Memaparkan catatan dengan label Nik Aziz. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nik Aziz. Papar semua catatan

Selasa, Disember 15, 2009

Anak Nik Aziz masuk gelanggang siber

Anak perempuan menteri besar Kelantan, Nik Amalina Nik Aziz, meneroka gelanggang siber dengan membuka blog sendiri Jumaat lalu yang turut mengulas pergolakan politik dalaman negeri itu berkaitan suaminya Abdul Ariffahmi Ab Rahman.

Nik Amalina menjadi tumpuan ramai apabila blog ahli parlimen PAS Dr Siti Mariah Mahmud menyiarkan suratnya, yang meluahkan perasaan berhubung isu peletakan jawatan suaminya itu sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Dalam blognya Sari Suri, anak kesembilan Datuk Nik Aziz Nik Mat turut mengulas mengenai kehidupannya sebagai seorang suri rumah dan cabaran membesarkan anak-anak hasil perkahwinanya dengan Abdul Ariffhami sejak 10 tahun lalu.

Antara tulisan awal dalam blognya kelmarin, Nik Amalina dilihat cuba menggeletek seorang exco negeri itu, yang tidak dinyatakan namanya.

Dalam tulisannya yang berjudul "Alahai...", Nik Amalina berpendapat, hanya seorang exco Kelantan wajib meletakkan jawatan, bukannnya semua.

"Kalau ditanya saya, tentunya saya jawab, kalau adapun exco yang patut letak jawatan, saya wajibkan seorang exco itu saja yang letak jawatan.

"Ada berani exco yang seorang itu menyahut cabaran?" katanya, dengan nada mencabar.

Nik Amalina dipercayai mengulas kenyataan bekas pegawai perhubungan korporat PMBK Syed Azidi Syed Abdul Aziz - yang bertembung dengan suaminya - yang berpendapat suratnya dalam blog Dr Siti Mariah tentang 'persidangan meja bulat' Nik Aziz, secara tidak langsung menyinggung peranan exco negeri.

Syed Azidi berkata, kalau diikutkan pandangan Nik Amalina itu, semua exco kerajaan negeri patut meletakkan jawatan kerana ia menggambarkan keputusan melantik Abdul Ariffahmi dibuat dengan merujuk kepada ahli keluarganya semata-mata.

Dalam tulisannya kelmarin, walaupun Nik Amalina tidak menyebut langsung nama exco yang dirujuknya, beliau diketahui tidak selesa dengan pengaruh Datuk Husam Musa, exco kanan kerajaan negeri yang dianggap anak didik Nik Aziz.

Abdul Ariffahmi, yang bergelut dengan kontroversi pelantikannya sebagai peneraju utama PMBK, bercadang menyerahkan notis pada 24 Disember ini sebelum peletakan jawatannya berkuatkuasa 23 Mac depan.

Selain berdepan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegaran Rasuah (SPRM), Abdul Ariffahmi juga sering diasak oleh musuh politiknya Syed Aziz melaluinya blog Kickdafella yang mempunyai ramai pembaca.

Nik Amalina mula dilihat terbabit dalam konflik terbuka tersebut apabila beliau dengan penuh emosi mempertahankan suaminya, sekaligus mengkritik keras Syed Azidi melallui blog ahli jawatankuasa pusat PAS itu, hujung bulan lalu.

- MALAYSIAKINI

Jumaat, Disember 11, 2009

Nik Aziz Bimbang Kenaikan Mas Kahwin Tambah Bilangan Anak Dara Tua

KOTA BAHARU: Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju kadar mas kahwin dinaikkan kerana ialah boleh mengundang kepada ramai gadis menjadi anak dara tua.

"Kita tidak bercadang menaikkan kadar mas kahwin di Kelantan dan mahu mengekalkan peraturan sedia ada," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di sini hari ini ketika diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan Selangor menaikkan kadar mas kahwin di negeri itu daripada RM80 kepada RM300 berkuatkuasa 1 Januari tahun depan.

Nik Abdul Aziz berkata beliau sudah lama mengamalkan langkah tidak mengambil berat mengenai mas kahwin termasuk yang membabitkan perkahwinan anak-anaknya sendiri.

"Saya pun mengenakan tidak lebih RM1,000 bagi mas kahwin (yang termasuk hantaran) setiap anak saya sejak dulu," katanya.

Menurutnya langkah mengenakan mas kahwin dan hantaran yang terlalu tinggi lebih bersifat riak dan menunjuk-nunjuk.

Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan tidak menetapkan jumlah tertentu berhubung kadar mas kahwin bagi pasangan yang ingin berumah tangga di negeri itu.

- BERNAMA

Nik Aziz puji PM berani

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam, menyifatkan Datuk Seri Najib Razak sebagai seorang pejuang Islam serta pemimpin yang berani.

Beliau berkata, tindakan Perdana Menteri ke Selatan Thailand kelmarin dalam usaha membantu umat Islam di sana adalah satu tugas terpuji dan bersetuju dengan usaha yang dilakukan Presiden Umno itu.

Katanya, Najib juga dianggap sebagai pemimpin berani kerana masih sanggup bertemu dengan penduduk Islam di negara bergolak itu sedangkan ketika kunjungan berkenaan, berlaku beberapa kejadian menembak dan pengeboman yang mengorbankan beberapa nyawa.

Saya setuju sangat dengan tindakan Najib membantu itu, tapi ia hendaklah tidak kira orang Islam, malah membabitkan semua penduduk di situ.

Kalau ada usaha dari Malaysia untuk membantu penduduk Islam di negara itu (sebagaimana dilakukan Najib), saya cukup setuju. Penduduk Selatan Thailand itu sama ada Islam atau tidak, perlu dibantu, saya cukup dukacita dengan kejadian yang berlaku di negara itu, katanya selepas merasmikan seminar menjelang 20 tahun kepimpinan ulama membangun bersama Islam negeri Kelantan, di Dewan Konvensyen Pusat Perdagangan Kelantan, di sini, semalam.

Nik Aziz berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai lawatan muhibah Najib ke Narathiwat, Selatan Thailand, kelmarin, dalam usaha membantu masa depan sekolah dan masyarakat Islam di situ.

Dalam lawatan pertama Perdana Menteri Malaysia ke wilayah bergolak itu yang menyaksikan hampir 4,000 orang terkorban sejak Januari 2004, Najib berkata, Kerajaan Malaysia menimbang membantu sekolah agama di Selatan Thailand.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, beliau tidak seberani Najib untuk ke wilayah berkenaan kerana bimbang kena tembak.

Katanya, ada pihak daripada Selatan Thailand datang ke pejabatnya sebelum ini untuk meminta beliau mengadakan ceramah di negara itu, namun ditolak dengan baik.

