Memaparkan catatan dengan label Polis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Polis. Papar semua catatan

Selasa, November 02, 2021

Sindiket tipu tawaran kerja

 

Pasukan khas yang ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa kepada penahanan 168 individu yang disyaki terbabit sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian menerusi 19 operasi dari awal tahun ini hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata mereka membabitkan 38 wanita dan 118 lelaki tempatan, selain 11 warga China termasuk empat wanita dan seorang wanita Thailand ditahan di ibu negara, Johor, Pahang, Sabah dan Negeri Sembilan.

Pada masa sama, katanya, polis menerima 255 laporan membabitkan kerugian berjumlah RM4.6 juta dari awal 2021 hingga Ogos lalu berkaitan kes sama.

"Sindiket itu menyasarkan mangsa dari negara jiran dengan gaji lumayan antara RM200 hingga RM300 sehari.

"Siasatan awal mendapati mereka menggunakan aplikasi WhatsApp dan laman sosial seperti Instagram dan Facebook bagi menawarkan kerja dengan mendakwa menjadi ejen syarikat membeli barangan di platform e-dagang.

"Mangsa diberi beberapa tugasan yang perlu diselesaikan dalam tempoh diberi dengan menghantar gambar produk dipilih kepada suspek sebelum diarah membuat pembayaran ke akaun diberikan.

"Bagi meyakinkan mangsa ia adalah pekerjaan sah, sindiket akan membayar semula harga barangan dibeli dengan tambahan komisen antara lima hingga lapan peratus," katanya pada sidang media di ibu pejabat JSJK Bukit Aman di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, proses pembelian dan bayaran semula itu akan berulang, daripada produk murah sehingga barangan mahal.

Katanya, tugasan perlu diselesaikan mengikut masa diberi dan penalti dikenakan jika mangsa gagal manakala bayaran mereka tidak dipulangkan.

"Apabila mangsa enggan meneruskan tugasan dan menuntut wang kembali, suspek memberi alasan lain seperti dalam proses pemindahan dan memerlukan mereka membuat bayaran sebelum mereka menyedari ditipu," katanya.

Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 selain tindakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mohd Kamarudin menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan tawaran kerja secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan.

"Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran yang nampak menarik tanpa memerlukan usaha keras kerana itu bukan caranya," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Khamis, Januari 16, 2020

PDRM beri diskaun saman 50 peratus jika bayar online



Pembayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara dalam talian akan dilaksanakan dengan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus bermula dari 18 Januari hingga 1 Februari 2020 ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

Beliau berkata tahun ini pihaknya akan lebih menekankan e-pembayaran bagi mana-mana pihak untuk melunaskan saman-saman tertunggak terutama sempena musim perayaan ini.

"Tapi kali ini saya cuba beri diskaun istimewa iaitu sebanyak 50 peratus. Ini tidak pernah kami buat maka saya fikirkan ‘bayaran dalam talian’ yang tidak memerlukan anda semua berbaris sehingga berjam lamanya.

"Anda semua boleh membuat pembayaran secara dalam talian dengan MyEg dan Rilek.com," katanya pada sidang media khas sempena pencapaian 2019 dan perancangan 2020 PDRM di Bukit Aman di Kuala Lumpur, Isnin.

Selain itu, Azisman berkata sejumlah 5,763 kes kemalangan maut telah dilaporkan pada tahun 2019 berbanding 5,870 kes pada 2018.

"Ini merupakan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) JSPT yang kami berjaya turunkan sebanyak 107 jumlah kemalangan maut, atau 1.8 peratus. Walaupun jumlah kecil tapi ini KPI kita, dan kami berharap jumlah ini semakin berkurang setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata seramai 1,503 pegawai dan anggota PDRM dikenakan tindakan oleh JIPS atas pelbagai kesalahan tatatertib pada tahun lepas.

"Daripada jumlah itu, seramai 110 yang dikenakan tindakan tatatertib membabitkan pegawai kanan manakala 1,393 lagi adalah anggota biasa.

"Selain itu, sebanyak 2,232 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan tatatertib dengan 898 daripadanya sudah diselesaikan," katanya.

Zamri berkata sepanjang tahun lepas, pihaknya menerima sebanyak 3,773 aduan membabitkan aduan salah laku tatatertib dan kesalahan jenayah seperti peras ugut, penyalahgunaan dadah serta pelacuran melalui 16 saluran termasuk emel dan panggilan telefon.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata PDRM berjaya menjimatkan sebanyak RM1.5 juta hasil penutupan sebahagian balai polis komuniti di seluruh negara.

Beliau berkata penutupan sebahagian balai polis komuniti adalah atas faktor kos sewaan yang tinggi dan keselamatan anggota.

Sumber : Bernama

Selasa, Oktober 11, 2016

Pegawai Kanan Polis Turun Berat Badan 38kg



Pada tahun lalu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mempunyai berat badan kira-kira 135 kilogram (kg).

Tapi berat badannya kini hanya 97kg selepas berjaya melakukan penurunan sebanyak 38kg.

Namun kejayaan menurunkan berat badan itu bukan datang dengan sendiri atau melalui jalan pintas.

Ia dilakukan hasil diet yang seimbang, senaman yang kerap dan memerlukan penjagaan disiplin diri serta keazaman yang kuat.

Mior Faridalathrash yang mempunyai ketinggian 1.78 meter mensasarkan untuk mencapai berat badan 90kg pada hujung tahun ini.

Ia bermula awal tahun ini apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan program Trim N Fit yang bertujuan untuk menangani masalah obesiti.

Beliau mula mengamalkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengentikan makanan yang tidak sihat.

