Memaparkan catatan dengan label Niaga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Niaga. Papar semua catatan

Khamis, Disember 29, 2011

Lebih 1.8 Juta Perniagaan Ditamatkan 10 Bulan Pertama Tahun 2011

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merekodkan lebih 1.8 juta perniagaan ditamatkan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Menurut laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), daripada jumlah itu, 10,747 perniagaan ditamatkan pada tarikh akhir tempoh lesen, manakala bakinya sebelum berakhir tempoh lesen itu.

SSM juga merekodkan 7,982 syarikat dibubarkan dalam tempoh berkenaan dan daripada jumlah itu 7,971 adalah syarikat tempatan dan selebihnya syarikat asing. Dalam tempoh yang sama juga lebih 4.38 juta perniagaan didaftarkan semula pada tarikh akhir tempoh lesen dan sebanyak 23,619 perniagaan didaftarkan semula sebelum berakhir tempoh lesen itu.

Sebanyak 930,502 syarikat didaftarkan semula pada tarikh akhir tempoh lesen dan sebanyak 3,457 syarikat didaftarkan semula sebelum berakhir tempoh lesen itu.

- BERNAMA

Selasa, Disember 27, 2011

Minuman Tenaga Drive M7 tembusi pasaran tempatan


MUTIARA Motors Sdn. Bhd. (Mutiara Motors) membawa anjakan baharu dalam segmen perniagaannya apabila melancarkan produk minuman tenaga terkenal, Drive M7 yang berasal dari negara matahari terbit, Jepun.

Drive M7 merupakan antara produk yang dihasilkan sepenuhnya oleh M7 Co. Ltd (Japan).

Jenama M7 sebenarnya cukup sinonim dalam industri automotif dunia yang berskala besar. Selain Drive M7, M7 meliputi produk berprestasi tinggi seperti minyak pelincir, produk elektronik, sistem turbo dan sistem ekzos.

Pengarah Jualan dan Pemasarannya, Mahathir Ahmad ketika ditemui berkata, pihaknya yakin bahawa produk baharu itu akan mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat Malaysia.

“Sebenarnya minuman ini mula diperkenalkan di Jepun pada tahun 2006. Selepas kita melihat penglibatan aktif dan kekuatan jenama ini di pasaran global, di situ tercetus idea untuk membawanya ke Malaysia.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkaitan, akhirnya kita berjaya memperoleh hak pengedaran daripada syarikat pengeluarnya iaitu M7,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Minuman Drive M7 di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Eksekutif Mutiara Motors, Datuk Ahmad Kemin, Pengarah Urusannya, Mokhtar Ahmad dan duta produk berkenaan, pelakon Aaron Aziz.

Dalam pada itu, memetik kenyataan Ahmad, Mutiara Motors telah melabur kira-kira RM1 juta bagi proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan, pembungkusan, promosi dan pemasaran Drive M7.

Tingkat stamina

Mengulas lanjut mengenai Drive M7, Mahathir berkata, produk ini sangat kukuh dan begitu terkenal di Amerika Syarikat (AS) selain di Jepun.

Kata Mahathir, minuman ini sangat berbeza dengan jenama minuman bertenaga yang terdapat di pasaran sekarang.

“Drive M7 dirumus untuk memberi tenaga dan mempertingkatkan stamina untuk mereka yang terlibat dalam aktiviti lasak.

“Namun, yang paling signifikan ia merupakan minuman yang tidak bergas dan rendah kandungan gula. Saya sifatkan minuman ini sebagai seronok untuk diminum,” jelasnya.

Antara intipati Drive M7 ini ialah taurine, inosito dan pelbagai jenis vitamin yang mampu mengawal kesihatan tubuh dengan baik.

Mahathir berkata, minuman ini tidak terhad kepada mereka yang lasak dan cergas sahaja. Malah, ia berupaya mengatasi keletihan selepas seseorang melakukan pemanduan jarak jauh.

Drive M7 baru-baru ini juga bertindak sebagai minuman rasmi bagi Achilles Radial: Asian Drift Series yang berlangsung di ibu negara.

Drive M7 juga menjadi minuman rasmi kepada filem terbaharu terbitan Skop Productions iaitu KL Gangster 2 yang dilakonkan oleh dutanya, Aaron.

