Memaparkan catatan dengan label Kewangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kewangan. Papar semua catatan

Isnin, Disember 12, 2022

Pengasas Public Bank meninggal dunia


Tokoh perbankan yang juga Pengasas dan Emeritus Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow meninggal dunia 10.20 pagi tadi pada usia 92 tahun.

Mendiang adalah antara individu penting dalam pembangunan institusi kewangan di Malaysia dan individu keempat terkaya di Malaysia berdasarkan senarai Forbes dengan nilai kekayaan sebanyak RM26 bilion.

Hong Piow memulakan kerjaya perbankannya pada tahun 1950 sebagai kerani bank di Overseas-Chinese Banking Corporation Ltd sebelum dinaikkan pangkat kepada pegawai dalam tempoh lima tahun. 

Kemudian beliau menyertai Malayan Banking Bhd sebagai pengurus pada 1960 sebelum pada 1964 dinaikkan pangkat ke jawatan Pengurus Besar pada usia 34 tahun.

Hong Piow kemudian meninggalkan Malayan Banking untuk menubuhkan Public Bank pada 1965. 

Sejak itu, beliau telah menyelia evolusinya menjadi sebuah institusi kewangan moden dan bersepadu dengan rangkaian luas lebih 200 cawangan domestik dan di luar negara.

Mendiang kini merupakan Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Kumpulan Public Bank. 

Beliau juga memegang jawatan utama dalam pelbagai organisasi seperti Yayasan Awam, Malaysia dan LPI Capital Bhd.

Hong Piow dilahirkan di Singapura pada 14 Mac 1930 dan mengikuti pendidikan formal rendah dan menengah di Sekolah Cina Anglo di Singapura. 

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Datin Sri Tay Sock Noy sejak 1956 dan mereka dikurniakan empat orang anak.

Public Bank antara bank utama di Malaysia dengan mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM1.59 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022, meningkat 16.8 peratus daripada RM1.36 bilion setahun sebelumnya.

Prestasi yang bertambah baik ini didorong terutamanya oleh pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi sebanyak RM338.1 juta dan elaun rosot nilai pinjaman yang rendah sebanyak RM228.5 juta, sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan operasi lain yang lebih tinggi berjumlah RM101.5 juta.

Hasil turut meningkat kepada RM5.50 bilion daripada RM4.81 bilion sebelumnya.

Untuk tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih bank itu meningkat 3.0 peratus kepada RM4.40 bilion daripada RM4.27 bilion disebabkan caj cukai tambahan daripada cukai kemakmuran sekali sahaja dalam tempoh semasa, manakala hasil melonjak kepada RM15.36 bilion daripada RM14.76 bilion.

Sumber : Berita Harian

Jumaat, November 25, 2022

Bajet 2023 perlu dibentang semula

 


Kerajaan yang baharu dibentuk perlu meneruskan agenda Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan membentangkan Bajet 2023 sekali lagi untuk diluluskan dengan segera sebagai persiapan menghadapi situasi ekonomi yang dijangka mencabar tahun depan.

Penganalisis Politik, Prof. Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk dijangka tetap memastikan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat akan diutamakan kerana semua pihak mempunyai pengalaman mentadbir negara.

“Kerajaan baharu mempunyai tugas yang mencabar untuk terus mempertahankan momentum pemulihan ekonomi negara, ia tidak boleh dibiarkan perlahan memandangkan ekonomi global yang diramalkan amat mencabar pada 2023 dan tahun-tahun akan datang.

“Dengan tiada parti politik yang berjaya meraih majoriti mudah membentuk kerajaan, saya melihat selepas pilihan raya ini akan berlaku kurangnya permainan politik dan usaha akan lebih kepada pemulihan ekonomi dan menarik lebih ramai pelabur ke negara kita,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, rakyat Malaysia merupakan rakyat terbaik, tidak ada sebarang provokasi walaupun keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak dapat membentuk kerajaan dengan mudah kerana tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti mudah.

“Ini menyebabkan keyakinan pelabur sentiasa tinggi untuk melabur di negara ini. Selain itu, semua pihak yang bertanding sudah ada pengalaman mentadbir negara, maka ini juga menambah keyakinan pelabur,” katanya.

Tambahnya, Malaysia memerlukan kerajaan yang stabil dan kuat untuk membetulkan struktur ekonomi negara yang pincang sekarang dengan pelbagai isu seperti inflasi, sekuriti makanan, graduan ‘underemployment’, kebergantungan kepada pekerja asing serta kurangnya budaya penyelidikan dan pembangunan dalam industri pembuatan Malaysia.

“Parlimen tergantung memberi kesan kepada kita terutamanya Bajet 2023 yang tidak sempat diluluskan yang mana ini membuatkan segala perancangan mungkin perlu dilakukan semula,” katanya.

Sumber : Kosmo!

Isnin, Oktober 17, 2022

IOUpay, BSN sedia khidmat 'beli sekarang bayar kemudian'

 


IOU Pay (Asia) Sdn Bhd (IOUpay) menjalin kerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi menawarkan perkhidmatan 'Beli Sekarang Bayar Kemudian' (BNPL) myIOU baharu kepada ahli kad BSN.

Ketua Pemasaran IOUpay, Gwen Khor, berkata lebih 6.6 juta ahli kad BSN akan menikmati kemudahan membuat pembayaran ansuran selama sehingga enam bulan menerusi aplikasi mudah alih myIOU, pada kadar sifar peratus di pelbagai gedung peniaga, sama ada di dalam talian dan luar talian.

