Memaparkan catatan dengan label Komputer. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Komputer. Papar semua catatan

Selasa, November 01, 2011

Dell melancarkan komputer riba ternipis 15 inci XPS 15z


Dell melancarkan komputer riba ternipis 15 inci XPS 15z yang merupakan produk dengan kuasa paling ultra keluaran jenama itu tahun ini.

Dengan XPS 15z ia memenuhi keperluan setiap golongan yang bergantung kepada peranti mudah alih daripada pelajar dan pemilik perusahaan kecil dan sederhana. Kini mereka mempunyai segala yang diperlukan untuk bekerja dan bermain dalam satu pakej menakjubkan.

Kombinasi kuasa terkini tanpa kompromi dan rekaan yang menakjubkan, XPS 15z menawarkan Intel Core i5 generasi kedua dan pemprosesan Core i7, pilihan paparan 15.6 inci HD sepenuhnya (1080p) bagi hiburan hebat dan pengalaman perayauan laman web, papan kekunci lampu belakang dengan lampu boleh ubah dan hayat bateri sehingga lapan jam. Semuanya di dalam bekas menarik dan nipis.

XPS 15z merupakan yang pertama dalam sirinya Inspiron nipis dan jenama produk XPS yang memberikan gabungan gaya dan keupayaan bagi menyerlahkan peribadi pengguna.

Pengurus Besar Pelanggan Perniagaan Kecil, Jualan Dell Malaysia, John Chang berkata, XPS 15z memberikan keupayaan yang tinggi dalam komputer riba dengan reka bentuk paling bergaya.

"Ia mempunyai segalanya bermula dengan pemprosesan generasi baru Intel Core i sehinggalah kepada pilihan skrin HD penuh 50 peratus lebih jelas berbanding paparan standard yang menjadikannya ternipis.

"XPS 15z memberikan sistem berkuasa yang bakal memikat pengguna di kalangan usahawan kecil dan sederhana," katanya.

XPS 15z merupakan satu pakej lengkap yang melibatkan persembahan media bagi pejabat atau menonton filem.

Ini semua boleh dilakukan dengan adanya pemprosesan Intel Core i5 atau i7, paparan jelas Intel Core i5 dengan pilihan Full HD dua kali lebih tinggi berbanding paparan HD standard resolusi HD, keupayaan 3DTV grafik NVIDIA, WiFi bina dalam, Bluetooth 3.0, USB 3.0 dan papan kekunci dengan lampu belakang.

Selain nipis, XPS 15z amat berkuasa dengan grafik NVIDIA dengan teknologi Optimus yang secara automatik menjimatkan tenaga dan membantu memanjangkan kuasa bateri yang amat sesuai bagi menonton filem secara berterusan.

Ia juga menawarkan penyimpanan pemacu keras yang lebih besar dan pemacu DVD+/- RW bagi menonton filem terkini atau menyalin muzik ke cakera padat.

Manakala paparan Full HD (1080p) pilihan membawa kualiti HDTV ke skrin komputer peribadi.

Ciri tanpa wayar termaju menjadikan XPS 15z peralatan yang amat sesuai sama ada di ruang tamu atau dalam perjalanan.

Bluetooth bina dalam dan sambungan WiFi memastikannya cepat dan mudah dihubungkan dengan e-mel, laman web, Skype dan Facebook dari mana saja.

Bagi hiburan di rumah, pilihan Intel Display Wireless membolehkan video dan gambar diselaraskan tanpa wayar daripada XPS 15z kepada televisyen yang dilengkapi dengan HDMI.

Dan dengan antara muka pengguna Dell Stage eksklusif, ia mudah untuk mengakses kandungan peribadi seperti muzik, foto dan video.

Pada pandangan pertama, rekaan XPS 15z dengan reka bentuk aluminium kelihatan terapung di atas permukaan dan kemasan yang berkilat memberikan sentuhan kemewahan.

Harganya bermula dengan RM3,799, XPS 15z sama seperti semua komputer XPS direka dan dibina bagi memberikan teknologi, pengkomputeran premium dengan bahan terbaik yang ditawarkan oleh Dell.

- UTUSAN

Isnin, Oktober 17, 2011

Amalan selamat guna Apple Mac

SELALU dibincangkan amalan selamat dalam mengendalikan komputer berasaskan Windows dan Linux, bagaimana pula untuk komputer yang berasaskan Apple Mac?

Secara umumnya, amalan yang selamat adalah sama sahaja iaitu pastikan data atau fail yang digunakan atau didapati daripada mana-mana punca adalah selamat dan bukannya virus atau malware.

Begitu juga ketika melayari Internet, amalkan budaya yang selamat.

Namun begitu, di sini saya bincangkan beberapa amalan selamat yang lebih spesifik untuk pengguna komputer peribadi yang berasaskan Apple Mac.

Hindari daripada amalan log in atau masuk ke dalam komputer secara automatik.

Ia boleh dikonfigurasikan pada Login Option di Account dalam System Preference. Masukan nilai Off pada Automatic Login dan tukar kepada Display Login Windows dengan Name and Password.

Pasang perisian antivirus kepada komputer Mac dan kemas kini fail enjinnya selalu.

Walaupun dikatakan komputer Mac kebal virus tetapi ia boleh menjadi pembawa virus dan seterusnya menjangkiti komputer yang lain.

Di antara perisian antivirus yang digunakan untuk komputer Mac adalah seperti CalmXav, Sophos dan lain-lain.

Amalkan budaya selamat dalam melayari Internet. Boleh menggunakan aplikasi OpenDNS dan Google Public DNS untuk mengurangkan masalah spoofing dan phising ketika melayari Internet.

Penggunaannya tidak memerlukan proses pemasangan tetapi hanya memasukkan alamat IP bagi aplikasi DNS tersebut ke dalam konfigurasi rangkaian atau pelayar web yang digunakan.

Sebagai contoh, untuk OpenDNS, masukkan alamat IP 208.67.222.222 dan 208.67.220.220 pada ruangan kosong DNS. Bagi Google Public DNS, masukkan alamat IP 8.8.8.8 and 8.8.4.4 pada ruangan kosong DNS.

Hidupkan dan konfigurasikan dengan selamat aplikasi Firewall Lion dalam komputer Mac.

Ia membantu menghalang keluar dan masuk trafik rangkaian yang tidak perlu dalam sesebuah komputer Mac.

Lebih banyak servis yang kena blok akan menyukarkan proses pencerobohan ke atas sesebuah komputer.

Penggunaan aplikasi FileVault dalam komputer Mac. Ia merupakan satu aplikasi yang digunakan untuk perlindungan data dan fail yang ada di dalam komputer Mac.

Ia juga mempunyai fungsi enkripsi untuk sesuatu data yang penting dan sensitif.

Buat kajian yang terperinci terlebih dahulu sekiranya ia perlu digunakan dan pastikan berada dalam polisi teknologi maklumat sekiranya perlu.

Penggunaan komputer yang selamat perlu bagi mengelakkan masalah yang lebih besar lagi menimpa seperti kehilangan data, reputasi diri, wang dan nyawa.

Kos penyediaan perimeter keselamatan ini lebih murah berbanding kos untuk mengembalikan data yang telah rosak atau hilang. Fikir-fikirkanlah ketika menggunakan komputer.

- UTUSAN

Selasa, September 27, 2011

Bezakan keupayaan komputer

BAGAIMANAKAH untuk kita tahu Windows yang digunakan tersebut versi 32 bit atau versi 64 bit? Apakah yang dikatakan versi 32 bit dan 64 bit tersebut?

Kebiasaannya, bagi Windows XP, ia menggunakan versi 32 bit manakala bagi Windows 7 atau Windows Vista berkemungkinan besar ia menggunakan versi 64 bit.

Ini penting untuk diketahui apabila kita mahu memasang perisian pemacu untuk sesebuah perkakasan atau mana-mana program aplikasi pada sesebuah komputer.

Sekiranya tersilap versi, program komputer tersebut tidak dapat berfungsi dengan baik atau boleh menyebabkan komputer bermasalah.

Bagi mengetahui sama ada Windows yang digunakan adalah versi 32 bit atau 64 bit, sila dapatkan maklumat pemasangan sistem pengoperasian atau Windows yang terdapat dalam program Control Panel>System and Maintenance>System.

Ia juga boleh diperoleh menerusi program System Information yang terdapat di dalam Windows.

Namun begitu, tiada Windows versi 64 bit bagi edisi Windows 7 Starter, Windows Vista Starter, Windows XP Home dan Windows XP Media Center.

Pengkomputeran 32 bit atau 64 bit merupakan cara bagaimana pemproses komputer atau Unit Pemprosesan Pusat (CPU) mengendalikan data dalam sesebuah komputer.

Ia mempengaruhi saiz maksimum bagi sesebuah memori atau Random Access Memory (RAM) bagi sesebuah komputer.

Sebagai contoh, komputer 32 bit mempunyai saiz RAM yang maksimum bersamaan dengan 232 bersamaan 4GB berbanding komputer 64 bit iaitu 8GB ke atas bersamaan dengan 264.

