Memaparkan catatan dengan label Robert Kuok. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Robert Kuok. Papar semua catatan

Khamis, Jun 01, 2023

Robert Kuok kekal individu paling kaya di Malaysia


Tan Sri Robert Kuok mengekalkan kedudukannya sebagai individu paling kaya di Malaysia dengan kekayaan bernilai AS$11.8 bilion (RM54.4 bilion), demikian mengikut senarai terkini 50 Hartawan Malaysia Forbes 2023.

Kedudukan Kuok sebagai individu terkaya Malaysia ini bukan baharu kerana beliau telah memegang tempat teratas selama lebih daripada suku abad.

Individu kedua terkaya di Malaysia ialah Tan Sri Quek Leng Chan dari Kumpulan Hong Leong dengan nilai kekayaan AS$10.2 bilion (RM47 bilion).

Di tempat ketiga adalah tokoh logam Tan Sri Koon Poh Keong dan adik-beradiknya dengan gabungan kekayaan sebanyak AS$5.8 bilion susut hampir tujuh peratus daripada AS$6.2 bilion tahun lepas.

Ia sejajar dengan kejatuhan saham syarikat mereka, Press Metal Aluminium Holdings, pengeluar aluminium bersepadu terbesar di Asia Tenggara, di tengah-tengah kos bahan mentah dan pengangkutan yang lebih tinggi .

Mengambil tempat keempat ialah Ananda Krishnan dari Maxis, yang nilai bersihnya meningkat daripada AS$400 juta kepada AS$5.4 bilion.

Kedudukan kelima pula masih dikuasai oleh adik beradik Teh, yang juga pewaris kepada mendiang Tan Sri Teh Hong Piow dari Kumpulan Public Bank.

Walaupun ekonomi global berdepan dengan penurunan dalam pasaran saham, gabungan kekayaan taikun dalam senarai 50 terkaya di Malaysia itu meningkat kepada AS$81.6 bilion daripada AS$80.5 bilion tahun lalu.

Sementara itu, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pula menduduki kedudukan ke-11 individu terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan sebanyak AS$1.6 bilion.

Turut tersenarai adalah Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim dari Kumpulan The Weststar dengan nilai kekayaan AS$825 juta dan menduduki tangga ke-24.

Tokoh perbankan terkemuka negara, Tan Sri Azman Hashim pula disenaraikan sebagai individu ke-34 terkaya di Malaysia (AS$575 juta).

Antara taikun lain yang melonjak kekayaannya pada 2023 adalah gandingan bapa dan anak, Yaw Teck Seng dan Yaw Chee Ming dari Kumpulan Samling, pengeluar utama kayu.

Mereka melonjak ke kedudukan 16 daripada 32 pada tahun lalu apabila kekayaan mereka meningkat lebih daripada dua kali ganda kepada AS$1.25 bilion.

Sementara itu, bekas guru matematik, Chia Song Kun pula berada di kedudukan ke-10 individu terkaya Malaysia dengan nilai bersih AS$1.8 bilion.

Song Kun yang juga pengerusi eksekutif QL Resources, kembali ke kedudukan teratas itu selepas beberapa tahun.

10 individu terkaya di Malaysia 2023

1) Tan Sri Robert Kuok; AS$11.8 bilion

2) Tan Sri Quek Leng Chan; AS$10.2 bilion

3) Tan Sri Koon Poh Keong & adik beradik; AS$5.8 bilion

4) Tan Sri Ananda Krishnan; AS$5.4 bilion

5) Adik beradik Teh (Pewaris mendiang Tan Sri Teh Hong Piow; AS$5.2 bilion

6) Lee Yeow Chor & Yeow Seng; AS$4.6 bilion

7) Dr Chen Lip Keong; AS$2.8 bilion

8) Tan Sri Lim Kok Thay; AS$2.3 bilion

9) Tan Yu Yeh & Yu Wei; AS$1.9 bilion

10) Chia Song Kun; AS$1.8 bilion

Sumber : Berita Harian

Jumaat, Februari 27, 2015

Individu Terkaya Malaysia 2014 - Forbes


Individu Terkaya Malaysia 2014 - Forbes

Tan Sri Robert Kuok dan beberapa hartawan perniagaan tempatan mengekalkan kedudukan masing-masing dalam Senarai Individu  Terkaya Malaysia anjuran Forbes, biarpun kekayaan mereka terbukti terjejas akibat penurunan harga minyak dan ringgit.