- BERITA HARIAN

Ahad, Disember 06, 2009

Umno dalam keadaan 'lemas' - Nik Aziz


Ahli dan penyokong PAS yang penuh sesak membanjiri Dewan Ustaz Fadhil Noor, di Markas PAS di Taman Melewar malam tadi beramai-ramai menyatakan sokongan kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk terus memimpin Kelantan.

Sebelum menteri besar itu menyampaikan ucapan, pengerusi majlis, Tarmizi Mat Jam meminta lebih 1,000 hadirin supaya bangun dan dewan tersebut bergema beberapa kali dengan laungan"Kita Sokong Tok Guru Nik Aziz" dan "Sokong Tok Guru" dan diiringi laungan takbir sebanyak tiga kali.

Tarmizi yang juga naib yang dipertua PAS Batu mengetuai acara tersebut pada kira-kira jam 11 malam sebelum Nik Aziz menyampaikan ucapan bersempena menyambut perayaaan jubli perak PAS kawasan tersebut.

Laungan itu berlangsung selama lima mini, yang turut disertai beberapa pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat antaranya, ahli jawatankuasa PAS pusat, Mohamed Hanipa Maidin; yang dipertua PAS Batu, Ishak Surin; ahli parlimen Batu, Tian Chua; pengerusi Kelab Penyokong PAS India, Balasubramaniam serta bekas pemimpin PAS Hassan Shukri dan Subky Latif.

Tarmizi berkata, ia sebagai kesinambungan kepada sokongan rakyat Kelantan yang ditunjukkan kepada Nik Aziz Jumaat lalu.

Beliau berkata, pada mulanya pihaknya bercadang mengedarkan lilitan kepala kepada hadirin - seperti yang dilakukan oleh penyokong menteri besar di Kelantan, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, jelasnya, hasrat tersebut tidak kesampaian ekoran kesuntukan masa untuk menyiapkan lilitan tersebut.

Nik Aziz yang juga pesuruhjaya Kelantan dilihat tersenyum dan gembira dan kemudiannya kelihatan bersemangat untuk menyampaikan ceramahnya.

Semangat berucap

Dalam ucapannya, beliau menyifatkan Umno kini berada dalam keadaan "lemas" dalam usaha mereka untuk merampas semula Kelantan dari PAS dan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang lain.

Katanya, walaupun menyedari mereka berada dalam keadaan begitu, Umno masih "meraung-raung" dengan pelbagai cara bagi mencapai cita-cita mereka mengambil semula negeri itu.

"Oleh kerana mereka dalam keadaan lemas, mereka meraung-raung bermacam-macam, termasuk tuduhan yang dilemparkan kepada saya.

"Dia (Umno) tengok saya berserban, tidak pandai memerintah negeri dan saya pakai jubah tak tahu apa-apa pun. Jadi tuduhan itu macam-macam. Dia tahu bahawa dia sedang lemas.

"MCA (sekarang) kacau bilau sedangkan MCA jadi tongkat (BN) sebelah kanan. MIC, jadi tongkat kiri, kini jadi kacau bilau. Oleh kerana tak tahu nak buat apa, mereka lempar tuduhan kepada saya," kata Nik Aziz.

Nik Aziz mengulas mengenai situasi politik terkini yang hadapinya termasuk demonstrasi yang dianjurkan oleh Umno minggu lalu yang mendesak beliau melepaskan jawatan berhubung isu doanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

'Umno lemas'

Dalam ceramahnya malam tadi itu, Nik Aziz berkata Umno kini berada dalam keadaan 'lemas' dengan memberikan beberapa situasi dalam politik parti itu, antaranya Umno Terengganu berpecah kepada dua kumpulan dan krisis di Perak di mana berlakunya usaha perebutan merampas kerusi speaker DUN.

Mursyidul am PAS itu juga mengumpamakan Umno sebagai seorang 'datuk yang cuba memujuk cucunya yang tidak mahu berhenti menangis setiap pagi'.

"Oleh kerana mahu cucunya senyap (dan) tidak menangis, dia kata, burung, burung, Nik Aziz, Nik Aziz," katanya, yang membuatkan kira-kira 1,000 hadirin ketawa dan memberi tepukan.

Menurut Nik Aziz, Umno juga berada dalam keadaan terdesak apabila mereka membuat rayuan menangguh pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh kosong.

"Kota Siputeh itu kawasan dia. (Ia) telah dikosongkan oleh speaker dan mahkamah bersetuju (bahawa) speaker ada kuasa penuh (untuk isytihar kerusi itu kosong).

"Speaker itu umpama pengadil dalam perlawanan bola sepak. Kalau (keputusan) pengadil boleh dibantah lagi, tak main bola lah, kita panggil berlaga betih lah," kata Nik Aziz yang mencuit hati para hadirin.

"Keputusan speaker kita nak tolak macam mana, dia raja. Dalam DUN dan parlimen, speaker adalah raja. Dalam padang bola pengadil jadi raja. Begitu logiknya," tambahnya.

Program BTN

Menurut pesuruhjaya PAS Kelantan itu, Umno juga kini berada dalam keadaan 'lemas' apabila terdapat pendedahan yang mendakwa program anjuran Biro Tatanegara (BTN) mempunyai unsur perkauman.

"Kerja dia bertahun-tahun, hilang sekelip mata kerana rahsia BTN ini bukan untuk menyelamatkan negara tapi nak kata orang Melayu (untuk orang) Melayu dan orang Cina (untuk orang) Cina," katanya.

Setakat ini, kerajaan Pakatan di Selangor dan Pulau Pinang mengarahkan pegawai dan kakitangannya supaya tidak menghadiri kursus anjuran biro tersebut.

Mengulas isu doanya supaya Allah membetulkan pandangan Najib yang juga presiden Umno berhubung isu royalti minyak kepada Kelantan, Nik Aziz berkata, adalah untuk menjadi tugas orang yang dizalimi berdoa kepada Allah agar mendapat haknya kembali.

"Buat apa perkara yang jahat atas muka dunia, musnahkan. Lepas tu marah. Habis nak cakap macam mana lagi, nak tolong orang jahat. Ya Allah tolong lah orang jahat, mana boleh.

"Beliau (Najib) nak beri (royalti) beri. Kalau tak beri, beliau berdepan dengan kemusnahan," katanya,

Bahkan, kata Nik Aziz, doa orang kafir yang dizalimi mustajab disisi Allah SWT.

- MALAYSIAKINI

Rabu, November 18, 2009

Nik Aziz gesa kaji royalti minyak

Kerajaan Kelantan merayu kerajaan pusat menyemak semula undang-undang berkaitan royalti minyak dengan mengambil kira aspek keadilan asasi yang memberi faedah kepada semua pihak.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kerajaan negeri sepatutnya berhak menjadi tuan punya kepada hasil bumi seperti petrol, balak dan logam yang terdapat dalam sesebuah negeri itu.