Ia juga bergantung kepada keupayaan sistem komputer yang ada.

Begitu juga satu masa dahulu, kita menggunakan komputer 8 bit yang mempunyai had maksimum saiz RAMnya pada 28 bersamaan 256 MB.

Bila ditambah saiz RAM kepada 512 MB, komputer akan menjadi bertambah perlahan kerana komputer atau pemproses tidak berupaya untuk memproses lebihan saiz RAM tersebut.

Perbandingan komputer 32 bit dengan komputer 64 bit ini boleh diibaratkan seumpama sebuah lebuh raya yang mempunyai 32 laluan dan lebuh raya yang mempunyai 64 laluan. Manakah yang lebih baik, cepat dan berkesan?

Jadi, pengkomputeran 64 bit atau 32 bit ini adalah berasaskan kepada keupayaan pemproses atau CPU bagi sesebuah komputer.

Sekiranya menggunakan komputer 64 bit, penggunaan sistem pengoperasian, perisian-perisian pemacu dan aplikasi-aplikasi komputer pada komputer tersebut mestilah berasaskan 64 bit.

Kebanyakan aplikasi komputer yang dibangunkan berasaskan 32 bit biasanya boleh digunakan oleh komputer 64 bit tetapi aplikasi komputer 64 bit tidak boleh digunakan oleh komputer 32 bit.

Bagi aplikasi pemacu pula, ia perlu mengikut jenis komputer sama ada 32 bit atau 64 bit.

Komputer 64 bit juga tidak boleh mengoperasikan program komputer 16 bit.

Bagi mengetahui had maksimum saiz bagi sesebuah memori atau RAM ini ialah dengan melakukan formula, 2 kuasa dengan bit pengkomputerannya.

Sebagai contoh, bagi komputer 8 bit, 28 bersamaan dengan 256 MB saiz RAM-nya dan komputer 32 bit pula, 232 bersamaan dengan 4.3 ribu juta atau bilion atau 4GB saiz RAM-nya.

Ini kerana komputer hanya boleh membaca dua nombor sahaja iaitu 0 dan 1 bagi mewakili bit-bit tersebut.

Kelebihan pengkomputeran 64 bit ini adalah keupayaan pemproses atau CPU dapat digunakan dengan optimum yang mungkin dan komputer berupaya mendapatkan saiz memori RAM yang besar.

Ini dapat meningkatkan prestasi dan kecekapan komputer dalam memproses arahan-arahan yang diberikan terutama aplikasi-aplikasi multimedia dan keselamatan.

Masalahnya ialah masih terdapat kekurangan aplikasi-aplikasi komputer yang ditulis untuk pengkomputeran 64 bit buat masa kini.

Namun demikian, ia akan terus berkembang untuk masa akan datang.

- UTUSAN

Selasa, Jun 21, 2011

Masalah Komputer - Masalah untuk login Facebook

SOALAN:

Setiap kali saya masuk ke akaun Facebook saya tiba-tiba keluar perkataan ini pada skrin komputer:

INTERNET EXPLORER CANNOT OPEN THE INTERNET SITE http://www.facebook.com/home.php

Operation aborted

Apabila saya pangkah atau tekan OK di kekotak tersebut saya terpaksa log in semula. Kadang-kadang hingga 2 atau 3 kali berturut-turut.

Apa masalahnya dan bagaimana untuk mengatasi supaya masalah tersebut tidak berulang ?

Sekian,terima kasih.

JAWAPAN:

Bagi menjawab persoalan tersebut saya andaikan talian Internet anda baik, stabil dan tiada masalah. Ini berkemungkinan besar masalah tersebut berpunca daripada pelayar web Internet Explorer (IE) anda.

Langkah yang baik adalah kemas kini dan tingkatkan versi pelayar web Internet Explorer yang digunakan atau menggunakan pelayar web yang lain seperti Google Chrome, Mozilla Firefox, Opera dan lain-lain.

Sekiranya tidak berupaya berbuat demikian atau masalah tersebut masih berlaku, terdapat beberapa cara yang boleh diikuti untuk penyelesaiannya.

1. Masukan alamat URL Facebook ke dalam ruangan web yang dipercayai yang terdapat pada pelayar web IE. Ia boleh dicapai dengan anda masuk ke IE dan pergi ke Tools > Internet Options > Security > Trusted Sites. Nyah klik pada ruangan Require server verification sekiranya anda tidak menggunakan https pada laman Facebook.

2. Berkemungkinan terdapat beberapa perisian yang menyebabkan berlakunya penghalang ini terutama perisian anti virus atau sekuriti sama ada yang dipasang atau telah dinyahpasangkan. Jadi, untuk mengelakkan ia berlaku boleh lakukan beberapa perkara yang berikut.

