Memaparkan catatan dengan label Kerja. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kerja. Papar semua catatan

Khamis, Mac 03, 2022

MyFutureJobs tawar 11,846 pekerjaan dalam sektor baharu

 

Sebanyak 11,846 peluang pekerjaan dalam sektor pekerjaan baharu direkodkan sepanjang tempoh 1 Januari hingga 24 Februari lalu yang menawarkan gaji antara RM5,000 hingga RM10,000 ke atas. 

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, berkata peluang pekerjaan baharu itu boleh dirujuk melalui portal MYFutureJobs yang diperkenalkan kerajaan sejak 2020.

"Antara industri atau sektor utama yang dikenal pasti mendapat permintaan tinggi adalah sektor komunikasi dan maklumat, pembuatan, pengangkutan, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal serta pendidikan.

"Manakala pekerjaan baharu yang kini mendapat permintaan tinggi dalam kalangan majikan ialah penganalisis data, penganalisis sistem ICT, pembangun antara muka pengguna, saintis data, arkitek sistem ICT, pembangun pangkalan data, sistem terbenam, pembangun perisian, jurutera penyelidikan, penganalisis logistik, penganalisis perniagaan ICT, pereka digital media, pembangun permainan digital dan pakar forensik digital," katanya. 

KSM berkata, gaji ditawarkan bergantung kepada tahap pendidikan, pengalaman dan kemahiran dimiliki pencari kerja.

Sementara itu, KSM berkata, bagi tempoh 1 Januari 2020 hingga 18 Februari 2022, sebanyak 96,661 majikan berdaftar dengan MYFutureJobs yang menawarkan 3.88 juta kekosongan jawatan.

"Daripada jumlah itu, sehingga kini sebanyak 431,989 kekosongan jawatan aktif masih terbuka," katanya.

– BERNAMA

 

Khamis, Jun 10, 2021

Shell Malaysia dipilih majikan paling menarik

 

Shell Malaysia dinobat sebagai Majikan Paling Menarik di Malaysia 2021 oleh Randstad, agensi penyelesaian sumber manusia terkemuka dunia.

Pencapaian Shell Malaysia dalam anugerah itu adalah kali ketiga selepas meraih pengiktirafan sama pada 2016 dan 2017.

Pengarah Urusan Randstad bagi Singapura dan Malaysia, Jaya Dass, berkata pencapaian Shell Malaysia dikecapi hasil usahanya mengekalkan jenama majikan yang kukuh ketika COVID-19.

"2020 menjadi satu lagi tahun paling mencabar kepada semua majikan di Malaysia di mana krisis ini menggariskan betapa pentingnya kejayaan mengukuhkan jenama majikan dan kemampuan organisasi muncul lebih kukuh daripada wabak ini.

"Banyak majikan luar biasa bekerja keras selama 12 bulan terakhir bagi memastikan keselamatan pekerja selain menguruskan kesan ekonomi yang serius.

"Walaupun Malaysia terkesan, kami yakin ekonomi akan kembali pulih pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan

Pemenang Anugerah Jenama Majikan Randstad bagi 2021 dipilih daripada kalangan 75 syarikat komersial paling menarik untuk bekerja di Malaysia berdasarkan saiz tenaga kerja.

Selain Shell Malaysia, Nestlé Malaysia dan Intel Malaysia menjadi tiga majikan paling menarik tahun ini.

Anugerah itu mengiktiraf tiga syarikat komersial utama yang meraih skor daya tarikan tertinggi dalam Penyelidikan Jenama Majikan.

Penyelidikan Jenama Majikan 2021 Randstad mengkaji persepsi pencari kerja dan pekerja terhadap jenama majikan.

Ia menawarkan pemahaman yang tepat mengenai faktor dan pendorong nilai pekerja.

"Edisi kali ini unik kerana menjadi satu-satunya penyelidikan global yang bebas menyelidik perubahan sentimen tenaga kerja sebelum dan selepas wabak COVID19.

"Tahun ini, sejumlah 2,523 pekerja dan pencari kerja tempatan menyertai tinjauan di Malaysia pada Januari 2021.

"Kami berharap dapat melihat majikan tempatan terus menjalin hubungan yang bermakna dengan pekerja mereka dan berusaha untuk menjadi pilihan untuk bekerja," tambah Dass.

Sementara itu, Pengurus Negara Sumber Manusia Malaysia Shell, Shazmi Ali, berkata pengiktirafan itu membuktikan pekerja kami telah menjadikan Shell sebagai tempat terbaik untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada pelanggan, masyarakat dan negara di sebalik cabaran pendemik.

