Memaparkan catatan dengan label Filem. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Filem. Papar semua catatan

Rabu, Mei 20, 2009

Filem Syurga Cinta - Kritikan Adibah Noor beri didikan kepada Heliza


"Saya bersedia terima kritikan sebab sampai bila saya nak tunjukkan lakonan yang sama,” kata penyanyi dan pelakon, Nur Heliza Helmi atau Heliza semasa sidang media filem Syurga Cinta baru-baru ini.

Heliza berkata dia suka menerima kritikan yang mampu membina kerjayanya memandangkan setiap individu mempunyai pandangan yang berlainan.

Bukan sahaja menerusi lakonan, Heliza juga begitu terbuka menerima kritikan yang dilontarkan kepadanya selepas menyanyi secara duet dengan alumni Akademi Fantasia 7, Qhaud menerusi lagu Dibius Cinta.

“Saya tabah dan cekal dengan kritikan oleh Kak Adibah Noor itu kerana dia cakap perkara yang betul. Sekurang-kurangnya ia memberikan didikan kepada saya,” kata Heliza.

Dalam masa yang sama, Heliza turut menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku sebelum itu.

“Waktu saya diberi tawaran untuk menyanyikan lagu ini, saya sedang siapkan tesis. Pada mulanya, saya sudah jelaskan yang saya tidak boleh menerima tawaran itu kerana mempunyai kelas.

“Lagipun, sudah empat hingga lima bulan saya tidak menyanyi. Ikutkan, saya perlu menyanyi lagu Doa Dalam Lagu tetapi disaat-saat akhir saya diberi lagu itu,” jelas gadis yang sedang sibuk mempromosikan filem pertamanya itu.

Dalam filem arahan pengarah tersohor Ahmad Idham ini, Heliza memegang watak Syuhadah iaitu seorang guru agama yang baru sahaja keluar dari universiti.

Dia dibesarkan dengan penuh didikan agama oleh datuknya (Hisham Ahmad Tajuddin), seorang gadis bertudung yang bukan sahaja ayu malah terserlah dengan sifat-sifat muslimah sejati.

Kata Heliza, waktu dia berlakon selama 20 hari dalam filem ini pada bulan Jun tahun lalu, dia sedang mengikuti pengajiannya di Universiti Malaysia Sabah dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains.

“Antara babak yang paling susah untuk saya lakonkan dalam filem ini adalah babak romantik kerana saya tidak mempunyai pengalaman bercinta.

“Saya rasa lebih senang berlakon babak marah daripada babak itu,” ujarnya.

Tambahnya, dia juga agak sukar melakonkan babak mengeluarkan air mata sehingga terpaksa meminta tunjuk ajar daripada Awal.

“Biasanya, saya mudah sedih apabila fikirkan tentang ‘study’ dan keluarga. Jadi, saya terus ingat mama di rumah,” tutur alumni Akademi Fantasia 5 ini.

Sukar bagaimanapun, Heliza berkata dia mahu ‘upgrade’ lagi lakonannya nanti.

“Saya rasa banyak lagi yang perlu dipelajari dari segi cara bercakap, menangis dan menghayati watak.

“Apa yang saya difikirkan adalah tanggungjawab kerana bukan senang untuk menjadi seorang pelakon.

“Kalau saya dapat seimbang antara nyanyian dan lakonan lagi bagus sebab saya memang minat kedua-duanya,” luah Heliza yang mengidamkan watak dalam cerita komedi atau sebagai orang kurang upaya.

Kini Heliza bernaung di bawah Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) untuk menguruskan kariernya dalam bidang seni ini.

Selain itu, gadis yang berasal dari Kuala Terengganu ini sedang berusaha menghabiskan pengajiannya yang tinggal 1 tahun lagi.

“Selain belajar, saya akan membuat lagu single untuk Hari Raya dan lagu duet dengan Aiman (Akademi Nasyid) iaitu Selalu Ada,” akhirinya yang turut selesai merakamkan program Fikirlah Sendiri Nabil untuk Hari Raya.

Heliza berkata karier seninya masih berada pada tahap baik dan menerima undangan ‘show’ apabila ada masa terluang.

- MSTAR

Sabtu, Mei 09, 2009

Jin Notti temukan Mawi & Fara


Selepas filem Aduh Saliha terbengkalai penggambarannya pada tahun lalu, ramai yang ternanti-nantikan kemunculan Mawi sebagai pelakon di layar perak.

Jin Notti merupakan filem terbaru terbitan KRU Studios dan yang pertama mengetengahkan Mawi dalam bidang lakonan.

Menurut Mawi, dia berpuas hati berlakon dalam filem sulungnya itu, apatah lagi lakonannya mendapat pujian daripada Pengarah Urusan KRU Studios, Norman Abdul Halim.