* Start > Programs > Accessories > System Tools > IE with no Addons

* IE > Tools > Internet Options > Advanced Tab > klik Restore then click Reset > Apply / OK

* IE > Tools > Internet Options > Security Tab > klik reset all zones to default - Apply / OK

* IE > Tools > Internet Options > Advanced Tab. Nyah tanda bagi "Enable third-party browser extensions"

* IE > Tools > Manage Add-ons > Nyahkan SSV2 sekiranya ada kerana ia boleh menyebabkan masalah tersebut berlaku. Ia akan sentiasa dipasang kepada pelayar sekiranya kemas kini kepada Java dibuat.

* Tutup dan buka semula program IE

3. Lakukan penyelenggaraan pada Windows bagi membuang dan membaik pulih segala fail sistem yang hilang dan rosak. Dengan itu, boleh lakukan beberapa perkara penyelenggaraan pada Windows seperti langkah-langkah yang seterusnya.

* Larikan program DiskCleanup dengan klik Start > All Programs > Accessories > System Tools > Disk Cleanup.

* Klik Start > RUN. Kemudian taipkan perkataan

sfc /scannow. Klik butang OK.

* Larikan program checkdisk dan jadualkan program tersebut untuk beroperasi pada permulaan buka Windows seterusnya. Klik Apply > OK.

* Larikan perisian anti-virus yang dikemas kini. Boleh dapatkan ia secara percuma sekiranya tiada seperti Malwarebytes di URL, http://www.malwarebytes.org. Berkemungkinan juga ia disebabkan oleh virus seperti Trojan Vundo dan lain-lain.

* Sekiranya ada program Windows Defender, buka dan pergi ke Tools > Software Explorer. Lihat isu-isu berkaitan dengan perisian-perisian yang kelihatan bermasalah. Seterusnya, setkan ia kepada status, not permitted.

* Boleh dapatkan perisian BHOremover untuk membuang secara lebih baik perisian-perisian atau program komputer yang tidak diperlukan. Ia boleh diperolehi di URL, http://securityxploded.com/bhoremover.php.

4. Terdapat ralat untuk pelayar web IE versi 6 dan 7 untuk membaca laman web yang mengandungi skrip atau kod Site Meter. Ia akan memaparkan mesej ralat yang sama. Bagi mengatasi masalah ini, menaik taraf pelayar web IE ke versi yang terkini atau ikuti langkah yang diberikan seterusnya.

Buka pelayar web Internet Explorer.

Klik pada Tools > Internet Options.

Klik pada tab Security.

Klik pada ikon Restricted Sites.

Klik pada butang Sites.

Pada ruangan Add this website to the zone, taipkan perkataan '*.sitemeter.com '

Klik pada butang Add. Klik pada Close dan OK.

5. Boleh nyah aktifkan fungsi mesej ralat pada HTTP ini pada pelayar IE. Mesej ralat tersebut akan masih dipaparkan pada pelayar tetapi ia tidak akan ke laman yang lain dalam pelayar tersebut. Ini boleh dilakukan dengan cara-cara yang berikut:-

Buka menu Tools dan klik pada Internet Options.

Pada tab Advanced, biarkan kosong kotak tanda sebelah pilihan Show friendly HTTP error messages. Ia berada di bawah tajuk Browsing.

Klik butang OK.

6. Nyah aktifkan fungsi Active Scripting dalam pelayar web IE. Ia akan mengelakkan daripada mana-mana skrip berfungsi dalam pelayar IE. Ini boleh dilakukan dengan beberapa langkah seperti yang berikut.

Pada menu Tools, klik Internet Options.

Pada tab Security, pilih zon yang akan membaca laman web tersebut.

Cari bahagian Scripting, setkan Active Scripting kepada Disabled untuk halang mana-mana skrip atau kepada Prompt untuk maklumkan kepada kita terlebih dahulu sama ada untuk larikan atau tidak sesesuatu skrip yang dibaca oleh pelayar web IE.

l Klik OK.

7. Ia juga boleh disebabkan masalah konfigurasi perisian paparan komputer DirectX. Sila benarkan fungsi DirectX Features beroperasi dalam program DirectX tersebut. Ini boleh dilakukan dengan pergi ke Start > Run > taip dalam kotak perkataan dxdiag > dan klik OK.. Seterusnya pada tab Display di ruangan Direct X Features, benarkan atau ENABLED fungsi untuk Direct Draw Acceleration dan Direct 3D Acceleration.

