Memaparkan catatan dengan label Sastera. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sastera. Papar semua catatan

Sabtu, Jun 20, 2009

Sri Rahayu ungguli novel remaja


Sri Rahayu Mohd. Yusop mengungguli kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil 2008 malam ini dengan karyanya Kasih Nan Agung.

Novelis itu membawa pulang wang tunai RM7,000, watikah penghargaan dan hadiah iringan.

Ruhaini Matdarin dengan nukilannya Jendela Menghadap Jalan pula memenangi tempat kedua. Beliau meraih hadiah wang tunai RM4,500, watikah penghargaan dan hadiah iringan.

Tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM3,000 dimenangi novel Meniti Jalan Hadapan karya Norziati Mohd. Rosman.

Tetamu kehormat, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada majlis penuh bersejarah yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya.

Hadir sama isteri bekas Perdana Menteri itu, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin dan Pengerusi Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil di Malaysia, Hugh W. Thompson.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Nasir Ali dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak serta Pengarang Mingguan Malaysia, Zin Mahmud dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani turut hadir.

Sementara itu kategori cerpen remaja dengan hadiah wang tunai RM2,500 setiap seorang dimenangi Azman Ahmad (Dari Kalbu ke Kalbu) Alias Ismail (Delusi) dan Ummi Hani Abu Hassan (Teman, Cukuplah Kami).

Kategori rencana sastera pula dimenangi Syed Mohd. Zakir Syed Othman (Ulul Albab dan New Man) yang menerima RM1,000. Dr. Awang Azman Pawi (Prasangka Orientalis Terhadap Bangsa Melayu) membawa pulang wang tunai RM2,000 apabila memenangi kategori kajian sastera.

Kategori cerpen yang menawarkan RM3,000 setiap seorang pula dimenangi Khairul Hafiz Abdul Rahman (Bayang Ditirai Belulang), Sujaidi Dasuki (Di Alam Barzakh) dan Mohd. Hashim Osman (Lelaki Seorang Penjinak Ular).

Kategori puisi dengan RM1,000 setiap seorang pula digondol oleh Ahmad Shukri Abdullah (Potret Lima Puluh Tahun), Ahmad Fadhlil Pakarul-Razy (Sang Semut) dan Syed Mohd. Zakir Syed Othman (Sepotong Cinta Di Dunia Angin).

Bagaimanapun tiada yang layak memenangi kategori novel remaja bahasa Inggeris dan terjemahan.

Sementara itu, Sri Rahayu, 33, ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, beliau bersyukur dan amat gembira dengan kemenangan kali ini.

“Kemenangan kali ini secara tidak langsung menggalakkan saya untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu pada masa akan datang.

“Novel Kasih Nan Agung ini bertemakan kisah kemanusiaan dan mengambil masa setahun untuk dihasilkan,” kata ibu kepada dua anak lelaki itu.

Beliau menjelaskan, novel ini amat istimewa kerana menampilkan sumber daripada dalil-dalil al-Quran dan digabungkan dengan buku palio-antropologi Barat.

Sri Rahayu kini bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Pandan Jaya, Ampang.

- UTUSAN

Sabtu, Mei 23, 2009

Coretan Tinta Dari Daksina

Oleh Zulfazlan Jumrah

Assalamualaikum,

Ke pangkuan cikgu Rosmaria yang berada di pantai timur. Barangkali kehadiran warkah bertinta ungu ini memeranjatkan cikgu. Apa tidaknya, dalam kesibukan cikgu menyesuaikan diri sebagai pengetua sekolah yang baharu di sana, barangkali kedatangan warkah ini sedikit mengganggu. Maafkan saya seandainya warkah yang tidak diundang ini mengganggu waktu senggang cikgu.

Cikgu, pada 16 Mei ini, setelah genap setahun cikgu meninggalkan kami di selatan tanah air kerana bertukar sekolah di pantai timur, segala tandangan kenangan kembali mengetuk pintu memori. Saya masih ingat, sebelum cikgu meninggalkan kami dahulu, terlalu banyak pesanan dan nasihat yang telah cikgu berikan kepada kami. Lalu, meski kepiluan merenggut diri, kami cantumkan kesemuanya menjadi azimat di sudut hati.

Cikgu,

Tarikh 16 Mei bertamu lagi pada hari ini, seperti tahun-tahun yang sudah. Cuma bezanya pada 16 Mei kali ini, kami meraikan Hari Guru tanpa cikgu di sisi. Kami masih terkenang saat yang paling bermakna ketika cikgu diminta untuk menyanyikan sebuah lagu untuk kami semua. Itulah persembahan terakhir cikgu atas permintaan kami. Dan apa yang paling menyentuh hati ialah saat cikgu menitiskan air mata meskipun belum selesai menyanyikan sebuah lagu klasik lakonan Nordin Ahmad dan Latifah Omar yang berjudul “Gurindam Jiwa”. Kesemua guru termasuk staf sekolah, nyata terharu dengan persembahan seorang pengetua yang akan bakal bertukar ke sekolah yang lain. Persembahan cikgu nyata terlalu istimewa buat kami.

Cikgu,

Setelah ketiadaan cikgu, segala-galanya terlalu sukar buat kami. Kami menjadi pelajar yang terkurung dalam sangkar kehidupan kami sebagai pelajar yang semakin hari semakin pasif di sini. Tidak ada lagi seorang pengetua yang agresif mengajar kami menyanyi, menari atau sesekali melegakan tekanan belajar dengan berseloka dan berpuisi. Semuanya menjadi terlalu asing buat kami, apatah lagi setelah seorang pengetua baharu mengambil alih tugas cikgu kami di sini. Pengganti cikgu pula ialah seorang pengetua muda yang tidak pandai menyanyi, menari, jauh sekali mendeklamasikan sebuah puisi. Kami terdera dengan perasaan kami sendiri. Jiwa kami bergelora lantaran kami kehilangan rutin kehidupan yang terlazim kami jalani.

Kami juga berhadapan dengan masalah pembelajaran, cikgu. Jika dahulu, kami sangat teruja untuk mengetahui sejarah peradaban dunia yang pernah cikgu ajarkan merentasi kegemilangan Andalusia, terbeku jiwa menekuni sepi bumi dingin Alaska, memeta pergolakan perang Dunia Kedua atau terbuai ke taman khayalan dalam mitos keindahan taman inderaloka bernama Shangri La.

Namun, kini segalanya tidak lagi melatari sesi pembelajaran kami. Kami tidak lagi didefinisikan dengan keagungan cinta sejati dan suci dilatari mitos Taj Mahal di Arga, jauh sekali dibuaikan dengan dongeng purba Dinasti Ming si Maharaja China nan perkasa, apatah mendaki pergunungan sejarah Constatinopel oleh Al-Fatih seorang pembuka kota atau sekurang-kurangnya menyoroti empayar semenanjung emas bernama Kesultanan Melayu Melaka. Semua itu tidak lagi kami temui setelah setahun cikgu pergi meninggalkan kami.

Cikgu yang kami kasihi,

Bagaimana lagi mahu kami mengadukan semua ini? Sepeninggalan cikgu, kami dihambat dengan ungkal jiwa remaja yang bergolak, krisis identiti serta kebejatan sosial dan tingkah laku. Ada rakan-rakan seperjuangan saya sudah mula menunjukkan sikap protes terhadap pengetua yang baharu. Ya, pengetua yang baharu itu ternyata bukan tandingannya untuk menyamai keprihatinan cikgu sebagai srikandi di sekolah ini. Saya masih ingat lagi ketika Karnival Bahasa Melayu dahulu. Cikgu tidak pernah putus-putus memberikan kata-kata azimat dan pedoman untuk merangsang keutuhan semangat di kalbu. Kata cikgu, selawat boleh melegakan darah gemuruh yang membeku dan hasilnya, daerah kita mendapat nombor satu.

Akan tetapi, berbeza dengan pengetua yang baharu ini, cikgu. Dia selalu marah-marah kami mengikut serakah dan hawa nafsu. Katanya, kalau kalah kami semua akan dipalu. Silap seorang, semuanya akan dibambu. “Kalau tewas siaplah kamu.” Kami tertekan dengan pendekatan begitu. Semangat kami rebah selalu, sebelum melangkah ke tempat pertandingan yang dituju.

Cikgu Rosmaria,

Entah apalah dosa yang telah dilakukan oleh kami. Tidak cukup dengan bebelan, salah sedikit kami semua diperintahkan untuk berdiri. Dimarahinya kami berkali-kali, tanpa mengira kecil atau besar kesalahan kami. Ada pula cerita yang tidak elok didengari, rakan-rakan sudah mula memasang niat untuk membenci. Gemar ponteng kelas dan berkeliaran ke sana ke mari. Apalah yang boleh saya lakukan lagi? Mendiamkan diri atau menyatakan rasa yang terbuku di hati? Tolonglah cikgu, berikan saya nasihat yang paling bestari.

Buat pengetahuan cikgu,

Setelah cikgu bertukar sekolah, prestasi Kelab Bahasa Melayu semakin hari semakin merosot. Di sekolah, pertandingan yang menjadi tradisi seperti Pesta Pantun, Peraduan Mencipta dan Mendeklamasikan Puisi, Pertandingan Debat Ala Parlimen atau Perbahasan sudah tidak lagi diadakan. Saya berasa amat sedih dengan situasi ini. Hal ini barangkali kerana setelah cikgu bertukar ke sekolah lain, dasar panatia di sekolah yang telah pun bertukar nakhodanya, turut berubah.

Untuk pengetahuan cikgu juga, bukan tidak pernah saya bertanyakan kepada pengetua yang baharu tentang masalah ini, tetapi katanya pihak pengurusan lebih mengutamakan Kuiz Biologi, Eureka dan Inovasi serta Minggu Pembudayaan Sains dan Teknologi serta tidak ketinggalan juga pertandingan The Battle Of The Band kerana sekolah kita kini sudah menerima seorang guru sandaran muzik yang tidak mempunyai ijazah, tetapi pernah menyertai sebuah rancangan realiti.

Saya berasa kecewa dengan semua ini cikgu. Kalaulah cikgu masih ada, pasti cikgu mampu berhujah tentang penghapusan tradisi ini. Barangkali fakta saya seperti yang pernah cikgu ajarkan dahulu, tentang kewujudan Kerajaan Melayu Campa pada abad kedua Masihi serta penemuan prasasti di Dong Yen Chau pada abad keempat sebagai lambang keteguhan tradisi bahasa Melayu pratamadun belum cukup kukuh untuk membidas tembok pendirian pengetua yang baharu itu. Namun, apa yang sangat mendukacitakan saya ialah apabila ketika saya ingin menganjurkan Pertandingan Menulis Jawi, hasrat saya itu ditolak mentah-mentah, meski hujah saya selepas itu membangkitkan soal keagungan bahasa Melayu klasik lewat tahun 1750 Masihi dahulu.

Cikgu Rosmaria,

Persoalan tentang bahasa adalah isu sejagat. Ingat lagikah cikgu bahawa cikgu pernah mengatakan bahawa William Marsden berpendapat bahasa Melayu adalah bahasa sejagat melalui bukunya A Grammar of The Malayan Language yang ditulisnya pada tahun 1812? Atau penghujahan di dalam buku On Malayan and Polynesian Languages and Races tulisan John Crawfurd yang tidak sebulu dengan Marsden? Pernah juga saya berhujah tentang perkara ini bersamanya, namun pipit tetap pipit, cikgu. Manakan sama terbang tinggi di awan di sisi sang helang.

Apalah lagi yang mampu saya dan rakan-rakan lakukan kini cikgu? Kami seperti sang pidana yang terpasung kerana tidak mempunyai upaya untuk berhujah dan berjuang. Yang mampu kami lakukan ialah berdoa dan terus berdoa agar segala-galanya kembali seperti sedia kala. Saya mengharapkan perubahan yang lebih baik atau setidak-tidaknya keadaan kembali sama seperti mana ketika cikgu menakhodai sekolah ini dahulu. Namun saya akur dan faham, semua ini sangat mustahil berlaku pada kadar sekelip mata. Saya dan rakan-rakan akan terus menanti keajaiban berlaku buat kami semua.

Cikgu yang dihormati,

Pada kesempatan ini juga, saya mewakili rakan-rakan seperjuangan ingin mengucapkan selamat menyambut hari guru kepada cikgu. Percayalah, meski jasad kita terpisah jauh beribu batu jaraknya, namun di hati kami azimat dan pedoman cikgu sentiasa dekat dan kami suburkan ia di sudut sanubari. Kami akan sentiasa mendoakan agar cikgu diberikan kesihatan yang sempurna, semangat yang berkobar dan menyala-nyala serta iltizam yang kukuh pasak pendiriannya demi memartabatkan khazanah dan tradisi buat anak bangsa, agama dan negara. Doakan juga agar keadaan lebih baik di sini, kerana kami khuatir tentang nasib bahasa yang tercinta ini.

Rasa-rasanya sekian sahaja coretan tinta ungu daripada saya mewakili bekas pelajar cikgu di bumi daksina. Moga-moga dengan kiriman warkah ini, akan dapat mengeratkan lagi hubungan kita semua. Akhir kata, semoga kita berkongsi wacana lagi pada lain warkah. Sambutlah salam sejahtera daripada kami semua yang sangat merindui cikgu di sana. Sekian, wassalam.

Yang Sentiasa Menyanjungimu,
Husna Adilah Mohd Sidek,
SMK Bandar Pertiwi.

Sabtu, April 25, 2009

Hari Buku Sedunia - Buku ubah kehidupan (23 April)

Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN

Lebih daripada 60 judul buku telah ditulis oleh Quindlen tentang banyak hal, tetapi dalam How Reading Changed My Life, dia ingin menceritakan tentang pengalamannya sebagai seorang pembaca.

Hari Khamis ini atau tepatnya 23 April 2009 adalah Hari Buku Sedunia. Tanpa disedari buku telah banyak mempengaruhi hidup kita. Ia memberi inspirasi kepada kita dan menjadi teman kala suka dan duka. Setidak-tidaknya, itulah yang berlaku pada Anna Quindlen. Dalam bukunya sepanjang 88 halaman, How Reading Changed My Life mengisahkan bagaimana pada masa kecilnya, dia kerap bermain di luar rumah seperti 'anak-anak normal' yang lain. Namun, dia mengakui, pada dasarnya kegiatan itu tidak selalu menyenangkannya. Dia mendapati 'tenggelam' di dalam keasyikan buku sentiasa membuatnya riang. "Ada bahagian terbaik dari diriku iaitu 'bergelut' dengan buku," tulis Quindlen.

Lebih daripada 60 judul buku telah ditulis oleh Quindlen tentang banyak hal, tetapi dalam How Reading Changed My Life, dia ingin menceritakan tentang pengalamannya sebagai seorang pembaca.