"Itu komen orang (Norman) yang sudah 25 kali menonton filem Jin Notti. Tetapi komen para penonton atau peminat, saya belum tahu lagi. Saya harap biarlah komen yang diberi nanti positif dan sejujur-jujurnya.

"Saya juga seronok berlakon filem ini kerana adanya adegan silat dan aksi yang banyak saya lakukan sendiri. Apatah lagi, saya ada latarbelakang dalam silat pukul pelaga yang saya pelajari sejak berusia 13 tahun.

"Dengan tunjuk ajar daripada pengarah (Azhari Zain) saya dapat melakonkan watak Inspektor Aziz dengan baik," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Jin Notti di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Filem terbitan KRU Studios yang mendapat tajaan daripada Telekom Malaysia (TM) itu telah pun selesai menjalani penggambarannya dan bakal ditayangkan pada Hari Raya Aidil Fitri ini.

Selain pelakon, hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden Produk Jualan TM, Azizi A. Hadi dan Eksekutif Pengguna TM, Jeremy Kung.

Selain Mawi, Jin Notti juga dilakonkan oleh Fara Fauzana yang membawakan watak Notti.

Kata penyampai radio Hot FM ini, dia terpaksa membahagikan masanya sebagai penyampai radio sewaktu mengikuti penggambaran filem dengan kos RM2 juta itu.

"Saya telah membuat perjanjian dengan majikan saya (Media Prima Berhad) iaitu masa penggambaran Jin Notti tidak akan mengganggu tugasan saya di radio Hot FM.

"Biasanya saya akan menjalani penggambaran selepas 12 tengah hari dan habis sebelum 10 malam. Ini kerana saya bertugas di konti pada sebelah pagi," ujar Fara.

Jelas Fara, Jin Notti merupakan filem pertama yang memberikannya peluang melakonkan watak utama di mana ia merupakan cabaran besar buatnya.

Apatah lagi katanya, menerusi filem yang mula menjalani penggambarannya pada Jun tahun lalu itu, dia perlu melakonkan lima karakter berbeza.

"Saya melakonkan watak jin yang perlu melakonkan lima watak berbeza selepas watak itu masuk ke dalam lima orang. Itu antara cabaran saya. Tetapi sebelum ini saya pernah berlakon dalam filem SS3 ketika saya masih belajar di UiTM (Universiti Teknologi Mara).

"Wataknya kecil sahaja. Bagaimanapun pengalaman itu sedikit sebanyak membantu saya berlakon dalam filem ini," kata selebriti berasal dari Shah Alam, Selangor ini.

Bagaimanapun, pembabitan Fara dalam filem keempat terbitan KRU Studios itu bukan baru bermula, sebaliknya dia pernah ditawarkan berlakon filem Duyung yang diterbitkan beberapa tahun lalu.

Namun, Fara terpaksa menolak tawaran itu kerana mempunyai komitmen lain, kerana penggambaran itu diadakan jauh dari Kuala Lumpur iaitu di Sabah.

Menceritakan pengalamannya berlakon bersama Mawi, Fara bukan sahaja berasa teruja, malah beliau turut berhati-hati supaya ia tidak menyinggung mana-mana pihak.

"Sewaktu penggambaran filem ini, Mawi belum kahwin dengan Ekin. Jadi semasa berlakon filem itu saya pernah hantar SMS (khidmat pesanan ringkas) pada Ekin minta kebenaran.

"Saya lakukan itu supaya ia tidak menimbulkan salah faham kalau ada apa-apa yang berlaku kelak. Saya juga hantar SMS pada Maya Karin meminta pendapatnya tentang pembabitan saya dalam filem ini. Dia (Maya) beri galakan kepada saya," jelasnya.

Penerbit Jin Notti, Norman Abdul Halim pula menjelaskan, filem itu merupakan genre komedi yang menampilkan pengarah baru, Azhari Zain.

Jelasnya, pemilihan Azhari merupakan suatu percubaan bagi memberi peluang muka-muka baru berkarya dalam filem terbitan KRU Studios.

"Kami mahukan filem-filem kami nampak berbeza dengan sentuhan pengarah yang juga berbeza. Kami menggunakan hampir 200 teknik CGI (imej janaan komputer) dalam filem ini.

"Ia sebagai tarikan walaupun jumlah yang digunakan tidaklah sebanyak seperti Cicak-Man. Selain itu, kami bertuah kerana dapat menggunakan khidmat Mawi dan Fara yang kebetulan telah banyak menang anugerah sebelum ini. Ia sebagai suatu bonus untuk filem ini," katanya.

Sementara itu, pengarah Jin Notti, Azhari Zain pula berasa bertuah kerana diberi peluang mengarahkan filem yang dijangka mampu menarik perhatian ramai penonton.