Mursyidul Am PAS berkata sebarang perselisihan atau pertikaian yang timbul dalam perkara mengenai tuntutan royalti minyak mesti mengambil kira kaedah keadilan asasi.

"Sebarang penyelesaian yang mengetepikan kaedah ini, keadilan asasi tetap akan menimbulkan perasaan dendam, menindas dan zalim yang dikutuk oleh manusia.

"Oleh itu undang-undang petrol (dan royalti minyak) yang ada sekarang hendaklah digubal (disemak) semula dengan mengambil kira keadilan asasi dan tidak hanya mementingkan masalah sebelah pihak semata-mata," katanya dalam sidang media khas mengenai royalti minyak di pejabatnya di Kota Bharu hari ini.

Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini telah mengemukakan surat rasmi kepada pusat bagi menuntut bayaran royalti minyak berjumlah RM1 bilion sejak 2004 berdasarkan laporan Jabatan Statistik.

Pada 4 Nov lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Kelantan akan menerima wang ehsan daripada kerajaan bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir negeri itu melalui Petronas mulai tahun depan.

Bagaimanapun Kelantan tidak berpuas hati dengan pemberian wang ehsan berkenaan telah melantik panel guaman untuk membuat tuntutan royalti minyak itu ke mahkamah berdasarkan perjanjian kerajaan negeri dan pusat pada 1974.

- BERNAMA

Isnin, November 09, 2009

Tiada semangat kesukanan - Nik Aziz

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kesal dengan peristiwa yang dicetuskan penyokong Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam kelmarin.

Beliau menganggap penyokong Kelantan yang dikatakan merusuh serta membakar kerusi di stadium berkenaan sebagai tiada semangat kesukanan.

"Sebab itu saya kata jangan sebut main (bermain bola), sebut riadah, dengan riadah baru ada semangat kesukanan," katanya.

Menurutnya, perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana ia boleh menjejaskan nama baik negeri.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kelantan, Yahya Jamada Ali berasa malu dan kesal mengenai insiden liar oleh segelintir penyokong Kelantan selepas pasukan mereka tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan.

Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia malam kelmarin, segelintir penyokong bertindak liar dan ganas dengan membakar mercun dan tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas ketinggalan 2-0.

Yahya menyifatkan tindak-tanduk penyokong tersebut mencerminkan seolah-olah budaya dan sikap orang yang berasal dari Kelantan hanya cenderung untuk berkelakuan sedemikian.

- KOSMO!

Isnin, Oktober 26, 2009

PAS : Keperluan Muktamar Khas Luarbiasa?

Oleh : Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Latarbelakang:
Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak dizaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.” Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata. Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.


Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.


i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.


Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

“Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.” (Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)


Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin didalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

“ Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

“ Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.” (Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :

“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”

“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”


Pandangan Saya
Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :
Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah . Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu. Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas;ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .
Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.

Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009

SUMBER:
http://www.blogtokguru.com

Rabu, September 30, 2009

Nik Aziz jemput Dr M lihat pembangunan Kelantan

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menjemput Tun Dr Mahathir Mohamad, melawat dan melihat sendiri pembangunan di bawah pentadbirannya di Kelantan.

Nik Aziz berkata, biar bekas Perdana Menteri melihat sendiri Kelantan dan tengok perbezaan yang ada sekarang berbanding sebelum beliau memegang jawatan Menteri Besar.

Tak usah mari pejabat saya, dia tengok sendiri di Kota Bharu, Gua Musang, Pasir Puteh dan Tok Bali. Sebab itu saya jemput dia mari sendiri tengok dari segi pembangunan fizikal, sekarang ada KB Mall, ada Hotel Renaissance, ada pasar raya Tesco, ada Parkson, ada Nirwana, dia boleh tengok sendirilah.

"Tak timbul langsung (perlu berundur seperti disarankan Dr Mahathir). Dia bercakap dengan barang (perkara) yang dia tak tahu," katanya kepada pemberita di Kota Darulnaim, di sini, semalam.

Semalam, akhbar memetik Dr Mahathir sebagai berkata, Nik Aziz perlu memberi laluan kepada pemimpin lain untuk memimpin Kelantan kerana sudah lama menjadi Menteri Besar tetapi Kelantan masih mundur dan beliau perlu bertanggungjawab atas perkara itu.

Minggu lalu, Nik Aziz mengulangi pendiriannya meminta Datuk Ibrahim Ali meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas, kerana tindak-tanduknya didakwa menaikkan kemarahan penyokong parti itu selepas menang kerusi itu atas lambang Pas pada pilihan raya umum lalu.

Ibrahim dalam reaksinya pula mencabar Nik Abdul Aziz meletakkan jawatan kerana didakwa gagal melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar selain atas alasan sudah tua dan wajar memberi laluan kepada pemimpin muda.

Sambil mempertahankan kenyataannya bahawa banyak pembangunan sudah dilaksanakan di Kelantan sejak Pas mengambil alih kerajaan negeri pada 1990, Nik Aziz berkata, Dr Mahathir mungkin mendengar maklumat salah daripada pihak lain berhubung kemajuan di negeri ini.

"Bagi saya dia (Dr Mahathir) tak tahu, dia dengar orang lain bercakap. Dia kena mari sendiri (ke Kelantan), kalau pembangunan fizikal, dia tengok sendiri ketika Pas Kelantan pegang sekarang berbanding dulu.

"Setiap kali mesyuarat Exco, lebih 100 kertas (dibentang), kadang-kadang sampai 150 kertas, apa erti kertas banyak kalau bukan kerana banyak pembangunan," katanya.

Beliau berkata, sejak mentadbir Kelantan, kerajaan negeri pimpinannya bukan saja melaksanakan pembangunan fizikal, tetapi aspek kerohanian yang mengubah pemikiran rakyat terhadap semua aspek berkaitan dasar Islam.

"Kelantan sekarang ini bergerak atas Islam, halal haram kami ambil peduli, masa sekular dulu tak kira halal haram, asalkan pembangunan tetap dibuat," katanya.

- BERITA HARIAN

Jumaat, Ogos 14, 2009

Dua cendekiawan Islam tegur Nik Aziz

Kenyataan terbaru Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ‘menghalalkan’ tindakan DAP menghina Islam merupakan satu kenyataan yang dipengaruhi oleh pendirian politik dan tidak berdasarkan kepada kearifan ilmu agamanya.

Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid menegaskan, perkara itu amat serius kerana apabila dibiar berterusan akan menjadikan sesuatu yang menghina Islam sebagai perkara biasa pada akhirnya.

“Bagi saya, pendapat Nik Abdul Aziz itu sangat dipengaruhi oleh pendirian politik. Ia adalah amat membimbangkan kerana akan menghakis terus perasaan sensitiviti terhadap kesucian agama Islam.

“Apabila dihina, kita hanya senyap dan pada masa yang sama seperti mengizinkan. Lama-kelamaan ia akan menjadi seperti perkara biasa dan kalis serta jika berlaku, adalah sesuatu yang amat malang bagi umat Islam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan yang tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana berpendapat parti itu bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam.

Tegas Mahmood Zuhdi, dalam setiap isu berkaitan dengan agama, tidak sepatutnya dipolitikkan kerana dibimbangi akan menjejaskan kesucian Islam itu sendiri.

Justeru, beliau yakin sekiranya Nik Abdul Aziz tidak berada pada kedudukan sekarang sebaliknya sebagai ulama biasa, pasti akan berasa sensitif dengan penghinaan dan cacian terhadap Islam yang dihamburkan oleh orang bukan Islam.

“Inilah bahayanya apabila orang- orang agama memakai topi atau pakaian politik. Saya berpendapat mungkin Nik Abdul Aziz sedikit terkeliru kerana tidak mendapat maklumat tepat dalam perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Prof. Datuk Dr. Mohammad Yusoff Hussain menegur Nik Abdul Aziz yang terlalu memberi ‘muka’ kepada DAP atas alasan mereka tidak memahami Islam secara mendalam.

“Kenyataan itu adalah jelas tidak tepat kerana saya percaya orang bukan Islam di negara ini sebenarnya sudah cukup faham dengan Islam. Cuma mereka tidak mahukan syariat Islam ditegakkan di negara ini.

“Kalau mereka tidak faham, maka sudah pasti mereka tidak akan mengeluarkan sebarang komen mengenai undang-undang Hudud seperti yang dinyatakan oleh salah seorang pemimpin mereka dahulu iaitu, ‘langkah mayat aku dahulu’,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, sebagai seorang ulama, Nik Abdul Aziz sepatutnya membetulkan persepsi orang bukan Islam terhadap ajaran Islam dan bukannya menambah kekeliruan mereka.

Mohammad Yusoff berkata, Nik Abdul Aziz seharunya mengutamakan objektif dan bukan menekankan kepada perkara subjektif iaitu kepentingan politik sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Jangan menyokong DAP hanya kerana mereka bersekongkol atau berada sekumpulan dengan kita dengan membuat pelbagai cara untuk menghalalkan apa yang mereka cakap.

“Tidak bolehlah membutakan mata, memekakkan telinga demi kepentingan golongan yang diwakili, kerana secara tidak langsung Nik Abdul Aziz telah menyokong golongan menghina Islam,” katanya yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan.

- UTUSAN

Nik Aziz izin penceramah Pas guna kata-kata keras

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, membenarkan penceramah parti itu mengeluarkan kata-kata keras terhadap lawan dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang walaupun berlangsung ketika Ramadan.

Namun, Nik Abdul Aziz mengingatkan ahli Pas yang akan terbabit dalam ceramah pada pilihan raya kecil itu supaya hanya melemparkan kata-kata itu kepada perkara berkaitan dasar saja, bukannya menyentuh hal peribadi pihak lawan.

"Dalam kempen pilihan raya itu nanti, kita boleh melakukan serangan secara dasar saja, tetapi jangan sampai berlaku serangan peribadi. Serangan terhadap dasar lawan adalah kemestian," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah jambatan Kampung Sungai Sat, dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada Pas akan mengeluarkan garis panduan terhadap ahlinya supaya tidak berkempen terlalu keras dalam pilihan raya kecil itu bermula selepas penamaan calon, 17 Ogos ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Ramadan adalah bulan kerja, bukannya bulan untuk tidur, malah umat Islam pernah berdepan Perang Badar ketika berpuasa, justeru Pas harus meneruskan kempennya pada bulan puasa ini.

"Tidak jadi masalah untuk berkempen ketika Ramadan kerana amalannya akan (mendapat pahala) berlipat ganda. Pas akan meneruskan kempennya pada bulan itu kerana kita boleh pahala nanti, perut lapar tidak mengapa," katanya.

Beliau juga berharap kejadian kecoh yang berlaku pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai tidak akan berulang pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir nanti.

"Saya berharap penyokong parti bertanding nanti, jangan menimbulkan masalah kerana pengundi yang akan membuat pemilihan nanti," katanya.

Diminta mengulas kenyataannya kelmarin yang mengatakan Pas tidak bantah DAP menghina Islam, Nik Aziz berkata, bukannya masalah tidak salah, ia sebenarnya tidak pelik.

"Pada masa itu (kelmarin), boleh jadi saya sebut tidak salah, ia sebenarnya tidak pelik kerana memang mereka tidak tahu Islam.

"Oleh itu kita (Islam) harus memberi ruang untuk berdakwah kepada kaum lain seperti Cina dan India, bukannya berdakwah sesama Islam, ini dakwah salah," katanya.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana parti itu bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap agama rasmi Persekutuan itu mungkin tidak mendalam.

- BERITA HARIAN

Jumaat, Ogos 07, 2009

PM hargai pujian Nik Aziz

Datuk Seri Najib Razak bersyukur dengan pujian Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap layanan yang diberikannya ketika Menteri Besar Kelantan itu menghadiri pelancaran Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (SEZ-ECER) di Pekan, Pahang, pada Selasa lalu.

Sambil menyatakan penghargaannya terhadap kenyataan Nik Abdul Aziz itu, Najib berkata, beliau melakukannya secara ikhlas atas kedudukan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

"Ya ke?... Alhamdulillah. Saya adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dan saya nak berlaku adil kepada semua rakyat. Saya amat menghargai komen Datuk Nik Aziz dan saya menghargai kesudian beliau mengikuti program sepanjang jalan di Pekan.

"Bagi saya, ini menunjukkan beliau juga ingin menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan Pusat," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada akhir lawatan tiga harinya sempena Rundingan Tahunan Malaysia-Brunei ke-13 di Istana Darut Taqwa, di sini semalam.

Akhbar semalam melaporkan kenyataan Nik Abdul Aziz yang memuji layanan luar biasa Perdana Menteri sepanjang lawatannya itu.

Mursyidul Am Pas itu berkata, penghormatan yang tidak pernah ditunjukkan Perdana Menteri sebelum ini dilihat sungguh cantik, di samping senyuman pemimpin Kerajaan Pusat serta kehebatan kawasan berkenaan yang tiada tolak bandingnya.

Ditanya sama ada keterbukaan Nik Aziz itu akan membuka lembaran baru di antara Kerajaan Pas Kelantan dengan Kerajaan Pusat, Najib berkata, hubungan peringkat Persekutuan dengan kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang perlu dibangunkan berlandaskan tahap keserasian.

"Bagaimanapun, tahap keserasian yang tinggi ini tidak boleh berlaku dalam masa singkat. Apa yang penting ialah keikhlasan kita dan sikap saling menghormati kedua-dua pemimpin.

"Inilah yang menjadi hasrat saya dan ini saya lakukan secara ikhlas kerana yang saya pentingkan ialah rakyat kita, rakyat Kelantan dan rakyat Malaysia secara keseluruhan," katanya.