Kuok, 91, yang menjalankan perniagaan termasuk minyak sawit, gula, hartanah dan perhotelan, terus mengungguli kedudukan teratas bagi tahun ke-10 berturut-turut. Kekayaannya, bagaimanapun, susut US$200 juta kepada US$11.3 bilion. Menurut Forbes, Kuok Group menguasai beberapa syarikat yang tersenarai di  Hong Kong, Malaysia serta Singapura.

Kedudukan seterusnya disandang Ananda Krishnan dengan kekayaan bernilai  US$9.7 bilion, Tan Sri Quek Leng Chan (US$5.6 bilion), Tan Sri Lim Kok Thay  (US$5.5 bilion), Tan Sri Teh Hong Piow (US$5.4 bilion), Tan Sri Lee Shin Cheng (US$4.6 bilion), Tan Sri Yeoh Tiong Lay (US$3 bilion), Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary (US$2.9 bilion), Goh Peng Ooi (US$1.55 bilion) dan Tan Sri Lee Oi Hian serta Datuk Lee Hau Hian US$1.45 bilion.

Nilai kekayaan Ananda - taikun telekomunikasi, turut susut sebanyak  US$1.6 bilion kepada US$9.7 bilion, sebahagiannya akibat kejatuhan saham Bumi Armada yang juga syarikat perkhidmatan telaga minyak luar pesisir. Aset telekomunikasi mewakili separuh kekayaannya menerusi pemilikannya dalam Maxis, kata Forbes.

Tan Sri Quek Leng Chan berganjak ke tempat ketiga daripada keempat sebelum ini, biarpun kekayaannya susut sebanyak US$800 juta bagi tempoh setahun lepas kepada US$5.6 bilion.

Beliau yang memiliki Hong Leong Co, mempunyai kepentingan dalam pelbagai sektor daripada makanan kepada kewangan selain pelaburan dalam sektor minyak dan gas (O and G) serta pegangan dalam firma Indonesia Samudra Energy, syarikat Malaysia Scomi Energy Services, Alam Maritim Resources dan firma Singapura, Ezion yang menjadi pembekal sokongan untuk perkapalan dan telaga minyak.

Senarai terkini Forbes itu turut dibarisi empat muka baharu iaitu taikun hartanah Khoo Cheng Hai di tempat ke-45 dengan nilai kekayaannya US$285 juta selepas sahamnya dalam KSL Holdings berlipat ganda; pakar pembungkusan Lim Teck Meng daripada Scientex (tempat ke-46 dengan kekayaan US$280 juta); hartawan fabrikasi minyak-perkapalan Coastal Contracts Ng Chin Heng (tempat ke-47, US$275 juta) hartawan hartanah dan pengasas bersama United Overseas Australia, Kong Chong Soon (tempat ke-50, US$240 juta).

Taikun kasino Tan Sri Lim Kok Thay daripada Genting Group menduduki tempat keempat dengan kekayaan bernilai US$5.5 bilion, merosot daripada US$6.5 bilion tahun lepas berikutan penyederhanaan ekonomi China yang menjejaskan sektor perjudian dan hiburan rantau ini.

Bagaimanapun, kekayaan yang dimiliki beberapa hartawan yang tersenarai, terjejas teruk terutama mereka yang memiliki pelaburan atau berkaitan sektor minyak.

Tan Sri Mokhzani Mahathir yang juga pelabur dalam firma perkhidmatan minyak dan gas iaitu SapuraKencana Petroleum, turut menyaksikan kekayaannya susut kepada US$700 juta berbanding US$1.2 bilion, tahun lepas. Namun, tidak semua hartawan Malaysia berdepan cabaran sedemikian.

Tan Sri Lau Cho Kun yang juga taikun kelahiran Sabah, mencecah status hartawan bertaraf 'bilionaire' dan muncul individu ke-15 terkaya di Malaysia menerusi hasil perladangan dan perdagangan dengan nilai kekayaannya US$1.08 bilion.

Beliau adalah pemegang saham terbesar dalam Hap Seng Consolidated Bhd.
Kekayaan taikun perisian, Goh Peng Ooi meningkat kira-kira US$450 juta kepada US$1.55 bilion dan tersenarai ahli perniagaan kesembilan terkaya di Malaysia.Firma miliknya, Silverlake Axis kini membekalkan perisian kewangan kepada 40 peratus bank di serata Asia Tenggara.

Antara syarat untuk tersenarai tahun ini adalah pemilikan kekayaan minimum  US$240 juta iaitu meningkat daripada US$220 juta.

Senarai penuh boleh diperolehi di www.forbes.com/malaysia dan edisi terbaharu Forbes Asia.

 


Recent Posts