"Selepas menjadi penolong pengarah dalam 30 filem, saya bangga kerana diberi peluang mengarahkan filem ini. Selepas ini saya juga akan mengarahkan sebuah lagi filem terbitan KRU Studios berjudul Bangla lakonan Nabil," ujarnya yang juga pensyarah Jabatan Skrin UiTM, Shah Alam.

- UTUSAN

Jumaat, April 24, 2009

Universal Studios cari pelakon di Asia

Gergasi hiburan di Amerika Syarikat (AS), Universal Studios semalam mengumumkan untuk mencari bakat baru dalam bidang persembahan untuk beraksi di taman tema miliknya di sini.

Beberapa eksekutif syarikat itu akan melakukan uji bakat di 11 buah bandar raya bermula minggu depan bagi mencari 200 calon berbakat termasuk mereka yang mempunyai wajah mirip selebriti terkenal seperti mendiang Marilyn Monroe.

Taman tema Universal Studios yang pertama di Asia Tenggara itu dijadual beroperasi pada tahun depan di Pulau Sentosa.

Uji bakat itu diadakan di empat destinasi di Amerika Utara yang didahului oleh Hollywood termasuk di tujuh buah bandar raya di Asia Pasifik seperti Manila, Melbourne, Kuala Lumpur dan Singapura.

"Kami sedang mencari bintang-bintang baru melalui uji bakat di seluruh dunia," kata Pengarah Kreatif, Universal Studios Singapura, Gregg Birkhimer pada sidang media.

Selain pelakon, Universal Studios akan mengambil pekerja yang kurang glamor seperti pelagak ngeri dan maskot untuk pertunjukannya di Resorts World Sentosa.

Taman tema itu merupakan tarikan utama di Pulau Sentosa yang menyasarkan 15 juta pelancong pada tahun pertama operasinya.

- AFP

Gabenor suka jadi Terminator


Arnold Schwarzenegger mungkin kembali sebagai Terminator walaupun masih menjadi Gabenor California.

Beliau mengesahkan pada temuramah menerusi web, imejnya mungkin muncul dalam filem Terminator: Salvation, mengenai manusia dan robot.

Gabenor California itu pernah berkata, tiada masa berlakon filem baru, namun pembuat filem menggunakan teknologi untuk memasukkan imej Schwarzenegger daripada filem Terminator sebelumnya.

Schwarzenegger berkata, akan hadir ke tayangan perdana filem itu dengan bintang Christian Bale, memegang watak sebagai pemimpin manusia yang menentang robot.

- AP

Khamis, April 23, 2009

Filem Bohsia ' ketuk ' kesedaran masyarakat


Mengetengahkan jalan cerita mengenai kehidupan dua bohsia bernama Tasya lakonan Nabila Huda dan Amy (Salina Saibi), filem terbaru arahan Syamsul Yusof iaitu Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam sememangnya sarat dengan unsur-unsur pengajaran.

Meskipun isu bohsia sudah lama diperkatakan, kehadiran filem dengan bajet RM1.5 juta itu dilihat bertepatan pada masa kini dalam 'mengetuk' kesedaran semua pihak agar peka terhadap persekitaran yang melingkari kehidupan keluarga dan masyarakat kita.

Tolak ketepi untuk berdebat soal mengapa adegan-adegan 'panas' dipersembahkan menerusi Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam, kerana realitinya itulah yang sebenarnya akan berlaku andai kita lupa kepada tanggungjawab menjaga nilai diri.

Terlibat dengan gejala dadah, pil khayal, pergaulan bebas, judi dan arak, semuanya itu merupakan 'ibu kehancuran' yang mampu merosakkan jiwa.

Bukan sahaja terletak pada ibu bapa, tanggungjawab menjaga nilai diri sebenarnya menuntut semua pihak termasuk diri sendiri supaya memikirkan akan baik buruk terhadap apa jua tindakan yang kita lakukan.

Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam, filem kritikan sosial yang menjalani penggambaran di sekitar Lembah Kelang bermula 20 Mac tahun lalu itu juga tidak lupa menyelitkan betapa lemahnya institusi kekeluargaan dalam menjaga 'tepi kain' anak remaja.

Bertambah menyedihkan, ada kalangan mereka yang tidak ambil endah serta sanggup menghancurkan masa depan anak sendiri dengan melakukan sesuatu yang di luar batas-batas agama.

Salleh (lakonan Nasir Bilal Khan) contohnya, akibat berjudi dan mabuk, dirinya hilang pertimbangan dalam menilai antara halal dan haram sehingga sanggup merogol anaknya sendiri iaitu Amy.

Itulah antara intisari dan contoh yang dapat dikupas mengenai filem berkenaan yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 23 April ini.

Selain Nabila, Salina, Nasir dan Syamsul, Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam turut membariskan pelakon seperti Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Diana Danielle, Lando Zawawi, Yazid Lim dan Adam Corrie.