Katanya, antara perniagaan yang turut serta termasuk SOGO, Senheng, Petsmore, Lazo Diamond, Happikiddo dan Wah Chan.

"Perkhidmatan BNPL oleh IOUpay akan memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi kaedah pembayaran tanpa tunai dalam kalangan pelanggan BSN, sambil membolehkan IOUpay untuk membina portfolio pelanggan yang berkualiti.

"Kerjasama ini akan membolehkan kedua-dua BSN dan IOUpay menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dengan menawarkan cara lebih bijak untuk berbelanja dan membeli apa yang anda mahu, apabila anda mahukannya, tanpa menghabiskan wang di bank, sambil menguruskan kewangan dengan berhemat," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid, berkata, pihaknya berhasrat untuk meluaskan perkhidmatan kad yang ditawarkan menerusi kerjasama dengan IOUpay.

Ahli kad BSN kini boleh menikmati pelan pembayaran ansuran enam bulan, dengan pembelian serendah RM50 pada kadar sifar peratus, tanpa perlu bimbang dikenakan sebarang kadar faedah atau yuran pengurusan yang tersembunyi," katanya.

Ahli kad BSN akan menerima baucar alu-aluan bernilai RM10 apabila mereka mendaftar untuk aplikasi myIOU, dan 5,000 Ahli Kad Berdaftar BSN yang pertama untuk menghubungkan kad kredit mereka dengan aplikasi akan menerima baucar tambahan RM10.

Dengan perbelanjaan minimum RM500 menerusi kemudahan myIOU, ahli kad BSN akan berpeluang memenangi BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) bernilai RM100.

Pemenang juga layak menyertai cabutan bertuah BSN SSP.

Aplikasi myIOU kini boleh dimuat turun dari App Store dan juga Google Play.

Sumber : Berita Harian

Khamis, September 08, 2022

BNM naikkan OPR kepada 2.5 peratus, kenaikan ketiga berturut-turut

 


Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (bnm) membuat keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus, kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

Bank pusat dalam kenyataan berkata, ekonomi global terus berkembang, meskipun pada kadar sederhana, disebabkan oleh tekanan kos yang semakin meningkat, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan global terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan pembukaan semula sepenuhnya bagi kebanyakan ekonomi dan sempadan antarabangsa.

“Tekanan inflasi kekal tinggi disebabkan oleh harga komoditi semakin meningkat dan pasaran pekerja yang ketat, meskipun keadaan rantaian bekalan global semakin bertambah baik.

“Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat,” menurut kenyataan.

Pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

MPC tidak membuat sebarang ketetapan awal serta akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil. 

Sumber : Utusan

Isnin, Ogos 22, 2022

CIMB minta pelanggan berwaspada jenayah siber

 


CIMB menyarankan pelanggannya supaya sentiasa berwaspada dan memainkan peranan mereka dalam melindungi diri daripada jenayah siber.

Menurut bank tempatan itu, pelanggan diingatkan supaya jangan berkongsi butiran seperti OTP, nombor kad, ID Pengguna, PIN, TAC, kata laluan dengan sesiapa sahaja atau memasukkan butiran berkenaan pada mana-mana laman web selain daripada CIMB Clicks serta aplikasi perbankan mudah alih CIMB.

"Sentiasa semak semula alamat atau URL laman web secara teliti sebelum anda klik pautan berkenaan atau masukkan butiran anda.

"Semua pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi pusat panggilan kami dengan segera di 03-62047788 sekiranya terdapat transaksi atau aktiviti yang mencurigakan. Rujuk laman cimb.com.my/sec untuk info lanjut," katanya ketika menjawab pertanyaan menerusi e-mel mengenai terdapat dakwaan kehilangan wang dalam akaun bank seorang pelanggannya.

Kelmarin seorang pakar perubatan, Dr Rafidah Abdullah mendedahkan wang berjumlah RM13,000 miliknya lesap daripada akaun bank CIMBnya.

"Sudah hampir 30 tahun dengan CIMB. Hari ini sangat sangat kecewa dengan CIMB. Langsung tiada sekuriti. Takkan lah 3 transaksi melalui CIMB click berjumlah RM13 ribu pada 2-2:30 pagi tidak ada trigger langsung? Langsung tidak ada minta TAC. Lesap dalam sekelip mata.

"This is absolutely ridiculous. Nampaknya duit TIDAK SELAMAT dengan CIMB bank. Saya dah report ke CIMB, polis dan sebagainya. Setakat ini feedback adalah kalau scammer dah keluarkan duit, duit itu tidak akan dapat dipulangkan.

Tidak apa. Saya redha," katanya di laman Facebook peribadinya

Dr Rafidah turut menafikan beliau ada memuat naik aplikasi yang pelik sehingga membolehkan datanya diceroboh daripada telefon milikya.

"Untuk pengetahuan semua, saya menggunakan iPhone dan tidak memuat naik aplikasi pelik. Mungkin ada yang dapat maklumat saya. Saya sudah buang semua aplikasi di telefon dan reset.

"Saya sudah buat laporan polis, CIMB, bank yang menerima duit saya (Hong Leong), email semua dan saya telah hantar laporan ke Bank Negara Malaysia.

"Saya sudah anggap duit itu bukan rezeki saya. Tapi apa yang saya bimbang adalah apa yang saya baca. Nampak ramai sungguh yang terkena scam/hack begini. Sedih saya dengar Mak Cik Pak Cik dan rakyat yang kehilangan pendapatan dan simpanan mereka," katanya.

Sumber : Berita Harian

Recent Posts