- BERITA HARIAN

Khamis, Ogos 06, 2009

Nik Aziz puji layanan Najib di SEZ-ECER

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, memuji layanan luar biasa Datuk Seri Najib Razak sepanjang lawatannya ke pelancaran Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (SEZ-ECER) di Pekan, Pahang, kelmarin.

Beliau berkata, penghormatan yang tidak pernah dibuat oleh Perdana Menteri sebelum ini dilihat sungguh cantik, di samping senyuman pemimpin Kerajaan Pusat serta kehebatan kawasan itu yang tiada tolak bandingnya.

"Saya dilayan dengan baik (oleh Perdana Menteri), dengan senyumnya, air muka yang jernih, saya dibawa melawat ke kawasan yang dianggap ‘corridor of power’ untuk pelabur luar negara, sungguh hebat," katanya kepada pemberita sejurus menyambut kumpulan seramai 50 penduduk Kelantan yang menyertai misi melawat pelantar minyak di kawasan 170 kilometer dari pantai Tumpat.

Nik Aziz diminta mengulas lawatannya ke perasmian SEZ-ECER oleh Perdana Menteri di Pekan, kelmarin. - Bernama

SEZ-ECER adalah zon ekonomi khas pertama negara meliputi Kertih di Terengganu hingga ke Tanjung Agas di Pekan yang akan menyumbangkan 80 peratus kepada hasil keluaran ekonomi ECER.

Perdana Menteri berkata zon ekonomi khas mampu menarik pelaburan RM90 bilion dan menyediakan 220,000 peluang pekerjaan menjelang 2020 dan adalah yang pertama di Malaysia.

Nik Aziz berkata beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sedia mengundangnya bersama pemimpin lain melawat kawasan itu yang dianggap memang luar biasa dari tempat-tempat lain.

- BERNAMA

Ahad, Ogos 02, 2009

Nik Aziz ucap terima kasih kepada Perdana Menteri

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas pertemuan singkat yang disifatkannya sebagai satu jaminan positif untuk meningkatkan kerjasama di antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

Nik Abdul Aziz ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang ini sebelum berangkat ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) kelihatan gembira dan ceria ketika menjawab soalan daripada pemberita malah beliau turut menggambarkan pertemuan empat itu berlangsung dalam penuh kemesraan.

Katanya, pada pertemuan itu, Najib memintanya supaya tidak memberikan reaksi terhadap provokasi yang diajukan oleh wartawan berhubung kerjasama di antara negeri dan Pusat.

''Saya ucap terima kasih kerana semacam jaminan yang positif untuk kerjasama di antara negeri dan Pusat. Alhamdulillah nampak air muka beliau bagus.

''Cuma dia sebut kalau boleh Tok Guru jangan cepat sangat menjawab provokasi wartawan, tapi dia faham kalau saya tak jawab kami tak ada surat khabar, kami tak ada televisyen, kami tak ada radio nak jawab.

''Kalau saya buat pekak telinga begitu tak boleh, nanti pula pengikut pakatan (pembangkang) akan jadi bermasalah pula, saya terpaksa jawab, tak boleh saya diam begitu. Pihak Perdana Menteri orang nak kata apa pun, kalau dia senyap pun tak apa, dia ada radio, televisyen, dia boleh jawab bila-bila masa,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan ringkasnya dengan Najib di lapangan terbang tersebut pada sebelah pagi ketika Perdana Menteri tiba untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu dan Majlis Mesra Rakyat di sini.

Ketika berucap pada majlis tersebut, Najib yang juga Presiden UMNO berkata, beliau terkejut apabila mendapati salah seorang yang menunggunya ialah Nik Abdul Aziz.

Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 20 minit itu, Najib turut meminta supaya Nik Abdul Aziz tidak mengeluarkan kenyataan yang mengguris perasaan ahli UMNO.

Sementara ketika ditanya adakah beliau akan berhenti daripada mengeluarkan kenyataan seperti itu, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, beliau tidak akan berhenti selagi ada pihak yang menyerangnya.

''Saya memang tak kacau orang, tetapi kalau orang kacau saya, macam mana. Tidak boleh, kalau saya senyap, saya tak boleh jawab melalui radio, televisyen, saya tak ada apa, nak bercakap mulut, ceramah mana boleh," katanya.

Beliau turut membangkitkan soal tuntutan royalti minyak pada pertemuan tersebut bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

''Saya sebut balik pasal royalti minyak, jadi Najib kata kita dalam pertimbangan undang-undang macam dia ulangi perkara lama. Tak apa, insya-Allah saya harap Allah SWT buka pintu hati kita, Kelantan akan dapat hak dia, jadi hidup kita akan aman damai," katanya.

- UTUSAN

Syarat Najib kepada Nik Aziz


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjaga perasaan dan sensitif kepada ahli Umno jika mahu membentuk kerjasama antara kerajaan Kelantan dan Pusat.

Najib yang juga Presiden Umno berkata, beliau mengucapkan kata-kata itu kepada Nik Aziz ketika Mursyidul Am Pas itu menyambut ketibaannya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, semalam.

Pada pertemuan di luar jangkaannya yang berlangsung selama lebih 15 minit itu, Najib berkata, beliau turut meminta Nik Aziz mengelak daripada menyebut perkara yang boleh menyinggung mana-mana pihak.

"Pada lawatan hari ini, peristiwa yang saya tidak duga ialah antara orang pertama yang sambut saya di lapangan terbang, selain pemimpin Umno ialah tok guru Nik Aziz. Saya terima (pertemuan itu) kerana hormat beliau sebagai pemimpin.

"Dalam pertemuan itu, saya sebut juga, tolong jaga perasaan orang Umno. Saya tidak sebut perkataan itu, saya percaya tok guru fahamlah apa yang saya maksudkan, jika kita nak kerjasama, buatlah cara baik, saling hormat menghormati.

"Saya kata pada tok guru, Umno sebagai sebuah parti yang memimpin negara selama ini tetap berjuang atas landasan untuk dapat rahmat daripada Allah. Jika Pas berasakan perjuangannya ke arah itu, Umno juga berpendapat perjuangan kita juga ke arah mendapat keredaan Allah.

"Yang bezanya, mungkin analogi atau kiasan saya, macam kita berada di atas lebuh raya, masing-masing berada pada laluan berbeza, tetapi menuju ke arah sama, iaitu mendapat rahmat dan keredaan Allah, memang itu yang menjadi pegangan kita sejak dulu lagi," katanya ketika berucap pada perasmian mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kota Bharu di Dewan Putera, Kompleks Sekolah-Sekolah Wakaf Mek Zainab di sini, semalam.

Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.

Nik Aziz sebelum ini dilaporkan sedia menghulurkan salam perpaduan sebagai permulaan kepada hubungan kerjasama antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri di bawah pimpinannya.