Itulah di antara beberapa perkara yang berkemungkinan boleh menyelesaikan masalah tersebut.

Ia juga boleh disebabkan oleh pelayar web tersebut dipenuhi dengan terlalu banyak program plug-ins dan add-ons atau program-program tersebut tidak sesuai dengan versi atau pelayar web yang digunakan. Boleh juga dilakukan dengan mengosongkan ruangan cache pada pelayar web anda.

Bagaimanapun, cara yang terbaik adalah kemas kini pelayar web anda dan tingkatkan ia kepada versi yang paling terkini dan stabil.

- UTUSAN

Jumaat, Mei 13, 2011

20 juta budak seluruh dunia guna Facebook

WASHINGTON: Kira-kira 7.5 juta daripada 20 juta pengguna di bawah umur yang menggunakan Facebook sejak tahun lalu berusia kurang daripada 13 tahun.

Agak membimbangkan, satu juta daripada mereka dibuli, diganggu atau diancam melalui halaman terbabit, menurut laporan yang dikeluarkan semalam.

Lebih lima juta pengguna Facebook berusia 10 tahun atau lebih muda dan mereka dibenarkan menggunakan Facebook tanpa pengawasan ibu bapa menyebabkan mereka lebih mudah diancam termasuk penipuan identiti sehingga gangguan seksual, menurut kajian Laporan Pengguna.

Syarat mendapatkan akses kepada Facebook memerlukan pengguna berusia sekurang-kurangnya 13 tahun.

Tetapi, kebanyakan kanak-kanak atau ibu bapa mereka tidak mengendahkan peraturan itu dengan memberikan tarikh lahir palsu apabila menandatangani halaman rangkaian sosial terbabit.

Ibu bapa kanak-kanak berusia 10 tahun atau lebih muda sering kali tidak kisah apabila anak mereka menggunakan khidmat laman web terbabit kerana berpendapat anak mereka tidak berhadapan dengan risiko internet, kata kajian itu.
Tetapi, biarpun seorang kanak-kanak berusia 10 tahun tidak mungkin akan memuat turun bahan lucah dari internet, mereka tetap memerlukan perlindungan daripada kemungkinan risiko lain di internet seperti pautan yang akan memberi kesan kepada komputer atau sebarang undangan daripada orang tidak dikenali selain buli.

Lebih lima juta pengguna Amerika Syarikat terdedah kepada virus jenis sama melalui Facebook termasuk virus jangkitan, kecurian identiti dan buli, kata kajian itu yang menemubual 2,089 isi rumah awal tahun ini.

Satu kajian berasingan disiarkan bulan lalu oleh Richard Power dari pusat penyelidikan keselamatan siber, Carnegie Mellon Universiti mendapati 10 peratus kanak-kanak di Amerika kehilangan nombor keselamatan sosial mereka yang dicuri dan digunakan untuk memohon lesen memandu dan pinjaman kereta atau rumah.

Kadar kecurian identiti di kalangan kanak-kanak 51 kali lebih tinggi berbanding kanak-kanak, kata Power dalam kajiannya.

Satu kajian lain, Cylab, melaporkan sekumpulan remaja dihubungi di Facebook oleh seorang pencari bakat palsu yang menjanjikan kerjaya sebagai model dengan syarat diberi gambar mereka berbikini.

Laporan itu menggesa ibu bapa memadamkan akaun anak mereka dalam Facebook jika usia mereka di bawah umur bagi mengelak menjadi mangsa pedofilia selain sentiasa memantau laman anak mereka.

– AFP

Cara guna enjin carian

Apabila kita berbincang berkenaan dengan carian yang cekap dalam menggunakan enjin carian di Internet, ia merujuk kepada ketepatan maklumat yang diperolehi dalam masa secepat yang mungkin.

Enjin carian Google dibina dengan kaedah cariannya yang cekap dan pantas.

Namun begitu, ada beberapa perkara yang memerlukan kecekapan pengguna enjin carian tersebut untuk mendapatkan carian maklumat yang tepat dan pantas.

Ia boleh diumpamakan dengan sebuah kereta lumba yang canggih memerlukan pemandu yang cekap untuk beroleh kejayaan dalam sesuatu pertandingan perlumbaan kereta.

Perkara pokoknya adalah bagaimana untuk menyingkirkan terlebih dahulu laman-laman web yang tidak berkaitan dan keputusan carian yang tidak betul.

Di sini akan dibincangkan beberapa faktor insan atau penggunaan carian yang betul bagi mendapatkan hasil carian yang lebih tepat dengan masa yang pantas apabila menggunakan enjin carian di Internet.