Sasaran

Bercakap mengenai pengeluaran, Mahathir memberitahu, untuk fasa pertama, Mutiara Motors akan memasarkan sebanyak 200,000 tin yang dikeluarkan di kilangnya di Melaka. Angka itu akan ditingkatkan kepada 500,000 tin.

Pada tahun hadapan, syarikat menyasarkan untuk mengeluarkan 1 juta tin pula dan untuk setin Drive M7 yang berukuran 250 mililiter (ml), ia dijual pada harga RM4.

Mahathir cukup optimis bahawa minuman bertenaga yang dibawanya mampu menakluk pasaran tempatan.

Katanya, sebagai permulaan, pengguna boleh mendapatkan Drive M7 melalui pengedar-pengedar sah yang dilantik termasuk di beberapa hentian rawat dan rehat (R&R) dan di stesen-stesen minyak terpilih.

Namun, dalam masa terdekat ini, syarikat berkenaan akan meluaskan pasaran mereka dengan memasuki gedung-gedung terkemuka dan beberapa jenama kedai serbaneka di seluruh negara.

Mengulas mengenai pemilihan Aaron sebagai duta, Mahathir percaya, populariti, personaliti serta disiplin yang ditonjolkan oleh aktor itu mampu mengetengahkan Drive M7.

Kepada orang ramai yang berminat untuk menjadi pengedar kepada minuman tenaga baharu ini, anda boleh berbuat demikian dengan menghubungi Roy Azren di talian 012-7859 007/07-331 9099 atau e-mel royazren@mutiaramotors.com

- KOSMO!

Ahad, Disember 18, 2011

Kelab Usahawan Siswazah Tani (Myagrosis) dilancar

SUNGAI PETANI: Kelab Usahawan Siswazah Tani (Myagrosis) yang dilancarkan pada Sabtu mampu menjadikan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini sebagai nadi pengeluaran makanan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melancarkan Myagrosis di sini berkata, kelab itu juga akan membantu negara dalam menangani defisit import makanan yang ketika ini begitu besar berbanding eksport makanan negara.

"Ketika ini kita eksport RM18 bilion setahun tetapi import makanan kita RM30 bilion. Kita berdepan dengan defisit yang cukup besar. Jadi saya lihat Myagrosis akan membantu kita menampung defisit ini dengan kaedah-kaedah baru," katanya ketika melancarkan Myagrosis peringkat kebangsaan dan Perhimpunan Perdana Usahawan Belia dan Siswazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok dekat sini.

Katanya, jika pengeluaran makanan negara dapat ditingkatkan, rakyat tidak akan dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi.

"Punca kos sara hidup yang besar adalah kerana kos makanan. Jadi untuk mengelakkan rungutan rakyat, cara terbaik adalah supply pengeluaran negara ditingkatkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi membantu program Myagrosis. Kata Najib, inisiatif Dana Pembiayaan Usahawan Siswazah Tani Agrobank dengan dana khas sebanyak RM10 juta telah diluluskan oleh Agrobank sebagai pinjaman mudah usahawan siswazah Myagrosis tanpa penjamin dengan had pinjaman maksimum RM30,000 untuk menjalankan perniagaan.

"Pada hari ini sebagai tanda sokongan penuh kerajaan kepada usahawan Myagrosis, saya ingin mengumumkan dana tambahan sebanyak RM10 juta lagi menjadikan RM20 juta keseluruhannya. Dana ini akan memudahkan usahawan siswazah Myagrosis yang berminat dan mempunyai daya usaha yang tinggi untuk memulakan projek agrobisnes mereka," kata perdana menteri. Najib berkata Inisiatif Dana Pembiayaan Myagrosis Tekun Nasional pula adalah dana khas dan istimewa untuk Pembiayaan Perniagaan Pelbagai bagi ahli-ahli Kelab Myagrosis dan Tekun Nasional.

"Saya dengan sukacita mengumumkan dana khas ini sebanyak RM10 juta khusus untuk usahawan siswazah yang menyertai Kelab Myagrosis," katanya.

Menurut Najib, peruntukan sebanyak RM10 juta pula diberikan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membolehkannya menyediakan kemudahan-kemudahan asas bagi program Myagrosis seperti sistem hidroponik dan sistem bekalan air.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu, beliau berkata Program Myagrosis memenuhi beberapa perkara dengan yang pertama adalah kerjasama antara dua kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Selain itu, ia juga peluang untuk mendedahkan siswa dan siswi kepada bidang pertanian dengan paradigma baru iaitu pertanian sebagai 'business model' dan 'business concept'.

"Ia juga dapat menambah daya pengeluaran pertanian negara dan usaha menambah rangkaian agrobazar yang dapat menjual bahan makanan pada harga yang lebih berpatutan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata, universiti-universiti mempunyai kawasan luas yang masih belum digunakan dan ia boleh dioptimumkan menerusi program seperti Myagrosis.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Datuk Badruddin Amiruldin dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Ir Sahol Hamid Abu Bakar.

- BERNAMA

Rabu, November 02, 2011

Berniaga Internet sekadar berkongsi rasa


PERNIAGAAN bukanlah satu bidang yang bertujuan untuk mengaut keuntungan semata-mata. Malah hari ini senarionya berbeza apabila rata-rata yang menceburi bidang ini adalah bertujuan untuk memenuhi masa lapang ataupun sekadar suka-suka.

Inilah yang berlaku kepada sekumpulan empat rakan karib Rozita Ahmad Tajuddin, 32, Nur Haliza Hassan, 32, Noor Fitriah Bakri, 32, dan Syarifah Zurina Syed Salim, 32.

Penglibatan mereka dalam bidang ini bukanlah bertujuan untuk menjadi kaya atau mengumpul harta tetapi mereka sekadar ingin berkongsi apa yang mereka ada.

Ternyata penglibatan keempat-empat wanita ini dalam bidang perniagaan tiada sebarang perancangan malah mereka melakukannya secara spontan.

Menurut Rozita, mereka berempat membuat keputusan untuk bergabung tenaga selepas pulang bercuti dari Vietnam.

Sepanjang di sana, selain melawat tempat-tempat bersejarah dan menarik, mereka turut melawat tempat-tempat membuat baju termasuklah baju kurung.

Setelah meneliti kesemua baju kurung yang dihasilkan berkualiti serta menarik jahitan maniknya, tanpa membuang masa mereka terus bersetuju untuk memasarkan produk tersebut di Malaysia.

"Sekembalinya ke Malaysia, kami terus membuat keputusan untuk memasarkan baju-baju tersebut di Malaysia.

"Ini kerana, selain dibuat daripada kain yang berkualiti, jahitan manik yang dijahit juga kemas dan menarik.

"Dari situlah kami terfikir untuk menjual baju-baju tersebut di sini memandangkan orang kita banyak mengenakan baju kurung apabila ke pejabat," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Kota Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ternyata percaturan mereka membuahkan hasil walaupun ia baru dipasarkan melalui Internet awal tahun ini.

Hari ini, selain memasarkan produk mereka melalui Internet dan kawan-kawan, mereka juga merupakan pembekal kepada peniaga-peniaga yang terdapat di sekitar Lembah Klang.

Dengan menggunakan jenama Drama Queen, mereka turut memasarkan baju kurung untuk kanak-kanak.

Dalam pada itu, menurut Nur Haliza pula, baju kurung yang mereka jual diperbuat daripada pelbagai jenis kain kapas seperti kain kapas Inggeris, Korea, sutera dan juga linen.

Apa yang menarik apabila membicarakan mengenai latar belakang masing-masing, ternyata tiada seorang pun yang mempunyai asas mahupun pengalaman dalam bidang perniagaan.

Tetapi disebabkan minat selain ingin membuktikan kebolehan masing-masing, mereka tidak kisah untuk belajar dari bawah dan hingga kini mereka berempat masih lagi menimba pengalaman.

"Kami sememangnya tidak mempunyai asas di dalam bidang perniagaan tetapi Alhamdulillah apa yang kami lakukan hari ini seolah-olah terbuka jalannya.

"Kami juga mempunyai kemahiran masing-masing dan setiap seorang akan bertanggungjawab dengan tugas yang diberikan seperti bahagian pemasaran, pengiklanan dan sebagainya.

"Boleh dikatakan masing-masing ada peranan sendiri dan disebabkan itu kami mampu meneruskan perniagaan ini," katanya lagi.