Bagaimanapun, pada sidang medianya Isnin lalu, beliau menjelaskan, salam perpaduan itu hanya membabitkan kerjasama kerajaan negeri dan Pusat serta tidak membabitkan hubungan Umno dan Pas, selain turut mengeluarkan kata-kata kesat 'pergi jahanamlah Umno'.

Najib berkata, berkat perjuangan Umno selama ini, Allah memberi rahmat kepada negara ini dan rakyatnya kerana sepanjang 52 tahun Umno menjadi tunjang kepada Barisan Nasional yang mendapat mandat memerintah negara, banyak kemajuan dan perubahan yang dicapai.

Bercakap kepada media selepas majlis itu, Najib menjelaskan, dalam pertemuan itu, Nik Abdul Aziz turut meminta supaya Kerajaan Pusat mempertimbangkan beberapa perkara yang boleh membantu kerajaan Kelantan.

"Saya kata royalti minyak masih dalam kajian Kerajaan Pusat kerana ini membabitkan kawasan pertindihan. Sekarang, saya tak dapat beri jawapan lagi, apabila kajian selesai, saya atau wakil Kerajaan Pusat akan sampaikan kepada kerajaan negeri," katanya.

Manakala Nik Aziz menggambarkan pertemuan empat mata yang berlangsung dengan Perdana Menteri itu menghasilkan sesuatu yang positif dalam hubungan antara kerajaan Kelantan yang diketuainya dengan Kerajaan Pusat.

Sementara itu, kira-kira 1,000 tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat negeri ini, hadir memeriahkan majlis jamuan rakyat bersama Perdana Menteri di padang Kompleks Sekolah Wakaf Mek Zainab di sini, tengah hari semalam.

- BERITA HARIAN

Ahad, Julai 26, 2009

Nik Aziz hulur salam

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedia menghulurkan tangan untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri Pas dengan Kerajaan Pusat demi menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas, berharap perselisihan pendapat yang timbul di kalangan pemimpin politik terutama antara Umno dan Pas sewaktu kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, baru-baru ini dilupakan dan kedua-dua pihak kembali semula kepada semangat persaudaraan sesama Islam.

Nik Abdul Aziz yang kelihatan serius menyuarakan perkara itu berkata, sebelum ini kerajaan negeri tidak pernah pun menganggap kerajaan Pusat sebagai musuh, tetapi hanya sebagai lawan dalam mempertahankan perjuangan ideologi politik masing-masing.

"Seperti mana biasa, pertembungan pendapat dan ideologi timbul pada saat-saat menjelang pilihan raya," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung Kesatuan Penolong Pegawai Tanah Semenanjung Malaysia ke-38, di sini, semalam.

Mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, berkata Umno negeri mengambil sikap terbuka dan berharap Mursyidul Am Pas menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan.

"Kami mengambil sikap terbuka terhadap apa yang boleh merapatkan perpaduan umat Islam dan orang Melayu. Dalam hal berkaitan agama dan bangsa, tidak harus ada percanggahan pendapat, sebaliknya harus ada perpaduan.

"Memang kita ada perbezaan ketara dalam politik kerana perjuangan kita berbeza, tetapi jika dalam perjuangan itu ada persamaan, tidak ada sebab kita tidak boleh bermuafakat, khususnya untuk kebaikan rakyat, namun harus ada keikhlasan dan kesungguhan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri di sini.

Menteri Besar Kelantan itu sebelum ini adalah antara kepimpinan Pas yang tidak bersetuju dengan cadangan perbincangan mengenai kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Di KUALA LUMPUR, pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menyambut baik usaha murni Nik Abdul Aziz untuk bekerjasama dengan kerajaan Pusat dalam menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap Nik Abdul Aziz konsisten dalam mengeluarkan kenyataan dan tidak hanya bersedia bekerjasama semata-mata untuk meminta bantuan daripada kerajaan Pusat.

"Ia harus seimbang antara kehendak politik dan pentadbiran, jangan ada sesuatu di sebaliknya (hasrat bekerjasama) kerana kita sudah lama kenal Nik Abdul Aziz.

"Kerajaan Pusat tidak pernah tarik bantuan kerana kita ikhlas membantu... jangan apabila mahu bantuan daripada Pusat, baru bersedia buka pintu tetapi apabila bincang soal agenda bersama dia tutup pintu, pemimpin kena konsisten," katanya.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata kerjasama itu bukan saja akan menguntungkan bangsa Melayu malah turut membabitkan seluruh rakyat di negara ini.

"Tiada pihak akan mendapat keuntungan jika berlaku perpecahan. Kita perlu menghentikan perpecahan yang merugikan. Persaingan kita bukan antara Umno dan Pas tapi adalah antara Malaysia dengan seluruh negara lain ketika dunia berhadapan dengan krisis ekonomi global," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata beliau dapat melihat pengumuman Nik Abdul Aziz itu sebagai satu petanda baik dan kerjasama di antara kerajaan negeri dan pusat bukan saja penting untuk rakyat malah amat baik untuk politik negara.

"Kerajaan BN mentadbir negara dengan penuh cemerlang berbanding Pakatan Rakyat dan beliau (Nik Abdul Aziz) mengetahui perkara ini... kini beliau mahu bekerjasama dengan kerajaan Pusat... ini satu petanda baik," katanya.

Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr S Subramaniam, berkata kerjasama itu perlu ikhlas kerana sebelum ini Pas mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

"Kita perlu melihat apakah kerjasama yang dimaksudkan oleh Nik Abdul Aziz. Apakah ia pandangan peribadi beliau atau mewakili Pas. Kita tidak mahu nanti ada pemimpin parti itu mempertikaikan kenyataan beliau," katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, berkata beliau amat berharap semua ahli Pas akan menerima baik kenyataan Nik Abdul Aziz kerana ia perkara baik.

"Jangan ada pula pemimpin Pas selepas ini memberi kenyataan di sebaliknya pula... saya amat berharap seluruh ahli Pas akan menghormati kenyataan Mursyidul Am Pas itu," katanya.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, berkata kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat amat perlu demi kepentingan rakyat.

- BERITA HARIAN

Jumaat, Julai 24, 2009

Nik Aziz pertahan Nizar

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyertai majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock walaupun Dewan Ulama Pas menyifatkannya sebagai meragukan.

Beliau yang menyifatkan isu itu sengaja diperbesar-besarkan menyerahkannya kepada Nizar jika ia berhubung kait dengan niat ketika menghadiri majlis tersebut.

''Dewan Ulama menyatakan meragukan, ia tidak serupa dengan haram kerana 'ragu' lain, 'haram' lain, kalau ditanya adalah bergantung dengan niat, biarkanlah (serah kepada Nizar).

