Memaparkan catatan dengan label opr. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label opr. Papar semua catatan

Khamis, November 03, 2022

BNM naikkan OPR 0.25 peratus kepada 2.75 peratus



 Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk sekali lagi menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) iaitu sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus pada mesyuarat kali terakhirnya bagi tahun 2022.

Ia adalah kenaikan kali keempat berturut-turut tahun ini bermula Mei, Julai dan September lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Berikutan kenaikan terbaharu itu, jajaran kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.00 peratus dan 2.50 peratus.

BNM dalam satu kenyataan berkata, ekonomi global terus terjejas akibat tekanan kos yang semakin meningkat, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta langkah pembendungan yang ketat di China.

Ia berkata, kesan faktor berkenaan melebihi kesan sokongan daripada keadaan pasaran pekerja yang positif serta pembukaan semula sepenuhnya kebanyakan ekonomi dan sempadan antarabangsa.

Katanya, tekanan inflasi berlarutan lebih lama daripada jangkaan disebabkan oleh permintaan yang kukuh, pasaran pekerja yang ketat serta harga komoditi yang tinggi meskipun keadaan rantaian bekalan global semakin bertambah baik.

"Kesannya, banyak bank pusat dijangka terus menaikkan kadar faedah bagi menguruskan tekanan inflasi. Khususnya, pelarasan kadar faedah AS yang terus agresif dan jangkaan kadar penamat yang lebih tinggi di AS telah menyumbang kepada persekitaran dolar AS yang terus kukuh.

"Hal ini telah menyebabkan volatiliti yang lebih ketara dalam pasaran kewangan, lantas memberikan kesan terhadap mata wang pasaran utama dan pasaran sedang pesat membangun lain termasuk ringgit," katanya.

Pada masa hadapan, BNM berkata, prospek pertumbuhan global akan terus menghadapi rintangan daripada keadaan kewangan yang lebih ketat berikutan inflasi yang lebih tinggi di ekonomi utama serta cabaran dalam negeri di China.

Ia berkata, prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan terus menjadi lebih perlahan, termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, rintangan dalam negeri di China yang semakin buruk dan kemungkinan catuan tenaga di Eropah.

Bagi ekonomi Malaysia pula, BNM berkata, penunjuk terkini menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi terus bertambah kukuh pada suku ketiga tahun 2022, didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang teguh.

Ia berkata, pada masa hadapan, permintaan dalam negeri akan terus menjadi pendorong utama pertumbuhan meskipun persekitaran global mencabar.

Katanya, perbelanjaan isi rumah akan terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja dan prospek pendapatan yang bertambah baik.

Bank pusat berkata, ketibaan pelancong telah meningkat susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan akan mengukuhkan lagi sektor berkaitan pelancongan.

"Aktiviti dan prospek pelaburan akan disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun. Walau bagaimanapun, permintaan luaran dijangka sederhana berikutan pertumbuhan global yang semakin perlahan.

"Meskipun terdapat episod volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan global dan pertukaran asing, perkembangan ini dijangka tidak akan menjejaskan pertumbuhan Malaysia," katanya.

BNM menjelaskan, keadaan mudah tunai domestik terus mencukupi, dengan pasaran kewangan dan pasaran pertukaran asing terus berfungsi dengan teratur.

Ia berkata, institusi kewangan juga terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh, yang mana hal itu akan memastikan pengantaraan kewangan terus menyokong ekonomi.

Walau bagaimanapun, bank pusat berkata, risiko pertumbuhan ekonomi dalam negeri menjadi perlahan terus berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global berikutan dasar monetari yang lebih ketat secara agresif di ekonomi utama, konflik geopolitik yang semakin meruncing dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk.

"Selaras dengan penilaian sebelum ini, inflasi keseluruhan mungkin berada pada tahap tertinggi pada suku ketiga 2022 dan dijangka akan menjadi sederhana, meskipun kekal pada tahap tinggi.

"Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, diunjurkan untuk purata lebih hampir kepada tahap tinggi dalam julat unjuran 2.0 peratus hingga 3.0 peratus pada 2022, setelah berpurata 2.7 peratus sejak awal tahun sehingga kini, berikutan wujudnya sedikit tekanan yang didorong permintaan dalam keadaan kos yang tinggi," katanya.

Menjelang 2023, BNM berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal tinggi berikutan tekanan permintaan dan kos, serta apa-apa perubahan pada langkah-langkah dasar dalam negara.

Katanya, kesan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi juga sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi dan lebihan kapasiti yang masih wujud dalam ekonomi.

"Imbangan risiko terhadap prospek inflasi pada 2023 cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi dan terus bergantung pada langkah dasar dalam negeri mengenai subsidi serta perkembangan harga komoditi global yang berpunca terutamanya daripada konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlarutan," katanya.

BNM berkata, berlatarkan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang terus positif, MPC mengambil keputusan untuk membuat pelarasan selanjutnya terhadap tahap akomodasi monetari.