Diterbitkan secara bersama antara Skop Productions Sdn. Bhd. dan Grand Brilliance Sdn. Bhd., ia merupakan filem kedua arahan Syamsul selepas Evolusi KL Drift (2008).

Selain 60 buah pawagam di seluruh negara, filem ini juga akan ditayangkan di beberapa pawagam di Singapura.

Menurut Syamsul, filem keduanya itu tampil berbeza dan memfokus kepada permasalahan remaja khususnya gejala bohsia.

Jelasnya, ia dihasilkan berdasarkan kepada pemerhatian dan kajiannya mengenai bohsia dan mat rempit di sekitar ibu negara.

"Sebenarnya, kalau hendak ditiru 100 peratus mengenai kehidupan bohsia, ia lebih teruk daripada yang dipaparkan dalam filem ini.

"Saya mengharapkan agar filem ini dapat memberi pengajaran kepada penonton,'' katanya ketika ditemui pada majlis pratonton Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam di GSC Midvalley, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar Syamsul, di awal proses pembikinan filem tersebut, pihaknya mengalami permasalahan berkenaan pelakon yang hendak membawakan watak bohsia.

"Mujur Nabila dan Salina bersetuju dan berani untuk membawakan watak itu. Juga kepada pelakon-pelakon lain yang begitu komited dalam menghidupkan watak masing-masing,'' jelasnya sambil menambah Diana Danielle tidak dapat menghadiri siri promosi filem kerana terikat dengan latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Ditanya mengenai babak sekumpulan mat rempit diketuai Muz membelasah Acai dan kumpulannya yang dilihat menyamai lagak filem-filem Hindi dan Hong Kong, Syamsul menjelaskan, itu merupakan elemen baru yang ingin diterapkan menerusi filem Melayu.

"Saya bukan meniru tetapi itulah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini,'' ujarnya mempertahankan karya terbarunya itu.

Ditanya mengenai sasaran penonton terhadap filem berkenaan, Syamsul berkata, dia menetapkan tiga perkara iaitu kepuasan diri dalam berkarya, jumlah kutipan tiket dan harapan filemnya balik modal.

"Harapnya filem ini berjaya mencatat kutipan yang tinggi. Kalau boleh jangan rugi agar saya dapat menghasilkan filem lagi pada masa depan,'' tambahnya.

Harapan Yusof Haslam

Sementara itu, bapa Syamsul, Datuk Yusof Haslam selaku penerbit Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam berkata, filem tersebut merupakan ekspresi anak muda yang tidak harus diperkecilkan.

"Pemikiran baru yang dilontarkan oleh pengarah muda perlu diberikan peluang dan sokongan. Apabila hendak menerbitkan filem ini, saya tidak boleh dibelenggu dengan aliran dahulu.

"Segalanya kini sudah berubah dan bakat pengarah muda janganlah diperkecilkan,'' katanya yang bangga apabila Evolusi KL Drift telah berjaya mencapai kutipan RM4.5 juta.

Menurut Yusof, Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam penuh dengan pengajaran dan penonton perlu mentafsirnya dengan positif.

- UTUSAN

Rabu, April 15, 2009

Langkasuka - Mitos kehebatan kerajaan Melayu lama


LANGKASUKA sememangnya nama sebuah kerajaan Melayu lama yang telah membentuk kerajaannya yang hebat pada sekitar abad ke-2 dahulu. Kerajaan ini terletak diantara negeri Kedah tua dan Pattani di selatan Thai, sebelum kerajaan Langkasuka dikuasai oleh sebuah lagi kerajaan Melayu lama yang juga cukup hebat dan besar pada zamannya iaitu Kerajaan Sriwijaya sekitar abad ke-7. Kehebatan dan kebesaran Langkasuka ini telah menjadi legenda yang turut disebut dalam catatan Laksamana Cheng Ho dan tidak kurang telah membentuk mitosnya sendiri.

Kisah legenda dan mitos yang melingkari kehebatan kerajaan Melayu lama ini sudah cukup untuk menjanjikan dasar sebuah filem epik yang menarik dan spektakular. Dengan keupayaan industri filemnya yang besar, Thai telah menghasilkan sejumlah filem epik dan berbudget besar antaranya Suriyothai, King Neresuwan, Kunpan. Queens of Langkasuka (Permaisuri Langkasuka) merupakan epik dan filem bercita-cita besar terbaru yang diarahkan oleh Nonzee Nimibutr, pengarah generasi baru Thai yang turut bertanggungjawab mengangkat seni filem Thai di persada antarabangsa apabila filemnya Nang Nak mencipta fenomena di beberapa festival filem dunia. Filem Nang Nak berjaya mengembalikan penonton generasi baru kembali menonton dan menyukai seni filem Thai. Nonzee kemudian menghasilkan filem Jan Dara.