"Tokoh-tokoh imajiner (buku) itu sentiasa menantiku pulang dan aku membawanya kembali ke kehidupan," ujarnya yang mengungkap betapa buku-buku dalam koleksinya telah mencipta daya tarikan yang luar biasa. Dalam buku tersebut, Quindlen melukiskan masa kanak-kanak, remaja, dan dewasanya sebagai sebuah perjalanan waktu yang ditandai dengan kesedaran baru yang diperolehnya daripada kegiatan membaca sama ada novel dan bukan fiksyen. "Saya percaya membaca pelbagai karya orang lain akan mengajar kita untuk menghayati dan menafsir pengalaman orang lain dan ini menjadikan saya menemukan 'mutiara-mutiara baru' dalam kehidupan saya," ujar Quindlen lagi di dalam bukunya.

Membaca karya-karya besar dan kitab-kitab suci membolehkan pembaca mengumpul pengalaman hidup berbeza sekali gus memahaminya dengan cara yang berbeza pula. Pembaca yang sama bakal menafsirkan dan 'merasakan' denyutnya dalam intonasi yang berlainan. Malah, setiap kali pembaca itu membuka halaman karya-karya, semakin 'kaya' dia. Membaca dalam konteks itu bukan lagi hafalan, tetapi memberi sebuah makna hidup yang baru. Ini kerana pengalaman hidup, pengetahuan, dan 'kekayaan batin' yang dipelajarinya sentiasa bertambah dari sehari ke sehari. Dan inilah yang dimaksudkan oleh Quindlen sebagai kesedaran baru atau 'mutiara-mutiara baru'. Membaca bukanlah sekadar mengasah fikiran, bahkan lebih daripada itu. Ia memberi santapan rohani. Maka di sinilah wujud keasyikan membaca, misalnya kita memperkayakan rohani kita dengan membaca karya-karya Pradmoedya Ananta Toer, Hamka, Naguib Mahfuz, Naawal El-Saadawi dan Ernest Hemingway. Kita menghadapi teks-teks yang mereka tulis berdasarkan kisah hidup, pengamatan, pengalaman empati dan kepedulian, pengetahuan dan juga kekeliruan mereka. Membaca dengan demikian, menyajikan kita apa yang kita 'dapat' daripada kehidupan yang kita jalani dengan apa yang Pradmoedya, Hamka dan Hemingway renungkan dari perjalanan hidup mereka. Bukankah ini memperkayakan pengalaman, pengetahuan dan kekayaan batin kita.

Derek Braker, seorang pengkritik buku tersohor di Amerika, membuat komentar dan memuji buku How Reading Changed My Life. "Membaca buku ini ibarat hadir dalam sebuah pesta," komen Braker. Katanya lagi: "Ia suatu pesta yang mana di dalamnya terkumpul segala cerita, pengalaman suka-duka, perjalanan intelektual, perjalanan hidup, dan lebih daripada itu, kita 'tenggelam' dalam dunia keasyikan membaca yang tersendiri. Bukankah apabila kita menghadiri sesuatu pesta, misalnya pesta menyambut Tahun Baru yang sering dirayakan oleh anak-anak muda, mereka akan tenggelam dalam keseronokan dan ekstasi yang tersendiri. Demikianlah membaca yang juga mempunyai ekstasi yang tersendiri. Cuma yang harus dibezakan ekstasi 'mana' yang memberikan kesan mendalam."

Quindlen dengan reputasinya yang pernah menjadi kolumnis surat khabar The New York Times memang layak menerima pujian Braker itu. Quindlen merupakan wanita ketiga dalam sejarah surat khabar tersebut yang beroleh kesempatan menulis kolum 'pendapat' yang amat berpengaruh itu. Dia juga pernah memenangi Pulitzer Prize untuk kategori komentar pada tahun 1992. Koleksi tulisan kolumnya dibukukan menjadi Thinking Out Loud yang diterbitkan oleh Random House dan duduk di deretan buku terlaris The New York Times selama lebih daripada tiga bulan. Quindlen juga menulis tiga buah novel terlaris iaitu Object Lesson, Black and Blue dan One True Thing yang kemudiannya difilemkan dan dibintangi oleh Meryl Streep.

Dengan pengalamannya yang panjang, Quindlen seperti ingin membahagikan sejarah dirinya sebagai penulis sekali gus pembaca dalam kapasitinya yang otoritatif. Dalam How Reading Changed My Life, Quindlen berupaya mengaitkan pengalaman membaca dengan kebiasaan membaca, dan bagaimana semua itu berubah dari waktu ke waktu. Dalam bukunya itu, Quindlen secara otoritatif membuat daftar atau senarai buku yang mampu 'menggiurkan' perasaan banyak 'ulat buku' atau pencinta buku. Dia menyenaraikan 10 buku yang boleh membantu remaja berasa lebih manusiawi; 10 novel moden yang membuat saya (Quindlen) bangga menjadi penulis; dan 10 buku bukan fiksyen yang membantu kita memahami dunia.

Bagi Quindlen, membaca buku bukanlah semata-mata sarana untuk menghimpun pengetahuan, tetapi juga cara untuk memperkuatkan hubungan emosi, mendalami realiti kehidupan, bahkan menghadapi cabaran ketidakadilan. Menerusi karya The Forsyte Saga karya John Galsworthy, dia mengakui telah membentuk kematangan psiko-seksualnya. Karya Charles Dickens pula telah mendorong lahirnya komitmen liberal untuk menentang ketidakadilan sosial.

Dalam kategori '10 buah buku yang akan saya selamatkan bila terjadi kebakaran', Quindlen menyebut antara lain, Bleak House karya Charles Dicken, Anna Karenina karya Leo Tolstoy dan The Collected Works of W.B. Yeats serta The Collected Plays of William Shakespeare. Manakala buku The French Lieutannant's Woman karya John Fowles dan The Bluest Eye karya Toni Morrison merupakan dua di antara 10 novel moden yang membuat Quindlen bangga menjadi penulis. Karya The Adventures of Sherlock Holmes oleh Arthur Conan Doyle dan The Spy Who Came in From the Cold karya John Le Carre, dimasukkan pula dalam senarai '10 novel misteri yang paling saya sukai untuk dibaca pada musim panas'.

Buku How Reading Changed My Life bukan sahaja menunjukkan keluasan bacaan Quindlen, bahkan memperlihatkan membaca adalah cinta abadinya. Dia membandingkan membaca buku seperti pertemuan dua sahabat yang akrab iaitu buku dan pembaca yang mana kedua-duanya menjadikan aktiviti hidup kita lebih bermakna. Pada hemat penulis, buku How Reading Changed My Life merupakan realisasi semangat dan budaya Iqra' yang dianjurkan al-Quran dalam kehidupan kita.

Jumaat, April 24, 2009

Bidadari Dari Timur - Tuan Sabariah Tuan Ishak


Karya: Tuan Sabariah Tuan Ishak dan Ili Sarah Annual Bakri
Harga: RM12.90
Halaman:128

Novel ini adalah sebuah catatan isteri seorang pejuang yang meluangkan masa berpuluh tahun hidup bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Akhirnya beliau tampil membongkar rahsia hidupnya sejak bergelar ratu di hati ulama tersohor ini. Segala pahit getir dihirup bersama, saling mempercayai sehingga tiada ruang untuk meletakkan curiga di antara mereka. Novel ini tampil dengan nada yang tulus dan harmoni. Ia berkisah tentang hidup, kesetian, pengorbanan dan perjuangan. Pengalaman isteri Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan dirakam dalam langgam bahasa yang puitis sehingga membuatkan pembaca turut sama meranduk tohor dalamnya sungai kehidupan yang punya saat kering dan bahnya. Novel sulung terbitan Anbakri Publika sdn bhd bakal menemui penikmat karya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009.

Bidadari Dari Timur…
Seandainya direntasi laut segara,
Tiada yang bisa menandingi lautan tabahmu,
Seandainya gunung dijadikan pasak,
Belum tentu seteguh setiamu,
Seandainya ditawarkan buatku seorang isteri,
Kau yang ingin kubawa hingga ke negeri abadi…

http://cloudymonday.blogspot.com/

Ahad, April 19, 2009

Cerpen - Kasut Tutankhamun

Oleh FUDZAIL

Sebaik membayar tiket, kami bergegas ke dalam dewan mumia diraja. Terletak di sebelah kanan atas Muzium Kaherah. Terlentang dua belas jasad mumia dari keluarga Firaun. Usia pengawetan yang mencecah ribuan tahun.

Muhaimin kelihatan teragak-agak. Gementar buat seorang anak kecil yang baru berusia 10 tahun untuk berdepan sendiri dengan mumia. Bukan lagi dalam adegan sebuah filem, siri kartun atau pembacaan yang menguasai imaginasi.

Mumia dalam balutan asal terlentang di depan mata. Menakutkan buat yang lemah semangat. Masih lengkap semua anggota badan yang zahir.

Manakala dua abangnya, Saifullah, 16 tahun dan Faidhi, 15 tahun terus sahaja meluru memerhati rapi mumia dalam cermin. Membaca setiap catatan. Penuh minat.

Muhaimin bergerak ke arah ibunya. Berbisik.

"Mana mumia Tutankhamun?"

Ibu tersenyum. Muhaimin terus teruja dengan kehebatan Raja Tut, yang menjadi Firaun di usia sebaya Muhaimin dan mati dalam usia sebaya Saifullah. Sesuatu yang mungkin menarik minat ketiga mereka. Firaun berusia belasan tahun.

Sejak tiba di Kaherah, Muhaimin suka mendengar cerita Saifullah dan Faidhi tentang kehebatan dan kekayaan Firaun muda itu. Mungkin fikiran Muhaimin tidak henti membayangkan Raja Tut sejak pulang dari melawat dan masuk dalam piramid. Yang kosong tanpa mumia. Menghampakan biar terpaksa menaiki tangga dan lorong sempit untuk ke puncak piramid.

"Mumia Raja Tut tiada di sini. Masih berada di Lembah Raja-Raja di Luxor. Nanti kita pergi ke sana. Di muzium ini hanya ada khazanah peninggalan Raja Tut, kita melawat selepas ini!"

Mumia para keluarga Firaun yang pernah dianggap tuhan itu memaparkan sejarah kuno Mesir. Keagungan dari keangkuhan yang tersisa sebagai peringatan kepada para manusia ribuan tahun kemudian. Manusia moden yang terus datang untuk melawat mumia Firaun dan sisa kegemilangan. Para pelancong terus terpaksa tunduk untuk sekadar masuk ke makam dalam piramid. Seakan tunduk menghormati Firaun secara simbolik.

Jutaan pelancong datang ke Mesir kerana Firaun. Rezeki anak cucu cicit firaun melimpah dengan peninggalan makam dan sisa-sisa peradaban. Sehingga banyak tempat-tempat sejarah aulia yang dilupakan. Walhal, Mesir bukan sekadar firaun. Mesir juga mempunyai nabi dan sejarah kegemilangan Islam.

Kami beredar ke bahagian pameran harta karun Tutankhamun. Semuanya masih lengkap sewaktu ditemui dalam tahun 1922, tidak berubah seperti mana ditinggalkan ribuan tahun dahulu. Tidak dicuri oleh pencari harta karun atau dibawa keluar dari bumi Mesir.

"Berapa agaknya nilai harta Raja Tut waktu ini?" Tanya Saifullah kepada saya. Sememangnya khazanah dalam muzium Kaherah itu sendiri terlalu tinggi nilai sejarah dan nilai wang ringgit.

"Bilion hingga trilion ringgit!" Saya menjawab dalam kekaguman. Kagum dengan peradaban firaun. Kagum walau terkilan kerana Mesir dan rakyatnya pada hari ini jauh ketinggalan dalam serba serbi berbanding nenek moyang mereka. Ada sesuatu yang tidak kena. Sesuatu yang boleh dibuat pengajaran.

Datang dan pergi peradaban dan empayar hebat di muka bumi. Hari ini Amerika berkuasa, tetapi dengan kegawatan ekonomi, Amerika mungkin akan jatuh dan diganti dengan kuasa besar baru. Mungkin China, mungkin India. Mungkin juga, Israel yang memperkudakan Amerika. Atau mungkin salah satu negara Islam. Tetapi saya tidak dapat mencari negara mana dalam situasi semasa.

Tentu tidak Mesir. Bangunan-bangunan baru yang tidak sehebat piramid dan kuil- kuil kuno. Kemiskinan yang menjadi sebahagian dari wajah Mesir moden. Budaya temberang yang mewarnai kehidupan. Orang-orang Mesir sudah dimakan sumpah Firaun. Mereka tidak akan bangkit lagi. Terutama selagi menjadikan Israel sebagai sahabat dan mengenepikan Palestin.

"Abah, tengok kasut Raja Tut!"

Muhaimin menarik saya. Faidhi sama mengikut. Manakala Saifullah dan ibu masih dalam dewan yang dipenuhi barang- barang kemas kepunyaan Raja Tut. Bersama kilauan emas, perak dan berlian mengerlip.

Saya sama kekaguman melihat kasut bersalut emas bertatah berlian yang pernah dipakai oleh Firaun itu.

"Pada masa orang-orang Mesir sudah memakai kasut dan membina ratusan piramid, sebahagian besar dari Eropah, Amerika dan Asia masih tinggal dalam gua-gua berbogel, masih makan orang!" Saya berkata perlahan. Pada diri sendiri.

Peradaban kuno Mesir memang hebat. Tetapi kufur dan penuh kezaliman. Keadilan mengikut selera Firaun. Tiada hak untuk rakyat selain sebagai hamba. Sesuatu yang terus berulang walau di bawah payung demokrasi yang dipenuhi autokrasi seorang diktator, nama lain untuk Firaun moden.

Semuanya menjadi pengajaran buat mereka yang mahu berfikir. Malah bumi Mesir juga telah dihadirkan dengan para Nabi serta aulia. Terus subur diairi sungai Nil yang terus mengalir songsang ke utara.

"Kenapa Raja Tut mati dalam usia muda?" Muhaimin tiba-tiba bertanya. Matanya masih pada kasut Tutankhamun dalam cermin di dinding.

"Mungkin dibunuh. Ramai yang mahu menjadi raja di kalangan bapa saudaranya!" Jawab Saifullah yang tiba-tiba juga muncul bersama ibu.

'Pembunuhan kerana kuasa dan tamak berlaku sejak Habil dan Nabil. Bergaduh sehingga berbunuhan sesama adik beradik kerana harta juga!" Ibu bersuara, biar sedikit lari dari topik perbincangan. Mungkin untuk memberi ingatan kepada ketiga-tiga anak lelaki yang selalu juga bergaduh kerana perkara-perkara kecil.

"Itu salah satu teori yang dikemukakan. Penemuan terbaru mengatakan Raja Tut mati kerana luka oleh gangren, bukan dibunuh!" Sampuk Faidhi yang bercita-cita mahu menjadi seorang doktor. Membetulkan cermin mata untuk meneliti kasut Tutankhamun.

