Memaparkan catatan dengan label Sekolah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sekolah. Papar semua catatan

Khamis, April 28, 2022

Warga sekolah boleh kembali makan di kantin

 


Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan murid, guru dan seluruh warga sekolah kembali makan di kantin atau kafeteria sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata sekolah yang mempunyai ruangan makan terhad dan murid ramai, dibenarkan menyusun waktu rehat secara berperingkat.

"Ini bagi sekolah yang mempunyai murid yang ramai dan jika semua ke kantin pada masa sama hingga mengakibatkan kesesakan teruk, sekolah ini dibenarkan untuk menyusun waktu rehat berperingkat.

"Paling penting selepas ini, murid dapat makan di kantin seperti sebelum kemunculan COVID-19," katanya pada sidang media khas.

Berhubung aktiviti sukan dan kokurikulum, katanya, semua aktiviti itu termasuk penganjuran kejohanan, pertandingan di dalam dan luar sekolah adalah dibenarkan.

"Kita sering mendapat pertanyaan bila aktiviti sukan dan kokurikulum diberi kelonggaran untuk dibenarkan semula. Bagaimanapun, murid, guru, jurulatih atau pengajar yang bergejala tidak dibenarkan menyertai aktiviti sukan dan kurikulum," katanya.

Katanya, KPM juga mendapat banyak pertanyaan berkaitan surau dan masjid dalam kawasan institusi pendidikan, khususnya mengenai solat Jumaat.

"Solat boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri. Selain itu, jemaah luar dibenarkan solat Jumaat dalam kawasan institusi pendidikan. Pelajar asrama juga dibenar menunaikan solat Jumaat di luar kawasan institusi pendidikan," katanya.

Sumber : Berita Harian

Tiada lagi penjarakan fizikal dalam kawasan sekolah

 


Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini menetapkan tiada lagi penjarakan fizikal di dalam kawasan sekolah susulan pengumuman oleh Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata melalui ketetapan terbaharu itu, guru-guru sekolah diberi pilihan untuk melaksanakan pendekatan yang dirasakan terbaik dalam penyusunan murid dan kelas.

"Penjarakan fizikal menjadi komponen paling penting kerana sebelum ini kita menetapkan penjarakan satu meter dan ia menimbulkan pelbagai kekangan kepada sekolah.

"Selepas pengumuman KKM, kita membuat ketetapan bahawa tiada lagi penjarakan fizikal di dalam kelas dan sekolah, namun ia digalakkan dalam keadaan warga serta murid sekolah tidak memakai pelitup muka.

"Dengan ketetapan itu, guru boleh memilih pendekatan paling baik dalam penyusunan di kelas, namun harus dipastikan semua murid memakai pelitup muka," katanya dalam sidang media khas, hari ini.

Sementara itu, Radzi juga mengumumkan, keperluan imbasan kod MySejahtera tidak lagi perlu dilakukan pelawat ke sekolah.

Sumber : Berita Harian

Ahad, Mac 06, 2022

Murid digalakkan berpakaian seragam ke sekolah

 

Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan murid supaya memakai pakaian seragam sekolah apabila sesi persekolahan baharu dibuka pada 21 Mac 2022 ini.

Namun, kelonggaran diberikan kepada murid yang tidak mempunyai pakaian yang sesuai dan mereka akan diberi kelonggaran untuk hadir ke sekolah dengan pakaian sopan juga bersesuaian.

Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, seperti sesi persekolahan sebelumnya, ibu bapa yang memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin.

“Bagaimanapun, ibu bapa dan penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran murid kepada pihak sekolah untuk tujuan rekod,” katanya menerusi satu rakaman video di laman Facebook beliau, hari ini.

Katanya, bagi ujian saringan kendiri Covid-19 pula, 10 peratus daripada murid sekolah rendah akan menjalani ujian kendiri di rumah.

Radzi berkata, pihak sekolah akan bekalkan kit ujian kendiri kepada murid berkenaan dan melaksanakan ujian itu di rumah sebelum memaklumkan keputusannya kepada pihak sekolah. 

Sumber dari Kosmo!

Ahad, September 12, 2021

Ibu bapa boleh pilih tidak hantar anak ke sekolah

 

Meskipun sesi bersemuka sekolah bermula pada 3 Oktober ini, ibu bapa atau penjaga diberi pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin, berkata ketidakhadiran pelajar tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin tetapi ibu bapa perlu menulis surat kepada sekolah mengenai perkara itu.

Katanya, tidak akan ada surat amaran akan diberikan, tetapi ibu bapa hanya perlu menjelaskan mengenai ketidakhadiran itu.

"Perkara itu akan diguna pakai hingga penghujung sesi persekolahan tahun ini," katanya dalam sidang media.

Sumber : Berita Harian

 

 

Sabtu, Julai 17, 2021

Sekolah dibuka berperingkat mulai 1 September 2021

 

Sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September ini.

Menurut Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini, berkata sehubungan itu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos.

Keputusan itu selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ketetapan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan," katanya.

Kenyataan itu menambah, Kementerian Pendidikan sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus ditingkatkan.

Katanya, sehingga semalam seramai 253,366 atau 61.3 peratus guru dan pentadbir serta 10,876 atau 46.33 peratus kakitangan sokongan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

"Mengambil kira kadar vaksinasi ini, Kementerian Pendidikan telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September 2021," katanya.

Bagaimanapun Kementerian Pendidikan akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan MKN sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh berkenaan.

Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal dan perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah bagi sesi PdP secara bersemuka akan dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka.

"Kementerian Pendidikan sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," menurut kenyataan itu.

Sumber : Berita Harian

 

 

Recent Posts