Memaparkan catatan dengan label Internet. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Internet. Papar semua catatan

Khamis, Mac 21, 2013

kakinovel.com - Beli novel secara dalam talian


Ketika mula-mula menjalankan perniagaan penerbitan novel, Penerbitan Kaki Novel Sdn. Bhd. (Kaki Novel), Rizal Abdullah, 45, menerima banyak e-mel yang mahu membeli buku secara kiriman pos.

Atas sambutan yang diterima, dia menjadikan laman webnya, www.kakinovel.com mesra pengguna untuk membeli dan melihat-lihat setiap novel yang ditawarkan syarikat berkenaan.

Maklumat seperti biodata penulis, tajuk-tajuk koleksi novel dan informasi terkini diletakkan pada lajur atas secara teratur serta mudah dilihat.

Jika mahu membuat pembelian, cara pembayaran dan penghantaran ditunjukkan. Setakat ini, pembeli boleh menggunakan akaun Maybank atau Ambank.

Sebaik penyata pembayaran dihantar menerusi faks atau e-mel kepada Kaki Novel, semua buku yang ditempah dibungkus dan dipos pada hari yang sama.

Mesej ringkas (SMS) dihantar sebagai pemberitahuan penghantaran telah dibuat sekali gus nombor penjejakan bungkusan diberitahu.

Kaki Novel mempunyai kira-kira lapan orang pekerja menguruskan bahagian pembelian dalam talian. Secara purata, mereka mengepos lebih kurang 250 buah buku dengan belanja pos laju sekitar RM20,000 hingga RM30,000 sebulan.

Bagi memastikan pelanggan berpuas hati, Kaki Novel juga mempunyai khidmat pelanggan yang melayan sebarang kesulitan pembaca yang beroperasi dari pukul sembilan pagi hingga lima petang.

“Pembelian dalam talian memudahkan para pembaca yang tinggal jauh dari kedai buku dan menjimatkan masa sekali gus menjadikan buku senang didapati,” kata Rizal Abdullah, 45, ketika ditemui di ibu pejabat Kaki Novel di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Setakat ini, tempahan pembeli paling banyak secara dalam talian datang dari Kuala Lumpur diikuti Sabah, Sarawak, Selangor, Johor dan Perak.

Julat usia pembeli kaedah itu pula sekitar 20 hingga 60 tahun dan berbilang latar belakang profesion.

Akui Rizal, pasaran terbuka yang dijual di kedai-kedai buku masih lagi menguasai pecahan terbesar penjualan novel, sekitar 20 peratus daripada total keseluruhan pula dibeli menerusi internet.

Sebagai contoh, hasil karya Suri Ryana, Maid terjual antara 13,000 hingga 15,000 salinan dari bulan April 2011 sampai November 2012, manakala pasaran terbuka mencecah 100,000 salinan buah buku dalam tempoh yang sama.

Biarpun peratusan jualan kecil, Rizal memberitahu, kaedah tersebut amat perlu bagi memenuhi kehendak pelanggan yang semakin hari semakin berubah gaya hidup.

“Kini, pesanan melalui laman sosial, Facebook turut mula mendapat perhatian dan bertambah, mungkin disebabkan sifatnya yang boleh dikemas kini pada masa nyata.

“Jadi, setiap produk baharu boleh diberitahu di Facebook,” kata Rizal lagi.

Dia menjangkakan pasaran dalam talian bakal berubah dan meningkat naik dalam tempoh enam tahun lagi. Barangkali, berlaku perubahan medium kepada e-buku.

Bagi menggalakkan jualan dalam talian internet, Kaki Novel memberi diskaun sebanyak RM4 untuk setiap judul buku dan pengiriman pos percuma.

Kaki Novel mula serius menjadikan laman web sebagai salah satu medium perniagaan pada tahun 2008 dengan menerima tempahan dalam talian.

Pada tahun yang sama, alamat laman web syarikat penerbitan itu juga mempunyai nama domain sendiri dan tidak menggunakan platform blog.

Sememangnya, platform blog sangat menjimatkan berbanding memiliki nama domain, tetapi terdapat kekangan pada bahan yang dapat disiarkan.

Menggunakan domain sendiri membolehkan laman web diuruskan lebih sistematik dan teratur berdasarkan bahagian laman yang diperlukan.

“Paling penting keyakinan orang ramai untuk membeli produk dan dapat memberi penjenamaan kepada syarikat,” ujar Rizal lagi.

Dalam pada itu, Konsultan Pembangunan Perniagaan Serverfreak Technologies Sdn. Bhd. (Serverfreak), Sherene Gan, 28, berkata, terdapat beberapa isu yang boleh berlaku jika ahli perniagaan menggunakan platform blog dalam mempromosi barang jualan.

Antaranya, berlaku masalah hak milik kerana ia bukan sepenuhnya dimiliki oleh tuan laman blog dan tiada kawalan terhadap kandungan 100 peratus serta berlaku berkemungkinan bahan dipadamkan.

Selain itu, bagi mereka yang mempunyai nama domain sendiri, terdapat masalah orang tengah mengambil margin keuntungan yang tinggi dan jika terdapat masalah, ia terpaksa dirujuk kepada syarikat pengehosan.

Secara asasnya, untuk membina sebuah laman web, individu perlu membeli pengehosan web dan nama domain. Serverfreak merupakan antara syarikat pengehosan web di Malaysia.

Pengehosan web umpama tapak rumah dan pemilik perniagaan atau blogger yang prolifik disaran memiliki nama domain sendiri.

Pengehosan web bermaksud pemilik menyewa ruang server milik syarikat pengehosan untuk menyimpan fail dan data laman web supaya dapat dilayari oleh orang ramai di alam maya.

Serverfreak mempunyai pusat data di dua negara iaitu di Dallas, Amerika Syarikat dan Cyberjaya, Malaysia serta menguruskan kira-kira 500 buah server (pelayan).

Nama domain merupakan alamat laman web yang membolehkan orang ramai melakukan pencarian dalam enjin carian atau terus ke laman web atau blog.

Harga domain .com, .net, .biz dan .org lebih kurang RM40 setahun, manakala .com.my dan .my antara RM100 hingga RM120 setahun.

“Selepas mempunyai kedua-dua ini, laman web boleh dibina mengikut kehendak. Ia boleh dibina sendiri atau mengupah pereka laman web.

“Apabila siap mereka bentuk, fail reka bentuk dimuat naik ke akaun pengehosan web yang disewa,” cerita Sherene ketika ditemui di Bangsar Shopping Centre, Bangsar, Kuala Lumpur.

Terdapat beberapa jenis pengehosan web disediakan di Serverfreak seperti Pengehosan Web Kongsi iaitu beberapa laman web berada dalam satu server.

Setiap satu diletakkan pada bahagian atau seksyen masing-masing bagi memastikan semua data berada dalam keadaan terasing antara satu sama lain.

Perkhidmatan ini merupakan paling jimat sekali gus setiap laman web dapat berkongsi kos penyelenggaraan server. Dalam sebuah pelayan boleh memuatkan kira-kira 200 akaun.

Bagi yang memerlukan banyak fungsi seperti e-mel atau mempunyai trafik pelawat yang tinggi selain penggunaan bahan siaran yang berkapasiti besar seperti foto dan video seperti laman web perdagangan, Pelayan Peribadi Maya (VPS) serta Perkhidmatan Pengehosan Khusus (DHS) amat sesuai.

Pemilihan jenis pelayan bergantung kepada jumlah ruang kapasiti penyimpanan data yang dimahukan dan akses lebar jalur yang dikehendaki.

“Pelayan di Serverfreak sesuai dengan semua jenis laman web dan boleh digubah seperti dijadikan laman perdagangan dengan meletakkan fungsi e-cart atau hanya paparan maklumat syarikat,” terang Sherene lagi.

Bayaran sewa pelayan setahun sekitar RM180 hingga RM499 bergantung kepada keperluan.

Serverfreak menguruskan kira-kira 11,000 domain dan hampir 10,000 pelanggan di seluruh dunia. Ujarnya, terdapat pelanggan yang mahukan fail laman web mereka disimpan di pusat data di Malaysia.

Barangkali, ia bertujuan untuk mengukuhkan perniagaan di sini sekali gus memberikan kemudahan kepada penggunanya supaya mudah mengakses laman web.

Antara pelanggan dari luar Malaysia ialah Jepun, Thailand dan Singapura, manakala dari dalam negara ialah SEGi Berhad, IJM, Bolton Berhad serta Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad.

Selain itu, blogger seperti justkhai.com, RedMummy.com dan Budiey.com turut menggunakan domain sendiri oleh Serverfreak.

Bagaimanapun, pengehosan web dan perkomputeran awan adalah dua perkara yang sangat berbeza, ujar Sherene menolak sebarang kekeliruan antara kedua-duannya.

- KOSMO!



Caj Pindahan Wang Antara Bank (Interbank GIRO) turun kepada 10 sen pada 2 Mei 2013

Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu mengumumkan strategi penentuan harga baharu bagi perkhidmatan pembayaran untuk menangani perbezaan harga antara kaedah pembayaran secara elektronik (e-pembayaran) dengan kaedah pembayaran berasaskan kertas.

Gabenornya Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata menerusi penentuan harga baharu ini, fi untuk kaedah e-pembayaran akan dikurangkan bagi memberikan insentif kepada para peniaga dan pengguna untuk menggunakan kaedah pembayaran yang lebih cekap manakala caj akan dikenakan ke atas cek sebagai mencerminkan kosnya yang lebih tinggi.

