Memaparkan catatan dengan label Keluarga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keluarga. Papar semua catatan

Rabu, April 10, 2013

Berkomunikasi agar lebih intim suami isteri

BERKOMUNIKASI adalah cara yang paling 'mudah' bagi memastikan kebahagiaan rumah tangga yang dibina kekal dan juga cara terbaik untuk melengkapkan hari-hari bagi setiap pasangan.

Menurut Perunding Terapi Kekeluargaan Annabella House Of Theraphy, Suhana Ahmad Marzuki, faktor kesibukan menguruskan kerjaya dan rumah tangga serta anak-anak menjadikan komunikasi antara suami isteri semakin kurang.

Malah mengikut kajian, pasangan suami dan isteri pada hari ini hanya berkomunikasi sebanyak 20 hingga 25 peratus sahaja dalam sehari, manakala baki 75 peratus lagi sekadar menggunakan bahasa badan atau 'faham-faham' antara mereka sendiri sahaja.

Ada dalam kalangan mereka yang hanya dapat berkomunikasi selepas si isteri melakukan kerja-kerja rumah atau setelah si suami pulang lewat dari pejabat dan terus berehat di atas katil sebelum melelapkan mata.

Itupun mungkin hanya beberapa minit sebelum kedua-duanya lena dibuai mimpi.

Malah, ada yang mengambil kesempatan untuk bercakap dengan pasangan masing-masing hanya dalam soal-soal berat, tentang hal anak dan rumah tanpa sempat bertanyakan mengenai keadaan pasangan masing-masing.

Perkara ini bukan sahaja berlaku terhadap pasangan yang berkerjaya. Lebih malang apabila isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa juga berhadapan dengan masalah sama apabila suami balik ke rumah, isteri telah penat menguruskan rumah tangga dam tidak dapat berbual dengan suami yang segera ke bilik tidur untuk berehat.

''Ini pastinya akan menyebabkan isteri rasa tertekan kerana tidak dapat berbual dengan suami mereka dalam hal-hal berkaitan anak-anak atau rumah.

"Si isteri rasa terbeban kerana menanggung sesuatu situasi itu seorang diri tanpa dapat berkongsi dengan suami.

''Begitu juga yang dialami oleh pasangan suami isteri yang berlainan masa kerja atau kerja syif dan hanya bertemu beberapa jam di rumah," katanya.

Dalam perkara ini menurut Suhana, pasangan perlu bijak menangani keadaan agar suasana rumah tangga mereka tidak terus suram tanpa komunikasi dua hala daripada kedua-dua pihak.

''Pandai-pandailah cari masa yang sesuai untuk berkomunikasi dengan pasangan.

"Takkanlah dalam tempoh 24 jam atau tujuh hari seminggu itu sekalipun tidak dapat luangkan masa untuk berbual mesra dengan pasangan.

''Perbualan yang dimaksudkan ini bukan hanya setakat berbicara mengenai hal yang penting atau sepatah dua kata sahaja, malah sebenarnya bicara yang mencakupi isi hati pasangan anda," jelasnya.

Tambah Suhana, komunikasi bukan sahaja diperlukan bagi merungkai konflik atau permasalahan rumah tangga malah dengan berbual dapat mencetus dan menjalinkan hubungan erat dalam kalangan suami isteri.

''Komunikasi boleh mencambahkan perasaan sayang, apatah lagi dalam perbualan itu disulami dengan kata-kata romantis, humor dan sebagainya," katanya.

Suhana turut memberi tip kepada pasangan suami isteri bagaimana mencari masa yang sesuai untuk berkomunikasi dengan pasangan mereka.

Namun katanya, perbualan itu perlu disulami dengan rasa gembira dan ceria serta tidak membosankan.

Usah sesekali menyemarakkan komunikasi atau memulakannya dengan rasa amarah dan dendam agar perbualan yang dimulakan dengan elok tidak bertukar kepada kebencian dan kemarahan.

Menurutnya, seelok-elok komunikasi yang ingin dijalinkan oleh pasangan perlulah diungkap berdua dan tiada gangguan daripada anak-anak pada waktu itu.

