Robert Kuok kekal individu paling kaya di Malaysia


Tan Sri Robert Kuok mengekalkan kedudukannya sebagai individu paling kaya di Malaysia dengan kekayaan bernilai AS$11.8 bilion (RM54.4 bilion), demikian mengikut senarai terkini 50 Hartawan Malaysia Forbes 2023.

Kedudukan Kuok sebagai individu terkaya Malaysia ini bukan baharu kerana beliau telah memegang tempat teratas selama lebih daripada suku abad.

Individu kedua terkaya di Malaysia ialah Tan Sri Quek Leng Chan dari Kumpulan Hong Leong dengan nilai kekayaan AS$10.2 bilion (RM47 bilion).

Di tempat ketiga adalah tokoh logam Tan Sri Koon Poh Keong dan adik-beradiknya dengan gabungan kekayaan sebanyak AS$5.8 bilion susut hampir tujuh peratus daripada AS$6.2 bilion tahun lepas.

Ia sejajar dengan kejatuhan saham syarikat mereka, Press Metal Aluminium Holdings, pengeluar aluminium bersepadu terbesar di Asia Tenggara, di tengah-tengah kos bahan mentah dan pengangkutan yang lebih tinggi .

Mengambil tempat keempat ialah Ananda Krishnan dari Maxis, yang nilai bersihnya meningkat daripada AS$400 juta kepada AS$5.4 bilion.

Kedudukan kelima pula masih dikuasai oleh adik beradik Teh, yang juga pewaris kepada mendiang Tan Sri Teh Hong Piow dari Kumpulan Public Bank.

Walaupun ekonomi global berdepan dengan penurunan dalam pasaran saham, gabungan kekayaan taikun dalam senarai 50 terkaya di Malaysia itu meningkat kepada AS$81.6 bilion daripada AS$80.5 bilion tahun lalu.

Sementara itu, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pula menduduki kedudukan ke-11 individu terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan sebanyak AS$1.6 bilion.

Turut tersenarai adalah Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim dari Kumpulan The Weststar dengan nilai kekayaan AS$825 juta dan menduduki tangga ke-24.

Tokoh perbankan terkemuka negara, Tan Sri Azman Hashim pula disenaraikan sebagai individu ke-34 terkaya di Malaysia (AS$575 juta).

Antara taikun lain yang melonjak kekayaannya pada 2023 adalah gandingan bapa dan anak, Yaw Teck Seng dan Yaw Chee Ming dari Kumpulan Samling, pengeluar utama kayu.

Mereka melonjak ke kedudukan 16 daripada 32 pada tahun lalu apabila kekayaan mereka meningkat lebih daripada dua kali ganda kepada AS$1.25 bilion.

Sementara itu, bekas guru matematik, Chia Song Kun pula berada di kedudukan ke-10 individu terkaya Malaysia dengan nilai bersih AS$1.8 bilion.

Song Kun yang juga pengerusi eksekutif QL Resources, kembali ke kedudukan teratas itu selepas beberapa tahun.

10 individu terkaya di Malaysia 2023

1) Tan Sri Robert Kuok; AS$11.8 bilion

2) Tan Sri Quek Leng Chan; AS$10.2 bilion

3) Tan Sri Koon Poh Keong & adik beradik; AS$5.8 bilion

4) Tan Sri Ananda Krishnan; AS$5.4 bilion

5) Adik beradik Teh (Pewaris mendiang Tan Sri Teh Hong Piow; AS$5.2 bilion

6) Lee Yeow Chor & Yeow Seng; AS$4.6 bilion

7) Dr Chen Lip Keong; AS$2.8 bilion

8) Tan Sri Lim Kok Thay; AS$2.3 bilion

9) Tan Yu Yeh & Yu Wei; AS$1.9 bilion

10) Chia Song Kun; AS$1.8 bilion

Sumber : Berita Harian

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.