Selasa, Julai 07, 2009

Program FSTEP sasar 70 institusi kewangan

Program Meningkatkan Tenaga Mahir dalam Sektor Kewangan (FSTEP) yang memasuki sesi pengambilan keempat, menyasarkan untuk menarik antara 50 hingga 70 institusi kewangan menyertainya pada pengambilan akan datang daripada kira-kira 15 menyertainya pada masa ini.

Ketua FSTEP, Lee Khee Joo, berkata mulai sesi pengambilan keempat itu, pihaknya menyemak semula program iaitu sebelum ini semua peserta dipilih dan diambil oleh FSTEP, dengan elaun mereka dibiayai oleh Dana Latihan Kakitangan yang diuruskan Institut Bank-Bank Malaysia (IBBM).

Katanya, penyertaan institusi kewangan dalam program itu amat dialu-alukan kerana ia diwujudkan dengan matlamat meningkatkan bekalan tenaga kerja terlatih dan berkelayakan untuk industri perkhidmatan kewangan.

“Dengan pembabitan institusi kewangan, pihak terbabit dapat memilih sendiri peserta mereka untuk didaftarkan di FSTEP berbanding hanya kami yang memilih, mengambil dan kemudian menawarkan peserta yang sudah menamatkan program terbabit kepada institusi kewangan untuk diambil bekerja,” katanya selepas sesi taklimat pengambilan keempat program itu di Kuala Lumpur, semalam.

FSTEP yang bermula pada September 2007 ialah program latihan yang dipacu oleh industri perkhidmatan kewangan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan diuruskan oleh IBBM, bertujuan meningkatkan bekalan tenaga kerja terlatih serta berkelayakan bagi industri perkhidmatan kewangan.

Ia disasarkan kepada graduan berkaliber tinggi daripada institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara serta mereka yang bekerja dalam sektor bukan kewangan, tetapi minat meneruskan karier dalam industri perkhidmatan kewangan.

Program setahun itu merangkumi empat teras aliran iaitu perbankan konvensional, perbankan pelaburan, perbankan Islam serta insurans dan takaful.

Kumpulan pertama seramai 290 peserta menamatkan program pada Disember 2008, kumpulan kedua seramai 206 peserta menamatkan program bulan lalu, manakala kumpulan ketiga 108 peserta dijangka menamatkan program hujung tahun ini.

Untuk pengambilan keempat itu, seramai 65 peserta mendaftar dan daripada jumlah itu, 36 ditaja oleh pelbagai institusi kewangan di bawah Skim PraPemilihan yang diumumkan pada 28 April lalu.

Lee berkata, peserta kumpulan keempat itu dijangka menamatkan program Julai tahun depan dan mereka akan menjalani kursus intensif Bahasa Inggeris selama sebulan serta latihan kelas enam bulan, diikuti latihan semasa kerja selama lima bulan di institusi kewangan.

Katanya, selain latihan teknikal di kelas dan latihan semasa kerja, pelatih akan menjalani pelbagai kursus pembentukan diri serta latihan bina semangat yang disasar untuk membentuk personaliti, kerja berpasukan dan kualiti kepimpinan.

“Peserta kumpulan keempat itu juga adalah yang pertama menjalani kursus intensif Bahasa Inggeris yang mana semua tenaga pengajarnya adalah daripada British Council.

“Kami mahu memastikan peserta mempunyai kefasihan tinggi dalam Bahasa Inggeris dan bersedia untuk bekerja dalam industri perkhidmatan kewangan,” katanya.

Selain kursus intensif Bahasa Inggeris selama sebulan, beliau berkata peserta juga akan menjalani kursus Bahasa Inggeris dalam kewangan dan perbankan sepanjang sesi latihan kelas selama enam bulan.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts