Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan

Jumaat, September 11, 2020

4.5 juta rakyat 18 tahun belum daftar mengundi palsu


Orang ramai diminta tidak mempercayai mesej tular berhubung kononnya seramai 4.5 juta rakyat berusia 18 tahun yang layak mengundi masih belum berdaftar sebagai pemilih.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan berkata, mesej palsu yang memetik kenyataan Pengerusi suruhanjaya itu adalah tidak berasas kerana golongan usia berkenaan masih belum dibenarkan berbuat demikian.

Menurutnya, pihaknya turut mendapati usaha giat oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengelirukan orang ramai berhubung perkara itu.

Pada masa ini, katanya, SPR dalam persiapan untuk melaksanakan pendaftaran pengundi 18 tahun itu dan pendaftaran pemilih secara automatik berdasarkan kepada pindaan Perkara 119 (4) Perlembagaan Persekutuan yang telah diluluskan Parlimen.

“Persiapan tersebut termasuklah penyediaan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang- undang lain yang berkaitan penyediaan prosedur operasi standard (SOP).

“Selain itu penyediaan berkaitan sistem dan infrastruktur bagi pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangkakan pelaksanaannya selewat-lewatnya pada Julai 2021,” katanya di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai tidak terpengaruh serta tidak menyebarkan mesej-mesej palsu tersebut termasuk perkongsian dalam media sosial kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

Malah, katanya, tindakan menyebarkan maklumat tidak benar dan berunsurkan perkauman boleh mengganggu gugat ketenteraman awam dan tindakan perundangan boleh diambil ke atas mereka yang terlibat.

Isnin, Julai 29, 2013

Automatik keluar Pas jika anut fahaman Syiah

Setelah beberapa kali menafikan laporan kononnya terdapat pemimpin kanan parti itu terbabit dengan ajaran Syiah, Pas hari ini menerusi suatu kenyataan media melabelkan ia sebagai tuduhan jahat.

Ketua Penerangannya, Datuk Tun Ibrahim Tuan Man berkata, isu Syiah ini bukan isu politik namun ia melibatkan soal aqidah, justeru memberi amaran mereka yang mahu bermain politik menggunakannya.

"Ahli Pas mesti berpegang kepada ahli Sunnah Wal Jamaah. Jika ada yang menganut amalan Syiah, maka ia secara automatik terkeluar dari menjadi ahli Pas," katanya menerusi satu kenyataan media.

"Tiada pimpinan utama Pas terlibat dengan ajaran Syiah. Oleh itu, Pas mengecam tindakan media arus perdana yang cuba memberikan bayangan sebaliknya," tambahnya lagi.

Pas katanya kesal dengan tuduhan yang dilemparkan dan menganggap ia perbuatan yang berniat jahat.

"Tindakan tersebut lebih bersifat politik, dengan menghalakan tuduhan tanpa bukti kukuh hanya bersandar kepada andaian semata mata," tegasnya.

Menurut Tuan Ibrahim, pihaknya sendiri mempunyai sistem pemantauan dalaman yang bergerak aktif bagi memastikan seluruh ahlinya tidak terbabit dalam aktiviti seumpama itu.

"... dan kita mengalu-alukan sebarang bukti yang melibatkan ahli parti dapat dikemukakan kepada Jawatankuasa Disiplin Parti.

"Kerajaan jangan hanya nampak Syiah sebagai ancaman negara, sedangkan ajaran Qadyani yang telah diwartakan sebagai ajaran sesat dan bercanggah dengan aqidah terus berjalan tanpa sebarang tindakan," ujar beliau lagi.

Pas katanya sama sekali tidak akan termakan dakyah lawan yang cuba memanipulasi isu Syiah ini apatah lagi menjelang pemilihan parti itu November ini.

- SINAR HARIAN

Isnin, Julai 22, 2013

Carian 'Kuala Besut' di Google melonjak


Pilihan Raya Kecil kawasan Dun Kuala Besut telah menyebabkan graf pencarian dengan kata kunci 'Kuala Besut' menggunakan enjin carian Google.com meningkat mendadak.
   
Mengikut rekod enjin carian tersebut, kata kunci "Kuala Besut" mempunyai lebih 9.5 juta pautan dan keputusan.  
   
