Memaparkan catatan dengan label Latihan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Latihan. Papar semua catatan

Selasa, Jun 28, 2011

Rabu, Jun 01, 2011

Skim Latihan 1Malaysia Untuk Siswazah Menganggur Dilancar 1 Jun 2011

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Skim Latihan 1Malaysia (SLIM) yang akan dilancar oleh beliau esok akan membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah di negara ini.

Perdana Menteri berkata berdasarkan program itu, siswazah akan diberi latihan dan bimbingan di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Mereka yang terpilih akan dibimbing selama setahun, dan selepas itu, dibenarkan mencari kerja lain atau diserapkan oleh syarikat berkenaan, katanya pada jamuan tengah hari sempena Forum Tindakan Belia di sini Selasa.

"Kumpulan pertama 3,000 siswazah akan diambil secara beransur-ansur, dan ini bagi menentukan bahawa kita mempunyai bilangan siswazah menganggur yang paling minimum," kata Najib.

Skim Latihan 1Malaysia dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Najib juga berkata Sidang Kemuncak Belia Negara dan Forum Tindakan Belia merupakan satu wadah berguna dan berkesan bagi golongan muda menyatakan pendapat dan pandangan serta bagi kerajaan dan sektor korporat mendengar cadangan mereka.

"Ia membolehkan remaja di Malaysia memberikan impak kepada masyarakat.

"Anda mahu satu platform menyuarakan pendapat kepada pembuat dasar tertinggi (Perdana Menteri)...tuan-tuan dan puan-puan, anda berjaya mendapatnya," kata beliau sambil diberi tepukan gemuruh oleh lebih 350 pemimpin belia yang hadir.

Najib berkata sidang kemuncak dan forum berkenaan adalah kaedah baru bagi mewujudkan peluang bagi menarik penyertaan lebih banyak belia.

Pada acara itu, Najib yang juga Menteri Kewangan, melancarkan Dana Makro myHarapan, yang menyediakan geran kepada belia ke arah membolehkan mereka dipertimbangkan menerima Dana Belia 1Malaysia bagi golongan muda menggunakan bakat dan tenaga mereka untuk kemajuan beliia selain menyelesaikan isu-isu sosial.

myHarapan adalah sebuah yayasan amanah yang menyokong belia dan projek-projek belia yang menyumbang kepada kemajuan sosio ekonomi negara.

Mengenai Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya hujung minggu lepas, Perdana Menteri berkata beliau telah melawat beberapa ruang pameran dan menyertai pelbagai aktiviti bersama belia.

"Malah, lutut saya terseliuh tetapi yang memberi saya semangat ialah melihat anak-anak muda kita begitu bertenaga dan dinamik," katanya.

- BERNAMA

Ahad, Oktober 31, 2010

Modul PLKN akan dikaji semula


Modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dikaji semula bagi menerapkan nilai ekonomi untuk disesuaikan dengan pasaran tenaga kerja, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata melalui modul baru itu, sektor awam dan swasta akan memberi pengiktirafan kepada pelatih PLKN dengan memberi keutamaan kepada mereka ketika mengambil pekerja.

"Jabatan Latihan Khidmat Negara, badan profesional, bekas pelatih, jurulatih dan masyarakat umum akan membuat kajian menentukan apakah bentuk nilai ekonomi itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Kementerian Pertahanan di Kem Permata Resort, Air Paabas di Alor Gajah malam tadi.

Ahmad Zahid berkata ia juga akan mengkaji kemungkinan melanjutkan lagi tempoh latihan PLKN yang kini selama tiga bulan.

Modul PLKN sedia ada melibatkan khidmat komuniti, latihan fizikal, pembinaan karakter dan kenegaraan.

Kira-kira 500,000 remaja berusia 18 tahun (lepasan Sijil Pelajaran Malaysia) telah mengikuti PLKN sejak ia dilaksanakan pada 2004, dan membabitkan kos sebanyak RM3.8 bilion, katanya.

