumpa pun riwayat sebegitu, saya sangat meragukan kebenarannya. Antara sebabnya kerana perayaan Maulidur Rasul ini belum dikenali pada zaman Saidina Usman, bahkan juga pada abad pertama hijrah. Sebenarnya perayaan Maulidur Rasul baru diperkenalkan pada zaman Dinasti Fatimiyah abad keempat hijriah di Mesir dan negara lain.

Ada juga berpandangan bahawa orang yang pertama melakukannya di Mushil, Iraq ialah Syeikh Umar Muhammad al-Mala’. Kemudian ditiru al-Malik al-Muzaffar Abu Sa’id di kota Irbil. Ketika itu dibacakan sebuah buku kisah kelahiran Nabi SAW yang bernama ‘at-Tanwir fi Maulid al-Basyir an-Nadzir’.

Al-Malik al-Muzaffar menghadiahkan kepada pengarang buku itu seribu dinar. Sejak itu perayaan Maulidur Rasul dibuat dengan memperdengarkan kisah perjuangan dan budi pekerti atau akhlak Nabi SAW, sambil memperbanyakkan sedekah dan menampakkan kegembiraan.
Untuk soalan kedua, dalam surah al-Ahzab ayat 56, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan semua malaikat-Nya berselawat kepada Nabi, wahai orang yang beriman, berselawatlah kepadanya dan bertaslimlah dengan taslim yang sempurna.”

Kalau kita perhatikan, ayat itu meminta berselawat dan taslim kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, dari segi hukum tidaklah menjadi kesalahan sekiranya ia hanya menyebut: “Sallallahu ‘alaihi wa sallam.” Tetapi ada riwayat yang lain yang menyatakan bahawa Baginda bertanya kepada sahabat: “Tahukah kamu siapakah orang yang kedekut? Sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Baginda menjawab: Dia adalah orang yang berselawat kepadaku tanpa menyebut keluargaku.”

Justeru, sebaik-baiknya apabila kita hendak berselawat, eloklah kita menyebut nama keluarga Baginda. Namun tidaklah bermakna kalau kita berselawat tanpa menyebut keluarga Nabi Muhammad SAW, maka selawat itu akan tertolak.

Seterusnya, cara selawat yang terbaik ialah seperti yang diterangkan dalam hadis apabila turunnya ayat 56 surah al-Ahzab, maka sahabat bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasul, kami telah mengetahui salam, maka bagaimanakah selawat untukmu? Baginda SAW bersabda: Ucapkanlah “Allahumma salli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad, Kama sallaita ‘ala Ibrahim wa ‘ala ali Ibrahim. Innaka hamidum majid. Allahumma barik ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad, Kama barakta ‘ala Ibrahim wa ‘Ala ali Ibrahim. Innaka hamidum majid.”

Maksudnya, “ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad seperti mana Engkau berselawat ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Mulia. Ya Allah, berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad seperti mana Engkau memberkati ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Mulia”.

- BERITA HARIAN

Sabtu, Januari 21, 2012

Soal Jawab Agama : Tatacara memohon zakat

SOALAN:

SAYA ingin menanyakan satu soalan yang sekian lama bermain-main di minda, iaitu berkenaan permohonan zakat. Kenapakah saya melihat, adakalanya pusat-pusat zakat begitu sukar menyalurkan zakat?

Misalnya dalam kes saya sendiri, saya berhutang dan ingin memohon bantuan zakat. Tapi ditolak. Saya juga menyambung pelajaran dan meminta zakat, juga ditolak. Bolehkah diperjelaskan hal ini?

Jawapan

Terima kasih kerana bertanya. Hakikatnya, urusan mengagihkan zakat bukanlah semudah yang disangka. Ini kerana, wang zakat itu hendaklah diagih dengan betul dan tepat, yakni orang yang akan menerimanya hendaklah benar-benar dipastikan mereka itu memang sebenar-benarnya asnaf zakat.

Misalnya, jika dikatakan seseorang itu miskin atau fakir, maka pihak berkuasa zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) perlu memastikan bahawa orang itu benar-benar miskin atau fakir sebelum diberikan bantuan.

Hal ini sudah pasti memerlukan proses siasatan yang lebih teliti dan tidaklah dilakukan secara sepintas lalu sahaja. Ini kerana, jika ditakdirkan zakat itu disalur kepada orang yang bukan asnaf, maka siapakah kelak yang akan menanggung akibatnya?

Pastilah pihak amil atau institusi zakat berkenaan yang akan dipersalahkan. Bukan sahaja di dunia bahkan di hari akhirat juga.

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam hal ini ada menyatakan: "Harta zakat tidak boleh diberikan dengan begitu sahaja kepada setiap orang yang mengaku sebagai orang miskin, musafir, dibebani hutang atau sebagai mujahid yang berjuang di jalan Allah SWT (fisabilillah). Sebaliknya, institusi zakat dituntut untuk menyiasat kepastian pengakuan tersebut dengan cara menyoal orang yang baik dan adil dari kawasannya (misalnya jiran tetangga - penulis) yang mengerti dan memahami benar keadaan orang tersebut." (Institusi Zakat: peranan dan Tanggungjawab, hal. 81).

Atas dasar itulah, pihak institusi zakat berusaha menggubal prosedur dan tatacara pengagihan zakat. Walaupun ia kelihatan seperti menyusahkan. Namun realitinya ia adalah suatu kaedah bagi mencegah berlakunya kesilapan dan ketirisan.

Misalnya, dalam penentuan fakir dan miskin, pihak LZS dan amil kariah yang berkaitan akan turun sendiri meneliti keadaan orang berkenaan, sebelum bantuan mereka diluluskan.

Begitulah juga dalam penetapan bantuan zakat untuk fisabilillah, yang termasuk di dalamnya kalangan orang yang belajar dan menuntut ilmu.

Maka institusi zakat berusaha menyediakan garis panduan tertentu agar ia benar-benar dapat dimanfaatkan kepada khalayak yang sangat perlu dan memberi impak yang maksimum kepada penerimanya.

Maka, institusi zakat meletakkan syarat-syarat tertentu, misalnya pemohon tidak lagi menerima mana-mana biasiswa atau bantuan kewangan daripada pihak lain, pendapatan pemohon atau ibu bapanya tidak mewah (misalnya bergaji dalam skala RM5,000 ke bawah) dan sebagainya lagi.

Tujuannya, agar wang zakat yang tidak begitu besar dananya itu dapat dimanfaatkan oleh mereka yang amat memerlukan.

Begitu juga dalam hal memohon bantuan menjelaskan hutang (asnaf gharimin). Memang tidak dinafikan bahawa dalam fiqh zakat ada menyatakan, setiap orang yang berhutang atas maksud yang makruf (baik), sama ada atas keperluan diri, keluarga dan ummah umumnya, adalah boleh memohon bantuan zakat. Ia tidak pula mensyaratkan hutang itu besar atau kecil.

Namun begitu, dalam konteks realiti, pihak institusi zakat hendaklah meraikan hutang-hutang tertentu yang lebih memerlukan pembiayaan.

Misalnya, LZS banyak menyalurkan dana bagi membiayai hutang kos rawatan sakit kronik umat Islam, kerana ia amat menekan dan menghalang umat Islam daripada menjadi lebih produktif.

Apatah lagi kos rawatan hari ini juga kian meningkat, maka eloklah hal-hal seumpama ini dijadikan keutamaan, di samping LZS tidaklah mengabaikan terus hutang-hutang yang lain.

Misalnya hutang kerana belajar, hutang keperluan hidup dan termasuklah hutang-hutang institusi ummah, seperti masjid, rumah-rumah kebajikan dan sebagainya.

Hutang ah long

Dalam konteks ini, mungkin ada orang yang membuat hutang dengan ah long dan merasa marah apabila permohonan mereka ditolak. Mungkin ada orang yang berhutang dengan sesuatu pihak yang akhirnya kembali menekan kewangan mereka dengan masalah riba dan sebagainya, maka mereka marah apabila institusi zakat menolak permohonan mereka.

Hal ini sewajarnya dinilai dengan akal yang waras dan objektif. Andai kata institusi zakat melayani pinjaman dengan ah-long dan sebagainya, maka ia dilihat seolah-olah pihak zakat menggalakkan umat Islam untuk terus menjalankan pinjaman dengan pihak-pihak seperti ini, sedangkan ia bukanlah sesuatu yang baik untuk dijadikan amalan.

Ini kerana, alasannya mudah, apabila mereka sudah tidak mampu membayarnya, maka mohonlah bantuan zakat. Bukankah ini sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Walau bagaimanapun, dalam aspek yang lain, pihak institusi zakat khususnya mereka yang diamanahkan menyediakan polisi dan mekanisme pengagihan wang zakat, tidaklah boleh terus kekal rigid dengan sesuatu prosedur atau peraturan yang telah dicipta.

Ini kerana, berdasarkan kaedah fiqh masalih al-mursalah iaitu menjaga kepentingan umum umat Islam, adalah penting bagi fuqaha untuk terus menggubal sesuatu peraturan yang selari dengan perkembangan zaman, dan tidak membiarkan umat Islam terus dalam kesempitan.

Dalam hal ini, Umar al-Khattab r.a misalnya, pernah menghentikan bantuan zakat kepada beberapa orang lelaki dan sahabat sedangkan mereka ini menerima zakat atas nama mualaf sejak dari zaman Rasulullah SAW dan Abu Bakar lagi.

Apabila ditanya, apakah alasan Umar menghentikannya, dengan mudah Umar menyatakan (kira-kiranya): "Dahulu mereka diberikan zakat, kerana kedudukan Islam masih lagi lemah dan diharapkan mereka melindungi Islam. Kini, Islam telah kuat dan tidak perlulah lagi mereka diberikan zakat untuk tujuan tersebut."

Hal ini ada dibahaskan panjang lebar di dalam kitab Hukum Zakat oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi, iaitu di dalam sub bab 'Apakah bahagian golongan mualaf ini hilang setelah Rasulullah SAW wafat? pada halaman 568-570.

Oleh itu, pihak berkuasa zakat perlu sentiasa cakna dengan perubahan sosio-ekonomi dalam negara, agar prosedur yang digubal tidak pula ketinggalan zaman dan jumlah bantuan zakat yang disalurkan pula tidaklah bersifat cukup-cukup makan.

Ini kerana, menurut fuqaha, zakat adalah bertujuan membantu sesama umat Islam yang memerlukan dan membebaskan diri mereka daripada belenggu yang menyekat kebebasan dan mengekang mereka untuk hidup dalam keselesaan.

Bahkan Nabi Muhammad SAW juga amat menegah jika harta zakat tidak diagihkan dengan sempurna, kerana ia boleh menyebabkan dosa. Sabda Nabi SAW: Sesiapa yang telah kami lantik sebagai amil zakat, kemudian dia menyembunyikan sebatang jarum penjahit atau benda lain yang lebih berharga daripada (pengetahuan) kami, maka perbuatan itu merupakan satu pengkhianatan yang akan dituntut tanggungjawabnya pada hari kiamat. (riwayat Muslim dan Abu Daud).

Kesimpulannya, tatacara dan prosedur permohonan zakat bukanlah bertujuan menyukarkan permohonan zakat.

Namun, ia adalah suatu kaedah yang diizinkan syarak demi menjamin agihan yang tepat, saksama dan berkesan.

- UTUSAN

Isnin, Januari 16, 2012

Mengqada zakat pendapatan

SOALAN:

SAYA bekerja sejak tahun 2005. Malangnya, saya tidak pernah menunaikan zakat pendapatan. Apakah yang perlu saya lakukan, adakah boleh saya terlepas daripada zakat pendapatan yang telah berlalu itu?

Jika perlu saya membayarnya juga, apakah kaedah yang paling sesuai untuk saya gunakan?

JAWAPAN:

Hukum zakat pendapatan adalah wajib dan inilah yang diputuskan sama ada oleh kebanyakan Jawatankuasa Fatwa Negeri mahu pun Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Maka, umat Islam yang melalaikan hukum yang wajib, hendaklah mereka menunaikannya kembali tatkala mereka tersedar daripada kealpaannya dan ia dinamakan qada.

Inilah yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun 2006, yang menyatakan: "Mengenai hukum qada zakat, ia wajib dilakukan bagi zakat yang telah memenuhi syarat wajib yang tidak ditunaikan pada masa yang sepatutnya". (Rujuk Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-76, 23 November 2006)

Maka, bagi seorang mukalaf yang telah cukup semua syarat wajib zakatnya, maka hendaklah mereka mengqada semua zakat hartanya yang telah mereka abaikan.

Melainkan pada tahun-tahun berkenaan, berlakunya keciciran salah satu syarat wajib zakat.

Misalnya hartanya terkurang daripada paras nisab, maka tidaklah wajib dia menzakatkannya dan terlepaslah qada zakat ke atasnya bagi tahun yang berkenaan.

Maka, bagaimanakah kaedah mengqada zakat pendapatan ini? Maka, langkah pertama, hendaklah ditaksirkan kesemua pendapatan yang diperolehi bagi setiap tahun yang telah berlalu itu, sama ada 10 tahun atau beberapa tahun.

Hendaklah difahami, maksud pendapatan di sini, bukan sekadar pendapatan bergaji, tetapi merangkumi semua jenis sumber pendapatan, sama ada berkala, tidak berkala, sumber bukan pekerjaan dan juga daripada sumber sewaan.