Berkuat kuasa 2 Mei 2013, fi untuk urus niaga Sistem GIRO Antara Bank atau IBG (Interbank GIRO) yang dilakukan secara dalam talian melalui perbankan Internet dan perbankan mudah alih, ialah sebanyak 10 sen, katanya.

"Fi sedia ada ialah RM2. Fi IBG dalam talian yang rendah ini bertujuan memberi insentif kepada pengguna untuk beralih daripada kaedah pembayaran berkos lebih tinggi yang lain kepada kaedah pembayaran alternatif yang lebih murah," kata Zeti pada sidang media sempena pelancaran Laporan Tahunan 2012 bank pusat itu.

Zeti berkata pembayaran dalam talian melalui perbankan Internet dan perbankan mudah alih memberi manfaat yang ketara kepada individu dan peniaga.

Selain itu, setiap individu akan menikmati kemudahan urus niaga pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja tanpa perlu beratur di kaunter bank, manakala peniaga pula boleh mengurangkan kos menjalankan perniagaan melalui pengurangan atau penggunaan semula sumber yang sebelum ini digunakan untuk mengendalikan wang tunai dan cek.

"Melalui peningkatan pembayaran secara elektronik, kos daripada pemprosesan secara manual, termasuk kos penghantaran melalui pos, akan dapat dijimatkan.

Sementara itu, bagi mengurangkan kos dan ketidakcekapan yang berkaitan penggunaan cek, caj untuk cek akan dinaikkan secara beransur-ansur bagi mencerminkan kos pengeluaran sebanyak RM3.00 bagi setiap cek.

Zeti berkata tempoh setahun akan diberikan kepada orang ramai dan para peniaga untuk membiasakan, menyesuaikan diri dan beralih kepada penggunaan IBG bagi urusan pembayaran mereka.

Dalam tempoh setahun ini, Bank Negara Malaysia akan bekerjasama rapat dengan pihak industri kewangan untuk terus menambah baik infrastruktur pembayaran bagi memastikan perkhidmatan pembayaran dapat diakses secara meluas, selamat dan mudah.

"Berkuat kuasa 1 April 2014, pihak bank akan mengenakan caj memproses cek sebanyak 50 sen bagi setiap cek kepada pengeluar cek. Fi ini ialah tambahan kepada duti setem sedia ada sebanyak 15 sen bagi setiap cek.

"Selain cek dan IBG, pelarasan harga terhadap kaedah dan saluran pembayaran lain, termasuk mesin juruwang automatik (ATM), akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat untuk menggalakkan pengguna menggunakan e-pembayaran yang lebih berkesan kos," katanya.

Menurutnya menjelang tahun 2020, penentuan harga bagi semua perkhidmatan pembayaran adalah berdasarkan kos menyediakan perkhidmatan berkenaan.

Kini, terdapat 1.6 bilion urus niaga kewangan yang dibuat menerusi kaedah elektronik, iaitu dua kali jumlah urus niaga pada tahun 2006.

Walaupun kemajuan yang dicapai setakat ini adalah menggalakkan, sasarannya adalah untuk meningkatkan jumlah e-pembayaran per kapita daripada 56 pada tahun 2012 kepada 200 pada tahun 2020 serta mengurangkan bilangan cek yang dijelaskan dalam negara kepada separuh, iaitu daripada 204 juta cek kepada 100 juta dalam tempoh yang sama.

Gabenor itu berkata pencapaian sasaran ini akan membawa Malaysia hampir kepada matlamatnya untuk memperoleh penjimatan tahunan sehingga satu peratus daripada KDNK seperti yang ditunjukkan oleh kajian-kajian yang telah dijalankan.

Kajian menunjukkan bahawa sesebuah ekonomi akan menikmati penjimatan tersebut apabila beralih daripada sistem pembayaran berasaskan kertas kepada e-pembayaran.

Zeti said keperluan untuk mempercepat perpindahan kepada e-pembayaran adalah lebih penting sekarang agar seiring dengan peralihan Malaysia ke arah menjadi ekonomi bernilai tambah tinggi dan berpendapatan tinggi.

- BERNAMA


Rabu, Mac 20, 2013

Internet Percuma Dijangka Dilaksanakan April 2013


Perkhidmatan internet percuma selama 30 minit sehari dijangka dilaksanakan April ini dan bakal dinikmati kira-kita lima juta rakyat Malaysia.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata mereka yang akan mendapat faedah itu, termasuk golongan yang berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 bagi setiap isi rumah atau mengikut kelayakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Khidmat internet akan diberi percuma kepada rakyat miskin dan pendapatan mengikut (kelayakan) skim BR1M. Percuma setengah jam pertama bagi kepentingan keluarga, diri sendiri dan perniagaan.

"Ia akan melibatkan semua yang berhak menerima BR1M, kita mulakan di paras itu. Pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah bagi satu keluarga dianggap boleh menerima BR1M. Sebab itu kita akan gunakan penahapan itu untuk timbang kelayakan (untuk terima internet percuma). Kita tak akan sekat kalau ada yang lebih miskin. Kita akan buat kaji selidik yang lebih rapi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Warga Telekom Malaysia (TM) dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Menara TM, Selasa.

Najib, pada Selasa mengumumkan perkhidmatan internet percuma bagi setengah jam pertama kepada rakyat miskin di bandar dan luar bandar, dengan butiran lanjut akan dikemukakan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Rais berkata kementerian akan berbincang dengan syarikat-syarikat telekomunikasi supaya perkara itu dapat dilaksanakan secepat mungkin.

"Kami diberitahu yang April ialah masa yang sesuai jadi kami akan cuba berusaha melaksanakannya dalam tempoh itu. Kami mungkin berdepan sedikit masalah mekanikal tapi kami harap dapat laksanakan pada April," katanya.

Beliau memaklumkan program itu akan digerakkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan mesyuarat penyelarasan akan diadakan minggu depan.

"Kami akan adakan perbincangan. Ia harus bergantung kepada keperluan asas seseorang itu. Kami akan gariskan perkhidmatan-perkhidmatannya serta mekanisme dan pada minggu depan diharapkan kami dapat rumuskan perkara perkara yang benar-benar jelas, terkini mengikut peraturan dan ketetapan sedia ada," katanya.

Rais berkata kementerian akan turut melihat kepada lebih 4,000 kampung tanpa wayar dan pusat-pusat internet milik TM dalam melaksanakan program berkenaan.

Beliau turut menjangkakan Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur bakal menjadi lokasi pertama pelaksanaan program itu kelak.

- BERNAMA




 

Isnin, Mac 11, 2013

Layari internet di dinding


MADRID, SEPANYOL - Penghuni sebuah kediaman futuristik di Sepanyol boleh melayari paparan internet di dinding ruang tamu, mematikan jam loceng atau menukar latar belakang bilik tidur kepada pemandangan tepi pantai atau suasana jalanan hanya dengan pergerakan tangan.

Teknologi canggih itu yang sebelum ini digunakan dalam permainan video telah dipasang di sebuah apartmen prototaip di Fuenterrabia, utara Sepanyol.

Menggunakan sensor yang dibangunkan oleh firma Microsoft untuk konsol permainan video X-box 360, teknologi itu membolehkan penghuni mengawal persekitaran di kediaman mereka dengan melambaikan tangan.

"Apa yang kami lakukan adalah menampal lapisan digital pada ruang untuk membolehkan interaksi digital menggunakan pergerakan tangan," kata pereka konsep kediaman pintar tersebut, Ion Cuervas-Monshe.

Cuervas-Monshe melancarkan teknologi yang dikenali sebagai Openarch itu pada November 2011 dengan membina sebuah prototaip di apartmennya sendiri.

Namun, menurutnya Openarch bukan sahaja boleh digunakan di kediaman persendirian.

"Kami masih membincangkan kerja sama dengan sektor peruncitan dengan teknologi ini bakal digunakan di pasar-pasar raya," kata Cuervas-Monshe.

Sumber : AFP  


Khamis, Februari 21, 2013

Peraturan Perniagaan Dalam Talian berkuatkuasa 1 Julai 2013


Semua perniagaan dan perkhidmatan dalam talian diwajibkan mematuhi Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2013 ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bertujuan menjaga kepentingan pelanggan dan mengelak mereka daripada menjadi mangsa penipuan urus niaga secara elektronik.

Jelasnya, peraturan tersebut mewajibkan peniaga menyediakan maklumat seperti nama, nombor pendaftaran perniagaan, nombor telefon, alamat, e-mel dan ciri-ciri utama barang atau perkhidmatan kepada pelanggan.

“Kerajaan juga tidak benarkan sebarang kos tersembunyi, jadi peniaga perlu meletakkan harga penuh barangan atau perkhidmatan termasuk kos sampingan.

“Selain itu, kaedah pembayaran, terma dan syarat serta anggaran masa penghantaran pesanan pelanggan harus dinyatakan dengan jelas,” katanya pada sidang akhbar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lebih 1.1 juta rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM1.8 bilion dalam pelbagai transaksi dalam talian pada tahun 2010, dan nilai itu dijangka mencecah hampir tiga kali ganda kepada RM5 bilion pada tahun depan.

“Daripada 1.1 juta pembeli dalam talian, 67% mereka berusia antara 15 dan 39 tahun. Dalam tempoh 10 tahun lagi, kumpulan ini bertambah dewasa dan terus menggunakan internet, dan kumpulan baru juga akan mengikutinya.

“Segmen ini berkembang… sebab itulah kementerian berpandangan bahawa sekiranya peraturan terus longgar, lebih banyak penipuan akan berlaku,” katanya ketika mengumumkan pelaksanaan peraturan baru itu dalam satu sidang media di sini pada Rabu.