Struktur binaan sesebuah enjin carian secara umumnya adalah sama di antara satu sama lain.

Namun begitu, contoh yang akan diambil dalam perbincangan ini menggunakan enjin carian Google.

Berikut adalah beberapa kaedah yang betul untuk mendapat carian maklumat yang tepat dan pantas menggunakan enjin carian di Internet iaitu:-

1. Penggunaan kata kunci atau terma yang unik dan spesifik dalam suatu carian yang dibuat.

Apabila sesuatu carian yang dibuat, enjin carian akan paparkan beratus ribu atau lebih alamat laman web. Jadi, untuk mengurangkan paparan tersebut, gunakan kata kunci atau terma yang sangat spesifik dan unik.

2. Penggunaan tanda tolak (-) dalam kata kunci pencarian. Fungsinya adalah untuk memperkecilkan lagi skop carian. Enjin carian akan menghasilkan keputusan carian yang di luar jangka terutama kata kunci yang digunakan mempunyai beberapa maksud. Tanda tolak ini akan berfungsi secara logik sebagai TIDAK atau penafian bagi sesuatu makna dalam kata kunci carian. Ia akan membuang beberapa keputusan carian yang tidak berkenaan. Sebagai contoh, sekiranya kita menggunakan kata carian berkenaan haiwan, kerbau. Maka segala yang berkaitan dengan kerbau akan dipaparkan seperti Kerbau Enterprise, nama bagi sebuah syarikat, kertas dan lain-lain. Jadi, boleh menggunakan tanda tolak untuk tidak merangkumi maklumat-maklumat yang tidak berkaitan tersebut seperti - Enterprise - Ker dan lain-lain.

3. Penggunaan tanda pengikat kata (" ") bagi mendapatkan kata kunci yang lebih bersifat spesifik dan merangkumi segala kata kunci tersebut. Ia tidak akan mencari maklumat secara umum yang berkaitan dengan kata kunci yang dicari. Ia adalah satu cara bagi mengurangkan paparan maklumat yang tidak betul, tidak berkaitan dan tidak tepat dalam sesuatu carian.

Contohnya adalah seperti kata kunci atau carian perkataan, "Membujur lalu melintang patah".

4. Pengunaan huruf besar dan huruf kecil. Kebanyakan enjin carian tidak membezakan sesuatu perkataan yang sama dengan huruf kecil, huruf besar dan yang berada dalam pengikat kata.

Jadi, jangan membuang masa dengan perkara-perkara tersebut. Sebagai contoh, kesemua perkataan yang berikut adalah sama dalam enjin carian.

*Perpaduan

*perpaduan

*PERPADUAN

nPerpaduan

nperpaduan

5. Tidak menggunakan perkataan kebiasaan dan tanda seruan. Ini kerana kebanyakan enjin carian akan abaikan perkataan kebiasaan yang digunakan dalam ayat untuk bahasa Inggeris seperti and, a, the, an, is dan lain-lain. Pengunaan tanda seruan juga akan diabaikan. Namun begitu, ia boleh digunakan dan enjin carian akan mengambil kira dalam proses carian sekiranya ia berada dalam pengikat kata (" ").

6. Penggunaan fungsi AutoComplete dalam enjin carian. Penyusunan terma kata carian daripada secara umum kepada yang lebih spesifik dalam kotak carian dapat banyak membantu memaparkan keputusan yang tepat dalam bentuk senaraian pada kotak carian tersebut. Inilah cara yang berkesan menggunakan fungsi AutoComplete dalam enjin carian. Pemilihan item yang bersesuaian pada kotak carian menjimatkan masa untuk menaip sesuatu terma carian. Fungsi AutoComplete ini bukan sahaja berada dalam enjin carian seperti Google tetapi ada pada pelayar web atau brwoser seperti Internet Explorer, Mozilla Firefox dan lain-lain.

7. Elakkan menggunakan kata carian berbahasa Inggeris yang mempunyai imbuhan perkataan seperti balls, tested, walking dan lain-lain. Lebih baik menggunakan perkataan asas seperti ball, test, walk dan lain-lain. Ini dapat mengurangkan paparan maklumat yang tidak tepat dalam menggunakan enjin carian.

Namun begitu, sekiranya carian maklumat memerlukan perkataan reading. Gunakan perkataan reading dalam carian maklumat kita.

8. Penggunaan Browser History atau fungsi sejarah dalam pelayar web seperti Internet Explorer, Mozilla Firefox dan lain-lain.

Kadang kala ada alamat laman web yang sudah kita layari untuk dapatkan maklumat.