Semua ini adalah pendapatan sampingan yang dinisbahkan sebagai al-mal al-mustafad dan wajib dizakatkan. Misalnya, si A menjadi guru sekolah, beliau mendapat gaji. Beliau juga membuka kelas tambahan, sering memberikan ceramah motivasi, rajin menulis artikel dan menghasilkan buku.

Si A juga ada menerima hibah wang daripada bapanya dan menerima hasil sewaan daripada tiga rumah sewanya. Semua ini adalah pendapatan yang wajib dihitung untuk dikeluarkan zakatnya bagi setiap tahun berkenaan.

Kemudian, setelah memperolehi jumlah pendapatan keseluruhan, hendaklah pula dibuat tolakan berasaskan kaedah yang telah ditetapkan oleh institusi zakat.

Lazimnya kaedah tolakan yang diaplikasikan adalah kaedah kedua yang berasaskan perbelanjaan minimum seseorang bagi setiap tahun berkenaan (jika di Selangor, ia dikenali sebagai tolakan berasaskan had al-kifayah). Setelah itu, darablah 2.5 peratus sebagai zakat. Inilah jumlah zakatnya yang wajib dibayar sebagai qada zakat.

Seandainya jumlah qada zakat yang diperolehi itu amat besar dan di luar kemampuan melangsaikannya sekali gus, seseorang itu boleh membuat ansuran terhadap qada zakatnya.

Misalnya, katakanlah qada zakatnya adalah RM10,000; maka bahagikan jumlah itu dengan 12 bulan, 24 bulan atau 36 bulan mengikut keadaan kewangan yang termampu.

Kemudiannya, seseorang itu boleh memasukkan qada zakat yang dibuat secara ansuran itu ke dalam potongan gaji bulanannya yang disekalikan dengan zakat pendapatan bulanan. Hal ini tidak menjadi satu kesalahan.

Contohnya:

Qada zakat: RM10,000

Ansuran:

RM10,000 /12 bulan> RM833.33

sebulan

RM10,000 /24 bulan> RM416.66

sebulan

RM10,000 /36 bulan> RM277.77

sebulan

Katakanlah potongan zakat pendapatan secara bulanan bagi tahun 2012 pula adalah RM200, maka campurkanlah mana-mana jumlah di atas dan tunaikanlah ia secara ansuran.

Apabila berubah ke tahun hadapan, kekalkan jumlah qada dan yang berubah hanyalah zakat pendapatan semasa sahaja.

Namun, satu perkara yang wajib diambil ingatan adalah, seseorang itu perlu memastikan waris mengetahui bahawa mereka masih mempunyai hutang zakat.

Oleh itu, hendaklah dibuat wasiat bertulis atau menggunakan apa-apa kaedah demi memastikan orang yang mewarisi harta kita, tahu bahawa di sebalik harta pusaka yang diwariskan, ada hutang zakat yang masih wajib dilunaskan.

Ini kerana, menurut kitab Mustika Hadis jilid ke-3: "Orang mati yang masih belum membayar zakat, maka zakat itu wajib dikeluarkan daripada hartanya sebelum membayar hutangnya sesama manusia dan sebelum melaksanakan wasiatnya dan bahagian waris-warisnya".

Hal ini sejajar dengan apa yang diterangkan oleh sebuah hadis Nabi Muhammad SAW: Daripada Ibn Abbas r.a., bahawa Rasulullah bersabda: (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang kepada Allah lebih berhak diselesaikan. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Di samping itu, adalah amat dianjurkan agar mereka yang berkenaan, bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT, di atas kealpaan menunaikan zakat tersebut.

Mudah-mudahan, Allah SWT menerima taubat dan menerima qada zakat yang dilakukan dan menyediakan keberkatan hidup bagi mereka yang mahu membetulkan kesilapan. Wallahu a'lam.

- UTUSAN

Isnin, Disember 26, 2011

Persoalan Agama: Ketagih onani jatuh haram

Jawapan oleh Ustaz Zahazan

Soalan:

SAYA adalah seorang penuntut sebuah universiti. Kadang-kadang saya melakukan onani apabila nafsu saya bergelora disebabkan sesuatu yang mampu menaikkan syahwat. Saya tahu perbuatan berkenaan salah, saya mohon ustaz jelaskan adakah onani itu sama dengan zina dan adakah hukumnya haram.