Sejajar dengan peraturan baru itu, kementerian turut memperkenalkan garis panduan perdagangan elektronik untuk para pengguna bagi mengelakkan daripada ditipu.

Garis panduan itu dijangka akan dipaparkan dalam laman web kementerian di www.kpdnkk.gov.my
 
Sumber : KOSMO!
 

 

Rabu, Februari 20, 2013

Buku : Panduan Bisnes Mudah.my


Buku : Panduan Bisnes Mudah.my

Penulis : Umar Taib
ISBN-13: 978-967-0185-45-3
Tarikh Terbit: 8 Feb 2013
Jumlah Muka Surat : 120

Kategori: Komputer & Internet Umum

Penerbit: PTS Netmedia Sdn Bhd

Buku ini ditulis dengan penyampaian yang ringkas, padat, dan disertakan skrinsyot sebagai contoh. Semoga dengan penyampaian begini, mudah untuk pembaca mengikuti perkongsian yang ingin disampaikan. Tidak kira sama ada kita mahu berbisnes dengan Mudah.my secara sepenuh masa ataupun separuh masa, buku ini boleh dijadikan rujukan.


KANDUNGAN

Bab 1: Rahsia Bisnes dengan Mudah.my

Bab 2: Kelebihan Berbisnes dengan Mudah.my

Bab 3: Pro Niaga

Bab 4: Daftar Akaun Pro Niaga

Bab 5: Premium Services 

Bab 6: Memasukkan Iklan

Bab 7: Tajuk dan Kandungan Iklan Berkesan

Bab 8: Menguruskan Iklan

Bab 9: Terma dan Syarat

Bab 10: Satu Produk ataupun Servis untuk Satu Kedai PRO Niaga

Bab 11: Logo di PRO Niaga

Bab 12: Gambar yang Menjual

Bab 13: Membawa Pelawat ke Iklan

Bab 14: Tip Memilih Produk dan Servis 

Bab 15: Untung Lebih

Bab 16: Khidmat Pelanggan

Bab 17: Transaksi Bayaran Popular

Biodata Penulis

Bonus Percuma

Buku ini boleh dibeli secara on-line di: http://www.bookcafe.com.my/en/gadget-perisian-and-komputer/panduan-bisnes-mudah.my-en.html


 

 

Ahad, Februari 10, 2013

Kempen Pemasaran Enjin Carian Google AdWords

Oleh Sajith Sivanandan
Ketua Negara, Google Malaysia

Kali ini, ketahui cara terbaik untuk mengetahui sasaran pemasaran anda dan bagaimana Google AdWords membantu mengiklankan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) anda secara dalam talian.

Tetapkan Sasaran Untuk Produk Anda

Untuk permulaan, bangunkan sasaran pemasaran yang praktikal untuk produk-produk yang ingin anda iklankan untuk sesuatu tempoh.

Di antara perkara yang boleh ditetapkan adalah untuk menambah pengunjung ke laman web serta meningkatkan jualan.

Seterusnya, kaji semula bajet bagi pemasaran carian anda dan tetapkan amaun yang anda ingin gunakan untuk mencapai sasaran tersebut melalui dua kaedah:

Pilih belanjawan berdasarkan pendapatan yang disasarkan untuk dijana melalui kempen pemasaran enjin carian.

Tetapkan belanjawan mengikut peratusan daripada jualan untuk menampung kos pengiklanan iaitu antara 10 peratus sehingga 20 peratus bergantung kepada sesuatu perniagaan.

Faktor lain yang perlu diambil kira adalah tempoh ujian kempen pemasaran carian anda.

Kami menggalakkan pengguna untuk membuat ujian sekurang-kurangnya selama sebulan untuk mendapatkan data yang mencukupi untuk memahami trend.

Pemasaran Carian dengan Google

Apabila ia melibatkan pemasaran carian, perkara utama yang perlu diketahui adalah berkaitan dengan perbezaan antara senarai carian asal dan juga iklan berbentuk pautan tajaan.

Bagaimana Pemasaran Enjin Carian Berfungsi?

AdWords adalah platform pemasaran carian daripada Google, yang memaparkan iklan pada bahagian "Sponsored Links" di laman hasil carian di Google.

Sebagai pengiklan, anda boleh memilih kata kunci yang berkaitan dengan perniagaan dan perkhidmatan anda.

Kemudiannya, anda boleh membuat iklan berbentuk teks untuk menyasarkan pelanggan yang berpotensi apabila mereka membuat carian berkaitan pada Google.

Pengiklan hanya membayar apabila pelanggan mengklik iklan tersebut, manakala memperlihatkan iklan mereka kepada umum adalah percuma.

Bagaimana AdWords boleh membantu mengiklan perniagaan secara dalam talian?

AdWords akan memperlihatkan iklan anda lebih kerap berdasarkan kepada belanjawan anda, supaya klik yang diterima tidak melebihi belanjawan yang ditetapkan oleh anda.

Anda juga boleh menetapkan masa anda sendiri; bila ingin memulakan pengiklanan atau menghentikan kempen dan sebagainya. Anda juga mempunyai fleksibiliti untuk mengubah lokasi sasaran dan juga bahasa.

Sumber : UTUSAN


Selasa, Februari 05, 2013

Tinjauan - Rakyat Malaysia paling percaya maklumat dalam internet

Masyarakat awam di Malaysia paling percayakan maklumat yang diperoleh daripada enjin carian dalam talian internet, diikuti oleh media tradisional dan sosial, demikian menurut hasil 'Tinjauan Pengukur Kepercayaan 2013' Edelman Malaysia.

"Apa yang ternyata di sini ialah ruang dalam talian yang merangkumi media digital dan sosial, tidak boleh dipandang remeh sebagai sumber maklumat yang dipercayai.

"Skor kepercayaan yang tinggi terhadap "media dimiliki" ini menunjukkan keperluan mendesak bagi semua pertubuhan mengemas kini dan menggunakan sepenuhnya aset korporat mereka seperti portal sesawang, surat berita, YouTube, malah juga Twitter untuk menyebarkan maklumat," kata Pengarah Urusan Edelman Asia Tenggara, Bob Grove.

Walaupun skor kepercayaan pada umumnya lebih tinggi dalam kaji selidik ini, namun perlu dimaklumi bahawa jurang kepercayaan antara institusi penting dan pucuk pimpinan, yang membayangkan krisis yang mungkin berlaku dalam kepimpinan.

Hasil kaji selidik ini juga menunjukkan bahawa meskipun responden umum mempercayai perniagaan, hanya 26 peratus mempercayai pemimpin perniagaan bercakap benar, dan hanya 21 peratus mempercayai pemimpin kerajaan bercakap benar.

Pengarah Urusan Edelman Malaysia, Raymond Siva, berkata hasil kaji selidik Pengukur Kepercayaan Edelman 2013 di Malaysia, jelas menunjukkan bahawa warga Malaysia mengharapkan pertubuhan-pertubuhan lebih memperlihatkan sifat-sifat kemasyarakatan berbanding kebolehan mengendali, untuk mendapatkan kepercayaan mereka.

"Jelaslah bahawa pengaruh dan kuasa beralih daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pemimpin kerajaan kepada pakar dan rakan sebaya," katanya.

Ketika membentangkan hasil kaji selidik itu, beliau berkata, pemimpin kerajaan dan perniagaan mestilah mengubah pendekatan pengurusan mereka untuk meningkatkan penglibatan mereka dengan mendapatkan input pekerja, pengguna, penggiat dan pakar-pakar seperti ahli akademik, dan menyesuaikan diri mengikut maklum balas mereka.

Beliau berkata dinamik kepercayaan telah berevolusi daripada Piramid Pengaruh tradisi, yang menonjolkan maklumat dalam bentuk monolog, serta dikawal dan diarahkan oleh hanya segelintir, kepada Diamond Pengaruh, yang menampilkan maklumat dalam bentuk dialog.

"Dalam persekitaran di mana kepercayaan masih amat rapuh, ini adalah peluang yang ketara bagi perniagaan dan kerajaan mendapatkan semula 'lesen' untuk memimpin," tegasnya.

Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus menjadi institusi paling dipercayai di Malaysia, dengan kadar yang meningkat daripada 68 peratus kepada 76 peratus tahun ini.

Edelman ialah firma perhubungan awam bebas terbesar di dunia, yang mempunyai 66 pejabat dan lebih 4,500 pekerja di seluruh dunia, serta ahli gabungan di lebih 30 bandar.

Antara hasil lain yang diperoleh daripada orang awam di Malaysia menunjukkan sektor industri yang paling dipercayai ialah teknologi (85 peratus), bank (82 peratus) dan industri tenaga (81 peratus).

Sektor yang paling kurang dipercayai ialah arak dan spirit (56 peratus) dan media (66 peratus), meskipun kedua-duanya menyaksikan peningkatan dua angka.

Di peringkat global, tinjauan itu mendapati bahawa rasuah dan insentif salah yang memacu perniagaan serta keputusan dasar disebut sebagai sebab-sebab utama bagi rasa tidak percaya terhadap perniagaan dan kerajaan.

Katanya prestasi lemah dan ketidakcekapan juga merupakan faktor utama bagi kurangnya kepercayaan terhadap kerajaan.

Dari segi syarikat multinasional, warga Malaysia meletakkan kepercayaan yang lebih tinggi terhadap syarikat-syarikat yang beribu pejabat di Jerman, Kanada dan Sweden berbanding syarikat yang berpangkalan di Brazil, China dan India.

Sama seperti trend di seluruh Asia Pasifik, warga Malaysia juga lebih mempercayai perniagaan besar berbanding perniagaan kecil.