Sekiranya ada keperluan lagi dan kita menggunakan enjin carian, seperti biasa ia akan paparkan banyak maklumat yang perlu kita perhalusi satu demi satu.

Jadi, alamat laman web yang sudah kita layari sebelum ini boleh diperolehi semula di bahagian Browser History ini.

Bagi memudahkan lagi carian kita, perlu kita mengingat masa dan tarikh laman web tersebut dilayari menggunakan pelayar web tersebut.

9. Hadkan masa carian dan tambahkan dengan pelbagai cara carian. Sekiranya dalam masa tertentu, masih belum menjumpai maklumat yang dicari, kita perlu ada kaedah atau perancangan yang lain seperti berikut:-

nPenggunaan enjin carian yang lain seperti Yahoo!, Lycos, Bing dan lain-lain.

nMembuat pertanyaan dengan menghantar soalan ke forum-forum elektronik yang berkaitan.

nMenggunakan pakar carian maklumat yang boleh membantu.

nMembuat panggilan telefon untuk sesuatu bantuan atau pertanyaan.

nBertanya soalan atau maklumat tersebut kepada rakan taulan.

10. Perincikan carian maklumat yang dibuat. Terdapat beberapa simbol yang boleh diguna pakai dalam carian bagi menambahkan kespesifikan carian dan mengurangkan skop carian. Ia dapat mengurangkan paparan maklumat yang tidak sesuai. Di antaranya adalah seperti berikut:-

nTanda tambah ( + ) - Enjin carian akan abaikan perkataan sambungan atau yang biasa digunakan dalam ayat seperti is, are, and dan sebagainya. Sekiranya perlu untuk kita masukan perkataan tersebut boleh menambah simbol tambah ini dipermulaan perkataan tersebut seperti giant +and city. Jadi, carian tersebut akan memaparkan segala maklumat berkenaan perkataan tersebut termasuk perkataan and.

nTanda aliran ( ~ ) - Dengan penambahan tanda ini didepan sesuatu perkataan, enjin carian akan mencari maklumat perkataan tersebut dan maklumat yang sinonim dengan perkataan tersebut. Namun begitu, tidak kesemua perkataan berupaya mendapatkan hasil yang baik dengan tanda ini terutama sekali perkataan singkatan dan mepunyai banyak makna seperti HTML, CSS, HTTP dan lain-lain. Contoh penggunaanya adalah seperti berikut, ~ HTML.

nTanda asterik ( * ) - Ia digunakan untuk mencari sesuatu perkataan bersama dengan terma lain yang tidak diketahui seperti berikut, pendekar *. Namun begitu, ia tidak boleh digunaka untuk sebahagian daripada perkataan seperti pendekar m*. Hasil carian akan memaparkan segala maklumat berkenaan dengan pendekar dengan tambahan apa-apa perkataan yang lain.

nTanda atau ( OR ) atau ( | ) - Ia digunakan untuk mencari salah satu perkataan-perkataan carian yang sesuai. Sebagai contoh, kenangan indah akan memaparkan maklumat kedua-dua perkataan tersebut tetapi kenangan | indah akan memaparkan kesemua maklumat berkenaan salah satu daripada perkataan carian tersebut.

nJulat penomboran - Perincian sesuatu carian yang bernombor boleh dikecilkan skop cariannya dengan menyatakan julat dan jenis pengukuran bagi nombor tersebut. Sebagai contoh, Windows Server 2005 .. 2008, iPad RM100 RM200 dan lain-lain.

nPenggunaan carian pintar atau Advanced Search yang mempunyai banyak pilihan dan kriteria untuk mengecilkan lagi skop carian seperti tarikh, negara, bahasa dan lain-lain. Ia boleh digunakan dengan mengklik butangnya yang terdapat di sekitar kotak carian.

nPenggunaan fungsi Wonder Wheel dalam enjin carian Google. Ia juga merupakan satu kaedah pencarian yang mengecilkan skop carian kepada carian yang lebih spesifik pada sesuatu perkara.

Ia boleh dibuat carian menerusi kotak carian Google.

Kemudian klik kepada perkataan Wonder Wheel disebelah tepinya.

Segala apa yang dibincangkan sama ada ia merupakan satu kaedah carian atau alat carian adalah merupakan perkara penting. Ini berguna untuk kita mendapatkan carian maklumat yang hampir tepat dalam masa yang pantas.

Segala maklumat yang tidak perlu dapat dihindarkan daripada paparan enjin carian.

Internet merupakan sebuah gudang maklumat yang mempunyai pelbagai jenis maklumat.

Tugas kita adalah untuk memperhalusi aspek carian maklumat agar berupaya mendapat maklumat yang tepat dalam masa yang pantas. Hampir kesemua enjin carian adalah berasaskan kepada bahasa Inggeris.

