Memaparkan catatan dengan label Soal Jawab. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Soal Jawab. Papar semua catatan

Rabu, November 23, 2011

Soal Jawab Agama : Poker Internet tanpa taruhan

Bersama Dr Salam

SOALAN:

APAKAH hukum bermain poker (judi) di Internet iaitu bermain hanya sekadar suka-suka saja dan tidak membabitkan pertaruhan duit sebenar.

Bolehkah ia disamakan dengan permainan lain di Internet? Boleh Dr jelaskan hukumnya kerana ada yang berpendapat haram kerana menyamai perjudian sebenar.

Ada yang mengatakan ia tidak haram kerana sama saja dengan permainan lain di Internet.

JAWAPAN:

JUDI termasuk dalam perbuatan haram dalam Islam (al-Quran, al-Ma’idah (5): 90-91). Ia perlu dijauhi sama ada kecil atau besar. Bagi lebih memahami maksud judi itu, ia secara umum membabitkan dua perkara berikut, iaitu (1) sumber hadiah berasal daripada apa-apa benda termasuk duit sebagai deposit atau taruhan daripada semua peserta, dan (2) semua peserta perlu mengambil risiko sama ada menang atau kalah di dalamnya (Ashraf Md Hashim 2003).

Sekiranya permainan poker di atas tidak membabitkan perkara di atas, ia bukan judi yang ditakrifkan haram dalam Islam. Bagaimanapun, permainan sedemikian dikira membazir waktu dan wajar dijauhi.

Justeru hukumnya berbeza-beza. Ada berpendapat permainan sedemikian hanya makruh, harus atau haram berdasarkan keadaan tertentu.

Ada menyatakan ia haram kerana melakukan aktiviti tidak berfaedah dan untuk keseronokan semata-mata. Lebih bermanfaat mencegah diri daripada permainan berkenaan.

- HARIAN METRO

Rabu, November 09, 2011

Persoalan Agama: Cabutan bertuah harus tanpa unsur judi

Oleh DR SALAM

SOALAN:

SAYA menjalankan perniagaan makanan dan minuman. Bagi meningkatkan pendapatan, saya berusaha dengan cara telus iaitu belajar daripada syarikat besar bagaimana memajukan perniagaan.

Apa yang saya perhatikan, mereka mengadakan cabutan bertuah berupa pelbagai jenis hadiah termasuk kereta dan sebagainya dengan syarat pelanggan yang ingin menyertai cabutan itu mesti melakukan pembelian mengikut syarat tertentu seperti RM100 dalam satu resit dan sebagainya.

Persoalannya, adakah kaedah promosi itu dibolehkan dalam Islam bagi meningkatkan jualan?

JAWAPAN:

CABUTAN bertuah sedemikian dibolehkan dalam Islam dalam meningkatkan jualan perniagaan anda. Ini kerana ia tidak membabitkan unsur perjudian atau penipuan secara umumnya.

Judi membabitkan dua perkara berikut, iaitu (1) sumber hadiah berasal daripada apa-apa benda termasuk duit sebagai deposit atau taruhan daripada semua peserta dan (2) semua peserta perlu mengambil risiko sama ada menang atau kalah di dalamnya (Ashraf Md. Hashim 2003).

Anda boleh menggunakan kaedah itu dalam melariskan jualan anda.

- HARIAN METRO

Isnin, November 07, 2011

Persoalan Agama: Islam benar bergurau asal tak melampaui batasan

Oleh Ustaz Zahazan

Soalan:

SAYA mahu bertanya mengenai gurauan. Rasanya saya ada mendengar kalau bergurau atau mendengar perkara melucukan, ia boleh mematikan hati. Bagaimana sekiranya dalam ceramah agama, ustaz yang berceramah asyik membuat lucu. Adakah ia mematikan hati juga. Bolehkan golongan ustaz bergurau atau hanya perlu serius.

Jawapan:

ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah waba’d. Pertama, hendaklah difahami ajaran Islam seiring dengan fitrah manusia. Tiada satu pun petunjuk dalam Islam yang tidak selaras dengan fitrah atau bawaan manusia yang positif. Mendengar sesuatu yang lucu dan menyegarkan adalah sesuatu yang menyenangkan manusia.

Justeru, pada prinsipnya, Islam tidak mungkin melarang bergurau. Bagaimana mungkin kita kata Islam melarang bergurau padahal al-Quran menyebut dalam surah an-Najm ayat 43 dan 44 yang bermaksud: “Sesungguhnya Dia (Allah) yang menjadikan orang tertawa dan menangis dan Dia pula yang mematikan dan menghidupkan.”

Perlu juga diakui Islam menuntut penganutnya untuk menghadapi hidup dengan serius, tidak menghabiskan waktu dengan bersantai dan bergurau.
Justeru, ada beberapa ayat dan hadis melarang bergurau sebagai contoh, Nabi SAW bersabda (yang bermaksud): “Ada orang yang mengucapkan satu kalimat untuk membuat orang sekelilingnya ketawa tetapi mengakibatkan ia meluncur lebih jauh dari bintang Venus menuju ke neraka.” Atau sabda baginda SAW lagi: “Jangan banyak ketawa kerana banyak ketawa boleh mematikan hati.”

Pada hemat saya, riwayat sebegini – sekiranya dinilai sahih – hendaklah difahami dalam erti gurauan yang tidak menyakitkan hati, melalaikan dari tugas utama kerana Nabi pun ketawa apabila mendengar ucapan atau melihat keadaan yang lucu. Firman Allah SWT mengenai Nabi Sulaiman yang mendengar suara atau ucapan semut (sebagaimana dalam firman Allah SWT ayat 19 surah an-Naml yang bermaksud): “... maka dia tersenyum tertawa mendengar ucapan semut.”

Begitu juga banyak riwayat menceritakan Rasulullah SAW pun bergurau. Antaranya iaitu menurut isteri Baginda, Aisyah: “Rasulullah SAW adalah seorang yang selalu senyum dan tertawa.” Bahkan menurut riwayat lain, Baginda ketawa sampai kelihatan gigi geraham (gigi paling belakang) walaupun tidak terbahak dan tidak mengucapkan kecuali yang benar.

Suatu hari, seorang wanita tua datang kepada Baginda memohon didoakan masuk syurga, maka Baginda bersabda: “Syurga tidak dimasuki wanita tua”. Wanita itu mengeluh kecewa. Ketika itu juga Rasulullah SAW tersenyum dan membacakan firman Allah SWT pada ayat 35 hingga 38 surah al-Waqiah (yang bermaksud):

“Sesungguhnya Kami jadikan isteri mereka dengan secara langsung. Kami jadikan mereka gadis perawan, mencintai sepenuhnya (jodohnya) lagi sebaya umurnya untuk kelompok kanan (penghuni syurga).” Pada waktu yang lain, datang seseorang yang berkata kepada Baginda SAW: “Suami saya mengundang Tuan ke rumah kami.” Nabi SAW pun menjawab: “Apakah di matanya ada sesuatu yang putih.” Si isteri menafikan, tetapi Nabi SAW berkeras dan mengulangi ucapan Baginda.

Bahkan dalam riwayat lain menyatakan Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): “Segera melihat suamimu kerana pada kedua matanya ada sesuatu yang putih.” Lalu si isteri menemui suaminya dan si suami menenangkan isterinya dengan berkata: “Memang ada putih di mata saya tetapi bukan penyakit. Tenanglah wahai isteriku.” Hakikatnya, semua orang ada putih pada matanya.

Aisyah bercerita: “Pada suatu ketika, saya memasak makanan dan memberikan kepada Rasulullah SAW yang ketika itu berada bersama isteri Baginda iaitu Saudah. Saya mengharap Saudah juga makan bersama tetapi dia tidak mahu kerana tidak sesuai dengan seleranya. Saya pun berkeras sambil berkata, demi Allah! Awak kena makan, kalau tidak saya akan kotorkan muka kamu dengan makanan ini.

Oleh kerana Saudah tetap berkeras tidak mahu makan, saya pun mengambil sebahagian makanan dan menempel pada muka Saudah. Saudah pun melakukan perkara yang sama ke muka saya sambil ketawa. Rasulullah yang menyaksikan kejadian itu juga ketawa.” Demikianlah beberapa kisah gurauan Rasulullah SAW. Wallahua’lam.

- BERITA HARIAN

Sabtu, November 05, 2011

Persoalan Agama: Larangan bagi daging korban pada bukan Muslim

SOALAN:

SAYA tertarik dengan perbincangan ustaz berkenaan korban dan akikah minggu lalu. Bagaimanapun, saya masih ada beberapa persoalan dan memohon penjelasan ustaz.

1. Berkenaan daging korban, jika selepas diagih kepada fakir miskin dan juga para petugas masih ada bakinya, bolehkah ia diberi kepada orang bukan Islam?

2. Jika seorang fakir miskin itu menerima daging korban yang dikumpulkan agak banyak, contoh 4 @ 5 kilogram, bolehkah dia menjual sebahagian daripada daging itu termasuk kepada orang bukan Islam?

3. Bagaimana pula dengan kulit lembu korban, bolehkah ia dijual kepada pengusaha makanan atau pembuat kompang?

JAWAPAN:

Kebanyakan kita faham secara asas bahawa daging korban tidak boleh diberi kepada orang bukan Islam.

Pendirian ini memang berasas, asasnya para alim ulama kita berpandangan dengan pendapat Imam al-Syafie yang tidak membenarkan daging korban diberikan kepada orang bukan Islam, sama ada daging korban sunat mahupun daging korban nazar.