1 Suami dan isteri boleh memanfaatkan cuti hujung minggu dengan melakukan aktiviti bersama-sama seperti berjogging dan bersenam atau memasak bersama-sama.

Ketika ini suasana lebih terasa santai dan suami dan isteri boleh berbual dengan lebih mesra ketika sedang makan bersama.

Sekiranya inginkan keadaan lebih menarik, carikan masa sewaktu anak-anak sedang bermain di halaman rumah, sediakan juadah petang dan anda makan bersama suami sambil berbual.

2 Suasana di kamar tidur lebih tenteram, lapang, tanpa gangguan dan anda boleh menggunakan keadaan ini di atas katil untuk berbicara dengan pasangan anda sebelum tidur.

Biarpun sekejap, pastikan setiap minit yang digunakan memberikan manfaat yang besar kepada diri anda berdua.

3Habiskan waktu lewat malam ketika anda menghabiskan masa berdua menonton televisyen sehingga lewat malam.

Waktu itu anak-anak telah tidur, jadikan waktu itu suasana yang romantik untuk anda berdua berbicara.

4 Bawa anak beriadah pastikan anak-anak anda melakukan aktiviti mereka dan pada waktu itu anda dapat berbual bersama.

5 Ketika dalam perjalanan perbualan mesra dalam kalangan suami isteri boleh dimulakan ketika dalam perjalanan jauh ke kampung atau ketika suami menghantar isteri ke tempat kerja.

- UTUSAN

Rabu, Mac 20, 2013

Lelaki suka wanita humor

Biarpun personaliti dan perangai golongan Adam adalah berbeza antara satu sama lain, namun terdapat empat perkara yang golongan ini bersetuju tentang wanita yang mereka minati.

Jika anda seorang wanita, sekiranya anda hendak memenangi hati seorang lelaki terutamanya suami, pastikan anda mempunyai ciri-ciri berkenaan.

Apatah lagi sekiranya anda berkawan dengan seseorang dan mahu hubungan itu kekal sampai ke akhirnya, mungkin anda boleh memenangi hati insan yang menjadi impian anda itu menerusi ciri yang menjadi dambaan golongan ini.

Lelaki mahukan ciri-ciri seorang teman yang boleh membuatkannya rasa 'kasual' dan senang ketika berdampingan.

Seorang lelaki mahukan teman wanitanya pandai memainkan suasana, sentiasa gembira dan ceria.

Kaum Adam gemar dengan wanita yang aktif, pandai bersukan, lasak dan pandai beraksi.

Bagi kita orang Melayu, mungkin lelaki ini melihat wanita istimewa ini pandai bergaul, ringan tulang dan pandai mencipta suasana yang meriah.

Dalam perhubungan pastikan anda menyuntik suasana humor dan kegembiraan dalam perhubungan anda.

Anda boleh melakukannya menerusi 'usikan main-main', godaan, lawak jenaka dan apabila berbicara selain bertanyakan apa yang dia buat dalam hidupnya, tanyakan apa yang dia hendak buat bagi menggembirakan dirinya.

Maksudnya di sini, mereka tidak berapa gemar dengan wanita yang pasif dan berdiam diri (kecuali lelaki yang suka bersifat pendera dan berkuasa).

Mereka juga suka sekiranya wanita pandai bermain sesuatu seperti terlibat dengan sukan dan aktiviti lasak contohnya yang akan membuatkan mereka rasa teruja dengan diri anda.

Sebenarnya, lelaki ini akan merakamkan kenangan suasana pengalaman yang anda ciptakan untuk dia dan bukannya bagaimana anda mengeluarkan kata-kata indah untuk dia.

Menonton atau bermain sukan bersama pasangan juga adalah cara bagaimana diri anda menarik minat golongan Adam.

Lebih kompetitif sesuatu sukan itu lagi baik seperti bermain ping pong dan tambahkan sedikit 'usikan' di sana-sini, pastinya ia merupakan daya penarik kepada diri anda.

Ramai dalam kalangan wanita yang secara salah mentafsirkan dan percaya lelaki akan mencari wanita yang lemah kerana ia menyebabkan lelaki itu kelihatan bijak dan berkuasa.

Namun sebenarnya, lelaki yang sejati akan lebih tertarik kepada wanita yang boleh memberikan mereka inspirasi.

Namun ini tidak pula bermakna lelaki itu akan tertarik dengan kejayaan dan semangat berdikari wanita itu, tetapi mencari masih adakah ruang bagi lelaki di hati wanita berkenaan tanpa membataskan kejayaan yang wanita itu miliki.

Apa pun, lelaki sebenarnya gemar dengan wanita yang pandai berdikari justeru, sibuk dengan kehidupan sendiri dan jangan hanya menjadikan si dia sebagai satu-satunya 'dunia' anda.

Seboleh-bolehnya jangan buang minat, tanggungjawab dan kawan-kawan anda semata-mata untuk bersama si dia.

Apabila anda bersama si dia, berikan sepenuhnya respons dan perhatian kepadanya terhadap apa yang anda lakukan bersama.

Lelaki yang sejati juga mahukan seorang wanita yang benar-benar matang dari segi emosi.

Wanita yang matang tidak sewenang-wenangnya menyalah atau mengkritik teman lelakinya mengenai apa yang dirasainya, tetapi cuba berkongsi perasaan dengan sepenuh kejujuran sambil membantu memulihkan keadaan.

Persefahaman ini yang benar-benar menyentuh naluri lelaki, dalam erti kata lain sekiranya wanita itu boleh menzahirkan perasaannya secara tenang dan tidak terlalu emosi, dialah wanita yang bakal memenangi hati lelaki.

Kerana di sini dia boleh melihat anda dapat mengendalikan pelbagai perkara dengan tenang dan boleh mengawal stres.

Lelaki takut untuk menjalinkan hubungan dengan wanita yang kurang daya penarik dan kurang ghairah (bukan hanya dari segi seks sahaja).

Ciri-ciri lain yang boleh mematikan daya penarik wanita itu termasuklah terlalu sukar untuk mendapatkannya atau wanita yang inginkan hubungannya menjadi serius terlalu cepat.

Sebagai wanita, pastikan semuanya berada dalam keadaan tenang dan rasa cinta itu akan datang secara semula jadi tanpa paksaan.


- UTUSAN


Selasa, Mac 19, 2013

Portal Konsultasi Isu Rumah tangga Dilancar

Orang ramai kini berpeluang mendapatkan konsultasi mengenai isu rumah tangga melalui Internet yang dibangunkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata portal itu boleh dilayari di efamilyexpert.com.

"Ia memberi peluang kepada mereka yang malu atau mempunyai masa yang terbatas untuk berjumpa dengan pakar atau pihak-pihak berkenaan bagi mendapatkan nasihat mengenai isu-isu terbabit," katanya kepada pemberita selepas melancarkan portal itu di Institut Latihan Islam Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai portal itu, Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamarudin berkata, selain menempatkan maklumat dan tip mengenai isu berkaitan rumah tangga, ia juga memuatkan ruangan untuk para pelayar bertanya sebarang soalan kepada pakar.

Pada masa ini pakarnya termasuk dari Sukarelawan Peguam serta Persatuan Peguam Muslim dengan perancangan untuk memasukkan ahli psikiatri, psikologi dan kaunselor di masa depan, katanya.

Zaleha berkata, projek portal itu dilaksanakan bersama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam yang akan dikembangkan ke 200 universiti di bawah pertubuhan itu.

- BERNAMA


Ahad, Januari 20, 2013

Tip lebih menyayangi isteri

MENGIKUT pengalaman saya selama hampir 20 tahun menjalankan motivasi, hampir 90 peratus penyelesaian konflik rumahtangga tidak perlu melalui penceraian. Oleh itu, saya membuat kesimpulan peribadi bahawa 90 peratus penceraian yang berlaku di luar sana sebenarnya tidak perlu berlaku namun tetap berlaku kerana pasangan tiada ilmu, tidak sabar dan kurang bijak mengurus konflik. Memanglah jodoh itu ditangan Allah namun usaha menyelamatkan perkahwinan itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh terlebih dahulu.

Bagi kita para suami, hayatilah beberapa tip di bawah agar kita menjadi seorang suami yang mampu bersabar dalam perkahwinan.

Ingatlah kita lelaki yang dipilihnya menjadi suami sedangkan dia dulunya mungkin ada pilihan yang lain

Suka atau tidak itulah hakikatnya. Kita menjadi suami kerana isteri menerima kita untuk menjadi suaminya. Dia mungkin ada beberapa pilihan lain namun kitalah yang dirasakan paling serasi, secocok dan sekufu dengannya. Kitalah yang diharapkan dapat menjadi payung baginya dan mendidik dia menjadi isteri yang baik lagi solehah. Cuba imbas kembali betapa bahagianya hati kita ketika dia bersetuju menjadi isteri. Indah dan bermakna sungguh saat itu.

Kenang pengorbanannya sewaktu dia sanggup bersusah-susah dahulu sebelum senang

Mengharungi kehidupan di saat-saat awal perkahwinan bukannya mudah. Rumah sewa dan gaji pun kecil. Yang berniaga, juga bermula secara kecil-kecilan. Kita suami isteri sanggup berkorban masa, tenaga, perasaan dan segalanya demi membina sebuah kejayaan. Makan kita makanlah isteri. Ramai isteri yang sanggup sama-sama bersusah payah demi memastikan keadaan keluarga menjadi lebih berjaya satu hari nanti. Doanya untuk kita tidak pernah putus. Sakit demam kita dijaganya. Keluhan hati kita didengarnya. Kesusahan kita dirasakannya. Jadi, kenapa mesti kita lupakan semua itu. Apa sekali pun jalan yang kita pilih pastikan isteri yang sama-sama susah itu tidak diabaikan, apa lagi dibuang. Tutup mulut dan padam perkataan cerai daripada dalam minda.

Dialah ibu yang separuh nyawa bertarung mengandung dan melahirkan anak-anak kita

Bukan senang mahu mengandungkan anak selama sembilan bulan dan melahirkannya. Jika kita berpeluang melihat bagaimana sukar dan sakitnya isteri melahirkan anak maka pastilah timbul rasa insaf dan kasihan terhadapnya. Ketika anak pertama saya lahir, isteri saya memberitahu bahawa roh bagaikan terkeluar seketika daripada badan. Anak pertama itu beratnya lebih kurang empat kilogram, isteri saya merintih atas katil dalam wad bersalin selama lebih 12 jam. Ketika anak diteran keluar dengan satu nafas, dia rasakan seolah-olah dirinya terapung dan dia nampak saya, doktor, jururawat, anak dan dirinya sendiri ketika berada di atas itu. Semuanya berlaku dengan pantas dan dia kembali ke jasadnya. Begitu sekali pengalamannya. Sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu. Apakah kita sebagai suami dengan mudah mahu lupakan semua itu. Oleh itu, walau apa sekali pun ujian Allah, didiklah hati isteri dan pujuklah hatinya sebab marah bagaimana sekali pun isteri, jauh di sudut hatinya dia sayangkan kita. Mulutnya bising, kata-katanya kesat tetapi percayalah semua itu hanya luarannya sahaja.

Imbas kembali saat-saat indah ketika zaman berkenalan atau bercinta dahulu

Sepatutnya semakin lama usia perkahwinan semakin kenal kita akan pasangan masing-masing. Kita kenal baiknya, kita juga kenal buruknya. Sebab itulah perkahwinan itu untuk saling melengkapi, apa yang kurang pada isteri lebihnya mungkin pada suami dan begitu juga sebaliknya. Oleh itu setiap kali berlakunya krisis, kenanglah semula saat-saat indah bersama dan segala kebaikannya yang membuatkan hati tertarik padanya. Dengan cara itu tidaklah kita tidak membuat tindakan melulu dan terburu-buru.