Keduanya banyak mendapatkan pelbagai maklumat melalui enjin carian Google dan Wikipedia.

Kami membiarkan perbincangan mereka yang merangkumi sejarah yang sebenarnya turut diselitkan dalam Quran. Sesuatu yang menggambarkan relevannya Quran sepanjang zaman sebagai mukjizat.

"Walau apapun, apa sahaja teori mengenai kematian Raja Tut tidak penting lagi. Hari ini, Raja Tut menjadi legasi dan dia salah seorang Firaun yang terus dikenali. Sehingga kita masih sempat melihat kasutnya!" Saya cuba mengalih pandangan kepada satu perkara kecil dalam kehebatan khazanah Raja Tut. Sepasang kasut.

Muhaimin mengangguk, memang dia cukup teruja dengan kasut Tutankhamun. Untuk seorang anak lelaki yang terpengaruh dengan kasut-kasut jenama sukan yang dipakai oleh bintang-bintang bolasepak dunia, selera Muhaimin pada kasut sama seperti Saifullah dan Faidhi. Kilauan kasut-kasut yang menggambarkan status dan kadang-kala nilai harga diri manusia.

Kasut-kasut mereka lebih mahal dari kasut saya sendiri, seorang ayah yang tidak pernah berkasut jenama terkenal. Yang masih sahaja diulit memori tentang zaman anak-anak dahulu tidak berkasut ke sekolah. Kemiskinan yang menyuntik semangat buat pemilik sepasang kaki ayam untuk lebih jauh melangkah dari generasi terdahulu. Duri dan batu-batu jalanan telah mengeraskan semangat untuk perubahan, untuk keluar dari kemiskinan.

"Kasut abah yang paling mahal pernah dibeli sewaktu berusia Tutankhamun, waktu itu berharga RM30 berjenama Power, sebaik dapat masuk ke tingkatan tiga sekolah berasrama penuh!" Saya kembali bernostalgia di depan kasut Tutankhamun yang mungkin sudah bernilai puluhan jutaan ringgit.

Tidak mungkin saya boleh melupakan sepasang kasut hadiah dari arwah ayah. Yang dibeli dengan berhutang. Dibeli kerana arwah tahu saya cukup inginkan kasut itu. Masuk sekolah berasrama tanpa kasut 'mahal' tentu memalukan bagi arwah. Saya tidak memaksa arwah dan berpuas hati dengan kasut RM5 yang dibeli. Kasut tanpa jenama dibeli di pasar minggu.

"Kasut itu tidak sempat dipakai, kerana dicuri senior!" Saya menyambung cerita yang berkali diulang pada anak-anak. Kali ini bercerita pada sepasang kasut Tutankhamun. Bercerita penuh emosional.

Kenangan pahit yang menghantui sehingga kini. Terhiris perasaan dengan seorang senior yang sanggup mencuri sepasang kasut seorang anak miskin hanya sebagai satu penderaan di minggu suaikenal. Budaya ragging yang diturunkan oleh penjajah. Kalau makin teruk mendera, makin hebat sang senior. Memukul dan mengarahkan apa sahaja, kekadang berpanjangan selama setahun.

Kejam sekali kerana si pencuri kasut saya itu anak seorang ahli politik yang kaya raya. Yang masuk sekolah tersebut bukan kerana kecemerlangan SPR-nya, tetapi kuasa dan pengaruh yang ada pada ayahnya, seperti yang diceritakan dengan angkuh. Angkuh kerana dia anak seorang bergelar Datuk dan saya hanya anak petani yang menyewa bendang dari orang kaya seperti keluarganya. Perbedaan darjat menambahkan dendam saya pada keadaan. Tidak berdendam pada senior tersebut. Tetapi dendam itu bertukar sebagai perangsang untuk belajar lebih kuat dan cemerlang.

Ayahnya bukan Tutankhamun. Senior nakal itu juga bukan Tutankhamun. Bukan keturunan Firaun. Kekayaan mereka terlalu kecil berbanding dengan Tutankhamun dan Firaun lain. Tetapi kekayaan sedikit itu menjadikan mereka berkelakuan seperti Firaun kecil. Kekayaan dari merampas hak orang lain dan mempergunakan kelebihan yang sebenarnya rezeki untuk dikongsi bersama. Bukan untuk menzalimi sesama manusia.

Dia mendera saya kerana terasa berkuasa, biar sekadar senior yang kemudiannya gagal SPM. Yang kini bergelar datuk kerana diwariskan kekayaan. Datuk yang masih berkelakuan Firaun dalam perjuangan politik ketuanan sempitnya.

"Memang cantik kasut Tutankhamun!" Suara isteri menerpa dan mengejutkan saya dari ilusi dan imaginasi. Saya cepat-cepat mengesat airmata. Tanpa disedari isteri.

"Kita tidak tahu siapa pereka dan pembuat kasut ini, kreatif sekali, dan tiada pula produk kasut terkini dengan fesyen Tutankhamun!" Jawab saya perlahan. Masih terbayang kasut RM30 yang dicuri senior dan mengubah persepsi saya terhadap nilai kasut selamanya. Mengerling kasut buatan negeri China yang saya pakai. Memang sengaja membeli dan berbaloi memakai kasut murah kerana bimbang kalau hilang di Mesir.

Sebenarnya harga semua kasut saya yang ada dalam empat pasang itu, termasuk kasut kerja tidak lebih dari RM100 sepasang. Harga yang mungkin sekadar untuk sebelah kasut anak-anak dan isteri sahaja.

"Kasut buatan negeri China tanpa jenama yang abah pakai ini mungkin boleh berharga jutaan ringgit, walau tidak boleh menandingi nilai harga kasut Tutankhamun....!" Saya berkata pada isteri dan anak-anak sebaik melangkah keluar dari muzium.

Kelihatan ramai orang-orang Mesir yang sedang menanti untuk masuk percuma sebelum muzium ditutup. Harga tiket masuk muzium memang jauh mahal untuk pelancong berbanding dengan harga tiket untuk rakyat Mesir. Begitupun, masih ramai mahu masuk secara percuma untuk melihat khazanah dan harta karun para Firaun. Warisan Mesir yang membawa masuk bilion ringgit ke dalam kantung Presiden Mubarak. Bilion ringgit yang tidak sampai ke majoriti rakyat yang hidup dibawah paras kemiskinan.

"Bagaimana?" Tanya Muhaimin yang nampak keliru. Kasut yang dipakainya juga berharga RM200. Jenama terkenal dan dipakai oleh Ronaldinho

"Kalau abah jadi Muntadher al-Zaidi yang berani melontar kasut kepada Presiden Bush!"

Ya, Muntadher, wartawan stesen TV berpangkalan di Kaherah yang menjadi hero baru orang-orang Arab dan memberi inspirasi kepada majoriti penentang kezaliman Amerika. Membaling kasut pada seorang presiden angkuh dan kurang cerdik yang bertaraf Firaun moden di hari-hari terakhir pemerintahan. Presiden yang mempunyai imuniti walau telah membunuh ribuan manusia atas nama peperangan menentang teroris, walhal diri sendiri adalah teroris bertaraf dunia. Presiden yang menjadi proksi zionis sebagai polis, pendakwa dan hakim seluruh planet bumi.

"Kalau balingan itu kena tepat pada kepala Presiden Bush, tentu kasut Muntadher lebih mahal dari kasut Tutankhamun untuk ribuan tahun nanti!"

Muhaimin berkata dengan penuh perasaan. Ternyata 'lawatan sekali seumur hidup' ke Muzium Kaherah dan piramid menambahkan pengalaman dan pengetahuan realistik pada anak-anak yang membesar dalam bercampur nilai antara sirah dan playstation, Google, Facebook, serta bintang-bintang bolasepak bertaraf jutawan sebagai idola.

Muhaimin tidak berjenaka tetapi kami serentak ketawa.

Ketawa pada diri sendiri dalam kembali menghirup hiruk pikuk kesesakan trafik, kesesakan manusia bertarung untuk hidup dalam udara tercemar Kaherah. Kota kontradiksi yang terus dipenuhi tapak-tapak kasut dan kaki ayam seramai 26 juta orang penghuni yang terus memanjangkan langkah para Firaun!

- UTUSAN

Rabu, April 15, 2009

Sinopsis Buku: Munajat Cinta

Judul: Munajat Cinta

Penulis: Taufiqurrahman al-Azizy

Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd (2009)

Harga: RM17 (Sabah & Sarawak RM19)

Halaman: 412

Ruwayda, gadis yang dikurniakan dengan kecerdasan istimewa, lahir daripada keluarga yang kaya, tiba-tiba perlu berhadapan dengan kenyataan pahit yang menimpa keluarganya.

Ayahnya bankrap! Cita-citanya mahu menjadi mahasiswi terkandas. Hampir setiap hari ibu bapanya bertengkar kerana hutang. Jiwa Ruwayda goncang. Kebankrapan memporak-perandakan keharmonian cinta ayah dan ibunya.

Di atas tanah perkuburan Paponan di daerah Parakan, Ruwayda berada pada tahap jiwa yang kritikal. Antara menjadi pelacur supaya mendapat wang cepat atau mengakhiri hidup yang penuh sengsara. Hilang pesona imannya sebagai Muslimah gara-gara belenggu wang, cinta, harga diri dan kebahagiaan.

Novel Islami ini penuh dengan pergolakan jati diri seorang gadis yang mencari jalan hidup, cinta dan imannya. Ia penuh dengan plot, ketegangan, getaran, kasih sayang serta air mata.

Sabtu, April 11, 2009

Cerpen - Hak vs Batil

Oleh HAFIZUL BIN OSMAN

Cikgu Bakar memerhatikan wajah seorang demi seorang manusia yang berada di dalam bilik mesyuarat itu. Masing-masing memberikan ekspresi muka yang negatif, muka yang masam mencuka. Dia cuba menguntum senyuman. Cikgu Hanun, salah seorang penghuni dalam bilik pada ketika itu, membalas senyumannya. Namun, tidak pula pada dua orang lagi penghuni yang berada di situ. Puan Badariah dan anaknya, Taufik diam membisu. Muka mereka menampakkan wajah yang tidak puas hati.

"Apa kata cikgu sekarang? Anak saya 'dah didenda teruk oleh cikgu yang perasan bagus ini! Cikgu tak 'nak ambil tindakan ke? Atau saya akan bawa saja perkara ini ke mahkamah! Suami saya, Datuk Kamaruddin boleh saja mencari peguam yang mampu membuktikan kesalahan cikgu ni!" ujar Puan Badariah seakan-akan mengugut. Matanya memandang tajam ke arah Cikgu Hanun, cikgu muda yang berkulit putih. Taufik yang berada di sebelah Puan Badariah, hanya menundukkan muka ke bawah seperti orang bersalah.

Cikgu Bakar hanya tersenyum. Dia tampak tenang. Sebagai seorang pengetua di salah sebuah sekolah menengah yang terkenal di daerah itu, dia perlu mengawal keadaan yang tegang dengan bijak. Kredibilitinya sebagai seorang guru dan juga pemimpin di kalangan guru perlu dijaga agar tidak menimbulkan kontroversi yang merosakkan nama baiknya dan juga profesion guru.

Cikgu Hanun memandang ke arah Cikgu Bakar. Dari wajahnya, dia mengharapkan pembelaan yang sewajar. Dia tidak mahu perkara yang hak ditewaskan oleh kebatilan. Dia tidak mahu profesion gurunya dipalit tompok-tompok hitam yang bakal menghancurkan kerjayanya. Cikgu Bakar mengerti pandangan stafnya itu. Dia memandang ke arah Puan Badariah yang berperhiasan seperti seorang isteri orang kaya. Memakai anting-anting yang mahal, berserta gelang emas yang banyak.

"Sabar, puan! Sabar! Kita boleh selesaikan elok-elok. Tak payah kita panjangkan ke mahkamah! Kalau tak membazirkan masa dan wang saja!" Cikgu Bakar cuba menenangkan Puan Badariah. Dia membetulkan cermin matanya. Puan Badariah mencebik apabila mendengar pujukan Cikgu Bakar itu.

"Sabar memang sabar! Tapi, staf awak ini dah melampau! Kalau ada masalah di rumah pun, janganlah nak lepaskan kepada pelajar-pelajar! Lepaskan kepada anak saya!" ujar Puan Badariah sambil menepuk meja mesyuarat dengan kuat. Seisi bilik tersentak. Taufik turut tergamam. Tidak menjangkakan ibunya bertindak agresif dan terlalu emosi.

"Ibu!" tegur Taufik. Sememangnya dia tidak menyenangi perlakuan ibunya. Mukanya diangkat sedikit. Matanya menatap wajah Cikgu Bakar dan Cikgu Hanun. Apabila kedua-dua guru itu menoleh ke arahnya, dia cepat-cepat menundukkan kembali kepalanya ke bawah.

Cikgu Hanun memandang kembali ke arah Cikgu Bakar, meminta sesuatu tindakan perlu dilaksanakan. Cikgu Bakar mengangguk-angguk sedikit kepala. Tangan kanannya menyelak sedikit kertas laporan yang berada di hadapannya. Matanya menjeling ke arah Puan Badariah. Dia mengertap bibir.

"Baiklah! Saya akan jalankan tindakan seterusnya! Sebelum itu, saya mahu Cikgu Hanun, Puan Badariah dan Taufik memberi sedikit penjelasan dengan apa yang berlaku. Kita mulakan dengan Cikgu Hanun!" kata Cikgu Bakar laksana seorang hakim yang sedang mengendalikan perbicaraan di mahkamah. Ibu jari kanannya mengunjukkan sedikit ke arah stafnya yang berada di sebelah kanan.

"Terima kasih, cikgu! Anak puan, Mohd Taufik Bin Kamaruddin, pelajar Tingkatan 2A2, tidak melakukan kerja rumah Matematik, subjek yang saya ajar dua minggu lepas! Lantaran itu, saya memberi denda dengan menyuruh anak puan membuat kerja rumah tambahan dan perlu dihantar seminggu kemudian! Namun, anak puan tidak pula menghantar denda yang saya berikan, malahan tidak menyiapkan kerja rumah yang seterusnya! Maka, saya memberi sedikit amaran lisan kepadanya sambil menambah akan melaporkan hal ini kepada puan jikalau masih berkelakuan begitu. Jadi, saya memintanya untuk menyiapkan kerja rumah! Itu saja!" terang Cikgu Hanun panjang lebar.

"Penipu!"

Jeritan daripada Puan Badariah menggegarkan keadaan bilik mesyuarat itu. Sekali lagi, Cikgu Bakar dan Cikgu Hanun tersentak. Kedua-dua mereka terkejut dengan reaksi yang diberikan oleh Puan Badariah. Wanita itu yang sebentar tadi duduk, terus berdiri. Rasa tidak puas hati benar-benar terserlah di raut wajahnya.