Ia merangkumi pencarian rumah sewa, hotel, lokasi kedai makan, jumlah pengundi dan pecahannya, maklumat calon parti yang bertanding dan berita semasa mengenai PRK kawasan itu.
   
Menurut rekod itu lagi, graf tersebut mencatat bacaan tertinggi pada 26 Jun lepas iaitu pada hari penyandang kerusi Dun berkenaan, Dr A. Rahman Mokhtar dari BN, meninggal dunia akibat kanser paru-paru.
   
Grafnya menurun semula selepas itu dan kembali meningkat pada 12 Julai lepas, hari Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon dan hari pengundian.
   
Carian kata kunci imej 'Tengku Zaihan' atau nama penuh calon BN itu, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pula mencatatkan beribu gambar yang berkisar mengenai penamaan calon, lawatan rumah ke rumah serta kempen yang diadakan.
 
Turut menjadi tumpuan klik pengguna adalah laman sosial Facebook Tengku Zaihan di https://www.facebook.com/tzaihan serta laman Facebook kelab penyokong BN di https://www.facebook.com/pages/Abe-Ku-Tengku-Zaihan-bin-Ustaz-Haji-Che-Ku-Abd-Rahman
   
Alamat Facebook calon Pas, Endot@Azlan Yusof pula tidak ditemui.

- BERNAMA

 

Selasa, Julai 09, 2013

Tengku Zaihan Calon BN Kuala Besut



BESUT : Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calon muka baru, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada pilihan raya kecil kawasan itu 24 Julai ini.

Tengku Zaihan merupakan bekas Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut, yang kini jurutera JPS di Putrajaya.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Besut sebentar tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Julai ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi adalah 24 Julai.

PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr A. Rahman Mokhtar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu, akibat masalah paru-paru pada 26 Jun lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lepas, Allahyarham mempertahankan kerusi DUN Kuala Besut yang dimenanginya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 mengatasi calon PAS, Napisah Ismail.

- mSTAR



Rabu, Jun 26, 2013

ADUN Kuala Besut Meninggal Dunia Akibat Kanser Paru-Paru



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Dr A.Rahman Mokhtar meninggal dunia, kira-kira pukul 10 pagi, Rabu.

Beliau meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah akibat kanser paru-paru.

Jenazah akan dikebumikan di Masjid Teluk Bayu, Kuala Besut, Terengganu.

Dr A. Rahman, 55, baru-baru ini dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan, Wanita dan Masyarakat.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham mengalahkan calon PAS, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Allahyarham mendapat 8,809 manakala Napisah mendapat 6,375 undi.

Kuala Besut mempunyai jumlah pengundi berdaftar seramai 17,713 orang dengan peratusan 97.9 peratus adalah Melayu, 1.6 peratus Cina dan 0.1 peratus India.

Dr A. Rahman dilahirkan 22 Mac 1958 di Kampung Pulau Perhentian, Besut dan merupakan pemegang ijazah kedoktoran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau kemudian menyambung pelajaran ke Kolej Kesihatan Umum Universiti of Philippines di Manila dan dilantik menjadi exco kerajaan negeri sejak 2008.

Beliau meninggalkan balu, Azizah N. Omar dan empat orang anak iaitu Mohd. Zaihan, Mohd. Razhan, Mohd. Zaffuan dan Nurul Najihah.

Kematian Adun Kuala Besut itu bakal menyaksikan pilihan raya kecil yang pertama selepas PRU13.

- mSTAR
 

Anwar Ibrahim Dilantik Semula Ketua Pembangkang Parlimen Ke-13


Dewan Rakyat pada Rabu melantik semula Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen bagi penggal ke-13.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata pelantikan Anwar dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 4A(3).

"Mengikut maklum balas yang saya terima, saya berpuas hati bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebulat suara mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang di Parlimen untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Anwar pertama kali dilantik sebagai Ketua Pembangkang pada penggal Parlimen ke-12 selepas menang dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh pada 2008.

Sebelum ini Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) menyatakan bahawa pembangkang bersetuju mengekalkan Anwar mengetuai pakatan pembangkang di Parlimen.

