Memaparkan catatan dengan label PKR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PKR. Papar semua catatan

Rabu, Januari 20, 2010

PKR Kuala Selangor 'Lumpuh' Kerana Ramai AJK Letak Jawatan

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat cabang Kuala Selangor yang diketuai Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dianggap "lumpuh" setelah 11 anggota jawatankuasanya yang dipilih serta ketua pemuda dan wanitanya meletak jawatan kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau.

Malah menurut timbalan ketua cabang itu, Arshad Abu Bakar, cabang itu telah bubar kerana kini hanya tinggal tiga pemimpinnya yang dipilih terdiri beliau sendiri, Khalid serta seorang AJK, Faridah Abdul Rahman.

Bercakap kepada pemberita hari ini, beliau berkata 11 AJK cabang serta Ketua Angkatan Muda, Nazarudin Darmawan, dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman, meletak jawatan antara November tahun lepas dan 18 Jan tahun ini.

Katanya mereka yang meletak jawatan itu bagaimanapun masih kekal sebagai anggota PKR tetapi mereka telah hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid untuk menerajui cabang Kuala Selangor.

Mereka mendakwa Abdul Khalid telah meletakkan PKR Kuala Selangor dalam keadaan "penuh kecelaruan" tanpa asas tadbir urus yang kukuh.

Arshad berkata sejak 14 bulan lepas, AJK cabang itu gagal mengadakan mesyuarat mengakibatkan tiada sebarang gerak kerja dan aktiviti parti dapat dijalankan.

Beliau berkata Abdul Khalid tidak mengambil inisiatif memperkukuhkan parti meskipun ada ahli bukan Melayu di Ijok dan Batang Berjuntai telah keluar parti.

Ketika diminta mengulas kenyataan Arshad itu, Khalid menafikan cabang PKR Kuala Selangor itu telah dibubarkan.

Bercakap kepada pemberita di sini selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, beliau berkata tidak ada mesyuarat diadakan untuk membubarkan cabang itu. "Pemilihan akan berlaku tahun ini untuk AJK baru pada Mac. Itulah sebabnya sesetengah nak berhenti," katanya.

Khalid berkata krisis seperti itu adalah satu perkara biasa kepada beliau.

"Mereka yang tidak sealiran dan tidak sehaluan lebih baik keluar daripada menyukarkan parti untuk diurus," katanya.

Khalid berkata bahawa pada awal 2007 PKR Kuala Selangor mempunyai tidak sampai 100 orang ahli tetapi sekarang bilangannya adalah 3,000 orang.

"Alasan hilang kepercayaan itu perkara biasa...ataupun ayat itu ditulis oleh Umno untuk dia (Arshad) cakap," katanya.

- BERNAMA

Isnin, Januari 18, 2010

PKR: Tidak mustahil Pakatan kuasai Pahang di PRU-13

KUANTAN, Jan 17 – Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Pahang Datuk Fauzi Abd Rahman berkata Pakatan Rakyat (PR) tiada pilihan kecuali menguasai kepimpinan kerajaan negeri itu dalam pilihan raya umum ke-13 bagi memenuhi aspirasi rakyat.

Malah kata beliau, bukan mustahil untuk pihaknya mencapai sasaran tersebut jika dilihat pada senario semasa yang menunjukkan kelemahan pentadbiran pimpinan Umno-Barisan Nasional.

“Lima puluh tahun selepas Hiroshima dan Nagasaki dihancurkan, Parti Liberal Demoratik (LDP) membawa Jepun menjadi kuasa ekonomi kedua terkuat di dunia selepas Amerika Syarikat, tetapi Umno dan BN selepas lima puluh tahun memerintah Malaysia membawa negara ini ke ambang kehancuran,” kata beliau.

Bukan hanya Jepun, bahkan negara-negara seperti Korea Selatan dan Singapura jauh terkedepan dalam bidang ekonomi berbanding Malaysia yang jauh lebih kaya dari negara-negara ini dengan sumber alam semula jadi.

Fauzi berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen PKR Pahang bertemakan “Menggilap Harapan Rakyat” pagi tadi.

“Bermula PRU-12 tahun 2008 yang lalu, Umno dan BN sudah semakin kehilangan kuasa.

“PRU-12 menyaksikan BN hilang kuasa di lima negeri dan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, BN juga hilang penguasaan dua pertiga di Parlimen.

“Harus diingat di Semenanjung Malaysia dalam PRU-12 lalu, tiga parti dalam Pakatan Rakyat bertanding melawan 14 parti komponen BN, dan Pakatan Rakyat berupaya mengatasi BN dalam undi popular,” jelas Fauzi.

Bekas pemimpin Umno ini juga percaya BN hari ini semakin berada dalam ketakutan yang tergambar dengan ugutan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang menyatakan kesediaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri terhadap penasihat PKR Datuk Anwar Ibrahim dalam kes penggunaan kalimah “Allah”.

“Bila masa pula Anwar terlibat dengan isu ini? Siapa yang sibuk berdemonstrasi baru-baru ini?” katanya.

Kerisauan BN ini, jelas Fauzi banyak berpunca dari keadaan ekonomi negara yang semakin teruk, dikhuatiri BN akan diketahui rakyat.

UBS Investment Research mendedahkan tahap rizab antarabangsa Malaysia telah merudum sebanyak 25 peratus pada tahun lepas, malah dari 40 buah negara di rantau ini yang dikaji oleh UBS, Malaysia berada di tangga ke-38.

“Ini semua berlaku tidak lain tidak bukan kerana salah guna kuasa dan rasuah yang berleluasa di kalangan pemimpin BN.

“Ini diakui sendiri oleh Tun Dr. Mahathir yang menyifatkannya sebagai kebusukan yang sudah merebak sehingga ke usus,” kata Fauzi.

Fauzi dalam ucapannya juga merujuk keadaan negeri Pahang yang semakin teruk kebelakangan ini dengan jumlah hutangnya sahaja mencecah hampir RM1 bilion, ditambah dengan defisit bajet negeri sudah masuk tahun ke-12 berturut-turut.

Beliau turut mendedahkan ada sebuah syarikat yang ditawarkan sejumlah besar tanah negeri bagi menyelesaikan hutang kerajaan negeri dengan syarikat tersebut yang berjumlah lebih kurang RM200 juta.

“Jika ini menjadi amalan Kerajaan Pahang, gagal bayar hutang bagi tanah, gagal bayar hutang bagi tanah, akhirnya tanah mana yang tinggal untuk rakyat negeri ini,” jelas Fauzi.

Ucaptama dan penutup dijangka disampaikan oleh Anwar yang juga ketua umum PR pada pukul 4.45 petang ini.

- MALAYSIAN INSIDER

Isnin, Januari 11, 2010

Saifuddin Nasution dilantik Setiausaha Agung PKR baru

KUALA LUMPUR, 10 Jan: Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail telah dilantik sebagai Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menggantikan Datuk Salehuddin Hashim.

Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perlantikan Saifuddin telah diterima dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat parti, semalam.

Katanya, pada mesyuarat itu, antara perkara lain yang dibincangkan ialah isu perletakan jawatan setiausaha agung, Datuk Salehuddin Hashim.

“Dengan berat hati, kami menghormati keputusan beliau dan menerima perletakan jawatannya mulai 31 Januari 2010,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Bagi pihak parti, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Salehuddin atas perkhidmatan cemerlang beliau sebagai setiausaha agung sejak April 2008 dan juga sebagai setiausaha pengelola dari tahun 2004 hingga 2008.

“Memandangkan masa peralihan yang pendek serta tugas-tugas penting yang perlu dijalankan segera, saya telah melantik Saifuddin Nasution sebagai setiausaha agung baru dan perlantikan beliau telah diterima Majlis Pimpinan Pusat semalam,” katanya.

- HARAKAHDAILY

Ahad, November 15, 2009

'Hayat' PKR berakhir dalam senyap?

Oleh Zulkiflee Bakar

Sehingga ke hari ini, ramai masih tertanya-tanya apakah hasil Seminar Memperkasakan Pas yang diadakan baru-baru ini. Ia kerana mereka melihat tidak ada apa-apa signifikannya seminar itu, selain kritikan kepada kepimpinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Oleh itu, timbullah persoalan apakah seminar itu diadakan kerana Pas sememangnya bermasalah atau ada 'tangan-tangan' ghaib yang memainkan peranan untuk memburukkan Pas.

Lebih daripada itu, adakah seminar tersebut satu manuver politik oleh pihak tertentu bagi mengalih perhatian daripada pergolakan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam soal ini, kita perlu mengimbas apa yang berlaku sepanjang pertengahan Oktober lalu, sebelum tercetusnya soal untuk mengadakan mesyuarat khas jawatankuasa kepimpinan Pas dan kemudian disusuli dengan keputusan mengadakan seminar memperkasakan parti itu.