Begitupun, menurut Rozita, hari ini hanya dirinya dan Nur Haliza sahaja yang bermastautin di Kuala Lumpur manakala Syarifah Zurina tinggal di Pulau Pinang dan Noor Fitriah kini bertugas di luar negara.

Walaupun begitu, ia tidak sedikit pun mengganggu perjalanan perniagaan mereka. Kesemua baju kurung siap bagi dewasa dan kanak-kanak boleh dilihat melalui www.dramaqueenscloset.blogspot.com ataupun di facebook.

Bukan itu sahaja malah kesemua produk yang dipasarkan adalah mampu milik kerana harganya berpatutan.

Jangan ketinggalan dapatkan koleksi terbaru mereka setiap tiga bulan.

Selasa, Ogos 02, 2011

Saudagar Kurma Internet


KURMA atau tamar merupakan hidangan yang menjadi 'buruan' ramai terutamanya menjelang bulan Ramadan. Berbanding satu atau dua jenis yang diketahui oleh seseorang, sebenarnya terdapat ratusan jenis buah istimewa itu di seluruh dunia.

Di Arab Saudi sahaja, terdapat lebih daripada 400 jenis. Itu belum termasuk dari Mesir, Iran, Tunisia, Iraq dan di California, Amerika Syarikat.

Kurma jenis Nabi atau ajwa, sefri, barhi, khalas dan khodri yang berwarna merah hati (maroon) pula merupakan antara yang paling popular dan menjadi kegemaran utama penduduk di Tanah Arab.

Selain dimakan segar sesudah matang usia, zaman yang silih berganti kini menyaksikan kurma atau nama saintifiknya, phonex dactylifera, dinikmati dengan pelbagai cara dan rupa.

Buah dari jenis tumbuhan palma itu kini direvolusikan dengan tambahan elemen, bahan atau perisa sampingan agar selari dengan kecenderungan dan selera masyarakat semasa.

Terbaru, sekumpulan anak muda dari syarikat UKP Management Enterprise mengambil inisiatif melakukan pembaharuan pembungkusan yang lebih dinamik terhadap buah yang kaya dengan khasiat itu.

Enam sekawan, Ashraf Zulkifli, 30; Mohd. Noor Nawawi Muhammad, 30; Ikhwan Mansor, 30; Abdullah Ismail, 28; Ahmad Nailan Rosli, 30 dan Shahrul Zaman Luqman, 30, terpanggil berbuat demikian setelah mereka berenam melakukan kajian menyeluruh tentang cita rasa berbeza rakyat Malaysia.

Selaku Pengarah Operasi syarikat, Ashraf memberitahu Kosmo!, ilham itu mula-mula hadir apabila mereka melihat kurma badam yang disalut coklat atau lebih dikenali dengan nama Chocodate menerima sambutan yang sangat memberangsangkan dalam kalangan pencinta kurma.

"Selepas melihat fenomena luar biasa itu, kami terfikir mengapa tidak buah itu ditransisikan kepada beberapa elemen dan rasa tambahan agar ia lebih kontemporari dan sedap.

"Paling penting, rasa kurma yang diperbaharui itu sendiri mampu dihadam orang ramai dan tidak menjejaskan keaslian rasa kurma itu sendiri," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

10 ciri baharu

Sempena Ramadan kali ini, usahawan-usahawan muda ini membawa kelainan dengan memperkenalkan kurma yang berintikan 10 jenis gabungan bahan baharu.

Antara yang menarik ialah kurma yang berintikan gabungan keju halomi, aprikot dan air mawar.

Tidak kurang juga, kurma yang terkandung bahan perisa campuran seperti coklat susu dan pudina; coklat susu dan durian; serta kombinasi empat jenis bahan iaitu halwa bijan, keju krim, pati delima dan air mawar.

Bagi penggemar jalinan rasa kurma dan kekacang, syarikat tersebut turut memperkenalkan kurma yang berintikan halwa bijan, kacang brazil, kacang macamedia, walnut dan kacang pikan.

Menurut Ashraf, mereka melakukan uji kaji kepada kesemua bahan itu selama beberapa bulan lamanya demi mendapatkan rasa yang ideal.

"Kesemuanya mempunyai keistimewaan tersendiri dan yang paling penting, ia tidak menjejaskan kesihatan," ujarnya dan memberitahu perniagaan itu diusahakan sejak tahun 2009.