''Saya sendiri kalau orang agama Hindu atau Cina jemput, saya tanya, ini agama atau adat resam, kalau agama saya tidak boleh pergi tetapi kalau adat resam saya boleh buat," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2009 di pekarangan Stadium Sultan Mohammad ke-IV di sini hari ini.

Dewan Ulama Pas menyifatkan majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Beng Hock Jumaat lalu yang turut disertai oleh Mohammad Nizar sebagai meragukan.

Sehubungan itu ketuanya, Datuk Harun Taib berkata, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak tersebut sepatutnya tidak hadir pada majlis berkenaan kerana sifatnya yang meragukan itu.

Nik Abdul Aziz menambah, berhubung majlis nyalaan lilin, beliau hairan apabila masalah itu diperbesarkan kerana telah ramai masyarakat pada hari ini meraikan majlis sambutan hari jadi dengan menyalakan lilin.

''Tiap-tiap tahun anak kita yang sekarang ini telah merebak, tahun pertama sebatang lilin dia hembus, tahun kedua, dua batang lilin dan seterusnya yang digunakan sebagai simbolik untuk sukatan umur.

''Sebelum ini sibuk mengatakan Cina dalam DAP baca al-Quran, sibuk kata haram. Saya jawab, Nabi Muhammad SAW tulis surat kepada raja-raja Mesir dan Iran guna ayat al-Quran dan bagaimana Nabi tulis surat kepada raja kafir begitu, tiba-tiba kita kata tidak boleh orang Cina baca ayat al-Quran, jadi semua ni benda-benda pelik," katanya.

Soal majlis nyalaan lilin itu dikatakan mempunyai hubung kait dengan kaum Majusi yang memuja api, beliau berkata, perkara tersebut diulas secara berlebihan.

''Kalau begitu kita naik motokar sekarang pun tidak boleh kerana itu dikaitkan dengan Inggeris, teruk benarlah tu. Sebab kalau hendak dikira, songkok yang Melayu banyak pakai ni, kalau pergi ke Bombay dan Madras, ramai Hindu yang pakai songkok dan asalnya dari sana.

''Jadi teruk jugalah kita, teruk kalau kita tidak mengikuti politik kerana dunia sekarang ini, pakaian dan makanannya saling kait mengait seluruh dunia dan kita juga guna Internet itu bukan orang Islam yang cipta tetapi orang Eropah," ujarnya.

Ditanya berhubung parti itu yang dikatakan telah mula menjalankan kempen sebagai persediaan kemungkinan menghadapi pilihan raya kecil di Galas, ekoran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Che Hashim Sulaima, 45, dilaporkan uzur, Nik Abdul Aziz berkata ia cuma 'perkara biasa'.

''ADUN tersebut memang sedang sakit dan pagi tadi telah berangkat ke China untuk mendapatkan rawatan dan kalau dikaitkan dengan kempen Pas di sana, Pas kalau tidak ceramah, nak buat kerja apa lagi," ujar beliau

Sementara itu ketika ditanya pandangannya berhubung tindakan seorang model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, bersetuju dan meminta hukuman enam sebatan yang dijatuhkan kepada oleh Mahkamah Tinggi syariah Kuantan, Pahang selepas mengaku bersalah meminum arak dipercepatkan beliau berkata, masyarakat sudah dapat menerima hukum hudud.

''Kami (Pas) telah siap hudud berapa tahun lalu, bila ada kesedaran, manusia semua hendakkan sebat, hendakkan kerat tangan sebab apa sahaja hukuman di dunia tak kena dengan Islam, di akhirat kena pula.

''Daripada kita kena bakar di akhirat lebih baik selesai atas muka dunia, ini puncanya timbul hudud. Tetapi sebab mantan Perdana Menteri melarang kami, kalau buat hudud juga ada jadi rusuhan," ujarnya

- UTUSAN

Nik Aziz akui pegang lilin meragukan tetapi bukan haram

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui perbuatan memegang lilin di majlis memperingati kematian orang bukan Islam adalah "sesuatu yang meragukan" tetapi berpendapat perbuatan itu tidak haram di sisi Islam.

Beliau mengulas tindakan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin yang memegang lilin dalam majlis memperingati kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada seorang anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Menteri Besar Kelantan itu juga menegaskan perbuatan itu tidak bercanggah dengan agama jika umat Islam dapat membezakan antara adat resam dan budaya dengan agama sesuatu kaum.

"Tapi saya, selalu (apabila) orang (beragama) Hindu jemput saya pergi ke majlis dia, Cina jemput pergi majlis dia, saya akan tanya ini agama ke atau adat resam.

"Saya kata kalau agama saya tak boleh pergi tapi kalau adat resam saya boleh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2009 di Stadium Sultan Mohamed KeIV, di sini, semalam.

Sebelum itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa dalam laporan akhbar mempertahankan tindakan Mohd Nizar dengan menyatakan ia tidak menyalahi ajaran Islam manakala Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula mahukan ulama Pas mengeluarkan satu fatwa berhubung tindakan Mohd Nizar itu.

Nik Abdul Aziz berkata, lilin ini sudah menjadi budaya kepada orang Melayu di mana anakanak turut menggunakan lilin sewaktu menyambut hari jadi dan ia sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat sekarang.

"Jadi lilin digunakan sebagai satu simbolik untuk masalah umur," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya pandangannya mengenai tindakan seorang model yang rela dirotan selepas didapati bersalah kerana minum arak oleh Mahkamah Majistret Kuantan kelmarin, Nik Aziz berkata tindakan itu wajar kerana menunjukkan pesalah terbabit sudah insaf.

Menurutnya, jika model itu boleh menerima hukuman sebat, maknanya dia sudah terlepas hukuman di akhirat dan ini bertepatan dengan langkah Pas mahu melaksanakan hukum hudud.

- BERNAMA

Selasa, Julai 07, 2009

Tak apa kalau Najib tak mahu jumpa - Nik Aziz

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akur dengan keputusan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang menolak pelawaannya untuk mengadakan pertemuan dan debat secara terbuka antara PAS-Umno.

Nik Abdul Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan berkata terpulang kepada Najib sama ada ingin menerima atau tidak pelawaannya kerana bagi beliau, tugasnya untuk mengajak seseorang mencari jalan kebenaran atau pendakwah dianggap sudah selesai.

"Tugas saya sebagai seorang pendakwah ada tiga cara; pertama: ajak manusia dengan cara bilhikmah (kebijaksanaan), macam saya mentadbir sesebuah negeri mengikut cara Islam; kedua dengan nasihat, melalui ceramah, usrah, kuliyah, siaran internet dan yang terakhir ialah secara mujadalah (debat), Kalau tak mahu tak apa, selesai dah kerja saya," katanya kepada Bernama di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Semalam, ketika diminta mengulas hasrat Nik Abdul Aziz untuk bertemu beliau bagi membincangkan mengenai perdebatan yang dicadangkan antara kedua-dua mereka, Najib berkata: "Saya dah kata, debat tidak ada gunanya dan semua orang pun kata demikian.