Ketika isu tersebut timbul, PKR sedang menghadapi krisis dalaman yang cukup serius. Ia mula tercetus di Sabah apabila 18 daripada 23 ketua bahagian PKR menolak pelantikan Azmin Ali sebagai pengerusi perhubungan.

Tumpuan media terarah kepada pergolakan dalam PKR sehingga akhirnya pada 27 Oktober menyaksikan peletakan jawatan Naib Presidennya, Datuk Jeffrey Kitingan, namun krisis itu seolah-olah reda apabila timbul isu dalam Pas.

Perhatian tidak lagi diberikan kepada apa yang berlaku dalam PKR sebaliknya lebih kepada Pas. Tetapi apabila seminar yang diadakan tidak menyaksikan apa-apa yang menarik maka timbullah persoalan siapa sebenarnya bermasalah, Pas atau PKR.

Mungkin buat seketika pemimpin-pemimpin PKR mampu meredam gejolak masalah yang berlaku dalam parti itu tetapi ramai pemerhati politik yakin bahawa parti tersebut sedang berada di ambang perpecahan yang serius.

Sebab itulah di kalangan sesetengah pemimpin pembangkang yang lain terutamanya Pas melihat PKR sering membawa masalah kepada mereka.

''Cuba lihat apa yang berlaku di Kedah, Perak dan Selangor, semuanya adalah gara-gara kemelut yang berlaku dalam PKR.

''Tetapi malangnya orang lupa semua itu, mereka lebih suka hendak melihat kononnya Pas bermasalah sedangkan kami tidak ada apa-apa masalah,'' kata seorang pemimpin muda Pas kepada penulis dalam satu pertemuan.

Dalam pertemuan dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini, Anuar Shaari yang merupakan bekas Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak terkejut dengan apa yang berlaku kepada PKR.

Bagi beliau, PKR adalah sebuah parti yang rapuh dan diwujudkan semata-mata untuk memenuhi agenda peribadi seorang pemimpin. Atas alasan inilah satu demi satu prinsip dan asas parti diubah sesuka hati mengikut kehendak seorang pemimpin sahaja.

''Dalam pembangunan sesebuah organisasi apabila ada seorang yang terlalu dominan dan berkuasa menentukan hala tuju parti maka organisasi itu tidak akan berjaya dan tidak ke mana-mana,'' tegas Anuar.

Itulah yang berlaku kepada PKR, apabila suara ahli dan parti tidak dipedulikan melainkan untuk menjaga kedudukan seorang dua pemimpin sahaja. Faktor inilah yang menyumbangkan kepada kelemahan PKR sehingga sejak dari awal penubuhan sehingga ke hari ini, seorang demi seorang pemimpin parti itu meninggalkannya.

bersandiwara

Mungkin bagi pemimpin PKR mereka boleh menuduh apa sahaja kepada pemimpin yang berbuat demikian tetapi realitinya pemimpin yang bertindak keluar daripada PKR itu, melakukannya atas dasar prinsip. Mereka tidak mahu terus bersandiwara dan mempermainkan prinsip perjuangan yang ditanam di sanubari mereka ketika awal menyertai PKR.

Oleh itu, apabila mereka melihat PKR tidak lagi selari dengan kehendak perjuangan mereka, maka langkah terbaik adalah mengundurkan diri dan itu lebih mulia daripada bersekongkol dengan pemimpin yang hanya ingin mencapai agenda peribadinya. Pepatah ada mengatakan bagaimana acuannya begitulah juga kuihnya, mungkin itulah yang berlaku kepada PKR sekarang apabila wajah sebenar kenapa parti itu ditubuhkan sudah terlihat.

Laungan kononnya mereka berjuang untuk rakyat hanyalah omong kosong sebaliknya segala-galanya hanya semata-mata bagi membela seorang pemimpin dan lebih penting lagi meletakkan dia di tempat yang diidam-idamkan olehnya selama ini.

Apa yang anehnya, biarpun diserang bertubi-tubi oleh bekas-bekas pemimpinnya namun pemimpin di dalam PKR termasuklah Anwar sendiri hanya mendiamkan diri. Antara isu itu termasuklah dakwaan oleh Anuar, Nallakaruppan dan Ezam Mohd.Noor bahawa ada pemimpin yang diberi layanan istimewa oleh Anwar.

Ini belum lagi termasuk dakwaan bahawa PKR hanya dikuasai oleh '3A' iaitu Anwar, Azizah dan Azmin. Walaupun dakwaan itu boleh menjejaskan kewibawaan PKR tetapi tiada tindak balas.

Pemimpin-pemimpin PKR seolah-olah mengiakan apa yang didakwa dan ini sekali gus menimbulkan kesangsian kepada rakyat bahawa semua dakwaan itu ada kebenarannya.

Walaupun PKR sebenarnya sebuah parti yang bermasalah tetapi mereka cuba menutupi konflik yang berlaku dan berlagak seolah-olah tiada apa-apa terjadi. Tetapi berdasarkan kepada perbualan penulis dengan beberapa rakan di negeri-negeri tertentu mereka mengakui, jika masalah PKR boleh diibaratkan seperti lava gunung berapi, ia hanya menanti masa untuk 'dimuntahkan'.

Apa yang mengecewakan, biarpun terdapat seribu satu masalah dan termasuklah juga kewibawaan pemimpin-pemimpin PKR dipertikaikan oleh banyak pihak tetapi masih ada pihak yang cuba mengetengahkan kononnya golongan itulah bakal pemimpin masa depan negara.

Akibatnya, kepimpinan dalam parti pembangkang lain terutamanya Abdul Hadi sengaja digembar-gemburkan sebagai bermasalah dan lemah. Mungkin secara dasar kita boleh katakan agenda atau manuver mereka berjaya tetapi mereka terlupa bahawa ahli-ahli dan penyokong Pas di peringkat akar umbi tidaklah sebodoh itu.

Penulis difahamkan, di kalangan sebahagian besar pemimpin, ahli dan penyokong Pas mereka semakin menyedari 'permainan politik' yang dicetuskan oleh sesetengah pemimpin pakatan pembangkang sendiri bagi mencapai cita-cita politik mereka.

Mengulas perkara ini, Penganalisis politik Ahmad Masrizal Muhammad berkata, PKR dilihat memang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk meletakkan imej parti di dalam peta minda setiap rakyat negara ini bahawa mereka sebuah parti yang amat relevan dengan kehendak semasa iaitu semua bersatu dalam satu parti.

''Namun begitu hakikat dan realiti sebenar adalah jauh berbeza dengan apa yang diuar-uarkan melalui slogan-slogan. Pertentangan kepentingan antara kaum wujud sama ada secara senyap ataupun terbuka. Masing-masing memasang strategi.

''Ini sekali gus menunjukkan bahawa untuk mencapai tahap wahdatul fikr (penyatuan fikiran) sesama saf dalam pimpinan dalam PKR bukanlah suatu yang mudah sebagaimana lakaran di atas kertas,'' katanya.

Menurut beliau, kekaburan terhadap teras utama dalam parti ini juga memberi impak yang besar kepada pencapaian hala tujunya pada masa akan datang.

Seperkara lagi yang tidak harus dilupakan bahawa PKR diwujudkan atas dasar populariti semata-mata. Mengikut penganalisis politik, sejak pilihan raya umum 1999 hinggalah 2008, faktor Anwar masih lagi menjadi 'barang yang didagangkan' untuk meraihkan sokongan rakyat.

Lebih daripada itu seperti mana kata Ahmad Masrizal, parti tersebut memberi fokus berlebihan kepada strategi memanipulasi isu demi meraih persepsi dan populariti. Tetapi PKR terlupa bahawa strategi seumpama itu sudah semakin tidak berkesan.

''Natijahnya, pelbagai polemik kepimpinan berlaku di negeri-negeri dan yang terbaru di Sabah dan lain-lain negeri, ia pastilah akan menjejaskan PKR pada masa akan datang,'' katanya.

Oleh itu kita tidak perlu terkejut apabila PKR merancang untuk terus mengatur strategi bagi memburukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana itu sahaja cara mereka bagi menutup kelemahan sendiri.

Ia juga sekali gus memaparkan perangai PKR yang semakin 'bankrap' isu dan terus berusaha menjadikan persepsi sebagai 'senjata' untuk meraih sokongan di dalam pilihan raya. Kalau hendak bersandarkan kepada prestasi, tiada apa yang boleh dibanggakan oleh parti itu.

Bagaimanapun rakyat tidak akan selamanya boleh diperbodohkan oleh mainan politik seumpama itu, justeru tersilap langkah boleh berlaku 'senjata makan tuan'. Berdasarkan keadaan itu, bukanlah sesuatu yang mustahil jika PKR akan mengalami nasib seperti mana sesetengah parti politik serpihan yang sebelum ini berkubur selepas menikmati kemenangan sementara.