Pengukur Kepercayaan Edelman 2013 di Malaysia dihasilkan oleh firma penyelidikan Edelman Berland dan melibatkan temu bual dalam talian selama 20 minit yang dikendalikan dari 16 Okt hingga 29 Nov, 2012.

- BERNAMA


Facebook lancar Graph Search


Facebook (FB) melancarkan enjin carian, Graph Search bagi membantu pelanggannya mengetahui aktiviti yang dilakukan kenalan pada rangkaian sosial terbesar itu selain Google Inc dan enjin carian lain.

Usaha terbaru ini tidak seperti carian web tetapi ia adalah kaedah untuk mencari maklumat tertentu yang disimpan dalam arkib rangkaian dan kandungan kenalan anda.

Setiap kandungan FB mempunyai pengguna tersendiri dan sebahagian besar kandungannya bukan untuk tatapan umum. Mereka membangunkan Graph Search bermula dengan memikirkan hak privasi dan dapat menghormati hak pengguna dan kenalan terhadap kandungan yang dipaparkan di FB.

Ini membolehkan proses mencari maklumat baru lebih, tetapi kita hanya boleh melihat kandungan yang dibenarkan ketika ini dalam FB.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg, berkata ia bertujuan membantu pengguna mendapatkan maklumat tambahan di FB yang tidak terdapat pada enjin carian web lain seperti Google.

Platform ini juga bertujuan membolehkan pengguna mendapatkan data atau pertanyaan yang mereka mahu.

- BERITA HARIAN

Ahad, Januari 20, 2013

Lot.my sasar 1,000 usahawan internet

LOT.MY Sdn Bhd, syarikat yang membangunkan kedai dalam talian, menyasarkan untuk membantu sekurang-kurangnya 1,000 usahawan memiliki kedai dalam talian dalam tempoh setahun menerusi aplikasi ShopLot di laman sembang sosial facebook.

Ketua Eksekutifnya, Mohamed Firdous Kamarul Jaman, berkata aplikasi ShopLot yang dibangunkan syarikat itu memberi peluang kepada pengguna facebook untuk menjana pendapatan melalui laman media sosial berkenaan.

Katanya, Lot.my adalah syarikat pertama di negara ini yang memperkenalkan aplikasi terbaru itu dan tumpuan pasaran pula tidak hanya di Malaysia, tetapi turut diperluaskan ke seluruh dunia.

Beliau berkata, antara faktor mendorong syarikat itu membangunkan aplikasi kedai dalam talian di facebook ialah kerana laman sembang sosial itu boleh diakses oleh lebih satu bilion pengguna di seluruh dunia termasuk 13.15 juta di Malaysia.

“Kami komited untuk memperkembangkan perkhidmatan ini hingga ke peringkat global dan pada pertengahan 2013 ini kami menyasar untuk memasuki pasaran Singapura, Indonesia dan Brunei bagi mempromosikan aplikasi terbaru ini," katanya.

Aplikasi ShopLot mudah untuk digunakan yang mana pengguna boleh terus membeli barangan melalui laman facebook. Ia juga membolehkan usahawan membuka kedai online lengkap, mudah dan berkesan.

Mohamed Firdous berkata, Lot.my dibangunkan supaya mudah digunakan walaupun oleh pengguna yang tiada kemahiran teknologi maklumat (IT) yang tinggi.

Katanya, usahawan yang menyertai aplikasi ShopLot yang dibangunkan syarikat itu juga akan diberikan kit memulakan perniagaan dalam talian dan perundingan mengenai pemborongan.

Beliau berkata, Lot.my turut memberikan latihan selama dua hari kepada mereka yang ingin membuka kedai dalam talian serta pemantauan sepanjang tahun.

“Untuk memulakan kedai dalam talian usahawan hanya perlu daftar, pilih reka bentuk kedai dan iklankan produk.

“Melalui pakej ShopLot, kami mendedahkan orang ramai kepada kaedah pemasaran melalui laman sosial berkenaan dan sebarang pertanyaan boleh menghantar emel kepada tanya@lot.my,” katanya.

- BERITA HARIAN

Khamis, Januari 17, 2013

Facebook lancar 'Graph Search'


MENLO PARK (California): Facebook hari ini melancarkan enjin carian, ‘Graph Search’ bagi membantu pelanggannya mengetahui aktiviti yang dilakukan kenalan pada rangkaian sosial terbesar itu selain Google Inc dan enjin carian lain.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg, berkata ia bertujuan membantu pengguna mendapatkan maklumat tambahan di Facebook yang tidak terdapat pada enjin carian web lain seperti Google.
“Facebook adalah laman rangkaian sosial yang mempunyai pangkalan data besar. Sama seperti mana-mana pangkalan data, anda juga boleh membuat sebarang pertanyaan,” katanya ketika mengumumkan enjin carian baru yang dikenali ‘Graph Search’, di sini.


Facebook dalam satu kenyataan berkata, usaha terbaru ini tidak seperti carian web tetapi ia adalah kaedah untuk mencari maklumat tertentu yang disimpan dalam arkib rangkaian dan kandungan kenalan anda.

“Setiap kandungan Facebook mempunyai pengguna tersendiri dan sebahagian besar kandungannya bukan untuk tatapan umum. Kami membangunkan Graph Search bermula dengan memikirkan hak privasi dan dapat menghormati hak pengguna dan kenalan terhadap kandungan yang dipaparkan di Facebook.

“Ini membolehkan proses mencari maklumat baru lebih, tetapi anda hanya boleh melihat kandungan yang dibenarkan ketika ini di Facebook,” katanya.

Zuckerberg berkata, Facebook juga akan menggunakan perkongsian kandungan dengan enjin carian ‘Microsoft Bing’ sebagai langkah terbaru bagi mencari kandungan yang ditempatkan di luar rangkaian sosial berkenaan.
“Saya tidak fikir ramai pengguna akan melayari Facebook semata-mata untuk melakukan carian web tetapi apa yang boleh dinyatakan ialah enjin carian ini sangat bermanfaat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah berbincang untuk bekerjasama dengan Google tetapi Microsoft lebih bersedia untuk mewujudkan enjin carian itu dengan Facebook.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan pada rangkaian sosial itu adalah termasuk ‘friends who live in my city’, ‘people from my hometown who like hiking’, ‘friends of friends who have been to Yosemite National Park’, ‘software engineers who live in San Francisco and like skiing’, people who like things I like’ atau ‘people who like tennis and live nearby’

Zuckerberg berkata, platform ini bertujuan membolehkan pengguna mendapatkan sebarang data atau pertanyaan yang mereka mahu.

“Kami tidak mengindekskan di web ini, kami cuma mengindekskan peta pada enjin carian ini,” katanya.

Beliau berkata, fungsi baru ini membawa kembali kepada matlamat asal Facebook bagi membantu pengguna mewujudkan rangkaian baru.

“Ketika pertama kali dilancarkan, perkara utama yang kerap digunakan pengguna pada laman web ini adalah mencari maklumat, mengenali individu lain dan menambah kenalan baru,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Teknologi, Jeff Kagan, berkata Graph Search mengembalikan tujuan asal Facebok bagi membolehkan pengguna mengakses enjin carian ini sebagai platform menambah kenalan baru.

Beliau berkata, langkah terbaru itu dijangka memberi cabaran hebat kepada Google.

“Jika saya pemilik Google, saya melihat ini sebagai satu amaran hebat daripada Facebook untuk tunduk kepada mereka. Ini bukan satu serangan serta merta tetapi untuk pada masa akan datang.

"Mampukah Facebook mengubah dunia enjin carian? Jika jawapannya ya maka ini adalah ancaman terbesar kepada Google,” katanya.

Penganalisis Pusat Penyelidikan Forrester, Nate Elliott pula berkata, inisiatif Facebook ini bertujuan untuk mendapatkan lebih ramai pengguna terbabit dalam rangkaian sosial itu.

“Apa yang membimbangkan adalah andai enjin carian Facebook ini gagal berfungsi dengan baik pengguna tidak mampu menambah rakan atau jaringan mereka... rangkaian peribadi mereka akan menjadi kurang aktif dari semasa ke semasa,” kata Elliot.

“Namun, apa yang mungkin akan berlaku adalah... kami tidak pernah melihat pertambahan rakan secara ketara setiap pengguna ketika ini. Graph Search dilihat mampu menggalakkan pengguna untuk menambah lebih ramai kenalan dengan lebih cepat.

“Ini bermakna rangkaian peribadi pengguna berubah lebih kerap dan menjadi lebih aktif. Ini adalah kejayaan terbaik kepada Facebook,” kata Elliot.

- AFP

Sabtu, Januari 05, 2013

Angry Birds, Instagram, Facebook aplikasi 2012

Angry Birds, Instagram dan Facebook kekal menjadi aplikasi yang mencatatkan jumlah muat turun paling tinggi pada 2012.

Namun begitu, beberapa aplikasi baru lain turut menarik perhatian pengguna telefon pintar dan komputer tablet.

Tahun lalu, secara purata setiap pengguna menghabiskan dua jam sehari menggunakan aplikasi mudah alih, yang mana ia naik 35 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut firma penganalisis, Flurry.

Data itu dijangka terus meningkat pada tahun ini.

“2012 adalah titik transformasi mengenai kaedah penggunaan memanfaatkan perisian,” kata Craig Palli, Naib Presiden Fiksu, syarikat pemasaran mudah alih.

Beliau berkata, perubahan terbesar adalah kecenderungan pengguna beralih kepada aplikasi bagi pelbagai tugasan harian.

