Ahad, Mei 08, 2011

Telekom tambah 7 saluran HyppTV

Telekom Malaysia Bhd (TM) mempelbagaikan perkhidmatan televisyen berbayar terbarunya, HyppTV dengan menambah tujuh saluran premium, lima kategori video atas permintaan (VOD) dan dua aplikasi interaktif baru.

Naib Presiden Eksekutif, Media Barunya, Jeremy Kung, berkata saluran premium terbaru itu menawarkan kepelbagaian kandungan penyiaran daripada berita dunia di Al-Jazeera, hiburan muzik di Nat Geo Music, saluran muzik India Selatan di SS Music, kandungan Korea di tvN HD, pendidikan di Nat Geo Adventure HD, selain Syfy HD dan EMAS yang berkonsepkan kontemporari retro ditawarkan Media Prima.

Beliau berkata, kategori VOD pula menawarkan pakej keluarga daripada drama tempatan hingga ke dokumentari dan kartun seperti pakej siri Malaysia, pendidikan dan animasi, manakala aplikasi interaktif baru Youtube dan Facebook turut ditawarkan pada platform televisyen berbayar itu.

“Tujuh saluran premium baru itu boleh dibeli pelanggan HyppTV pada asas ‘ala carte’ dengan harga langganan bermula serendah RM3 hingga RM9 sebulan.

“Semua kategori VOD baru pula boleh dilanggan daripada harga serendah RM8 setiap pakej dengan tempoh tontonan sehingga 30 hari, manakala aplikasi interaktif YouTube dan Facebook ditawarkan secara percuma,” katanya pada sidang media mengumumkan saluran dan perkhidmatan terbaru HyppTV, di Kuala Lumpur, semalam.

Pengumuman saluran dan perkhidmatan terbaru itu dibuat bersempena sambutan ulang tahun UniFi yang mana pelanggannya kini mencecah hampir 80,000. Perkhidmatan terbaru itu boleh didapati mulai bulan depan.

Kung berkata, penambahan perkhidmatan terbaru itu menjadikan keseluruhan saluran ditawarkan HyppTV 44 semuanya dengan 15 daripadanya percuma, 29 saluran premium, 14 kategori VOD dan 11 aplikasi interaktif.

“Rangkaian kami berkembang pantas. Lebih ramai pelanggan, maka lebih pelbagai lagilah programnya.

“Selaras usaha memainkan peranan ketara dalam mengembangkan gaya hidup digital rakyat negara ini, HyppTV membenarkan penonton menikmati opsyen hiburan dan kandungan lain di luar kebiasaan pengalaman menonton televisyen konvensional,” katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts