Syarat Najib kepada Nik Aziz


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjaga perasaan dan sensitif kepada ahli Umno jika mahu membentuk kerjasama antara kerajaan Kelantan dan Pusat.

Najib yang juga Presiden Umno berkata, beliau mengucapkan kata-kata itu kepada Nik Aziz ketika Mursyidul Am Pas itu menyambut ketibaannya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, semalam.

Pada pertemuan di luar jangkaannya yang berlangsung selama lebih 15 minit itu, Najib berkata, beliau turut meminta Nik Aziz mengelak daripada menyebut perkara yang boleh menyinggung mana-mana pihak.

"Pada lawatan hari ini, peristiwa yang saya tidak duga ialah antara orang pertama yang sambut saya di lapangan terbang, selain pemimpin Umno ialah tok guru Nik Aziz. Saya terima (pertemuan itu) kerana hormat beliau sebagai pemimpin.

"Dalam pertemuan itu, saya sebut juga, tolong jaga perasaan orang Umno. Saya tidak sebut perkataan itu, saya percaya tok guru fahamlah apa yang saya maksudkan, jika kita nak kerjasama, buatlah cara baik, saling hormat menghormati.

"Saya kata pada tok guru, Umno sebagai sebuah parti yang memimpin negara selama ini tetap berjuang atas landasan untuk dapat rahmat daripada Allah. Jika Pas berasakan perjuangannya ke arah itu, Umno juga berpendapat perjuangan kita juga ke arah mendapat keredaan Allah.

"Yang bezanya, mungkin analogi atau kiasan saya, macam kita berada di atas lebuh raya, masing-masing berada pada laluan berbeza, tetapi menuju ke arah sama, iaitu mendapat rahmat dan keredaan Allah, memang itu yang menjadi pegangan kita sejak dulu lagi," katanya ketika berucap pada perasmian mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kota Bharu di Dewan Putera, Kompleks Sekolah-Sekolah Wakaf Mek Zainab di sini, semalam.

Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.

Nik Aziz sebelum ini dilaporkan sedia menghulurkan salam perpaduan sebagai permulaan kepada hubungan kerjasama antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri di bawah pimpinannya.

Bagaimanapun, pada sidang medianya Isnin lalu, beliau menjelaskan, salam perpaduan itu hanya membabitkan kerjasama kerajaan negeri dan Pusat serta tidak membabitkan hubungan Umno dan Pas, selain turut mengeluarkan kata-kata kesat 'pergi jahanamlah Umno'.

Najib berkata, berkat perjuangan Umno selama ini, Allah memberi rahmat kepada negara ini dan rakyatnya kerana sepanjang 52 tahun Umno menjadi tunjang kepada Barisan Nasional yang mendapat mandat memerintah negara, banyak kemajuan dan perubahan yang dicapai.

Bercakap kepada media selepas majlis itu, Najib menjelaskan, dalam pertemuan itu, Nik Abdul Aziz turut meminta supaya Kerajaan Pusat mempertimbangkan beberapa perkara yang boleh membantu kerajaan Kelantan.

"Saya kata royalti minyak masih dalam kajian Kerajaan Pusat kerana ini membabitkan kawasan pertindihan. Sekarang, saya tak dapat beri jawapan lagi, apabila kajian selesai, saya atau wakil Kerajaan Pusat akan sampaikan kepada kerajaan negeri," katanya.

Manakala Nik Aziz menggambarkan pertemuan empat mata yang berlangsung dengan Perdana Menteri itu menghasilkan sesuatu yang positif dalam hubungan antara kerajaan Kelantan yang diketuainya dengan Kerajaan Pusat.

Sementara itu, kira-kira 1,000 tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat negeri ini, hadir memeriahkan majlis jamuan rakyat bersama Perdana Menteri di padang Kompleks Sekolah Wakaf Mek Zainab di sini, tengah hari semalam.

- BERITA HARIAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.