Jawapan:

ULAMA berpandangan banyak jenis zina. Contohnya ada zina mata iaitu memandang kepada lawan jenis yang bukan mahram dan membangkitkan syahwat. Meskipun demikian, dari segi pandangan hukum, onani bukanlah zina. Oleh kerana pada prinsipnya, zina ialah pertemuan dua alat kelamin yang berbeza sebelum kedua pemiliknya diikat oleh akad nikah sah dan bukan juga kerana adanya syubahat.

Adapun berkaitan hukum onani, ada dua sudut yang perlu menjadi pertimbangan iaitu dari segi kesihatan dan syarak.

Dari segi kesihatan, perkara itu diketahui oleh pakarnya iaitu doktor. Jika mereka mengatakan onani dalam kadar tertentu mengganggu kesihatan, maka dalam kadar itu onani hukumnya haram.
Sepanjang yang saya tahu, banyak yang tidak menilai onani mengganggu kesihatan jika dilakukan sekali sekala saja, tetapi ia boleh mengganggu kesihatan jasmani dan rohani jika selalu melakukannya.

Dari segi hukum syariat, ada yang mengemukakan riwayat menyatakan: “Terkutuk siapa yang menikahi tapak tangannya.” Ini dimaksudkan dengan onani. Akan tetapi riwayat ini daif (lemah).

Meskipun demikian, ada ulama menilai onani adalah haram. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun ayat 5-7, Allah SWT ada menyebut ada dua bentuk penyaluran nafsu yang dibenarkan iaitu melalui isteri dan hamba sahaya. Berdosa seseorang yang mencari penyaluran selain daripada itu.

Allah SWT berfirman: “Dan orang yang memelihara kemaluannya, kecuali terhadap isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Tetapi sesiapa yang mencari di sebalik itu (zina dan sebagainya), maka mereka itulah orang yang melampaui batas.”

Ulama bermazhab Hanafi menilai onani pada dasarnya suatu yang terlarang, namun ia dibenarkan apabila memenuhi tiga syarat. Pertama, disebabkan tidak mampu berkahwin. Kedua, bimbang terjerumus dalam perzinaan. Dan ketiga, tujuannya bukan sekadar memperoleh kelazatan.

Agaknya inilah pandangan yang lebih tepat, asalkan perkara itu tidak selalu dilakukan dan tidak mengakibatkan terganggu kesihatan. Akan tetapi, sekiranya mengakibatkan gangguan atau terjejasnya pelajaran dan pekerjaan, maka kesan negatif ini menjadikan hukum onani adalah haram.

Sebahagian yang lain meletakkan syarat bahawa yang melakukannya hendaklah mereka yang tidak mampu menyalurkan nafsu seksnya dengan cara yang disuruh oleh agama seperti berpuasa dan bersukan.

- BERITA HARIAN

Ahad, Disember 18, 2011

Persoalan Agama: Mazhab Syafie wajibkan niat solat ketika takbiratul ihram

Dijawab oleh Ustaz Zahazan

Soalan:

ADA orang berkata bahawa niat dalam solat diucapkan sewaktu takbiratul ihram. Ada juga yang menyatakan bahawa niat diucapkan sebelum takbiratul ihram, mana yang betul. Kedua, saya bekerja di atas kapal terbang. Kemusykilan saya, bolehkah saya melakukan solat di atas kapal terbang.

Jawapan:

Alhamdulillah wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. Niat adalah membulatkan hati untuk melakukan ibadat guna mendekatkan diri kepada Allah semata-mata. Inilah hakikat niat dan padanya terkandung keikhlasan. Sebenarnya membulatkan hati atau berniat ini dapat juga dipenuhi walaupun tidak diucapkan. Niat tempatnya dihati.

Ulama bersepakat bahawa niat dalam solat hukumnya wajib berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud: “Padahal mereka tidak diperintah kecuali beribadah kepada Allah dalam keadaan ikhlas memurnikan ketaatan kepada-Nya..” (Ada juga memahami sabda Nabi ini dalam erti “sesungguhnya syarat kesempurnaan amal adalah adanya niat”).

Menurut Mazhab Hanafi dan Hambali serta pandangan majoriti ulama bermazhab Maliki, niat solat adalah syarat iaitu dalam pengertian ‘tidak termasuk sebahagian daripada solat’. Sementara itu, dalam Mazhab Syafie dan sebahagian ulama Mazhab Maliki menyebut bahawa niat solat wajib dipenuhi dalam solat iaitu pada awal solat. Kerana itu, mereka meletakkannya sebagai rukun. Mazhab Abu Hanifah mensyaratkan bersambungnya niat dengan takbiratul ihram.