"Kami benar-benar berterima kasih di atas pengiktirafan ini dan memahami tanggungjawab yang dipikul.

"Shell komited untuk menjadi pusat tenaga mahir berbakat dengan memperkemaskan kakitangan kami dengan kemahiran terkini ke arah masa depan emisi sifar kepada Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Dass berkata, sebagai bukti pencapaian yang konsisten dan cemerlang dalam penjenamaan majikan, agensi itu telah memasukkan PETRONAS ke Hall of Fame Randstad sejak 2020.

"PETRONAS telah membawa pulang penghargaan majikan yang paling menarik tiga kali berturut-turut dari 2018 hingga 2020.

"Hall of Fame adalah penghargaan tertinggi dan paling berprestij yang diberikan dalam Anugerah Jenama Majikan Randstad yang dikhaskan hanya untuk majikan yang telah memenangi anugerah tiga kali dalam lima tahun," katanya.

INFO

Senarai 10 teratas majikan paling menarik di Malaysia

1. Shell Malaysia

2. Nestlé Malaysia

3. Intel Malaysia

4. Samsung

5. Sime Darby Bhd

6. General Electric

7. HP Enterprise Services

8. Sunway Bhd

9. IBM

10. Tenaga Nasional Bhd

Sumber : Berita Harian

 

 

Rabu, April 14, 2021

24,919 ditawarkan kerja menerusi MySTEP

 

Sejak dimulakan Januari lalu, seramai 24,919 orang sudah berjaya ditawarkan pekerjaan menerusi Program Kerja Jangka Pendek (MySTEP) setakat 31 Mac lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu, seramai 23,477 orang pekerja ditempatkan di sektor awam manakala, 1,442 orang pekerja pula berjaya ditempatkan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata, secara keseluruhan, kerajaan telah mencapai 49.8 peratus sasaran keseluruhan MySTEP bagi tahun 2021.

“Sejak program MySTEP mula dilaksanakan sejak Januari lalu, jumlah pekerjaan yang disediakan sentiasa mengatasi sasaran bulanan.

“Di bawah program itu, pemohon telah ditempatkan di pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pemohon untuk GLC pula telah ditempatkan dalam organisasi seperti PETRONAS, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional,” katanya menerusi Laporan Laksana Ke-49 yang dikeluarkan hari ini.

Katanya, MyStep diumumkan pada Belanjawan 2021 lalu yang mana kerajaan memperuntukkan RM700 juta bagi membuka 50,000 peluang pekerjaan jangka pendek di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta GLC secara lantikan kontrak.

Tengku Zafrul berkata, sebanyak 35,000 peluang pekerjaan disediakan di sektor awam, manakala 15,000 peluang pekerjaan turut disediakan di GLC serta rakan-rakan strategik mereka.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan sudah menyalurkan sebanyak RM647.33 bagi tuntutan Elaun Khas Barisan Hadapan setakat 2 April lalu.

Menurutnya, ia membabitkan 1,822,927 tuntutan berbanding RM569.69 juta berdasarkan 1,671,400 tuntutan pada minggu sebelumnya.

Sumber : Kosmo!

Rabu, Oktober 02, 2019

Revolusi Industri 4.0 dijangka luput 75 juta pekerjaan menjelang 2022



Ketibaan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) melibatkan teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI) akan menjadikan 75 juta pekerjaan di dunia menjadi usang atau luput menjelang tahun 2022.

Perunding transformasi perniagaan Joon Teoh berkata, menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF), contoh-contoh bidang pekerjaan itu adalah seperti perakaunan, simpan kira dan kerani gaji, kerani penyimpanan data, setiausaha pentadbiran dan eksekutif, pekerja kilang dan pemasangan, perkhidmatan maklumat dan pelanggan, di samping perkhidmatan perniagaan dan pengurus pentadbiran.

“Suka atau tidak, WEF meramalkan pekerjaan-pekerjaan itu sudah semakin berkurangan, dan akan hilang di masa depan. Mereka yang terlibat dengan pekerjaan ini perlu meningkatkan kemahiran dan menjadi lebih fleksibel dan terbuka kepada peluang-peluang baru,” katanya.

Beliau berkata hanya kerja-kerja berkenaan sahaja yang akan lenyap, namun bagi manusia sendiri, ia tidak akan memberi kesan sekiranya mereka dapat belajar kemahiran-kemahiran baharu dalam era automasi dan pendigitalan.