"Ia memerlukan tahap disiplin yang tinggi dan juga pengorbanan. Saya seorang yang gemar makan, dan nasi lemak merupakan hidangan sarapan pagi kegemaran saya.

"Tetapi saya telah kurangkan pengambilan makanan yang berminyak dan tinggi karbohidrat serta minuman manis," katanya.

Kini, lelaki berusia 54 tahun ini hanya menikmati makan tengahari dengan mengambil makanan tinggi kandungan protein, sayur-sayuran dan buah-buahan pada sebelah malam.

"Diet ini membantu saya mengurangkan berat badan dengan berkesan dan saya harap dapat mencapai berat badan yang ideal," katanya ketika bertemu di Taman Botani Pulau Pinang baru-baru ini.

Ayah kepada lapan orang anak ini turut melakukan larian atas treadmill setiap hari dan berbasikal bersama rakan di hujung minggu meliputi jarak 30 kilometer bagi setiap perjalanan.

Beliau turut menyertai aktiviti senam robik setiap minggu di ibu pejabat daerah di Jalan Patani.

"Lebih kurang 150 anggota polis dan pegawai akan menyertai saya setiap masa.

"Kami mempunyai pengajar dan sesi itu amat menyeronokkan," katanya.

Tema pada program tahun ini adalah Get Fit, Live Great bertujuan untuk menggalakkan rakyat Malaysia menjalani gaya hidup yang sihat.

FirForLife Pulau Pinang 2016 dianjurkan Star Media Group dengan kerjasama Great Eastern Life.

Penaja lain termasuk Nestle Omega Plus (tajaan kesihatan) dan Guardian (pembekal produk penjaga kesihatan).

- mSTAR

Rabu, Mei 04, 2016

Jangan Keluarkan Perkataan "Bom" Di Lapangan Terbang - Polis


Polis Sepang mengingatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan perkataan 'bom' walaupun sekadar bergurau ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) kerana ia merupakan kesalahan serius.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, peningkatan ketara kes yang melibatkan perkataan bom di KLIA dan klia2 pada tahun ini adalah membimbangkan.

"Sepanjang tahun lepas, terdapat tujuh kes yang melibatkan individu yang mengeluarkan perkataan bom iaitu empat di KLIA dan tiga di klia2. Pada tahun ini sahaja bagi tempoh 1 Januari hingga Selasa (3 Mei) sudah ada lapan kes melibatkan perkataan bom dengan dua di KLIA dan enam di klia2.

"Ini merupakan peningkatan membimbangkan jadi saya ingin mengingatkan orang awam supaya tidak mengeluarkan perkataan bom ketika berada di kedua-dua lapangan terbang ini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Mengeluarkan perkataan bom walaupun tiada ancaman tetap dianggap satu kesalahan serius, ia tidak boleh diucapkan sesuka hati, tambah Abdul Aziz.

Tambah beliau, individu yang mengeluarkan perkataan bom ketika di KLIA atau klia2 akan ditahan dan dibawa ke IPD Sepang, menyebabkan mereka terlepas peluang menaiki penerbangan ke destinasi yang dihajati.

"Ini akan menyebabkan mereka menanggung rugi apabila tidak dapat menaiki pesawat dan terpaksa membeli tiket yang baharu," katanya dan menambah kes terbaru dilaporkan di klia2 dua hari lalu.

Jelas Abdul Aziz mengikut Kod 92 Aiport Emergency Plan, mengeluarkan perkataan bom adalah dikategorikan sebagai salah satu unsur ancaman dan ia merupakan satu kesalahan serius walaupun dengan niat bergurau atau menunjukkan rasa tidak puas hati.

Katanya, individu yang ditangkap kerana mengeluarkan perkataan bom di lapangan terbang boleh dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksima penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Jelas Abdul Aziz, kesemua 15 individu yang ditahan di KLIA dan klia2 hingga Selasa kerana menggunakan perkataan bom ketika di lapangan terbang atau sebelum pesawat berlepas sudahpun didakwa di Mahkamah Majistret Sepang.

"Daripada 15 individu yang ditahan itu hanya dua warga asing, selebihnya adalah warganegara Malaysia.

"Kebanyakan mereka ditahan polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad ketika berada di bahagian pemeriksaan bagasi, manakala seorang warga asing ditahan di dalam pesawat sebelum penerbangan berlepas," katanya.

- Bernama

Jumaat, Mei 15, 2015

Polis jadi bidan sambut bayi


Seorang anggota polis wanita menjadi 'bidan terjun' untuk menyambut kelahiran seorang bayi perempuan di perkarangan Balai Polis Kampung Tawas di Ipoh, Perak.

Konstabel Hasliza Abdul Jalil, 25, membantu kelahiran bayi berkenaan di dalam kereta kira-kira 1.15 tengah hari.
  
Difahamkan sebelum itu bapa bayi berkenaan yang berusia 38 tahun membawa isterinya yang hendak bersalin dari rumah mereka di Klebang Putra menuju Hospital Raja Permaisuri Bainun.
  
Namun mereka dikatakan tidak sempat untuk sampai ke hospital dan terpaksa singgah di balai polis tersebut untuk meminta bantuan bagi membantu menyambut kelahiran bayi mereka.
  
Ibu dan bayi perempuan itu kemudiannya dibawa ke hospital dengan ambulans untuk rawatan lanjut dan kedua-dua mereka dilaporkan selamat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong mengesahkan kejadian itu dan mengucapkan tahniah kepada anggota polis berkenaan yang bersedia membantu orang awam pada bila-bila masa. Berita dan gambar insiden itu turut dimuat naik dalam akaun Facebook Polis Perak.