Persoalan mengenai jawatan Ketua Pembangkang muncul ekoran komposisi kerusi yang dimenangi pembangkang menunjukkan DAP di depan dengan 38 kerusi, PKR (30) dan Pas (21) kerusi.

- mSTAR

 

Rabu, Jun 05, 2013

Hampir 100 Petisyen Pilihan Raya Umum Ke-13 Difailkan

Malaysia akan dapat melihat rekod petisyen pilihan raya yang menghampiri jumlah 100 yang difailkan sebelum tarikh akhir pada 12 Jun 2013 ini.

Dalam usaha terakhir ini, kedua-dua parti, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat berharap untuk mengubah keputusan pilihan raya umum ke-13 melalui petisyen.

Pakatan Rakyat ketinggalan 23 kerusi untuk membentuk kerajaan manakala Barisan Nasional (BN) kekurangan 15 kerusi untuk mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.

BN memperoleh 133 daripada 222 kerusi Parlimen manakala DAP menang 38 kerusi, PKR 30 dan PAS 21.

PKR paling banyak mengemukakan petisyen pilihan raya dalam Pakatan Rakyat dengan hampir 20 kes manakala DAP optimis memfailkan lima kes.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, parti itu akan memfailkan "empat atau lima" petisyen pilihan raya untuk kerusi negeri di Terengganu, di mana Pakatan Rakyat hanya kekurangan dua kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Parti itu dijangka memfailkan hampir 15 kes di seluruh negara.

"Kita tahu bahawa rekod dalam petisyen pilihan raya tidak begitu baik. Malah, kita tidak pernah memenangi apa-apa setakat ini, tetapi kita lihat pada kali ini," kata Mustafa, Selasa.

Sebanyak 29 petisyen pilihan raya difailkan selepas pilihan raya umum 2008 tetapi hanya satu yang berjaya.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata parti itu akan memfailkan petisyen pilihan raya di lebih daripada 50 kerusi parlimen dan negeri sebelum tarikh akhir, tetapi dia tidak menyatakan kerusi berkenaan.

Beliau berkata Umno juga telah mengkaji sama ada untuk memfailkan petisyen di 37 kerusi yang lain.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata petisyen pilihan raya parti itu adalah di semua di kerusi di mana mereka kalah tipis, seperti Bentong (379 undi), Cameron Highlands (462 undi), Labis (353 undi) dan kerusi DUN Paloh di Johor (103 undi).

Beliau mengakui ia akan menjadi satu perjuangan yang sengit untuk memenangi pilihan raya kecil jika keputusan pilihan raya telah dibatalkan.

"Menyediakan bukti dan dokumentasi tidak mudah, tetapi pilihan raya umum ini adalah berbeza. Permintaan daripada pengundi dan tekanan awam begitu besar dan menjadi tanggungjawab kita untuk menggunakan setiap saluran yang boleh," kata Loke.

Dilaporkan bahawa Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria telah memberi jaminan bahawa petisyen boleh diselesaikan dalam tempoh setahun jika segala-galanya berjalan dengan lancar.

- mSTAR

Khamis, Mei 23, 2013

SPR Warta Keputusan PRU-13 pada 22 Mei 2013

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah diwartakan pada Rabu.

Sehubungan itu, SPR menggesa mana-mana pihak yang mempunyai sebarang rungutan supaya tampil bagi mencabar keputusan tersebut.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, parti yang tidak berpuas hati boleh menfailkan petisyen di mahkamah tinggi.

"Mereka mempunyai tempoh selama 21 hari untuk berbuat demikian, bermula 23 Mei 2013," katanya pada kenyataan media, petang Rabu 22 Mei 2013.

Dakwaan mengenai wujudnya penipuan dalam pilihan raya termasuk pengundi hantu dan masalah dengan daftar pemilih dan aduan mengenai dakwat kekal pada hari mengundi, 5 Mei lalu.

Terdahulu, parti pembangkang berkata mereka akan mencabar keputusan di 29 kerusi Parlimen yang didakwa akan menjejaskan kewajaran Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan.

BN mengekalkan kuasa untuk mentadbir negara selepas memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen.

- mSTAR

Recent Posts