" Hei, cikgu muda! Jangan awak 'nak tipu saya! Anak saya cakap awak denda dia berdiri di atas kerusi sehingga habis waktu kelas! Selepas itu, awak cubit anak saya sampai lebam-lebam di badan. Tak cukup dengan itu, awak paksa anak saya dengan kawan-kawannya beli buku tambahan Matematik yang mahal! Entah-entah, awak memang ada deal dengan mana-mana syarikat penerbitan untuk dapatkan komisyen! Maklumlah, cikgu sekarangkan pandai bisnes!" lantang sekali Puan Badariah bercakap. Matanya terbeliak menahan geram.

"Masya-Allah, puan! Saya tak pernah denda anak puan sampai begitu sekali! Dan, tak pernah pula saya paksa anak murid saya beli buku tambahan. Memadai dengan latihan yang saya berikan di kelas!" Cikgu Hanun cuba membela diri. Ada perasaan sedih dalam nada suaranya. Sedikit bergetar.

"Wah, pandainya awak membela diri! Saya ada laporan doktor menyatakan badan anak saya lebam-lebam hasil cubitan orang. Selepas itu, kakinya pula disahkan menghidap penyakit saraf kerana berdiri terlalu lama. Anak saya mudah lenguh sejak akhir-akhir ini!"

Cikgu Hanun menutup mulut. Air matanya mula bercucuran turun. Bahunya terhinjut-hinjut menahan sedu-sedan. Cikgu Bakar menyandarkan tubuhnya ke penyandar kerusi. Ada tekanan yang menjalar di jiwanya. Dia harus berfikir dengan pantas. Dia tidak boleh membiarkan penguasaan Puan Badariah dalam bilik itu berlarutan.

" Hah, tahu pula nak menangis! Dah mendenda anak aku sampai sakit-sakit, baru nak menyesal! Cikgu, saya cadangkan awak buang saja guru yang tak bermoral ni dari sekolah! Saya tak nak guru sebegini menghancurkan masa depan anak saya dan juga pelajar-pelajar lain! Jika cikgu tak nak buang juga, terpaksalah kita berjumpa di mahkamah! Saya boleh cari peguam yang handal untuk memenangi kes ini!" Puan Badariah terus mengherdik. Egonya semakin membuak. Kesombongannya bertambah tinggi.

"Cukup, puan! Cukup! Saya tahu pihak sekolah bersalah! Saya tahu Cikgu Hanun bersalah! Namun begitu, eloklah benar jikalau kami mendengar sendiri dari mulut Taufik. Betul ke tak apa yang puan cakapkan! Sekadar pengesahan. Bolehkan, Taufik?" ujar Cikgu Bakar cuba menutup kata-kata berunsur herdikan daripada Puan Badariah. Lelaki itu memandang ke arah Taufik yang sepi di sebelah ibunya. Pelajar itu mengangkat kepala. Dari wajahnya, terkesan rasa ketakutan yang amat sangat. Dia melihat wajah Cikgu Bakar yang tersenyum. Puan Badariah terdiam.

"Taufik! Cuba ceritakan kepada cikgu! Betul tak Cikgu Hanun denda awak berdiri di atas kerusi!? Pernah tak Cikgu Hanun cubit awak? Ada tak Cikgu Hanun paksa awak beli buku tambahan Matematik? Cuba berterus-terang dengan cikgu! Jangan takut, kami cuma mahukan kebenaran!" soal Cikgu Bakar. Pertanyaannya seolah-olah mengharapkan Taufik menafikan tuduhan yang dilemparkan oleh ibunya. Lagipun, dia tidak mahu merencana tindakan susulan tanpa usul periksa.

Taufik memandang ke arah Cikgu Hanun. Gurunya masih menangis. Masih lagi dalam keadaan kecewa setelah dicerca teruk oleh ibunya. Taufik mengetap bibir. Dia memandang ke arah ibunya. Ibunya itu tidak memalingkan muka. Matanya tajam benar memerhatikan wajah Cikgu Hanun. Taufik membisu seketika.

"Saya... saya... maafkan saya, ibu! Saya menipu selama ini! Cikgu Hanun tak bersalah!" Spontan ayat itu keluar dari mulut Taufik. Cikgu Bakar terkejut. Cikgu Hanun terhenti tangisannya. Puan Badariah mengalihkan pandangan ke arah anaknya.

"Taufik!" jerit Puan Badariah.

"Maafkan saya, cikgu! Saya ... saya diugut oleh budak-budak nakal kelas saya! Mereka membuli saya! Mencubit perut saya dan mendera saya berdiri tegak selama sejam! Mereka mengambil duit saya! Mereka ugut jangan beritahu kepada ibu ataupun guru! Kalau tak, saya akan terima padah!" terang Taufik. Kolam matanya mula berair. Dia menundukkan muka ke bawah, merenung hambal di lantai.

Puan Badariah terduduk. Dia menutup mukanya dengan tangan kanannya. Cikgu Bakar menggeleng-gelengkan kepala. Cikgu Hanun memandang pelajarnya dengan perasaan kasihan. Masing-masing diam. Bilik sunyi. Hanya bunyi penyaman udara yang menghiasi bunyi persekitaran bilik itu.

"Dah berapa lama kamu dibuli, Taufik?" tanya Cikgu Bakar memecahkan kesunyian.

"Dua minggu, cikgu!" jawab Taufik dalam esakan.

"Kenapa kamu masih nak mendiamkan diri? Kenapa kamu takutkan sangat dengan mereka? Ramai guru yang ada di sini. Cikgu sendiri pun boleh membantu!" Cikgu Hanun tiba-tiba mencelah sebelum berhenti sambil memandang ke luar jendela. Matanya masih berair. Dia cuba mengawal emosinya sehabis baik. Puan Badariah membisu. Sepatah perkataan pun tidak diluahkannya. Cikgu Bakar menghela nafas panjang.

"Beginilah, puan! Kita tak payahlah panjangkan lagi kes ini ke pihak luar! Taufik pun dah mengaku! Biar pihak sekolah menyiasat dan mencari pelajar-pelajar yang membuli anak puan! Kami akan kenakan hukuman ke atas mereka!" kata Cikgu Bakar.

Puan Badariah masih lagi diam. Tangannya diturunkan menampakkan wajahnya. Ada tanda bersalah di raut wajahnya.

" Buatlah apa cikgu nak buat! Nanti, kita bincang semula! Taufik, mari balik!" balas Puan Badariah. Lengan Taufik dipegangnya. Mereka segera beredar, tanpa sebarang ucapan. Pintu bilik ditutup dengan kuat sebaik sahaja mereka keluar. Cikgu Bakar dan Cikgu Hanun terdiam. Masing-masing berpandangan antara satu sama lain. Cikgu Bakar menyandarkan kembali tubuhnya ke penyandar. Ada perasaan lega menerpa di jiwa.

"Cikgu? Bagaimana sekarang?" Cikgu Hanun bersuara. Cikgu Bakar hanya diam. Dia memandang wajah stafnya itu.

"Kita biarkan dulu! Nanti kita usulkan di mesyuarat antara guru! Kita laksanakan tindakan selepas ini!" balas Cikgu Bakar setelah lama membisu.

"Sekurang-kurangnya kita telah berjaya mengalahkan ego seorang waris! Kita tidak boleh dipersalahkan selamanya! Tugas kita mendidik! Pelajar sekarang terlalu dimanjakan. Jika tidak dibendung, mereka akan menjadi lemah pada masa hadapan! Tidak mampu berdikari tanpa bantuan orang tua mereka," sambung Cikgu Bakar, spontan. Cikgu Hanun mengangguk-angguk. Kemudian, masing-masing terdiam. Sunyi membelenggu semula bilik itu. Sunyi yang membawa kepada kemenangan.

- BERITA HARIAN

Jumaat, April 10, 2009

Iluminasi

Oleh ZANAZANZALY
www.zanazanzaly09.blogspot.com

Teman saya ada berkata, semua unsur alam adalah wajah hidup kita. Meski apa pun beban menimpa atau gelombang mendatang, pasti ada kekuatan yang menjadi bentengnya. Saya percaya akan kata-katanya sebagaimana saya percaya kepada petanda alam. Sangat percaya.

Sejuta ceria yang menggebu dalam jiwa saya sejak pagi kelmarin layu disapa petaka. Seorang teman berbicara bersanggakan kalimah-kalimah sumpah yang sewenang-wenangnya digunakan bagi menutupi kalang dusta. Memang pantang bagi saya jika berjanji tidak ditepati.

Apa guna dia memasung janji kalau mahu dimungkiri? Bukankah manusia itu dipegang pada janjinya? Jika serangkaian kata-kata pun tidak berdaya dikota, masakan dia layak bergelar manusia yang mukallaf? Sebuah janji bukan boleh diambil mudah. Ia penentu maruah dan penanda aras amanah.

Api dusta yang dia nyalakan dalam jiwa saya pagi ini saya sekam dalam-dalam kerana enggan memungkiri janji saya pada diri sendiri. Natijah marah membawa padah. Slogan itu kukuh saya pasak dalam kalbu.

Saya tidak mahu marah menjadi paku yang menusuk dinding kalbu teman saya itu kerana saya tahu kalau pun saya berjaya mencabut kembali paku itu, saya tetap akan meninggalkan kesan berlubang pada dinding kalbunya. Sungguh saya tidak mahu.

Saya cuba redakan marah yang melahar dengan memandang ke luar. Matahari garang mencerlung dari laman hadapan kediaman. Kura tangan kanan saya cembungkan untuk melindungi wajah yang kepijaran.

Saya sekadar meminjam sinar matahari pagi untuk menyuburkan jiwa saya yang kelayuan setelah dikhianati seseorang. Tiada secuing pun niat untuk mencabar kerana saya sedar, saya tidak berdaya bersin dengan mata terbuka.

Sesaat, hangat matahari mengembang saya nikmati dengan mata dipejam.

Saya menapak longlai ke laman belakang. Sunyi pagi ini benar-benar memekakkan telinga hingga tidak kedengaran langsung suara gigi tupai menggulati duku muda. Laman belakang kaku lesu menghidu pandan dan serai yang hilang bau, mengucup kantan dan kucai berbunga kelabu.

Apabila sepi berbicara, jiwa saya limpah rasa dan sifar pun menakluk kata. Diam memujuk saya memejam mata. Telinga cuba mencari-cari hingar dari dalam sukma.

Argh! Gejolak jiwa terus membara. Saya beristighfar dan berselawat. Kemudian, berwuduk untuk solat Dhuha. Usai empat rakaat, saya masih juga tidak mampu menahan sakit belikat akibat tekanan perasaan yang hebat.

Saya tahu, saya perlu berehat agar darah saya yang sedang menyirap ini kurang meruap. Marah ini harus saya tangani secara bijaksana. Mustahil bagi manusia terpelajar dan rasional, mengambil tindakan melulu dengan mengutuk peribadi seperti yang telah dia lakukan kepada saya. Itu refleksi sikap defensifnya yang hilang hujah.

Puas saya cuba, mata tetap enggan lena.

Alternatifnya, saya cuba letihkan badan. Saya ambil keputusan untuk mencuci bilik air. Semasa memberus tandas, saya bayangkan saya sedang mencuci hati teman saya yang telah melanggar janji itu sebersih-bersihnya agar dia insaf dan bertaubat tidak melukai hati orang lain lagi.

Sesudah mencuci, saya sembur bilik air kombinasi hitam putih itu dengan pewangi yang paling mahal saya beli.

Selepas penat, saya rebahkan badan ke ranjang. Saya pujuk marah agar tidur.

Antara sedar dengan jaga, sayup-sayup bergema di dalam minda muzik bertabuh yang saya rakam dari kampung seberang memainkan lagu Hulubalang Berjalan.

Semalam, saya ke kampung seberang bersama sahabat kerana ditarik oleh poster yang mengiklankan persembahan wayang kulit Islamik daripada Dalang Seri Terapeutik.

Apa yang menarik? Watak-watak mainan dalang itu bukan lagi bernama Seri Rama mahu pun Sita Dewi. Sebaliknya nama-nama watak itu sama seperti nama manusia biasa yang saya jumpa hari-hari. Ceritanya bukan semata-mata ekspresi. Jauh sekali, khayalan liar mahu pun emosi luar kawal.

Satu demi satu buah-buah hikmah yang dipencarkan melalui kelir putih oleh dalang wanita graduan universiti tempatan itu mensirnakan waham yang menyekam dalam jiwa saya.

Pernah kalian dengar kisah seorang penjual tapai diwayang kulitkan?

Di hadapan kelir, rumah beratap limas bersebelahan pohon merimbun dipamer. Ada papan tanda bertulisan jawi - Kampung Bayu Lalang. Dari sisi kanan, dalang menggerakkan watak wanita berkelubung kain lepas putih berbunga hijau.

Melalui suara dalang, penonton faham watak itu sedang menabur ragi ke atas pulut tanak dan ubi kayu rebus pada dua talam berbeza.

Dipendekkan cerita, membuat dan menjual tapai di pasar ialah sumber pendapatan makcik itu untuk menyara hidup yang kini sebatang kara setelah anaknya meninggal dunia akibat terkena belantan pasukan keselamatan ketika berdemontrasi mendaulatkan bahasa sendiri.

Belantan itu tepat mengenai umbuk punai pada belakang tengkok Sufi dan menjadi sebab pelengkap kematian setelah gemulah sesak nafas terhidu gas pemedih mata.

Ada watak dua tokoh pujangga bangsa yang saya kenali turut dilukis pada belulang. Segak tak sangga berganding lengan dengan Sufi, perwira bangsa. Seorang berjanggut putih panjang. Lagi seorang, dilukis rapi menyisir rambut lurus ke belakang.

Muzik bertabuh lagu perang. Tiupan serunai sayu bertingkah dengan gong dan gedombak mengujakan saya sehingga empangan mata saya pecah tanpa boleh diseka-seka.

Tiba-tiba, sehelai sapu tangan dihulurkan. Saya menyambut huluran itu dengan menoleh sekilas ke muka sahabat di sebelah kanan. Kelihatan, sahabat pantas mengelip-ngelipkan tubir matanya yang kemerahan.

Berbalik kepada cerita.

Sebagaimana lazimnya, pada suatu pagi, ketika makcik itu sedang bersiap-siap untuk ke pasar, tiba-tiba dia tersedar yang tapai beras pulut dan ubi kayu itu masih belum menjadi sepenuhnya. Kebiasaannya, tapai masak sebelum dia bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan lain. Sah, kesemuanya mentah.

Perempuan tua itu sedih sekali memikirkan tapainya belum menjadi. Pasti, rezeki pun enggan menghampiri.

Dalam duka, 'Abidah yang kuat beribadah segera teringat firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib. Tiada yang mustahil bagi-Nya.

