Kajian terbaru di Britain mendapati, ibu bapa yang tidak romantis atau
mengelak untuk berkelakuan romantis kurang sepadan menggalas tugas
sebagai ibu bapa bersama.
Ia berkait rapat dengan sifat semula jadi perlu ada untuk menjadi
pasangan yang memahami iaitu sensitif dan sanggup untuk memberikan
pertolongan. Sifat sama turut diperlukan untuk bergelar ibu bapa.
Penyelidik di University of Bristol, Abigail Millings, berkata
jika seseorang itu peka dan bertanggungjawab terhadap pasangan, ia
menjadi petanda dia bagus dalam hubungan lain.
Kuncinya kata Millings, keupayaan seseorang untuk bergaul secara sihat dengan orang lain.
Tambahnya lagi, mereka yang mempunyai masalah pergaulan cenderung
emosi manakala orang yang berasa tidak yakin dengan hubungan pula
didapati lebih bergantung dengan pasangan.
Individu yang bijak bergaul lebih santai dan berdikari dalam
hubungan dan sedar, ada insan lain bersama mereka mengharungi kehidupan
berkeluarga, lapor LiveScience.
Kajian itu dijalankan Millings bersama kumpulan penyelidiknya
terhadap 125 pasangan British yang memiliki anak berusia antara tujuh
hingga lapan tahun. Responden diminta menyenaraikan perlakuan romantis
mereka terhadap pasangan, perasaan romantis dan gaya keibubapaan.
Kumpulan responden itu dikelaskan kepada tiga kumpulan - paling
ideal adalah yang berwibawa (mesra, berkomunikasi tetapi dalam kawalan),
kurang sepadan adalah berkuasa mutlak (masih boleh dikawal tetapi tidak
mesra) dan permisif (memberi kebebasan) mesra tetapi komunikasi tidak
terkawal.
Keputusan menunjukkan, ibu bapa yang tidak mesra (tidak romantik
dalam hubungan) tidak sesuai menjadi ibu bapa dan hasilnya, mereka
didapati jenis yang menggunakan kuasa veto terhadap pasangan atau jenis
lepas tangan terhadap tanggungjawab dalam keluarga.
Kajian ini sudah disiarkan dalam talian di jurnal Buletin Psikologi Personaliti dan Sosial.
Kajian terdahulu menunjukkan, individu tidak yakin dengan hubungan
juga menyebabkan mereka memandang dunia keibubapaan sebagai cabaran yang
menakutkan, selain mereka terpaksa bekerja keras untuk melaksanakan
tugas itu, lapor LiveScience.
Petua cinta suami isteri
Mengekalkan hubungan cinta dalam rumah tangga tidak semudah
mendirikannya. Saban tahun, ribuan pasangan mengambil keputusan untuk
membawa haluan masing-masing, lantaran tiada kesefahaman dalam melayari
bahtera perkahwinan.
Mengapa hal ini perlu terjadi? Sedangkan perkahwinan yang dibina
atas dasar cinta seharusnya dapat dilalui dengan bahagia sehingga ke
akhir hayat.
Banyak petua dan kaedah dalam menjaga hubungan. Ramai percaya
membina pemikiran positif dapat mempengaruhi seseorang untuk membentuk
sikap positif dalam diri.
Memetik tulisan Pakar Cinta dalam artikel bertajuk, Tips Menjaga
Rumah Tangga dan Perkahwinan, lima panduan dititipkan untuk dijadikan
panduan.
1. Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.
Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup kebanyakan manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan hak.
Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “aku sepatutnya tidak dilayan begini.”
Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang
sepatutnya berbuat begini atau begitu. Pada hal, pemikiran yang
negatif itu akan memburukkan lagi keadaan. Justeru, penting fokus kepada
apa yang aku boleh lakukan untuk melaksanakan tanggungjawab.
2. Sering berdamping dengan orang yang positif.
Siapa kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh dengan siapa kita
bergaul dan buku apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh orang
bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan
sikap kita. Kata pepatah, burung yang sama bulu akan terbang bersama.
Rasulullah SAW menegaskan, agama seseorang ditentukan oleh temannya.
Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi.
3. Jadikan sekarang masa paling gembira.
Jika orang bertanya bilakah masa yang paling gembira dalam hidup
berumah tangga kita, jawablah, “sekarang!” Usah berpaling ke belakang
dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin dulu atau melangkau ke masa
hadapan dengan berkata, “Bila anak-anak sudah besar dan hidup lebih
stabil.”
Dengan berkata demikian, kita ‘membunuh’ potensi hari ini.
4. Cari jalan untuk mengatasi tekanan.
Tekanan akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang
lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu, suami atau
isteri mesti menemukan cara untuk mengawal stres.
Antara kaedah terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal, hobi
atau minat kita. Boleh jadi dengan berkebun, menenun, membaca, berjoging
atau bersukan.
5. Jangan terlalu serius.
Kehidupan berumah tangga ialah sesuatu yang serius tetapi perlu
dijalani dengan tidak terlalu serius. Jalani kehidupan dengan sedikit
gurau senda dan berhibur.
Doa supaya suami dan isteri saling mengasihi
“Ya Allah, jadikanlah hambaMu ini mencintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku.
- BERITA HARIAN