Memaparkan catatan dengan label Sekolah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sekolah. Papar semua catatan

Ahad, September 12, 2021

Ibu bapa boleh pilih tidak hantar anak ke sekolah

 

Meskipun sesi bersemuka sekolah bermula pada 3 Oktober ini, ibu bapa atau penjaga diberi pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin, berkata ketidakhadiran pelajar tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin tetapi ibu bapa perlu menulis surat kepada sekolah mengenai perkara itu.

Katanya, tidak akan ada surat amaran akan diberikan, tetapi ibu bapa hanya perlu menjelaskan mengenai ketidakhadiran itu.

"Perkara itu akan diguna pakai hingga penghujung sesi persekolahan tahun ini," katanya dalam sidang media.

Sumber : Berita Harian

 

 

Sabtu, Julai 17, 2021

Sekolah dibuka berperingkat mulai 1 September 2021

 

Sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September ini.

Menurut Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini, berkata sehubungan itu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos.

Keputusan itu selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ketetapan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan," katanya.

Kenyataan itu menambah, Kementerian Pendidikan sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus ditingkatkan.

Katanya, sehingga semalam seramai 253,366 atau 61.3 peratus guru dan pentadbir serta 10,876 atau 46.33 peratus kakitangan sokongan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

"Mengambil kira kadar vaksinasi ini, Kementerian Pendidikan telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September 2021," katanya.

Bagaimanapun Kementerian Pendidikan akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan MKN sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh berkenaan.

Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal dan perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah bagi sesi PdP secara bersemuka akan dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka.

"Kementerian Pendidikan sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," menurut kenyataan itu.

Sumber : Berita Harian

 

 

Ahad, Jun 06, 2021

PdPR selama 25 hari bermula 13, 14 Jun 2021

 

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan selama 25 hari persekolahan bermula 13 dan 14 Jun mengikut kumpulan negeri masing-masing.

Pembukaan sekolah pada 13 Jun membabitkan negeri kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala pada 14 Jun pula membabitkan negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ketetapan yang berkuat kuasa hari ini bukan saja merangkumi sekolah kerajaan, malah turut membabitkan sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang mendaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata, sekolah berkenaan perlu melaksanakan PdPR sepanjang tempoh ditetapkan berdasarkan takwim masing-masing.

"Kita sedia maklum waktu ini sekolah dalam cuti pertengahan tahun dan sesi persekolahan berikutnya mengikut takwim akan bermula pada 13 Jun untuk negeri kumpulan A dan 14 Jun untuk negeri kumpulan B.

"Kemudian murid akan mengikuti PdPR selama 25 hari persekolahan sehingga cuti berikutnya iaitu cuti pertengahan penggal bermula pada 16 Julai bagi negeri kumpulan A dan 17 Julai bagi negeri kumpulan B.

"Dari tarikh itu bermula cuti pertengahan penggal sehingga 26 Julai untuk negeri kumpulan B dan 25 Julai untuk negeri kumpulan A.

"Jadi itulah takwim atau jadual penggal persekolahan yang ada dan berkuat kuasa pada hari ini," katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Radzi berkata, KPM akan membuat pengumuman lebih awal iaitu seminggu sebelum sesi persekolahan bermula bagi setiap cuti pertengahan penggal.

"Ramai yang akan bertanya apa akan berlaku selanjutnya selepas ini iaitu selepas berakhirnya sesi cuti pertengahan penggal itu.

"Jadi, KPM akan memaklumkan kepada ibu bapa dan murid sekurang-kurangnya seminggu sebelum persekolahan bermula mengenai pendekatan selanjutnya berdasarkan situasi pada waktu itu," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

Ahad, Oktober 18, 2020

COVID-19: Tidak boleh terburu-buru tutup sekolah - Radzi

 

Kementerian Pendidikan tidak boleh mengambil keputusan terburu-buru berhubung cadangan banyak pihak supaya sekolah di seluruh negara ditutup susulan pandemik COVID-19.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata ini kerana sebarang keputusan dibuat bukan hanya memberi kesan kepada kementerian itu tetapi juga seluruh negara.

Justeru, beliau menjelaskan bahawa langkah penutupan sekolah diambil berdasarkan data dan perincian pelbagai pihak, terutama Kementerian Kesihatan.

"Kita mendengar banyak cadangan dan perbincangan kenapa semua sekolah tidak ditutup.