Selain aktiviti berkenaan dengan solat, tidak boleh ada sesuatu pun yang memisahkan niat dengan takbir itu. Contohnya makan, minum dan sebagainya. Jika yang memisahkannya adalah amalan solat seperti berwuduk atau berjalan menuju masjid, maka niat solat yang dilakukan sebelum berwuduk dan pergi ke masjid itu masih berlaku dan orang yang bersangkutan itu dapat mengerjakan solat dengan mengucapkan takbir meskipun ketika itu dia tidak berniat lagi.

Di sini kita dapat lihat bahawa mazhab ini tidak mewajibkan niat bersama dengan takbir. Mereka beralasan bahawa menyatukan niat dengan takbir sesuatu yang menyukarkan. Sedangkan Allah SWT berfirman dalam surah al-Haj ayat 78 yang bermaksud: “... Dia (Allah) tidak menjadikan atas kamu dalam urusan agama sedikit pun kesukaran...” Mereka juga beralasan bahawa awal solat adalah sebahagian daripada solat. Mazhab Maliki mewajibkan orang yang solat untuk menghadirkan niatnya ketika saat takbiratul ihram atau sesaat singkat sebelumnya.

Sementara itu, ulama bermazhab Syafii mewajibkan niat bersama dengan aktiviti solat iaitu ketika takbiratul ihram. Sebab yang disebut dengan niat mestilah disertakan dengan aktiviti. Jika niat itu dihadirkan sebelum aktiviti, maka ia bukanlah niat tetapi azam atau tekad. Padahal yang dituntut adalah niat.

Bagi soalan kedua, ulama berbeza pandangan mengenai masalah ini. Apakah boleh untuk melaksanakan solat dalam penerbangan atau keadaan ini dikiaskan dengan solat di atas perahu? Sebahagian ulama menyamakan hukumnya dengan solat di atas perahu. Dengan ini, kita dapat melaksanakan solat di atas kapal terbang sehingga kita tidak mensia-siakan waktu.

Namun pendapat terkuat dalam Mazhab Syafie adalah kita tidak boleh melaksanakan solat di atas kapal terbang. Apabila kita solat di atas kapal terbang untuk menghargai waktu, maka kita hendaklah mengulanginya kembali ketika mendarat.

Hujah mereka iaitu menetap adalah syarat sah solat. Begitu juga dengan menghadap kiblat. Menghadap kiblat adalah masalah yang diperdebatkan dalam hal ini. Kita tidak akan mungkin menghadap kiblat ketika berada di dalam kapal terbang. Demikianlah, wallahua’lam.

- BERITA MINGGU

Isnin, Disember 12, 2011

Soal Jawab Agama : Perkahwinan di Thailand perlu didaftar di Malaysia

Bersama Dr Salam

SOALAN:

SAYA dan suami berkahwin di Thailand pada pertengahan tahun lalu. Bapa saya tidak setuju dengan pilihan saya dan dia ada mengatakan dalam apa keadaan sekalipun dia tetap tidak membenarkan saya kahwin dengan suami sekarang.

Adakah sah perkahwinan saya kerana menggunakan wali hakim di Thailand dan dua saksi yang dibawa suami. Saya bimbang selama kahwin saya berzina dengan suami sendiri sekiranya perkahwinan kami ini tidak sah.

JAWAPAN:

PERKAHWINAN di Thailand tetap sah apabila cukup syarat dan rukunnya.

Penggunaan wali hakim dibenarkan apabila ketiadaan wali nasab, iaitu bapa tinggal berjauhan seperti di atas.

Pejabat agama Islam di Thailand hendaklah mengeluarkan surat nikah yang sah bagi menjamin bahawa ia dilakukan secara betul.

Menurut undang-undang pentadbiran hukum syarak di negara ini pula, perkahwinan itu hendaklah didaftarkan di Malaysia bagi tujuan rekod perkahwinan.

- HARIAN METRO

Isnin, Disember 05, 2011

Persoalan Agama: Pondan, tomboy, pengkid dilaknat jika tak berubah

Oleh Ustaz Zahazan

Soalan: APAKAH hukum suami yang tidak menegur isterinya berkelakuan ‘tomboy’ (berpakaian dan berperangai seperti lelaki). Apabila ditanya, jawapan suaminya, isterinya memang begitu sebelum berkahwin. Bagaimana cara untuk mengubah isteri yang sebegini.