Ini kerana ibadah korban adalah perbuatan taqarrub kepada Allah SWT yang dikategorikan ibadah semata-mata, ibadah ini berkaitan dengan menyembelih binatang ternakan. Orang Islam sahaja yang berhak kepada daging korban tersebut. Serta manfaat daging itu hanya kebali kepada orang Islam sahaja.

Pandangan ini adalah berdasarkan kepada pembahagian daging mentah bukan daging yang sudah dimasak.

Sekiranya kita ingin menjemput jiran atau kenalan kita yang bukan beragama Islam dengan menjamu mereka daging korban, bagi mereka yang bermazhab al-Syafie hendaklah menambahkan daging lain yang dibeli dari pasar sejumlah yang yang mungkin boleh cukup untuk hidangan orang bukan beragama Islam lalu dicampurkan daging yang dibeli di pasar dengan daging korban kemudian dimasak bersama.

Anggaplah apa yang dimakan oleh tetamu kita yang bukan beragama Islam dari daging yang dibeli dari pasar dan bukan daging korban.

Namun persoalan ini pernah saya bincangkan sebelum ini. Demi berlaku adil kepada para Ulama mazhab selain Imam al-Syafie eloklah kita sama-sama perhatikan pandangan mereka dalam masalah ini;

Ulama Malikiyah berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang-orang Yahudi dan Nasara.

Mazhab Hanbali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada orang bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka. (Kasyf al-Qina' 3;19 )

Dinyatakan juga bahawa dalam kitab al-Majmu' disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada golongan fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.

Di dalam kitab al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, karya Imam al-Nawawi, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama telah sepakat (ijmak) bahawa daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin orang Islam, namun mereka khilaf tentang memberi makan daging korban kepada golongan fakir miskin kafir ahli zimmah. (al-Majmu' Syarh al-Muhazzab; 8, 404 ).

Imam Hasan al-Basri telah memberi keringanan (rukhsah) memberikan mereka memakannya..

Ibnu Qudamah al-Maqdisiy dan al-Syarbainiy berpendapat, mazhab Maliki menghukumnya dengan makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang beragama Yahudi dan Nasrani.

Memelihara nyawa

Mazhab Hanbali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus. Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah.

Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib. (al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir 2:381).

Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla 7:383 menyatakan tuan punya korban boleh memberinya makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.

Kesimpulan yang boleh dibuat:

lMazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban kepada orang bukan Islam, sama ada daging korban sunat atau wajib (nazar) kepada orang bukan Islam.

lMazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.

lMazhab Hanbali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.

Namun sekiranya keadaan masyarakat yang bukan beragama Islam sangat memerlukan, dalam erti kata kalau tidak dibantu keadaan mereka akan bertambah buruk dan dengan membiarkan mereka dalam keadaan melarat boleh mendatangkan bencana yang lebih buruk, maka dalam keadaan ini pandangan beberapa mazhab seperti pandangan ulama Maliki boleh diamalkan. Ini kerana memelihara nyawa adalah lebih utama dalam hal ini.

Mengenai menjual sebahagian daging korban mahupun kulitnya, di dalam hadis Rasulullah SAW mengarahkan Saidina Ali r.a supaya menguruskan daging korban serta apa-apa yang berkaitan dengan ibadah korban.

Maksud sabda baginda: Dari Ali r.a bahawa Rasulullah SAW memerintahkan agar dia menguruskan budan (unta-unta yang dikorbankan) Beliau, membahagi semuanya, dan jilalnya (kain yang diletakkan dibelakang unta ). Dan dia tidak boleh memberikan sesuatupun (dari korban itu) kepada penyembelihnya. (riwayat Bukhari no. 1717, tambahan dalam riwayat Muslim no. 439/1317).

Dalam riwayat yang lain Saidina Ali r.a memberitahu, yang bermaksud: Rasulullah SAW memerintahkanku agar aku menguruskan unta-unta korban baginda, mensedekahkan dagingnya, kulitnya dan jilalnya (kain yang diletak dibelakang unta ). Dan agar aku tidak memberikan sesuatupun (dari korban itu) kepada tukang sembelihnya. Dan Beliau bersabda: Kami akan memberikan (upah) kepada tukang sembelihnya dari kami. (riwayat Muslim no. 348, 1317)

Hadis ini secara jelas menunjukkan, bahawa Saidina Ali r.a diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk menyedekahkan daging korban, kulitnya, bahkan jilalnya. Dan tidak boleh mengambil sebahagian dari binatang korban itu untuk diberikan kepada tukang sembelihnya sebagai upah, kerana hal ini termasuk jual beli.

Daripada hadis ini banyak ulama mengambil dalil tentang larangan menjual sesuatu dari binatang korban, termasuk menjual kulitnya.

Imam Asy-Syafie r.h berkata: "Jika seseorang telah menetapkan binatang korban, bulunya tidak dicukur. Adapun binatang yang seseorang tidak menetapkannya sebagai korban, dia boleh mencukur bulunya. Binatang korban termasuk nusuk (binatang yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada Allah), dibolehkan memakannya, memberikan makan (kepada orang lain) dan menyimpannya.

"Ini semua boleh terhadap seluruh (bahagian) binatang korban, kulitnya dan dagingnya. Aku membenci menjual sesuatu darinya. Menukarkannya merupakan jual beli".

Beliau juga mengatakan: "Aku tidak mengetahui perselisihan di antara manusia tentang ini iaitu: Barang siapa telah menjual sesuatu dari binatang korbannya, baik kulit atau lainnya, dia (wajib) mengembalikan harganya -atau nilai apa yang telah dia jual, jika nilainya lebih banyak dari harganya- untuk apa yang binatang korban dibolehkan untuknya. Sedangkan jika dia mensedekahkannya, (maka) lebih aku sukai, sebagaimana bersedekah dengan daging binatang korban lebih aku sukai".

Perselisihan

Imam Asy-Syafie r.h berkata: "Jika seseorang telah menetapkan binatang korban, bulunya tidak dicukur. Adapun binatang yang seseorang tidak menetapkannya sebagai korban, dia boleh mencukur bulunya. Binatang korban termasuk nusuk (binatang yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada Allah), dibolehkan memakannya, memberikan makan (kepada orang lain) dan menyimpannya.

"Ini semua boleh terhadap seluruh (bahagian) binatang korban, kulitnya dan dagingnya. Aku membenci menjual sesuatu darinya. Menukarkannya merupakan jual beli".

Beliau juga mengatakan: "Aku tidak mengetahui perselisihan di antara manusia tentang ini, iaitu perselisihan dalam melarang menjual apa-apa yang berkaitan dengan binatang korban. Imam Syafie berpendapat sesiapa telah menjual sesuatu dari binatang korbannya, baik kulit atau lainnya, dia (wajib) mengembalikan harganya-atau nilai apa yang telah dia jual, jika nilainya lebih banyak dari harganya, untuk apa yang binatang korban dibolehkan untuknya.

Tukang sembelih diberi daging korban seperti orang ramai memperolehinya. Diberi daging korban kepada mereka bukan dengan niat upah sembelih, begitu juga ketika tukang sembelih menerima daging tidak boleh menganggapnya sebagai upah.

- UTUSAN

Sabtu, Oktober 29, 2011

Persoalan Agama: Ibadah korban

SOALAN:

Saya masih keliru tentang akikah dan korban. Bolehkan kita kumpulkan akikah dan korban dalam seekor lembu. Contohnya, akikah dua bahagian dan korban lima bahagian.

2. Untuk akikah dan korban, betulkah segala tulang dan kulitnya hendaklah ditanam. Bagaimana jika saya hanya membuangnya dalam tong sampah, adakah berdosa?

3. Saya selalu memerhatikan dalam majlis korban, ada yang mengambil daging korban dua atau tiga bungkus (bukan peserta korban). Berapakah sebenarnya yang boleh kita iaitu jemaah dan petugas ambil daging korban ini?

4. Adakah had umur untuk membuat akikah? Sebabnya semasa kecil saya belum diakikahkan kini saya ada sedikit kemampuan melaksanakannya. Atau bolehkah akikah diganti dengan ibadat korban?

JAWAPAN:

Jika kita melihat kepada falsafah ibadah korban dan ibadah akikah adalah dua perkara yang seperti sama tetapi berlainan maksud dan tujuan.

Ia sama kerana akikah dan korban adalah tuntutan menyembelih binatang ternakan. Akikah dilakukan kerana tanda syukur kepada Allah SWT atas kurniaan anak. Lebih-lebih lagi ia sangat dituntut bagi mereka yang mampu melakukannya.

Rasulullah SAW mengumpamakan bagi mereka yang tidak melakukan akikah hutangnya tergantung, hutang yang tidak tertunai.

Sabda baginda yang bermaksud: "Setiap bayi itu tergadai dengan akikahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuh dan dicukur kepalanya dan diberi nama". (riwayat Abu Daud).

Hukum melakukan akikah adalah sunat muakkadah bagi orang yang menanggung sara hidup kanak-kanak tersebut. Jika anak itu lelaki disunatkan menyembelih dua ekor kambing, manakala jika anak itu perempuan disunatkan menyembelih seekor kambing.

Binatang seperti lembu, kerbau atau unta boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian.

Tidak dapat dinafikan bahawa ramai di kalangan masyarakat kita yang berkongsi melakukan ibadah akikah dan korban. Mungkin mereka yang ingin melakukan ibadah akikah ingin mengambil fadilat mengorbankan binatang pada hari raya korban.

Memandangkan perkara yang tertanggung ke atasnya adalah akikah maka didahulukan akikah dalam musim korban.

Jumhur ulama berpendapat boleh melakukan akikah dengan seekor kambing, unta atau lembu. Tetapi mereka berbeza pendapat, adakah akikah mengambil hukum adhiyah (korban), atau sama dengan hukum korban, sehingga akikah boleh berkongsi pada seekor lembu atau unta.

Ini adalah masalah khilafiah. Ulama-ulama mazhab al-Sayfie berpendapat boleh kerana melihat akikah adalah sama dengan korban yang boleh berkongsi bahagian seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi.

Namun, para ulama mazhab Hambali dan Maliki berpendapat tidak boleh. Jika seseorang hendak melakukan akikah dengan seekor lembu contohnya, ia hanyalah untuk seorang anak sahaja. Tidak boleh berkongsi bahagian kerana bagi mereka akikah tidak sama hukumnya dengan korban dalam bab bolehnya berkongsi bahagian.

Dalam laman islam-qa menyebut: "dan yang lebih hampir (kepada kebenaran), bahawasanya ia (akikah) tidak boleh berkongsi, dan inilah (mazhab yang lebih hampir kepada kebenaran) mazhab al-Malikiyyah dan al-Hanabilah". (lihat al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah 30/279)

Ulama yang berpendapat tidak boleh berkongsi dalam melaksanakan akikah melihat akikah adalah satu penebusan terhadap anak yang dilahirkan.

Maka seekor binatang yang disembelih untuk akikah adalah untuk seorang anak sahaja, kerana itu tidak terdapat dalil yang menunjukkan adanya perkongsian dalam melakukan akikah, maka ibadah hendaklah dibina atas dasar al-tauqif (mengikut dalil).

Seperkara yang perlu diingat, daging korban diagihkan secara mentah, manakala daging akikah dimasak dan dijamu.

Perbezaan akikah dengan korban

Akikah tidak terikat pada masa tertentu, sedangkan korban dilakukan pada masa-masa tertentu, iaitu selepas sembahyang dan khutbah Hari Raya Aidiladha hingga 13 Zulhijjah.

Daging akikah boleh diberi milik kepada orang kaya manakala daging korban hanya boleh diberi kepada fakir miskin. Akikah dilakukan sempena menyambut kelahiran anak sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, manakala korban dilakukan kerana memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail.

Daging korban sunat disedekahkan secara mentah, sedangkan daging akikah sunat disedekahkan setelah dimasak.

Selain melakukan korban dan akikah, umat Islam harus menjaga kebersihan semasa kedua ibadah ini dilakukan, lebih-lebih lagi ibadah korban. Kebanyakan ibadah korban dilakukan di perkarangan masjid dan surau, walaupun yang afdalnya, setiap orang melakukannya di perkarangan rumahnya sendiri.

Jadi demi menjaga kebersihan adalah sangat dituntut supaya segala tulang belulang binatang sembelihan ditanam. Yang demikian adalah bagi memastikan kebersihan persekitaran. Sekiranya ada yang membuang di tong sampah tidak dikira berdosa, tetapi adalah lebih baik menanamnya.

Melakukan ibadah akikah setelah dewasa tidak menjadi halangan. Walaupun demikian ibadah akikah adalah tanggungjawab ayah atau penjaga atau wali.

Sekiranya mereka tidak melakukannya ketika kita masih kecil, iaitu sebelum baligh atas halangan kewangan maka tidaklah dituntut keatas individu untuk melakukan atas dirinya.

Jika ada yang mahu akikah atas diri sendiri selepas dewasa tidak salah. Tapi yang lebih afdal adalah melakukan ibadah korban.

Mengenai mengambil beberapa bungkus daging adalah bergantung kepada cara pengagihan daging oleh jawatankuasa masjid atau surau atau penganjur.

Ada masjid yang memberi kupon kepada para jemaah untuk datang mengambil daging, begitu juga dengan para petugas. Biasanya petugas ambil banyak sikit, maklumlah dia bertugas.

Tetapi ini tidak bermaksud petugas boleh ambil banyak mana yang dia mahu. Harapnya tidak ada petugas mengambil peluang memenuhkan peti sejuk dengan daging korban.

- UTUSAN

Persoalan Agama: Kaedah kiraan zakat saham

SOALAN:

Saya adalah orang awam yang tidak tahu banyak tentang dunia saham. Namun, saya ada kenalan yang bermain saham di bursa saham dan saya sendiri ada juga menyimpan dalam saham amanah. Seingat saya, dahulu saya mengira zakat saham dengan melihat kepada nilai unit terendah. Maka, bolehkah diperjelaskan kaedah pengiraan zakat saham pada hari ini?

JAWAPAN:

Terlebih dahulu, suka saya nyatakan bahawa jawapan ini disediakan bagi khalayak pembaca awam yang tidak begitu arif tentang permainan saham.

Ini kerana, saya difahamkan di Bursa Saham terdapat beberapa produk yang terminologinya agak sukar difahami orang awam, seperti ekuiti, derivatif, offshore, pasaran Islam (Islamic market) dan sebagainya.

Oleh itu, bagi pembaca yang memang arif bab saham, maka anda boleh menyesuaikannya berdasarkan keadaan dan keperluan.

Umumnya ada tiga jenis saham yang dimiliki dan diceburi oleh kita pada hari ini.

Pertama, saham yang dilaburkan ke dalam Bursa Saham. Saham ini dijual beli sepanjang tahun. Kedua, saham yang disimpan hingga ke hujung tahun. Saham ini biasanya bersifat Saham Amanah dan penyimpan saham mendapat untung berdasarkan harga saham pada hujung tahun berkenaan.

Ketiga, saham yang dilaburkan ke dalam syarikat, yakni orang yang melaburkan saham atau pemodal itu dinamakan sebagai pemegang saham.

Mari kita selami satu demi satu. Pertamanya, bagi saham yang dimainkan di Bursa Saham, maka zakat dikenakan berdasarkan keuntungan yang diperolehi.

Maknanya, bila dijual dan dapat keuntungan, maka keuntungan itulah yang dizakatkan. Pokok saham (modal), hanya dikenakan zakat pada hujung tahun sahaja.

Maknanya di sini, saham yang dijual beli sepanjang tahun, pengiraannya adalah sama seperti zakat pendapatan.

Contoh: Puan Isma bermain saham di Bursa Saham Kuala Lumpur. Berikut adalah paparan untung rugi transaksi saham beliau bagi tahun 2010. Kita andaikan, Puan Isma sentiasa membeli saham (modal atau pokok) pada kadar tetap RM10/Unit dan jumlah unit dimiliki beliau adalah 10,000 unit.

Transaksinya berlaku beberapa kali dalam setahun. Selepas membeli saham, beliau menunggu hingga harga naik, dan ketika itu beliau menjualnya. Namun, ada juga keadaan tertentu, Puan Isma rugi kerana terpaksa menjual saham di bawah paras harga belian.

Hal ini boleh berlaku, demi mengelakkan kerugian yang lebih besar.

Berikut ini transaksi saham Puan Isma bagi tahun 2010 di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Oleh itu, bagi tahun 2010, jumlah keuntungan keseluruhan bagi saham Puan Isma adalah RM100,000. Oleh itu, zakat saham Puan Isma bagi tahun 2010 adalah, RM100,000 X 2.5 peratus sama dengan RM2,250. Manakala, pokok atau modal saham beliau sebanyak RM100,000 hanya akan dikenakan pada hujung haul, yakni RM100,000 X 2.5 peratus iaitu RM2,500.

Seandainya jualan pada 31 Dis. 2010 adalah rugi, misalnya seperti berikut:

* 31 Dis. 2010

* Jual RM9.50/Unit

* 10,000 X RM9.50 > RM95,000

* Baki selepas jualan> -RM5,000.

Maka, Puan Isma tidak dikenakan zakat ke atas baki jualan, namun dia masih dikenakan zakat ke atas pokok saham atau modal saham yang berjumlah RM9,500.

Ini kerana, modal RM9,500 itu hakikatnya sudah setahun dimiliki, yakni cukup haul dan ia wajib dizakatkan atas sandaran zakat wang yang melebihi haul.

Walau bagaimanapun, hanya saham yang dilaburkan ke dalam kaunter patuh syariah sahaja yang layak dizakatkan keuntungannya. Jika dilaburkan dalam kaunter haram atau syubhah, maka hanya pokok atau modal saham sahaja yang dikenakan zakat pada penghujung tahun berkenaan, yakni keuntungannya tidak dizakatkan.

Kedua, saham yang disimpan sepanjang haul/tahun, maka hendaklah diambil harga saham pada hujung haul (biasanya hujung tahun) berkenaan. Ia tidak melihat kepada harga unit terendah saham sebagaimana yang diamalkan sebelum ini.

Contoh: Jiwa membeli Saham Amanah pada 1 Januari 2010 dengan nilai RM5/Unit. Jumlah keseluruhan saham beliau adalah 10,000 unit > RM50,000. Pada hujung tahun 2010 (31 Dis. 2010), harga seunit ialah RM5.50/ Unit. Maka, zakat saham Jiwa ialah, 10,000 unit X RM5.50 > 55,000 X 2.5% > RM1,375.