"Ya Allah, kumohon kepada-Mu agar beras pulut dan ubi kayu yang telah kulumuri ragi ini menjadi tapai."

Seraup doa 'Abidah aminkan setulus jiwa dan dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tapai dengan hujung jarinya. Dia menyelak sedikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban ubi kayu itu menjadi tapai.

Sejenak, dia termenung. Kemudian, perlahan-lahan dia membuka satu bungkusan lagi yang berisi pulut tanak.

Helaan nafas panas mengiringi matanya sejurus melihat ketulan ubi kayu berbalut daun pisang kebatu dan pulut tanak dalam bungkusan daun getah.

Kalimat putus asa tidak pernah dicetak dalam kamus hidup wanita berjiwa sasa itu. Dia fikir doanya kurang kesungguhan.

"Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagi-Mu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tapai kerana inilah mata pencarianku. Tukarkan pulut tanak dan ubi kayu ini kepada tapai."

Sepenuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan itu. Dia termangu melihat isi bungkusan masih tetap begitu.

Hari yang tidak pernah mungkir janji semakin meninggi. Pasar kian hingar dengan aktiviti jual beli.

"Belum tentu sebelum diuji, itulah petanda dugaan imani. Maka berangkatlah 'Abidah, wanita tua yang sasa jiwa bersama sebakul pulut tanak berlumur ragi dijunjungi, sejeluk ubi yang belum jadi tapai lagi dikilik di sisi."

Suara dalang hebat itu diiringi muzik bertabuh memainkan lagu Raja Berangkat.

Sepanjang jalan, doa dan zikir tidak lekang dari bibir. Sesampai di pasar, meskipun hatinya masih berdebar-debar, 'Abidah dengan yakin dan sabar buat kesekian kali menekan-nekan satu bungkusan berbalut daun pisang dengan hujung jari. Masih keras lagi seperti tadi.

Ternyata tapainya masih belum menjadi setelah diperam tiga hari. Dia membungkam. Nafas ditarik dalam-dalam. Kecewa mula menyelinapi jiwa. Keadilan Yang Maha Kuasa mula dipersoalkan. Akhirnya dia cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab mustahil ada orang yang mahu membeli tapai yang baru separuh menjadi.

Hari semakin petang. Pasar mulai lengang. Para pembeli sudah kurang. 'Abidah berhati walang. Tidak sanggup menghadapi kenyataan tiada hasil jualan bakal dibawa pulang.

Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan. Iman menyangga keyakinan. Telapak tangan dicepung menadah ke langit buat kali terakhir kepada Allah dia berbisik.

"Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik kepada tapaiku yang belum menjadi ini."

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita, "Makcik ada menjual tapai yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencari tapi masih belum berjumpa lagi."

Dia terpinga-pinga. Detak jantungnya bagaikan paluan gendang ibu. Berpuluh tahun menjual tapai, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tapai yang belum menjadi.

Sebelum dia menjawab sapaan wanita tadi, cepat-cepat dia berdoa di dalam hati "Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tapai ini menjadi. Biarlah ia kekal seperti tadi."

Dia membuka sedikit daun getah di dalam bakul. Girang hatinya bukan kepalang. Ke hadrat Allah syukur dipanjatkan. Dia berterima kasih selepas berakad jual beli kepada wanita yang memborong habis kesemua tapainya yang belum menjadi.

Sebelum wanita itu pergi, sempat 'Abidah bertanya tujuannya mencari tapai yang sedemikian isi. Wanita itu menerangkan, anaknya kini berada di England terlalu ingin merasa tapai dari desa. Jadi terpaksalah dia menghantar tapai yang belum menjadi supaya apabila tiba di sana, ia menjadi tapai yang sempurna.

"Maka, hilanglah waham dalam dada 'Abidah setelah faham Allah memakbulkan doanya yang akhir dengan tidak memperkenankan doanya yang awal. Makaru wamakarallah. Wallahu khairul maakiriin."

Lagu bertabuh menandakan persembahan khalas. Saya tersedar dari lena yang pulas. Saya bingkas ketika jam melebihi angka dua belas.

Marah saya kendur semasa tidur. Saya ke dapur mencari pisang dengan harapan protien trypotophan segera diubah oleh tubuh saya menjadi serotonin dan berjaya membuat perasaan saya tenang dan bahagia. Seraya mengunyah jelai berangan, saya berdoa potassiumnya segera dapat menstabilkan denyutan jantung sehingga otak juga stabil setelah menerima banyak oksigen.

Sejurus memperoleh tenaga daripada sesikat jelai berangan yang saya habiskan, saya pun segera berwuduk untuk solat Zuhur.

Usai solat, sahabat muncul dari dalam kamar kerja membawa berita. Teman saya yang khianat itu baru sekejap tadi diberkas akibat rasuah. Rupa-rupanya dialah musang berbulu ayam yang mendedahkan sebut harga tender kepada syarikat lawan. Syarikat kami disisih Tuhan daripada menanggung kerugian akibat kontrak membekalkan peti-peti undi pemilihan sebuah parti yang dia alibabakan.

Jauh saya membuang pandang ke langit lepas. Tompok-tompok awan seputih kapas menebengi garang matahari petang. Di celahan putih awan, kuntum-kuntum senyum mekar kemerahan.

Isnin esok, saya nekad mahu berpuasa sunat. Pahalanya ikhlas saya hadiahkan buat teman yang rendah sahsiah agar dia segera berubah.

Saya mempateri satu lagi janji dengan diri sendiri, semua tuba yang saya terima, mahu dibalas susu. Iluminasi jiwa membahagiakan saya berbuat begitu.

Khamis, Mac 12, 2009

Buku Pesona Cinta - Selami istilah cinta sebenar dituntut Islam


Judul: Pesona Cinta
Penulis: Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni
Penerbit: Berlian Publications Sdn Bhd
Pengulas: Jami'ah Shukri
Harga: RM14

ISTILAH cinta bersifat universal. Cinta terbahagi kepada dua jenis iaitu cinta asli atau hakiki dan cinta palsu. Cinta asli berjalan dengan baik, tidak ada celaan atau kecaman daripada pelakunya. Bentuk cinta dianugerahkan Allah manakala cinta palsu diperhitung Allah, jika tidak diarahkan kepada reda-Nya.

Cinta yang berputar kepada objek cinta seperti cinta kepada wanita, anak, harta yang banyak dan terlalu menghambakan diri dengan cinta terlampau kepada duniawi serta berasa senang dan terlena hingga melupakan Allah sesungguhnya, mereka itu tidak diletakkan dalam istilah cinta asli. Malah, ia juga tidak akan mendapat bahagian yang terbaik daripada Allah walaupun sedikit.

Ramai manusia berpura-pura menyatakan cinta dan ia sesuatu yang tidak pasti. Cinta kepada Allah dan Rasul-Nya adalah paling agung dan luhur serta tiada kesan buruk. Mencintai Allah adalah ibadat wajib.

Dalam buku Pesona Cinta, penulis meneroka dengan terperinci mengenai pelbagai perkara yang dituntut dalam Islam bagi melahirkan umat Islam sempurna menerusi istilah cinta berkenaan. Penceritaan kisah pada zaman Rasulullah dan sahabat-Nya banyak didedahkan dalam buku ini, sekali gus memudahkan pembaca memahami istilah cinta sebenar dengan mendalam dan menyelami perkara yang utama, selain mendekatkan diri kepada Allah.

Cinta kepada Rasulullah, ia boleh dilakukan dengan sentiasa mengingati anugerah Allah kepada manusia, mempelajari sifat yang baik, membaca al-Quran, hadis dan sejarah kehidupan-Nya, meninjau sifat murah, kasih sayang kepada umat selain memahami beribadat kepada Allah tidak tidak sempurna, kecuali dengan mencintai Rasulullah.

Bagi istilah cinta dalam ummah diperbincangkan dengan teliti. Penyatuan cinta tidak dapat dicapai menerusi semangat nasionalisme, darah, keturunan dan bahasa, sebaliknya ia hanya dapat disatukan menerusi keyakinan dan akidah.

Erti dan hakikat cinta dalam Islam itu dinyatakan dalam bab dua yang memaparkan kisah antara orang yang ikhlas mencintai Allah seperti kisah Abdullah Amru Haram al-Ansari, seorang pemuda dari Bani Umar bin Salim dan Ja'far bin Abi Talib.

Syurga tempat bagi orang yang saling mencintai, khususnya mengagungkan dan menghormati Allah dan Rasulullah, memperbanyakkan selawat kepada-Nya.

Sudah pasti, dalam memastikan kesempurnaan kepada pesona cinta dalam segenap segi itu, umat Islam perlu mengetahui perkara yang dilarang dan sifat dibenci Allah. Antaranya sifat dengki, sombong, fanatik serta mewajibkan perkara yang tidak wajib.

Sabtu, Mac 07, 2009

Cerpen - Tanda-tanda akhir

Oleh NASRON SIRA RAHIM
Nasron Sira Rahim, dilahirkan di Kampung Nawa pada 23 Disember 1981, berkarya dalam genre cerpen dan puisi sejak 2001 dan karyanya mendapat tempat dalam majalah mahupun akhbar arus perdana negara ini. Turut meminati penulisan rencana, esei selain berkebolehan melukis kartun dan komik. Novel pertamanya, Enigma, diterbitkan BukuPrima manakala novel kedua kini dalam proses penerbitan. Wartawan di Meja Luar Negara, Berita Harian, kini dalam proses menyiapkan novel ketiganya.

Ketika sedang bersiap untuk pulang ke rumah selepas selesai mengimamkan solat Asar, seorang lelaki dengan wajah bingung dan kerunsingan datang mengetuk pintu kamar biliknya.

Melihat jasad lelaki itu di sebalik kaca pintu bilik, Imam Min tersenyum bagi memberi isyarat membenarkannya masuk. Wajah runsing masih kelihatan di sebalik senyuman balas yang seolah-olah terpaksa dihadiahkan untuknya, kala lelaki itu melangkah ke bilik kecilnya.

Lantaran mereka tidak pernah bertemu sebelum ini, lelaki itu memulakan perkenalan dengan huluran tangan dan menyingkap butir-butir ringkas mengenai dirinya. Jelas didengari bahawa suaranya tersekat-sekat ketika menuturkan setiap bilah kata bagaikan ada beban yang amat berat sedang ditanggung benaknya ketika itu.



Seterusnya lelaki berkenaan mendiamkan diri untuk seketika dan suasana sunyi menyelubungi atmosfera bilik. Agak pelik dia melihat perlakuan tetamunya itu, sentiasa kelihatan gelisah dan takut. Ketika dia cuba membuka bicara bagi meleraikan ikatan sepi, lelaki berkenaan memulakan tutur kata.

“Tuan Imam, sesuatu yang pelik berlaku dalam hidup saya sejak dua minggu lalu,” suaranya agak perlahan, pandangannya ditundukkan dan jemarinya disilangkan antara satu sama lain. Garis-garis kerutan terlukis di dahi Imam Min. Dia menunggu lanjutan kata dari bibir tetamu di hadapannya.

Lelaki itu bagaimanapun tidak lagi meneruskan bicara, sebaliknya mengeluarkan sesuatu dari beg sandang yang dibawa. Sebuah al-Quran lama diletakkan di atas meja, di hadapannya. Imam Min memakukan pandangan pada kitab suci itu.

“Ini al-Quran pusaka keluarga kami. Sudah lapan generasi diwariskan sebelum saya memilikinya.” Dicapainya al-Quran berkenaan sebelum dia meneliti dengan perasaan kagum. Walaupun helaian surah sudah kekuningan, nas bertulis tangan masih jelas tertera. Malah gaya khat di muka kitab dilirik dengan penuh unik sehingga yakin dia bahawa gaya itu masih belum pernah dihasilkan mana-mana penulis sebelum ini. “Cantik al-Quran ini,” dia ikhlas menzahirkan pujian.

“Saya jumpa al-Quran ini dalam stor di rumah arwah datuk, dua tahun lalu. Kerana tiada lagi sesiapa yang mahu menggunakannya, saya bawa pulang kitab ini untuk membacanya. Asal kitab ini datangnya dari Acheh, dibawa moyang kami yang datang berdakwah ke sini pada zaman Kedah Tua dulu,” dengan suara tersekat-sekat, lelaki itu menuturkan penjelasan.

“Jadi apa masalahnya,” Imam Min terus ke mauduk pertemuan. Wajah serba-salah mengiringi pandangan lelaki itu ke arahnya, seolah-olah takut untuk meluahkan masalah dihadapi.

“Saya baca al-Quran ini setiap hari dan alhamdulillah, sudah khatam sekali. Bagaimanapun, sejak dua minggu lalu, sesuatu yang pelik berlaku. Ada antara ayat ini, hilang dengan sendirinya.” Pandangan Imam Min segera teralih daripada penelitian terhadap kitab tua ke wajah si lelaki. Bersama kerutan di dahi, dia cuba mencari ketelusan di sebalik kata-kata aneh yang diucapkan sebentar tadi. Ayat al-Quran yang ghaib?

“Mulanya pada malam Jumaat dua minggu lalu, ketika khusyuk menekuni surah al-Mukminun, terlihat saya ruang halaman yang kosong. Mulanya diingatkan dakwat tulisan yang pudar tetapi setelah diamati, yakin saya yang ayat pertama hilang bagaikan dipadam dengan sempurna. Ayat-ayat lain masih elok.”

Serta-merta diselaknya helaian kitab yang diperbuat daripada kulit haiwan itu bagi mencari logik pada dakwaan lelaki berkenaan. Tanda tanya terus menujah ke kotak fikirnya.

“Mulanya saya fikirkan ia mungkin perasaan saya saja tetapi empat hari kemudian, saya dapati ayat kedua dan ketiga pula ghaib.” Selakkan helaian akhirnya terhenti pada surah berkenaan. Memang benar! Lelaki di hadapannya tidak menipu, ayat suci itu lesap meninggalkan ruang kosong di tengah nas sesudah dan sebelumnya. Bacaan basmalah masih jelas tertera tetapi selepas itu, ruang terus kosong sehinggalah ayat keenam surah. Memang aneh dan misteri. Tidak mungkin tulisan yang pudar meninggalkan ruang kosong seperti itu. Ketakutan dan kebingungan mula menjalar ke jiwanya dan fahamlah dia akan perasaan dihadapi lelaki itu.

“Berapa kali kejadian ini berlaku?” dengan nada hairan, dia mengusulkan persoalan. “Sehingga subuh Isnin lalu, semuanya empat kali Tuan Imam, lima ayat.” Perasaan seram sejuk mula menusuk jasadnya. Aneh kejadian berkenaan, memang aneh.