Teoh berkata, mereka yang melakukan pekerjaan berkenaan perlu menjalani latihan dan membuat perubahan bagi membolehkan mereka melaksanakan kerja yang memiliki nilai tinggi.

Bagaimanapun menurut WEF lagi, walaupun dengan ‘kehilangan’ kerja-kerja ini, namun sebenarnya jumlah kemunculan pekerjaan baharu adalah lebih tinggi berbanding yang lenyap pada tahun 2022.

Sebanyak 133 juta peranan kerja dicipta, antaranya penganalisis data dan saintis, pakar AI, pengurus am dan operasi, penganalisis serta pencipta peranti dan aplikasi, profesional jualan dan pemasaran, pakar big data, pakar transformasi digital, di samping pakar-pakar teknologi baharu.

Teoh juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif serta pengasas Agos Asia Sdn. Bhd. yang pakar dalam proses menambah baik bidang kewangan, sumber manusia, serta pemerolehan, di samping peningkatan teknologi dalam aspek automasi proses robotik dan AI.

Beliau menjelaskan bahawa robot sebenarnya bukan hanya merujuk kepada perkakasan semata-mata, kerana ia juga melibatkan set-set kod yang boleh bekerja dengan sendiri selepas sesuatu arahan diberikan.

“Sebagai contoh anda tetapkan robot untuk bekerja dalam tempoh waktu tertentu untuk memproses invois, dan ia akan mengikut arahan yang diberikan,” katanya dan menambah AI kemudiannya akan mengenal pasti apa yang betul, apa yang salah, dan menghantar invois yang bermasalah kepada manusia untuk diratifikasi.

Teoh, graduan London School of Economics and Political Science dengan BSc Econs dalam Perakaunan dan Kewangan, berkata robot dan AI kini adalah satu keperluan kepada perniagaan, dan harganya kini mulai menurun dengan ketara sekitar 30 hingga 50 peratus berbanding lima tahun lepas.

Beliau seterusnya menggesa kerajaan membangunkan satu pusat sehenti untuk menghimpunkan semua maklumat berhubung IR4.0 kerana ketika ini terdapat banyak kementerian serta agensi yang terbabit, dan maklumat mengenainya berselerak di sana sini.

Katanya kerajaan juga perlu melebarkan skop IR4.0 untuk turut menyertakan semua aktiviti dan industri sebagai tambahan kepada pengilangan.

“Kita ingin tahu apa bentuk insentif atau pembiayaan daripada kerajaan bagi membantu syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SMEs) di Malaysia untuk menerima pakai IR4.0,” katanya.

Menurutnya kerajaan perlu mengenal pasti rakan dalam ekosistem berkenaan seperti dalam bidang pembekal latihan, firma perunding, di samping insentif yang dapat diberikan, sebelum meletakkan semua maklumat yang berhubung dengannya di satu tempat, yang mungkin boleh menjadis ebuah portal.

- BERNAMA
 

Selasa, Februari 23, 2016

Bonus tarikan utama pekerja kekal berkhidmat


Satu hasil kaji selidik terbaharu menunjukkan aspek bonus terus kekal sebagai tarikan bagi pekerja untuk terus kekal berkhidmat dengan syarikat atau majikan mereka.

Kaji selidik oleh portal pekerjaan, JobStreet.com baru-baru ini, menunjukkan majoriti atau  75 peratus daripada seramai 3,858 pekerja atau responden, mengakui bahawa pemberian bonus menjadi syarat utama kesetiaan dengan syarikat.

Malah, kepentingan bonus itu tetap dititikberatkan biarpun mereka menerima peluang kerja bergaji lumayan. Sebaliknya, hanya 37 peratus majikan beranggapan bonus sebagai faktor utama.

"Ia jelas membuktikan wujud jurang ketara antara persepsi pekerja dan majikan berhubung isu bonus ini," kata portal pekerjaan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil kaji selidik itu turut menunjukkan 56 peratus pekerja-responden menjangkakan bonus akhir tahun mereka lebih tinggi berbanding setahun lepas, iaitu peningkatan 5.0 peratus berbanding tinjauan sama pada 2015.

Ini disebabkan seramai 57 peratus daripada mereka percaya telah berjaya memenuhi jangkaan pihak pengurusan dari segi prestasi kerja manakala 35 peratus pula mengaitkannya dengan keuntungan syarikat yang lebih tinggi.