Kategori seperti rangkaian sosial, media dan hiburan, penggubahan gambar, dan permainan, terus menarik minat pengguna, dengan Youtube dan Angry Birds menjadi aplikasi tiga paling utama, masing -masing bagi kategori percuma dan berbayar dalam App Store Apple.
Sementara itu, beberapa aplikasi dilancarkan tahun ini, menyertai kedudukan aplikasi yang paling banyak dimuat turun sepanjang tahun itu.

Permainan Draw Something bagi iPhone dan Android meraih populariti pantas selepas ia dilancarkan pada Februari, dan walaupun mencatatkan penurunan, ia masih menjadi aplikasi berbayar kedua paling dimuat turun bagi Android dan peranti Apple.

“Ia adalah satu yang besar dan pelbagai permainan cantuman membabitkan ramai pemain seperti LetterPress dan ScrambleWithFriends juga popular,” kata Palli.

“Tetapi dalam banyak kategori aplikasi, ia rata-rata menerima inspirasi daripada Words With Friends yang disifatkan sebagai suatu pembaharuan.” Songza, aplikasi pencarian lagu bagi iPhone, Android dan Kindle Fire, menyaksikan pertumbuhan tinggi dalam kedua-dua, Amerika Syarikat dan Kanada, yang mana ia kini adalah salah satu daripada tiga aplikasi utama dalam App Store.

Paper, aplikasi buku lakaran bagi iPad, dijangka menjadi salah satu aplikasi utama yang dilancarkan tahun ini menurut Dismo, satu syarikat penganalisis aplikasi.

Tetapi revolusi sebenar, menurut Palli, adalah dikalangan pengguna yang cenderung beralih kepada aplikasi untuk tugasan harian mereka, seperti mendapatkan teksi atau hotel, mengikuti perkembangan semasa atau melakukan bayaran dengan lebih banyak.

“Ia adalah pengguna yang beralih kepada aplikasi terlebih dulu dan kaedah tradisi menjadi perkara kedua,” kata Palli.

- Reuters

Rabu, Disember 05, 2012

Kardashian paling dicari di Yahoo!

Pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) merupakan item yang paling dicari manakala selebriti Kim Kardashian dari AS ialah orang paling dicari di Yahoo! untuk tahun ini, kata enjin carian internet berkenaan semalam.

Perkataan pilihan raya mengungguli senarai pencarian di Yahoo! hasil liputan besar-besaran oleh pihak media di samping perbincangan meluas topik tersebut di platform-platform media sosial.

Perkataan 'pengundian politik' berada di tempat kelapan senarai 10 teratas pencarian Yahoo$21 sepanjang tahun ini.

"Pilihan raya 2012 mendominasi carian di internet dan ia menakjubkan kerana jika sesuatu itu menjadi tajuk berita, orang ramai tentu sudah maklum mengenainya tetapi topik tersebut terus menjadi perkataan utama yang ditaip di laman web Yahoo! sepanjang tahun ini," kata penganalisis trend Yahoo!, Vera Chan dalam satu persidangan video.

Menurutnya, hanya dua laporan berita lain pernah pengungguli senarai tersebut sejak sedekad lalu iaitu laporan kematian Michael Jackson pada 2009 dan tumpahan minyak BP pada 2010.

iPhone 5 berada di tempat kedua senarai berkenaan yang disifatkan oleh Chan sebagai satu keputusan menarik.

Katanya, walaupun iPhone sentiasa berada dalam kedudukan utama senarai carian Yahoo! sejak 2007, ia adalah kali pertama sesuatu model spesifik seperti iPhone 5 menduduki antara tempat teratas senarai itu.

Menurutnya, ia berlaku selepas kematian pengasas bersama Apple, Steve Jobs.

Berada di tempat ketiga senarai yang sama ialah Kardashian yang juga merupakan orang paling dicari di laman web Yahoo!.

Kardashian mengungguli enam wanita popular yang berada dalam 10 teratas senarai tersebut termasuk model Kate Upton, anggota keluarga diraja Britain, Kate Middleton, penyanyi Whitney Houston dan Lindsay Lohan.

Ujar Chan 'kenakalan' Kardashian yang antara lain melibatkan kisah perceraian dengan bekas suaminya, Kris Humphries dan hubungan cinta selebriti itu bersama bintang rap, Kanye West telah membantu mengekalkannya sebagai orang paling dicari menerusi Yahoo!

- Reuters


Isnin, Disember 03, 2012

Ancaman penggodam siber

Kira-kira tujuh juta pemilik telefon pintar di negara ini diancam penggodam siber yang menjadikan ia instrumen untuk menipu bagi mendapatkan wang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata kurangnya kesedaran terhadap risiko keselamatan telefon pintar, menjadikan pengguna gajet berkenaan sasaran mudah.

“Modus operandi antaranya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dikenali SMS Trojan kepada pengguna yang tanpa disedari, kos dikenakan ke atas pengguna dengan hanya membalas SMS berkenaan. Pengguna hanya sedar perkara itu apabila menerima bil telefon yang tinggi sedangkan mereka tidak menggunakannya,” katanya.

Katanya, penipuan juga dikesan menerusi aplikasi terdapat dalam peranti (telefon bimbit) seperti aplikasi Type-On yang sekiranya dimuat turun, akan menyebabkan pengguna menanggung kos kononnya dikenakan selepas memuat turun aplikasi terbabit walaupun mangsa sudah menghentikan penggunaannya.

Kerugian jutaan dolar

Lookout Mobile Security dipetik agensi berita AFP, menganggarkan pengguna di seluruh dunia mengalami kerugian jutaan dolar tahun lalu melalui virus malware dan toll fraud yang menyerang pengguna telefon pintar kerana mendapatkan aplikasi dari sumber tidak rasmi berbanding sumber dipercayai seperti Apple atau Google online shops.

Syed Ismail berkata, berdasarkan statistik polis, kerugian direkodkan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini bagi jenayah siber menggunakan modus operandi melalui SMS atau panggilan telefon, perbankan internet atau perbankan telefon, penggodaman dan salah guna rangkaian termasuk belian barangan, adalah kira-kira RM21.8 juta.

Katanya, kes belian barangan melalui internet mencatatkan kerugian tertinggi iaitu RM14.5 juta membabitkan 1,298 kes, diikuti SMS atau panggilan telefon sebanyak RM3.4 juta (412 kes), RM3.3 juta (24 kes penggodaman), perbankan internet atau perbankan telefon sebanyak RM590,000 (74 kes).

“Bagaimanapun, kes salah guna rangkaian tidak merekodkan sebarang kerugian harta benda, lebih kepada jenayah peras ugut terhadap mangsa seperti menggunakan gambar dan kata-kata mengugut yang mewakili 25 kes,” katanya sambil menambah pengguna internet mudah alih di Malaysia pula mencecah 7.7 juta orang.

Katanya, polis akan merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tindakan lanjut dan bekerjasama rapat dengan agensi itu.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, pengguna yang mendapati bil telefon mereka melambung tinggi tanpa sebab munasabah, hanya akan melaporkan kepada syarikat telekomunikasi sekadar untuk membuat aduan dan mendapatkan penjelasan mengenainya, tetapi tiada tindakan susulan.

- BERNAMA

Ahad, November 25, 2012

Mengelak laman web digodam

Bagaimanakah untuk menghindari daripada berlakunya sesebuah laman web digodam oleh seseorang?

Perkara asas dalam keselamatan teknologi maklumat yang perlu diambil kira ialah perimeter, pendidikan dan polisi atau 3P.

Berkenaan dengan keselamatan sesebuah laman web, ada beberapa peringkat yang perlu diteliti iaitu seperti yang tercatit seterusnya.

1. Peringkat aplikasi sesebuah laman web iaitu dari segi laman web itu sendiri, perisian, aplikasi pengurusan kandungan atau Content Management System (CMS), penulisan kod, bahasa pengaturacaraan dan pangkalan data.

2. Peringkat aplikasi storan laman web iaitu aplikasi pelayan web dan pelayan DNS yang diguna pakai.

3. Peringkat komputer pelayan yang digunakan untuk menyediakan kemudahan laman web dan komputer peribadi atau client yang digunakan untuk mencapai fungsi pengurusan laman web tersebut.

4. Peringkat capaian daripada para pengguna terhadap laman web dan sambungannya.

Seterusnya, disediakan panduan keselamatan secara umum bagi pengendalian sesebuah laman web sama ada ia bersifat statik, dinamik atau aplikasi.

1. Aplikasi pelayan DNS yang diguna pakai perlu sentiasa dikemas kini, dikonfigurasikan dengan baik, selamat dan dienkripsi sambungannya. Sila guna aplikasi DNS yang mempunyai fungsi DNS Security Extension (DNSSEC) bagi memberi tahap keselamatan yang tinggi.

2. Sentiasa membuat kemas kini terhadap kesemua perisian dan perkakasan yang digunakan untuk mengendalikan dan membangunkan laman web.

3. Pengunaan kata laluan berserta teknik enkripsi yang kental dan selamat dalam kesemua pengendalian sesebuah laman web.

4. Pastikan keselamatan penggunaan e-mel pentadbir yang digunakan dalam mengendalikan laman web adalah pada tahap yang tinggi. Jangan dedahkannya kepada umum sekiranya tiada berkepentingan.

5. Penggunaan kata laluan yang selamat dan kental pada pangkalan data yang digunakan. Ramai pengguna membiarkan capaiannya tanpa kata laluan.

6. Elakkan konfigurasi secara lalai atau default pada mana-mana aplikasi yang digunakan terutama pada pelayan web, pangkalan data, aplikasi pengurusan kandungan, blog, skrip dan sebagainya. Konfigur kesemuanya dengan selamat.