Jawapan: AL-HAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Abu Daud dan lain-lain, daripada Ibnu ‘Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah melaknat perempuan yang menyerupai lelaki dan lelaki yang menyerupai perempuan.”

Dalam riwayat lain disebut: “Allah melaknat pondan dalam kalangan lelaki dan wanita yang (berlagak) seperti lelaki. Iaitu kalangan wanita yang menyerupai lelaki dalam hal pakaian dan tutur kata mereka.”
Fenomena tomboy dan pengkid adalah isu yang sepatutnya tidak diambil remeh dan sememangnya perlu ditangani. Tomboy iaitu perempuan yang berwatak atau berimej lelaki manakala pengkid adalah perempuan berwatak lelaki dan mempunyai keinginan dengan perempuan. Untuk mengenalinya, biasanya mereka berambut pendek serta memakai seluar jeans dan kemeja-T. Ada yang mengatakan sampai mengikat buah dadanya dengan kain agar kelihatan rata.

Mereka cuba berlagak seperti lelaki dan berasakan mereka ini ada sifat kelelakian. Mereka cenderung untuk melakukan hubungan intim dengan perempuan. Ia berbeza dengan tomboy yang hanya menampilkan imej lelaki tetapi mereka masih mempunyai perasaan seperti perempuan biasa.

Berbalik kepada soalan saudari, jika seorang perempuan itu memakai pakaian yang biasanya dipakai oleh lelaki bererti ia sudah menyerupai lelaki dan tentu saja ia diancam oleh laknat Allah SWT dan Rasul-Nya.

Bagi suaminya yang tidak menegurnya iaitu dia tahu tetapi kemudian rela keadaan itu berlaku pada isterinya dan ia tidak mencegah isterinya, maka suaminya juga mendapat laknat Allah SWT sama dengan isterinya. Ini disebabkan ia sudah diperintahkan untuk membimbing agar isterinya taat kepada Allah SWT dan mencegahnya daripada segala maksiat. Allah SWT berfirman dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu...”

Ertinya, didik dan ajarlah mereka serta peliharalah mereka agar taat kepada Allah SWT dan cegahlah mereka daripada kemaksiatan sebagai kewajipan yang perlu dilakukan terhadap diri kamu sendiri.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab atas kepemimpinannya. Seorang suami adalah pemimpin bagi keluarganya dan bertanggungjawab atas mereka di akhirat kelak.”

Dalam riwayat Muslim dan lainnya daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah akan rosaklah orang lelaki jika mentaati wanita.”

Oleh itu suami yang mempunyai isteri berwatak sedemikian, maka wajiblah beliau menegurnya tetapi hendaklah dengan cara yang berhemah. Sebagai contoh, bawa isteri pergi ke majlis ceramah agama yang diadakan di masjid atau surau, hadiahkan isteri majalah atau buku yang berbentuk agama dan kewanitaan, belikan isteri pakaian wanita dan seumpamanya. Kewajipan menegur ini hendaklah dilaksanakan oleh pihak suami agar tidak ditimpa laknat Allah seperti hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Siapa yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak mampu hendaklah mengubah dengan lidah, sekiranya tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan hati dan itulah selemah-lemah iman. Demikianlah wallahua’lam.

- BERITA MINGGU

Ahad, November 27, 2011

Persoalan Agama: Perintah Allah dan perintah ibu, mana yang patut didahulukan?

Bersama Ustaz Zahazan

SOALAN:

USTAZ, apakah hukum jika anak tidak mentaati ibunya. Jika ibu melarang saya bertudung, tapi ustazah di sekolah pula menyuruh saya bertudung. Adakah saya dikira derhaka sekiranya tidak patuh kepada ibu? Seterusnya, rakan saya kehilangan ibu bapanya dalam kemalangan. Apa patut dilakukan oleh anak yang baik.

JAWAPAN:

ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d.

ALLAH memerintahkan seorang anak mentaati ibu bapa dan bersyukur dengannya. Ketaatan dan syukur itu digandingkan dengan ketaatan dan syukur kepada Allah.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Jika salah seorang di antara kedua-duanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada kedua-duanya perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau membentak keduanya dan ucapkan kepada keduanya perkataan yang baik”. (Surah al-Isra’, ayat 23)

Mensyukuri kedua-dua orang tua wajib kerana melalui mereka anak lahir, terpelihara dan terdidik. Daripada ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW, ketaatan kepada Allah tanpa ketaatan kedua-dua ibu bapa belum cukup meraih keredaan Allah SWT.