Selepas terdiam seketika bagi merasionalkan dirinya, Imam Min bangun dan mencapai sebuah kitab terjemahan al-Quran di rak belakang. Helaian kitab terjemahan diselak sehingga menemukan surah al-Mukminun. Walaupun sudah mengetahui dan menghafaz ayat yang hilang itu, dia tetap ingin memastikan maksud nas berkenaan.

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang beriman (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna. Dan orang-orang yang menunaikan zakat dan orang-orang yang menjaga kemaluannya.” Firman Allah itu dibaca lambat bagi diperdengarkan di hadapan tetamu itu. Selesai baca, lelaki itu memandang ke arahnya dengan seribu tanda-tanya. Dia diam, lelaki itu juga terdiam.

“Apa maksud semua ini Tuan Imam?” Buntu sekali dirinya untuk memberikan jawapan. Tidak pernah perkara seperti itu didengari berlaku di mana-mana sebelum ini; tidak pernah juga persoalan seperti itu diajukan kepadanya seumur hidup. Bingung dia bingung.

Lelaki itu hanya memandang kosong kepadanya. Segala permasalahan yang menyelubungi mereka kini diserahkan bulat-bulat oleh lelaki itu kepadanya untuk diselesaikan. Beban itu teralih kepadanya sedangkan dia masih bingung untuk memberi sebarang jawapan.

“Mengapa ayat al-Quran ini tiba-tiba saja boleh hilang?” tanpa sebarang jawapan, lelaki itu kembali mendesak penjelasan. Mengemukakan persoalan yang benar-benar membawa Imam Min ke lembah kebuntuan.

Diasak kebingungan dalam mencari jawapan yang pasti untuk diluahkan kepada lelaki itu, seketika dia merenung jauh ke alam muhasabah dan menyusuri lorong-lorong fikir.

“Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi mereka yang berfikir.” Nas yang banyak disebut dalam al-Quran itu kerap singgah di benak mindanya sejak diperlihatkan perkara aneh itu. Sesungguhnya segala sesuatu itu berlaku atas kehendak Tuhan jua dan yakin dia bahawa segala yang berlaku tidak terjadi dengan sia-sia. Pasti ada sebabnya.

“Saudara, saya yakin segala sesuatu perkara itu berlaku dengan kehendak Allah SWT,” Imam Min menghelakan nafas di celah-celah kebingungan.

Sememangnya sedar dia bahawa perkara ghaib wujud dalam Islam dan wajib diimani. Sedar dia bahawa mukjizat, keramat dan beberapa hal yang tidak dapat dijelaskan akal dan sains turut tertakrif dalam doktrin Islam. Bagaimanapun, dalam keadaan dunia sekarang, jarang lagi dijumpai perkara seperti itu. Pernah didengarinya ketika kecil kisah-kisah wali yang mampu berjalan di atas air tetapi seumur hidupnya meniti alam dewasa, belum pernah dia menjumpai manusia seperti itu.

Sepuluh tahun lalu, pernah negaranya kecoh apabila sekumpulan pelajar dan guru agama mendakwa melihat objek-objek aneh antaranya kalimah syahadah dan lidah manusia dipotong di dada langit. Ya, itu memang perkara pelik dan mistik, tetapi ‘keanehan’ itu akhirnya terbongkar apabila pihak berkuasa mendapati ia adalah penipuan kumpulan tertentu yang memancarkan laser ke langit.

Menggunakan jin sememangnya mampu menghasilkan pelbagai perkara pelik tetapi entahlah, dia sendiri tidak dapat menjelaskan peristiwa dialami lelaki itu kini. Dengan ilmunya, dia tidak berani memutuskan peristiwa itu.

“Tuan Imam....” panggilan lelaki itu kembali menyedarkannya daripada lamunan. Barulah dia menyedari bahawa agak lama dia larut dalam mencari dalil akli sehingga meninggalkan lelaki itu keseorangan di alam realiti.

“Saya sendiri tidak berani menghakimi kejadian aneh ini.” Perasaan sebenarnya diluahkan kepada lelaki itu. Wajah-wajah hampa jelas terlukis pada riak si lelaki. “Tetapi sekadar pendapat saya, mungkin ayat ini ghaib lantaran ia tidak lagi dipedulikan umat manusia,” lelaki itu memanggung kepala ke arahnya.

“Contohnya kaitan antara ayat ini dengan senario semasa, berapa ramai umat Islam yang menunaikan suruhan ini? Saya yakin ramai umat Islam yang sudah tidak menunaikan solat sedangkan solat itu tiang agama.” Tetamunya mengangguk perlahan dan terus menunggu luruhnya buah-buah penjelasan.

Fikirannya bagaimanapun kembali menjengah ke alam realiti yang didiami umat Islam terutama di negaranya kini. Serta-merta perasaan sebak menguasai jiwa tatkala mengenangkan ramai antara kenalan, saudara dan insan yang ditemuinya sudah tidak lagi menunaikan solat. Solat itulah jalan menemui Allah tetapi jelasnya ramai yang tidak lagi mempedulikan-Nya.

“Solat itulah titik tolak dalam kehidupan manusia, solat itulah jawapan dan formula terbaik dalam menangani pelbagai kecelaruan dan kebejatan sosial masyarakat. Jika solat ditunaikan dan dihayati, pasti masalah sosial masyarakat, mat rempit, dadah, seks luar nikah, rasuah dan jenayah mampu diatasi,” dia menarik nafas sebelum menghembus perlahan.

“Begitu juga ayat-ayat seterusnya, ayat ketiga misalnya menerangkan kunci kebahagiaan manusia iaitu selalu menjaga waktu dan umurnya supaya jangan sia-sia, sentiasa mencari pahala dan mengelak dosa.

“Takwilnya, dia (manusia) selalu menjauhkan diri daripada penipuan, kezaliman, penghinaan kepada orang lain, korupsi, penyelewengan atau terlalu lalai dengan hiburan seperti sekarang. Yakin dia bahawa seluruh ucapan dan perbuatan dicatat malaikat sebagai bukti untuk mengadili mereka di akhirat. Maka atas dasar perhitungan dan keyakinan itu, manusia itu tidak mahu mengerjakan apa saja yang tidak berguna bagi dirinya sendiri, bahkan hanya menimbulkan kerugian dan penyesalan. Akan tetapi semakin ramai yang sudah tidak menghiraukan perkara ini sekarang,” jelasnya panjang lebar.

“Jadi adakah kehilangan ayat keempat bermaksud sudah ramai umat Islam yang sudah tidak menunaikan zakat, manakala ayat kelima pula akibat berleluasanya seks luar nikah ketika ini?” Imam Min mengangguk perlahan menyetujui telahan lelaki itu.

Mindanya mengimbau pengaduan rakannya yang bekerja di pejabat zakat - sudah ramai umat Islam yang tidak menunaikan zakat melainkan zakat fitrah; zakat lain seperti harta, emas, penternakan dan zakat pendapatan walaupun sekadar 2.5 peratus, tidak dipedulikan seolah-olah ia bukan suruhan-Nya.

Malah gejala seks luar nikah pula kini sudah semakin membarah dalam masyarakat bagaikan ia kegiatan biasa dan lumrah. Persoalan seks menjadi topik menarik sehingga dieksploitasi dalam majalah picisan, akhbar, televisyen dan pelbagai media.

“Bahkan bukan saja umat Islam sekarang tidak menunaikan zakat, tetapi ramai terbabit dalam riba seolah-olah ia adalah satu kemestian tanpa ada apa-apa rasa bersalah. Sedangkan ayat ke-278 dan 279 daripada surah al-Baqarah menerangkan riba itu dosanya seperti berperang dengan Allah!”

Keadaan kembali sepi seketika. Lelaki itu kemudian mengangkat pandangannya. “Jadi, apa yang perlu saya lakukan sekarang, Imam?” persoalan itu kembali membawanya mendalami lembah fikir. Jika benar kejadian berkenaan, ia bukanlah perkara kecil yang hanya diputuskan olehnya. Ia perkara besar yang memerlukan takwil daripada ulama mukhtabar yang lebih dalam ilmunya.

“Saudara perbanyakanlah amalan termasuk ibadat sunat. Dekatkan diri dengan Allah, hayatilah segala suruhan dan larangan-Nya bersungguh-sungguh.”

Selepas lelaki itu meninggalkan dirinya keseorangan dalam bilik itu, fikirannya terus menyingkap pelbagai kemungkinan di sebalik peristiwa itu. Pelbagai misteri, rahsia dan teka-teki menyalurkan kebingungan dan ketakutan ke dalam dirinya. Ya Tuhan, adakah ini tanda-tanda akhir dunia akan kiamat?

- BERITA HARIAN

Sabtu, Februari 07, 2009

Cerpen - Puing Derita Bosnia-Herzegovina

Oleh Rebecca Ilham

AMRA berteriak nyaring dari seberang jambatan sambil telapak melambai kegirangan. Yasmin menurunkan bukaan akhbar harian, Dnevni Avaz saiz kompak, melipat tergesa lalu diselit ke dalam tas terbuka. Mehmet berlari-lari menyaingi anak saudara yang terkehadapan, mulut sesekali ringan melaung agar gadis awal remaja itu berhati-hati melangkahi lopak-lopak air merajai celahan terracota sepanjang siar kaki tergantung merentang Sungai Miljacka. Yasmin tersenyum. Dia mendepang tangan, ketibaan Amra disambut dakapan luar biasa hangat dan kucupan di kiri kanan pipi putih merah.

"Ibu berkirim salam, dengan harapan besar agar engkau menghadiri keraian hujung minggu kelak." Mehmet menyampaikan tanpa mencuri jeda melunas mengah. Yasmin tersengih leret. Amra dilepaskan daripada rangkulan sementara tangan menggagau buah tangan tersedia di dalam kocek tas.

"Argh, secepat ini engkau mengkhabarkan persinggahanku?"

Mehmet tertawa kecil. Bebola mata nakal menyapa paras Yasmin sepintas lalu. Wajah perempuan itu mengerdip di bawah pancaran mentari musim panas, mengerah pengeluaran besar-besaran melanin sekali gus membezakan kulit sawo matang daripada air muka pucat porselin perawan-perawan Bosniak, Serbia dan Croatia memenuhi Turkish Quarter, atau lebih mesra di lidah penduduk tempatan sebagai Old Town Bascarsija. Sewaktu empat musim mereka sekuliah menekuni jurusan sains politik di kampus University of Sarajevo, Mehmet paling merayakan ketibaan iklim sebegini; keterasingan fizikal Yasmin adalah kejelitaan yang terlalu membahagiakan hati lelakinya.

"Masakan sanggup aku berlama-lama mendiamkan kedatangan anak angkat kesayangannya dari Malaysia."

"Aku terbang dari Belgrade, bukannya Kuala Lumpur." Yasmin membetulkan. Juraian anak rambut berwarna perang emas di dahi Amra dibelah-belah. Perhatian anak itu terisi penuh oleh gugusan coklat berbalut kertas perak berjalur, lalu meski kelaziman dia paling antimahkota ikal mayang separas bahu itu diusik, kali ini tiada bantahan berdesir tatkala Yasmin mengeluarkan sikat mini dan mula merungkai tocang ekor kuda yang kurang kemas.

"Cari apa di Serbia dan Montenegro?"

"Apa lagi jikalau bukan berita panas penangkapan Radovan Karadzic selepas 13 tahun bersembunyi dengan jaya."

Sepi mendominasi pasca sepatah ujaran jujur. Mehmet mendadak menarik nafas. Yasmin menjeling, sedang tangan cekatan mendandan. Seketika, hanya decipan Amra enak menghisap butir-butir Hershey's Kisses menghubungkan mereka.

"Apa pula yang engkau cari di Bosnia dan Herzegovina?" Mehmet separa mendengus, nada ria kini bertukar tona. Yasmin menyudahkan ikatan, Amra lembut digalakkan menyertai kumpulan kanak-kanak melompati kekotak disempadani garisan berkapur disusun dalam formasi kapal terbang di tengah dataran sederhana luas setentang deretan bazar, namun gadis itu selesa mengekalkan genggaman. Yasmin beralah, badan dipaling menghadap Mehmet yang pegun berpeluk tubuh.

"Selain meninjau reaksi umum masyarakat terhadap perkembangan terbaru ini, aku juga memasang angan-angan untuk menemuramah Haris Silajdzic. Itupun andai ada eksekutif penting di pejabat presiden yang sudi mengaturkan."

"Kenyataan rasmi Dr Silajdzic sudah dikirim kepada agensi-agensi media antarabangsa beberapa jam selepas Karadvic disahkan ditahan pihak berkuasa, sementara sidang akhbar pula telah dilangsungkan sehari kemudiannya. Selain daripada itu, beliau tiada komentar tambahan." Mehmet menyahut tegas.

"Takkanlah engkau tak mampu usahakan sesuatu? Dunia terlalu berminat untuk mendengar pandangan telus salah seorang pengkritik tegar International Criminal Tribunal for the former Yugoslavia, atau ICTY kerana kegagalan badan itu mengesan kedudukan Karadzic dan juga sekutunya, Ratko Mladic sejak sekian lama. Kini dengan tertangkapnya arkitek pembersihan etnik itu, tentu banyak yang ingin diluah Dr Silajdzic." Yasmin cermat memancing, namun Mehmet sekadar menjulingkan mata.

"Mengapa mesti dibangkit bongkar cerita-cerita lama, Yasmin?" Dia keras membidik bantahan.

"Supaya dunia tidak mudah melupakan, Mehmet. Biarlah bangsa Serb sahaja dilanda amnesia terhadap pembunuhan terancang kaum Bosniak yang belum pun mencecah dua dekad, tetapi janganlah dibenarkan kisah sebenar di sebalik kuburan besar-besaran di Srebrenica, Tuzla, Mostar dan lain-lain hanya ditemui di balik belekan buku-buku sejarah semata."

Cubaan mencairkan sebuah penolakan disambut deraian tawa yang membingitkan gegendang. Yasmin mengejapkan ramasan pada jari-jemari Amra yang terganggu oleh perubahan watak si bapa saudara. Ekor mata tajam mengerling tampang Mehmet di sebelah. Lelaki itu menceber, tetapi ubun-ubun Amra segera diusap menenangkan.

"Maaf, cuma kalimah-kalimah amnesia dan sejarah yang kausebutkan terasa melucukan. Argh, jikalau direnung-renung, amnesia jugalah punca tiga bangsa utama di Semenanjung Balkan ini bertelagah. Jadi, apakala amnesia juga jalan penyelesaian pilihan kaum Serb untuk menjustifikasikan tindakan mantan presiden dan bekas jeneral junta ketenteraan mereka, itu tidak seharusnya menghairankan sesiapa."

"Engkau merujuk titik mula perpecahan etnik pasca kejatuhan rejim komunis di Yugoslavia?" Yasmin menduga.