Seandainya pada hujung tahun itu harga seunit saham adalah lebih rendah daripada harga belian, maka hendaklah dilihat sama ada masih berada di atas paras nisab atau tidak. Jika masih melebihi nisab, maka masih wajib dizakatkan.

Contohnya:

Harga belian 1 Jan 2010 > RM5/ Unit

Harga pada 31 Dis 2010 > RM4.50/ Unit

Jumlah saham > 10,000 unit

Maka, RM4.50 X 10,000 unit > RM45,000 dan hakikatnya pemilik saham rugi, kerana semasa belian dahulu nilainya RM50,000.

Namun, oleh kerana RM45,000 itu masih di atas paras nisab, maka wajiblah ia dikeluarkan zakat, iaitu RM45,000 X 2.5 % > RM1,125.

Ketiga, saham yang dilaburkan dalam syarikat, yakni sebagai pemegang saham. Maka, zakat di sini hendaklah dikeluarkan sebagai pemegang saham berdasarkan kaedah kiraan zakat perniagaan. Kesimpulannya, ketiga-tiga jenis saham ini mempunyai kaedah pengiraan yang tersendiri, sama ada disandarkan kepada kaedah keuntungan, harga hujung tahun dan zakat perniagaan. Wallahu a'lam.

- UTUSAN

Isnin, Oktober 17, 2011

Persoalan Agama: Doa sujud tengah malam paling mustajab

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

SEBENARNYA ada beberapa waktu atau masa khusus yang memiliki keistimewaan dengan Allah SWT mengkabulkan doa. Justeru, hendaklah seorang yang beriman berusaha untuk berdoa pada waktu diberkati itu dan memohon dalam doanya kebaikan, rahmat dan afiat.

Jangan meminta seksaan dan kebinasaan. Antara waktu paling mustajab adalah tengah malam dan sesudah solat fardu.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis riwayat at-Tirmizi daripada Abu Umamah, beliau berkata (yang bermaksud): Rasulullah SAW pernah ditanya: Doa bagaimana yang lebih didengar? Baginda SAW menjawab, doa pada tengah malam yang terakhir dan sesudah solat fardu.”

Sebaik-baiknya lakukanlah solat hajat dua rakaat. Rakaat pertama sesudah membaca al-Fatihah, bacalah surah al-Kafirun dan pada rakaat kedua, sesudah membaca al-Fatihah, bacalah surah al-Ikhlas. Kemudian pada sujud terakhir, berdoalah. Sebaik-baiknya berdoa ketika sujud dalam solat kerana ia dalam keadaan paling dekat dengan Penciptanya.

Rasulullah SAW bersabda: “Sedekat-dekat seorang hamba kepada Tuhannya adalah ketika ia sujud.” Maka perbanyakkanlah berdoa dalam sujud.

Mungkin ada yang bertanya, adakah doa yang pernah dipanjat itu diterima? Rasulullah SAW bersabda dalam hadis daripada Abu Hurairah (yang bermaksud): “Doa seseorang kamu akan dikabulkan selama ia tidak terburu-buru, ia mengucapkan, Aku sudah berdoa kepada Tuhanku tetapi Tuhan tidak memperkenankan doaku” (Muttafaqun ‘Alaih).

Atau dalam hadis lain menyebut (yang bermaksud): Doa seseorang itu akan dikabulkan selama ia tidak berdoa untuk berbuat dosa atau untuk memutuskan silaturahim, selama ia tidak terburu-buru.”

Baginda ditanya, “Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan terburu-buru?” Baginda berkata: “orang itu berkata, “aku telah berdoa dan berdoa tetapi aku tidak melihat doaku dikabulkan.” Kalau demikian ia akan letih dan ia berhenti berdoa.”

Dalam hadis itu kita dapat memahami seorang Muslim itu hendaklah berdoa kepada Tuhannya terus menerus dan hendaknya doa itu untuk meminta kebaikan. Doanya pasti dikabulkan selama ia tidak berdoa untuk berbuat dosa dan selama ia tidak terburu-buru. Maksud terburu-buru mencegah terkabulnya doa iaitu yang mengakibatkan seseorang itu meninggalkan doa.

Bagi soalan kedua, ucapan terbaik bagi seorang Muslim, apabila ada orang lain berbuat baik kepadanya iaitu ucapan “Jazakallah khairan.” Maksudnya “Moga Allah membalas kebaikan kepadamu.” Rasulullah SAW bersabda daripada Usamah Zaid, beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa diperlakukan dengan baik, kemudian ia berkata kepada orang yang berbuat baik, “Jazakallah khairan (Semoga Allah membalas kebaikan kepadamu)” Maka ia lebih daripada cukup dalam memuji. (Riwayat at-Tirmizi). Demikianlah, wallahua’lam.

- BERITA MINGGU

Jumaat, Oktober 14, 2011

Persoalan Agama: Derma darah harus

Oleh Datuk Dr Mashitah Jawab

SOALAN:

Saya ingin bertanya mengenai penerimaan darah daripada orang bukan Islam untuk dimasukkan ke dalam badan orang Islam. Contohnya, pesakit A yang kekurangan darah perlu ditambah darah untuk mengembalikan kestabilan kesihatannya.

Sebagaimana kita sedia maklum, apabila pakaian kita terkena darah, solat kita tidak sah. Inikan pula sejumlah darah daripada orang bukan Islam dimasukkan ke dalam badan orang Islam yang seterusnya menjadi penyambung keturunan kita sehingga hari kiamat.

Persoalannya, apakah hukumnya dan jika jawapannya dibolehkan atas alasan darurat, sehingga bila perkara ini dianggap darurat?

JAWAPAN:

ADA dua perkara yang perlu diasingkan di sini. Pertamanya, derma darah dan kedua perkara yang membatalkan solat. Ia dua perkara yang tidak boleh dicampuradukan. Orang bukan Islam tidak najis darahnya dan derma darah pula amalan mulia yang boleh menyelamatkan nyawa manusia. Oleh itu darah orang bukan Islam, bahkan organnya juga boleh diterima orang Islam.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali ke-4 dan ke-6 pada April 1982 dan Oktober 1983 mengesahkan menderma darah hukumnya harus dan tidak perlu diasingkan darah orang Islam dan bukan Islam.

Pakaian yang terkena darah, jika hendak dibawa solat, perlu dicuci saja. Darah yang keluar daripada tubuh seseorang bukanlah najis, selain darah haid, dan nifas. Dahulu, kaum muslimin pada zaman Rasulullah sering melakukan jihad fisabilillah, dan terluka oleh pedang, tusukan panah dan tombak.

Namun mereka tetap solat dengan memakai pakaian yang berlumuran darah. Ini juga menunjukkan darah yang keluar itu tidaklah membatalkan wuduk dan solat kita.

- HARIAN METRO

Ahad, Oktober 09, 2011

Persoalan Agama: Perlu tunai haji sebelum lakukan untuk orang lain

SOALAN:

BAGAIMANA hendak melaksanakan upah haji ibu yang meninggal dunia sedangkan saya sendiri baru hendak menunaikan ibadat itu buat kali pertama. Bolehkah dilaksanakan dua niat haji, untuk saya dan ibu pada satu musim haji. Mana yang lebih baik, haji untuk ibu dilakukan oleh anak lelaki atau anak perempuan. Arwah ibu pernah berpesan ditunaikan haji buatnya jika dia meninggal dunia dan tidak sempat melaksanakan ibadat itu.

JAWAPAN:

Alhamdulillah wassolatu wassalam ala rasulillah wabad. Allah SWT berfirman: Dan sempurnakan ibadat haji dan umrah kerana Allah.

Haji satu daripada lima Rukun Islam yang wajib dilaksanakan bagi mereka yang cukup syarat. Majoriti ulama (kecuali mazhab Malik) membenarkan tunai haji buat ibu bapa atau orang lain jika orang yang hendak dilaksanakan upah haji dalam keadaan uzur atau meninggal dunia.

Mazhab Imam Malik hanya membenarkan upah haji orang yang meninggal dunia kalau ada wasiat. Itupun dilakukan dengan menggunakan perbelanjaan daripada harta yang ditinggalkannya tidak melebihi sepertiga. Selanjutnya, walaupun dinilai sah, pada masa sama perkara ini dinilai mazhab itu sebagai makruh.

Pandangan ini berbeza dengan Imam as-Syafii yang mewajibkan seorang waris menghajikan orang yang meninggal dunia dan membayar hutangnya daripada harta yang ditinggalkannya. Memang tidak menjadi kewajipan sekiranya orang yang bersangkutan itu tidak meninggalkan harta warisan, tetapi sah dia dihajikan oleh sesiapa pun walaupun si mati tidak berpesan. Demikianlah pandangan Imam as-Syafii.

Satu syarat bagi orang yang menghajikan orang lain adalah dia sendiri sudah menunaikan ibadat haji. Berbalik kepada pertanyaan dan kes yang ditanyakan, dapat dikemukakan bahawa ulama sepakat boleh menghajikan ibu bapa yang berpesan atau berwasiat.

Cuma yang menjadi masalah di sini, orang yang bertanya belum lagi menunaikan ibadat haji untuk dirinya sendiri. Hanya Imam Abu Hanifah membolehkan, tetapi tidak sepenuh hati dengan alasan kebenaran itu sangat lemah.