- UTUSAN

Ahad, Mei 08, 2011

Telekom tambah 7 saluran HyppTV

Telekom Malaysia Bhd (TM) mempelbagaikan perkhidmatan televisyen berbayar terbarunya, HyppTV dengan menambah tujuh saluran premium, lima kategori video atas permintaan (VOD) dan dua aplikasi interaktif baru.

Naib Presiden Eksekutif, Media Barunya, Jeremy Kung, berkata saluran premium terbaru itu menawarkan kepelbagaian kandungan penyiaran daripada berita dunia di Al-Jazeera, hiburan muzik di Nat Geo Music, saluran muzik India Selatan di SS Music, kandungan Korea di tvN HD, pendidikan di Nat Geo Adventure HD, selain Syfy HD dan EMAS yang berkonsepkan kontemporari retro ditawarkan Media Prima.

Beliau berkata, kategori VOD pula menawarkan pakej keluarga daripada drama tempatan hingga ke dokumentari dan kartun seperti pakej siri Malaysia, pendidikan dan animasi, manakala aplikasi interaktif baru Youtube dan Facebook turut ditawarkan pada platform televisyen berbayar itu.

“Tujuh saluran premium baru itu boleh dibeli pelanggan HyppTV pada asas ‘ala carte’ dengan harga langganan bermula serendah RM3 hingga RM9 sebulan.

“Semua kategori VOD baru pula boleh dilanggan daripada harga serendah RM8 setiap pakej dengan tempoh tontonan sehingga 30 hari, manakala aplikasi interaktif YouTube dan Facebook ditawarkan secara percuma,” katanya pada sidang media mengumumkan saluran dan perkhidmatan terbaru HyppTV, di Kuala Lumpur, semalam.

Pengumuman saluran dan perkhidmatan terbaru itu dibuat bersempena sambutan ulang tahun UniFi yang mana pelanggannya kini mencecah hampir 80,000. Perkhidmatan terbaru itu boleh didapati mulai bulan depan.

Kung berkata, penambahan perkhidmatan terbaru itu menjadikan keseluruhan saluran ditawarkan HyppTV 44 semuanya dengan 15 daripadanya percuma, 29 saluran premium, 14 kategori VOD dan 11 aplikasi interaktif.

“Rangkaian kami berkembang pantas. Lebih ramai pelanggan, maka lebih pelbagai lagilah programnya.

“Selaras usaha memainkan peranan ketara dalam mengembangkan gaya hidup digital rakyat negara ini, HyppTV membenarkan penonton menikmati opsyen hiburan dan kandungan lain di luar kebiasaan pengalaman menonton televisyen konvensional,” katanya.

- BERITA HARIAN

Sabtu, Mei 07, 2011

Apakah perbezaan di antara http:// dan https;// ?

Perbezaan Antara http Dan https

HTTP adalah singkatan dari HyperText Transport Protocol, iaitu salah satu protokol yang mengandungi bahasa yang difahami antara webserver dan klien (web browser di pc).
Jadi apa perbezaan huruf S yang membezakan antara HTTP dan HTTPS?

S adalah singkatan daripada Secure. Jika anda mengunjungi laman Web , lihatlah alamat di web browser, ia akan biasanya dimulai dengan ini: http://.

Ini bererti bahawa website ini berbicara dengan menggunakan pelayar biasa yang tidak selamat.

Dengan kata lain, ada kemungkinan ada seseorang yang sedang sekodeng pada komputer anda semasa perbualan dengan website.

Jika Anda mengisi borang di laman web tersebut, seseorang mungkin melihat maklumat yang anda hantar ke laman tersebut.

Jadi tidak digalakkan untuk kita tidak pernah memasukkan nombor kad kredit anda di laman http!

Tetapi, jika alamat web bermula dengan https: / / , yang pada dasarnya bererti komputer anda sedang berbicara di halaman dalam kod yang selamat dan tiada sesiapa yang dapat sekodeng maklumat anda.

Anda faham mengapa hal ini begitu penting, kan?

Jika sebuah laman web meminta anda untuk memasukkan maklumat kad kredit anda, secara automatik periksa dahulu samaada alamat web bermula dengan https: / / .

Jika tidak, jangan memasukkan maklumat sensitif seperti nombor kad kredit.

Maklumat ini walaupun adalah basic tetapi ramai yang tidak tahu, kongsilah dengan kawan-kawan.

Sumber : http://carkeyinject.blogspot.com/2011/05/perbezaan-antara-http-dan-https.html

Recent Posts