"Akar perbalahan berputik lebih lama daripada itu, Yasmin. Bosnia adalah sebuah wilayah rebutan, ia tidak pernah berhenti diasak sejak bangsa Illyria, penduduk pertama daerah ini dikalahkan Empayar Byzantine. Kesannya, berlakulah pelbagai integrasi dan asimilasi yang menyaksikan bangsa Slav Selatan yang mendiami Semenanjung Balkan selepas abad keenam menerima kedua-dua versi agama Kristian, iaitu fahaman Katolik tinggalan Empayar Roman dan fahaman Ortodoks yang diterapkan pemerintahan Byzantine sebelumnya."

"Selepas itulah pemisahan etnik mula kelihatan bukan?" Yasmin menebak lagi. Mehmet mengangguk. Amra beralih kasih, manja merengeki Mehmet sesudah bungkusan coklat berbaki separuh. Mehmet menyangga tubuh kecil, Amra dinaikkan menduduki tembok membentengi antara kawasan berjualan dan trek riadah di pinggir sungai.

"Ya. Meskipun belum sempurna secara keseluruhan, tetapi itulah asal usulnya kelahiran bangsa Serb yang mendakap ajaran gereja Ortodoks dan bangsa Croat yang Katolik. Bosnia kemudiannya ditadbir secara autonomi oleh pemerintah tempatan yang bergelar Ban. Ban Kulin, pemegang mandat pemerintahan pada awal abad kedua belas cuba memperkenalkan satu lagi versi agama Kristian, iaitu Boholisme. Namun percubaan itu cekatan dipatahkan oleh institusi gereja di Rom. Jika tidak, barangkali selain Serb dan Croat, Bosnia dan Herzegovina akan menyaksikan pemecahan satu lagi ras baru."

"Tetapi selepas itu muncul juga etnik ketiga, bangsa Bosniak...." Yasmin mencelah, separa mengingatkan.

"Sudah aku katakan tadi, tanah Bosnia dan Herzegovina ini wilayah rebutan. Tentera dari Empayar Uthmaniyah tiba dengan julangan panji-panji Islam pada tahun 1463. Negara ini sedia lemah selepas kemangkatan Raja Tvrtko, suatu situasi yang tidak memungkinkan ia melawan secara ketenteraan. Selepas itu, selama 500 tahun berada di bawah pemerintahan berkhalifah yang berpusat di Istanbul, Islam telah tersebar dan diterima pula oleh sebahagian penduduk, sekaligus melengkapkan tiga ras utama: Serb, Croat dan Bosniak."

Yasmin serius menatap teman lama. "Sebetulnya Mehmet, fakta ini amat istimewa. Bosnia dan Herzegovina barangkali satu-satunya negara yang menyaksikan istilah bangsa didefinisi oleh anutan agama dan bukannya ciri fizikal, bahasa atau budaya."

"Inilah maksudku tentang amnesia, Yasmin. Andai berbeza hala keimanan sekalipun, ia tidak sewajarnya dijadikan halangan untuk berbaik-baik. Hujahan paling jelas tentulah kerana tiga bangsa ini tunggal leluhur. Bahkan Islam yang dijadikan cara hidup oleh bangsa Bosniak menegah permusuhan berlainan rumpun, inikan pula daripada kalangan manusia seruas. Tetapi sayang, kenyataan itu dipinggirkan para nasionalis Serb dan Croat sedangkan sewaktu negara ini makmur dinaungi Empayar Uthmaniyah, rakyat berbilang agama tanpa masalah hidup harmonis."

Ulasan Mehmet terpangkas seketika. Amra dalam pelat menggumam entah apa; Yasmin beberapa tahun tidak mempraktik Bosanski jezik secara kolokial kenanaran memohon bantuan penterjemah. Mehmet tertawa, lapang dan lantang. Yasmin terhibur, oleh keletah Amra becok menuding kucing-kucing jalanan berkekahan, oleh kegembiraan polos Mehmet yang jarang-jarang dipamerkan. Namun nuansa keriangan tidak berkekalan. Pandangan mereka sekilas menyatu, Yasmin melontar senyuman namun dibalas Mehmet dengan deheman.

"Contoh pengenepian paling jelas berlaku sekitar tahun 1908. Pada masa itu, pengaruh imperialis Austro-Hungari di Bosnia dan Herzegovina beransur lemah dan gerakan-gerakan nasionalis aktif merencana pembebasan mutlak daripada penjajahan. Bangsa Serb dan Croat mula membahagi-bahagikan Bosnia dan Herzegovina antara mereka kerana meskipun sepakat bersatu menuntut kemerdekaan, kedua-dua kaum ini masih kental dibelenggui perseteruan.

Walau bagaimanapun, hak bangsa Bosniak tidak pernah disungutkan, apatah lagi diusul dan dipertimbang. Malah, setelah tirai besi Eropah runtuh dan Yugoslavia bubar pada dekad lapan puluhan, kawasan di mana bangsa Bosniak adalah penduduk majoriti dimasukkan pula sebagai sebahagian sempadan geografi yang mesti dikuasai bangsa Serb dalam usaha membentuk wilayah Serbia Raya. Mereka tidak seperti bangsa Croat yang andai diimbas sekali lebih tawar cita-cita meluaskan pengaruh dan kuasa, Yasmin. Sebaliknya, sebagaimana gerakan Zionis menghalau penduduk Palestin dalam usaha menubuhkan negara haram Israel, begitu jugalah taktik pemimpin tertinggi Serb, Radovan Karadzic melunaskan misi besar bangsanya pada pertengahan dasawarsa sembilan puluhan."

"Tetapi Karadzic tidak berhenti setakat melancarkan migrasi paksa, dia mengeluarkan arahan agar bangsa Bosniak dihapuskan terus atau dimalukan sepenuhnya. Maka terjadilah tragedi pembunuhan beramai-ramai yang melibatkan lelaki-lelaki Bosniak, sementara para gadis dan wanita pula diperkosa tanpa belas." Yasmin menyambung tanpa dipinta.

"Bukankah lebih mudah begitu? Penindasan menjelmakan pembelaan, yang pastinya diterjemah oleh para penindas sebagai penentangan. Meski dalam jangka masa panjang ia mungkin saja tidak menggugah, tetapi tidakkah serangan-serangan kecil dan bersifat subversif pula adalah gigitan semut yang biarpun tidak memudaratkan, tetapi tetap menyakitkan?"

Yasmin mengecam sayu dan sendu berbaur di hujung. Mehmet dibenarkan menelan hiba bertandang tanpa gopoh diinterogasi lanjut, namun lelaki itu tidak berminat berlama-lamaan melayan melankolia.

"Jika disandarkan logik akal, aku sepatutnya telah menyertai jasad bapa dan dua saudara tuaku bersemadi tanpa nisan, tanpa penghormatan sementelah semua ahli lelaki keluarga Izetbegovic digolongkan dalam kumpulan sasaran utama rancangan pembunuhan beramai-ramai Karadzic dan Mladic. Tetapi rencana Tuhan siapa tahu? Andai ditakdirkan ajalku tiga belas tahun lalu, siapa pula yang akan menjaga ibu, menjaga Amra?"

Yasmin terdiam, kelopak mata dilurutkan ke bawah. Hujung sepatu runcing bertutup penuh ditenung dalam. Persoalan 'berbaloikah diungkit episod-episod duka sebagai sumber pencerahan masyarakat' menyesak benak. Jiwa kewartawanan mengatakan 'mengapa tidak?' sedang atma seorang manusia bertubi-tubi dihenyak simpati dan empati.

"Kau datang ya, hujung minggu nanti?" Pintaan kepastian mengembalikan ingatan terhadap pelawaan pada awal pertemuan. Yasmin mengangkat muka.

"Keraian bersempena apa? Pertunanganmu?" Dia cuba mengusik, hujung dagu Amra dicubit geram. Sungguhpun telah menginjak peringkat umur di mana kebanyakan rakan-rakan sebaya sejantina mula diambil alih struktur badan seorang femina, Amra masih mengekalkan susuk montel comel dari zaman kanak-kanak. Yasmin tidak memandang kekurangan itu sebagai kecacatan, tetapi ia adalah keistimewaan. Paling tidak, Amra akan terus meninggi. Biarpun pakar perubatan meramalkan ketinggian anak-anak Sindrom Down mustahil melebihi paras lima kaki, sekurang-kurangnya indeks jisim badan Amra akan tersesar juga.

"Siapalah yang mahukan aku, Yasmin?" Mehmet mengelak dan menduga serentak. Yasmin menjegil, menjuih bibir bawah. Tawa Mehmet meletus lagi.

"Keraian barangkali bukanlah gambaran tepat. Selain menyambut ulang tahun kelahiran Amra, majlis itu juga adalah peringatan pemergian Alma."

"Alma?" Yasmin merapatkan kedua belah kening. Dahinya dimonopoli kerutan-kerutan hodoh yang andai dijadikan tabiat tidak mustahil bakal mempercepat proses penuaan.

"Oh, aku tak pernah beritahu?" Mehmet menyoal balas sebelum gesit meneruskan.

"Alma adik perempuanku, atau setepatnya, satu-satunya adikku. Alma juga ibu Amra. Sepanjang menghamili Amra, segala makanan dan kepantangan wanita mengandung ditelan, dilakukan dengan harapan benih tinggalan salah seorang askar Serbia yang merenggut kenaifannya, luruh sebelum bercambah mekar. Tetapi Tuhan sekali lagi punya perancangan lain untuk saki-baki keluarga kecil kami. Sungguhpun Amra selamat menjengah dunia, Alma pula menghembus nafas akhir sebelum sempat tangisan pertama zuriat tanpa kerelaan itu bergema."

Penerangan disudahkan senafas cuma, semacam si pengucapnya bertarung hebat mengusir kegalauan rasa. Amra kembali ralit mengeteh lebihan coklat didukung Mehmet, dipujuk pulang. Yasmin masih kegamaman tatkala Amra menyua ciuman permisi. Liur gadis awal remaja itu berjejer, membasahi kolar blazer kasual tersarung dan tumpah sedikit ke bahagian dada tetapi Yasmin tidak bersegera mengeringkan. Sebaliknya, mata tertancap kemas pada kelibat dua beranak beransur-ansur menjauh.

Ya Tuhan, puing derita Bosnia dan Herzegovina masih bersisa rupa-rupanya!

Biodata Penulis:

REBECCA Ilham nama pena bagi Hazwani Rameli yang dilahirkan pada 17 Februari 1985 adalah pelajar Fakulti Kejuruteraan Petroleum, Colorado School of Mines, Amerika Syarikat. Setiausaha Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) dan moderator GKLN Cawangan Amerika Syarikat, pernah memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Menulis Esei Berunsur Sejarah Peringkat Negeri Pulau Pinang 2000. Puisi dan cerpennya pernah mendapat tempat dalam Dewan Siswa, Berita Minggu dan Mingguan Malaysia. Penulis boleh dihubungi di beckyilham@yahoo.com dan laman http://www.gkln.blogspot.com

Jumaat, Januari 30, 2009

Buku motivasi Islamik - Life is an Open Secret-Think About It


Waktu yang diluangkan bersama rakan-rakan sewaktu mereka menghadapi masalah dan pemerhatian telitinya dengan ragam kehidupan masyarakat serta gabungan minat yang mendalam dalam bidang penulisan telah mendorong Zabrina A. Bakar untuk berkongsi perspektif serta pandangannya tentang kehidupan dalam buku sulungnya berjudul Life is an Open Secret-Think About It. Buku ini dilancarkan pada 17 Julai 2007.

Zabrina atau lebih dikenali sebagai Sis Zabrina di kalangan sahabat handai dan pengikut setia blognya (www.wisdomthruwords.blogspot.com) telah mula mengumpul dan mencatat pengalaman dan pendapatnya tentang kehidupan yang dilalui dalam buku sulungnya untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada mereka yang memerlukan.

Buku Life is an Open Secret-Think About It merupakan satu koleksi kisah-kisah motivasi dan inspirasi yang ditulis dalam nada bersahaja, seolah-olah si penulis sedang berbual dengan si pembaca.

Ia merupakan buku motivasi untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira asal, budaya, kepercayaan, usia, pekerjaan atau jantina.

Sebagai seorang life storyteller, Sis Zabrina menulis tentang isu-isu yang menyentuh kehidupan seseorang itu agar ia menjadi lebih bermakna. Beliau juga menyentuh tentang hal-hal peribadi seperti harga diri, keyakinan diri hingga kepada isu-isu mengenai hal kekeluargaan dan hubungan sesama insan seperti ibu, adik-beradik, dan juga tentang alam pekerjaan dan persekolahan.

Apatah lagi, penggunaan teknik bahasa yang mudah, senang dan jelas sehingga membolehkan pelajar remaja yang masih di alam persekolahan dapat memahami mesej yang disampaikan dengan mudah.

Anekdot-anekdot ringkas yang mencuit hati juga diselitkan tanpa terkeluar dari tajuk yang sedang dibincangkan di dalam buku tersebut. Pemikirannya yang terbuka juga dapat dilihat daripada cara beliau memberi pandangan tanpa sebarang prasangka.

Kenyataannya, minat beliau untuk menghasilkan bukunya sendiri bermula apabila beliau mula meletakkan cerita-cerita motivasi tulisannya di blog miliknya pada Mac 2006.

Kini, blognya telah dilawati oleh pembaca-pembaca dari 150 negara di merata dunia. Sis Zabrina juga kini merupakan seorang penulis kolum motivasi di beberapa akhbar dan laman web luar negara seperti di Amerika Syarikat, Mesir, Brunei Darussalam dan Kanada

Setahun kemudian, melihat kepada sambutan positif yang diterima daripada buku pertamanya itu, penerbit Wise Words Publishing mengambil keputusan untuk mengeluarkan buku kedua sebagai kesinambungan siri buku yang bertajuk Life is an Open Secret - You, Me and We yang dilancarkan pada 15 Julai lalu.

Fokus buku kedua ini masih berlegar tentang tema yang sama dengan keluaran pertama cuma dengan sedikit perubahan yang mana penulis mengajak pembaca untuk tidak hanya melihat di dalam diri mereka sahaja tetapi turut melangkah keluar daripada ruang peribadi mereka dan menilai interaksi mereka dengan kehidupan di luar sana.

Difahamkan, semua siri buku Life is an Open Secret mempunyai matlamat yang memberi inspirasi kepada pembacanya untuk merealisasikan potensi sebenar mereka, percaya akan diri sendiri, sifat bertanggungjawab di dalam kehidupan mereka, menjadi warga masyarakat yang berguna dan secara menyeluruh untuk menikmati kehidupan sebagai individu yang bersemangat kental dan positif.

Isnin, Januari 26, 2009

Belasungkawa - Sasterawan Negara, Arenawati dalam kenangan

Semalam Pak Arena meninggalkan kita di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Arwah menghidap barah paru-paru. Penulis menerima beberapa pesanan ringkas dan telefon daripada anak-anak Pak Arena sejak pukul 3 pagi hingga ke siang. Dari rumah anaknya di Batu 22, Hulu Langat jenazahnya dipindahkan ke Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta Kuala Lumpur sebelum disemadikan di tanah perkuburan Bukit Kiara.