Tatap wajahnya ketika dia sedang tidur dan ucaplah syukur serta kasihanilah dia serta doakan dia

Kenapa perlu tatap wajah isteri ketika dia tidur? Kerana wajah isteri ketika itu tanpa emosi. Cuba dengarkan suara hati ketika menatap wajah itu. Pasti akan hadir rasa sayang, kasih dan simpati. Pasti tidak dapat dibayangkan pilu dan sedihnya hati ini jika bangun esok paginya wajah itu sudah tiada lagi. Bersyukurlah ketika ramai orang yang tidak punya isteri, Allah anugerahkan kita seseorang sebagai teman hidup. Itulah wajah yang menyimpan segala memori pahit manis bersama.

Hargai usahanya memasak, mengemas, menjaga anak dan melayani kehendak batin kita

Bukan senang menjalani hidup sebagai seorang isteri. Tugas seorang isteri ialah dua puluh empat jam sehari dan tujuh hari seminggu.

- UTUSAN

Selasa, Disember 18, 2012

Agama Jihad dalam perkahwinan

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA

Objektif utama perkahwinan dalam Islam adalah ketenangan dan kebahagiaan. ini kerana dua insan berkenaan memenuhi fitrah kemanusiaan dengan menjalin hubungan biologi, fizikal dan rohani bersama pasangan menurut kehendak syarak.
Sabda Rasulullah SAW: “Nikah itu adalah sunnahku, dan sesiapa yang membenci sunnahku bererti dia tidak termasuk dalam golonganku. (Hadis riwayat Muslim).

    Imam al-Ghazali pernah berkata: “Sebenarnya perkahwinan itu mempunyai makna jihad dan di antara latihan jihad itu adalah mengawal dan mentadbir, menunaikan hak-hak keluarga, bersabar terhadap kerenah dan budi pekerti isterinya, memimpinnya ke jalan agama, berjuang mencari rezeki yang halal untuk mereka di samping berusaha mendidik anak-anak. Kesemua tugas itu adalah kerja dan tanggungjawab besar.”


Dalam al-Quran, jalinan perkahwinan disebut Allah sebagai mithaqan ghaliza yang bermaksud satu perjanjian yang sangat berat tanggungjawabnya dan sangat kuat. Jelas di sini bahawa Allah dan Rasul-Nya melarang umat Islam mempermain-mainkan persoalan nikah kahwin, apatah lagi untuk dijadikan isu atau modal dalam senda gurauan.

Malah, Islam juga melarang pernikahan yang bersifat kontrak atau sementara kerana ikatan pernikahan adalah suatu jalinan perhubungan di antara lelaki dan wanita yang berlangsung sepanjang hayat, bukannya untuk tempoh 15 minit, sebulan, empat bulan dan sebagainya.

Paling menarik ialah mereka yang sudah berkahwin akan diberkati Allah SWT dan diberikan kekayaan melalui limpah kurnia-Nya.

Allah SWT berfirman: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Nur, ayat 32).
Di samping itu, pasangan yang sudah berkahwin bermakna mereka menyempurnakan separuh daripada agamanya kerana memiliki tanggungjawab keluarga, bukan sekadar tanggungjawab dirinya sendiri seperti sebelumnya.

Rumah tangga dalam konteks ini adalah satu komuniti terkecil dalam sebuah masyarakat yang memiliki fungsi penting bagi kehidupan bersama. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bernikah, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan separuh imannya. Oleh kerana itu, dia hendaklah bertakwa kepada Allah dalam separuh yang berbaki itu.” (Hadis riwayat Tabrani)

Sehubungan itu, Imam al-Ghazali pernah berkata: “Sebenarnya perkahwinan itu mempunyai makna jihad dan di antara latihan jihad itu adalah mengawal dan mentadbir, menunaikan hak-hak keluarga, bersabar terhadap kerenah dan budi pekerti isterinya, memimpinnya ke jalan agama, berjuang mencari rezeki yang halal untuk mereka di samping berusaha mendidik anak-anak. Kesemua tugas itu adalah kerja dan tanggungjawab besar.”

Namun, mengapa kadangkala perkahwinan yang terjalin hanya mampu bertahan seumur jagung? Mengapa pula kebahagiaan perkahwinan hanya sebatas pada resepsi perkahwinan secara besar-besaran? Mengapa pula perbalahan dan pertengkaran kerap mewarnai kehidupan rumah tangga?

Dalam hal ini, Rasulullah SAW menjelaskan kepada kita empat kriteria yang menjadi sebab dan kecenderungan terciptanya ikatan pernikahan serta memberi panduan kepada umatnya supaya mengutamakan satu daripada empat kriteria itu.

Rasulullah SAW bersabda: Perempuan dinikahi kerana empat perkara: hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang memiliki pengetahuan agama yang baik, yang akan memberi keuntungan kepadamu. (Hadis riwayat Muslim)"

Selanjutnya, campur tangan pihak lain, terutama pihak mentua adalah antara punca keretakan rumah tangga. Oleh itu, biarkanlah suami isteri yang melakukan penyesuaian dan penyelesaiannya serta mengatasi masalah dengan caranya sendiri, mengharungi suka dan duka, pahit dan manis nescaya mereka akan menemui penyelesaian baru dalam memecahkan permasalahan yang ada.

Setiap pasangan hendaklah berusaha untuk saling mencintai dan menyayangi, menghormati dan bertolak ansur, menjaga perasaan dan memuji, serta sifat mulia lainnya dalam usaha mengekalkan kelangsungan bahtera melayari ombak kehidupan yang membadai.

Demikianlah, matlamat perkahwinan yang seharusnya berfungsi melahirkan kebahagiaan demi kebahagiaan, bukannya kesedihan demi kesedihan kerana ia bererti berjalan di atas fitrah kemanusiaan dan menjunjung perintah Allah.

- BERITA HARIAN

Rabu, November 28, 2012

Terapi cari jodoh

DI katakan pada zaman sekarang, masih ramai di kalangan wanita yang masih belum bertemu jodoh.

Mungkin atas faktor kesibukan kerja, pendapatan yang tinggi serta tidak berjumpa pasangan yang diingini, ini sepatutnya tidak menjadi alasan kepada golongan ini untuk tidak mencuba mencari pasangan yang sesuai.

Masalah tidak mendapat jodoh ini sebenarnya bukan tertakluk kepada wanita sahaja, sebenarnya ramai di kalangan lelaki juga mengalami masalah yang serupa.

Akibat terlalu pemalu, pergaulan yang terbatas, malah tidak mengetahui bagaimana untuk mendapatkan bakal isteri yang sesuai, golongan lelaki pun sepatutnya perlu mendapatkan nasihat bagaimana untuk berkenalan dengan wanita yang baik.

Menurut Penasihat Program Jodoh Annabella House of Theraphy, Suhana Ahmad Marzuki, biasanya mereka yang datang ke pusat terapi ini untuk meminta bantuan bagi mendapatkan jodoh berusia dalam lingkungan 30-an ke atas iaitu wanita dalam lingkungan 30 tahun dan lelaki pula 35 tahun.

Malah, yang mencari jodoh ini tidak hanya tertakluk kepada mereka yang masih bujang sahaja, malah ia juga terbabit kepada mereka yang berstatus janda dan duda.

''Faktor kesepian adalah punca utama mengapa mereka yang berusia 30-an ini bergegas untuk mencari pasangan masing-masing.

''Mungkin pada asalnya kita melihat wanita atau lelaki yang berusia ini senang dengan keadaan yang mereka lalui, tetapi lambat laun perasaan sunyi akan datang kepada mereka. Ada yang melaluinya dengan tenang, tetapi ada yang tidak.

''Selain itu desakan keluarga dan ibu bapa juga antara faktor mengapa mereka akur untuk mencari pasangan," katanya yang juga mempunyai ijazah dalam bidang psikologi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menurut Suhana, selalunya mereka yang berdepan dengan isu kesukaran mendapatkan pasangan ini apabila mereka meletakkan kedudukan dalam satu statement yang negatif pada minda bawah sedar mereka.

Mungkin mereka berasakan kurang keyakinan diri, menganggap diri tidak cantik terlalu memilih, trauma dengan kisah masa lalu atau ibu bapa dan keluarga yang terlalu memilih.

''Apabila sampai ke tahap ibu bapa pemilih menyebabkan siapa sahaja pilihan anak-anak tidak mendapat tempat di hati kerana asyik melihat ada sahaja yang tidak kena pada mata mereka," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Suhana, menerusi sesi terapi minda yang dijalankan di Annabella House of Theraphy membantu menghapuskan pemikiran negatif pada minda dan cuba mendekatkan individu berkenaan pada keadaan yang bersesuaian dengan mereka.

''Di pusat terapi ini, kita sendiri telah mempunyai data-data daripada pelanggan kita. Dari situ kita akan perhalusi satu persatu untuk mempertemukan mereka dan cuba mengikut kriteria yang individu itu mahukan yang telah kita ketahui menerusi terapi sharing yang di jalankan.

''Terapi sharing ialah langkah pertama yang dilakukan oleh pusat terapi ini untuk mencungkil masalah atau perkara yang dipendamkan selama ini kerana terlalu malu untuk meluahkannya.

''Jika pada sesi pertama nampaknya masalah itu ternyata agak berat, individu akan disyorkan untuk datang ke sesi terapi buat kali kedua dan seterusnya jika didapati individu itu agak tertekan, pusat terapi akan mencadangkan untuk melakukan sesi terapi minda kepada pelanggan berkenaan," katanya.

Menerusi terapi minda ini katanya, pihaknya akan mengetahui lebih lanjut mengenai masalah yang dihadapi dengan cara scanning dan kemudian cuba memadam atau memformatkan kembali memori lampau di minda bawah sedar client ini satu persatu sambil cuba mengisi bayangan yang positif.

Seterusnya kata Suhana, selepas terapi ini, pasangan akan dipertemukan dengan individu yang dicadangkan di pusat itu dengan dipantau oleh seorang ustaz atau ahli panel pusat terapi.

Sepanjang sesi suai kenal berlangsung, pusat terapi ini boleh menjadi pusat rujukan sekiranya sepanjang perkenalan pasangan menghadapi masalah.

Jelas Suhana selepas lebih dua tahun program berkenaan dijalankan di pusat terapi itu, kira-kira 90 peratus pasangan yang dipertemukan berjaya mengenali hati budi masing-masing dan sudah pun mendirikan rumah tangga.

Setakat ini katanya, ramai yang telah berdaftar dengan pusat terapi berkenaan untuk cuba menanti mendapatkan pasangan yang sesuai.

Bagi mereka yang mahu mencuba, dapatkan perkhidmatan program pencarian jodoh di Annabella House of Theraphy yang terletak di Prima Saujana Kajang atau hubungi talian 03-87500213 atau layari www.annabella.com.my untuk pertanyaan lanjut.

- UTUSAN

Isnin, November 19, 2012

Pasangan bercerai gaduh hal remeh temeh

London: Pasangan bercerai cenderung berebut dan bertelagah mengenai benda remeh, kata satu kajian firma guaman Pannone, yang mendapati satu dalam lima perceraian membabitkan pergaduhan berhubung hak milik barangan murah.

Malah, perceraian yang menelan belanja tujuh angka juga ditangguhkan kerana pergaduhan mengenai pemilikan barangan yang tidak seberapa nilainya.

Akibat pergaduhan selalunya sukar kerana mereka akhirnya meningkatkan bayaran peguam jauh lebih tinggi daripada kos membeli barang gantian, kata peguam.

Antara kes paling aneh membabitkan seorang lelaki tidak dinamakan yang menunjukkan emosi melampau apabila kuali kegemarannya diambil bekas isterinya.

Isterinya mengambil kuali itu ketika berpindah, jadi beliau mengambil cincin pertunangan wanita itu sebagai membalas dendam. Apabila semuanya sudah selesai, mereka bertemu di lebuh raya untuk bertukar barangan, lapor akhbar Daily Mail memetik peguam lelaki berkenaan, David Milburn, sebagai berkata.

Seorang lagi anak guamnya meminta bantuan mendapatkan hak penjagaan juadah yang diambil bekas suaminya daripada rumah dapur rumah mereka.