Baki 8.0 peratus pula percaya ia disebabkan penurunan kos operasi syarikat dan faktor lain berkaitan, berbanding tahun lepas.

- Bernama


Rabu, Mei 28, 2014

SPA lancar Peperiksaan Dalam Talian



PUTRAJAYA 27 Mei 2014 - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) melaksanakan kaedah peperiksaan secara atas talian bagi memilih calon berkelayakan untuk mengisi jawatan kosong dalam sektor awam bermula 27 Mei 2014.

Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam berkata, kaedah berkenaan dibuat bagi memudahkan calon mengambil peperiksaan tanpa perlu hadir ke pusat peperiksaan tertentu seperti sebelum ini.

Beliau berkata, menerusi transformasi berkenaan, SPA dapat menjimatkan kos pengurusan peperiksaan berbanding cara tradisi termasuklah perbelanjaan seperti kertas jawapan dan buku soalan dengan nilai penjimatan sebanyak RM2.5 juta setahun.

``Ia membolehkan orang ramai menduduki peperiksaan bertulis untuk memasuki skim perkhidmatan awam di mana saja mereka berada iaitu di rumah, pejabat atau luar negara.

``Masa yang ditetapkan untuk peperiksaan berlangsung juga serentak dan mereka akan menerima nombor giliran sebelum menduduki peperiksaan," katanya pada sidang akbar Majlis Pelancaran Sistem Peperiksaan Online di Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun turut hadir bagi menyempurnakan majlis pelancaran tersebut.

Sumber : UTUSAN



SPA online exam





Jumaat, Februari 28, 2014

Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) bantu 42,000 graduan dapat kerja

Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) berhasil membantu 42,000 graduan menganggur, mendapat pekerjaan sejak dilancarkan mulai 2011.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata hingga Januari lalu, semua graduan itu mendapat pekerjaan selepas atau ketika menyertai program SL1M.

“Program disertai 40 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta itu, memberi latihan kepada graduan yang belum mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian,” katanya di Putrajaya.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat yang menyertai SL1M yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mesyuarat itu dihadiri wakil 40 GLC dan swasta, termasuk Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, Datuk Amrin Awaluddin dan CEO New Straits Times Press (M) Bhd, Mohammad Azlan Abdullah.

Abdul Wahid berkata, graduan negara ini perlu memantapkan kemahiran insaniah dan tahap penguasaan bahasa Inggeris bagi memudahkan mereka mendapat pekerjaan.

“Tidak salah jika SL1M dijadikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat di negara ini kerana ia membantu membentuk modal insan yang berguna untuk masa depan negara.

“Kira-kira 100,000 lagi graduan masih menunggu peluang menyertai SL1M,” katanya.

- BERITA HARIAN

Selasa, Ogos 06, 2013

Caruman KWSP penuh sehingga 60 tahun



Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan ahli yang berumur sehingga 60 tahun dan masih bekerja akan terus menerima caruman penuh sebanyak 12 peratus daripada majikan dengan caruman pekerja kekal pada kadar 11 peratus.

Bagaimana pun, mereka yang bergaji bulanan kurang daripada RM5,000 akan menerima 13 peratus caruman daripada majikan. Peraturan berkenaan berkuat kuasa bulan Ogos ini.

Pekerja berumur antara 60 dan 75 perlu mencarum separuh daripada kadar berkenaan iaitu 5.5 peratus dan majikan pula menyumbang pada kadar enam peratus atau 6.5 peratus untuk pekerja yang bergaji bulanan kurang RM5,000.

Perubahan kadar caruman “Walaupun ada perubahan terhadap umur persaraan dan kadar caruman, Pengeluaran Umur 55 Tahun dan Umur 50 Tahun kekal.

“Ahli diberi pilihan untuk mengeluarkan simpanan dalam Akaun 2 pada umur 50 tahun dan pengeluaran penuh pada umur 55 tahun,” kata KWSP dalam satu kenyataan akhbar di sini, semalam.

Bagaimanapun, ahli dinasihatkan tidak mengeluarkan semua simpanan sekali gus pada umur 55 tahun tetapi melanjutkan simpanan untuk tempoh yang lebih lama dengan memilih Pengeluaran Fleksibel Umur 55 tahun, di mana ahli boleh memilih mengeluarkan simpanan secara bulanan atau sebahagian.

Maklumat lanjut jadual sumbangan KWSP terbaharu boleh didapati di laman web myEPF www.kwsp.gov.my.



Recent Posts