Queens of Langkasuka yang ditulis oleh Win Lyovarin bagaimanapun tidak mengangkat elemen sejarah yang menjadikan kerajaan ini hebat dan besar. Sebaliknya Win Lyovarin lebih tertarik kepada aspek mitos dan fantasi yang melingkari kerajaan yang diperintah oleh seorang raja wanita iaitu Puteri Hijau (Jurunee Suksawat) dan turut dibantu oleh Puteri Biru (Jacqueline Apithananon) dan Puteri Ungu (Anna Ris) serta pendekarnya yang gagah Jarang (Chupong Changprung).

Kekuatan dan kehebatan Langkasuka bagaimanapun sedang diancam oleh Putera Rawai yang bersekutu dengan sekumpulan lanun yang mempunyai ketua yang hebat dengan ilmu sakti luar biasa yang dikenali sebagai Du Lum.

Tetapi yang menjadi punca perebutan antara kumpulan lanun, si Putera Rawai dan Puteri Hijau adalah meriam raksasa yang telah dicipta oleh seorang lelaki Cina Kim Lium (Jakkrit Phanichphatikran) dan seorang lelaki Belanda (Andre Machielsen). Bagaimanapun kapal yang membawa meriam raksasa telah karam ke dalam laut di situ.

Filem ini cuba menggabungkan beberapa plot dalam sebuah cerita yang menyebabkan jalan ceritanya tidak lancar dan kemas. Queens of Langkasuka turut mengangkat kisah Pari (Ananda Everingham), anak yatim dari perkampungan orang laut tersebut yang sering menjadi sasaran para lanun tersebut. Pari diselamatkan oleh seorang mahaguru (Surapong Chatree) yang mempunyai kehebatan ilmu sakti dan berusaha mengajar Pari dengan ilmu tersebut.

Pari yang berjaya menyelamatkan Puteri Ungu daripada kumpulan lanun tersebut kemudian menjalin hubungan mesra, tetapi Puteri Ungu sebenarnya hendak dikahwinkan dengan Putera dari Pahang (Jesdaponn Phuldee) yang sememangnya mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Langkasuka. Sebaliknya Pari juga sedang berhadapan dengan kisah zalim masa lalu yang mana kekasihnya semasa kecil telah dibunuh kejam oleh para lanun tersebut.

Dengan kemudahan teknologi digital, bukan terlalu sukar buat Nonzee Nimibutr mencipta adegan-adegan spektakular yang sememangnya lebih sulit jika dihasilkan secara manual. Bagaimanapun berbanding dengan filem epik Thai sebelum ini seperti Suriyothai dan King Neresuwan (arahan Prince Chatrichalerm Yukol) nampak kedua-dua filem tersebut jauh lebih besar dari aspek binaan set, kekuatan pelakon dan ciptaan efek khasnya.

Sememangnya filem Queens of Langkasuka turut memaparkan binaan set yang menarik terutamanya pada keindahan set istana Langkasuka yang memancarkan hiasan ukiran yang halus. Begitu juga kostum yang dipakai oleh pembesar istana Langkasuka yang memperlihatkan pakaian Melayu dengan tengkolok serta songket yang digunakan memperlihatkan kerapian dalam rekaan kostum.

Filem ini juga memperlihatkan koreografi adegan aksi pertempuran yang menarik dan padat terutama adegan dalam gua lanun. Adegan pertempuran yang melibatkan aksi pendekar jarang dikoreografikan dengan pengaruh silat, seni mempertahankan diri orang Melayu.

Bagaimanapun efek digital yang digunakan untuk adegan pertempuran, seperti ketibaan ratusan buah kapal untuk menyerang Langkasuka dan binaan set yang memperlihatkan istana Langkasuka tidak dihasilkan dengan cukup mantap dan halus.

Disebabkan filem ini lebih banyak tumpuan kepada adegan pertempuran yang memungkinkan lebih banyak penggunaan efek khas atas tujuan mencipta elemen spektakular menyebabkan elemen penting iaitu alur penceritaan yang lebih fokus pada perwatakannya terabai. Hasilnya kita hanya menyaksikan lebih banyak adegan aksi dan penggunaan efek khas tetapi gagal menyelami kekuatan penceritaan. Apatah lagi apabila unsur mitos dan fantasi menjadi keutamaan untuk memungkinkan permainan efek tetapi nilai sejarah yang menjadi dasar kekuatan cerita diketepikan.

- UTUSAN

Selasa, April 14, 2009

Jackie Chan berbogel?


JACKIE CHAN dan Daniel Wu berbogel bersama? Membaca kenyataan tersebut, mungkin peminat Jackie Chan gusar apakah pelakon aksi Hong Kong pujaan mereka itu sudah beralih selera seksnya?

Jangan gusar, Jackie sememangnya seorang heteroseksual. Dia dan Daniel berbogel cuma dalam satu babak filem terbaru mereka, Shinjuku Incident.

Namun, mungkin pula ada peminat kedua-dua pelakon popular Hong Kong itu cuak adakah filem itu berkisar mengenai golongan gay, sementelah Daniel sendiri pernah melakonkan watak gay menerusi filem Bishonen (1998)?

Sebenarnya Shinjuku Incident mencatatkan banyak sejarah tersendiri buat Jackie. Jika selama ini, dia sentiasa tampil dengan aksi-aksi lasak sebagai hero yang membanteras jenayah dengan gabungan elemen komedi, namun menerusi Shinjuku Incident, Jackie tampil sangat berbeza.

Dalam filem genre drama berat itu, Jackie menampilkan sisi lakonannya yang berbeza, yang mungkin bakal membuatkan segelintir peminatnya memberikan respons negatif. Kali ini, dia melakonkan watak lelaki dari kampung yang tidak mahir dengan seni kung fu.

Mengunjungi Malaysia untuk mempromosikan filem itu bersama Daniel baru-baru ini, Jackie bagaimanapun mahu audiens terutama peminat fanatiknya menerima perubahan itu.

Jackie mengakui semasa dia di Jepun baru-baru ini, ada kalangan peminat yang berjumpa dengannya sambil menangis. Kenapa agaknya?

"Sudah lama saya ingin berubah (dalam filem lakonan saya). Pertama kali menjadi orang jahat dari kampung, saya kena pukul sehingga mati. Memang ramai boleh menerima perubahan itu tetapi semasa di Jepun ada segelintir peminat yang sedih melihat saya dipukul dan mati," ujarnya.

Sering mengunjungi Malaysia, Jackie sebenarnya bergegas dari Singapura pada awal pagi untuk ke Kuala Lumpur sebelum terbang ke Beijing, China bagi meneruskan rakaman filem terbarunya, Junior Soldiers. Filem itu kembali menampilkan diri Jackie Chan yang 'lama'.

Meneruskan bicara mengenai Shinjuku Incident, tambah Jackie, dia bukan sahaja mencuba pembaharuan dari segi watak, malah menerusi filem itu dia buat pertama kalinya muncul dalam babak ranjang di atas katil.

Babak itu bagaimanapun tidak akan dapat ditonton oleh penonton Malaysia. Namun, Jackie sedikit pun tidak berasa kecewa.

"Setiap negara ada peraturannya sendiri. Bagi penonton Amerika Syarikat pula, filem seperti ini adalah biasa kepada mereka. Babak saya berbogel dengan Daniel di bilik mandi awam juga tidak dapat ditonton di pawagam-pawagam Malaysia.

"Saya percaya pengarah memasukkan babak sebegitu bukannya disebabkan unsur lucah tetapi atas keperluan skrip. Maka, saya tidak kecewa apabila babak itu disunting," jawabnya sambil diperhatikan Daniel.

Tidak ditayangkan di China

Menelan kos AS$25 juta (RM87 juta), pengarah Shinjuku Incident, Derek Yee telah mengambil keputusan untuk melepaskan pasaran China kerana tidak mahu 'memusnahkan' filem itu dengan menyunting semua babak-babak aksi kejam. Malah, keputusan itu disambut baik pelakonnya termasuk Jackie.

"Selepas berbincang dengan Derek, kami membuat keputusan untuk melepaskan pasaran China.

"Apabila semua babak aksi, seks dan dadah disunting, ia tidak kelihatan seperti sebuah filem lagi. Ini akan membuat penonton lain berfikir ia sebuah filem yang teruk. Jadi kami mengekalkan versi asal sebagai satu penghormatan kepada pengarah," jelasnya.

Menggabungkan bakat dari Hong Kong, China dan Jepun, filem itu dirakamkan di Jepun, Suzhou dan Changchun, China. Jackie yang sudah biasa bertindak sebagai pelakon, pengarah, penerbit, penulis serta penyelaras aksi lagak ngeri dalam satu filem juga 'dipaksa' untuk memberi fokus sebagai aktor sahaja dalam Shinjuku Incident.

"Sebelum penggambaran bermula, saya sudah berjanji dengan pengarah bahawa saya tidak akan tukar dialog atau terlibat dalam penyelarasan aksi.

"Saya tidak boleh memberi sebarang komen atau menyunting. Ia sebenarnya amat sukar bagi saya tetapi saya menghormati kehendak pengarah," jelasnya.

Derek sudah membuat penyelidikan selama 10 tahun dan filem itu sepatutnya memulakan penggambaran pada Mei 2006. Namun, disebabkan Jackie yang sibuk dengan penggambaran filem Rush Hour 3, penggambaran ditangguhkan sehingga September 2007.

"Sebenarnya 15 tahun lalu, Derek sudah menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan saya. Tetapi ketika itu dia mahu saya berlakon dalam filem yang tidak mengandungi lagak ngeri.