Kerana itu, dengan tegas Allah SWT menyatakan kewajipan taat dan syukur kepada ibu bapa berganding dengan kewajipan taat dan syukur kepada-Nya. Dengan kata lain, ketaatan kepada Allah dikaitkan dengan ketaatan kepada kedua-dua ibu bapa.
Justeru, Nabi SAW bersabda bermaksud: Reda Allah diperoleh melalui reda ibu bapa. Dan kemurkaan Allah ada dalam kemurkaan orang tua. Hadis ini diriwayatkan Imam at-Tirmizi daripada Ibnu ‘Amr al-‘Ash.

Tentu saja dimaksudkan ini sama dengan petunjuk Allah. Jika bertentangan dengan petunjuk Allah, maka anak tidak boleh mentaati orang tuanya. Meskipun demikian, ia wajib menghormati dan tidak melukai perasaan sekalipun mereka bukan Islam.

Dalam hadis diriwayatkan Abu Daud daripada Abu Usaid al-Sa’idi, disebutkan ada seseorang datang kepada Nabi dan bertanya, “Apakah masih ada kewajipan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa saya sesudah mereka meninggal?” Nabi SAW menjawab, “Ya, berdoa dan memohon ampun kepada keduanya, melaksanakan pesannya, dan menghubungkan tali silaturahim kepada mereka yang tidak terjadi hubungan kekeluargaan tanpa kedua-duanya, dan berbuat baik atau menghormati temannya.”

Ibu bapa yang meninggal dunia mendambakan pelbagai perkara daripada anaknya. Kerana itu, sekali lagi dikatakan belum lagi dianggap berbakti kepada orang tua kecuali apabila ia mendoakan mereka yang sudah mendahuluinya.

Doa ini sangat penting, sehingga al-Quran meletakkan pujian kepada mereka yang mendoakan saudara seiman yang meninggal dunia. Allah SWT berfirman bermaksud: Ya Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara kami yang beriman lebih dulu daripada kami. (Surah al-Hasyr, ayat 10)

Demikianlah, wallahua’lam.

- BERITA MINGGU

Soal Jawab Agama : Teman lelaki abai solat

Bersama DR SALAM

SOALAN:

DALAM Islam untuk mencari jodoh perlu pada akhlak dan agamanya. Teman lelaki saya berakhlak baik dan bertanggungjawab tetapi dia sering mengabaikan solat.

Saya sering menasihatinya dan dia boleh menerimanya, malah berjanji akan berubah. Tetapi apabila kami keluar ke mana-mana dia seperti biasa meninggalkan solat.

Adakah saya perlu memutuskan hubungan dengannya atau menasihatinya kerana saya berniat apabila kami berkahwin nanti kehidupan beragamanya lebih teratur.

Apabila berlaku sebaliknya, itu yang merunsingkan saya. Mungkin selepas berkahwin dia akan memberontak dan sesuatu yang buruk akan berlaku kepada saya.

Apa pendapat Dr?

JAWAPAN:

AKHLAK baik termasuk dalam kategori beragama yang dituntut Islam. Tujuan Islam ialah melahirkan insan yang benar-benar berakhlak mulia dan baik.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Kisah Nabi Yusuf dalam al-Quran mengingatkan kita bagaimana baginda memelihara rohani dan jasmaninya daripada terjebak ke lembah hawa nafsu manusia.

Antara akhlak mulia yang perlu diterapkan ialah ketakwaan kepada Allah iaitu mengikut sunnah nabi, berpaling dan mengelak diri daripada hal yang tidak bermanfaat, reda dengan segala pemberian Allah dan kembali kepada Allah dalam semua perkara.

Dalam melaksanakan solat, kesedaran sendiri amat penting. Saya berpendapat teman anda seorang yang baik dan boleh diajak ke arah kebaikan namun dia perlu sentiasa diingatkan.

Solat itu tiang agama dan mendirikan solat bererti menjaga agama dan asas akhlak. Malah Ia juga asas kepada kebahagiaan keluarga.

Seorang menunaikan perintah Allah tentu lebih bertanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga.

Sebelum mengambil keputusan sama ada untuk memutuskan hubungan atau tidak, anda terlebih dulu perlu memberitahu prinsip anda dalam memilih pasangan hidup.

Keluarga hendaklah memilih jodoh anak perempuannya daripada kalangan orang yang taat kepada agama.

Saya juga ingin menasihati supaya tidak terlalu bebas bergaul dengan mana-mana lelaki sehingga boleh membawa kepada maksiat seperti keluar berdua-duaan tanpa mahram.

- HARIAN METRO

Recent Posts