7. Elakkan penggunaan aplikasi Telnet, aplikasi FTP dan sambungan Wi-Fi untuk mencapai pengurusan laman web secara jarak jauh kerana ia kurang selamat. Boleh menggunakan aplikasi yang mempunyai fungsi enkripsi seperti Secure FTP (SFTP), VPN dan lain-lain dalam menggunakan aplikasi capaian jarak jauh.

8. Semak kebenaran capaian fail dan direktori agar capaiannya selamat dan terhad oleh pihak yang bertangungjawab sahaja terutama fail dan direktori yang berada dalam aplikasi pelayan web.

9. Tambahkan skrip robot.txt kepada laman web. Ia adalah skrip arahan untuk laman-laman web enjin carian yang akan mengindeks fail tertentu sahaja bagi sesebuah laman web yang dicari oleh para pengguna.

10. Pastikan komputer pelayan yang digunakan dikonfigur pada tahap keselamatan yang tinggi. Sentiasa membuat kemas kini dan penyelengaraan bagi perisian dan sistem pengoperasian yang digunakan secara berkala. Elak larikan komputer pelayan dalam mod penuh pentadbir atau Root.

11. Penggunaan perimeter keselamatan pada infrastruktur laman web seperti aplikasi Firewall Web, IDS, IPS, perisian anti-virus dan lain-lain. Konfigur dengan selamat dan sentiasa mengemaskini aplikasi yang digunakan.

12. Sentiasa melakukan pengujian keselamatan bagi laman web dengan menggunakan aplikasi-aplikasi tertentu seperti PHP Security Scanner, Web Security Testing, XSS String Encoder, SQL Encoder dan lain-lain atau secara manual. Ini juga dikenali sebagai Penetration Testing dan Security Audit. Ia boleh diuji kepada kod sumber, perisian, perkakasan dan capaian yang digunakan untuk sesebuah laman web.

13. Pastikan aplikasi pelayan web yang digunakan dikonfigur pada tahap keselamatan yang tinggi. Sentiasa membuat kemas kini dan penyelengaraan secara berkala. Pastikan aplikasi pelayan web menggunakan fungsi enkripsi SSL untuk keselamatan paparan sesebuah laman web.

14. Pastikan pengguna yang mencapai laman web dididik dengan cara penggunaan yang berhemah dan selamat seperti sambungan, penggunaan pelayar yang selamat, penggunaan akaun laman web dengan selamat dan lain-lain.

15. Wujudkan polisi keselamatan bagi capaian laman web secara dalaman atau secara luaran.

16. Penggunaan keselamatan fizikal yang baik untuk storan laman web seperti keadaan bilik yang kondusif dan selamat, teknik penguncian yang baik dan lain-lain.

17. Wujudkan sistem salinan data untuk kembalikan semula keadaan dan data sesebuah laman web ke bentuk asal sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Ini dikenali sebagai Bussiness Continuity Plan (BCP).

- UTUSAN

Khamis, November 08, 2012

Aplikasi NuffnagX - Membaca blog di mana sahaja



IDEA membina aplikasi telefon pintar untuk pengguna membaca blog sudah lama difikir dan diperkata oleh pengasas bersama Netccentric yang juga pengendali NuffNang, Timothy Tiah, 28, bersama rakan-rakannya.

Namun, lelaki yang berasal dari Pulau Pinang itu mengambil langkah menunggu jika terdapat pihak luar yang akan membangunkan teknologi sedemikian. Membuat sebuah teknologi aplikasi yang berbeza dan baharu sangat mahal dan memerlukan ketelitian yang tinggi.

Sepanjang penantian Timothy, hanya sebuah aplikasi yang dicipta untuk blog iaitu bloglovin’ dari Sweden.

Bagaimanapun, Timothy merasakan aplikasi tersebut sangat ringkas dengan menyenaraikan laman blog yang diikuti sahaja.

Selepas menunggu selama tiga tahun, dia dan pasukannya mengambil keputusan untuk mereka sendiri aplikasi tersebut.

Bermula dengan kajian dan penyelidikan, pasukan Timothy yang dianggotai lapan orang pekerja dari Malaysia dan Singapura membina aplikasi seperti yang diimpikan olehnya selama sembilan bulan. Maka, NuffnangX direalisasikan.

Mereka bertindak dan bekerjasama mengikut kepakaran masing-masing seperti pembangun dan pereka aplikasi, pengurusan bakat serta pembangunan perniagaan.

NuffnangX merupakan sebuah aplikasi membaca blog pertama di Asia dan baru sahaja dilancarkan pada 18 September lalu. Ia boleh dimuat turun secara percuma ke semua peranti yang menggunakan sistem OS dan Android.

Cabaran terbesar dalam proses pembangunan aplikasi adalah untuk memastikan setiap komen dan post baharu dikemaskini dalam aplikasi telefon seiring dengan versi laman web.

Kini, para pembaca blog tidak lagi perlu menggunakan kaedah tradisional pada telefon pintar dengan membuka pelayar web (browser).

Mudahkan pengguna mobil

Penulis inibelogsaya.blogspot.com, Hanis Zalikha Zainal, 21, berasakan aplikasi tersebut sangat mudah dan setiap kemaskini blog yang diikutinya sentiasa diketahui walaupun sedang berada di lokasi penggambaran.

Hanis yang berasal dari Shah Alam, Selangor telah menambah satu lagi cabang dalam portfolio iaitu sebagai pengacara rancangan MadMarket di saluran TV9.

“Saya sentiasa on the go, jadi NuffnangX memudahkan saya mengikuti perkembangan para blogger lain. Jadi, apabila pulang ke rumah, saya hanya perlu mengemaskini blog,” ujarnya dalam perbualan dalam talian telefon kepada Kosmo!

NuffnangX mempunyai reka letak yang lebih kemas dan memudahkannya membaca kemaskini terbaharu. Laman blog tidak perlu dibaca pada pelayar web lagi, kata Hanis yang sebelum ini menggunakan browser Safari.

Hanis sudah empat tahun menulis blog dan pernah beberapa kali tercalon dalam Anugerah Blog Nuffnang Asia Pasifik yang dianjurkan secara dwitahunan.

Langkah berani pasukan Timothy mengeluarkan bajet untuk sebuah aplikasi yang pasti tidak memberi keuntungan pantas itu semata-mata mahu orang ramai dapat membaca blog di mana-mana.

Selepas dua minggu ia dilancarkan, sudah lebih 15,000 pengguna memuat turun dengan kenaikan berkala secara tetap iaitu sekitar 1,000 orang dalam sehari.

Kebanyakan yang memuat turun ialah pengguna dari Malaysia, Singapura dan Filipina.

Tempoh yang panjang diperlukan untuk membina aplikasi tersebut adalah kerana ia perlu melalui beberapa fasa seperti pembangunan teknologi, penyelarasan sistem dan terakhir, ujian operasi.

Seakan-akan menggunakan laman blog mikro, Twitter, NuffnangX membolehkan pengguna mengikuti blog kegemaran dan setiap kemaskini terbaharu akan dipaparkan kepada peranti pemilik.

Ciri paling penting yang dapat dilihat pada aplikasi tersebut ialah teknologi Elevator Pitch yang boleh memaparkan sepotong ayat dalam sebuah kemaskini.

“Jadi, pengguna dapat membaca tajuk dan isi penting cerita sebagai pengenalan pada keseluruhan kemaskini,” kata pengurusan bakat Netccentric, Shahzeeq Shahren, 24, ketika ditemui di pejabat pengendali Nuffnang di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berfungsi seperti newsflash (berita kilat), Elevator Pitch akan mengesan isi-isi penting atau ayat-ayat menarik dalam sebuah kemaskini secara automatik untuk dijadikan sebagai intro blog dalam aplikasi NuffnangX.

Berbeza dengan newsflash yang hanya dapat memaparkan ayat pertama dalam sebuah tajuk berita. Newsflash sangat relevan untuk berita kerana format penulisannya yang memerlukan semua maklumat dikarang pada perenggan pertama.

Format mengarang blog pula agak santai, tidak terikat dengan formaliti dan kadangkala isi penting sesebuah kemaskini tidak berada pada perenggan pertama bergantung kepada gaya penulisan blogger.

Lebih interaktif

Inti pati sebuah cerita tidak semestinya berada pada perenggan pertama, malah kadangkala wujud dalam bentuk petikan. Jadi, Elevator Pitch amat diperlukan supaya bersesuaian dengan konsep mobil telefon pintar.

Teknologi yang masih lagi dalam proses mempaten itu mampu mengesan daripada sebuah kemaskini yang mempunyai beribu-ribu perkataan.

Setakat ini, Elevator Pitch sangat sesuai pada blog bahasa yang ditulis menggunakan abjad Rumi seperti bahasa Melayu, Indonesia, Tagalog dan Inggeris.

Melalui NuffnangX juga, pengguna sama ada pembaca atau pemilik blogger dapat berinteraksi dengan menggunakan ruangan komen.

“Ruangan komen dipermudah menjadi seperti sebuah ruangan chat. Ruangan chat itu pula wujud dalam sebuah senarai komen yang dibuat pada sebuah kemaskini,” terang Shahzeeq bersungguh-sungguh.

Justeru, pemilik blog tidak lagi akan terlepas untuk memberi maklum balas kepada para pembaca.

Terdapat beribu-ribu bilangan blog yang terdapat dalam jaringan internet. Setiap satunya mempunyai perbezaan dari segi aspek penulisan bahasa dan tema yang mahu disampaikan.

Pada blog-blog dalam tema yang sama pula, amat sukar untuk para pembaca mencari blog yang bermutu dari segi bahan penyampaian mahupun gaya penulisan.