Matlamat

Menyentuh perkara ini, Ahmad Masrizal berkata, peristiwa demi peristiwa dan drama demi drama yang dipersembahkan kepada rakyat telah menyebabkan rakyat semakin membuka mata dan sedar bahawa PKR semakin jauh untuk mencapai matlamat strategik yang dicipta oleh mereka sendiri.

''Matlamat dan hala tuju perjuangan PKR yang dikatakan lebih menekankan kepada aspek idealisme perjuangan dan meningkatkan khidmat kepada rakyat nampak semakin kabur. Inilah yang dimaksudkan dengan PKR sedang berhadapan dengan suatu fenomena baru dalam fasa kewujudan mereka iaitu kematian yang senyap dan halus atau lebih popular dikenali sebagai gangren politik,'' katanya.

Kita tidak pasti sejauh manakah fakta ini akan menjadi kenyataan tetapi dari semasa ke semasa PKR terus dilanda konflik dan tahap kepercayaan serta keyakinan di kalangan pemimpin dan ahlinya bahawa parti itu boleh menjadi parti utama semakin luntur. PKR mungkin boleh mengatur strategi dengan mengadakan apa juga konvensyen termasuklah pada hari ini di Shah Alam dengan slogan 'Menggilap Harapan Rakyat', tetapi apa yang pasti dari semasa ke semasa segala kekalutan dalamannya semakin terdedah.

Tidak mustahil PKR akan menamatkan riwayatnya dalam senyap kerana itulah akibatnya kalau pemimpin-pemimpin terlalu teruja untuk menampakkan mereka kelompok paling sempurna di muka bumi Allah ini, sedangkan 'di tubuh' parti itu 'penuh dengan penyakit'.

Isnin, November 09, 2009

Anwar beri kata dua kepada ahli PKR

Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kata dua kepada pemimpin dan anggota PKR sama ada setia atau keluar daripada parti jika tidak mahu mengikut dasar yang ditetapkan.

"Semua anggota parti mestilah menyokong agenda perubahan, bekerja untuk Pakatan Rakyat atau terpaksa disingkirkan daripada parti," katanya.

Anwar yang juga ketua umum PKR menegaskan demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen PKR Pulau Pinang malam tadi.

Katanya, ramai pemimpin PKR yang mahu tindakan tegas dikenakan terhadap anggota yang tidak dapat mengikut dasar parti.

"Beri komitmen kepada parti atau tinggalkan parti dan sertai Umno," katanya.

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata ketua cabang dan wakil rakyat PKR hendaklah sentiasa mematuhi dasar-dasar parti.

Katanya, mereka tidak boleh beranggapan bahawa mereka akan terus menjadi pemimpin dan wakil rakyat untuk selama-lamanya.

Sebaliknya, kata beliau, mereka mesti berkhidmat kepada rakyat dan mematuhi dasar dan prinsip-pembaharuan parti.

Anwar berkata, walaupun sesetengah kritikan terhadap pemimpin dan wakil rakyat parti ti boleh diterima, tetapi menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mereka yang enggan mematuhidasar-dasar yang ditetapkan oleh parti.

- MALAYSIAKINI

Isnin, Ogos 24, 2009

Anwar dakwa Umno guna Radzhi tarik ADUN PKR lain

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Umno cuba menggunakan ADUN Lunas Mohd Radzhi Salleh - yang keluar PKR hari ini - untuk menarik beberapa ADUN PKR yang lain, menyeberang menyertai Umno.

"Percubaan Umno ialah buat tuduhan kepada ADUN Lunas, dan kemudian menggunakan beliau untuk mempengaruhi yang lain. Kita ada rekod, beberapa ADUN, dua tiga bulan lalu, mereka mengadu kepada saya, mereka cuba dipujuk oleh ADUN Lunas supaya berpindah kepada Umno dengan bayaran yang tinggi," katanya.

Anwar berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas selesai memberi tazkirah di satu majlis berbuka puasa bersama penduduk di Surau Said, Jalan Kampung Paya malam ini.

Menurut Anwar yang juga ketua pembangkang, Mohd Radzhi juga mempunyai beberapa masalah antaranya masalah displin, masalah kewangan dan hal-hal peribadi sehingga menerima teguran daripada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa bulan lalu, membangkitkan perkara ini untuk disiasat. Saya tidak tahu dalam keadaan sekarang, SPRM kata tak ada kes setelah beliau keluar parti.

"Ini digunakan untuk beliau terus berunding. Kita ada maklumat beberapa bulan lalu, beliau mengadakan rundingan dengan Mahadzir Khalid (bekas menteri besar Kedah). Maka sebab itu saya bangkit di Parlimen tentang usaha untuk membeli wakil-wakil rakyat dan tidak dijawab oleh menteri," katanya.

Sehubungan itu, kata Anwar, majlis pimpinan negeri telah mengambil pendirian tegas dengan memberi amaran keras kepada Mohd Radzhi pada bulan lalu.

"Minggu lalu, majlis pimpinan negeri menggantung cabang Padang Serai termasuk ADUN Lunas kerana kes-kes yang berkaitan. Ini latar belakangnya.

"Sebab itu, YB Ahmad Kassim (pengerusi majlis pimpinan negeri) berkata sebaik-sebaiknya beliau meletakkan jawatan," kata Anwar.

Pagi tadi, Mohd Radzhi Salleh mengumumkan keluar PKR dalam satu sidang media mengejut di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau, yang juga exco pelancongan Kedah, dilaporkan mengisytiharkan sebagai ADUN bebas tetapi tidak akan melepaskan portfolio ahli majlis mesyuarat kerajaan.

Bagaimanapun Anwar berkata menteri besar Kedah akan menghadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah esok untuk memaklumkan permintaan PKR supaya ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh, yang mengisytiharkan dirinya wakil bebas, digugurkan daripada jawatan exco.

Diminta mengulas pandangan bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mahukan Radzhi meletakkan jawatan sebagai ADUN Lunas, Anwar berkata:

"Ya, itu yang kita minta sebab kes dia ini berlainan. Kes dia melibatkan kes displin, kes SPRM dan kes peribadi. Ini masalah yang berkait dengannya, kalau begitu rumit, bagaimana nak jadi wakil," kata Anwar.

- MALAYSIAKINI

Exco Kedah keluar PKR

ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh bertindak keluar PKR dalam satu sidang media mengejut di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini dan menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau, yang juga exco pelancongan Kedah, dilaporkan mengisytiharkan sebagai ADUN bebas tetapi tidak akan melepaskan portfolio ahli majlis mesyuarat kerajaan.

Pemangku ketua PKR Padang Serai, Jamaludin Abu Hassan, juga bertindak meninggalkan parti itu dan seterusnya mengumumkan membubarkan bahagian tersebut.

Di sidang media di Hotel Legend kira-kira 11.30 pagi ini, beliau dilaporkan berbuat demikian dengan alasan "hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan PKR dan perjuangan parti itu tidak seiring dengan matlamat asal penubuhannya."

Menurut Bernama, Mohd Radzhi berkata keputusannya sebagai menyatakan sokongan pada tindakan pembubaran bahagian tersebut seperti diumumkan oleh Jamaludin.

"Sebagai wakil rakyat, saya bersimpati dengan keputusan itu (pembubaran) kerana mereka (anggota bahagian) adalah orang yang bertanggungjawab memastikan kemenangan saya dalam pilihan raya lepas," beliau dipetik berkata.

Tambahnya, seramai 200 orang anggota biasa dan 14 anggota jawatankuasa PKR bahagian berkenaan menyokong pembubaran itu.

"Saya tidak sanggup lagi berada dalam PKR kerana rasa bertanggungjawab bersama mereka dan sebagai ahli jawatankuasa bahagian, saya turut keluar (parti) bagi menyokong keputusan itu," kata Mohd Radzhi lagi.

Beliau juga dilaporkan berkata, walaupun meninggalkan PKR, beliau akan terus berkhidmat menjadi wakil rakyat di kawasan itu, "di samping terus memberi sokongan kepada kerajaan pusat dan kepimpinan perdana menteri".

Beliau akan terus kekal dengan jawatan exco pelancongan Kedah kerana soal pelantikan exco negeri adalah di bawah kuasa Sultan Kedah, lapor agensi berita itu lagi.

Menjawab persoalan sama ada beliau dibeli oleh parti politik tertentu, Mohd Radzhi menafikannya.

"Kalau kena beli, saya sudah tentu akan masuk parti yang membeli tetapi sekarang tidak ada mana-mana parti pun yang beli (saya) sebab tu saya bebas," katanya.