Nabi Muhammad SAW pernah menegur seseorang yang menghajikan orang lain bernama Syibrimah. Baginda bertanya kepadanya: Adakah engkau sudah melaksanakan ibadat haji untuk dirimu? Dia menjawab, belum. Nabi SAW pun bersabda, berhajilah untuk dirimu dulu, barulah untuk Syibrimah.

Atas dasar ini, tidaklah dibenar melaksanakan haji untuk diri dan orang lain dalam satu musim haji.

Soalan seterusnya, siapa yang lebih afdal untuk menghajikan ibu bapa, anak lelaki atau anak perempuan. Menurut hemat saya, sama saja sekiranya kedua-duanya memenuhi syarat. Wallahualam

- BERITA MINGGU

Isnin, Oktober 03, 2011

Petunjuk istikharah tentukan jodoh

Oleh Dr Salam

SOALAN:

SEJAUH mana petanda atau petunjuk istikharah dalam menentukan jodoh terbaik? Bagaimanakah sekiranya saya meminta ibu melakukan solat hajat bagi mendapatkan petunjuk dan dia mendapat mimpi lelaki itu muncul, walhal lelaki itu baru memutuskan hubu­ngan kami setelah berkawan selama dua tahun?

JAWAPAN:

SOLAT istikharah sunat dilakukan bagi sesiapa yang berkeinginan kepada suatu yang harus dan dia menjadi keliru dalam menentu aspek kebaikan dalamnya kerana mempu­nyai pilihan yang sama.

Contohnya, saudari ingin memilih antara dua calon suami yang sama-sama baik sehingga tidak dapat menentukan pilihan. Begitu juga dengan perkara lain.

Solat istikharah tidak dilakukan kepada perkara yang wajib dan sunat serta bukan perkara haram dan makruh kerana sudah ada ketetapan tersendiri sama ada melakukannya atau meninggalkan (Sabiq I: 139-40).

Caranya amat mudah iaitu dengan melakukan solat sunat dua rakaat, iaitu bukan termasuk solat fardu. Ia cukup dengan solat rawatib selepas solat fardu atau tahiyyatul masjid dan boleh dilakukan tanpa mengira waktu de­ngan membaca mana ayat selepas fatihah.

Kemudian apabila selepas membaca doa seperti di bawah dengan permulaannya memuji Allah dan diikuti selawat atas Rasulullah dan dibaca doa khusus istikharah.

Rasulullah bermaksud: “Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan dengan sesuatu maka hendaklah dia rukuk dengan dua rukuk (iaitu, mengerja­kan solat dua rakaat) yang selain daripada solat yang fardu. Kemudian hendaklah dia berdoa:
Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau (iaitu memohon pilihan dan kebaikan daripada-Mu) dengan ilmu-Mu, dan aku memohon kurniaan kuasa dengan kuasa-Mu, dan aku juga memohon daripada kemurahan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersem­bunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesung­guhnya urusan ini adalah baik bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku, maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andai kata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku, maka hindarkanlah ia daripada­ku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagi­ku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.” (Riwayat Bukhari).

Mengenai petunjuk istikharah berkenaan, ia bukanlah secara langsung seperti mimpi dan sebagai­nya. Ia cukup sekadar ketetapan diri sendiri atau rasa senang dengan pilihan setelah berdoa kepada Allah supaya keputusan yang dibuat itu yang sebaiknya.

Semuanya sudah tentu datang selepas bersolat isitikharah dengan sepenuh ikhlas kepada Allah. Setelah itu terus saja melakukannya dan jangan ragu-ragu lagi.

Keputusan hendaklah dibuat supaya tidak timbul rasa was-was. Kita hendak­lah ingat bahawa was-was itu daripada syaitan. Sikap ragu-ragu yang menghalang tindakan seterusnya.

Solat hajat yang dilaku­kan ibu dan mimpinya pula, ia sebenarnya tidak mengikat tindakan anda. Ini kerana mimpi terbabit bukanlah sumber ilmu yang patut diikuti dalam Islam.

Gunakan akal dan penga­laman di samping minta nasihat daripada keluarga serta rakan mengenai jodoh dan perkahwinan. Mungkin mereka ada calon yang sesuai untuk anda.

- HARIAN METRO

Isnin, September 19, 2011

Persoalan Agama: Adik-beradik lelaki suami mahram sementara haram bersalaman

Bersama Ustaz Zahazan

SOALAN:

UNTUK pengetahuan ustaz, keluarga suami saya adalah golongan yang tidak mengambil kisah pasal agama. Adik dan kakaknya yang perempuan berpakaian ketat dan tidak memakai tudung. Adik-adiknya yang lelaki pula suka bersalaman dengan saya terutama pada hari raya dan saya terpaksa bersalaman dengan mereka. Saya mahu mengelak tetapi bimbang mereka akan terasa. Apa pandangan ustaz? Kedua, kawan saya bertanya, apakah hukum seorang lelaki bersalaman dengan ibu tiri isteri? Adakah ibu tiri isteri termasuk muhrim? Harap dapat penjelasan.

JAWAPAN:

Alhamdulillah wassolatu wassalam ala rasulillah wabad.

Hubungan antara seorang wanita dengan adik atau abang ipar adalah mahram yang sementara. Sekiranya suami wanita itu menceraikannya atau meninggal dunia, maka adik atau abang ipar boleh mengahwininya. Justeru, saudari tidak boleh bersalam dengan adik-beradik lelaki suami. Saudari hendaklah memelihara aurat depan mereka dan tidak boleh berjalan berdua-duaan bersama adik-beradik lelaki suami saudari.

Saudari tidak perlu menjaga hati mereka dengan melanggar syariat. Sekiranya mereka terasa, saudari boleh menjalinkan hubungan silaturahim dengan menziarahi mereka bersama suami, memberi hadiah dan seumpamanya. Saudari hendaklah menjadikan mereka mengikut saudari iaitu dengan mengikut syariat Allah, jangan jadikan diri saudari mengikut mereka dengan melanggar syariat Allah. Justeru, kita hendaklah lebih melihat kemurkaan Allah berbanding kemurkaan manusia.
Sebuah hadis riwayat Imam al-Tirmizi menyebut (yang bermaksud): Sesiapa yang berusaha mencari reda Allah dengan kemurkaan manusia, Allah akan mencukupkannya dari pergantungan dengan manusia. Dan sesiapa yang berusaha mencari reda manusia dengan kemurkaan Allah, nescaya Allah akan menyerahkannya kepada manusia.

Oleh itu, saudari tidak perlu mengikuti mereka dengan alasan menghormati dan menjaga perasaan mereka pada perkara yang jelas bertentangan dengan syariat. Namun, hendaklah menjadikan mereka menghormati pendirian saudari dengan membawa mereka mengikut syariat Allah.
Untuk soalan kedua, sebelum itu saya hendak menjelaskan pengertian aurat. Aurat dari segi bahasa bererti kurang dan sesuatu yang dianggap buruk (an-Naqsu wassyaiul mustaqbahu). Dari segi istilah syarak bermaksud sesuatu yang wajib ditutup dalam sembahyang (ma yajibu satruhu fis solah) atau maksud kedua iaitu sesuatu yang haram dipandang (ma yahrumun nazru ilaih). Ada pembetulan pada pertanyaan saudari. Muhrim yang sebenarnya bermaksud orang yang berada dalam ihram haji atau umrah.

Sekiranya maksud saudari muhrim itu adalah orang yang haram untuk kita nikahi, sebutan yang sebenarnya adalah mahram.

Perlu diketahui bahawa ikatan mahram wujud dengan tiga sebab. Pertama kekeluargaan, kedua perkahwinan dan ketiga penyusuan. Allah SWT menyebut dalam surah an-Nisa ayat 23 dan 24 yang bermaksud: Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (wanita-wanita berikut iaitu) ibu-ibumu (dan nenek-nenekmu), anak-anak perempuan kamu, saudara-saudara perempuan kamu, saudara-saudara perempuan bapa kamu, saudara-saudara perempuan ibumu, anak-anak perempuan saudara lelaki, anak-anak perempuan saudara perempuan, ibu-ibu yang telah menyusukan kamu, saudara-saudara perempuan susuan, ibu-ibu isteri kamu, anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu (dan yang tidak dalam pemeliharaan kamu) dari isteri yang kamu telah campur, tetapi kalau kamu belum campur mereka, maka tiada salah kamu mengahwininya. Dan isteri-isteri anak-anak kamu yang berasal dari benih kamu. Dan menghimpunkan dua beradik (untuk dikahwini) kecuali yang berlaku pada masa lalu.

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Justeru, ibu tiri isteri tidak termasuk dalam senarai wanita yang haram dinikahi. Kerana itu ia termasuk dalam wanita ajnabi. Antara suami dengan ibu tiri isteri halal berkahwin, maka haram bersalaman dengannya.

Demikianlah, wallahualam.

- BERITA MINGGU

Rabu, September 14, 2011

Persoalan Agama: Hukum guna barang milik orang lain

Bersama Dr. Abdul Salam

SOALAN:

SAYA tinggal di asrama. Kawan-kawan saya sudah pindah dari asrama dan ada meninggalkan barang-barang termasuk makanan dan serbuk pencuci.

Bolehkah saya mengambil dan menggunakan barang-barang itu kerana jika tidak digunakan, apabila sampai waktu pembersihan bangunan, ia bakal dibuang pihak asrama.

Saya rasa sayang kerana ia masih boleh digunakan lagi. Apa hukumnya jika saya makan makanan itu? Saya tidak pasti sama ada mereka akan mengambil makanan itu semula atau sebaliknya.