"Saya ingin menjelaskan bahawa di kementerian, kita menaungi lebih lima juta murid dan pelajar serta lebih 500,000 guru dan warga kementerian.

"Oleh itu, sebarang keputusan (menutup sekolah) bukan hanya memberi kesan kepada kita. Ia juga memberi kesan kepada seluruh negara.

"Justeru, kami tidak boleh terburu-buru sebab kesannya amat besar," katanya dalam program temu bual Soal Rakyat disiarkan TV3, hari ini.

Radzi berkata, kementerian turut menerima maklum balas daripada ibu bapa, terutama dalam Zon Hijau dan Zon Kuning, supaya sekolah tidak ditutup.

"Ada ibu bapa dalam Zon Hijau memberi maklum balas kenapa perlu tutup sekolah sedangkan kawasan mereka tiada kes COVID-19.

"Oleh itu, saya katakan, setiap pertimbangan dibuat berdasarkan data dan perincian," katanya.

Beliau sekali gus menegaskan, komitmen Kementerian Pendidikan ialah memastikan tiada pelajar yang keciciran dalam pembelajaran.

"Komitmen kami tidak boleh dipertikaikan. Seperti mana ibu bapa sayang anak, kami juga sayang mereka di sekolah," katanya.

 Sumber : Berita Harian

 

Rabu, Oktober 07, 2015

Tujuh sekolah laksana pengasingan tingkatan 6


Tujuh sekolah telah mempunyai Pusat Tingkatan Enam (PTE) Mod 1 iaitu hanya menempatkan pelajar tingkatan enam, yang merupakan sebahagian daripada penjenamaan semula sistem pendidikan, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Mahsuri di Kulim, Kedah; SMK Petaling Jaya, Selangor; SMK Bandaraya II, Kota Kinabalu; SMK Seri Bandar Pontian, Johor; SMK Seri Ipoh, Perak; dan SMK Saratok II, Sarawak.

Selain pelaksanaan PTE, penjenamaan semula tingkatan enam turut melibatkan pertukaran kepada sistem semester dan kelonggaran memakai pakaian kasual ke sekolah.


Menurutnya, ia bagi memastikan pembelajaran untuk 100,000 pelajar tingkatan enam mencapai standard institusi pengajian tinggi. Kita mahu mereka rasai seperti rakan-rakan mereka yang mungkin berada di Matrikulasi atau sedang mengikuti Diploma, katanya.


Pelaksanaan PTE diumumkan pada Jun lepas bagi mengurangkan PTE Mod 2 (berkongsi sekolah tetapi blok berasingan) dan Mod 1 (berkongsi blok dengan sekolah biasa) secara berperingkat dengan setiap pejabat pendidikan daerah mempunyai sekurang-kurangnya satu PTE Mod 1. 


Proses pengasingan ini kita buat secara berperingkat memandangkan ia melibatkan kos yang tinggi, jadi mana sekolah yang sudah bersedia dan ada bangunan yang sesuai kita mulakan dahulu.

Sumber

Ahad, Oktober 04, 2015

Sekolah Di Semenanjung Kecuali Kelantan Ditutup Pada 5 dan 6 Oktober 2015 Akibat Jerebu Teruk

Semua sekolah di Semenanjung Malaysia kecuali Kelantan diarah ditutup dua hari mulai Isnin 5 Oktober 2015 kerana keadaan jerebu yang semakin teruk.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan keputusan itu berkuatkuasa 5 dan 6 Oktober 2015.

"Untuk Kelantan, Sabah dan Sarawak, Kementerian Pendidikan akan pantau situasi jerebu setiap jam sebelum memutuskan untuk menutup sekolah di sana.

"Jika keadaan jerebu semakin teruk, kami akan ambil langkah sama," katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang di Jalan Kuala Kedah, Ahad.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah, Datin Azuyah Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Mahdzir menerusi laman Facebook beliau memaklumkan, sekolah di Labuan kekal dibuka tetapi pada sesi petang bagi sekolah di Kedah, Terengganu dan Johor ditutup pada Ahad.

"Pelajar dan guru tidak perlu hadir ke sekolah," katanya sambil menambah tiada penggantian untuk arahan penutupan sekolah itu.

Bagaimanapun, katanya, peperiksaan PT3, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolah Malaysia (STPM) tahun ini akan berlangsung mengikut jadual.