Pemilihan kacang pikan misalnya, dapat membantu menyembuhkan penyakit insomnia. Bijian tersebut juga mengandung vitamin B, khususnya vitamin B6 yang dapat menenangkan sistem saraf yang terlalu aktif.

Pati delima pula ujar Ashraf, berupaya membantu menyingkirkan lemak berlebihan, melangsing badan, membakar kalori dengan cepat selain meningkatkan tenaga dan memulih keletihan tubuh badan.

"Kurma-kurma ini juga tahan lama jika disimpan dalam peti sejuk," tambahnya.

Kreatif

Imaginasi enam sahabat yang berkawan sejak di bangku sekolah menengah itu sangat mengagumkan dari sudut seni kreatif.

Bukan saja melakukan penyelidikan dan pembangunan, sebaliknya mereka turut mempunyai bakat dengan menawarkan gubahan bungkusan hamper kurma yang dibuat oleh mereka sendiri.

"Kurma yang syarikat kami tawarkan boleh dibeli begitu saja, tapi penampilan kurma itu akan lebih terserlah jika ia dipakejkan dengan sempurna.

"Pelanggan boleh memilih stail dan jenis kurma mengikut kehendak masing-masing untuk digubah," kata Ashraf.

Daripada banyak jenis gaya hamper yang ditunjukkan seperti yang diperbuat daripada mengkuang pandan, bungkusan hamper yang berbentuk kitab antara yang paling kreatif dan paling menarik perhatian. Harga yang ditawarkan juga berpatutan.

Dalam pada itu, pada tahun ini juga, kata Mohd. Noor Nawawi selaku pengarah syarikat, pihaknya turut memperkenalkan pakej hadiah yang dinamakan Set Ibadah. Set itu terdiri daripada kain telekung, kain sembahyang dan kain pelikat yang dijual pada harga yang sangat berpatutan.

Satu tan kurma

Jika pada tahun-tahun sebelumnya, UKP Management hanya menyediakan di antara 500 hingga 600 kilogram (kg), namun pada Ramadan ini, sebanyak satu tan kurma pelbagai jenis dijadual akan dipasarkan.

Kurma-kurma seperti kurma safia bertangkai, madu yuta, mabrum, ambar, wasem, medjoul dan amina didapatkan secara terus daripada pengedar terkemuka negara, Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd. Secara keseluruhannya, terdapat lebih 30 jenis kurma yang diambil dari syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang itu.

"Selain itu, kami juga ada mengimport kurma dari Iran seperti kurma mariami dan mudofatibam serta kurma yang dipanggil deglenour yang didatangkan khas dari Tunisia," kata Mohd. Noor Nawawi sambil memberitahu syarikatnya banyak menerima tempahan daripada syarikat guaman dan pejabat-pejabat kerajaan.

Seperti memahami kehendak pelajar Asia Barat yang semakin berkembang di institut pengajian tinggi awam di negara ini, syarikat ini turut mengimport sajian-sajian lain yang terkenal seperti halwa dan knafeh (sejenis puding yang diperbuat daripada yogurt, susu dan kacang).

"Pejabat kami secara kebetulan terletak di universiti, jadi ramai pelajar Arab bertanya. Daripada situ kami dapat idea untuk membawa masuk makanan itu ke Malaysia," katanya.

Bagaimana untuk berurusan dengan mereka? Mudah saja kerana semuanya dilakukan atas talian. Jika anda tidak berkesempatan untuk mengambil tempahan, usah khuatir kerana syarikat ini menawarkan perkhidmatan penghantaran dari rumah ke rumah.

- KOSMO!

Ahad, Mei 15, 2011

Perbaharui Sijil Pendaftaran Perniagaan SSM di BSN

Golongan peniaga yang tinggal di pedalaman atau jauh dari pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kini lebih mudah memperbaharui sijil pendaftaran perniagaan mereka kerana tidak lama lagi urusan itu boleh dilakukan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang berdekatan.

Inisiatif ini adalah hasil kerjasama SSM dan BSN bertujuan memudahkan komuniti peniaga yang mungkin sukar mengunjungi pejabat SSM kerana terletak jauh dari tempat tinggal mereka.

Usaha sama SSM dan BSN ini diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan “Program Outreach SSM Bersama Masyarakat FELDA” di Dewan Orang Ramai, FELDA Mayam, Bera, Pahang, pada 23 April lalu.