Beberapa hari lalu semasa singgah ke wad baldu PPUKM, saya sempat bercakap-cakap dengan Pak Arena sungguhpun beliau sudah tidak berkata-kata. Akan tetapi apabila saya menyebutkan dan bertanyakan tentang novel barunya yang baru terbit di Tanjung Malim dan manuskrip barunya yang kini di tangan Anwar Ridhwan, matanya terbuka luas dan terkelip-kelip seolah-olah mengiakan sesuatu. Mulutnya cuba mengungkapkan sesuatu. Demikianlah sikap Arenawati yang sentiasa mahu membicarakan tentang karya dan penulisan.

"Ayah is a fighter." Ratna, puteri beliau menjelaskan kekuatan Arenawati yang sudah empat bulan di hospital. Bagaimana beliau berjuang dengan pena, demikianlah beliau berjuang pada saat usianya yang terakhir. Menurut Ratna, Arenawati kuat semangat dalam pertarungannya menghadapi penyakit yang dihidapinya.

Tetapi, ketika saya menziarahinya beliau sudah tidak seperti yang saya selalu saksikan sejak 20 tahun lalu. Pada hari itu beliau terdampar lemah di katil.

Dulu, kalau ke UKM beliau selalu bertopi bagi melindungi kepalanya daripada panas matahari, bertongkat dan berbaju batik Indonesia. Beliau berbual dengan suara yang kuat dan jelas tapi mesra.

Pak Arena sebahagian daripada sejarah penubuhan UKM. Buku-buku awal dalam koleksi perpustakaan UKM diusahakan oleh Arenawati dengan memunggahkan buku dari Jakarta ke Pantai Baru pada awal 70-an.

Pak Arena pernah menjadi karyawan tamu di UKM pada 1985 bagi menulis memoirnya. Beliau juga telah dianugerahkan ijazah kehormat oleh UKM sebagai mengenang sumbangannya dalam kesusasteraan.

Arenawati atau nama sebenarnya Muhammad Dahlan bin Abdul Biang adalah anak Bugis asli. Beliau lahir pada 30 Julai 1925 di Kalumpang, Kabupaten Jeneponto, Makasar, Indonesia.

Pendidikan awalnya bermula di sekolah Belanda, Hollands Indische School, sebelum meletus Perang Dunia II. Semasa perang, pengajiannya terganggu dan beliau memulakan kerjayanya sebagai pelaut pada 1943. Pengalamannya di laut telah mematangkan wataknya yang mewarisi darah pelaut sejak turun temurun.

Arenawati diangkat menjadi nakhoda kapal pada usia 17 tahun. Beliau kemudian menghabiskan pelajaran menengahnya di Makasar pada 1953.

Kerjayanya sebagai penulis bermula di syarikat penerbitan di Singapura. Beliau bekerja sebagai pengarang di Royal Press bersama Cikgu Harun Aminurashid dan menerbitkan majalah Hiboran. Selain itu, beliau juga bekerja di Harmy Press.

Beliau kemudiannya ke Johor Bahru dan bekerja di Penerbitan Melayu Ltd., sebelum ke Brunei untuk menjadi penasihat percetakan Light. Di Kuala Lumpur beliau kemudiannya menyertai Aziz Antara di Pustaka Antara, Kuala Lumpur.

Di tangan Arenawati sebagai editor, terbit sejumlah buku-buku yang besar dan kuat di Pustaka Antara. Arenawati menjadi pegawai penyelidik di Yayasan Sabah pada 1974.

Arenawati akan dikenang kerana karya-karyanya yang kuat dan besar jumlahnya. Antara karya beliau yang awal ialah Kisah Tiga Pelayaran yang terbit pada tahun 1959 di Singapura. Sejak itu semakin ligatlah beliau berkarya sehinggalah sejurus sebelum beliau dimasukkan ke hospital pada bulan Ramadan lalu.

Antara novel beliau seterusnya ialah Lingkaran (1962), Sandera (1971), Bunga Dari Kuburan (1987), Kuntum Tulip Biru (1987), Sakura Mengorak Kelopak (1987), Panrita (1993), Sukma Angin (1999), Cakra Waruga, Trilogi Busa - Busa Hati, Trilogi Busa - Busa Sukma, Trilogi Busa - Busa Kalbu, Trilogi Armageddon: Mandala, Trilogi Armageddon: Menorah, Trilogi Armageddon: Pentagon, Warna Sukma Usia Muda. Kisah perjalanan hidupnya diabadikannya dalam Memoir Arenawati: Enda Gulingku.

Sebagai pengiktirafan terhadap bakat besar dan sumbangannya kepada dunia kesusasteraan Melayu, Pak Arena di anugerahkan SEA Write Award (1985), Anugerah Sasterawan Negara (1987). Karya beliau, Sukma Angin memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Arenawati juga adalah pemenang Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Hadiah MASTERA) 2003.

Rakan-rakan, sahabat handai dan saudara mara meninggalkan tanah perkuburan Bukit Kiara dengan seribu kenangan suka duka bersama Arenawati.

Seharum bunga dari kuburan yang lembut, Arenawati meninggalkan nama yang wangi di pentas kesusasteraan Melayu - Nusantara.

Beliau akan tetap dikenang oleh sarjana dan rakan penulis di Eropah bak kuntum tulip biru dan kenalannya di Jepun akan mengenang beliau seperti sakura mengorak kelopak.

Prof. Dr. Soleha Ishak, Pengarah Pusat Kebudayaan di Universiti Malaya ketika ditemui berkata:

"Membaca karyanya, Sukma Angin saya dapat merasakan minda pasca moden dan toleransi yang pintar terhadap kepelbagaian budaya masyarakat di Asia Tenggara. Saya kagum dengan daya kreatifnya yang diletakkannya dalam konteks kepelbagaian budaya ini. Dunia kesusasteraan Melayu kehilangan seorang tokoh yang cemerlang."

Menurut Prof. Dr. Kamaruddin M.Said, Penerbit UKM merasa bangga dapat menerbitkan banyak hasil karya SN Arena Wati.

"Saya berpendapat Arena Wati ialah seorang sasterawan Melayu yang berminda glokal. Selain menukilkan kisah hidup Melayu Nusantara, beliau turut meletakkan naratif sastera Melayu dalam konteks kehidupan manusia sejagat di New York, Kyoto, Leiden dan kawasan Nusantara.

"Pengalamannya sebagai pelaut telah membentuk mindanya yang terbuka dan menjangkau luas ke seluruh pelosok dunia. Namun begitu, jati diri Melayu-Nusantaranya terus teguh hingga ke akhir hayatnya."

Sesungguhnya Arenawati adalah seorang tokoh yang amat penting dalam kesusasteraan Melayu moden.

Semasa hayatnya, Pak Arena tampil sebagai penulis yang cukup prolifik, tidak berhenti-henti menulis dengan pelbagai karya. Beliau ibarat sumur di ladang yang membuak-buak dengan air yang tak pernah kering.

Arenawati pergi dengan meninggalkan sejumlah karya besar untuk seluruh bangsanya. Negara kehilangan anak bangsanya yang besar jasanya dalam arena kesusasteraan. Saya kehilangan rakan penulis yang rapat dan cukup penyayang.

- Utusan

Rabu, Januari 21, 2009

Politik harapan, pembaharuan

Ucapan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak

Alhamdulillah marilah kita memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmatnya kita dapat bersama-sama pada hari ini.

Saya amat berbesar hati kerana berpeluang melancarkan buku bertajuk Politik Baru; Ke Arah Mematangkan Demokrasi Malaysia ini hasil tulisan YB. Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia. Syabas dan tahniah kepada beliau kerana berjaya menyiapkannya dalam kesibukan sebagai anggota pentadbiran.

Amat jarang bagi seorang anggota pentadbiran kerajaan yang masih berkhidmat untuk menulis buku. Langkah ini saya yakin memerlukan political courage yang bukan sedikit.

Saya kira penulisan buku ini didorong gabung jalin intellectual conviction, burning idealism and a sense of service yang terdapat pada diri Datuk Saifuddin yang kita semua maklum lahir dari dunia aktivisme belia.

Perubahan dan pembaharuan sudah menjadi satu tema dominan dalam arus politik dunia. Di Amerika Syarikat misalnya Barack Obama berjaya meniti arus perubahan dan pembaharuan ini untuk mengalahkan calon establishment bagi memperoleh pencalonan partinya Parti Demokrat dan seterusnya memenangi White House.

Beliau menjadi etnik Afrika-Amerika yang pertama berjaya berbuat demikian setelah 146 tahun berakhirnya perhambaan di Amerika Syarikat (melalui perisytiharan emansipasi oleh Presiden Abraham Lincoln yang membebaskan semua hamba pada tahun 1863).

Semasa berkempen tema ucapannya sentiasa berkisar kepada harapan, perubahan dan pembaharuan seperti "Change that Work for you", "Forging a New Future for America" dan "Take Back America."

Ucapan-ucapan beliau sentiasa membujuk kepada harapan dan sifat idealis manusia bukannya ketakutan dan sifat kebencian mereka. Sesungguhnya formula ini telah berjaya mencetuskan gelombang perubahan dan pembaharuan yang amat signifikan dalam susur galur sejarah politik Amerika Syarikat.

Di Malaysia, Kerajaan Barisan Nasional sentiasa peka kepada gelombang perubahan dan pembaharuan. Ini kerana kita insaf, dalam sistem demokrasi rakyat adalah penentu mutlak kepada parti mana yang akan membentuk kerajaan.

Sebagai sebuah negara majmuk yang memiliki kepelbagaian bukan sahaja etnik tetapi juga agama, budaya dan bahasa, parti pemerintah perlu anjal merangka strategi yang relevan untuk mendepani cabaran yang sentiasa berubah.

Kita harus menginsafi bahawa kejayaan - khususnya dasar sosioekonomi yang telah digubal oleh kerajaan yang memerintah bersama dengan kemajuan teknologi maklumat, komunikasi dan pengangkutan global telah mengubah landskap politik negara secara komprehensif.

Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional serta Dasar Pembangunan Wawasan bersama-sama dengan tumpuan luar biasa kerajaan semenjak merdeka terhadap pembangunan modal insan telah berjaya mewujudkan kelas menengah yang besar saiznya.

Kelas menengah ini mempunyai aspirasi yang berbeza daripada generasi sebelum mereka. Tuntutan pembangunan asas yang bersifat dari atas ke bawah telah berubah menjadi tuntutan kualiti hidup dan partisipasi bermakna dalam merealisasikannya.

Akses kepada lebuh raya maklumat (Internet) dan televisyen satelit berbayar telah mendedahkan rakyat Malaysia kepada fenomena ledakan maklumat (Information boom). Blog, portal berita siber, siaran CNN, BBC, Al-Jazeera, CNBC dan Bloomberg bukan lagi hak eksklusif golongan elit tetapi telah tersiar di ruang tamu semua strata rakyat Malaysia.

Gabungan kedua-duanya telah memberikan dimensi baru kepada evolusi penghakupayaan (empowerment) rakyat Malaysia sebagai pengundi/pemilih. Datuk Saifuddin mengungkapnya dengan tepat di dalam bukunya (m.s 58);

Ini penting kerana dalam keadaan kehidupan yang semakin kompleks dan canggih, kebahagiaan tidak lagi terhad hanya kepada penerima nikmat dan manfaat pembangunan sahaja, tetapi termasuk juga penglibatan aktif dalam proses bagaimana pembangunan dirancang, dilaksanakan dan dinilai.

Kerajaan Barisan Nasional perlu memastikan program-program kerajaan adalah berteraskan keperluan rakyat supaya kita sentiasa dekat di hati dan sanubari rakyat.

Jika kita gagal menangani cabaran ini dengan cemerlang kita akan menerima hukumannya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 kelak. Kerajaan Barisan Nasional tidak boleh sekali-kali membiarkan gejala jurang keterpisahan (disconnectedness) wujud di antara aspirasi rakyat dan hala tuju kerajaan.

Demi melaksanakan agenda perubahan dan pembaharuan, mahu tidak mahu, tidak dapat tidak, kerajaan Barisan Nasional memerlukan pemimpin yang berkebolehan dan berpengetahuan dalam bidang yang dipertanggungjawabkan.

Pemimpin itu mestilah membawa pemikiran glokal dengan ideanya merentasi sempadan negara tetapi jiwanya, akarnya adalah berteraskan bumi bertuah ini.

Rakyat Malaysia sudah cukup matang dalam menilai pemimpin mereka. Mereka tidak mahu lagi didendangkan dengan lagu-lagu sumbang tentang retorik perubahan tetapi hampa isi di dalamnya. Mereka mahukan result. Mereka mahu melihat perubahan itu berlaku!

William F. Baker dan Michael O'Malley dalam buku mereka Leading With Kindness menyatakan, pemimpin yang baik bukan sahaja mampu menjalankan tugas dengan cemerlang, sebaliknya juga berupaya melakukan perubahan dan mencipta persepsi baru terhadap sistem kerja yang ada.

Hakikatnya, gelombang perubahan hari ini menuntut negara memiliki bukan sekadar politikus biasa yang manis senyumnya dan muluk tuturnya, sebaliknya pemikir politik yang kaya ideanya dan hikmah tingkahnya.

Saya ingin menggesa semua pemimpin di bawah payung kerajaan Barisan Nasional, untuk sama-sama bangkit dan bingkas kembali menyusun strategi melakukan perubahan, baik kepada diri mahupun kepada parti, demi kesejahteraan bangsa dan tanah air.

Kita tidak boleh berterusan duduk dalam zon selesa, sebaliknya kita perlu mengubah paradigma dan mengubah cara serta pendekatan kita berpolitik supaya ia sentiasa berorientasikan rakyat.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia atau ITNM, di atas komitmen yang berterusan terhadap usaha menerbitkan buku-buku ilmiah yang mampu mencipta dan membangunkan kapasiti intelektual rakyat Malaysia.

Saya telah membaca buku Perjanjian dan Dokumen Lama Malaysia terbitan ITNM yang dilancarkan di Parlimen penghujung tahun lalu. Sehubungan dengan itu saya ingin menyarankan supaya usaha ini diteruskan dengan pendokumentasian bahan serta pelbagai peristiwa yang menyumbang kepada sejarah penggubalan dokumen yang paling penting di dalam kehidupan bernegara kita iaitu Perlembagaan Malaysia.

Ini termasuklah perbincangan membabitkan pelbagai pihak selain peranan-peranan yang dimainkan oleh wakil tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India dalam merundingkan sebuah dokumen yang mendasari kewujudan negara tercinta.

- Utusan