Ia berkata, pelarasan itu juga akan menguruskan secara lebih awal berhubung dengan risiko tekanan permintaan terhadap harga yang berlebihan.

Katanya, keputusan itu selaras dengan penyesuaian semula penetapan dasar monetari yang mengimbangi risiko terhadap inflasi dan pertumbuhan dalam negeri yang mampan.

Jelasnya, pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

"MPC tidak membuat sebarang ketetapan awal dan akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah serta kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negara.

"Sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan terus dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil," katanya.

Pada mesyuarat terakhir MPC bagi 2022 itu juga telah meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk 2023, yang mana selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, mesyuarat MPC akan diadakan sebanyak enam kali setahun.

Mesyuarat MPC bagi 2023 dijadualkan diadakan pada 18 dan 19 Januari 2023; 8 dan 9 Mac 2023; 2 dan 3 Mei 2023; 5 dan 6 Julai 2023; 6 dan 7 September 2023 dan 1 dan 2 November 2023.

Sumber : Berita Harian

Khamis, September 08, 2022

BNM naikkan OPR kepada 2.5 peratus, kenaikan ketiga berturut-turut

 


Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (bnm) membuat keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus, kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

Bank pusat dalam kenyataan berkata, ekonomi global terus berkembang, meskipun pada kadar sederhana, disebabkan oleh tekanan kos yang semakin meningkat, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan global terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan pembukaan semula sepenuhnya bagi kebanyakan ekonomi dan sempadan antarabangsa.

“Tekanan inflasi kekal tinggi disebabkan oleh harga komoditi semakin meningkat dan pasaran pekerja yang ketat, meskipun keadaan rantaian bekalan global semakin bertambah baik.

“Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat,” menurut kenyataan.

Pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

MPC tidak membuat sebarang ketetapan awal serta akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil. 

Sumber : Utusan

Rabu, Julai 06, 2022

BNM naikkan OPR sekali lagi

 


Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini memutuskan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menjadi penanda aras pinjaman dan tabungan iaitu sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus kepada 2.25 peratus.

Susulan peningkatan itu, kadar siling dan lantai koridor OPR juga meningkat masing-masing kepada 2.50 peratus dan 2.00 peratus.

Ia kenaikan kedua berturut-turut tahun ini selepas BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus semasa mesyuarat terakhirnya Mei lalu.

Bank pusat itu dalam kenyataannya berkata, kegiatan ekonomi di Malaysia terus meningkat pada bulan-bulan kebelakangan ini.

Ia berkata, penunjuk eksport dan perbelanjaan runcit mengesahkan momentum pertumbuhan yang positif, disokong oleh peralihan ke fasa endemik.

"Dalam pasaran pekerja, kadar pengangguran terus menurun dengan penyertaan tenaga kerja yang lebih tinggi dan prospek pendapatan

yang bertambah baik.

"Pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi akan disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh meskipun permintaan luaran dijangka sederhana disebabkan rintangan yang dihadapi oleh pertumbuhan global.

"Selain itu, pembukaan sempadan antarabangsa sejak 1 April 2022 akan menyokong pemulihan sektor berkaitan pelancongan. Aktiviti dan prospek pelaburan terus disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun," kata BNM.

Bank pusat bagaimanapun menegaskan bahawa risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan terus berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang berterusan dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk.

Ia berkata, sejak awal tahun sehingga kini, inflasi keseluruhan berpurata pada 2.4 peratus.

Katanya, meskipun purata itu dijangka kekal dalam julat unjuran tahun ini iaitu 2.2 peratus hingga 3.2 peratus, inflasi keseluruhan mungkin lebih tinggi pada sesetengah bulan disebabkan terutama oleh kesan asas daripada harga elektrik.

"Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata antara 2.0 peratus hingga 3.0 peratus pada 2022 apabila permintaan terus bertambah baik dalam keadaan kos yang tinggi.

"Namun, kesan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

"Prospek inflasi terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global yang disebabkan terutamanya oleh konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlarutan, disamping langkah-langkah dasar dalam negeri," katanya.

Berikutan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif, MPC mengambil keputusan untuk membuat pelarasan selanjutnya terhadap tahap akomodasi monetari.

BNM berkata, keputusan itu konsisten dengan pandangan MPC bahawa keadaan yang pertama kali berlaku ini sehingga memerlukan penetapan kadar OPR terendah yang pernah dicatatkan, kini semakin reda.

"Pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan

menyokong pertumbuhan ekonomi.

"MPC akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri," katanya.

Di peringkat antarabangsa, BNM berkata pembukaan semula ekonomi global dan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi.

Namun, katanya faktor-faktor ini sebahagiannya diimbangi oleh kesan tekanan kos yang semakin meningkat, konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

"Tekanan inflasi terus meningkat disebabkan terutama oleh harga komoditi yang tinggi dan keadaan permintaan yang kukuh, meskipun keadaan rantaian bekalan global sedikit reda.

"Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada

penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi,

dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat," katanya.

Sumber : Berita Harian

Recent Posts