Jumaat, Oktober 14, 2011

Persoalan Agama: Derma darah harus

Oleh Datuk Dr Mashitah Jawab

SOALAN:

Saya ingin bertanya mengenai penerimaan darah daripada orang bukan Islam untuk dimasukkan ke dalam badan orang Islam. Contohnya, pesakit A yang kekurangan darah perlu ditambah darah untuk mengembalikan kestabilan kesihatannya.

Sebagaimana kita sedia maklum, apabila pakaian kita terkena darah, solat kita tidak sah. Inikan pula sejumlah darah daripada orang bukan Islam dimasukkan ke dalam badan orang Islam yang seterusnya menjadi penyambung keturunan kita sehingga hari kiamat.

Persoalannya, apakah hukumnya dan jika jawapannya dibolehkan atas alasan darurat, sehingga bila perkara ini dianggap darurat?

JAWAPAN:

ADA dua perkara yang perlu diasingkan di sini. Pertamanya, derma darah dan kedua perkara yang membatalkan solat. Ia dua perkara yang tidak boleh dicampuradukan. Orang bukan Islam tidak najis darahnya dan derma darah pula amalan mulia yang boleh menyelamatkan nyawa manusia. Oleh itu darah orang bukan Islam, bahkan organnya juga boleh diterima orang Islam.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali ke-4 dan ke-6 pada April 1982 dan Oktober 1983 mengesahkan menderma darah hukumnya harus dan tidak perlu diasingkan darah orang Islam dan bukan Islam.

Pakaian yang terkena darah, jika hendak dibawa solat, perlu dicuci saja. Darah yang keluar daripada tubuh seseorang bukanlah najis, selain darah haid, dan nifas. Dahulu, kaum muslimin pada zaman Rasulullah sering melakukan jihad fisabilillah, dan terluka oleh pedang, tusukan panah dan tombak.

Namun mereka tetap solat dengan memakai pakaian yang berlumuran darah. Ini juga menunjukkan darah yang keluar itu tidaklah membatalkan wuduk dan solat kita.

- HARIAN METRO

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts