Cerpen - Puing Derita Bosnia-Herzegovina

Oleh Rebecca Ilham

AMRA berteriak nyaring dari seberang jambatan sambil telapak melambai kegirangan. Yasmin menurunkan bukaan akhbar harian, Dnevni Avaz saiz kompak, melipat tergesa lalu diselit ke dalam tas terbuka. Mehmet berlari-lari menyaingi anak saudara yang terkehadapan, mulut sesekali ringan melaung agar gadis awal remaja itu berhati-hati melangkahi lopak-lopak air merajai celahan terracota sepanjang siar kaki tergantung merentang Sungai Miljacka. Yasmin tersenyum. Dia mendepang tangan, ketibaan Amra disambut dakapan luar biasa hangat dan kucupan di kiri kanan pipi putih merah.

"Ibu berkirim salam, dengan harapan besar agar engkau menghadiri keraian hujung minggu kelak." Mehmet menyampaikan tanpa mencuri jeda melunas mengah. Yasmin tersengih leret. Amra dilepaskan daripada rangkulan sementara tangan menggagau buah tangan tersedia di dalam kocek tas.

"Argh, secepat ini engkau mengkhabarkan persinggahanku?"

Mehmet tertawa kecil. Bebola mata nakal menyapa paras Yasmin sepintas lalu. Wajah perempuan itu mengerdip di bawah pancaran mentari musim panas, mengerah pengeluaran besar-besaran melanin sekali gus membezakan kulit sawo matang daripada air muka pucat porselin perawan-perawan Bosniak, Serbia dan Croatia memenuhi Turkish Quarter, atau lebih mesra di lidah penduduk tempatan sebagai Old Town Bascarsija. Sewaktu empat musim mereka sekuliah menekuni jurusan sains politik di kampus University of Sarajevo, Mehmet paling merayakan ketibaan iklim sebegini; keterasingan fizikal Yasmin adalah kejelitaan yang terlalu membahagiakan hati lelakinya.

"Masakan sanggup aku berlama-lama mendiamkan kedatangan anak angkat kesayangannya dari Malaysia."

"Aku terbang dari Belgrade, bukannya Kuala Lumpur." Yasmin membetulkan. Juraian anak rambut berwarna perang emas di dahi Amra dibelah-belah. Perhatian anak itu terisi penuh oleh gugusan coklat berbalut kertas perak berjalur, lalu meski kelaziman dia paling antimahkota ikal mayang separas bahu itu diusik, kali ini tiada bantahan berdesir tatkala Yasmin mengeluarkan sikat mini dan mula merungkai tocang ekor kuda yang kurang kemas.

"Cari apa di Serbia dan Montenegro?"

"Apa lagi jikalau bukan berita panas penangkapan Radovan Karadzic selepas 13 tahun bersembunyi dengan jaya."

Sepi mendominasi pasca sepatah ujaran jujur. Mehmet mendadak menarik nafas. Yasmin menjeling, sedang tangan cekatan mendandan. Seketika, hanya decipan Amra enak menghisap butir-butir Hershey's Kisses menghubungkan mereka.

"Apa pula yang engkau cari di Bosnia dan Herzegovina?" Mehmet separa mendengus, nada ria kini bertukar tona. Yasmin menyudahkan ikatan, Amra lembut digalakkan menyertai kumpulan kanak-kanak melompati kekotak disempadani garisan berkapur disusun dalam formasi kapal terbang di tengah dataran sederhana luas setentang deretan bazar, namun gadis itu selesa mengekalkan genggaman. Yasmin beralah, badan dipaling menghadap Mehmet yang pegun berpeluk tubuh.

"Selain meninjau reaksi umum masyarakat terhadap perkembangan terbaru ini, aku juga memasang angan-angan untuk menemuramah Haris Silajdzic. Itupun andai ada eksekutif penting di pejabat presiden yang sudi mengaturkan."

"Kenyataan rasmi Dr Silajdzic sudah dikirim kepada agensi-agensi media antarabangsa beberapa jam selepas Karadvic disahkan ditahan pihak berkuasa, sementara sidang akhbar pula telah dilangsungkan sehari kemudiannya. Selain daripada itu, beliau tiada komentar tambahan." Mehmet menyahut tegas.

"Takkanlah engkau tak mampu usahakan sesuatu? Dunia terlalu berminat untuk mendengar pandangan telus salah seorang pengkritik tegar International Criminal Tribunal for the former Yugoslavia, atau ICTY kerana kegagalan badan itu mengesan kedudukan Karadzic dan juga sekutunya, Ratko Mladic sejak sekian lama. Kini dengan tertangkapnya arkitek pembersihan etnik itu, tentu banyak yang ingin diluah Dr Silajdzic." Yasmin cermat memancing, namun Mehmet sekadar menjulingkan mata.

"Mengapa mesti dibangkit bongkar cerita-cerita lama, Yasmin?" Dia keras membidik bantahan.

"Supaya dunia tidak mudah melupakan, Mehmet. Biarlah bangsa Serb sahaja dilanda amnesia terhadap pembunuhan terancang kaum Bosniak yang belum pun mencecah dua dekad, tetapi janganlah dibenarkan kisah sebenar di sebalik kuburan besar-besaran di Srebrenica, Tuzla, Mostar dan lain-lain hanya ditemui di balik belekan buku-buku sejarah semata."

Cubaan mencairkan sebuah penolakan disambut deraian tawa yang membingitkan gegendang. Yasmin mengejapkan ramasan pada jari-jemari Amra yang terganggu oleh perubahan watak si bapa saudara. Ekor mata tajam mengerling tampang Mehmet di sebelah. Lelaki itu menceber, tetapi ubun-ubun Amra segera diusap menenangkan.

"Maaf, cuma kalimah-kalimah amnesia dan sejarah yang kausebutkan terasa melucukan. Argh, jikalau direnung-renung, amnesia jugalah punca tiga bangsa utama di Semenanjung Balkan ini bertelagah. Jadi, apakala amnesia juga jalan penyelesaian pilihan kaum Serb untuk menjustifikasikan tindakan mantan presiden dan bekas jeneral junta ketenteraan mereka, itu tidak seharusnya menghairankan sesiapa."

"Engkau merujuk titik mula perpecahan etnik pasca kejatuhan rejim komunis di Yugoslavia?" Yasmin menduga.

"Akar perbalahan berputik lebih lama daripada itu, Yasmin. Bosnia adalah sebuah wilayah rebutan, ia tidak pernah berhenti diasak sejak bangsa Illyria, penduduk pertama daerah ini dikalahkan Empayar Byzantine. Kesannya, berlakulah pelbagai integrasi dan asimilasi yang menyaksikan bangsa Slav Selatan yang mendiami Semenanjung Balkan selepas abad keenam menerima kedua-dua versi agama Kristian, iaitu fahaman Katolik tinggalan Empayar Roman dan fahaman Ortodoks yang diterapkan pemerintahan Byzantine sebelumnya."

"Selepas itulah pemisahan etnik mula kelihatan bukan?" Yasmin menebak lagi. Mehmet mengangguk. Amra beralih kasih, manja merengeki Mehmet sesudah bungkusan coklat berbaki separuh. Mehmet menyangga tubuh kecil, Amra dinaikkan menduduki tembok membentengi antara kawasan berjualan dan trek riadah di pinggir sungai.

"Ya. Meskipun belum sempurna secara keseluruhan, tetapi itulah asal usulnya kelahiran bangsa Serb yang mendakap ajaran gereja Ortodoks dan bangsa Croat yang Katolik. Bosnia kemudiannya ditadbir secara autonomi oleh pemerintah tempatan yang bergelar Ban. Ban Kulin, pemegang mandat pemerintahan pada awal abad kedua belas cuba memperkenalkan satu lagi versi agama Kristian, iaitu Boholisme. Namun percubaan itu cekatan dipatahkan oleh institusi gereja di Rom. Jika tidak, barangkali selain Serb dan Croat, Bosnia dan Herzegovina akan menyaksikan pemecahan satu lagi ras baru."

"Tetapi selepas itu muncul juga etnik ketiga, bangsa Bosniak...." Yasmin mencelah, separa mengingatkan.

"Sudah aku katakan tadi, tanah Bosnia dan Herzegovina ini wilayah rebutan. Tentera dari Empayar Uthmaniyah tiba dengan julangan panji-panji Islam pada tahun 1463. Negara ini sedia lemah selepas kemangkatan Raja Tvrtko, suatu situasi yang tidak memungkinkan ia melawan secara ketenteraan. Selepas itu, selama 500 tahun berada di bawah pemerintahan berkhalifah yang berpusat di Istanbul, Islam telah tersebar dan diterima pula oleh sebahagian penduduk, sekaligus melengkapkan tiga ras utama: Serb, Croat dan Bosniak."

Yasmin serius menatap teman lama. "Sebetulnya Mehmet, fakta ini amat istimewa. Bosnia dan Herzegovina barangkali satu-satunya negara yang menyaksikan istilah bangsa didefinisi oleh anutan agama dan bukannya ciri fizikal, bahasa atau budaya."

"Inilah maksudku tentang amnesia, Yasmin. Andai berbeza hala keimanan sekalipun, ia tidak sewajarnya dijadikan halangan untuk berbaik-baik. Hujahan paling jelas tentulah kerana tiga bangsa ini tunggal leluhur. Bahkan Islam yang dijadikan cara hidup oleh bangsa Bosniak menegah permusuhan berlainan rumpun, inikan pula daripada kalangan manusia seruas. Tetapi sayang, kenyataan itu dipinggirkan para nasionalis Serb dan Croat sedangkan sewaktu negara ini makmur dinaungi Empayar Uthmaniyah, rakyat berbilang agama tanpa masalah hidup harmonis."

Ulasan Mehmet terpangkas seketika. Amra dalam pelat menggumam entah apa; Yasmin beberapa tahun tidak mempraktik Bosanski jezik secara kolokial kenanaran memohon bantuan penterjemah. Mehmet tertawa, lapang dan lantang. Yasmin terhibur, oleh keletah Amra becok menuding kucing-kucing jalanan berkekahan, oleh kegembiraan polos Mehmet yang jarang-jarang dipamerkan. Namun nuansa keriangan tidak berkekalan. Pandangan mereka sekilas menyatu, Yasmin melontar senyuman namun dibalas Mehmet dengan deheman.

"Contoh pengenepian paling jelas berlaku sekitar tahun 1908. Pada masa itu, pengaruh imperialis Austro-Hungari di Bosnia dan Herzegovina beransur lemah dan gerakan-gerakan nasionalis aktif merencana pembebasan mutlak daripada penjajahan. Bangsa Serb dan Croat mula membahagi-bahagikan Bosnia dan Herzegovina antara mereka kerana meskipun sepakat bersatu menuntut kemerdekaan, kedua-dua kaum ini masih kental dibelenggui perseteruan.

Walau bagaimanapun, hak bangsa Bosniak tidak pernah disungutkan, apatah lagi diusul dan dipertimbang. Malah, setelah tirai besi Eropah runtuh dan Yugoslavia bubar pada dekad lapan puluhan, kawasan di mana bangsa Bosniak adalah penduduk majoriti dimasukkan pula sebagai sebahagian sempadan geografi yang mesti dikuasai bangsa Serb dalam usaha membentuk wilayah Serbia Raya. Mereka tidak seperti bangsa Croat yang andai diimbas sekali lebih tawar cita-cita meluaskan pengaruh dan kuasa, Yasmin. Sebaliknya, sebagaimana gerakan Zionis menghalau penduduk Palestin dalam usaha menubuhkan negara haram Israel, begitu jugalah taktik pemimpin tertinggi Serb, Radovan Karadzic melunaskan misi besar bangsanya pada pertengahan dasawarsa sembilan puluhan."

"Tetapi Karadzic tidak berhenti setakat melancarkan migrasi paksa, dia mengeluarkan arahan agar bangsa Bosniak dihapuskan terus atau dimalukan sepenuhnya. Maka terjadilah tragedi pembunuhan beramai-ramai yang melibatkan lelaki-lelaki Bosniak, sementara para gadis dan wanita pula diperkosa tanpa belas." Yasmin menyambung tanpa dipinta.

"Bukankah lebih mudah begitu? Penindasan menjelmakan pembelaan, yang pastinya diterjemah oleh para penindas sebagai penentangan. Meski dalam jangka masa panjang ia mungkin saja tidak menggugah, tetapi tidakkah serangan-serangan kecil dan bersifat subversif pula adalah gigitan semut yang biarpun tidak memudaratkan, tetapi tetap menyakitkan?"

Yasmin mengecam sayu dan sendu berbaur di hujung. Mehmet dibenarkan menelan hiba bertandang tanpa gopoh diinterogasi lanjut, namun lelaki itu tidak berminat berlama-lamaan melayan melankolia.

"Jika disandarkan logik akal, aku sepatutnya telah menyertai jasad bapa dan dua saudara tuaku bersemadi tanpa nisan, tanpa penghormatan sementelah semua ahli lelaki keluarga Izetbegovic digolongkan dalam kumpulan sasaran utama rancangan pembunuhan beramai-ramai Karadzic dan Mladic. Tetapi rencana Tuhan siapa tahu? Andai ditakdirkan ajalku tiga belas tahun lalu, siapa pula yang akan menjaga ibu, menjaga Amra?"

Yasmin terdiam, kelopak mata dilurutkan ke bawah. Hujung sepatu runcing bertutup penuh ditenung dalam. Persoalan 'berbaloikah diungkit episod-episod duka sebagai sumber pencerahan masyarakat' menyesak benak. Jiwa kewartawanan mengatakan 'mengapa tidak?' sedang atma seorang manusia bertubi-tubi dihenyak simpati dan empati.

"Kau datang ya, hujung minggu nanti?" Pintaan kepastian mengembalikan ingatan terhadap pelawaan pada awal pertemuan. Yasmin mengangkat muka.

"Keraian bersempena apa? Pertunanganmu?" Dia cuba mengusik, hujung dagu Amra dicubit geram. Sungguhpun telah menginjak peringkat umur di mana kebanyakan rakan-rakan sebaya sejantina mula diambil alih struktur badan seorang femina, Amra masih mengekalkan susuk montel comel dari zaman kanak-kanak. Yasmin tidak memandang kekurangan itu sebagai kecacatan, tetapi ia adalah keistimewaan. Paling tidak, Amra akan terus meninggi. Biarpun pakar perubatan meramalkan ketinggian anak-anak Sindrom Down mustahil melebihi paras lima kaki, sekurang-kurangnya indeks jisim badan Amra akan tersesar juga.

"Siapalah yang mahukan aku, Yasmin?" Mehmet mengelak dan menduga serentak. Yasmin menjegil, menjuih bibir bawah. Tawa Mehmet meletus lagi.

"Keraian barangkali bukanlah gambaran tepat. Selain menyambut ulang tahun kelahiran Amra, majlis itu juga adalah peringatan pemergian Alma."

"Alma?" Yasmin merapatkan kedua belah kening. Dahinya dimonopoli kerutan-kerutan hodoh yang andai dijadikan tabiat tidak mustahil bakal mempercepat proses penuaan.

"Oh, aku tak pernah beritahu?" Mehmet menyoal balas sebelum gesit meneruskan.

"Alma adik perempuanku, atau setepatnya, satu-satunya adikku. Alma juga ibu Amra. Sepanjang menghamili Amra, segala makanan dan kepantangan wanita mengandung ditelan, dilakukan dengan harapan benih tinggalan salah seorang askar Serbia yang merenggut kenaifannya, luruh sebelum bercambah mekar. Tetapi Tuhan sekali lagi punya perancangan lain untuk saki-baki keluarga kecil kami. Sungguhpun Amra selamat menjengah dunia, Alma pula menghembus nafas akhir sebelum sempat tangisan pertama zuriat tanpa kerelaan itu bergema."

Penerangan disudahkan senafas cuma, semacam si pengucapnya bertarung hebat mengusir kegalauan rasa. Amra kembali ralit mengeteh lebihan coklat didukung Mehmet, dipujuk pulang. Yasmin masih kegamaman tatkala Amra menyua ciuman permisi. Liur gadis awal remaja itu berjejer, membasahi kolar blazer kasual tersarung dan tumpah sedikit ke bahagian dada tetapi Yasmin tidak bersegera mengeringkan. Sebaliknya, mata tertancap kemas pada kelibat dua beranak beransur-ansur menjauh.

Ya Tuhan, puing derita Bosnia dan Herzegovina masih bersisa rupa-rupanya!

Biodata Penulis:

REBECCA Ilham nama pena bagi Hazwani Rameli yang dilahirkan pada 17 Februari 1985 adalah pelajar Fakulti Kejuruteraan Petroleum, Colorado School of Mines, Amerika Syarikat. Setiausaha Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) dan moderator GKLN Cawangan Amerika Syarikat, pernah memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Menulis Esei Berunsur Sejarah Peringkat Negeri Pulau Pinang 2000. Puisi dan cerpennya pernah mendapat tempat dalam Dewan Siswa, Berita Minggu dan Mingguan Malaysia. Penulis boleh dihubungi di beckyilham@yahoo.com dan laman http://www.gkln.blogspot.com Cerpen - Puing Derita Bosnia-Herzegovina

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.