Sumber : mstar


Khamis, Jun 18, 2015

Tingkatan 6 diasing dari sekolah arus perdana


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pem­belajaran Tingkatan Enam yang berkongsi bangunan dengan sekolah harian akan dikurangkan beransur-ansur sehingga setiap Pusat Tingkatan Enam di seluruh negara memiliki premis dan pentadbirannya sendiri.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ketika ini terdapat tiga jenis Pusat Tingkatan Enam iaitu Mod 1 iaitu pelajar diasingkan dan ditempatkan dalam premis tersendiri, Mod 2 (pusat berkongsi premis dengan sekolah tetapi mempunyai bangunan sendiri) dan Mod 3 (pusat berkongsi premis dan bangunan dengan sekolah).

“Berdasarkan perancangan, bilangan Pusat Tingkatan Enam Mod 3 akan beransur-ansur berkurangan. Akhirnya, hanya Pusat Tingkatan Enam Mod 1 sahaja yang beroperasi di seluruh negara dengan setiap Pejabat Pendidikan Daerah mempunyai sekurang-kurangnya satu Pusat Tingkatan Enam Mod 1,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Pusat Tingkatan Enam Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Mahkota, Kepong di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Khairil Awang.

Menurut Muhyiddin, jumlah Pusat Tingkatan Enam Mod 1 di seluruh negara ketika ini adalah sebanyak enam buah termasuk SMK Desa Mahkota manakala Pusat Tingkatan Enam Mod 2 adalah sebanyak 47 buah.

“Saya percaya, dengan melaksanakan pembelajaran Tingkatan Enam secara berpusat, imej dan minda pelajar akan dapat dibentuk dan mempunyai identiti tersendiri, berkeyakinan tinggi dan berkebolehan. Ini amat penting sebagai persediaan awal sebelum menempuh pembelajaran peringkat tinggi di universiti,” katanya.

Ujarnya, menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), kementeriannya merancang untuk menyediakan prasarana dan infrastruktur lebih lengkap bagi melaksanakan Pusat Tingkatan Enam Mod 1 dan Mod 2 di seluruh negara.

Jelas beliau, pelan tindakan penjenamaan semula Tingkatan Enam dilaksanakan dengan melibatkan lima fokus utama iaitu imej dan anjakan minda, infra dan infostruktur, pengurusan pentadbiran, mod pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan kurikulum.

“Seperti yang kita sedia maklum, peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diiktiraf oleh ‘Cambridge Assessment’, United Kingdom. Ini bermakna, STPM diiktiraf oleh badan antarabangsa dan pelajar Tingkatan Enam adalah setaraf dengan lulusan prauniversiti lain,” kata­nya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, perubahan struktur pentaksiran STPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) daripada pendekatan terminal kepada modular adalah selari dengan kaedah pembelajaran di universiti yang turut merangkumi kuliah, tutorial, praktikal dan kerja kursus.

“Pelajar Tingkatan Enam ini menggunakan pakaian yang berbeza dengan pakaian sekolah harian biasa, menggunakan jadual waktu yang berbeza, tenaga pengajar khusus dan diletakkan dalam kategori berlainan berbanding sekolah arus perdana,” katanya.

Sumber : Utusan
 

Sabtu, Mac 16, 2013

Keputusan SPM Tahun 2012 diumum 21 Mac 2013 (Khamis)

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2012 akan diumumkan pada 21 Mac 2013 (Khamis) ini.

Kementerian Pelajaran dalam kenyataan di sini hari ini berkata, calon-calon SPM boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing selepas pukul 10.00 pagi pada hari tersebut.

Calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pelajaran negeri iaitu tempat mereka mendaftar.

Calon SPM juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan melalui mySMS dengan menaip SPM diikuti nombor kad pengenalan dan nombor angka giliran dengan setiap nombor itu dijarakkan dan dihantar ke 15888.

Jelasnya, perkhidmatan itu akan diaktifkan bermula pukul 10.00 pagi pada hari tersebut dan akan ditamatkan pukul 12.00 tengah malam 27 Mac ini.

Sebanyak 472,541 calon mendaftar menduduki peperiksaan itu di 3,590 pusat peperiksaan di seluruh negara tahun lalu.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 boleh juga disemak di: http://lp.moe.gov.my/semakan/






Recent Posts