JAWAPAN:

MENJUMPAI barang orang lain termasuk dalam hukum luqatah dalam fiqah Islam.
Terdapat beberapa hukum berkaitan antaranya pertama, harus menggunakan dan mengambil faedah termasuk memakannya sekiranya ia dianggap remeh dan kecil oleh masyarakat setempat seperti barang yang anda temui di asrama itu.

Ia adalah rukhsah yang diberikan Rasulullah s.a.w untuk diambil faedah.
Bagaimanapun, sekiranya anda pasti tuannya, hendaklah berhubung dan meminta izin. Lebih-lebih lagi dengan adanya kemudahan sistem pesanan ringkas (SMS) sekarang.

Kedua, haram menggunakannya apabila ia membabitkan benda besar dan berharga seperti kereta dan haiwan yang mampu hidup sendiri.

Ia hendaklah dibiarkan atau dilaporkan kepada pihak berkuasa. Ini kerana tuannya dapat mencari benda yang hilang berkenaan. Umar pernah berkata: “Barang siapa yang mengambil haiwan yang sesat sesungguhnya ia bersalah.”

Ketiga, sekiranya ia antara benda yang dijumpai adalah pertengahan antara kedua-dua di atas seperti ikan, ayam dan barang-barang yang mudah rosak, seseorang boleh menilai dengan mengambil tindakan yang lebih baik sama ada menggunakannya sebagai hutang yang perlu dibayar apabila empunyanya ditemui, menjual dan menyimpan hasil jualan untuk diserahkan kepada empunya apabila ditemui.

Sekiranya barangan itu tidak mudah rosak seperti jam dan gelang, ia hendaklah dihebahkan di tempat orang ramai seperti masjid dan pusat masyarakat.

Selepas setahun, ia boleh dimiliki atau dijual dengan hasilnya dikira sebagai simpanan. Tetapi ia tetap hak milik orang lain dan perlu dipulangkan apabila ada tuan yang menuntut dan terbukti pemiliknya selepas siasatan. (Lihat juga ‘Hukum Luqatah (jumpa barang orang lain,’ http://muis.ismaweb.net/2010/03/e-g-hukum-luqotah-jumpa-barang-org-lain/)

- HARIAN METRO

Isnin, September 12, 2011

Persoalan Agama: Niat puasa qada Ramadan perlu didahulukan kerana wajib

Bersama Ustaz Zahazan

SOALAN:

ASSALAMUALAIKUM. Saya ingin bertanya mengenai puasa enam Syawal. Saya masih mempunyai puasa yang kena qada, tetapi bolehkah saya mengerjakan puasa enam terlebih dulu? Dan manakah yang lebih baik, puasa enam berturut-turut atau sebaliknya?

JAWAPAN:

AL-HAMDULILLAH wassolatu wassalam ala rasulillah wabad. Imam an-Nawawi RHM meletakkan satu bab dalam kitab Riadis Sholihin, iaitu bab mengenai sunat puasa enam hari pada Syawal. Hadis yang terkandung dalam bab ini yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Ayyub RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan kemudian diikutinya dengan puasa enam hari pada Syawal, maka ia seperti berpuasa sepanjang tahun.
Begitulah tawaran besar yang diberikan kepada orang beriman bagi mereka yang melaksanakan puasa enam hari dalam bulan Syawal. Ini bererti bagi mereka yang tidak membuatnya, maka ia tidak akan memperoleh kelebihan itu.

Sekiranya seseorang itu belum menyelesaikan qada puasa Ramadan yang ditinggalkannya, lalu dia berpuasa sunat enam hari pada bulan Syawal, maka perkara itu harus dilakukan cuma tidak mengikut susunan. Kerana sepatutnya ia hendaklah menyelesaikan dulu qada puasa Ramadan, barulah diikuti dengan puasa sunat enam hari Syawal.

Ada juga ulama berpandangan sekiranya ia menyatukan niat puasa wajib dan puasa sunat seperti puasa qada Ramadan dan puasa enam Syawal, maka ia akan beroleh kedua-duanya. Sekiranya ia meniatkan satu daripada dua, maka ia akan memperoleh ganjaran puasa yang ia niatkan dan gugurlah ganjaran puasa yang satu lagi. Perkara itu dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam fatwanya, dalam kitab al-Fatwa al-Kubra.

Walaupun ada pandangan yang mengatakan bahawa afdalnya dikerjakan puasa enam itu hendaklah berturut-turut selepas Aidilfitri seperti ungkapan dalam hadis kemudian dia susulinya, namun ganjaran puasa enam ini tetap diperoleh sekalipun dia tidak mengerjakannya secara berturut-turut selepas hari raya.
Imam an-Nawawi menyebut dalam Syarah Sahih Muslim, iaitu yang lebih utama dilaksanakan puasa enam itu berturut-turut selepas hari raya. Sekiranya dilewatkan sehingga akhir Syawal, maka ia tetap mendapat ganjaran itu. Syeikh Atiyyah Saqr, iaitu bekas Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar apabila ditanya persoalan itu menjawab bahawa sudah cukup bagi orang yang melakukan puasa ganti (qada) dan puasa enam dengan berniat puasa qada pada Syawal. Ia akan diberi dua ganjaran sekiranya dia bertujuan demikian dengan syarat dia hendaklah mendahulukan niat puasa qada terlebih dulu. Puasa qada adalah wajib manakala puasa enam adalah sunat. Demikianlah, wallahualam.

- BERITA MINGGU

Isnin, Julai 25, 2011

Cara ganti puasa terbatal

SOALAN:

Saya kini berumur awal 20-an. Dulu ketika awal baligh dalam bulan Ramadan, saya pernah terangsang hingga keluar mani akibat melihat sesuatu yang engghairahkan.

Namun saya belum menggantikannya kerana ketika itu saya daif mengenai puasa, tetapi sekarang saya ingin menggantikannya. Bagaimana caranya? Perlukan saya berpuasa tiga bulan penuh atau menggandakannya?

JAWAPAN:

kini berumur awal 20-an. Dulu ketika awal baligh dalam bulan Ramadan, saya pernah terangsang hingga keluar mani akibat melihat sesuatu yang engghairahkan.

Namun saya belum menggantikannya kerana ketika itu saya daif mengenai puasa, tetapi sekarang saya ingin menggantikannya. Bagaimana caranya? Perlukan saya berpuasa tiga bulan penuh atau menggandakannya?

SYAUQI
Terengganu


DENDA berupa fidyah perlu dibayar bagi seseorang yang melengah-lengahkan qada atau ganti puasa wajib tanpa keuzuran sehingga masuk bulan Ramadan tahun seterusnya.

Di samping itu seseorang juga diwajibkan menggantikan puasa yang ditinggalkan atau yang terbatal. Termasuk batal puasa ialah mengeluarkan mani dengan sengaja ketika berpuasa akibat terangsang atau sebagainya.

Bilangan hari di mana puasa terbatal yang perlu diganti. Umpamanya anda terbatal dua hari puasa ketika awal baligh akibat keluar mani dengan sengaja, ia perlu diganti sebanyak dua hari sebelum masuk bulan Ramadan tahun berikut.

Jika puasa tidak diganti dan sudah masuk Ramadan tahun berikut anda perlu qada dan membayar fidyah iaitu sebanyak satu cupak beras bagi satu hari yang tidak diganti.

Dalam kes anda, anda perlu bayar fidyah dua cupak beras. Berikutan kegagalan anda mengganti puasa dan membayar fidyah itu sehingga sekarang, banyak fidyah digandakan menurut perbezaan tahun dan jumlah hari tidak berpuasa.

Katanya, sudah lima tahun anda tidak qada puasa itu sebanyak dua hari. Dengan itu banyak fidyah ialah 10 cupak beras, dua kali lima tahun.

- HARIAN METRO

Ahad, Julai 24, 2011

Persoalan Agama: Ketulusan hati, tenang rahsia khusyuk dalam solat

Oleh Ustaz Zahazan

Allah SWT berfirman dalam surah al-Mukminun ayat 1 dan 2 yang bermaksud: “Sesungguhnya sudah berjaya orang beriman. Iaitu orang yang khusyuk dalam solat.”

Persoalannya, bagaimanakah untuk kita mencapai tahap solat yang seharusnya dikerjakan oleh seorang yang beriman? Adakah mencukupi sekiranya seseorang itu mengerjakan solat bagai ayam makan padi, belum sempat dahi kepala menyentuh tempat sujud, sudah kembali bangkit dengan tergopoh gapah? Adakah orang begini dikira sebagai khusyuk? Sudah tentu tidak.

Ada ulama yang menjawab persoalan ini dengan mengatakan khusyuk ialah apabila seseorang itu bersolat dalam keadaan tetap, tenang tanpa bergerak, bergoyang atau menoleh ke kiri dan ke kanan. Diceritakan suatu ketika Saidina Umar bin al-Khattab terpandang seorang lelaki yang sedang memegang dan bermain-main janggutnya ketika solat, lalu Saidina Umar berkata: “Seandainya khusyuk hati lelaki ini nescaya khusyuklah segala anggota.”

Ada juga ulama mengatakan bahawa orang yang khusyuk adalah orang yang memberi sepenuh perhatian, pemikiran, ingatan dan lintasan hati kepada solat yang dikerjakan dengan meneliti makna ayat-ayat yang dibaca dan menghayati keseluruhan solat itu sendiri tanpa memasukkan dalam ingatan perkara-perkara yang tiada kaitan dengan solat yang mengganggunya untuk khusyuk.