Dalam pilihan raya umum 2008, Mohd Radzhi mengalahkan calon BN S Ananthan dengan majoriti 10,323 undi.

- MALAYSIAKINI

Ahad, Ogos 02, 2009

Permatang Pasir: PKR pula mahu bertanding?

Dulu penyokong-penyokong PAS membuat desakan mahu calon parti itu diletakkan bertanding pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti. Kini tiba giliran Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula meletakkan tuntutan ke atas DUN Permatang Pasir?

PKR meletakkan calonnya, Mansor Othman di DUN Penanti pada Jun lalu - mewarisi tradisi komposisi kerusi pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

PAS Pulau Pinang menuntut kerusi itu dua bulan lalu atas alasan penyandang kerusi dari PKR "gagal menjalankan tugas dengan baik" dan "tidak kena dengan cara melepaskan jawatannya".

Penanti dan Permatang Pasir merupakan antara tiga kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Permatang Pauh. Satu lagi DUN - Seberang Jaya disandang oleh Umno-Barisan Nasional.

Hari ini, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat permintaan daripada pemimpin dan akar umbi parti itu supaya ia meletakkan calonnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, cadangan tersebut dibuat berikutan gerakan PKR di kawasan Permatang Pasir adalah kuat dan mantap.

Katanya, mereka telah mengemukakan cadangan itu kepada beliau untuk dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi pakatan pembangkang dan berharap ia diberikan pertimbangan yang sewajarnya.

Ketika bercakap kepada pemberita semasa menghadiri majlis perkahwinan seorang penduduk Permatang Pauh di Bukit Mertajam hari ini, Anwar bagaimanapun menasihatkan mereka agar menerima siapa sahaja yang diputuskan oleh kepimpinan tertinggi gabungan pembangkang kelak.

"Secara peribadi, saya nasihatkan mereka supaya memberi laluan kepada PAS untuk bertanding di kawasan itu berdasarkan prestasi Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) Allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman yang cukup baik dan kerjasama yang diberikan PAS kepada pakatan selama ini di Permatang Pasir," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pandangan dan hasrat akar umbi itu akan dibincangkan dengan presiden parti dan kepimpinan pakatan pembangkang sebagai menghormati permintaan mereka itu.

"Kita perlu memberi ruang kepada mereka menyuarakan pandangan walaupun secara peribadi berpendapat mereka harus mengambil kira kerangka pakatan pembangkang yang lebih besar," katanya.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, walaupun kecenderongan sokongan rakyat kepada gabungan pembangkang terutamanya di Semenanjung meningkat, namun faktor calon memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan pada pilihan raya kecil itu.

Katanya, calon yang bakal diketengahkan perlu mempunyai kewibawaan dan boleh berkhidmat kepada masyarakat.

Ketika ditanya sama ada keputusan pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Kelantan boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap pembangkang di sini, beliau yakin rakyat akan terus menyokong mereka kerana keadaan dan latar belakang penduduk Manek Urai amat jauh berbeza dengan Permatang Pasir.

Apapun, katanya, kemenangan PAS di Manek Urai perlu dihormati kerana parti itu tidak pernah memenangi pilihan raya kecil di Kelantan sebelum ini.

Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir akan diadakan berikutan kematian Allahyarham Hamdan, 63, Jumaat lepas akibat sakit jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian selewatlewatnya pada 10 Ogos.

KG. BUAH PALA

Mengenai isu Kampung Buah Pala, Anwar berkata, beliau yakin dengan kemampuan Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk menyelesaikan isu berkenaan dan berpuas hati dengan kaedah penyelesaian yang dikemukakan kerajaan negeri Pulau Pinang setakat ini.

Oleh itu, katanya, Lim dan kerajaan negeri harus diberi peluang untuk menyelesaikan isu itu dan tiada keperluan baginya untuk turun padang dan bertemu dengan penduduk ketika ini.

"Datuk Seri Najib tak pi jumpa, anda tak sibuk, Muhyiddin tak pi jumpa, anda tak sibuk. Apa pasal saya nak jumpa (mereka)? Saya yakin dengan cara Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang buat. Tak semestinya saya jumpa semua. Permatang Pauh memang kawasan saya dan saya datang.

"Kalau dirasakan perlu, saya boleh jumpa tetapi kalau jumpa untuk motif politik, ini bukan kaedahnya melainkan tidak ada penyelesaian," katanya ketika ditanya mengapa beliau tidak menemui penduduk Kampung Buah Pala sedangkan semasa kempen pilihan raya umum 2008, beliau ada menemui penduduk di situ dan berjanji untuk membantu mereka jika gabungan pembangkang memenangi pilihan raya itu.

- BERNAMA

Ahad, Julai 26, 2009

Bekas Naib Presiden MIC S.S. Subramaniam sertai PKR


Bekas Naib Presiden MIC, Datuk S. S. Subramaniam bersama adiknya, yang juga Ketua MIC Cawangan, hari ini mengumumkan keputusan mereka untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kedua-dua mereka merupakan Ketua Cawangan dalam Bahagian Petaling Jaya Selatan.

Ia diumumkan oleh mereka pada satu majlis di Taman Medan, Petaling Jaya Selatan di sini petang tadi. Turut hadir Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya menyertai PKR bukan kerana jawatan, saya sudah rasai jawatan yang secukupnya... saya bukan sertai kerana wang, saya ada wang secukupnya tapi saya sertai kerana suasana politik semasa," kata Subramaniam, 63, yang juga bekas Ahli Parlimen Segamat.

Beliau merupakan bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Subramaniam berkata, beliau sebenarnya sudah lama berhasrat untuk menyertai PKR.

"Sudah lama sokong PKR, dasar-dasar... baru sekarang berani untuk keluar," katanya.

Subramaniam berkata, beliau akan memaklumkan MIC tentang keputusannya.

"Keputusan muktamad untuk keluar MIC hanya dibuat baru-baru ini," kata beliau ketika ditemui wartawan sambil menambah bahawa "keputusan mereka tidak dipengaruhi semangat adik-beradik."

Turut sertai PKR hari ini ialah adik Subramaniam, Dr. Streram Sinnasamy yang merupakan Pengerusi MIC Cawangan Seri Sentosa.

Subramaniam merupakan Pengerusi MIC Cawangan Taman Perangsang.

Kedua-dua merupakan antara 12 pengerusi cawangan dalam Petaling Jaya Selatan yang mengumumkan keluar MIC hari ini.

Turut mengumumkan keluar ialah Ketua MIC Cawangan Pekan Meru.

Kesemua 13 cawangan itu turut dibubarkan.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi PKR, S. Manikavasagam berkata, "apa yang berlaku hari ini cuma gelombang pertama."

"Selepas pemilihan MIC 12 September ini, akan ada peringkat kedua dan peringkat ketiga pemimpin MIC akan menyertai PKR," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kapar.

- MSTAR

Ahad, Julai 19, 2009

Chua Jui Meng umum keluar MCA & sertai PKR


Bekas menteri kesihatan, Datuk Chua Jui Meng hari ini mengumumkan keluar dari MCA dan menyertai PKR di di majlis forum anjuran PKR di Sunway.

Sebelum ini, Chua yang juga bekas menteri naib presiden MCA muncul di majlis tersebut bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Chua sebelum ini mengumumkan melepaskan jawatan ketua MCA bahagian Bakri Khamis lalu.

Kira-kira 800 hadirin di majlis itu bertepuk tangan ketika Chua dan Anwar melangkah masuk ke dewan pada jam 3.30 petang.

Terdapat kain pemidang yang mengucap tahniah kepada Chua kerana menyertai PKR", yang dipegang hadirin ketika Chua berjalan masuk.

Dalam ucapannya, Chua berkata beliau telah melepaskan jawatan ketua MCA bahagian Bakri untuk menempuh perjalanan baru untuk perubahan.

Katanya, sebab beliau menyertai PKR ialah kerana sistem dua parti ini berdepan dengan ancaman dari Umno.

Menurut Chua, beliau yakin telah membuat keputusan yang betul, untuk menyertai PKR, terutama dalam detik penting dalam sejarah negara.

Menurutnya, kematian Teoh Beng Hock - setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, menjadi pendorong penting baginya untuk melompat menyertai pembangkang.

Mayat Teoh ditemui Khamis lalu di atas bumbung bangunan bersebelahan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam, selepas disoal siasat semalam oleh SPRM, berhubung dakwaan salahguna wang peruntukan untuk DUN di Selangor.

Chua hadir bersama bekas senator MCA, David Yeoh dan bekas ahli Parlimen Lumut. Kedua-duanya turut mengumumkan menyertai PKR.

Dua hari lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Chua akan melompat menyertai PKR.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Chua ditanya mengenai laporan yang menyebut beliau menafikan akan menyertai PKR.

Dalam jawapannya, Chua menafikan berkata demikian tetapi sebaliknya berkata beliau telah disalahlapor.

Ada persamaan

Menurut bekas menteri kesihatan itu, beliau menyertai PKR kerana mempunyai persamaan idealisme dan visi dengan manifesto PKR untuk membawa perubahan di Malaysia.

“Saya sudah keluarkan manifesto saya beserta dengan idealisme dan visi untuk MCA.

“Saya membuat perbandingan manifesto beliau (Anwar) dalam agenda Malaysia dan manifesto PKR. Saya nampak isu-isu ada perkiraan yang sama. Itu mustahak bagi saya. Kalau ada idea-ide yang bercanggah saya tidak akan masuk PKR,” katanya

Beliau juga menafikan beliau kecewa dengan MCA dan menyifatkan perkara tersebut "tidak berbangkit sama sekali".

“Pada pemilihan tahun 2008 saya tewas, (kemudian) saya jemput Datuk Seri Ong Tee Keat ke bahagian saya dan minta beliau menjelaskan kepada masyarakat Tiong Hua, walaupun kami bertanding satu jawatan yang sama, atas nama prisip, maka kita boleh kekal berkawan,” katanya.

Kata Chua, presiden MCA itu, pernah hadir ke bahagiannya sebanyak dua kali selepas beliau kalah dalam permilihan parti tahun lepas.

Menurutnya lagi, beliau mula membuat pertimbangan untuk menyertai PKR sebelum dan selepas pemilihan MCA pada tahun lalu.

“Kemasukannya saya ke dalam PKR adalah tanpa syarat.

“Saya ada idea dan wawasan yang sama dengan PKR. Kalau ada tempat ada platform, tempat itu bermula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” tambahnya.

Katanya, keputusan untuk menyertai PKR juga dibuat selepas beberapa kali perbincangan dengan Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.

- MALAYSIAKINI

Isnin, Jun 22, 2009

Kerajaan perpaduan ubah landskap politik negara

Barangkali selepas penentangan terbuka terhadap pucuk pimpinan Pas yang menyaksikan kejatuhan Allahyarham Datuk Asri Muda sebagai Yang Dipertua dalam muktamarnya di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1982, digantikan dengan kepemimpinan ulama diketuai Allahyarham Datuk Yusof Rawa, parti itu tidak pernah menghadapi krisis besar sehinggalah apa yang berlaku sekarang ekoran lontaran idea penubuhan kerajaan perpaduan oleh Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang.

Ironinya, jika pemecatan Asri secara tidak terhormat lebih suku abad lalu itu berlaku ketika Pas begitu lemah dengan kekalahan teruk dalam dua pilihan raya umum selepas keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 1977, tentangan terbuka oleh sekelompok pemimpin Pas terhadap Hadi sekarang terjadi ketika kedudukan parti itu paling kuat dalam sejarahnya.

Walaupun kontroversi berhubung cadangan itu di kalangan pimpinan Pas sendiri bermula sebelum muktamar tahunan Pas di Shah Alam lagi, penentangan terbuka khususnya daripada kelompok yang menyokong pendirian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membantah idea berkenaan, tercetus selepas respon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Selasa lalu bahawa beliau melihat Pas ikhlas untuk berbincang mengenai idea penubuhan kerajaan perpaduan itu dan Umno tidak menolak sebarang kerjasama yang boleh memberi kebaikan kepada negara.

Dalam reaksi spontan kepada kenyataan Perdana Menteri itu, Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berkata respon Najib itu dilihat serius dan beliau akan memaklumkan kepada Hadi yang berada di luar negara. Kenyataan balas Nasharuddin itulah yang menimbulkan kemarahan Nik Aziz sehingga beliau meminta Timbalan Presiden Pas itu meletak jawatan jika terus menyokong idea penubuhan kerajaan perpaduan.

"Kalau benar Nasharuddin nak setuju (berbincang dengan Umno), lebih baik dia masuk Umno. Terus terang saya sebut, lebih baik masuk Umno dan letak jawatan timbalan dan di Bachok. Apa buat sampah ni, menyusahkan orang�," kata Nik Aziz Rabu lalu, yang keesokannya menjelaskan, beliau hanya meminta Nasharuddin meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen, bukan timbalan presiden.

Tidak cukup dengan kenyataan keras Nik Aziz itu, Khamis lalu, 10 daripada 24 Ahli Parlimen Pas mengeluarkan kenyataan mengisytiharkan menyokong ketegasan Mursyidul Amnya dalam menangani persoalan kerajaan perpaduan.

Mereka ialah Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr Mohd Hayati Othman (Pendang), Datuk Taib Azamuddin Md Taib (Baling) dan Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar).

Mereka menegaskan pentingnya Pas berpegang teguh pada keputusan muktamar yang sebulat suara mahu parti itu memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan menolak sebarang kerjasama dengan Umno dan BN, termasuk konsep kerajaan perpaduan.

Yang menimbulkan persoalan terutama di kalangan orang Melayu yang melihat secara positif sebarang usaha untuk merapatkan hubungan Umno-Pas walaupun sedar amat sukar bagi kedua-duanya berkongsi kerajaan ialah sikap Nik Aziz sendiri terhadap idea yang masih longgar itu.

Walaupun dalam sejarah politiknya selama lebih 40 tahun, Nik Aziz yang terkenal dengan sifat lemah lembutnya, tidak sunyi daripada mengeluarkan kenyataan kontroversi, beliau jarang dilihat begitu marah seperti minggu lalu.

Apakah beliau benar-benar marahkan idea penubuhan kerajaan perpaduan atau mewakili satu kelompok dalam Pas yang kurang selesa dengan beberapa pendekatan kepemimpinan parti itu sekarang terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu?

Bagaimanapun, semalam Nik Aziz menukar nadanya apabila menyuarakan persetujuan kepada cadangan itu dengan syarat dilaksanakan mengikut saluran yang betul dalam parti itu, termasuk membabitkan Pakatan Rakyat, sambil menafikan bahawa beliau bersikap degil dalam menolak cadangan kerajaan perpaduan selama ini, sebaliknya mendakwa langkah itu sebagai istiqamah.

Memang diketahui umum kumpulan yang menyokong Mursyidul Am Pas itu amat rapat dengan pemimpin de facto Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala kumpulan Hadi, yang masih berpegang kepada landasan perjuangan Islam Pas, dilihat agak berhati-hati bukan saja terhadap Anwar tetapi pemimpin lain dalam pakatan pembangkang.

Begitupun, mereka berpendapat jika Pas boleh bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, tidak salah bagi parti itu untuk meneroka perbincangan dengan Umno atau parti lain dalam BN. Pemilihan kepemimpinan Pas pada muktamarnya baru-baru ini jelas menunjukkan ada usaha, walaupun gagal, daripada kumpulan Nik Aziz untuk mengambil alih tempat kumpulan Hadi.

Kepada kebanyakan orang Melayu, apa yang berlaku dalam Pas sekarang amat membimbangkan. Selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang menyaksikan kedudukan Umno lemah, ramai melihat Pas sebagai parti alternatif untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam di negara ini.

Bagi mereka, sebarang perpecahan dalam Pas, seperti yang pernah berlaku kepada Umno, akan merugikan orang Melayu. Mereka mungkin tidak bersetuju Umno bergabung dengan Pas tetapi mahu melihat persefahaman yang lebih positif antara kedua-dua parti terutama berhubung isu membabitkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Mereka tidak melihat PKR boleh memainkan peranan itu kerana ideologinya bukan berlandaskan kepentingan Melayu/Islam. Malah, ada yang mencurigai apa yang berlaku dalam Pas sekarang mungkin didalangi Anwar sendiri. PKR tahu amat sukar untuk memastikan Pas menurut agendanya selagi Hadi dan kumpulannya menguasai kepemimpinan parti itu.

Lontaran idea kerajaan perpaduan oleh Hadi adalah peluang terbaik untuk menimbulkan kesangsian ahli Pas terhadap kepemimpinannya. Hadi, yang baru pulang dari luar negara semalam, dijadualkan menemui pemimpin Pakatan Rakyat petang ini, sebelum mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat Pas malam ini, bagi menjelaskan kedudukan sebenar cadangan penubuhan kerajaan perpaduan itu.

Hanya selepas itu, akan diketahui sama ada kontroversi berhubung ideanya itu hanya sekadar ribut dalam cawan atau bakal mengubah lanskap politik tanah air tiga tahun lagi, apatah lagi dengan pendirian terbaru Nik Aziz itu.