Beliau berkata hasil kajian sebuah universiti tempatan yang dibentangkannya kepada jemaah menteri baru-baru ini, mendapati pelaksanaan PLKN telah mencapai matlamat penubuhannya, dan kabinet memberi penghargaan terhadap kejayaan itu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata seramai 3,168 jurulatih PLKN akan diperkasa melalui seminar Transformasi Kejurulatihan Unggul.

Katanya, mereka akan dilengkapi pelbagai pengetahuan berkaitan tugas masing-masing supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

- BERNAMA

Selasa, Julai 07, 2009

Program FSTEP sasar 70 institusi kewangan

Program Meningkatkan Tenaga Mahir dalam Sektor Kewangan (FSTEP) yang memasuki sesi pengambilan keempat, menyasarkan untuk menarik antara 50 hingga 70 institusi kewangan menyertainya pada pengambilan akan datang daripada kira-kira 15 menyertainya pada masa ini.

Ketua FSTEP, Lee Khee Joo, berkata mulai sesi pengambilan keempat itu, pihaknya menyemak semula program iaitu sebelum ini semua peserta dipilih dan diambil oleh FSTEP, dengan elaun mereka dibiayai oleh Dana Latihan Kakitangan yang diuruskan Institut Bank-Bank Malaysia (IBBM).

Katanya, penyertaan institusi kewangan dalam program itu amat dialu-alukan kerana ia diwujudkan dengan matlamat meningkatkan bekalan tenaga kerja terlatih dan berkelayakan untuk industri perkhidmatan kewangan.

“Dengan pembabitan institusi kewangan, pihak terbabit dapat memilih sendiri peserta mereka untuk didaftarkan di FSTEP berbanding hanya kami yang memilih, mengambil dan kemudian menawarkan peserta yang sudah menamatkan program terbabit kepada institusi kewangan untuk diambil bekerja,” katanya selepas sesi taklimat pengambilan keempat program itu di Kuala Lumpur, semalam.

FSTEP yang bermula pada September 2007 ialah program latihan yang dipacu oleh industri perkhidmatan kewangan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan diuruskan oleh IBBM, bertujuan meningkatkan bekalan tenaga kerja terlatih serta berkelayakan bagi industri perkhidmatan kewangan.

Ia disasarkan kepada graduan berkaliber tinggi daripada institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara serta mereka yang bekerja dalam sektor bukan kewangan, tetapi minat meneruskan karier dalam industri perkhidmatan kewangan.

Program setahun itu merangkumi empat teras aliran iaitu perbankan konvensional, perbankan pelaburan, perbankan Islam serta insurans dan takaful.

Kumpulan pertama seramai 290 peserta menamatkan program pada Disember 2008, kumpulan kedua seramai 206 peserta menamatkan program bulan lalu, manakala kumpulan ketiga 108 peserta dijangka menamatkan program hujung tahun ini.

Untuk pengambilan keempat itu, seramai 65 peserta mendaftar dan daripada jumlah itu, 36 ditaja oleh pelbagai institusi kewangan di bawah Skim PraPemilihan yang diumumkan pada 28 April lalu.

Lee berkata, peserta kumpulan keempat itu dijangka menamatkan program Julai tahun depan dan mereka akan menjalani kursus intensif Bahasa Inggeris selama sebulan serta latihan kelas enam bulan, diikuti latihan semasa kerja selama lima bulan di institusi kewangan.

Katanya, selain latihan teknikal di kelas dan latihan semasa kerja, pelatih akan menjalani pelbagai kursus pembentukan diri serta latihan bina semangat yang disasar untuk membentuk personaliti, kerja berpasukan dan kualiti kepimpinan.

“Peserta kumpulan keempat itu juga adalah yang pertama menjalani kursus intensif Bahasa Inggeris yang mana semua tenaga pengajarnya adalah daripada British Council.

“Kami mahu memastikan peserta mempunyai kefasihan tinggi dalam Bahasa Inggeris dan bersedia untuk bekerja dalam industri perkhidmatan kewangan,” katanya.

Selain kursus intensif Bahasa Inggeris selama sebulan, beliau berkata peserta juga akan menjalani kursus Bahasa Inggeris dalam kewangan dan perbankan sepanjang sesi latihan kelas selama enam bulan.

- BERITA HARIAN

Recent Posts