Bagaimanapun, aplikasi NuffnangX membantu pembaca dengan mengesyorkan blog terpilih di seluruh dunia berdasarkan kepada carian yang paling kerap dibuat oleh pengguna telefon pintar.

“Dengan pengenalan NuffnangX, saya menyasarkan pembaca blog melalui peranti mudah alih meningkat sehingga 50 peratus,” kata Timothy meletakkan harapan.

- KOSMO!

Rabu, Oktober 31, 2012

Peminat Sazzy Falak Bertambah Kerana Perniagaan 'Online'

Pengacara dan pelakon Sazzy Falak tidak menyangka masih mempunyai kelompok peminalngat yang terdiri daripada pelbagai peringkat dan bukan hanya golongan “urban” atau penduduk bandar sahaja seperti yang dianggap sesetengah pihak.

Sazzy atau nama sebenarnya Sazlini Shamsul Falak, 31, berkata, walaupun kurang muncul di televisyen, dia beranggapan penambahan peminatnya mungkin berpunca daripada perniagaan fesyen secara dalam talian (online) iaitu Street Fashion by Sazzy Falak (SFbySF) yang dikendalikan

"Syukur Alhamdulillah, walaupun jarang mengambil tawaran berlakon atau mengacara di televisyen, tetapi orang masih lagi kenal saya.

"Mungkin juga kerana perniagaan SFbySF yang dijalankan, ia sedikit sebanyak membantu mengekalkan nama saya menjadi sebutan ramai," katanya.

Sazzy ditemui pada majlis pelancaran program televisyen OMG di Restoran The Bee, Publika, Petaling Jaya.

Tambah pelakon filem Tolong! Awek Aku Pontianak ini, dia sebenarnya rindu untuk beraksi menerusi lakonan drama, tetapi jangka masa penggambaran yang agak lama menyukarkannya menerima tawaran yang diberi.

"Sebenarnya saya sering mengacara untuk pelbagai majlis korporat serta perkahwinan dan biasanya khidmat saya sudah ditempah seawal satu bulan.

"Dan apabila ada beberapa produksi yang menawarkan saya berlakon dengan tempoh masa yang lama, saya terpaksa tolak,” tuturnya.

Sementara itu, Sazzy bakal muncul di saluran DIVA Universal menerusi program OMG yang dikendalikannya bersama Razif Hashim.

Beritahu Sazzy, program bual bicara itu merupakan sebuah rancangan terbitan tempatan yang pertama disiarkan di saluran antarabangsa tersebut.

"Saya begitu teruja apabila dapat mengendalikan sebuah program yang akan ditayangkan di saluran antarabangsa.

"Tambah pula, teman saya sendiri, Razif mengacara bersama dan ia membuatkan kami serasi mengendalikan program tersebut," ujarnya.

Program itu mengupas topik terkini melibatkan kerja, keluarga, persahabatan dan perhubungan dengan memperkenalkan tiga segmen utama iaitu 'OMG Celebrity', 'OMG Miss Chilled' dan 'Oh My Gaji'.

Artis-artis jemputan seperti Lisa Surihani, Jaclyn Victor, Mizz Nina, Hannah Tan dan Deborah Henry turut mewarnai program tersebut.

OMG yang bersiaran sebanyak 13 episod itu akan bersiaran bermula 5 November ini, setiap Isnin, pukul 7.30 malam di saluran berkenaan.

- MSTAR

Isnin, Oktober 22, 2012

Profil Online semakin penting

Oleh Tara Commerford Ketua Komunikasi bagi LinkedIn ANZ & Asia Tenggara http://au.linkedin.com/in/taracommerford Pernahkah anda terfikir bagaimana reputasi diri anda digambarkan secara online? Bukan hanya sekadar di minda keluarga atau rakan-rakan, tetapi yang pentingnya, apakah yang difikirkan oleh bakal majikan anda? Berlainan pula dari profil secara off-line yang selalunya hanya wujud dalam CV, profil secara online boleh menjangkau kepada beberapa akaun berkaitan yang lain, antaranya Facebook, Twitter, LinkedIn, You Tube dan pelbagai blog. Adalah sangat penting bagi para individu untuk mengawal identiti profesional mereka secara online. Pengerusi dan pengasas bersama LinkedIn, Reid Hoffman, berpendapat, kini setiap individu adalah usahawan dalam kehidupan mereka sendiri. Mereka juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif kepada kerjaya mereka dan setiap profesional haruslah meluangkan masa untuk melabur dalam diri mereka sendiri. Hari ini, peluang kerjaya saling berkait rapat dengan jejak digital seseorang dan oleh yang demikian, jenama profesional secara online adalah amat penting memandangkan CV yang lapuk juga turut diubahsuai selaras dengan peredaran zaman bagi abad yang ke-21 ini. Pentingnya profil online Satu kaji selidik oleh Jobvite yang dijalankan dalam tahun 2011 mendapati 89 peratus daripada syarikat bercadang menggunakan rangkaian sosial bagi urusan merekrut pekerja baru (meningkat dari 83 peratus berbanding tahun 2010). Tambahan pula, 55 peratus daripada syarikat yang mengambil bahagian dalam kaji selidik tersebut berhasrat meningkatkan pelaburan dalam merekrut melalui rangkaian sosial pada tahun 2012. Laman rangkaian sosial yang memberikan anda keupayaan untuk mengawal jenama profesional dapat dijadikan titik permulaan bagi menonjolkan kemahiran dan bakat anda, agar individu dan peluang pekerjaan yang betul dapat menemui anda. Jika mencari dalam enjian carian Google nama anda, besar kemungkinannya yang profil LinkedIn anda akan muncul di tangga teratas hasil carian kerana pengoptimuman cariannya menjadikan LinkedIn satu-satunya laman yang memudahkan seseorang menemui anda - serta latar belakang profesional anda. Bina profil online Berikut adalah tiga langkah tentang bagaimana anda dapat menyediakan asas yang betul dalam membina profil profesional secara online anda: Langkah 1: Sedari akan kewujudan anda secara online Ketahui tentang pelbagai sumber yang mungkin boleh menjejaskan identiti profesional anda - mulakan dengan mencari diri anda menerusi Google. Besar kemungkinannya, inilah yang akan dilakukan oleh bakal majikan anda, pelabur, bakal rakan kongsi perniagaan dan pelanggan anda. Lihat apakah maklumat yang anda perolehi tentang diri anda, singkirkan sebarang status terkini yang boleh dipersoalkan. Contoh: Saya benci pekerjaan dan bos saya!) atau gambar-gambar yang boleh menjejaskan diri anda. Gambar gila-gila yang diambil ketika percutian yang dimuat naik ke Facebook mungkin membuatkan anda rasa popular di kalangan kenalan anda, tetapi ia mungkin tidak dapat diterima baik oleh majikan anda. Langkah 2: Bina identiti profesional secara online anda Bina profil LinkedIn - dengan lebih daripada 161 juta ahli di seluruh dunia dan lebih dari 800,000 ahli di Malaysia. Laan tersebut merupakan titik permulaan yang baik untuk meningkatkan penonjolan profesionalisme anda secara online, mengembangkan rangkaian kenalan anda serta melibatkan diri dengan individu yang berfikiran serupa dengan anda. Anggaplah profil anda sebagai satu cara untuk mempromosikan "Jenama Diri" Berikut adalah di antara beberapa cara untuk membina profil yang baik bagi menonjolkan tahap profesionalisme anda: lLetakkan gambar - ia menjadikan profil anda 7x lebih berkemungkinan untuk ditemui dalam hasil carian. lLetakkan jawatan terdahulu - kemungkinan profil anda dilihat adalah 12x lebih tinggi sekiranya anda menyenaraikan jawatan yang pernah disandang. lBina rangkaian kenalan anda - mereka adalah di antara salah satu aspek penting bagi penjenamaan diri anda: kenalan anda melambangkan kualiti jenama anda. Apakah yang berlaku ketika anda meninjau sesuatu profil dan terpandang seseorang yang turut anda kenali? Maka, minat anda terhadap profil tersebut akan meningkat! lSerlahkan diri anda - Perkukuhkan profil anda dengan meletakkan beberapa minat utama dan letakkan pautan ke laman web yang memaparkan keupayaan serta kecenderungan anda. Langkah 3: Libatkan diri sepenuhnya dan manfaatkan rangkaian berkenaan LinkedIn semakin pantas membuka peluang kepada graduan dan usahawan secara global - terutamanya di rantau Asia. Jangan lupa untuk menonjolkan kemahiran serta menjelaskan tentang pengalaman anda di dalam profil secara online berkenaan. Sesetengah daripada anda mungkin masih ingat bagaimana anda pernah meminta rakan untuk menuliskan testimonial di dinding profil Friendster anda beberapa tahun yang lalu. Begitu juga dengan LinkedIn, di mana anda boleh meminta kenalan untuk menuliskan saranannya pada dinding profil LinkedIn anda. Saranan adalah rujukan mulut-ke-mulut daripada profesional lain yang boleh tersebar secara viral dan meningkatkan kredibiliti tahap profesionalisme anda. Ini adalah salah satu cara terbaik untuk mewujudkan tanggapan yang positif bagi memperolehi pelanggan baru atau memberikan anda kelebihan berbanding calon lain yang turut bersaing untuk mendapatkan peluang pekerjaan baru. Satu lagi perkara yang anda boleh lakukan ialah bertanya dan menjawab soalan di Jawapan LinkedIn. Soalan bijak dan jawapan yang bernas membina kredibiliti anda dan soalan serta jawapan yang cemerlang akan menarik minat pengguna lain untuk melihat profil anda. Jawablah soalan yang berkaitan dengan bidang anda bagi memperkukuhkan kepakaran serta meningkatkan tahap penampilan diri. Yang paling penting membina perhubungan sosial dengan orang yang berada di dalam rangkaian anda-kerana suatu hari nanti anda mungkin memerlukan jawapan bagi soalan anda pula. Biarkan LinkedIn membantu anda Dengan panduan yang diberikan, kini anda boleh membina identiti profesional secara online, membawa diri anda selangkah lebih dekat kepada peluang yang tiada hadnya (dari peluang pekerjaan baru hinggalah ke berhubungan dengan bakal rakan kongsi dan pelabur) untuk membantu mempertingkatkan kerjaya profesional anda. Sentiasa proaktif, ikuti perkembangan semasa dan terokai apa yang ditawarkan oleh LinkedIn, biarkan LinkedIn membantu anda. - UTUSAN

Isnin, Oktober 01, 2012

Istilah-Istilah dalam Twitter


Oleh Johardy Ibrahim

PERNAHKAH anda menerima soalan secara khusus tentang tahap penggunaan Twitter. ''Jika anda tidak memiliki akaun Twitter atau baru membuka akaun, sila nyatakan diri anda sebagai, Baru Bermula. Jika anda sudah memiliki akaun dan aktif, sila nyatakan diri anda sebagai, Sudah Arif''.