"Maka, saya tidak bersetuju. Kini disebabkan mahu perubahan, saya terus bersetuju. Lagipun saya mempercayai Derek sehingga sanggup melakukan perubahan besar," tegasnya.

Menyukai babak dia memotong tangan seorang ahli kongsi gelap dan saat dia menangis ketika berkongsi kesakitan yang dialami watak lakonan Daniel,Jie, Jackie memberitahu hanya untuk babak itu sahaja dia telah menangis lebih setengah jam. Namun, disebabkan faktor masa, banyak babak yang menarik terpaksa dipendekkan.

Penonton di Malaysia juga tidak berpeluang menyaksikan babak terakhir apabila Xu Jinglei (lakonan Xiu Xiu) dan Fan Bingbing (Lily) pulang ke China. "Sebelum memulakan rakaman, saya membuatkan diri saya berada dalam keadaan tertekan.

"Apabila saya duduk di sisi Daniel yang sedang berbaring, saya terus menangis apabila melihat dia menangis. Malah sehingga pengarah menghentikan penggambaran, saya dan Daniel masih lagi menangis. Selain daripada menangis, ada beberapa babak yang menarik juga terpaksa dipendekkan kerana faktor masa," jelas Jackie.

Tidak mahu terus terkongkong dalam filem-filem popularnya seperti siri Rush Hour dan Police Story, Jackie menyatakan filem-filem begini tidak lagi memberikan perasaan teruja kepadanya walaupun masih diminati penonton. Maka cerita mengenai pendatang haram itu sendiri telah menarik perhatian Jackie.

"Di Shijuku itu sendiri ada pendatang dari China, Taiwan, Vietnam, Kemboja dan beberapa negara Asia. Tapi kami cuma bercerita dari segi orang Cina. Ramai di antara mereka ditipu bahawa bekerja di negara luar bakal menjanjikan pulangan yang lumayan.

"Mesej yang kami ingin sampaikan adalah tiada negara yang lebih baik daripada negara sendiri," katanya yang turut diberi sambutan hari jadi ke-54 secara kejutan pada majlis sidang media itu.

Daniel matang di sisi Jackie

Sudah lama tidak melawat Malaysia, Daniel memberitahu penggambaran kali ini tidak mudah baginya. Kali ketiga bekerjasama dengan Jackie, lakonan Daniel dilihat lebih matang dan mengejutkan ramai pihak.

Melakonkan watak sebagai seorang pengecut dia kemudian menjadi lelaki psiko.

Peralihan watak yang drastik itu dilihat sebagai satu pengembaraan kepada Daniel. Merupakan pendatang haram dari China ke Jepun, Daniel telah menggunakan masa lebih empat bulan untuk menjiwai watak Jie.

Malah, pihak krew juga telah menggunakan masa yang agak lama bagi mencipta imej yang bersesuaian bagi dirinya sebagai lelaki psiko. Mula mencari identiti di Hong Kong, pereka kostum dan solekan kemudian mendapati apa yang mereka cipta sebelum itu tidak menepati budaya Jepun.

"Setibanya di Jepun, kami terkejut melihat perkembangan budaya Jepun. Apa yang dipakai adalah ekstrem dan tidak dapat dilihat di negara lain. Maka, imej saya diubah sama sekali. Imej Harajuku itu adalah simbolik sebagai topeng untuk saya melindungi perasaan takut saya," ujarnya.

Pertama kali bekerjasama dengan krew Jepun, Daniel pernah belajar di Jepun pada usia 16 tahun. Namun, ketika itu dia tidak mengetahui begitu banyak mengenai pendatang asing terutama masyarakat China di Jepun.

"Rupa-rupanya ramai orang China di Jepun. Mereka kelihatan seperti orang Jepun tetapi berkomunikasi dalam Mandarin. Saya terkejut apabila melihat komuniti itu di sana," kata Daniel, 34.

Meminati Jackie sejak kecil, Daniel menjadi artis di bawah syarikat Jackie, JC Group sekitar tahun 1998. Hubungan rapat mereka terjalin sehingga kini dan Jackie menganggap Daniel sebagai anaknya.

Perubahan yang dilakukan oleh Jackie dalam filem ini sendiri telah menarik perhatian Daniel.

"Secara jujur, ini adalah kali pertama saya melihat dia begitu menjiwai watak yang dipegang. Jika Jackie memberitahu dia menangis selepas melihat saya menangis, saya sebenarnya tersentuh dengan lakonannya.

"Itu yang membuatkan saya menangis. Babak itu berlaku dengan natural walaupun tidak ada dalam skrip," jelasnya.

- KOSMO!

Ahad, Januari 11, 2009

Filem Maut bawa mesej ketuhanan

Setelah menunggu hampir dua tahun, akhirnya filem Maut arahan Bade Haji Azmi bakal menemui penonton 15 Januari ini. Sebagai pembuka tirai tahun 2009, Maut dilihat sebagai filem yang sarat dengan mesej ketuhanan .