- BERITA HARIAN

Ahad, Jun 21, 2009

Anwar minta pemimpin UMNO bersikap jujur

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan UMNO perlu bersikap jujur sekiranya mahu berbaik semula dengan Pas bagi menjayakan matlamat kerajaan perpaduan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, UMNO tidak seharusnya bersikap hipokrit dalam isu kerajaan perpaduan antara Pas dan Barisan Nasional.

Beliau berkata, UMNO perlu bersedia untuk mengakui kesalahan mereka yang lalu, termasuk penindasan terhadap Kerajaan Kelantan juga Menteri Besar negeri berkenaan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

“Oleh kerana mahu dimaafkan barulah sekarang nak mengaku pernah buat kesalahan dahulu di Pas Kelantan dan kemudian mereka buat semula di Perak, kemudian tahun depan minta maaf pula di Perak lepas itu nak ambil pula Selangor.

“Jika mahu dimaafkan kita perlu jujur terlebih dulu dan sikap itu perlu ditunjukkan bersungguh-sungguh,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Wacana Pendidikan Rakyat (Wadila) di sini, semalam.

Anwar berkata, UMNO tidak boleh terus memanipulasi isu ini untuk menutup kesalahan.

“Bila kita bercakap perihal Pas memaafkan, saya sudah pasti Pas akan memaafkan kesalahan UMNO yang terdahulu, tetapi anda tidak boleh memanipulasi kesalahan dan keadilan secara berterusan.

“Saya tiada masalah kalau mereka jujur, sudah lama memaafkan mereka walaupun mereka terus berbuat demikian,” katanya.

- SINAR HARIAN

Sabtu, Jun 20, 2009

Komentar - Renung di mana mula masalah perpecahan orang Melayu

Oleh AZMAN ANUAR

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pada Rabu lalu meluahkan kebimbangannya mengenai tahap perpecahan orang Melayu. Orang awam yang mengaku dirinya Melayu pun akan terasa perpaduan dalam kalangan Melayu sekarang dilihat terlalu lemah.

Sudah beribu kali suara menyeru orang Melayu bangkit, perkukuhkan kembali semangat perpaduan Melayu. Tetapi seruan itu sekadar berlalu pergi dan kemudian datang kembali.

Tiada reaksi bersungguh-sungguh untuk bersatu. Bertahun-tahun kita lihat usaha menyatukan Melayu terutama melalui saluran politik. Hasilnya ialah bercakaran sesama orang Melayu.

Kenapa susah sangat untuk fahami kedudukan orang Melayu sekarang? Hakikatnya orang Melayu di ambang perpecahan.

Menurut Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan, Melayu kini berpecah kepada lima iaitu Melayu-UMNO, Melayu-Pas, Melayu-Parti Keadilan Rakyat (PKR), Melayu-atas pagar dan Melayu-Sabah dan Sarawak.

Tahukah apa kesan buruk jika Melayu berpecah? Tidak payah tunggu kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu sekarang jatuh, lihat pentadbiran negeri yang dikuasai oleh pemimpin bukan Melayu.

Kita patut menginsafi nasib Melayu Patani di selatan Thailand dan Melayu Moro di selatan Filipina yang bernaung di bawah kerajaan bukan Islam. Adakah perkembangan bangsa dan agama Melayu di sana terbela?

Apa yang dapat kita saksikan ialah pergolakan, pembunuhan dan keganasan yang tidak kunjung padam. Percayalah, jika kita tidak berjaga-jaga, Malaysia juga mungkin jadi begitu.

Adalah sesuatu yang merugikan jika Melayu yang mewakili 66.6 peratus atau dua pertiga penduduk negara ini bergaduh dan berpecah. Jangan ingat kuasa Melayu akan kekal selama-lamanya. Kuasa itu boleh terlepas jika ia tidak digenggam erat oleh pemimpin Melayu sendiri.

Tanda-tanda kuasa politik Melayu kian terancam dan boleh terlepas mula kelihatan. Usaha untuk perpaduan Melayu pun menerima tentangan bukan sahaja pemimpin Melayu malah bukan Melayu mahu 'tumpang semangkuk.'

Sebenarnya tidak ada salahnya orang Melayu berbeza fahaman politik. Tetapi, jika taraf dan hak Melayu/Bumiputera mahu diganggu-gugat oleh bukan Melayu maka semua pemimpin Melayu/Islam patut bersatu hati dan suara.

Belum ada kajian mendakwa perpaduan sesama Melayu/Islam akan merugikan kaum lain di negara ini. Tetapi perpecahan orang Melayu dalam politik melalui pilihan raya telah menampakkan keadaan huru-hara dalam negara.

Ini terjadi kerana segelintir pemimpin bukan Melayu cuba mengambil kesempatan dengan mencetuskan tuntutan yang bukan-bukan hingga mengguris perasaan orang Melayu dan Raja-raja Melayu.

Kemelut politik selepas 8 Mac 2008 mungkin boleh dikawal jika orang Melayu tidak berpecah-belah dan diperkudakan oleh pihak tertentu.

Masalah ini patut dipulihkan kepada asal. Perpaduan orang Melayu perlu diperbetulkan di peringkat kejiranan, kemasyarakatan, daerah dan negeri.

Cuba kita renung di mana bermula masalah perpecahan orang Melayu.

Bibit-bibit perpecahan ini berlaku apabila surau dan masjid disalahgunakan untuk kepentingan politik. Inilah masalah paling besar yang dihadapi oleh umat Islam negara ini sekarang.

Ceramah agama digunakan untuk memburuk-burukkan kerajaan dan pemimpin negara. Tujuannya menghasut kariah membenci pihak-pihak tertentu.

Sebagai ketua agama setiap negeri maka pihak istana wajar bertindak tegas untuk melarang surau-surau dan masjid daripada dijadikan tempat menyebarkan fitnah demi menjaga perpaduan ummah.

Dengan lima negeri berada di bawah kerajaan campuran pakatan pembangkang, sejauh mana dapat dipastikan masjid dan surau tidak menjadi tempat memecah belahkan orang Melayu.

Khamis, Jun 18, 2009

DAP, PKR perlu sertai perbincangan kerajaan perpaduan - PAS

Pas sedia berbincang dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) mengenai kemungkinan pembentukan kerajaan perpaduan dengan syarat rakan Pakatan Rakyat yang lain, iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut dibawa menyertai rundingan itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, berkata memandangkan parti itu kini bersama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, perlu menerima penyertaan dua parti itu jika ingin membincangkan mengenai pembentukan kerajaan perpaduan.

"Jika Perdana Menteri tidak bersedia untuk berbincang dengan DAP dan PKR, ini bermakna Pas juga tidak bersedia untuk berbincang dengan Umno atau BN," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kelmarin, Najib berkata, beliau percaya Pas ikhlas untuk berbincang mengenai penubuhan kerajaan perpaduan yang dicetuskan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, turut menyatakan keterbukaannya dan tidak menolak sebarang kerjasama dengan Pas.

Mustafa berkata, perbincangan antara Pas dengan Umno dan BN mengenai cadangan pembentukan kerajaan perpaduan sebenarnya sudah lama berakhir dan beliau menegaskan parti itu tidak akan mengkhianati rakan dalam Pakatan Rakyat.

Beliau mendakwa, selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah mengadakan pertemuan dengan Pas bagi membincangkan kerajaan perpaduan demi kepentingan masyarakat Melayu.

Katanya, pada pertemuan itu Pas diwakili beliau sendiri, Timbalan Presiden parti, Nasharuddin Mat Isa dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, bertemu Abdullah serta bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

"Pada pertemuan itu jika Pas bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan, wakil Pas akan diberi jawatan Menteri Besar Selangor dan Menteri Besar Perak serta beberapa jawatan lain dalam kerajaan, tetapi kami menolak cadangan itu," katanya. "Selepas daripada itu tiada lagi sebarang perbincangan dengan Umno dan BN diadakan. Soal Pas dengan Umno mengenai kerajaan perpaduan tidak timbul lagi," katanya.

Namun Mustafa berkata, pintu perbincangan dengan Umno dan BN tidak tertutup dan parti itu sentiasa sedia berbincang dengan Umno dan BN jika diperlukan dalam hal yang berkaitan kepentingan negara serta rakyat.

- BERITA HARIAN

Sabtu, Jun 13, 2009

Benarkan Chin Peng balik - Anwar


Ketika ramai masih menentang idea ini, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerajaan membenarkan bekas ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulang ke tanah air.

Ketua Pembangkang di Parlimen itu berkata, Chin Peng seharusnya dibenarkan menghabiskan hari-hari akhirnya atas dasar peri kemanusiaan, malah Malaysia juga sudah menjalin hubungan baik dengan China.

"Dia (Chin Peng) umur pun dah dewasa. Dia nak balik ke kampung halaman dia, kita dah benarkan dulu," katanya.