"Kalau nak bertemu, jangan kutuk dulu, ini tidak timbulkan suasana kondusif untuk kita bertemu," kata Perdana Menteri.

Nik Abdul Aziz telah mencabar Najib untuk berdebat secara terbuka ekoran tindakan Pemuda Umno Kelantan membuat laporan polis terhadap beliau kerana menyamakan Umno dengan komunis dan ajaran sesat.

Beberapa pemimpin Umno tidak bersetuju dengan debat itu dan menyifatkannya sebagai membuang masa kerana ia tidak akan membawa sebarang manfaat.

Nik Abdul Aziz berkata beliau masih beranggapan baik kepada Perdana Menteri yang belum menghantar surat jawapan rasmi menolak tawaran itu.

"Setakat ini, beliau (Najib) belum menjawab lagi melalui surat rasmi, saya buat sangkaan baik, mungkin dia (Najib) tak sempat nak hantar lagi," katanya.

- BERNAMA

Jumaat, Julai 03, 2009

Nik Aziz tetap mahu berdebat

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap akan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mengadakan debat secara terbuka untuk mencapai titik pertemuan yang dijangka menyelesaikan kemelut UMNO dan Pas yang sudah lama berlanjutan.

Beliau berkata, surat itu akan tetap dihantar walaupun Najib mengeluarkan kenyataan menolak pelawaan itu.

“Hari ini baru saya nak hantar surat itu. Dia nak tolak dia punya fasal. Saya tetap dengan keputusan saya. Lagipun saya tak kirim lagi surat tu. Surat saya akan kirim hari ini.

“Saya tetap nak berdebat. Saya yakin dengan cara ini kita dapat mencapai titik pertemuan atau penyelesaian di atas apa yang berlaku selama ini,” katanya kepada media pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Darul Naim di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Najib yang menolak pelawaannya untuk berdebat secara terbuka.

Ketika diminta mengulas mengapa beliau berkeras mahu berdebat sedangkan langkah terbaik adalah bermuzakarah atau bermuqabalah beliau berkata, Pas banyak kali mempelawa UMNO tetapi pelawaan untuk itu ditolak.

“Pas terutama Pas Pusat sudah banyak kali meminta untuk bermuzakarah dengan UMNO tetapi ditolak. Tak jadi-jadi. Jadi apa yang kami belum minta lagi ialah debat. Dan debat ini bukan pandai-pandai saya.

“Allah sendiri sebut, kita ada tiga cara. Pertama bilhikmah iaitu diberitahu secara biasa. Kedua, walmau’idah juga diberitahu secara biasa dan ketika wajadilhum. Ia bermaksud mesti bermujadalah. Ini beza dia.

“Presiden dunia pun dalam masa pilihan raya dia berdebat sesama calon mereka. Obama berdebat dengan lawan dia dari parti Republikan. Sekarang ini Susilo Bambang Yudhono berganding Boediono, Megawati Soekarnoputri bersama Prabowo Subianto,” katanya.

Beliau berkata, masalah debat hanyalah teknikal, apa yang penting ialah masalah akidah.

“Debat mereka hanya masalah teknikal sahaja. Tetapi debat ini ialah masalah akidah. Kita sembahyang tanpa akidah tidak akan diterima di akhirat. Kita pergi ke Mekah tanpa akidah tidak akan diterima,” katanya.

Sementara itu, beliau tidak bersetuju kenyataan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifly Noordin yang meminta debat itu diadakan secara tertutup dan berkumpulan.

Menurutnya, kenapa perlu diadakan secara tertutup sedangkan selama ini bercanggahan pendapat dan pertelagahan antara Pas dan UMNO berlaku secara terbuka.

“Sejak Pas ditubuhkan pada tahun 1961, apa yang berlaku di antara Pas dan UMNO semuanya secara terbuka. Kenapa sekarang perlu diadakan secara tertutup,” katanya.

- SINAR HARIAN

Selasa, Jun 30, 2009

Hadi tak tahu Nik Aziz mahu debat dengan PM

Presiden Pas tidak tahu menahu cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengadakan debat terbuka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menyelesaikan kekalutan politik antara parti itu dengan Umno.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau hanya tahu mengenai cadangan untuk berdebat itu melalui laporan media.

"Saya belum mendapat apa-apa maklumat daripada tok guru (Nik Aziz), cuma tahu daripada akhbar saja... saya tidak dapat kenyataan penuh. Jadi, saya akan jumpa tok guru untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Beliau mengulas pelawaan Menteri Besar Kelantan kepada Najib supaya berdebat secara terbuka bagi menyelesaikan kekalutan politik antara kedua-dua parti yang berlarutan.

Sementara itu, Zulkifli Noordin (PKR-Kulim Bandar Baharu) tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana debat secara terbuka tidak akan membawa kebaikan kepada mana-mana pihak.

"Tujuan debat itu untuk apa? Kalau nak cari populariti berdebatlah. Tapi kalau nak selesai masalah, dialoglah," katanya.

Sebaliknya, beliau mencadangkan kedua-dua pihak menggunakan pentas lebih sesuai iaitu berbincang mencari kesepakatan Islam dan Melayu menerusi dialog tertutup.

"Saya lebih suka diadakan dialog tertutup dan berbincang dalam bentuk kumpulan. Kita akan tahu apa yang menjadi masalah sehingga menimbulkan keadaan tidak senang hati antara kita semua," katanya.

Zulkifli berkata, dialog itu juga perlu dihadiri seorang pengendali yang berpengalaman dalam agama dan ummah bagi memastikan kelancaran.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayob pula mengakui idea Nik Abdul Aziz itu tidak dibincangkan pada peringkat Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, sebaliknya atas kedudukannya sebagai Menteri Besar Kelantan.

Bagaimanapun, beliau menyokong debat terbuka antara Pas dan Umno.

Ditanya kemungkinan cadangan debat mendapat tentangan pemimpin Pakatan Rakyat seperti isu kerajaan perpaduan sebelum ini, beliau berkata, kedua-dua isu itu dua perkara berbeza.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Nik Abdul Aziz berkata beliau tetap akan menghantar surat kepada Najib untuk mengajaknya berdebat walaupun pelbagai pihak membantah hasratnya itu.

Sambil melahirkan rasa kecewa, beliau berkata, tindakan Umno itu tidak betul kerana belum sempat surat dikirim, keputusan menolak sudah dibuat.

"Laporan akhbar hari ini, nampaknya semua sebut tidak mahu debat. Saya dukacita kerana debat ini cara paling baik dalam Islam dan demokrasi," katanya kepada pemberita di pejabatnya, di Kota Darulnaim, di sini, semalam.

- BERITA HARIAN

Recent Posts