Tidak banyak filem yang mengangkat Islam sebagai tema utama dan Maut dilihat mengulangi filem Isi Neraka arahan Jamil Sulung yang dihasilkan pada tahun 1960.

Bade cuba mengangkat persolan yang berlaku di alam barzakh, alam akhirat, mengenai dosa dan pahala serta menggambarkan semuanya dalam imaginasinya sendiri.

Maut dijadikan landasan yang menyampaikan ilmu pengetahuan, pengalaman dan pemikiran Bade. Isu-isu yang dikupas dalam Maut termasuklah permasalahan sosial yang sering kali melanda masyarakat seperti gejala black metal, gaya hidup bebas dan pemakaian tatu.

Apa yang digambarkan oleh Bade lebih kepada metafora kerana paparan visual itu tidak semestinya satu kebenaran, sebaliknya perlu ditafsir mengikut persepsi masing-masing.

Filem yang mengupas tiga cerita berbeza ini, dibarisi pelakon-pelakon seperti Que Haidar, Liana Jasmay, Sabrina Hassan, Eja, Sherry Ibrahim, Nana AF, Diana Danielle, Awal Ashaari, Danny, Reza AF, dan ramai lagi.

Bukan semuanya kerana duit - Bade

Melihatkan karya-karya Bade terdahulu, dia banyak mengarahkan filem-filem aksi seperti KL Menjerit dan Castello. Namun, selepas menghasilkan filem Syaitan, Bade seperti mahu meneruskan filem-filem berunsur ketuhanan untuk menjadi tema utamanya.

Jelasnya lagi, setiap filem yang dihasilkan sebelum ini memang mempunyai mesej ketuhanan.

"Sejak filem KL Menjerit lagi dah ada unsur ketuhanan. Dalam filem Syaitan, memang ada kelainan yang ingin ditonjolkan dan memang kita sedar mengenainya.

"Ini adalah perjuangan saya. Hidup ini memang kena ada matlamat. Saya bimbang pembikin filem kita lupa apa matlamat mereka sebenarnya. Ada yang buat filem hanya untuk duit tanpa tahu apa hala tuju mereka," katanya ketika ditemui semasa pelancaran filem Maut, di Mid Valley.

Menurutnya, semua filem-filem yang dihasilkan sebelum ini mempunyai falsafah hidup termasuklah agama. Mungkin ramai yang tidak sedar jika melihatkan pada tajuknya sahaja.

"Dengan lambakan filem tempatan, cuba kita lihat adakah filem tersebut mengandungi mesej kebaikan? Dalam filem Maut, itulah yang hendak dipertontonkan pada khalayak sedangkan kita tahu ada manusia, malaikat dan jin," jelas Bade lagi.

Untuk buah tangan terbarunya ini, Bade tidak meletakkan sebarang sasaran. Tetapi dia tetap mengharapkan agar filem Maut mendapat sambutan daripada peminat-peminat filem tempatan.

Bade sebelum ini mengarah filem Bilut berkata, jika diberikan peluang, dia mahu menghasilkan filem yang lebih ringan daripada sedia ada.

Katanya, ini semua untuk menarik balik keyakinan orang ramai terhadap dirinya dan sudah pasti selepas ini dia tidak mahu membuat filem yang terlalu serius sehingga membebankan fikiran penonton.

"Sebab itu saya katakan Maut adalah filem yang simple dan tak mencabar saya sebagai pembikin filem. Tetapi saya harap filem ini tidak mempersia-siakan saya.

"Selama dua tahun masa diambil untuk melihat filem ini ditayangkan. Memang tempoh masa yang agak lama. Macam-macam hal yang terpaksa dihadapi," ujarnya.

Tidak mustahil untuk filem Maut terus mendapat perhatian penonton memandangkan tema yang diangkat memang berbeza daripada filem yang lain.

Cerita 1:

Su seorang pelajar universiti yang didatangi seorang gadis, Fadilah. Fadilah meminta untuk menumpang teduh kerana hari sudah malam dan begnya telah diragut. Namun, keesokan harinya Fadilah telah tiada dan Su melihat berita kehilangan Fadilah di televisyen.

Cerita 2:

Farah, seorang pramugari yang berkahwin dengan Duke, jejaka Inggeris. Mereka yang hidup penuh bebas akhirnya bergaduh kerana Farah cemburu melihat Duke dan perempuan lain. Farah terus meninggalkan Duke.

Cerita 3:

JJ seorang lelaki yang telah hilang pegangan agamanya. Dia yang terlibat dengan gejala Black Metal langsung tidak mengendahkan teguran ibu dan kakaknya. Akhirnya dia terlibat dalam kemalangan dan JJ cedera parah.

Recent Posts