Oleh kerana Malaysia turut menjalin hubungan baik dengan China, katanya, adalah tidak wajar Chin Peng dihalang daripada kembali ke tanah air.

“Nampaknya kita sudah memaafkan mereka semua, mengapa tidak memaafkan seorang ini atas apa yang dia telah lakukan," kata beliau pada sidang media Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapan khas beliau pada kongres itu, Anwar juga melahirkan pendirian serupa.

“Bagaimanapun ini tidak bermakna kita bersetuju dengan semua kesalahan yang dia lakukan," kata Anwar sambil menambah, beliau pernah mengecam komunis ketika zaman mudanya dulu.

"Sejarah kita kena lihat secara objektif dan kita ambil sikap peri kemanusiaan. Yang sudah sudahlah, kita kerja," katanya lagi.

Anwar berkata, sewaktu beliau berada dalam kerajaan, beliau dan beberapa pemimpin Umno dan Barisan Nasional pernah berkunjung ke China dan pemimpin-pemimpin Parti Komunis China secara terang-terang menyokong PKM.

Idea agar Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia dilontarkan oleh Gerakan tetapi ia mendapat tentangan pelbagai pihak. Malah kerajaan juga menegaskan ia tiada hasrat untuk membenarkan Chin Peng pulang ke Malaysia.

Dalam pada itu, Pakatan Rakyat mengulangi kesediaan untuk jalin kerjasama dengan Umno-BN berhubung isu-isu nasional termasuk krisis politik Perak tetapi idea PAS tentang kerajaan perpaduan tidak timbul sama sekali.

Anwar berkata, Pakatan Rakyat bersedia untuk menemui Umno-BN dengan syarat sistem keadilan dan pilihan raya negara diperbaiki.

"Kita bersedia untuk menemui Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak (Perdana Menteri dan Pengerusi BN) untuk menyelesaikan isu Perak tetapi ia mesti melalui pilihan raya.

"Kita sedia berbincang dan mendengar pandangan mereka, pandangan Umno dan mereka mendengar pandangan kita," kata beliau.

PKR berhimpun di sini hari ini untuk membincangkan pindaan perlembagaan parti.

Anwar yang juga Penasihat PKR berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Kerajaan perpaduan menjadi isu baru semula selepas ia dibangkitkan oleh Hadi pada Muktamar Tahunan PAS Ke-55 Jumaat lalu.

"Tidak timbul soal kerajaan perpaduan. Kita sedia berbincang dengan syarat tiada kezaliman, (baiki) sistem keadilan dan kekalkan pilihan raya yang bebas dan adil," kata Anwar lagi.

Pakatan dianggotai oleh PKR, DAP dan PAS.

- MSTAR

Zaid Ibrahim sertai PKR, dilantik anggota majlis pusat

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang dipecat dari Umno akhir tahun lalu telah memutuskan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ia diumumkan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui wartawan sempena Kongres Nasional Khas parti itu di sini hari ini.

"Satu berita yang menggembirakan berkuat kuasa hari ini... satu penghormatan dan lonjakan kepada perjuangan kita... perkembangan sangat positif untuk PKR," kata Anwar.

Zaid juga hadir pada kongres hari ini yang diadakan untuk membincangkan pindaan perlembagaan parti.

Anwar berkata, penyertaan Zaid akan berkuat kuasa sebaik sahaja penerimaan permohonannya ditandatangani oleh Presiden Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Malah Zaid juga akan dilantik sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi dan Biro Politik PKR, kata Anwar.

Anwar menambah, beliau akan memaklumkan penerimaan Zaid pada mesyuarat Pakatan Isnin.

Difahamkan Zaid juga akan diberikan peranan untuk memperkukuhkan Pakatan.

Zaid sebelum ini merupakan ahli Umno dan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bahru dan pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2004 atas tiket Barisan Nasional.

Beliau dilantik sebagai anggota Kabinet atas kapasiti sebagai senator oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Bagaimanapun pada 15 September tahun lalu, Zaid bertindak meletakkan jawatannya dalam Kabinet selepas dipercayai tidak berpuas hati dengan penahanan tiga individu termasuk seorang wartawan di bawah ISA sebelum itu.

Beliau selepas itu mencetuskan kontroversi dalam Umno selepas dilihat secara terbuka menghadiri majlis parti pembangkang dan akhirnya dipecat daripada Umno pada 2 Disember kerana membuat tindakan yang bertentangan dengan etika parti.

Zaid berkata, beliau menyertai PKR kerana yakin dan percaya "dengan perjuangan parti berbilang kaum."

"Saya percaya kalau beri peluang, saya akan berusaha membantu Anwar dan kepimpinan lain yang berminat dan berhasrat kukuhkan Pakatan Rakyat," katanya.

- MSTAR

PKR after reforms

Parti Keadilan Raykat (PKR) will hold a special congress tomorrow to approve its widescale proposed reforms, which, among others, will propose the direct election of its president and limit the term of the party presidency.

The reforms are likely to be approved by some 2,000 delegates without much problem, and PKR will then be able to project itself as a more democratic and appealing party to grassroot members.

The question that lingers is the future of the party, which was established about 10 years ago following the sacking of Datuk Seri Anwar Ibrahim as deputy prime minister.

Political analysts are of the opinion that for the party to be viable, PKR will have to come up with long-term strategies, and not just amend the constitution to make the party more democratic.

"In order to be viable, they have to think of the reality of the party with or without Anwar," said Dr Oh Ei Sun.

He said PKR had to face the prospect of the party being without Anwar, its adviser, and ensure that changes were made to the current situation where most of the power would be centred on Anwar's wife Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, being president.

"Even with the existing provisions in the party, with the party president being elected by the delegates, Anwar is still effectively running the party. Therefore, a new round of reforms will only be meaningful if the party walks the talk," he said.

Apart from amending the party constitution to allow more democratic changes, Oh said the party also needed to decide on a clear definition for Anwar's role in the party, either limiting it to the advisory role or allowing him to effectively run the party.

"Do they really practise it? Let say, if the party results are not to the liking of party leaders, how would the results be received and implemented?" Oh cited the recently concluded PAS election as a clear example.

For political analyst James Wong, what is important is for PKR to take more steps to institutionalise the party rather than continue with the current personality-based approach.

"You have to do it, otherwise you won't survive. You must remember that Anwar's sodomy trial is coming up next month. You cannot be depending on one or two personalities to survive," he said.

Wong said now was the right time for PKR to be institutionalised in order for the party to move forward with or without Anwar.

Another analyst, Khoo Kay Peng, however felt that the notion that the party was solely based on Anwar was not accurate.

He said in last year's general election, the party mostly adopted a stand based on issues, not on personality issues involving Anwar.

However, there was no doubt that the party is not out of Anwar's shadow yet, he said.

"What the party actually needs in future is to groom a group of leaders as the party is growing bigger and cannot be dominated by any particular person. At the same time, [it needs to] be selective in its candidates for the next general election.

"If they don't groom a team, they will find it difficult to find another person to replace him (Anwar). They need to work and strengthen who is in power, instititionalise and build a more permanent committee," he said.

However, for PKR strategic director Tian Chua, the amendments to the party constitution tomorrow already show that the party is moving towards creating being movement-oriented and modern, with progressive and democratic values as well as reform programmes.

"This is the process to build a modern political institution for good governance," he said.

- BERNAMA

Selasa, Jun 09, 2009

Maksimum 9 tahun Presiden PKR boleh pegang jawatan

Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan kongres khas Sabtu ini bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti itu, antara lain membolehkan 300,000 ahlinya memilih barisan kepimpinan pusat mulai tahun depan.

Selain itu, PKR akan mengehadkan Presiden parti memegang jawatannya bagi satu tempoh maksimum tiga penggal selama sembilan tahun.

Ia merupakan antara pindaan fundamental dan istilah yang akan diperhalusi oleh kongres khas, kata Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan PKR, R. Sivarasa dan Pengarah Pilihan Raya, Saifuddin Nasution Ismail.

Sivarasa berkata, tempoh had pegang jawatan hanya membabitkan kerusi Presiden parti.

"Ini kerana jawatan Presiden adalah kedudukan utama dalam parti... kita tidak mahu seseorang Presiden yang dipilih memegang jawatan Presiden untuk tempoh yang lama... kami tidak mahu apa yang berlaku di parti-parti lain berulang di PKR," kata beliau yang juga Naib Presiden PKR kepada mStar Online.

Selain itu, kata beliau, PKR juga bercadang untuk mengadakan pemilihan langsung membabitkan setiap ahli parti.

"Jika pindaan ini diterima bermakna PKR akan menjadi parti pertama di negara ini mengadakan pemilihan langsung melibatkan semua ahli... sebelum ini kita menggunakan sistem perwakilan bahagian," katanya.

