Ahad, Mei 15, 2011

Daftar perniagaan lindungi hak peniaga, pengguna

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setiap perniagaan perlu bermula di SSM sebelum berurusan bagi memohon lesen lain seperti lesen premis dan lesen yang dikeluarkan agensi kerajaan lain.

Ini kerana, beliau difahamkan ada individu yang menjalankan perniagaan tanpa berdaftar dengan SSM kerana masih ada segelintir peniaga atau penjaja, terutama yang berniaga di pasar malam atau tempat terbuka, tiada Sijil Pendaftaran Perniagaan SSM atas alasan mempunyai lesen atau permit daripada pihak berkuasa tempatan.

“Perkara ini harus dipandang serius kerana di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Akta Syarikat 1965, sesiapa yang ingin menjalankan perniagaan wajib berdaftar dengan SSM terlebih dulu.

“Malah, orang ramai yang ingin berurusan dengan institusi-institusi kewangan bagi tujuan mendapatkan pinjaman perniagaan, perlu mempunyai Sijil Pendaftaran Perniagaan dan Syarikat yang dikeluarkan oleh SSM,” tegas beliau.

Ismail Sabri berkata, undang-undang sedemikian diadakan bukan untuk menyusahkan masyarakat sebaliknya bertujuan memberi kebaikan.

Sebagai contoh, katanya, sekiranya pemilik atau salah seorang rakan kongsi meninggal dunia dan pada masa kematiannya telah direkodkan dalam daftar sebagai salah seorang ahli kongsi maka pewaris, pentadbir atau mana-mana individu yang berhak terhadap harta pemilik yang meninggal dunia boleh membuat tuntutan ke atas hak individu yang meninggal kerana ada bukti sah direkod oleh Pendaftar Perniagaan.

Sebaliknya, jika individu atau rakan kongsi tidak mendaftarkan perniagaan, butir-butir yang berkaitan tidak direkod, maka dia tidak boleh menuntut hak berkenaan selain dengan syarat mendapat perintah Mahkamah Tinggi.
Pada masa yang sama, jika sesebuah perniagaan itu didaftarkan, hak pengguna terhadap barang-barang dan perkhidmatan lebih terjamin dan dapat dilindungi.

“Sekiranya ada sebarang kes penipuan atau penganiayaan, pengguna boleh membuat aduan sama ada kepada pihak berkuasa dan SSM,” katanya.

“Pada hari ini, SSM menyediakan kaunter perkhidmatan bergerak, bagi mempermudahkan pendaftaran perniagaan atau memperbaharui lesen perniagaan secara on the spot,” katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau berharap lebih ramai lagi masyarakat FELDA di Bera akan menceburi bidang perniagaan dan menggunakan kemudahan yang disediakan oleh SSM ini.

“Sehingga kini ada 96,345 perniagaan dan 15,016 syarikat di Pahang.

“Saya mahu melihat agar selepas ini bilangan perniagaan dan syarikat di daerah Bera bertambah dengan pesatnya. Kalau boleh saya mahu melihat agar masyarakat di sini meluaskan perniagaan mereka dengan menceburi pelbagai sektor dan tidak tertumpu kepada beberapa sektor saja,” katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.