Termenung juga memikirkannya. Tidak mungkin masuk kategori 'baru bermula'. Sudah lama ada akaun Twitter. Tetapi hendak mengaku 'Sudah Arif' pun was-was. Memang ada sahabat yang diistilahkan 'pengikut' atau follower yang telah menjalin komunikasi Twitter mengikut kaedah yang disarankan.

Dalam konteks Twitter saya, secara jujur saya akui belum menguasai sepenuhnya perbendaharaan kata dan metodologi Twitter. Bermakna saya belum menggunakan sepenuhnya peluang dan kemungkinan yang wujud dalam alam Twitter.

Acapkali bila membaca tweet (istilah untuk ayat perutusan) menerusi telefon bimbit, anda pasti perasan penggunaan perkataan ringkasan yang terlalu ringkas dan mungkin tidak sama makna dengan ringkasan yang biasa anda guna. Dalam kebanyakan masa, ringkasan adalah menggunakan Bahasa Inggeris.

Terdapat lebih 130 ringkasan, perkataan, frasa dan alat untuk tweet. Apa? Lebih 130!!!... Hendak menghafal nombor telefon kawan pun terkial-kial, ini hendak mengingat 130 perkara Twitter!

Tetapi percayalah, kebanyakan remaja berusia bawah 25 tahun menguasai antara 90 hingga 110 istilah dan alat dalam Twitter. Bagi anda yang berusia melebihi 35 tahun ke atas dan rasa berat hendak mengingat benda-benda itu (kerana ada benda lebih realistik untuk diingat seperti menyiapkan tugasan di pejabat, membayar bil dan menghantar anak ke sekolah): jangan bimbang. Ingat dan guna mana yang berkaitan sahaja. Lainlah jika anda seorang pengguna Twitter tegar seperti ramai golongan remaja hari ini.

Sebelum itu, anda kena pilih bagaimana anda hendak menyebut Twitter. Jika anda sebut cara orang Malaysia, maka sebut 'twit-ter'. Jika rasa nak pamerkan anda hanya menonton televisyen Hollywood dan tidak pernah RTM, maka sebutlah gaya Amerika: 'twi-derr'.

Ringkasan asas dalam Twitter yang mesti anda ketahui ialah RT bermaksud ringkasan daripada ReTweet atau diulang siar. Anda dapati pernyataan itu menarik, lalu anda RT, supaya orang yang mengikuti anda boleh pula sama-sama membacanya, dan mungkin melakukan RT juga.

Butang RT memang tersedia pada kotak Twitter.com. Anda juga boleh memasukkan komen anda menggunakan butang Quote Tweet. Ada cabaran di sini. Disebabkan had 140 perkataan, komen anda hendaklah diringkaskan. Atau anda juga boleh ringkaskan pernyataan asal, Cuma waspada tidak hilang maknanya.

Hash tag bukan istilah tetapi alat simbol #. Ia adalah kaedah anda menyusun perutusan terkini bagi enjin carian Twitter anda. Simbol # diguna oleh kumpulan khusus mengikut minat. Misalnya, #LFC adalah khusus bagi penyokong kelab Liverpool FC dan anda akan dapati penyokong dari seluruh dunia di situ. Setelah mengutus pernyataan, anda pergi ke enjin carian Twitter dan taip #LFC.

Istilah

Simbol # juga boleh digunakan untuk memulakan trend. Misalnya #Merdeka55 yang berjaya mencatat 3.6 juta kali penggunaan semasa 31 Ogos lalu.

Istilah diringkaskan lain yang penting anda ingat ialah FollowFriday (FF) yang mesti dengan simbol #followfriday. Ia adalah bersifat cadangan iaitu menarik perhatian tentang orang tertentu dalam Twitter.

Direct message (DM): adalah mesej ringkas, yang disediakan fungsinya dalam Twitter untuk anda menghantar mesej secara terus kepada seseorang. Ia tidak boleh dibaca oleh pengikut lain. Tetapi orang yang dihantar hendaklah mengikut anda juga bagi membolehkan DM itu berfungsi.

Di Malaysia, penggunaan Twitter yang semakin meningkat setelah ramai yang jemu di Facebook, turut mencipta istilah Twitter tempatan. Paling popular ialah 'retis' atau 'artis'.

Difahamkan, retis bukan merujuk kepada artis sebenar (pelakon, penyanyi) tetapi kepada perlakuan seseorang yang perasan diri popular seperti artis. Khabarnya, baru-baru ini ada seorang artis menulis dalam Twitter membantah penggunaan retis. Difahamkan juga, pernyataan artis itu diketawakan sebab ia tidak berkaitan dia pun!

Bagi yang sudah arif menggunakan Twitter, mesti ketawakan saya kerana paparkan perihal istilah di atas. Benar, RT adalah sangat asas. Seumpama belajar A,B,C tetapi saya tujukan kepada sahabat-handai yang masih keberatan untuk mengaktifkan akaun Twitter mereka.

Apa keseronokan Twitter, bukankah sudah ada Facebook? Anda berkomunikasi dengan orang yang anda kenali dalam Facebook (hatta namanya pun Facebook) dan 'tidak anda kenali' dalam Twitter. Hal ini demikian kerana penggunaan # atau ringkasan tertentu boleh dibaca oleh sesiapa sahaja dalam enjin carian Twitter.

Secara umumnya, seseorang itu mengutus tweet semata-mata untuk mendapatkan perhatian. Sama naiwatu dengan Facebook. Jika anda menafikannya, elok anda tulis buah fikiran anda dalam diari. Mungkin dibaca oleh anak cucu suatu hari nanti. Itu pun jika mereka kenal apa itu 'diari' ketika itu. Jika anda benci jadi perhatian, elok anda berhenti menggunakan internet sama sekali.

Namun, sekiranya alasan anda lemah dalam Twitter disebabkan 'tidak tahu nak tulis apa' atau merasakannya bosan (asyik tweet gambar makanan), sila guna kaedah ini: Ikut (follow) pemilik Twitter yang menarik di hati anda.

Mungkin ada pelawak yang tampil dengan pernyataan kelakar. Misalnya jenaka ini: ''teman wanita anda berisi? Bantu dia kurus, berjalan 5 km sehari. Dalam sebulan dia akan 300 km jauh dari anda''.

Jika anda peminat bola, ini paling seronok mendapatkan seberapa ramai kawan baru Twitter. #LFC yang saya ikuti memberi peluang saya berkenalan dengan penyokong Liverpool di Amerika Syarikat dan Afrika.

Seandainya anda minat kisah-kisah mitos atau fakta luar biasa (Incredible Facts!), anda boleh ikuti Twitter ahli silap mata tertentu. Mereka ini pernah tweet gambar jet eksekutif yang diberi pinjam oleh sahabat tanpa niat minta balasan.

- UTUSAN

 

Khamis, September 13, 2012

Facebook mahu bina sistem untuk peranti mudah alih


SAN FRANCISCO - Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg kelmarin berkata, gergasi laman sosial itu sedang memberi fokus kepada sistem peranti mudah alih. Ia perlu dilihat sebagai satu langkah bijak walaupun kemunculannya dalam pasaran saham sebelum ini mengecewakan.

"Ia amat jelas daripada statistik dan gerak hati saya bahawa ekosistem menuju ke arah peranti mudah alih dan bukan komputer meja. Itulah masa hadapan. Kami akan menghasilkan produk terbaik," kata Zuckerberg ketika ditemu bual pada persidangan TechCrunch Disrupt di sini.

Zuckerberg menegaskan bahawa syarikat itu pernah dipandang rendah dan kini berada di landasan betul untuk menjana keuntungan menerusi peranti mudah alih berbanding komputer.

Ini merupakan penampilan pertama beliau sejak nilai tawaran awam (IPO) Facebook pada 18 Mei lalu yang sepatutnya mendapat sambutan tetapi gagal. Saham Facebook susut setengah daripada nilainya IPO asalnya iaitu AS$38 (RM116.8) sesaham.

Zuckerberg bagaimanapun menafikan pihaknya akan menghasilkan telefon pintarnya sendiri. "Apple, Google dan semua orang menghasilkan telefon. Kami menuju ke arah berlawanan. Kami mahu membina sistem yang boleh diintegrasi di antara semua peranti pintar," katanya.

- AFP

Recent Posts