Jelas beliau, jika sistem baru ini digunakan bermakna pengundian akan diadakan di setiap bahagian dengan penjumlahan undi akan dibuat di peringkat nasional.

Selain membenarkan kira-kira 300,000 ahlinya memilih pemimpin peringkat pusat secara langsung, ia juga akan menambah jumlah Naib Presiden daripada lima kepada tujuh orang iaitu empat dipilih dan tiga dilantik.

Langkah itu penting bagi menggambarkan komposisi penduduk pelbagai kaum di negara ini.

"Ini kali pertama kami akan membincangkan pindaan paling drastik, sejak PKR ditubuhkan (satu dekad lalu)... pindaan yang diperlukan mengikut perubahan semasa dan tuntutan keperluan masa kini," kata Saifuddin ketika dihubungi.

"Berdasarkan taklimat yang diberikan, pindaan kali ini melibatkan aspek fundamental dan juga istilah.

"Misalnya, selepas ini bahagian akan dikenali sebagai cabang, cawangan-cawangan (PKR) akan dikenali sebagai ranting manakala ahli pula akan dikenali sebagai anggota... ini antara perkara yang akan dibincangkan kali ini," kata beliau yang juga anggota Biro Politik.

Selain itu PKR juga akan menukar nama Majlis Pimpinan Tertinggi kepada Majlis Pimpinan Pusat.

Ketika ditanya sama ada sejajar dengan meminda perlembagaan PKR juga merancang untuk mengadakan pemilihan parti tahun ini juga, Sivarasa memberitahu, pemilihan akan kekal diadakan tahun depan.

"Mandat semasa ialah dari 2007 hingga 2010, dan hanya akan berakhir tahun depan. Jadi pemilihan akan kekal diadakan tahun depan," katanya lagi.

Kongres khas itu yang sepatutnya diadakan Februari lalu telah ditangguhkan ekoran pilihan raya kecil Bukit Selambau dan Bukit Gantang dan kemudian sekali lagi disebabkan pilihan raya kecil Penanti.

- MSTAR

Khamis, Jun 04, 2009

Ahli Majlis PKR boikot majlis pelantikan YDP baru MPSP

Sekumpulan Ahli Majlis daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memulaukan majlis pelantikan Yang Dipertua baru Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dari kalangan penjawat awam, kerana membantah tindakan kerajaan negeri yang dikatakan tidak berunding dengan parti itu berhubung pelantikan itu.

Ketua Wip MPSP, Johari Kassim berkata, lapan daripada sembilan ahli majlis dari parti berkenaan tidak memasuki Dewan Kenanga di bangunan MPSP, iaitu tempat berlangsungnya majlis angkat sumpah jawatan YDP yang baru Mokhtar Mohd Jait pagi ini kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Ketua Menteri, Lim Guan Eng kerana tidak berunding dengan PKR mengenai pelantikan itu.

Ketika dihubungi BERNAMA, beliau berkata, setahunya, Lim tidak memanggil PKR dan PAS untuk berunding walaupun sebelum ini telah ada persetujuan di peringkat kepimpinan parti gabungan itu bahawa pelantikan YDP MPSP perlulah dibuat di kalangan pemimpin politik dan jawatan itu diserahkan kepada PKR.

Beliau mendakwa, pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Ketua Menteri 1 yang baru, Mansor Othman semalam mengenai pelantikan Mokhtar merupakan satu "helah" Lim untuk melepaskan diri daripada persetujuan awal yang dicapai sebelum ini.

"Ini permainan politik Lim dan keputusan mengenai pelantikan itu telah dibuat sebulan yang lalu dan sebaik menjawat jawatan sebagai TKM1 semalam, Mansor diminta mengumumkan keputusan berkenaan. Ia seolah-olah satu perangkap kepada Mansor dan PKR,"dakwanya.

MPSP mempunyai 24 ahli majlis dan daripada jumlah itu, 10 diwakili pemimpin DAP, sembilan PKR, dua Pas dan tiga daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pada majlis angkat sumpah jawatan Mokhtar hari ini, hanya 14 ahli majlis sahaja yang hadir dan kebanyakan tempat duduk ahli majlis kosong.

Daripada jumlah itu seorang sahaja ahli majlis dari PKR, Farid Arshad yang hadir pada majlis itu.

Johari, yang merupakan Anggota Jawatankuasa Perhubungan PKR Pulau Pinang berkata, pada peringkat awal dahulu, PKR mencadangkan Mansor sebagai YDP MPSP tetapi berikutan peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin sebagai TKM1 dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Mansor mengambil alih jawatan TKM 1 selepas mememangi DUN Penanti 31 Mei lalu.

Katanya, beliau berani bertanggungjawab terhadap perbuatan dan kenyataannya itu dan menyerahkan kepada parti untuk menentukan kedudukannya sebagai Ahli Majlis selepas ini.

Sementara itu, Lim dalam sidang akhbarnya selepas menyaksikan majlis angkat sumpah jawatan Mokhtar di sini berkata, keputusan pelantikan Mokhtar telah dipersetujui oleh exco kerajaan negeri dan meminta ahli majlis berkenaan supaya tidak berlagak seperti exco.

"Ini keputusan exco dan pelantikan itu telah diumumkan oleh TKM1 semalam. Mansor yang umumkan perkara ini, macam mana ada masalah pula. Saya minta Mansor selesaikan perkara ini secara dalaman tetapi kerajaan negeri telah menyokong pelantikan Mokhtar. Biar Mansor yang uruskan perkara ini," katanya mengelak daripada menjawab pertanyaan wartawan.

Sementara itu, Mansor yang turut hadir pada sidang akhbar berkenaan berkata, beliau akan merujuk perkara itu kepada Pengerusi Perhubungan PKR Negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim supaya siasatan lanjut dapat diadakan.

"Saya nampak juga ada kekosongan (tempat duduk) dan ada beberapa ahli majlis daripada PKR yang tidak hadir. Saya akan hubungi Pengerusi PKR Negeri untuk minta dia siasat," jawabnya ringkas.

Bagaimanapun, Zahrain gagal dihubungi untuk penjelasan lanjut.

Anggota Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dalam kenyataannya hari ini mahu ahli majlis dari PKR yang membantah pelantikan itu supaya meletakkan jawatan kerana soal pelantikan itu adalah kuasa kerajaan negeri.

Bercakap kepada pemberita, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow berkata sebelum ini majlis kepimpinan tertinggi pakatan pembangkang ada berbincang mengenai pelantikan ahli politik sebagai YDP.

Bagaimanapun, disebabkan tiada keputusan dibuat, kerajaan negeri memutuskan melantik Mokhtar, bekas Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, sebagai YDP MPSP.

- BERNAMA

Selasa, Jun 02, 2009

Semuka dengan pengundi, faktor kemenangan Pakatan Rakyat - PKR

Pendekatan turun padang bertemu pengundi sasaran secara bersemuka dan kemaufakatan kepimpinan ketiga-tiga parti membantu dari segi penerangan setiap malam akhirnya membuahkan kemenangan kata, Pengarah Pilihanraya Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Saifudin Nasution Ismail.

Beliau ketika ditemui di Yayasan Aman, Penanti menambah, bila Umno dan Barisan Nasional (BN) mengistiharkan tidak menyertai pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti semua strategi Pakatan Rakyat berubah.

"Strategi kena berubah daripada menyerang kepada penerangan. Jika BN sertai pilihanraya lain pula caranya kita berhadapan dengan parti itu. Tetapi bagaimana pun saya bersyukur dengan keakraban kerjasama yang baik telah terbukti hari ini, " ujarnya.

Dua hari sebelum mengundi tegasnya, jentera wanita KeADILan Bahagian telah berjaya bertemu 3,369 pengundi tegar dan satu lagi kumpulan diketuai oleh Wanita KeADILan Pusat bertemu 3,021 sasaran.

Ini merupakan kemantapan yang dikehendaki oleh semua parti dalam Pakatan Rakyat dan pengalaman ini sambungnya akan dibawa ke Dun Manik Urai tambahan lagi Umno dan BN awal-awal lagi telah bertekad meletakan calon tentu ada strategi mereka yang baru.

"Kita kena hati-hati untuk berhadapan dengan BN kali ini dan kita akan pergunakan pengalaman kemenangan yang dilalui di setiap pilihan raya kecil lalu termasuk Penanti, " katanya.

Pihak KeADILan juga merakamkan terimakasih pada Presiden PAS, pemimpin tertinggi PAS, Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Pusat dan pimpinan DAP kerana sudi datang untuk memastikan kemenangan Pakatan Rakyat di Penanti.

"Selepas ini giliran KeADILan pula membantu PAS di Manek Urai. Kita akan pergi beramai-ramai, " katanya diiringan laungan 'Allahu Akbar'.

- HARAKAH DAILY

Recent Posts