Program Outreach SSM Bersama Masyarakat FELDA ini adalah satu program kolaborasi yang julung kalinya diadakan antara SSM dengan pihak FELDA Wilayah Mempaga, Bera.

Sejak dilaksanakan pada 2006, Program Outreach SSM memberi peluang SSM mendekatkan diri kepada masyarakat awam bagi memastikan orang ramai memahami peranan dan fungsi SSM secara mendalam.

Program ini dilaksanakan secara meluas bukan hanya setakat di kawasan sekitar Lembah Klang saja malahan diperluaskan ke seluruh negara melalui Pejabat Negeri SSM dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan dan Institusi Pengajian Tinggi Awam serta Swasta.

Di samping itu, program outreach ini diperluaskan dengan menjemput Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan agensi di bawahnya seperti Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Bank Rakyat, Perbadanan Nasional Berhad dan Maktab Kerjasama Malaysia (MKM). Turut serta agensi lain seperti BSN, CELCOM, TEKUN dan MARA untuk mengadakan pameran dan memberi taklimat berkaitan operasi mereka.
Dalam program yang sama orang ramai yang ingin menjalankan perniagaan atau mempunyai perniagaan tetapi masih belum berdaftar dengan SSM diingatkan supaya mendaftarkan perniagaan mereka dengan segera. Setiap bentuk perdagangan, pertukangan, pekerjaan, profesyen atau aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan bagi maksud mendapatkan keuntungan wajib berdaftar dengan SSM terlebih dulu.

Kegagalan untuk berbuat demikian adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 12(1) (a) Akta Pendaftaran Perniagaan (APP) 1956 yang membawa denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pengunjung yang hadir pada program ini boleh mendaftarkan perniagaan baru ataupun memperbaharui sijil pendaftaran perniagaan dan melakukan perubahan butir-butir perniagaan secara serta merta melalui kaunter bergerak SSM yang disediakan.

Bagaimanapun, bagi yang tidak berkesempatan hadir ke program ini ataupun mengunjungi pejabat SSM yang berdekatan; orang ramai masih boleh mendaftarkan perniagaan mereka di kaunter bergerak pendaftaran perniagaan SSM. Jadual perkhidmatan kaunter bergerak ini boleh didapati dengan melayari laman web SSM di www.ssm.com.my

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Azmi Ariffin, berkata ini adalah pertama kali SSM berganding bahu dengan masyarakat FELDA menganjurkan program sebegini.

“Ini adalah satu titik permulaan yang amat baik bagi kedua-dua pihak untuk terus menjalin kolaborasi yang lebih erat dalam melahirkan usahawan di kalangan masyarakat FELDA,” katanya.

Beliau berkata, pada setiap program Outreach SSM, lazimnya aktiviti yang dilakukan adalah seperti taklimat berkaitan keperluan mendaftarkan perniagaan dan memperbadankan syarikat. Namun kali ini, terdapat sedikit kelainan di mana SSM menambah satu lagi taklimat yang menyentuh tentang skim kepentingan.

“Inisiatif ini diambil bagi mendedahkan kepada orang ramai tentang apa itu skim kepentingan dan kaitannya dengan skim cepat kaya atau skim pelaburan yang tidak sah di sisi undang-undang. Dengan adanya pendedahan sebegini ia akan memberi gambaran jelas kepada masyarakat pengguna untuk menilai skim yang boleh dijadikan sebagai perniagaan ataupun diceburi mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Azmi berkata, program kali ini juga lebih menarik kerana SSM menjemput beberapa peniaga tempatan yang juga anak peneroka FELDA untuk menjual hasil produk mereka di sini.

“Dengan sokongan mereka ini diharapkan dapat dijadikan contoh kepada masyarakat FELDA yang lain untuk menceburi bidang keusahawanan. Sebenarnya pihak kami berhasrat untuk menjemput dan membuka kepada lebih banyak penyertaan kepada peniaga lain tetapi ruangan agak terhad,” katanya yang berhasrat mengadakan program secara lebih besar pada masa hadapan.

- BERITA HARIAN

Daftar perniagaan lindungi hak peniaga, pengguna

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setiap perniagaan perlu bermula di SSM sebelum berurusan bagi memohon lesen lain seperti lesen premis dan lesen yang dikeluarkan agensi kerajaan lain.