Justeru, apabila seseorang hendak mendirikan solat, namun pada masa yang sama makanan sudah dihidangkan, maka Rasulullah memerintahkan untuk kita makan dulu sekiranya waktu solat masih panjang.

Selain itu kita dilarang untuk menahan kentut atau buang air kecil atau buang air besar sekiranya hendak mendirikan solat.

Imam Ghazali RHM meletakkan beberapa pendekatan untuk kita khusyuk iaitu:

Pertama - hendaklah mengetahui dan memahami benar-benar solat yang dikerjakan.

Kedua - Ketika solat hendaklah berhampiran hadapan dinding.

Ketiga - Hendaklah sentiasa memandang ke tempat sujud.

Keempat - Tempat sujud janganlah ada sebarang gambar atau lukisan.

Jika anda mengerjakan solat dengan khusyuk dan penuh ketenangan, Allah akan menyegerakan pahala dan ganjaran anda. Tetapi jika anda tidak boleh khusyuk, anda tidak boleh meninggalkannya kerana solat itu wajib dan amal yang fardu.

Jika anda mengerjakannya terus menerus tanpa meninggalkannya, anda akan mendapat pahala. Anda juga hendaklah faham bahawa Allah SWT tidak menuntut tanggungjawab terhadap persoalan-persoalan yang kita tidak mampu melaksanakannya. Mungkin kita perlu muhasabah kembali kenapa susah untuk khusyuk. Adakah kita masih tidak meninggalkan maksiat? Begitu juga hendaklah memastikan segala hajat seperti buang air besar atau kecil ditunaikan dulu.

Usahakan untuk memahami bacaan dalam solat. Di samping itu, hendaklah menyedari setiap pertuturan dan pergerakan dalam solat. Seterusnya, hendaklah merasakan diri sangat kerdil dan lemah di hadapan Allah SWT. Demikianlah, wallahua’lam.

- BERITA HARIAN

Isnin, Mei 23, 2011

Persoalan Agama: Empat punca hidup tidak tenang

Bersama Ustaz Zahazan

Empat punca hidup tidak tenang ialah:

Pertama: Bersungut dan tidak menerima qada dan qadar Allah.
Amalkan membaca doa seperti diajar Rasulullah SAW iaitu: “Bismillahi ‘ala nafsi wamali wadini. Allahumma raddhini biqodho ika wabarikli fima quddiroli hatta la uhibba ta’jila ma akkharta wala takkhira ma ‘ajjalta (Maksudnya: Dengan nama Allah atas diriku, hartaku, dan agamaku. Ya Allah, jadikanlah aku ini rela dengan apa-apa yang Engkau tentukan dan berikanlah berkat untukku dalam segala yang sudah ditakdirkan kepadaku sehingga aku tidak menginginkan cepatnya sesuatu yang Tuhan perlambatkan atau perlambatkan sesuatu yang Tuhan percepatkan).

Kedua: Berbuat dosa dan tidak disertai dengan taubat.
Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 135 yang bermaksud: “Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”

Ketiga: Iri hati sesama manusia, muncul perasaan senang untuk membalas dendam kepada mereka, dan dengki atas anugerah yang Allah berikan kepada mereka. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 54 yang bermaksud: “Ataukah mereka dengki kepada manusia lantaran kurnia yang sudah Allah berikan kepadanya.” Dalam hadis riwayat Abu Daud, daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Jauhilah olehmu sekalian sifat dengki itu, kerana sesungguhnya dengki itu dapat menghabiskan amal kebaikan sebagai mana api itu dapat menghabiskan kayu api.”

Keempat: Berpaling daripada mengingati Allah.
Allah SWT berfirman dalam surah Taha ayat 124 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan Dia pada Hari Kiamat dalam keadaan buta”.

Demikian empat perkara disebut ‘Aidh bin Abdullah al-Qarni dalam kitab beliau La Tahzan. Elakkan daripada melakukan keempat-empat perkara itu, Insya-Allah hidup akan tenang.

- BERITA MINGGU

Isnin, Mei 16, 2011

Persoalan Agama: Amal doa pagi, petang atasi masalah jiwa

SOALAN:
Mengapa orang sekarang lebih banyak yang mengalami gangguan jiwa daripada orang dulu, sedangkan mereka sudah memiliki harta yang banyak. Ada yang mengatakan mereka sudah memiliki segala-galanya, namun jiwa terasa kosong. Boleh ustaz jelaskan.

JAWAPAN:
Imam Muhammad Mutawalli Asy-Sya’rawi menjelaskan dalam kitab beliau Anta Tas’alu wa Islaamu Yujiibu seperti berikut: “Orang beriman menghadapi tiap persoalan kehidupan dunia dengan memohon pertolongan Allah dan bertawakal kepada-Nya. Apabila ia gagal mencapai apa yang dicita-cita, ia tidak susah hati dan bersedih meskipun ia sedar bahawa kegagalan itu adalah kerana persediaan yang kurang sempurna.

Orang yang tidak beriman bergantung nasib dalam usahanya kepada kesempurnaan persediaan. Apabila gagal, dia gelisah, fikirannya terganggu, hatinya risau, takut yang menyebabkan sakit jiwa dan akhirnya bunuh diri. Keadaan seperti ini banyak kita jumpa di negara maju bukan Islam. Negara seperti ini ramai rakyatnya terkena gangguan jiwa.

Lalu orang pun bertanya mengapakah di negara maju berlaku ramai yang menghidap gangguan jiwa? Bukankah yang sepatutnya kena adalah masyarakat di negara yang sedang berkembang atau negara yang mundur?

Mereka iaitu orang yang mengabdikan diri dengan ilmu pengetahuan dan membuang agama dari diri. Apabila keimanan lenyap dari jiwa manusia, akan lenyaplah ketenangan, ketenteraman, kebahagiaan dan rasa reda.

Apabila jiwa kosong dari iman, lalu ia terjun ke dalam perjuangan hidup untuk memiliki kekuasaan dan ia gagal, maka mudah saja ia terkena gangguan jiwa dan menjadi gila. Seorang Muslim yang tidak memiliki iman yang kuat, mudah terkena penyakit itu. Dalam kesibukannya ia lupa kepada Allah SWT lalu Allah SWT pun melupakannya.

Yang dikerjakan dan diusahakannya hanyalah mengumpul harta dan hidup mewah. Apabila lupa itu dibiar berlarutan tanpa cuba diatasi, ia akan membawa kepada kufur akan nikmat Allah, lalu ia akan lupa diri, hilang kebahagiaan atau mudah sakit jiwa.

Nabi SAW menyuruh umatnya agar mengamalkan doa pagi dan petang bagi mengatasi masalah jiwa, antaranya seperti diriwayatkan oleh Abu Daud, daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a iaitu:
“Allahumma inni a’uzubika minal hammi walhazan. Wa’a’uzubika minal ‘ajzi wal kasal wa’a’uzubika minal jubni wal bukhli, wa ‘a’uzubika min ghalabatid daini waqahrir rijaal (yang bermaksud: Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada rundungan sedih dan duka. Aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Aku berlindung kepada-Mu dari beban hutang dan penindasan orang).”

Kedua, hendaklah mendekati al-Quran dengan membaca, memahami dan berusaha mengamalkannya dalam kehidupan nescaya anda akan menemui kebahagiaan bukan saja di dunia tetapi juga di akhirat.

Al-Quran adalah penyembuh yang paling berkesan mengubat penyakit jiwa seperti firman-Nya dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud: “Wahai umat manusia!
Sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang yang beriman.” Demikianlah, wallahua’lam.

- BERITA MINGGU

Isnin, Mei 09, 2011

Persoalan Agama: Panduan, ibadah ketika bermusafir

SOALAN:
Bagaimanakah musafir mengikut cara Islam? Soalan kedua, apakah ada sebarang doa khusus untuk kereta baru?

JAWAPAN:
Apabila seseorang mula hendak musafir, disunatkan untuk ia bertakbir sebanyak tiga kali dan membaca doa berikut: “Subhanallazi sakhkhara lana haza wa ma kunna muqriniin wa inna ila rabbina lamunqalibun. Allahumma inna nas’aluka fi safarina hazal birra wattaqwa waminal ‘amali ma tardho. Allahumma hawwin ‘alaina safarana haza watwi ‘anna bu’dah. Allahumma antas sohibu fis safari wal khalifatu fil ahli. Allhuamma inni a’uzu bika min wa’thais safari wa kaabatil manzhori wa suuil munqalabi fil mali wal ahli. (Maksudnya: Maha suci Tuhan yang telah menundukkan semua ini bagi kami padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami.

Wahai Allah sesungguhnya kami memohon kepada-Mu kebaikan, ketakwaan dan amal yang Engkau reda dalam musafir kami ini. Wahai Tuhan permudahkanlah segala urusan kami dalam musafir kami ini dan singkatkan kejauhan jarak musafir ini kepada kami. Wahai Allah, Engkaulah adalah teman dalam musafir dan pengganti bagi keluarga yang kami tinggalkan. Wahai Allah sesungguhnya saya berlindung diri kepada-Mu dari kesukaran dalam musafir, pemandangan yang menyedihkan dan buruknya kembali baik bagi harta mahupun keluarga kami).

Ketika selesai urusan dan hendak pulang, maka ucapkanla: “Aa’ibuuna taa’ibuna ‘abiduna lirabbina hamidun. (Maksudnya: Kami kembali dari perjalanan, bertaubat dari dosa kami, beribadat dan memuji Tuhan kami).
Apabila urusan sudah selesai, sunat untuk dia segera pulang sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Musafir itu adalah sebahagian daripada azab yang mana seseorang itu hendaklah mengurangi makan, minum dan tidurnya. Oleh kerana itu, apabila salah seorang kamu sudah selesai urusannya dalam musafir, maka hendaklah ia segera kembali kepada keluarganya.

Apabila seseorang itu berhenti pada satu-satu tempat, maka hendaklah dia berdoa sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, nescaya dia tidak akan diganggu sehingga ia meninggalkan tempat berkenaan. Doanya iaitu: “A’uzu bi kalimaatillahit-taam-mati min syarrima khalaq (Maksudnya: Saya berlindung diri dengan kalimah Allah yang sempurna daripada kejahatan yang Ia ciptakan).

Orang musafir diberi keringanan dalam melaksanakan solat fardu iaitu solat yang empat rakaat dapat diqasarkan (dipendekkan) menjadi dua serta dibolehkan untuk menghimpun (menjamak) solat Zuhur dengan solat Asar dan Solat Maghrib dengan solat Isyak.

Perkara itu disebabkan mereka dalam keadaan azab iaitu hilangnya ketenangan dan kerehatan.

Apabila seseorang dalam musafir dan menjelang waktu malam, maka hendaklah ia berdoa seperti diajar Nabi SAW iaitu: “Ya Ardhu rabbi wa rabbikillah, a’uzu billahi min syarriki wa syarri mafiki wa syarri ma khuliqa fiki wa syarri ma yadibbu ‘alaiki, wa ‘auzubiki min syarri asadin wa aswada waminal hayyati wal ‘aqrabi wa min sakinilbaladi wamin waalidin wama walada (yang bermaksud: “Wahai bumi, Tuhanmu adalah Allah, saya berlindung diri kepada Allah daripada kejahatanmu wahai bumi, kejahatan yang berada di perutmu, kejahatan makhluk yang berada di perutmu dan kejahatan binatang yang melata di atasmu. Saya berlindung diri denganmu dari kejahatan binatang buas, manusia, ular, kala jengking, segala macam binatang, serta dari Iblis dan syaitan).

Apabila seseorang baru datang dari musafir, disunatkan ia terus ke masjid dan solat sunat dua rakaat seperti yang disebut dalam sebuah hadis daripada Ka’ab bin Malik ra – Bahawasanya apabila Baginda datang daripada musafir, Baginda SAW terus ke masjid dan solat dua rakaat di dalamnya.

Kalangan perempuan tidak dibenarkan musafir kecuali bersama mahramnya seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis iaitu: “Tidaklah halal bagi seorang perempuan yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk musafir yang memakan masa sehari semalam kecuali bersama mahramnya.”

Disunatkan juga untuk memulakan perjalanan pada hari Khamis dan dilarang untuk musafir sekiranya bersendirian. Demikianlah antara adabnya, Wallahua’lam.

Bagi soalan kedua, Allah SWT berfirman dalam surah az–Zukhruf ayat 13 yang bermaksud: “Dan Dialah (Allah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya, dan Ia mengadakan bagi kamu kapal dan binatang ternak yang kamu dapat menggunakannya (bagi tujuan pengangkutan). Dan supaya kamu duduk tetap di atasnya serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan “Maha Suci Tuhan yang sudah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!”

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu membeli unta, maka hendaklah kamu memegang bonggol unta dan ucapkanlah:
“Allahuamma Inni As’aluka min Khairiha wa khairi ma jabaltaha ‘alaihi wa a’uzhu bika min syarriha wa syarri ma jabaltaha ‘alaihi. (Maksudnya: Ya Allah! Daku memohon kepada-Mu kebaikannya dan keberkatan. Daku memohon diri kepada-mu dari keburukan kenderaan ini dan keburukan tabiatnya).

- BERITA MINGGU

Rabu, April 20, 2011

Soal Jawab Agama: Pinjam bank untuk kahwin

Bersama Ustaz Salam

SOALAN

Saya bakal melangsungkan perkahwinan pada awal tahun depan. Untuk mengelakkan terjebak dengan maksiat, saya membuat pinjaman bank untuk berkahwin kerana berpendapatan sederhana.

Adakah benar kawan saya mengatakan membuat pinjaman berkenaan satu kesalahan kerana membabitkan riba sehingga menjadikan perkahwinan tidak berkat.

Apakah hukum meletakkan wang hantaran tinggi kepada seorang wanita berdasarkan kepada tahap pendidikannya?

JAWAPAN

PERKAHWINAN sememangnya dianjurkan Islam. Saudara sebenarnya memilih jalan yang tepat untuk berkahwin. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang bujang dari kalangan kamu dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana Allah Maha Luas rahmat-Nya, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Nur ayat 32)


Bagaimanapun, perkahwinan memerlukan perbelanjaan tertentu sama ada sebelum perkahwinan atau selepasnya. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Wahai pemuda-pemuda, sesiapa yang mampu di antara kamu (mempunyai belanja serta keinginan) hendak berkahwin, hendaklah ia kahwin, kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan matanya (terhadap orang yang tidak halal dilihatnya) dan terkawal kehormatannya dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia berpuasa, bahawa puasa itu menjadi benteng.” (Riwayat Muslim)

Kerana itu, itu meminjam dan meletakkan wang hantaran yang tinggi tidak digalakkan dalam Islam. Sekiranya terpaksa membuat pinjaman, ia hendaklah berpada dan tidak menyusahkan kehidupan anda berdua nanti.

Selain itu anda dicadangkan mengambil pembiayaan peribadi secara Islam. Ia membabitkan akad jual beli atau sewa berbanding dengan membuat pinjaman biasa melalui bank yang membabitkan riba.

- HARIAN METRO

Isnin, April 18, 2011

Persoalan Agama: Doa, zikir lindungi daripada keburukan perkara tak baik

Oleh Ustaz Zahazan Mohamed

SOALAN:

Saya ingin mengetahui apakah doa dan zikir untuk mendapatkan perlindungan dan pertolongan daripada Allah?

JAWAPAN:

Dalam surah al-A'raf ayat 200, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan jika engkau dihasut dengan hasutan syaitan, maka mintalah perlindungan daripada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Merahmati."

Maksud minta perlindungan atau isti’azah di sini adalah ucapan, A’uzubillahi minasy syaitanir rajim. Maksudnya, Aku memohon perlindungan diri kepada-Mu daripada (gangguan) syaitan yang direjam. Dalam satu hadis riwayat Ahmad, hendaklah sesudah itu meludah ke kiri sebanyak tiga kali.
Antara amalan untuk menghalau syaitan dan bisikannya adalah:

Pertama, berlindung kepada Allah SWT daripada godaannya dengan menyebut a’uzubillahi minasy syaitanir rajim,

Kedua, menyerukan azan,

Ketiga, berzikir dan membaca al-Quran.

Ketika hendak membaca al-Quran juga disuruh untuk kita isti’azah (mohon perlindungan). Allah SWT menyebut dalam surah al-Nahl ayat 98 yang bermaksud: “Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dulu memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang kena rejam.”

Sebuah hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud menyebut bahawa Rasulullah SAW berdoa melindungi al-Hasan dan al-Husain dengan mengucapkan: U’izukuma bikalimaatillahit taammati min kulli syaitanin wahaammatin wamin kulli ‘ainin laammah. Maksudnya, Aku memperlindungkan kamu berdua dengan kalimah Allah yang sempurna dan segala syaitan, binatang berbisa dan setiap mata yang jahat.

Dalam surah Ali Imran ayat 36, Allah SWT menceritakan mengenai ibu Maryam berdoa ketika Maryam dilahirkan dengan doanya: U’izuha bika wazurriyataha minas syaitanir rajim. Maksudnya, Aku perlindungkan dia dengan peliharaan-Mu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam.

Doa berkenaan elok untuk kita amalkan agar anak yang dilahirkan aman dari gangguan jahat syaitan. Ayat penuhnya adalah seperti berikut yang bermaksud: Maka apabila ia (ibu Maryam) melahirkannya, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan).”

Ketika bertemu dengan musuh, Rasulullah SAW mengajar untuk berdoa dengan doa berikut: Allahumma Inna naj’aluka fi nuhurihim wa na’uzubika min syururihim. Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami menjadikan Engkau ada di leher mereka supaya mereka tidak berdaya ketika berhadapan dengan kami] dan kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan mereka.

Dan, ketika dalam keadaan jiwa tidak tenteram, Rasulullah SAW mengajar doa berikut: Allahumma inni A’uzubika minal hammi wal hazni wal ‘ajzi wal kasali wal Bukhli wal jubni wa dhola’id daini waghalabatir rijal. Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari duka dan kesedihan, kelemahan dan kemalasan, kebakhilan dan penakut, bebanan hutang dan penindasan orang.”

Kepada saudara yang bertanya, sebenarnya banyak lagi doa pelindung yang diajar oleh Rasulullah SAW agar terpelihara daripada sebarang keburukan dan perkara yang tidak baik. Saya mencadangkan saudara dapatkan buku saya yang bertajuk 101 Doa Daripada Hadis Yang Sahih, Insya-Allah jika diamalkan dalam kehidupan akan mendatangkan keamanan dan kebahagiaan dalam hidup saudara. Wallahua’lam.

- BERITA MINGGU