Saya juga diarahkan oleh seorang anak guam menulis surat kepada bekas suaminya untuk mengembalikan ikan salmon salai dan sawi mahal yang diambil dari peti sejuk.
Saya menjelaskan bayaran guaman membolehkan beliau membeli lebih banyak salmon salai tetapi beliau bertegas mahu kami berbuat demikian, katanya.

- Agensi

Khamis, November 08, 2012

Isteri queen control

SETELAH bertahun berumah tangga, mungkin anda sebagai suami sudah semakin 'mengenali' tabiat isteri.

Jika sebelum berkahwin, dia agak pemalu dan hanya menurut apa yang anda katakan, kini ternyata isteri anda bersikap mendominasi.

Pernahkah anda mendengar frasa queen control iaitu satu gelaran bagi isteri yang dilihat lebih dominan daripada suaminya?

Seorang isteri menjadi lebih berkuasa apabila melihat suaminya tidak dapat mengambil tanggungjawab dalam sesebuah rumah tangga atau lemah.

Akibatnya suamiberada di bawah telunjuk dan sentiasa mendengar arahan isteri, seringkali menjadi mangsa lelucon kepada orang sekeliling kerana suami lebih banyak mendiamkan diri daripada bertindak.

Selalunya, si isteri ternyata lebih dominan sekiranya berjawatan tinggi, lebih berpengatahuan atau ada kelebihan-kelebihan lain berbanding suami.

Perbandingan ini bukanlah untuk semua. Masih ramai dalam kalangan wanita yang mempunyai pelbagai kelebihan berbanding suami, namun masih menjadi isteri yang taat.

Biasanya isteri yang dominan akan mengambil alih kuasa mengendali rumah tangga dan mengawal hubungan suami isteri dengan jitunya.

Golongan isteri seperti ini cenderung menggunakan fizikalnya yang lebih besar daripada suami.

Dia juga boleh menendang memukul atau mencakar suami sekiranya tahap kemarahan semakin memuncak.

Isteri yang dominan biasanya akan mengambil alih kawalan hubungan dari awal dan sering bertanggungjawab dan memantau dalam soal perhubungan termasuk menentukan hubungan seksual. Ternyata isteri dominan turut mendominasi sehingga ke soal seks.

Sekiranya suaminya lambat dia akan terdorong untuk mendapatkan apa yang dia mahukan.

Biasanya wanita yang dominan akan menentukan bila tarikh pertunangan dan pernikahan pada awal perkahwinan.

Wanita jenis ini juga selalunya akan memanipulasi wanita lain sebagai sasaran untuk meningkatkan status mereka sendiri.

Seorang wanita dominan biasanya akan menjadi yang pertama menunjukkan ledakan kemarahan dan sentiasa mempertahankan posisi dan pandangan peribadinya dan tidak mahu kalah berdebat.

Adakalanya dia juga akan cepat merasa marah biarpun atas kesalahan kecil seperti terlambat datang menjemput.

Mereka juga boleh menaikkan nada suara, berteriak, wajah memerah, melemparkan benda-benda, mendesis dan meludah.

Namun, seorang wanita yang dominan seringkali memiliki kecerdasan yang sangat tajam dan paling tidak, mungkin memiliki pendidikan tinggi.

Golongan ini sentiasa berusaha untuk menaikkan taraf hidup mereka termasuk mendapatkan pengiktirafan dalan apa juga bidang yang diceburi.

Dia akan berusaha mencari posisi pekerjaan yang paling tinggi untuk memegang kekuasaan, tempat yang mana dia boleh 'memerintah'.

Sekiranya berkomunikasi dengannya, anda akan dapati topik yang diperbincangkan hanya dikawal satu pihak sahaja iaitu isteri anda.

Dia akan menjadi individu yang paling ghairahbercakap atau lantang dalam setiap kelompok dan cenderung untuk mempertahankan keinginannya biarpun caranya tidak betul.

Di sebalik, kelemahan ciri dominan, pastinya anda tidak meragui kehebatan isteri anda atas kebolehannya berdikari dan mampu berfikir serta membuat tindakan dengan pantas tanpa memerlukan pendapat anda terutamanya ketika kecemasan.

- UTUSAN

Recent Posts