Ini kerana, beliau difahamkan ada individu yang menjalankan perniagaan tanpa berdaftar dengan SSM kerana masih ada segelintir peniaga atau penjaja, terutama yang berniaga di pasar malam atau tempat terbuka, tiada Sijil Pendaftaran Perniagaan SSM atas alasan mempunyai lesen atau permit daripada pihak berkuasa tempatan.

“Perkara ini harus dipandang serius kerana di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Akta Syarikat 1965, sesiapa yang ingin menjalankan perniagaan wajib berdaftar dengan SSM terlebih dulu.

“Malah, orang ramai yang ingin berurusan dengan institusi-institusi kewangan bagi tujuan mendapatkan pinjaman perniagaan, perlu mempunyai Sijil Pendaftaran Perniagaan dan Syarikat yang dikeluarkan oleh SSM,” tegas beliau.

Ismail Sabri berkata, undang-undang sedemikian diadakan bukan untuk menyusahkan masyarakat sebaliknya bertujuan memberi kebaikan.

Sebagai contoh, katanya, sekiranya pemilik atau salah seorang rakan kongsi meninggal dunia dan pada masa kematiannya telah direkodkan dalam daftar sebagai salah seorang ahli kongsi maka pewaris, pentadbir atau mana-mana individu yang berhak terhadap harta pemilik yang meninggal dunia boleh membuat tuntutan ke atas hak individu yang meninggal kerana ada bukti sah direkod oleh Pendaftar Perniagaan.

Sebaliknya, jika individu atau rakan kongsi tidak mendaftarkan perniagaan, butir-butir yang berkaitan tidak direkod, maka dia tidak boleh menuntut hak berkenaan selain dengan syarat mendapat perintah Mahkamah Tinggi.
Pada masa yang sama, jika sesebuah perniagaan itu didaftarkan, hak pengguna terhadap barang-barang dan perkhidmatan lebih terjamin dan dapat dilindungi.

“Sekiranya ada sebarang kes penipuan atau penganiayaan, pengguna boleh membuat aduan sama ada kepada pihak berkuasa dan SSM,” katanya.

“Pada hari ini, SSM menyediakan kaunter perkhidmatan bergerak, bagi mempermudahkan pendaftaran perniagaan atau memperbaharui lesen perniagaan secara on the spot,” katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau berharap lebih ramai lagi masyarakat FELDA di Bera akan menceburi bidang perniagaan dan menggunakan kemudahan yang disediakan oleh SSM ini.

“Sehingga kini ada 96,345 perniagaan dan 15,016 syarikat di Pahang.

“Saya mahu melihat agar selepas ini bilangan perniagaan dan syarikat di daerah Bera bertambah dengan pesatnya. Kalau boleh saya mahu melihat agar masyarakat di sini meluaskan perniagaan mereka dengan menceburi pelbagai sektor dan tidak tertumpu kepada beberapa sektor saja,” katanya.

- BERITA HARIAN

Selasa, Februari 22, 2011

Pendapatan Tukang Kasut Cecah RM5,000 Sebulan


PAKAR KASUT ... Ahmad Mohtar Baharom, 54, (kanan) menunjukkan kasut yang perlu dibaiki kepada rakannya Ahmad Daud, 45, (tengah) di gerai mereka di Jalan Selamat, Alor Setar. Kelihatan juga rakannya Abdullah Ali, 48, membantu menjahit kasut-kasut yang dihantar oleh pelanggan tetap sekitar Bandaraya Alor Setar. - Foto BERNAMA


ALOR SETAR: Siapa sangka seorang tukang kasut boleh memperoleh pendapatan hampir sama dengan pegawai kerajaan, malah mungkin lebih tinggi daripada gaji seorang kakitangan yang berkelulusan ijazah.

Tinjauan Bernama di Jalan Selamat, di tengah-tengah bandaraya Alor Setar, mendapati rata-rata tukang kasut di situ memperoleh pendapatan antara RM2,000 dan RM5,000 sebulan.

Terdapat sekurang-kurangnya 12 tukang kasut mencari rezeki di situ dan setiap tukang kasut mempunyai pelanggan tetap.

PENDAPATAN

Seorang tukang kasut yang ditemui, Ahmad Mohtar Baharom, 54, berkata dia kini memperoleh pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan hanya dengan mengambil upah membaiki kasut.

Dia berkata tidak ramai yang percaya dengan pendapatan yang mampu diperolehinya itu kerana masyarakat beranggapan pendapatan mereka hanyalahumpama 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

"Sebelum ini saya bekerja dengan kerajaan tetapi disebabkan saya tidak boleh bekerja di bawah arahan orang, jadi saya berhenti kerja dan memulakan perniagaan ini secara serius.

"Berbekalkan kemahiran membaiki kasut yang ada semasa belajar di universiti dulu, saya memulakan perniagaan membaiki kasut, walaupun pada masa itu pendapatan yang saya terima hanya sekitar RM30 sehari.

"Saya sentiasa berfikiran positif dan berani menerima cabaran untuk memastikan kerjaya itu mencapai kejayaan. Saya tidak berputus asa dan meneruskan juga pekerjaan ini sehingga hari ini," katanya ketika ditemui di sini.

Ahmad Mokhtar yang merupakan graduan Diploma Seni Bina dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan memiliki Ijazah Seni Bina dari University ofMelbourne, Australia berkata semasa belajar di UiTM, dia bekerja sementara sebagai tukang kasut bagi menampung kos belajar dan mengumpul wang untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.

"Jadi apabila saya berhenti kerja, saya memulakan perniagaan ini dan sekarang ini saya boleh menarik nafas lega dengan perniagaan ini," katanya yang memperoleh pendapatan antara RM200 dan RM300 sehari.

PERKHIDMATAN

Ahmad Mokhtar berkata dia turut menaiktaraf perkhidmatan perniagaan itu dengan membuat kasut bagi orang kurang upaya (OKU) selain mengambil kontrak membaiki kasut untuk pasukan badan beruniform di sekolah-sekolah sekitar Alor Setar, jabatan kerajaan dan syarikat swasta.

Beliau yang telah bekerja sebagai tukang kasut selama 15 tahun berkata selain perkhidmatan membaiki, dia turut menyediakan perkhidmatan mengilat, menjual aksesori kasut dan kasut terpakai.

"Kini kami mahu dikenali dengan gelaran 'Shoes Master' atau pakar kasut dan tidak lagi 'tukang kasut' kerana mahu mengangkat martabat kerjaya ini di kalangan masyarakat," katanya.

PANDANGAN RAMAI

Ahmad Mokhtar berkata dia tidak peduli dengan pandangan orang ramai tentang pekerjaannya.

"Apa yang penting pendapatan saya ini halal di sisi agama dan saya tidak mengganggu hidup orang lain. Kalau asyik memikirkan tentang pandangan orang lain, tentu saya tidak boleh berjaya seperti hari ini," katanya.

Seorang lagi tukang kasut, Ahmad Daud, 45, berkata dia mula membaiki kasut sejak 20 tahun lepas dan memperoleh pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.

Walaupun sudah berumur 45 tahun, tetapi sehingga kini dia masih membujang kerana cintanya pernah ditolak dengan alasan pekerjaannya tidak mampu untuk membina sebuah keluarga.

"Menjadi tukang kasut perlu banyak bersabar kerana ada juga masyarakat berpendapat kami ini penagih dadah. Mungkin mereka beranggapan begitu kerana kami ini hanya seorang tukang kasut.

"Saya harap agar pekerjaan saya ini mendapat layanan yang sama rata dengan pekerjaan lain dan masyarakat dapat mengubah pemikiran mereka bahawa kerjaya membaiki kasut bukanlah pekerjaan yang hina," katanya.

PINJAMAN BANK

Ahmad berkata dia pernah memohon untuk membuat pinjaman bank bagi meluaskan perniagaannya, tetapi permohonannya tidak pernah diterima. Perkara itu turut diakui oleh kawannya, Ahmad Mokhtar.

Beliau berkata persaingan dalam industri membaiki kasut tidak banyak kerana rata-rata tukang kasut di kawasan itu sudah mempunyai pelanggan tetap. "Mungkin juga disebabkan pandangan rendah orang ramai terhadap pekerjaan kami menyebabkan orang lain tidak memilih untuk menjadi tukang kasut," katanya yang memberitahu dia membuka kedai kasutnya setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 7 malam.

- BERNAMA